22
Thu, Aug
33 Artikel Baru

Penceroboh licik, wujud banyak syak

Nasional
Typography

PENGGONDOLAN Bukit Banjaran Kledang, Ipoh jelas satu pencerobohan serius yang turut dilatari keraguan wujudnya unsur-unsur salah guna kuasa dan penyelewengan. Berdasarkan dokumen rasmi, prosedur dan maklum balas pihak berkaitan, terdapat kecurigaan besar yang menuntut siasatan segera pihak berkuasa ke atas kes ini.

Dengan keadaannya yang telah dinodai dan kedudukan geografi jelas dapat dilihat dari banyak kedudukan, reaksi tidak tahu oleh pihak berkaitan seolah-olah satu sandiwara. Mustahil dalam tempoh hampir 3 minggu dan perubahan rupa muka bumi yang terjadi ianya tidak dapat dikesan.

Sedangkan Hutan Simpan Kekal (HSK) Kledang Saiong dan HSK Bukit Kinta dipantau menggunakan teknologi sistem Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS). Apatah lagi didapati tiada perubahan status diwartakan terhadap tanah tersebut hingga kini.

Merujuk Laporan Ringkasan Eksekutif Draf Rancangan Tempatan Ipoh (DRTI) 2020 jelas menunjukkan HSK Klebang Saiong diletak sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap II. Di mana 99.23 peratus kawasan itu tetap dikekalkan disebalik rancangan dalam Blok Perancangan (BP) 7.

Malah, merujuk Piagam Pelanggan Jabatan Perhutanan Negeri Perak, keputusan tawaran pelaksanaan projek pembangunan hutan akan dimaklum tidak lewat empat bulan selepas tawaran dikeluarkan. Semakan dilakukan juga menunjukkan tiada sebarang keputusan berkaitan.

Di mana, bagi tahun 2018 dan sehingga kini tiada tender atau sebut harga ditawarkan. Aneh lagi apabila pihak syarikat berkaitan didakwa baharu diwujudkan lima bulan, tetapi telah menerima permit pembangunan melibatkan keluasan 10 hektar hutan itu.

Ini bermakna pencerobohan tersebut jelas sangat terancang dan juga menimbulkan syak adanya 'silap mata' politik melibatkan kepentingan pihak-pihak tertentu. Oleh itu, kami menyokong aduan dibuat kepada Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Siasatan wajib dilakukan terhadap pihak terbabit dan sebarang kesalahan undang-undang mesti diadili dan tindakan hukuman tanpa mengira pihak pelaku, subahat atau sekutu berkaitan. Kami juga mengingatkan pihak Kerajaan Negeri agar telus dalam isu ini.

"Islam Memimpin"
"Terus Mara"

USTAZ HAFEZ SABRI
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak - HARAKAHDAILY 12/2/2019