17
Sat, Aug
24 Artikel Baru

Balak: DAP dalang ‘teater’ baharu di Perak?

Nasional
Typography

KONTROVERSI yang membangkitkan isu pencerobohan di Hutan Simpan Kledang Saiong sedang membuka pekung mengenai sikap sebenar parti-parti komponen PH dan ‘penyokong’ bersekutu mereka. Selama ini jika isu berkaitan pembalakan dan pengurusan hutan berlaku di negeri Kelantan, segera muncul individu dan NGO yang bangkit atas tema untuk mempertahan dan menyelamatkan alam sekitar. Malah, sekalian ahli politik daripada PAN dan DAP sanggup berkampung di Gua Musang berkali-kali sepanjang dua tahun lalu demi memimpin perjuangan tersebut.

Tetapi ketika isu di Ipoh, Perak ini telahpun disahkan pengakuan berserta aduan berkaitan, hingga kini pihak tersebut seakan tuli tanpa reaksi. Malah Exco Kerajaan Negeri daripada PAN dan DAP iaitu Asmuni Awi (Adun Manjoi) dan Paul Yong Choo Kiong (Adun Tronoh) rupanya terlibat ‘bersekongkol’ bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu meluluskan permit tersebut. Menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Sumber Hasil Hutan Negeri Perak pada 21 November tahun lalu, seluas 400 hektar diluluskan sebagai permit projek pembangunan ladang hutan.

Mengejutkan apabila kelulusan melibatkan Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta itu diberikan untuk tempoh 50 tahun kepada syarikat NJ Development Sdn Bhd yang baharu mencecah usia 4 bulan. Syarikat ini yang didakwa bermodalkan RM2 ditubuhkan pada 26 Julai 2018 dan diakui sendiri oleh Menteri Besar menerima kelulusan tersebut tanpa tender terbuka. Sedangkan konsep transparensi ‘tender terbuka’ ini begitu vokal diperjuangkan PH, terutamanya DAP sebagaimana slogan C.A.T yang telah 11 tahun dimasyhurkan di Pulau Pinang.

Ironinya apabila Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong daripada DAP membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadu tuduhan ‘salah laku’ Menteri Besar dalam kelulusan tersebut. Ia memeranjatkan, namun tidak pelik sekiranya diamati naratif semua ini dari kaca mata politik. Ia adalah ‘plot drama’ yang sedang dipentaskan apabila masing-masing cuba memenuhi motif dan nafsu politik sendiri. Hakikatnya ialah hipokrit dan tembelang telah terburai, sedang mereka tidak segan silu lagi untuk bersengketa terbuka.

Mereka menggadai prinsip integriti dan memungkiri janji, serta paling jelik sedang menikam untuk menjatuhkan kedudukan antara satu sama lain. Tidak mustahil DAP berkomplot dengan PAN yang ditaja dan dibelanya selama ini untuk membina perangkap terhadap Menteri Besar, lalu bersedia juga mengorbankan rakan sendiri. Apatah lagi desas-desus rancangan menjatuhkan Ahmad Faizal bukan lagi baharu, termasuk kelayakan akademik Paul Yong juga dipanaskan beberapa minggu lalu. Rakyat Perak jangan lupa haloba DAP di negeri itu dalam sejarah politik sedekad ini.

Namun yang nyata, daripada semua pertembungan dan percaturan politik murahan ini, akhirnya rakyat juga yang menerima kerugian. Kerana hasil sumber mahsul dari pembalakan itu tidak masuk ke kantung kewangan negeri, tetapi lebih kepada kroni. Lebih malang juga, alam semulajadi menjadi mangsa dan cagaran apabila dinoda dirakusi sedemikian rupa. Sedangkan ‘harapan’ rakyat di era Malaysia Baharu adalah ingin melihat perubahan ke arah kehidupan yang mensejahterakan serta menjamin masa depan kepada lebih baik, membahagiakan serta adil kepada semua.

“Islam Memimpin”
“Terus Mara”

NAZMAN CHE IBERAHIM
Pengerusi
Lajnah Alam Sekitar
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 15/2/2019