Sijil akademik palsu ahli politik PH

Nasional
Typography

PERKARA yang paling dikesalkan dalam episod berlarutan penipuan sijil dan kelayakan akademik pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan hari ini adalah dalihan demi dalihan yang dikeluarkan oleh mereka yang dituduh.

Justeru, bagi menjelaskan dan mematikan isu ini, pihak-pihak yang diheret dan terpalit mesti tampil dan memberi penjelasan.

Dalam pertikaian terhadap ijazah palsu YAB Menteri Besar Johor misalnya, memandangkan beliau memilih untuk membisu, maka Universiti Putra Malaysia (atau dahulunya Universiti Pertanian Malaysia) (UPM) harus tampil dan membuat penjelasan. Memandang UPM sendiri sudah berjanji kepada orang awam untuk membuat penjelasan, maka saya gesa penjelasan ini diberikan segera. Hanya penjelasan dari pihak UPM akan mematikan dan menentu sahkan isu ini.

Pada masa yang sama, saya ingin melahirkan rasa kesal yang mendalam dengan tindakan berdiam diri (inaction) oleh YB Menteri Pelajaran Malaysia, Dr. Maszlee Malik. Sebagai seorang yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan memegang portfolio berkaitan pendidikan dan pengajian tinggi, beliau mesti tampil dan memberikan kepimpinan dalam isu ini.

Beliau mesti menjadi suara yang mampu menjaga integriti dunia kesarjanaan. Tidak ada orang yang lebih layak dan berautoriti melainkan beliau dalam memberi penjelasan berhubung perkara ini.

Adalah sangat memalukan jika kepimpinan negara ini dipenuhi dengan mereka yang bukan sahaja tidak mempunyai integriti dan kejujuran berhubung kelayakan diri, malah mereka disokong dan dipertahankan pula secara tidak bertanggungjawab oleh pemimpin-pemimpin PH.

Perkara ini harus berhenti segera. Saya gesa UPM dan Menteri Pelajaran untuk membuat penjelasan.

DATO’ SERI MOHD KHALID NORDIN
Naib Presiden Umno – HARAKAHDAILY 14/2/2019