22
Tue, Oct
27 Artikel Baru

DAP hanya suka Islam ikut telunjuk

Nasional
Typography

SAYA tertarik untuk mengulas kenyataan Lim Kit Siang yang menyebut DAP mesra Islam Moderate. Sebenarnya tiada takrifan Islam itu dibahagikan kepada Moderate, Konservatif, Ortodoks atau apa jua kelas sekalipun.

Pembahagian takrifan sebegitu hanya untuk mengelirukan serta memecah-belahkan umat Islam. Ajaran Islam yang sebenar ialah seperti apa yang tertulis di dalam al-Quran dan Hadis, Qias, Ijtihad dan Ijmak para ulamak yang disepakati. Tidak pernah tertulis di dalam al-Quran mahupun Hadis atau dalam mana-mana kitab ulamak agung seperti Imam Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi bahawa Islam itu dibahagikan kepada Moderate, Konservatif atau mana-mana bahagian seperti yang digambarkan oleh Lim Kit Siang.

Pandangan sebegitu adalah karut dan menyalahi ajaran Islam itu sendiri. Maka jelas sebenarnya apa yang diperkatakan oleh Lim Kit Siang adalah orang Islam yang boleh mengikut telunjuk DAP serta agendanya. PAS berpengalaman dalam bekerjasama dengan DAP, setiap kali bekerjasama maka akhirnya DAP akan keluar dari kerjasama tersebut. Daripada pengalaman tersebut, apa yang PAS dapati ialah DAP adalah rakan yang tidak boleh dipercayai sama sekali.

Bermula dengan Barisan Alternatif di zaman Almarhum Ustaz Dato’ Fadhil Noor, akhirnya DAP yang keluar dari Barisan Alternatif pada 21hb September 2001. Ditubuhkan pula Pakatan Rakyat pada 1hb April 2008, akhirnya pada 16 Jun 2015, Lim Guang Eng sendiri mengisytiharkan Pakatan Rakyat dibubarkan dan keluar dari Pakatan Rakyat. Mengapa terjadi begitu? Kerana PAS tidak mampu ditundukkan DAP dan bersetuju dengan agendanya seperti DAP memaksa PAS melupakan agenda Negara Islam dan Hudud yang diperjuangkan PAS sejak penubuhannya.

Dengan parti mana sekalipun PAS berkerjasama, PAS tetap berpegang teguh kepada prinsip dan dasar parti. Islam tetap menjadi agenda utama serta dasar parti di samping memperkasakan Perlembagaan dan Undang–undang, menjaga kedudukan serta kedaulatan Raja-raja Melayu, memelihara hak dan keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera di samping menjaga hak kaum, bangsa dan agama lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Undang-undang.

Oleh kerana PAS tidak mampu ditundukkan DAP serta cukup mustahil untuk DAP berkerjasama dengan Umno, DAP terpaksa mencari jalan lain untuk mendapat sokongan orang Melayu beragama Islam. Maka setelah keluar beberapa pimpinan PAS yang kalah pemilihan ketika Muktamar PAS ke-61 lalu menubuhkan PAN, DAP berjaya menjadikan PAN parti yang membawa agenda Islam yang mengikut acuan DAP.

PAN boleh bekerjasama dengan DAP di dalam Pakatan Harapan kerana hakikatnya PAN mengikut telunjuk DAP. Isu Sarawak Report sebagai contoh, PAN lebih kuat teriaknya dari DAP walau Husam sendiri belum tampil ke SPRM bersama salinan bukti akaun Affin Bank PAS yang didakwanya dahulu. PAN juga senada dengan DAP dalam isu ICERD, Pilihanraya Tempatan atau PBT dan lantikan ahli DAP sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM adalah contoh jelas Islam Moderate acuan DAP.

Seperti kata Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 9hb Ogos 2014 ketika temu ramah bersama Astro Awani, walaupun Pakatan Rakyat “KO“, PAS tetap utuh. Jelasnya Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Nik Abdul Aziz kekal istiqamah bersama PAS hingga ke akhir hayat. Begitu juga Almarhum Ustaz Dato’ Fadhil Noor, kekal istiqamah bersama PAS hingga ke akhir hayat walau DAP keluar daripada Barisan Alternatif.

Yang Istiqamah Itu Indah, Moga Allah Pelihara Kita Hingga Ke Akhir Hayat.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 9/2/2019