18
Wed, Sep
34 Artikel Baru

Jangan politikkan YADIM

Nasional
Typography

YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia, atau singkatannya YADIM ialah sebuah badan amanah yang ditubuhkan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Hussin, YAB Perdana Menteri Malaysia yang kedua pada 1 Muharam 1394, iaitu 25 Januari 1974 yang bertujuan menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO agar berjalan seiring dan sejajar dengan dasar negara serta menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia.

SHAHIR2YADIM ialah sebuah badan amanah yang didaftarkan di bawah Trust Incorporation Ordinance 1952 yang bertanggungjawab secara langsung kepada YAB Perdana Menteri.

Matlamat utama YADIM adalah untuk mengembangkan dakwah massa bagi melahirkan khaira ummah melalui pendekatan berhikmah dengan beberapa fungsi teras untuk menyelaraskan kegiatan dakwah Islam, menyelaraskan kegiatan dakwah Islam melalui pendekatan sosial dan melahirkan pendakwah Islam berpengetahuan dan berkemahiran.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia memandang serius pelantikan keseluruhan barisan ahli lembaga pengarah YADIM yang hampir kesemuanya di kalangan ahli politik. Seramai 10 daripada 12 orang atau hampir 85 peratus adalah daripada ahli politik Pakatan Harapan, termasuk seorang daripada parti DAP.

Pelantikan sebegini bukan sahaja meranapkan harapan rakyat Malaysia untuk melihat perubahan lebih baik dengan dogma Malaysia Baru, malah dilihat memperkotak-katikkan Manifesto Pakatan Harapan dan meruntuhkan institusi agama islam yang mulia seperti YADIM.

Persoalaannya, bagaimanakah YADIM akan berfungsi untuk mengembangkan dakwah Islam di sebalik lantikan politik ini tanpa berlakunya keadaan berat sebelah kepada pendakwah-pendakwah lain yang tidak sealiran fahaman politiknya atau yang berada di atas pagar? Rakyat akan melihat YADIM sebagai salah satu alat politik yang menunggang agama.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia merasakan keadaan yang amat janggal telah berlaku dengan perlantikan ahli politik DAP di dalam YADIM. Matlamat DAP berdasarkan visi dan misi parti, “Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia”.

Sekularisma adalah konsep bahawa kerajaan harus wujud terasing daripada agama atau kepercayaan agama. Amat janggal apabila YADIM, bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri dan Menteri, yang berkhidmat di dalam kerajaan, diterajui oleh Ahli Lembaga Pengarah daripada parti yang mempunyai visi dan matlamat konsep sekularisma.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia juga menggesa menteri bertanggungjawab memberikan penjelasan dan memperbaiki keadaan ini sebelum menjadi lebih parah.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
30 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 30/1/2019