19
Thu, Sep
32 Artikel Baru

Hidup nelayan, pesawah kian dihimpit - Ust Yusni

Nasional
Typography

KEPALA BATAS: Adun Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah menjengah sendiri realiti kehidupan para petani, penternak dan nelayan apabila selalu mengadakan pertemuan beliau dengan golongan tersebut.

Selain ziarah kunjungan ke rumah, beliau juga ada kalanya meluangkan masa mengikuti rutin kerja harian golongan itu yang bertungkus-lumus sama ada di kebun, sawah mahupun laut.

Semalam, beliau turut hadir bagi mengikuti sendiri perjalanan Mesyuarat Agung Tahunan Nelayan Kuala Muda yang telah dilangsungkan di Kompleks Pasar Ikan Kuala Muda, Penaga, di sini.

Ustaz Yusni mencerap luahan para nelayan pada mesyuarat itu antaranya sebagaimana dinyatakan Pengerusi Nelayan Kuala Muda, Arifin Mat bahawa elaun sara hidup mereka kini hanya diberi RM200.

Pemberian itu menurutnya, dikurangkan bermula tahun ini berbanding RM300 sebulan daripada yang diberikan sebelum ini, sedangkan hasil pendapatan mereka di laut kian susut setiap musim.

Para nelayan turut menyatakan kesan daripada projek tambakan laut di Bagan Ajam hingga Telok Air Tawar telah mengganggu mata pencarian mereka yang sememangnya bergantung kepada laut.

Begitu juga dimaklumkan, Projek Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang akan dijalankan di situ bakal menimbulkan kesan pada aspek keselamatan para nelayan dan juga pada perolehan hasil.

Ustaz Yusni juga melihat para pesawah di kawasan itu bahkan seluruh negara turut terhimpit oleh perolehan hasil yang tetap meletakkan mereka digaris kemiskinan kehidupan.

Beliau menyaksikan sendiri titik peluh golongan itu untuk memastikan pengeluaran padi dan beras bagi keperluan negara mencukupi, tetapi hidup mereka sendiri berada dalam kedaifan.

Sempena musim tuaian padi ketika ini, Ustaz Yusni yang juga Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang telah bersama pesawah membawa mesin padi melakukan kerja penuaian di Kampung Pasir Gebu, di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengekalkan atau meningkatkan pemberian subsidi kepada golongan pesawah kerana kos barang pertanian dan sewaan jentera semakin mahal pada masa ini. - HARAKAHDAILY 13/2/2019  

IMG 20190213 WA0050

IMG 20190213 WA0051  

IMG 20190213 WA0053

IMG 20190213 WA0054

IMG 20190213 WA0055 

IMG 20190213 WA0057

IMG 20190213 WA0058