23
Tue, Apr
24 Artikel Baru

Tamatkan segera amalan tikus baiki labu

Nasional
Typography

RAKYAT perlu memberi amaran kepada para politikus yang ibarat 'tikus membaiki labu' kerana mengenepikan kewibawaan dan kredibiliti. Ketika sama pula bersikap angkuh menegakkan benang basah menipu rakyat di siang hari dan tanpa segan silu memungkiri janji-janji.

Sewenangnya, taraf kelulusan akademik dipalsukan dan berbohong serta diremehkan. Sedangkan ia bukan sahaja mengenai kelayakan, tetapi paling besar berkait integriti mereka untuk berada di posisi penting yang menjadi taruhan kepercayaan masyarakat awam.

Kedudukan dijawat bukan singgahsana untuk lepak, tetapi mentadbir urus hal ehwal luar negeri, pertahanan negara, dakwah Islamiah, kewangan dan kerajaan negeri. Namun ketidakjujuran itu kemudiannya bersulam dengan penafian memutar belit realiti secara bongkak.

Pentingnya ilmu terhadap pemimpin adalah asas tidak perlu dibahaskan lagi. Pernah diungkap Saiyidina Ali K.W yang berpesan, jika mengingini dunia maka timbalah ilmu. Jika menginginkan akhirat timbalah ilmu. Bahkan jika inginkan kedua-duanya juga, timbalah ilmu.

Islam telah menuntun dengan pedoman yang jelas, antaranya peringatan dari hadis riwayat Bukhari:

"Jika sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran."

Menunjukkan soal jawatan mesti diberi kepada pemimpin yang berkelayakan:

"Barangsiapa memegang kuasa sesuatu urusan kaum Muslimin, lalu dia berikan tugas kepada seseorang sedangkan diketahuinya ada orang lain yang lebih baik, maka dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan kaum Muslimin".

Sebagaimana riwayat Al-Hakim.

Kerana itu hari ini rakyat tidak harus merasa pelik atas janji-janji manis yang dimungkiri. Kerana pemimpin PH lebih galak mengagih jawatan persis membahagi-bahagi harta rampasan perang. Reformasi institusi yang mereka laungkan telah berkecai sebelum ia dibina.

Rakyat berperanan mengekang semua ini dengan belajar dari sejarah keruntuhan banyak tamadun adalah akibat kezaliman, tidak jujur dan tidak berilmu, selain pengkhianatan. Oleh itu, jangan terus mempertaruhkan generasi kita kepada pemimpin seperti ini.

"Islam Memimpin"
"Terus Mara"

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 12/2/2019