21
Fri, Jun
53 Artikel Baru

BERBAKI kurang dua hari lagi, Muktamar Tahunan PAS kali ke-65 akan berlangsung di Kuantan, Pahang. Bahangnya kurang terasa walaupun tahun ini adalah tahun pemilihan barisan kepimpinan sesi 2019/2021, ini berkemungkinan daripada isu-isu panas politik yang sedang menaufan negara ini. Alam maya sedang menggelegak dengan isu "kunyit dan lengkuas" politisi yang memualkan, rakyat bosan dan kecewa dengan kerajaan PH yang gagal merealisasikan tawaran manifesto sehingga bertindan tindih derita rakyat.

Insya-Allah, muktamar berlangsung dengan damai dan harmoni walaupun adanya pemilihan kepimpinan jamaah, bahtera PAS yang menampung kepelbagaian ahli ini akan memilih pemimpin, empat calon Naib Presiden menawarkan diri untuk tiga kerusi Naib Presiden, manakala 29 calon AJK PAS Pusat bertanding untuk 18 kerusi AJK Pusat. Pengerusi tetap menang tanpa bertanding, Cikgu Husin Ismail. Anak Terengganu yang lama bergulat di medan kebajikan dan dakwah sehingga benua Afrika, beliau juga pengasas Jabatan Amal Malaysia di zaman pemudanya. Timbalan Pengerusi tetap juga menang tanpa bertanding, Ustaz Kamal Saari yang juga tokoh pendidikan dan dakwah yang piawai.

Selain calon yang juga penyandang jawatan, muktamar pada kali ini membariskan calon-calon baru dan tokoh baru yang memancing perhatian perwakilan dan pemerhati. Ustaz Khalil Abdul Hadi, mantan Ketua Dewan Pemuda yang mencuba nasib kali ini. Anak butir Presiden PAS ini adalah Adun Batu Buruk yang mendapat pendidikan di Pakistan, Yaman, United Kingdom dan sedang menyiapkan ijazah kedoktoran. Ustaz Yusni Mat Piah, anak Memali yang kini menggalang jawatan Adun Penaga di Pulau Pinang. Mantan Ketua Pemuda Pulau Pinang ini mendapat pendidikan di Pakistan dan Mesir, seorang aktivis bantuan kemanusiaan yang aktif didalam dan luar negara bersama wadah Muslim Care Malaysia dan YAM.

Dr Mohd Mazri Yahya, anak Johor yang merupakan doktor pakar perubatan antara calon berlatarbelakang profesional. Beliau memimpin Badan Perhubungan PAS Johor beberapa sesi. Siti Zailah Yusuf, Ahli Parlimen Rantau Panjang adalah mantan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat. Seorang tokoh muslimah yang semenjak muda bergulat di medan jamaah. Alumni UiTM dan juga mendapat pendidikan pondok, wanita besi ini terkenal kerana reputasinya membantu rakyat di Kelantan.

Dr Ahmad Yunus Hairi, Adun Sijangkang Selangor dan wakil tunggal PAS dalam Dun Selangor. Beliau adalah aktivis misi bantuan kemanusiaan di banyak negara serta mantan Exco Agama Kerajaan Selangor pada sesi lepas. Ahli Parlimen Pendang Kedah, Haji Awang Solahudin Hashim adalah antara muka baru dalam pemilihan kali ini. Anggota legislatif yang aktif mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen dengan latarbelakang pendidikan Perakaunan yang piawai. Ustaz Ahmad Marzuk Shaary, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa antara calon baru sesi ini. Beliau mendapat pendidikan tinggi di Jordan dan juga MA daripada Universiti Sains Malaysia. Mantan Ahli Parlimen Bachok ini juga bekas pimpinan pemuda Kelantan.

Dr Fadzli Hassan bekas pensyarah UIAM lahir daripada rahim tarbiah PAS semenjak remaja dan mendapat doktorat daripada Universiti Birmingham United Kingdom dalam bidang undang-undang Perlembagaan. Dr Khairuddin at-Takiri pula bekas pensyarah UKM yang mendapat ijazah MA daripada Universiti Jordan serta mempunyai doktorat daripada UKM.

Dr Zuhdi Marzuki mantan Timbalan Presiden GAMIS, tokoh muda radikal di zaman kampus yang menjadi dalang bantahan konsert Sheila Majid. Beliau pelajar pintar yang diasuh semenjak remaja sebagai pimpinan PAS. Mendapat doktorat daripada Universiti of Wales, UK. Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi, Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah pula merupakan anak kepada tokoh ilmuwan Kedah. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Syariah Undang-Undang daripada UKM, dan MA dalam Undang-Undang Perbandingan di UIAM. Manakala, mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah ini berdoktorat Pengajian Islam di UKM. Haji Razman Zakaria, bekas Pengarah Kastam mempunyai MA dalam bidang pentadbiran awam daripada UM.

Ustaz Salehen Mukhyi, mantan Exco kerajaan Selangor adalah tokoh gerakan mahasiswa di zaman mudanya. Bergraduan daripada UKM, seterusnya ke kampus Jordan dan UM. Ustaz Dato' Nasuruddin Daud mencicip ilmu di Universiti al-Azhar merupakan Exco Kerajaan Kelantan yang dijoloki sebagai "Singa PAS". Tokoh agama ini juga adalah pemimpin pemuda di zamannya.

Dr Rosni Adam pengamal perubatan muslimah bergraduan daripada Universiti Malaya. Anak Melaka ini mantan aktivitis pelajar di zaman kampus seterusnya terjun aktif bersama Dewan Muslimat. Beliau juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia. Dr Halimah Ali dilahirkan di Marudi, Sarawak, mantan Ketua Urusan Muslimat Persatuan Mahasiswa Islam Tasmania, mendapat pendidikan di Elizabeth Matriculation College, Hobart Tasmania, seterusnya memperolehi Ijazah Perubatan daripada Universiti Tasmania. Mantan Exco Selangor dan mantan Adun Selat Klang ini juga mempunyai Diploma Tasawwur Islam ILHAM.

Ustaz Mokhtar Senik mendapat pendidikan tinggi di Universiti Pakistan dan juga di Makkah. Beliau juga merupakan pengasas kepada Kompleks Pendidikan An-Nur di Kuantan, Pahang. Muhtar Suhaili As-Sarawaki merupakan anak Sarawak yang bertugas sebagai jurutera kanan di sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa dan berpengalaman bertugas di beberapa tempat dalam dan luar negara. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatroniks dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Sarjana Master Teknologi Petroleum dari Curtin University Australia.

Ustaz Misbah Munir Masduki, mantan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan juga aktivis Yayasan Amal Malaysia merupakan lulusan Universiti Malaya untuk Ijazah Pertama. Mendapat MA (Sains Politik) daripada UKM. Calon PhD ini juga ialah Mudir Pusat Dakwah Serantau yang aktif mencetak kader-kader dakwah. Dr Azman Ibrahim, anak muda kelahiran Besut, Terengganu pula mendapat pendidikan di Matrikulasi Universiti Malaya. Mendapat Ijazah Pergigian di Universiti Baghdad, Iraq, seterusnya berkhidmat dengan hospital kerajaan sebelum mempunyai kliniknya sendiri di Kubang Kerian, Kelantan.

Dr Najihatussalehah Ahmad, merupakan AJK Dewan Muslimat PAS Pusat yang aktif. Beliau bergraduat daripada Universiti Malaya dalam bidang Perubatan dan aktif dengan gerakan mahasiswa Islam semenjak di alam kampus. Kamaruzaman Mohamad, mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ialah penggerak utama bantahan awam di negara ini. Beliau memiliki ijazah Sains Pendidikan daripada kampus UPM serta Ijazah Sarjana daripada Universiti yang sama dalam bidang Pengurusan Teknologi Maklumat. Usahawan berjaya ini juga adalah calon PhD di sebuah universiti tempatan.

Ustaz Abdullah Hussin, bekas ahli legislatif daripada Johor ini merupakan tokoh pendidikan Islam di negeri tembuni Umno ditanam. Mendapat pendidikan di Universiti al Azhar Mesir, pulang ke tanah air menjadi pengasas pusat pendidikan Islam. Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Parlimen Bachok yang juga mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia ialah satu-satunya anak almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang terlibat secara aktif dalam PAS diperingkat nasional. "Anak butir" tok guru ini mendapat pendidikan tinggi di Deoband India, seterusnya ke Universiti al-Azhar Mesir.

Naib-Naib Presiden pula mempunyai latarbelakang pendidikan yang piawai serta penglibatan sosiopolitik yang mapan semenjak remaja. Ustaz Idris Ahmad bekas pensyarah UiTM, calon doktorat universiti tempatan dan johan pidato kebangsaan semasa belajar di KIK. Beliau memimpin pelajar di UKM di zaman kampus. Ustaz Idris calon paling popular dan pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Gantang pada sesi lepas. Suami kepada seorang isteri ini memimpin Lujnah Tarbiah Dan Perkaderan PAS, seorang jurubina amal tarbawi yang komited semenjak remaja.

Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah, bekas Ketua Pelajar Maahad Muhammadi Kelantan. Anak tokoh PAS, Ustaz Nik Abdullah Arshad, beliau mempunyai M(Phil) daripada Universiti Birmingham UK. Nik Amar adalah mantan pensyarah UIAM. Dato’ Iskandar Samad adalah alumni MCKK serta belajar dalam bidang senibina daripada Universiti Humberside UK. Exco kerajaan Selangor ini terasuh cermat dengan sistem tajnid PAS.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu sebagai calon Naib Presiden. Mantan Setpol Presiden PAS ini ialah pakar aeroangkasa Malaysia, mendapat pendidikan tinggi di UKM dan berdoktorat daripada Universiti Leeds United Kingdom.

Memilih kepimpinan yang kompeten, berdaya saing, mampu mendepani cabaran dan krisis dengan pemikiran analitikal adalah tanggungjawab perwakilan. Setiap calon mempunyai pakej kepimpinan dan teruji di medan dakwah dan siasah, sebahagian mereka semenjak zaman muda terlibat aktif di pelbagai sektor kepimpinan jamaah. Jamaah Islam ini dengan sejuta ahli dan dua juta penyokong memerlukan pasukan qiadah yang hebat dan qawwiy, dengan nakhoda jamaah yang senior dalam gerakan Islam antarabangsa, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Selamat memilih dan selamat bermuktamar! – HARAKAHDAILY 19/6/2019

Penulis ialah AJK PAS Pusat, aktivis bantuan kemanusiaan tanpa sempadan, PhD UKM.

1.0 MUQADDIMAH

Setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah ‘Azza Wajalla, dengan Rahmat dan limpah kurnia-Nya maka kita mewarisi dan dianugerahkan Iman dan Islam. Dengannya kehidupan kita dipandu kearah jalan yang benar dan lurus, jalan yang ditempuhi oleh para Nabi dan Rasul, serta para solihin dan siddiqiin sepanjang zaman. Telah berlalu sunnatullah kepada mereka apabila ujian demi ujian merintangi jalan perjuangan, namun dengan kekuatan iman dan pertolongan dari Allah, mereka tempuhi semua dengan penuh keinsafan sehingga Allah redha keatas mereka. Demikianlah Allah tinggalkan lakaran sejarah termaktub didalam alQuran dan Sunnah Nabi agar menjadi suri teladan bagi kita yang sedang menelusuri jalan ini.

Kita bermuktamar pada kali ini sejurus selepas kita menjalani ibadah puasa sebulan dibulan Ramadhan dan menyambut hari kemenangan setelah tibanya Syawal. Sudah tentu tarbiyah Ramadhan masih segar membekas dalam jiwa kita dan kita berharap dan berdoa agar Allah memberi kekuatan dan kesabaran kepada kita untuk terus istiqamah dalam ketaatan dalam 11 bulan yang akan datang. Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia Sesi 2017-2019, saya mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idul Fitri, Kullu ‘Aamin Wa Antum Bi Khair, Taqabbalallaahu Minna Wa Minkum.

2.0 Menyoroti nasib Islam di persada antarabangsa

Sidang perwakilan & pemerhati sekalian,

Situasi geopolitik semasa memperlihat kepada kita akan kesengsaraan sebahagian daripada umat Islam kerana mempertahankan Islam.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“ Akan tiba suatu masa pada manusia, dimana orang yang bersabar di antara mereka dalam memegang agamanya, ibarat orang yang menggenggam bara api” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi)

Tatkala kita bersama keluarga bergembira menyambut Syawal, jangan sesekali kita melupakan keadaan saudara seaqidah kita di Gaza, Palestin. Di ambang Ramadhan yang lalu, Gaza dihujani dengan peluru dan roket yang menyaksikan sekurang-kurangnya 25 rakyatnya terkorban termasuk bayi yang baru dilahirkan. Dikala kita berbuka puasa dengan pelbagai juadah dan hidangan, meraka berbuka puasa diatas puing-puing runtuhan rumah dan beratapkan langit menikmati juadah berbuka apa yang ada. Pastinya suasana syawal tidak semeriah dan seceria kita namun, keberadaan mereka dalam medan perjuangan sebenar berdepan dengan serangan pihak Zionist saban waktu pasti memberikan nilai mujahadah yang sangat tinggi demi mempertahan bumi Palestin sebagai tanah suci ketiga umat Islam.

Sidang Hadirin sekalian,

Masih berbekas dihati kita kepiluan menyaksikan pembunuhan umat Islam di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu yang mengorbankan 50 nyawa dan salah seorang daripada mereka merupakan anakmuda berasal dari Malaysia. Serangan bermotifkan kebencian melampau kepada Islam ini mengejutkan seluruh dunia. Dewan Pemuda PAS Malaysia berkesempatan menghantar wakil bertemu dengan Encik Mohd Tarmizi Shuib ayah adik Muhammad Haziq salah seorang syuhada’ di Christchurch bagi menyampaikan ucapan takziah bagi pihak DPPM. Di kesempatan ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada kerajaan New Zealand atas kecemerlangan mereka mengendalikan krisis ini dan atas sokongan serta dokongan kepada masyarakat Muslim di New Zealand. Semoga ia menjadi contoh kepada kerajaan lain di dunia.

Berbeza pula situasi saudara kita di sempadan negara China. Penindas demi penindasan sedang berlaku terhadap etnik minoriti Islam Uighur yang menghuni Wilayah Xinjiang apabila hak mereka mengamalkan ajaran Islam dinafikan. Bukan sahaja rumah ibadah umat Islam diruntuhkan malah mereka dipaksa meninggalkan amalan harian sebagai umat Islam seperti berpuasa dan bersolat.

Isu umat Islam di negara bergolak arab semakin meruncing. Pasca ‘Arab Spring’ memperlihat negara umat Islam di tanah arab berdepan dengan pelbagai isu sama ada kestabilan politik dan kemanusiaan. Lihat sahaja apa yang berlaku di Syria yang masih dalam kemelut perang saudara yang berpanjangan. Yaman juga masih dalam krisis politik diantara dua puak yang bertelagah yang memangsakan rakyat biasa sejak daripada tahun 2015. Di Libya pula masih belum mencapai kestabilan politik yang diharap-harapkan selepas era Gaddaffi apabila terdapat perebutan kuasa antara tiga kumpulan untuk memegang tampuk pemerintahan. Tidak cukup dengan ini, kumpulan Islamic State of Iraq & Syria (ISIS) pula wujud di tengah-tengah pergolakan umat Islam. Mereka memakai imej dan hujjah Islam untuk sewenang-wenangnya melakukan kekejaman dan pembunuhan. Dua kuasa besar di Timur Tengah iaitu Arab dan Iran sentiasa cuba memposisikan ‘supremacy’ dan pengaruh mereka sehingga menyemarakkan peperangan proxy di wilayah tersebut.

Di rantau Asia, isu umat Islam Rohingya masih lagi menemui jalan buntu dan tiada penyelesaian. Nasib 724,000 pelarian masih samar dan tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada negara serantau. Baru-baru ini negara jiran terdekat kita iaitu Brunei telah mengumumkan perlaksanaan Undang-undang Hudud yang berkuatkuasa April 2019. Berita ini menggemparkan dunia sehinggakan ada dikalangan tokoh dunia dan artis terkenal menyeru supaya produk Brunei diboikot. Saudara kita di Indonesia pula diuji dengan keraguan keputusan Pilihanraya Presiden (Pilpres) yang menyebabkan berlakunya tunjuk perasaan besar-besaran yang mengorbankan bebrapa nyawa.

Apa yang menghairankan kita, dimana suara Malaysia dalam isu-isu antarabangsa dan serantau yang melibatkan umat Islam ini? Dimanakah peranan Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)? Dimanakah pula suara Malaysia di dalam Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara(ASEAN)? Setakat ini respon kerajaan Malaysia terhadap isu melibatkan umat Islam tidak sepertimana yang diharapkan sebagai sebuah negara umat Islam. Kementerian Luar dilihat sangat lesu dalam membela nasib masyarakat Islam lain tetapi sangat ghairah untuk merektifikasi penjanjian-perjanjian antarabangsa yang cuba mengganggu gugat kedaulatan negara secara halus seperti Konvensyen Antarabangsa Menentang Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan penyertaan dalam Statut Rom.

Justeru saya menyeru Pemuda PAS sekalian serta masyarakat Malaysia supaya mengambil perhatian dan memahami geopolitik antarabangsa supaya kita sentiasa waspada dan menilai politik Malaysia dalam lensa politik antarabangsa.

3.0 Bagaimana pula nasib Islam di tanah air kita?

Pasca PRU14, kekecewaan demi kekecewaan dihadapi oleh rakyat Malaysia. Bukan sahaja janji manifesto tidak ditunaikan, malah lebih mendukacitakan terdapat usaha-usaha mengganggu gugat kesucian Islam dibumi ini secara terang-terangan. Saban hari penghinaan demi penghinaan dapat kita saksikan melalui media sosial terhadap Islam, hukum-hukum Islam, Nabi Muhammad dan institusi Islam. Mereka sedaya upaya menanamkan persepsi negatif terhadap Islam serta cuba memecahbelahkan umat Islam agar mereka dapat mengambil kesempatan. Ramadhan yang lalu, ada dikalangan mereka yang sangat lantang menentang Islam di dalam parlimen tetapi diberi peluang menceroboh institusi Islam dengan mengagihkan zakat kepada masyarakat Islam. Agenda ini sangat terancang dan melibatkan pertubuhan antarabangsa sebagai pendesak. Ini dapat dilihat melalui percubaan merektifikasi Konvensyen Antarabangsa Menentang Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom yang akhirnya membuka ruang kepada campurtangan antarabangsa dalam urusan negara kita.

Pada masa yang sama ancaman-ancaman kepada aqidah umat Islam semakin banyak. Keruntuhan akhlaq dan moral anak muda semakin menjadi-jadi. Budaya seks songsang semakin berleluasa. Ini disuburkan lagi dengan kewujudan ikon-ikon tempatan sama ada artis atau usahawan yang tanpa segan silu mempromosi budaya-budaya ini. Jati diri umat Islam semakin terhakis sehingga tiada sensitiviti terhadap kemaksiatan yang berlaku secara berleluasa. Mereka yang ditugaskan untuk menjaga agama Islam lebih prihatin dan beriya-iya mempertahan agama lain serta lebih suka berdiam-diri ketika agama Islam dihina.


Jelas kepada kita bahawa Islam diserang dari pelbagai sudut, iaitu dari sudut aqidah, akhlaq, sistem perundangan dan politik.

4.0 Isu anak muda Malaysia

Melihat khusus kepada anak muda, mereka menghadapi isu seputar kehidupan dan ketidaktentuan masa hadapan disamping isu yang disebutkan diatas. Isu kos sara hidup masih menjadi isu utama yang dihadapi oleh anak muda daripada peringkat mahasiswa yang sedang menimba ilmu sehingga kepada yang telah pemuda dan belia yang telah mendirikan rumahtangga. Peluang pekerjaan untuk mereka sangat terbatas kerana situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan. Pembangunan tenaga mahir anak muda melalui institusi pendidikan teknikal dan vokasional mengalami krisis kecelaruan dari sudut pengurusan dan sistem sokongan sehingga menyebabkan kualiti graduannya tidak menepati kehendak industri semasa apatah lagi dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 yang sudahpun bermula. Tiada halatuju jelas dalam pendidikan negara menyebabkan ketidakselarasan diantara akademik dan kehendak tenaga kerja semasa dalam membangun negara, akhirnya menyebabkan anak muda terumbang ambing dalam kehidupan mereka.

Sudah tentu situasi ini sangat merisaukan dan akan membawa kesan jangka panjang kepada generasi anak muda akan datang yang bakal mewarisi kepimpinan negara di pelbagai peringkat. Sesuatu perlu dilakukan.

5.0 Penguasaan politik dan ekonomi

Sidang hadirin sekalian,

PAS yang telah tertubuh sejak 24 November 1951 membawa misi yang sentiasa konsisten dalam arena politik Malaysia yang termaktub dalam Fasal 5 perlembagaan PAS. Semenjak itu PAS menyertai politik dan menyertai perjuangan bersama dengan parti lain mendapatkan kemerdekaan. PAS menyertai pilihanraya sejak PRU yang pertama pada tahun 1955 sehingga PRU14.

Dari sudut kerjasama politik, PAS pernah menyertai Parti Perikatan pada tahun 1973 dan menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan tujuan menjamin kestabilan politik negara pasca peristiwa 13 Mei 1969 sebelum dikeluarkan daripada perikatan tersebut pada tahun 1978 disebabkan krisis politik di Kelantan. Pada tahun 1989, PAS bersama Semangat 46 serta parti kecil lain membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) berjaya membetuk kerajaan di Kelantan pada tahun 1990. Pada tahun 1999 pula, PAS melalui Majlis Gerakan Keadilan Rakyat (GERAK) yang diterajui PAS kesan daripada krisis politik 1998 telah menubuhkan Barisan Alternatif (BA) bagi menghadapi pilihanraya 1999. Pada April 2008 PAS menjadi parti komponen kepada Pakatan Rakyat bagi mendepani PRU-12 dan PRU-13.

Sejarah politik PAS penuh warna warni serta melalui jalan yang penuh ranjau. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa PAS adalah parti politik di dalam Malaysia yang paling dinamik dan berani dalam memutuskan sesuatu berdasarkan prinsip. PAS pernah bersama UMNO dan pernah juga pernah berseteru dengan UMNO. PAS pernah berpatah arang berkerat rotan dengan DAP, PAS juga pernah bersahabat dengan DAP. PAS pernah berkawan dengan PKR dan PAS tidak ragu-ragu memutuskan hubungan dengan PKR. Dalam semua tindakan ini, ada ahli yang menerima dengan patuh dan taat, ada yang tidak bersetuju tetapi diam dalam redha dan ada yang membantah serta lari dari perjuangan. Namun apabila prinsip menjadi dasar perjalanan parti, kesan bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana ia milik Allah. Apa yang lebih penting setiap tindakan yang PAS lakukan sepanjang sejarah politiknya sama ada bertahalluf atau berta’awun disandarkan kepada prinsip utama yang digariskan didalam perlembagaan PAS iaitu demi mempertahan Islam. Dalam mencapai matlamat ini, PAS sentiasa menyedari bahawa penguasaan politik, ekonomi dan sosial sangat penting dan ia perlu di dokong oleh kesatuan dan kesepakatan yang erat tanpa mengira ideologi. Dengan penguasaan politik, ekonomi dan sosial ini akan menjadikan kita ummah yang mampu berdiri sendiri dan gagah dalam berdepan dengan ancaman luaran dan dalaman kepada agama Islam dan pemuda Islam.

Justeru, Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia pada kali ini mengangkat “Demi Islam” sebagai tema dengan hasrat yang besar supaya para pemuda kembali semula kepada prinsip teras perjuangan PAS “Demi Islam” yang akan menjadi panduan dalam setiap tindakan kita. Ia juga akan menjadi prinsip utama kepada kesepakatan yang telah dan akan diwujudkan pada masa hadapan. Sesiapa sahaja yang memahami dan menerima prinsip ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia terbuka untuk mengadakan kerjasama.

6.0 Kesatuan melangkaui politik 

Sidang Muktamirin sekalian,

Allah Ta'ala berfirman,

 

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. (QS Ali Imran:103)

Pasca PRU-14 menyaksikan penguasaan politik Islam semakin lemah. Islam diserang dari pelbagai sudut. Institusi Islam dihina. Anak muda hilang jati diri Islam. Sensitiviti umat terhadap isu-isu yang berkaitan dengan Islam sangat rendah. Kesempitan hidup kerana kos sara hidup yang tinggi. Maruah umat Islam dicabar saban hari. Situasi ini sangat perlu difahami oleh masyarakat agar mereka melihat segala isu yang berlaku dalam kerangka yang lebih besar dan luas. Persoalannya, adakah kesatuan politik mencukupi untuk memperkasa umat Islam di Malaysia?

Pada pandangan saya, kesatuan yang kita pelopori ini perlu melangkaui politik. Kesepakatan ini tidak hanya menjadi batu loncatan kepada agenda politik semata-mata, malah ia perlu pergi jauh dari itu. Kesepakatan dari sudut ekonomi dan aktiviti sosial juga perlu dimulakan kerana penguasaan ekonomi akan membentuk kekuatan material dan kewangan manakala penguasaan aktiviti sosial akan membangun kesedaran masyarakat untuk sama-sama bertanggungjawab memperjuang nasib mereka. Namun saya percaya kekuatan ekonomi umat Islam mesti dibangunkan secara serius sehingga ia menjadi kelebihan yang boleh kita manfaatkan dalam usaha membawa agenda politik dan kemasyarakatan. Kesepakatan ini perlu dilihat pada kerangka yang lebih besar iaitu pembinaan keupayaan dan kompetensi generasi anak muda Malaysia yang menjadikan agenda kekuatan ummah sebagai teras dalam melahirkan negara yang sejahtera.


Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan ini menyeru agar semua pihak dalam kesepakatan ini membuka ruang seluas-luasnya untuk belajar dan mengenali kekuatan dan kelemahan masing-masing agar kita saling tampung menampung dalam gerak kerja pada masa akan datang.

7.0  Prinsip-prinsip dalam kesepakatan

Sidang Muktamirin sekalian,

Saya ingin membawa beberapa prinsip yang perlu dipegang oleh kita dalam menjayakan kesepakatan dan kesatuan ini. Prinsip yang pertama adalah kesepakatan atas dasar menegakkan keadilan yang lebih komprehensif maknanya dalam Islam. Keadilan dalam Islam mempunyai makna yang lebih luas kerana ia bukan hanya bersifat kebendaan tetapi juga menyentuh perkara spiritual. Keadilan dalam Islam melangkaui bangsa dan agama serta memberi jaminan kepada yang bukan beragama Islam hak-hak mereka akan sentiasa terjaga.

Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap suatu kaum, mendorong kamu Untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan takwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al Maidah: Ayat 8)

Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS dan Dewan Pemuda PAS Malaysia meletakkan taqwa (God Conciousness) sebagai kayu ukur kepada kejayaan seseorang tanpa mengira latar belakang, kaum, bangsa dan dari mana mereka datang. Selama berabad lamanya Islam memerintah di 2/3 dunia, hak masyarakat bukan Islam yang berbilang bangsa dan budaya sentiasa terjaga dan kehidupan masyarakat dalam keadaan sejahtera. Malah mereka secara sukarela menjadi sebahagian daripada masyarakat serta tentera yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi melindungi negara mereka.

Prinsip kedua yang sangat berkaitan dengan prinsip pertama diatas adalah kita mesti memahami bahawa kesepakatan dan perpaduan ini tidak disandarkan kepada perkauman. Kita perlu membuktikan kepada masyarakat Malaysia bahawa kesepakatan ini menjadikan perlembagaan sebagai dasar yang merupakan kontrak social yang selama ini disepakati bersama oleh para pejuang kemerdekaan yang terdiri dari berbilang kaum. Kesepakatan ini adalah talian hayat masyarakat dalam menyelamatkan Malaysia daripada kerakusan ahli politik yang bukan sahaja tidak berintegriti malah tidak kompeten dalam mentadbir negara.

Prinsip ketiga adalah penyatuan ini mesti memfokuskan agenda penyelesaian isu-isu rakyat tanpa mengira ideologi. Telah dihuraikan sebelum ini isu-isu yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia dan ia semakin meruncing. Dewan Pemuda PAS Malaysia dan PAS sebagai sebuah organisasi selama ini bukan hanya mengambil bahagian dalam pilihanraya sebagai sebuah parti politik, namun kami juga bergerak sebagai badan kebajikan dan badan pendidikan yang membangunkan masyarakat dan anak bangsa. Ini dapat dilihat daripada peranan Jabatan AMAL Malaysia, kolej universiti, sekolah-sekolah, kelab sukan dan jabatan profesional yang berada dibawah naungan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Prinsip keempat dan terakhir adalah keikhlasan. Setiap pihak dalam gabungan ini seharusnya berusaha memahami dasar dan perjuangan rakan yang lain namun sentiasa cuba mencari titik persamaan. Sudah tentu akan ada prinsip atau dasar perjuangan parti yang tidak boleh diubah tetapi masing-masing perlu menghormati pendirian tersebut. Pasti ada ruang untuk menjalinkan kerjasama melangkaui politik. Pihak musuh akan cuba melaga-lagakan, tapi sekiranya kita memahami antara satu sama lain dan bertoleransi saya percaya kita boleh mengatasinya.


Dewan Pemuda PAS Malaysia pasti jika prinsip-prinsip diatas dapat di cernakan sebaiknya, insyaAllah kita akan membentuk kesepakatan yang utuh dan mampu memenangi hati rakyat seterusnya mengambilalih Putrajaya pada PRU yang akan datang. Bagi DPPM, kesepakatan ini membawa sinar baru kepada Malaysia. DPPM memberi jaminan bahawa sama ada kami berada di luar atau didalam kerajaan, perjuangan kebenaran akan tetap kami dokong. DPPM akan menjadi platform utama anak muda menyalurkan suara, pandangan dan kritikan agar mereka juga boleh menyumbang dalam pembangunan negara. DPPM juga berikrar akan memastikan bawaha polisi-polisi yang sedia ada dan yang akan diperkenalkan akan ditambahbaik dengan menerapkan prinsip dan dasar Islam yang lebih adil. DPPM juga akan menjadi pemangkin dalam memupuk semangat patriotisma dikalangan masyarakat khususnya anak muda melalui aktiviti dan program-program yang kami jalankan.

Sidang hadirin sekalian,

Tema “Demi Islam” diangkat bagi memberi penekanan semula akan tujuan kewujudan DPPM serta menjadi kata panduan kepada tindakan pemuda PAS di semua peringkat. “Demi Islam “ seharusnya membawa pemuda memanfaatkan segala yang ada pada diri mereka untuk Islam yang syumul, tidak hanya terkongkong dalam ruang lingkup politik semata.

Sebagai pemuda PAS, kita sedia mengetahui bahawa perjuangan PAS bertunjangkan kepada 3 paksi utama iaitu tarbiyah (pembinaan tenaga kerja parti yang kompeten), da’wah (memberi kesedaran Islam kepada masyarakat) dan siyasah (penglibatan dalam politik untuk membawa suara Islam). Ketiga-tiga paksi ini mesti berjalan selari dan berterusan tanpa salah satunya ketinggalan ke belakang. Dalam kerangka ini, DPPM menggariskan beberapa gagasan untuk tindakan kepimpinan pemuda di semua peringkat dalam dalam usaha menjadikan pemuda PAS sebagai sayap yang lebih cemerlang.

1. Memperkasa tarbiyah melalui pembahbaikan kaedah penyampaian kandungan yang selari dengan gaya generasi baru. Saban tahun kita berbicara berkenaan tarbiyah sama ada dari sudut kandungan, sistem, naqib dan keperluan ahli. Namun, sudah tiba masanya kita melihat tarbiyah dalam kerangka baru khususnya dari sudut keberkesanan penyampaian dan pembinaan jati diri Islam pemuda PAS dalam persediaan memimpin negara dan masyarakat.

2. Melebar luas da’wah secara lebih professional dan fokus. Usaha da’wah perlu dipergiat bersesuaian dengan kehendak semasa yang mendesak agar Islam ditampilkan dalam bentuk yang asli dan berfakta bagi menangkis persepsi negative dan salah tanggapan/tafsiran kepada Islam. Untuk itu DPPM akan memperbanyak latihan kompetensi da’wah melalui kerjasama kita dengan agensi-agensi da’wah di Malaysia.

3. Memperkemas tadbir urus institusi pendidikan dibawah DPPM seperti PASTI, SMITI, SRITI agar lebih professional dan telus. Institusi pendidikan merupakan nadi kepada pembinaan generasi muda akan datang. Ia juga menjadi wadah perhubungan antara masyarakat dan PAS. Justeru, tumpuan yang lebih khusus diperlukan bagi meningkatkan imej dan reputasi institusi pendidikan ini agar ia menjadi pilihan utama masyarakat.

4. Memperluas capaian kepada masyarakat dalam usaha merakyatkan DPPM dan PAS dan menarik anak muda kepada Islam serta bersama dengan PAS. Kelab-kelab dan agensi yang sedia ada perlu ditambahbaik dari sudut sistem perkaderan dan pentarbiyahan. Penubuhan kelab-kelab baru juga perlu diperbanyak agar capaian kita lebih meluas.

5. Menjiwai Budaya Politik Matang & Sejahtera. Saya melihat beberapa salah tanggapan kepada BPMS sama ada dikalangan ahli atau masyarakat. BPMS bukannya slogan untuk berhadapan pilihanraya. BPMS juga bukan hanya bersifat lembut dan lunak dalam tindakan. Justeru, progam dan aktiviti khusus perlu dilaksanakan untuk pembudayaan BPMS dalam gerak kerja. Pada masa yang sama, BPMS hendaklah menjadi kriteria utama dalam program dan aktiviti yang hendak dijalankan oleh pemuda.

9.0 Membugar semangat perjuangan

Menyingkap lembaran sejarah, Pahang merupakan tanah yang subur dengan nilai perjuangan khususnya dalam menentang penjajahan. Nama-nama seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau merupakan nama yang sering disebut apabila berbicara berkenaan perjuangan penentang penjajah di Pahang sekitar tahun 1891-1894. Dibawah kepimpinan mereka, tenaga rakyat sama ada tua atau muda digerakkan bagi mempertahan kedaulatan tanah air tercinta. Biarpun tidak ramai anak watan yang menyahut seruan perjuangan mereka, agenda perjuangan tetap diteruskan tanpa rasa takut dan gentar. To Ku Paloh sebagai ulama’ tempatan pula berperanan meniup semangat jihad mempertahanan agama dan tanah air. Ketika mana mereka merasa hampir putus asa, suntikan ruh Islam menyemarakkan semula obor perjuangan. Ini menunjukkan bahawa dalam konteks perjuangan dan penentangan penjajah di Tanah Melayu, Islam menjadi teras perjuangan.

Ironinya, pihak penjajah didokongi oleh para pembesar dan penduduk tempatan. Mereka dipergunakan oleh penjajah untuk mematahkan perjuangan bangsa mereka sendiri. Mereka rela diperalat demi mendapat imbuhan dan kesenangan sementara tanpa memikirkan masa hadapan kedaulatan tanah air dan keutuhan Islam dibawah penjajah. Kekuasaan dan hak keistimewaan penduduk asal yang tergadai sedikit demi sedikit diabaikan asalkan kehidupan mereka terjamin.

Watak-watak pendokong perjuangan dan pengkhianatan ini bukan sahaja terlihat dalam paparan sejarah, ia juga termaktub dalam Al-Quran sebagai panduan manusia sepanjang zaman. Diantara mesej utama yang Allah bawakan dalam Al Quran dan Sirah Nabawiyah dalam mendepani cabaran menentang kejahatan adalah i) pengukuhan jati diri Islam yang menjadikan Islam sebagai asas kehidupan dan nilai perjuangan dan ii) kesatuan berdasarkan aqidah dalam membentuk kekuatan jamaah.

Maka pemilihan Pahang sebagai lokasi perhimpunan perwakilan muktamar dan Muktamar Tahunan dewan-dewan sangat bertepatan dalam konteks perjuangan PAS dan perlu menjadi titik mula kebangkitan kesatuan umat menuju kegemilangan bertunjangkan Islam.

10.0 Penutup

Untuk itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Badan Perhubungan PAS Pahang atas kesudian PAS Negeri Pahang menjadi tuan rumah kepada Muktamar Tahunan

PAS dan Muktamar Tahunan Dewan-dewan tahun ini. Dengan sokongan dan dokongan padu daripada mereka khususnya daripada Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang maka Muktamar Tahunan kita berjalan sepertimana hari ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para sekretariat dan sukarelawan yang bertungkus lumus dalam menjayakan Muktamar kita pada tahun ini. Tidak lupa kepada para perwakilan dan pemerhati yang datang dari seluruh pelusuk negara, saya ucapkan selamat bermuktamar. Semoga muktamar kali ini menatijahkan sesuatu yang terbaik buat Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam mendepani cabaran dan mehnah dimasa hadapn.

Jazakallahu Khairan Jaza’.

Akhir kata, “Demi Islam” ayuh pemuda PAS bangkit memimpin perpaduan. Seeru ‘ala barokatillah.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Sesi 2017-2019 - HARAKAHDAILY 19/6/2019


Screenshot 20190619 1230192

 

SERANGAN pimpinan dan ahli parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) terhadap PAS terutamanya semasa Muktamar PAS yang sedang berlangsung sekarang adalah untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap skandal terbesar PH semenjak memenangi pilihan raya dan menjadi kerajaan.

Isu video hanyir yang hangat diperkatakan sekarang menjadi bualan utama rakyat jelata. Isu tersebut juga menjadi perdebatan dan percakaran sesama pimpinan utama PH sekarang yang dapat dilihat jelas di media massa utama negara.

Soal betul atau tidak kita serahkan kepada kebijaksanana pihak berkuasa seperti PDRM untuk menyiasat dan selagi tidak terbukti bersalah, kita usah pula menghukum kerana ia salah di sisi agama Islam. Namun isu tersebut membuktikan sebenarnya membuktikan PH sedang porak peranda.

Ia sebenarnya adalah petunjuk jelas kepada rakyat jelata bahawa sebenarnya PH sebenar tidak mempunyai persefahaman dan kerjasama yang kukuh di antara mereka. Mereka sebenarnya membawa matlamat, agenda dan ideologi masing-masing, tidak seperti apa yang dipaparkan selama ini.

Isu ini juga memperlihatkan mereka sudah mula menyerang sesama sendiri, menyalahkan sesama sendiri malah sudah jelas mereka hanya mahu berkuasa, memenuhi agenda mereka tanpa memperdulikan nasib rakyat sepertimana janji mereka dahulu.

Jika mereka benar Kerajaan PH mahu membela nasib rakyat seperti yang mereka dakwa, adakah mereka menepati janji mereka semasa PRU dahulu? Kos sara hidup makin meningkat, harga barangan dan petrol masih tidak turun, PTPTN tetap ada, AES semakin banyak, keadaan ekonomi negara makin suram malah banyak janji mereka yang tidak tertunai.

Kes Allahyarham Mohammad Adib masih belum lagi selesai, timbul pula isu video hanyir tersebar di seluruh pelosok negara. Satu persatu kelemahan Kerajaan PH dan skandal terpacul untuk tatapan rakyat. Untuk menutup kelemahan mereka dan skandal terbesar PH yang menjadi bualan sekarang, pimpinan dan ahli PH menyerang PAS. Jika difikirkan, ia lebih hebat dari Maharaja Lawak Mega.

Terlalu banyak kelemahan Kerajaan PH terhidang untuk tatapan umum sekarang. Rakyat semakin hari semakin sudah tidak percaya terhadap Kerajaan PH. Boleh kita lihat di mana-mana pun sekarang, ia menjadi bualan rakyat terutamanya di media sosial. Jika begini keadaanya, lebih elok bubar saja kerajaan dan adakan pilihan raya umum.

Rakyat sudah muak dan bosan, semakin hari semakin tidak ada langsung perubahan yang dijanjikan. Apa yang rakyat dapat? Rakyat tersadai dengan Kerajaan PH yang sudah hampir di ambang kehancuran dan di ambang hujung nyawanya. Mahukah kita memperjudikan masa depan kita?

Tepuk Dada, Tanya Selera.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 16/6/2019

SAYA melihat ramai pemimpin dan ahli dari parti gabungan Pakatan Harapan (PH) yang membuat komen tentang Muktamar PAS yang bermula semalam di Pahang.

Muktamar tahun ini bermula dengan Muktamar Muslimat dan kemuncaknya adalah muktamar utama yang bermula Jumaat ini.

Pada pandangan saya, serangan-serangan terhadap PAS terutamanya ke atas ucapan-ucapan pemimpin PAS timbul akibat rasa tidak selamat atau ‘insecure’ mereka.

Ia dilakukan kerana mereka merasakan PAS adalah ancaman kepada hasrat mereka untuk terus kekal sebagai kerajaan.

Oleh itu, walaupun mereka menyerang namun tindakan mereka adalah untuk mempertahankan diri atau bersifat ‘defensive’.

Saya tidak ada masalah dengan serangan-serangan tersebut kerana ia hanya akan memberi publisiti kepada perjuangan PAS. Paling kurang rakyat Malaysia tahu Muktamar PAS sedang berlangsung walaupun tidak ramai yang tidak tahu.

Tetapi nasihat saya kepada mereka adalah harap selesaikan masalah parti anda terlebih dahulu. Tidak perlu menyerang PAS untuk menutup masalah yang melanda parti anda.

Rakyat Malaysia adalah rakyat yang cerdik.

DATO' ISKANDAR A. SAMAD
Naib Presiden PAS
16 Jun 2019 – HARAKAHDAILY 16/6/2019

SEBELUM Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ramai yang berfikir betapa perlunya ada perubahan peneraju pemerintah di Malaysia. Barisan Nasional BN yang meneraju negara semenjak 1957 telah cukup diberi peluang dan masanya tiba untuk ia digantikan.

Perlunya ada suatu sistem pemerintahan yang baru bagi menggantikan ala BN yang kian dipenuhi pelbagai konotasi yang menyusahkan. Tidak pula saya pasti bagi mereka yang sering menyatakan perlunya ada perubahan sistem di Malaysia benar-benar faham apakah sistem yang ingin diubah.

Apakah benar difahami apakah sistem lama yang diterajui BN dan apakah pula bentuk sistem yang baru sebagai ganti sebaik peneraju pemerintahan negara berubah? Meskipun ghairah di mana-mana laungan perubahan sistem ini dihamburkan, jauh di sudut hati, saya mengharapkan suatu pengajaran dapat diambil jika benar-benar berlaku perubahan tampuk pemerintahan.

Itu suasana pra PRU14. Kini PRU14 telah berlalu dan peneraju baru negara telahpun dapat dijelmakan. Memerhatikan apa yang berlaku sebaik PRU14 selesai, terus saya merenung sendiri di mana apa yang disebut laungan perubahan sistem?

Ini bukan sekadar cerita perubahan peneraju atau bertukarnya parti pemerintah. Ini soal tata kelola sebuah negara. Meskipun kecil, Malaysia tetap mempunyai denyut nadi tersendiri sebagai sebuah negara yang dibina sejak lama.

Demikianlah harus difahami oleh setiap pemain politik yang menawarkan diri untuk berkhidmat. Apatah lagi bila tawaran itu bersangkutan dengan hak-hak Allah dan RasulNya yang termaktub di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Tentunya ia perlu diberi perhatian yang sewajarnya dan bukan sekadar mengikut hawa nafsu atau logik akal semata-mata.

Begitu harapan disandarkan kepada mereka yang akan menerajui Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebaik berlangsungnya Muktamar Tahunan ke-65 kelak. Posisi yang dipegang sebaik pemilihan selesai bukan sekadar untuk dijadikan wadah menyatakan Islam pilihanku. Ia bukan sekadar ruang untuk dijustifikasikan sebagai sekadar berlumba-lumba membuat kebaikan. Lebih dari itu, ia adalah sebuah amanah dan tanggungjawab bagi menzahirkan ketinggian Islam dalam seluruh sistem kehidupan termasuklah dalam membina sebuah sistem kenegaraan.

Tidak boleh lagi ada ungkapan “Ni bukan kehendak saya” atau “Saya sebenarnya tidak bersedia”. Mulai saat ini, harus ada kesiapsiagaan dalam meletakkan agenda Islam pada tempatnya. Tentunya ia bukan sekadar omong-omongan “Kita laksanakan Islam, semua akan lancar”.

Perlu ada suatu perancangan yang benar-benar khusus bagi menjelmakan agenda Islam dalam sistem kenegaraan. Apakah liku dan cabaran dalam menjayakan agenda kita telah perlu dikenal pasti dan difahami cara mengatasinya.

Mudah-mudahan muktamar ke-65 menjadi langkah susulan parti sebagai menyiapkan diri meneraju negara pada waktu yang ditentukan nanti. – HARAKAHDAILY 18/6/2019

Penulis ialah Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU.

KETUA Pemuda Pakatan Harapan, YB Syed Saddiq dilihat terburu-buru dan membuat kenyataan tidak matang berkaitan ucapan perasmian muktamar Dewan Muslimat PAS oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi. Kenyataan Syed Saddiq yang mengatakan tarbiah Islam PAS telah gagal adalah sangat jauh tersasar.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa Ketua Pemuda Pakatan Harapan supaya meluangkan masa untuk mendengar teks ucapan Tuan Guru Presiden PAS secara keseluruhan, atau setidak-tidaknya Setiausaha Akhbar Menteri membuat “homework” sebelum membuat ulasan yang dangkal sebegini. Sebagai contoh, ucapan Tuan Guru Presiden PAS dimulakan dengan sejarah Islam memimpin dunia selama berdekad-dekad, di mana golongan yang bukan Islam mengkaji dan mendalami Islam sebenar untuk menerima Islam. Islam memerintah bukan secara paksaan, tetapi rakyat bukan Islam mengkaji Islam sehingga golongan intelektual bukan Islam menerima Islam apabila melihat kebaikan Islam itu sendiri dalam konteks kehidupan, terutama pentadbiran yang adil dan saksama kepada rakyat.

Mengambil contoh tersebut, Tuan Guru menggesa anak-anak muda supaya mendalami isu-isu politik secara keseluruhan, bukannya terikut-ikut dengan sebaran media sosial yang kebenarannya kadang-kadang diragui. Bahkan, jelas menunjukkan anak muda yang mengundi Pakatan Harapan pada PRU14 telah ditipu secara terang-terang, terutama oleh pimpinan Pemuda Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan menabur pelbagai janji kepada anak muda pada PRU14. Sehingga hari ini, tiada satu pun janji kepada anak muda tertunai. Berdasarkan Buku Pakatan Harapan melalui 10 janji 100 hari mereka, Janji ke-6 (rujuk muka surat 12) adalah khusus untuk anak-anak muda peminjam PTPTN. Janji tersebut berbunyi, “Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam”.

Pemimpin-pemimpin muda Pakatan Harapan, termasuklah YB Syed Saddiq, telah berjanji di dalam Buku Pakatan Harapan (rujuk muka surat 189) melalui Iltizam Khusus Anak Muda, Iltizam #4, “Memberikan peluang pendidikan berkualiti yang percuma” dengan “Menjamin pendidikan awam percuma yang lebih baik di setiap peringkat, bermula di pra-sekolah, sekolah rendah, menengah dan juga pendidikan tinggi”.

Seawal memegang tampuk pemerintahan, berikut adalah susur galur kisah dongeng PTPTN Pakatan Harapan:

a. Pusingan-U pertama dibuat mengenai Iltizam anak muda di mana “Manifesto bukan kitab suci” apabila gagal memberikan pendidikan percuma seperti yang dijanjikan. Najib dan pentadbiran terdahulu disalahkan.

b. Pusingan-U kedua dibuat apabila kajian mahu dilaksanakan berkenaan janji mereka iaitu gaji minimum RM4,000 bagi pembayaran balik PTPTN

c. Pusingan-U ketiga dibuat apabila peminjam dikeluarkan dari senarai hitam, tetapi berdepan risiko bankrap atau muflis jika tidak membuat pembayaran balik

d. Pusingan-U keempat dibuat apabila skema pemotongan gaji melalui peratusan yang tidak adil dan munasabah untuk anak-anak muda.

e. Pusingan-U kelima dibuat apabila mereka mahu menyenaraihitamkan semula peminjam supaya tidak ke luar negara. Ditambah pula dengan peraturan zalim untuk mengenakan sekatan ke atas pasport, lesen memandu, dan memperbaharui cukai jalan.

Ini baru satu ulasan mengenai janji PTPTN kepada anak muda. Pelbagai janji lain yang masih tidak tertunai seperti 1 juta peluang pekerjaan, RM1 bilion dana untuk usahawan muda, siaran percuma bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL), dan macam-macam lagi. Sememangnya anak muda tertipu pada PRU14 kerana tidak mendalami politik tanah air. Oleh itu, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa seluruh anak muda untuk sama-sama bangkit dan mempelajari senario politik Malaysia agar kita tidak ditipu lagi.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
16 Jun 2019 – HARAKAHDAILY 16/6/2019

SUKACITA dimaklumkan bahawa Pejabat Presiden PAS telah meluncurkan dua buah buku terbaru hasil tulisan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Berikut merupakan buku yang baru diterbitkan beserta harga pasaran:

1. Buku Islam Memimpin - RM25
2. Buku Ad-Daulah Al-Islamiyah Fi Al-Mujtama' At-Ta'adudi (Bahasa Arab) - RM10

Untuk makluman semua, pihak kami membuka peluang untuk tempahan awal (pre-order) bagi yang berminat untuk mendapatkan buku tersebut. Buku yang ditempah boleh diambil ketika Muktamar Dewan-Dewan, Muktamar PAS Pusat atau secara penghantaran pos (selepas muktamar).

Harga istimewa ditawarkan bagi yang membuat tempahan awal iaitu RM30 sahaja untuk set kombo kedua-dua buku.

Tempah Sekarang
http://bit.ly/belibukubarutghh
http://bit.ly/belibukubarutghh
http://bit.ly/belibukubarutghh

Berita baik buat perwakilan dan pemerhati Muktamar Dewan-Dewan serta Muktamar PAS Pusat, kami akan berkampung di sana bagi memastikan buku-buku ini sampai ke tangan ahli-ahli PAS yang dahagakan ilmu dan idea Presiden PAS. Kami juga akan mengadakan promosi istimewa untuk kawasan-kawasan yang ingin membeli dalam kuantiti yang banyak bagi diedarkan kepada ahli kawasan masing-masing.

Belilah dan sebarkan buah fikiran dan minda Presiden PAS. Jadikan ia panduan dalam memahami penyelesaian Islam terhadap permasalahan ummah dan negara. Berjuanglah dengan penuh kefahaman dan ilmu!

Sebarang persoalan, sila hubungi kami:
http://wasap.my/601120222216/BeliBukuBaruTGHH

Sekian, terima kasih.

Team Jualan Buku,
Pejabat Presiden PAS

PENGENALAN BUKU TERBARU PRESIDEN PAS

1. Buku Islam Memimpin
2. Buku Ad-Daulah Al-Islamiyyah fi al-Mujtama At-Ta'addudi (Bahasa Arab)

Pengenalan Buku Islam Memimpin

Sebuah buku yang mengandungi kupasan isu semasa, dasar dan polisi sepanjang setahun PAS membawa tema "Islam Memimpin" oleh Presiden PAS sendiri Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Tulisan yang sarat dengan kritikan sosial, fakta, sorotan sejarah dan ulasan nas syarak merangkumi pelbagai segmen penting negara seperti politik, sosial, undang-undang, ekonomi dan sebagainya. Sangat sesuai bagi yang ingin memahami realiti politik masa kini dan penyelesaian berteraskan Islam.

Keistimewaan buku ini:

Memahami buah fikiran dan minda seorang ulama negarawan yang juga Presiden PAS.
Tulisan yang sarat dengan kritikan sosial, fakta, sorotan sejarah, dan kupasan nas Al-Quran dan Hadis yang bertepatan dengan kondisi semasa.
Kupasan isu semasa dan dasar sepanjang setahun bagi mengangkat tema "Islam Memimpin"
Merangkumi kritikan dan solusi mendasar pelbagai segmen seperti Politik, Perundangan, Ekonomi, Pendidikan dan sebagainya
Memberi gambaran gagasan politik Islam yang dibawa oleh PAS
Ditulis oleh ulama yang aktif serta berpengaruh dalam arena politik nasional dan antarabangsa.

Pengenalan Buku ad-Daulah al-Islamiyah fi al-Mujtama' At-Ta'addudi (Versi Bahasa Arab)

Sebuah buku yang menjelaskan tentang konsep politik dan negara Islam. Menjawab persoalan dan tuduhan yang menafikan perjuangan mendirikan negara bercirikan Islam dengan menjelaskan melalui kupasan nas dan sejarah. Pada akhirnya, penulis menjelaskan model sebuah negara yang bercirikan Islam dalam konteks masyarakat majmuk, merangkumi kepelbagaian budaya, bangsa dan agama.

Isi menarik dalam naskhah ini:

1. Penerangan konsep sebenar agama dalam Islam serta tanggungjawab beragama.
2. Penjelasan konsep negara Islam serta tanggungjawab mendirikannya dengan perbahasan dalil-dalil dari Quran Sunnah.
3. Pendedahan strategi musuh Islam bagi menggagalkan usaha mendirikan negara Islam
4. Menjawab tohmahan terhadap politik Islam dan menjelaskan konsep sebenar dalam merealisasikan politik Islam.
5. Penjelasan konsep negara Islam dalam konteks masyarakat majmuk khususnya perlaksanaan di Malaysia.

More Articles ...