SUSULAN kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri berkenaan “Kerajaan Pakatan Harapan Tidak Akan Meratifikasi ICERD” bertarikh 23 November 2018

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) bersama Sekretariat Kedaulatan Negara (DAULAT) bersama NGO-NGO Islam Melayu menyambut baik keputusan yang telah dibuat Pejabat Perdana Menteri tersebut.

Jawatankuasa penganjur Himpunan  Aman Rakyat Tolak ICERD telah mengambil keputusan untuk meneruskan Himpunan yang dirancang pada 08 Disember 2018. Keputusan ini diambil berdasarkan perkara berikut:

                              
i.     Perkembangan yang berlaku selepas PRU 14 menunjukkan sebahagian besar janji manifesto kerajaan tidak ditunaikan, maka kejadian yang sama juga boleh berlaku terhadap janji untuk tidak meratifikasi ICERD. Himpunan ini diharap dapat memberi amaran kepada kerajaan agar tidak memungkiri janji untuk tidak meratifikasi ICERD di masa depan. Ini kerana masih kedengaran suara-suara khianat daripada sebahagian Menteri Kabinet yang ingin meneruskan ratifikasi ICERD di masa depan dengan menyebut hanya “menangguhkan proses ratifikasi ICERD” dan masih terdengar komen-komen yang menggesa diratifikasi ICERD.

ii.    Himpunan ini juga sebagai amaran kepada Kerajaan PH untuk tidak meneruskan agenda yang tersembunyi di dalam ICERD iaitu yang melibatkan pelaksanaan dasar dan tindakan Kerajaan PH yang:

1.     Menggugat kedudukan Islam sebagai Agama Bagi Persekutuan (Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan)

2.     Menggugat kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi negara yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dari segala sudut penggunaan dan pemartabatan Bahasa Melayu

3.     Menggugat kedudukan  keistimewaan orang-orang Melayu dan Bumiputera (Orang Asal, Sabah dan Sarawak) sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan)

4.     Menggugat kedudukan dan peranan penting Insitusi Raja-raja Melayu dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 (kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak), Perkara 89 (Tanah Rizab Melayu, dan Perkara 8(5)(f) Rejimen Askar Melayu) Perlembagaan Persekutuan.


KAMARUZAMAN MOHAMAD

Pengarah Himpunan Aman Rakyat Tolak ICERD

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan Sekretariat Kedaulatan Negara (DAULAT)

23 November 2018 - HARAKAHDAILY 23/11/2018 

IMG 20181123 WA0029

“CELUPAN Allah (yakni Islam), dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah?" (Maksud surah Al-Baqarah: 138)

Ada pemimpin DAP berkata, 55 negara OIC telah melaksanakan ICERD, termasuklah Arab Saudi, mengapa PAS membantahnya.

Dahulu ada pemimpin BN berkata, 160 negara telah melaksanakan GST, termasuklah Arab Saudi, mengapa PAS membantahnya.

Saya tidak mengatakan DAP dan BN adalah sama, namun cara fikir YB Lim Kit Siang dan YB Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hal ini kelihatan serupa.

Saya ingin memberikan analogi mudah, sekiranya Barat banyak menggunakan ‘tomato’ dalam masakan mereka, tidaklah perlu kita memasukkan ‘tomato’ dalam sambal nasi lemak kita, dengan alasan kita perlu meniru mereka.

Sekalipun ‘tomato’ banyak khasiatnya, sambal nasi lemak kita sudah cukup khasiat dan kepedasannya, sesuai dengan citarasa dan kepelbagaian rempah di tempat kita. Justeru tidaklah perlu kita mudah meniru mereka.

Perlu difahami bahawa kita menentang ICERD bukan kerana peraturannya semata-mata, tetapi kita menentang pemikiran dan gerakan yang berselindung di sebaliknya.

Negara kita, cara kita, setiap tanah ada tuannya.

Terkini YAB Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak akan meratifikasi ICERD, menyerlahkan ketegasannya.

Sekali lagi, YAB Tun Dr Mahathir ‘dilihat’ senada dengan YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam isu sensitif melibatkan kepentingan negara.

Sebelum ini YAB Perdana Menteri pernah sependapat dengan YB TGHH dalam isu pilihanraya PBT, kerana memahami isu sensitif melibatkan keharmonian negara.

Ketegasan YAB Perdana Menteri dalam hal ini berbeza dengan pendirian ‘lemah’ YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sekadar mahu ratifikasi ICERD ditangguhkan, malah jauh berbeza dengan pendirian ‘berani’ YB Lim Kit Siang yang mahu ICERD diratifikasi sepenuhnya.

Kini semua pihak ternanti pendirian terbaru YB DSAI dan YB LKS, yang sebelum ini telah pun menzahirkan isi hati dan wajah sebenar mereka.

Kepada YB Menteri Luar dan YB Menteri Perpaduan, adalah wajar untuk kalian meletakkan jawatan secara terhormat, di atas tindakan yang telah menggugat keharmonian dan perpaduan sekalian rakyat Malaysia.

#NegaraKita
#CaraKita

Syahir Sulaiman,
Pengarah Strategi DPPM
23 November 2018 - HARAKAHDAILY 23/11/2018

PADA 2 November 2018 yang lalu, sejarah hitam bagi anak muda Malaysia telah tercipta apabila Menteri Kewangan Malaysia, melalui pembentangan Bajet 2019 telah mengusulkan satu polisi yang sangat membebankan anak muda iaitu sistem potongan gaji secara automatik bagi peminjam PTPTN yang berpendapatan lebih daripada RM1,000.00.

Anak muda juga digemparkan dengan dasar potongan hutang (belum diketahui berapa peratus) yang diberikan hanya kepada mereka yang datang daripada keluarga B40 dan mendapat kelas pertama dalam pelajaran mereka.

Anak muda dikecewakan lagi apabila Menteri Pendidikan Malaysia ketika sesi penggulungan Bajet 2019 pada 19 November 2018 di Parlimen langsung tidak membahaskan isu PTPTN yang zalim ini dan tidak menunjukkan sebarang komitmen untuk mengubah polisi yang menekan anak muda ini.

Jelas terbukti dalam Bajet 2019 bahawa polisi pembayaran hutang PTPTN Kerajaan PH lebih kejam terhadap anak muda berbanding Kerajaan Umno atau BN.

Kami anak muda konsisten mengatakan bahawa hutang wajib dibayar dan ia adalah tanggungjawab asas bagi setiap orang Muslim.

Rasulullah S.A.W bersabda :

“Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunaskan dengan kebaikannya (di hari kiamat nanti) kerana di sana (di akhirat) tidak ada lagi dinar dan dirham.”

(Riwayat Ibnu Majah)

Namun kami juga ingin mengajak kerajaan untuk memahami bahawa Islam mempunyai konsep yang jelas, adil, dan bertimbang rasa dalam isu pembayaran hutang.

Allah S.W.T berfirman :

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:

 “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”

(al-Baqarah: 280)

Allah S.W.T secara jelas telah memerintahkan kepada orang yang memberi hutang untuk memberikan masa kepada orang yang berhutang sehingga mereka mampu untuk keluar daripada kesempitan hiup mereka.

Dasar kerajaan yang memperkenalkan dasar potongan secara automotik bagi graduan universiti adalah sangat zalim dan menekan hidup anak muda Malaysia.

Rasulullah S.A.W telah mengingatkan:

“Sesiapa yang menuntut satu haknya (seperti hutang) maka tuntutlah dengan cara yang baik tanpa mengira (orang yang berhutang itu) membayar balik atau tidak membayarnya”

(Riwayat Ibnu Majah)

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Barangsiapa memberi tempoh waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunaskan hutang atau membebaskan hutangnya, maka dia akan mendapat naungan Allah.”  

(Riwayat Muslim)

Kerajaan sepatutnya memperkenalkan polisi ekonomi yang membantu pemerkasaan ekonomi anak muda, bukannya menekan hidup anak muda.

Menurut statistik Tenaga Buruh Malaysia 2017 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara, kadar pengangguran berada di dalam kadar yang merisaukan bakal graduan iaitu 3.5 peratus bagi tahun 2017 atau seramai 504,100 orang penganggur berbanding hanya 3.1 peratus bagi tahun 2015.

Bank Negara Malaysia telah merekodkan di dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 bahawa seorang dewasa bujang perlu memperoleh RM2,700 sebulan sebagai gaji minima untuk menyewa bilik, makan di luar, memasak sekali sekala dan menggunakan pengangkutan awam.

Bagi pasangan dengan dua anak, Bank Negara Malaysia menegaskan, pendapatan minimum bulanan bagi mereka ialah sebanyak RM6,500 untuk menyewa pangsapuri tiga bilik, memiliki dua kereta, membayar pusat jagaan kanak-kanak dan kelas tuisyen, serta makan di luar pada hujung minggu.

Menurut data kajian yang dilakukan oleh KPT (Kajian Pengesanan mahasiswa 2016), sebanyak 89.1 peratus daripada mahasiswa graduan diploma yang berkerja mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000.00 dan ke bawah sebulan dan sebanyak 48 peratus mahasiswa graduan ijazah pertama mempunyai pendapatan RM2,000.00 dan ke bawah.

Melalui fakta di atas, jelas ternyata bahawa hampir keseluruhan graduan bertaraf diploma dan hampir separuh graduan ijazah tahap pertama yang hidup di bawah tahap gaji minima seperti yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia

Kami anak muda menyeru kepada kerajaan agar tidak bertindak seperti Ah Long yang mengutip hutang secara paksa kerana ia adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan prinsip Islam.

Kembalilah kepada nilai-nilai Islam, gaya pemerintahan Islam, dan akhlak Islam, insyaAllah negara akan selamat dan mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T.

Sekian. Terima kasih.

“Istiqamah Bersama Islam”

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) - HARAKAHDAILY 22/11/2018

KERAJAAN sepatutnya berfikiran lebih jauh dan mempunyai sikap ketegasan dalam soal mempertahankan kedaulatan negara. Soal bangsa, kedudukan agama Islam dalam negara, hak istimewa bangsa Melayu, keutamaan Bahasa Malaysia, dan lain-lain adalah agenda besar yang tidak boleh dikompromi.

Ini bukan bermaksud hak kaum dan bangsa lain dianaktirikan atau diketepikan, kerana kedudukan istimewa negara ini yang tetap memberikan perhatian kepada keharmonian dengan mengekalkan hak dan kedudukan bagsa lain tidak pernah terhakis.

riduan mnorJusteru, dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sepatutnya kerajaan menolaknya lebih awal tanpa perlu membuat kajian dan mendapatkan pandangan daripada rakyat. Ketika rakyat sudah mula bangkit memberontak dan melahirkan kemarahan, barulah kerajaan cemas dan mula bersilat menyatakan ICERD tidak akan dilaksanakan.

Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ICERD hampir mustahil dilaksanakan kerana memerlukan pindaan perlembagaan yang melibatkan persetujuan pembangkang dianggap sebagai kenyataan tidak konsisten dan tidak diyakini. Ini kerana sebelum itu beliau sendiri memberikan persetujuan untuk mengkaji, mendapatkan pandangan dan seterusnya untuk menandatangi konvensyen tersebut. Mengapa baru sekarang beliau mengeluarkan kenyataan seperti itu di saat semua pihak menyatakan kemarahan?

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mesti memahami agenda besar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam meratifikasi ICERD. Ia adalah bentuk penjajahan moden dengan PBB dijadikan sebagai platform untuk menekan mana-mana negara untuk tunduk dengan tekanan antarabangsa. Mana-mana negara yang tegas mempertahankan Islam sebagai agama rasmi akan diserang secara halus bagi memaksa mereka menandatangani ICERD. Agenda halusnya agar hak semua bangsa dan agama diakui dan dianggap sama rata.

Kenyataan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa isu ICERD adalah agenda Freemason adalah kenyataan paling berani dan tepat untuk menggambarkan isu ini. PM perlu seberani Presiden PAS dalam menyatakan tidak kepada PBB ketika awal isu ICERD diletuskan. Beliau tidak perlu berdolak dalik dan bermain politik retorik untuk menarik tali kepada badan dunia itu. Jika beliau boleh bertegas kepada Australia dalam isu pemindahan kedutaan dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis, bersuara lantang dalam isu campurtangan US dalam isu Palestin dan kehadiran kapal perang di perairan Asia Tenggara, negara China dalam projek-projek mega dan menjaga perairan Asia, hak umat Islam Palestin yang diceroboh oleh Israel dan negara sekutunya.

Mengapa tidak beliau bernada sama dengan Presiden PAS dalam isu ICERD? Apakah sukar bagi PM yang dianggap cerdik dan mempunyai pemikiran jauh ke hadapan untuk berfikir bahayanya ICERD kepada negara seperti Malaysia? Apakah PM tidak terfikir generasi akan datang akan kembali ke zaman penjajahan dahulu sehingga tiada lagi hak milik untuk bangsa dan agama Islam di negara ini?

Tidak sukar memahami bahawa agenda Freemason adalah untuk merosakkan perpaduan agama, bangsa dan negara serta menjajah seluruh dunia. Semua mengetahui bahawa Freemason ialah sebuah pertubuhan antarabangsa yang sering dikaitkan dengan pelbagai teori konspirasi di seluruh dunia.

Segala konspirasi berbentuk penjajahan, peperangan, persengketaan etnik, perang saudara, krisis ekonomi sehingga bencana alam turut dikaitkan dengan agenda Freemason. Mereka sebenarnya mahu menguasai dunia dan melihat Malaysia salah satu negara yang menjadi perhatian untuk dimusnahkan.

Atau apakah beliau sengaja mahu memainkan isu perkauman dan agama agar berlaku persengketaan antara agama dan rasa tidak senang di antara rakyat supaya beliau dapat menangguk di air yang keruh suatu ketika nanti? Mungkinkah beliau sendiri mempunyai agenda tersirat menjadi wira pejuang agama dengan menjadikan DAP serta beberapa kerat pemimpin sebagai kambing hitam untuk disembelih?

Apakah ia langkah terbaharu bagi memastikan rakan politik dalam PH itu yang menjadi duri dalam daging partinya itu bakal tersingkir dari arus politik semasa manakala bakal PM kelapan yang akan menggantikannya juga turut terkorban? Dalam politik, masa itu sangat berharga dan setiap detik menjadi penentu hala tuju politik negara. – HARAKAHDAILY 22/11/2018

Penulis adalah Ahli jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menyifatkan rumusan Lim Kit Siang mengenai negara umat Islam seluruh dunia yang meratifikasi ICERD adalah dangkal.

Lim Kit Siang dicabar untuk membuktikan mana-mana negara umat Islam di seluruh dunia yang mempunyai latar sejarah kemerdekaan dan kontrak sosial seperti Tanah Melayu, komposisi kaum utama hampir seimbang dan memperuntukkan satu peruntukan khas seperti Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.

nasrudintaLim Kit Siang gagal memahami konsep asas sosio-politik pembentukan Malaysia sehingga mahu memaksa Malaysia mengikut falsafah dan acuan barat dalam amalan hak-hak asasi manusia.

Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan secara khusus hak asasi rakyat atau kebebasan asasi individu seperti dalam Perkara 5 hingga Perkara 13.

Terdapat beberapa negara umat Islam yang meratifikasi ICERD dan membuat pengecualian (reservation) kepada beberapa artikel tertentu di dalam ICERD. Sebagai contoh, negara Arab Saudi membuat reservasi seperti berikut: “The Government of Saudi Arabia declares that it will implement the provisions of the above Convention, providing these do not conflict with the precepts of the Islamic Shariah. The Kingdom of Saudi Arabia shall not be bound by the provisions of Article (22) of this Convention, since it considers that any dispute should be referred to the International Court of Justice only with the approval of the States Parties to the dispute.”

Lihat bagaimana pula Artikel 20 (2) dalam ICERD menjawab pengecualian tersebut: “A reservation incompatible with the object and purpose of this Convention shall not be permitted, nor shall a reservation the effect of which would inhibit the operation of any of the bodies established by ths Convention be allowed. A reservation shall be considered incompatible or inhibitive if at least two thirds of the States Parties to this Convention object to it”.

Pengecualian yang telah dibuat oleh Arab Saudi telah dibantah keras oleh beberapa negara seperti Austria, Finland, Germany, Norway, Spain dan Sweden.

Yemen juga membuat pengecualian antaranya Artikel 5. Pengecualian ini mendapat bantahan keras dari banyak negara antaranya Australia, Belgium, Canada, Denmark, Finland, France, Germany, Italy, Mexico, Netherlands, New Zealand, Norway, Sweden dan UK.

Mereka menganggap pengecualian tersebut melanggar matlamat asal ICERD.

Hal ini bermakna negara-negara umat Islam yang meratifikasi ICERD dan ICCPR khususnya telah terikat dengan konvensyen tersebut.

Kita tidak mahu kelak, negara juga bakal dikawal oleh kuasa luar untuk menentukan apa yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

Walhal, artikel-artikel yang terdapat dalam ICERD dan ICCPR banyak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Satu soalan kepada Lim Kit Siang, adakah DAP mahu merombak Perlembagaan dan menghapuskan Perkara 153 khususnya?

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
15 Rabi’ul Awwal 1440 | 23 November 2018 – HARAKAHDAILY 23/11/2018

LAPORAN ini adalah kompilasi beberapa maklumat yang terdapat di dalam laporan badan-badan triti yang berkaitan serta dokumen PBB yang lain, khususnya dari pihak yang terlibat di dalam Kajian Berkala Universal kali ke-31 atau Universal Periodic Review (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang dianjurkan dari 5-16 November 2018 baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, maklumat yang dikemukakan organisasi yang menyumbang kepada laporan ini seperti UNCT Malaysia, UNESCO dan UNHCR tidak menggambarkan pandangan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB.

Terdapat beberapa maklumat yang ingin saya kongsikan dari laporan ini, antaranya ialah:

●    Permintaan buat Malaysia untuk meratifikasikan baki keenam-enam Konvensyen yang masih belum diratifikasikan, antaranya ialah:
(1).     ICCPR - Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik.

(2).     ICPPED - Konvensyen Antarabangsa untuk Perlindungan Semua Orang dari Kehilangan yang Dipaksa.

(3).     ICERD - Konvensyen Antarabangsa mengenai penghapusan semua bentuk diskriminasi kaum.

(4).     CAT - Konvensyen terhadap Penyeksaan dan Kezaliman Lain atau Hukuman yang Kejam, Tidak Manusiawi atau Layanan Buruk.

(5).     ICESCR - Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya.

(6).     ICRMW- Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka.

●     Permintaan buat Malaysia untuk mengambil langkah-langkah berkesan dalam memastikan Undang-undang Sivil dan Syariah mematuhi sepenuhnya peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam Konvensyen CEDAW (Konvensyen mengenai penghapusan segala bentuk diskriminasi terhadap Wanita) di peringkat Kerajaan Tempatan, Negeri dan Persekutuan.

●     Permintaan buat Malaysia untuk menubuhkan PSC (Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen) untuk Hak Asasi seperti yang dicadangkan oleh Suhakam.

●     Mereka menyambut baik keputusan Kerajaan lama untuk menubuhkan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) pada 1 Mac 2018. Walau bagaimanapun, mereka mahu pelan itu dinilai segera dan ditulis semula oleh ‘pakar-pakar Hak Asasi Manusia’ dalam memastikan pelan itu selari dengan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR) serta komitmen Kerajaan Baru di dalam Manifesto mereka.

●     Jawatankuasa CEDAW mahu Malaysia mengamalkan strategi yang komprehensif dengan langkah-langkah proaktif dan berterusan, yang mensasarkan wanita dan lelaki di semua peringkat masyarakat, termasuk pemimpin-pemimpin agama dan tradisional agar diskriminasi stereotaip dan sikap patriarki yang berkait rapat dengan peranan dan tanggungjawab wanita dan lelaki dalam keluarga dan masyarakat dapat dihapuskan.

●     Jawatankuasa CEDAW mahu Malaysia meminda kesemua peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengekang atau menafikan hak yang sama rata terhadap wanita dalam isu pemindahan status kerakyatan mereka terhadap anak-anak hasil dari perkahwinan mereka dengan rakyat asing.

●     Mereka membangkitkan sikap diskriminasi dan pencabulan Hak Asasi Manusia terhadap LGBT di Malaysia termasuk retorik stigma oleh ahli politik, pegawai awam dan pemimpin agama selama beberapa dekad ini termasuk hukuman terhadap hubungan sejenis.

●      OHCHR kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengembalikan seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan (1992), Enakmen yang menghukum wanita Transgender kerana penampilan, di mana mereka tertakluk kepada denda dan tempoh enam bulan penjara.

●     Mereka membangkitkan isu hukuman mati yang masih dijalankan untuk kesalahan tertentu.

●     Jawatankuasa CEDAW masih bimbang dengan hukuman sebat terhadap wanita oleh Mahkamah Syariah kerana bercanggah dengan Kanun Tatacara Jenayah dan mahu Malaysia mengharmonikan Undang-undang Syariah dengan seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah itu agar hukuman sebat terhadap wanita dapat dicegah.

●     OHCHR melahirkan kebimbangan penguatkuasaan Majlis Keselamatan Negara semenjak Ogos 2016 di mana Perdana Menteri mempunyai kuasa keselamatan yang menyeluruh, yang mungkin boleh menyekat kebebasan sivil.

●     Mereka mahu kebebasan bersuara dalam isu agama dan menuntut agar Akta Hasutan 1948 dihapuskan.

●     Mereka melahirkan kebimbangan terhadap kekangan kawalan dan kadangkala pengharaman amalan budaya dan artistik di Kelantan termasuk juga di peringkat Pusat khususnya terhadap pengarang, penerbit, pembuat filem dan artis. Mereka mahu Akta Hasutan dihapuskan serta mahu memastikan pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia adalah selari dengan piawaian antarabangsa dari aspek kebebasan bersuara serta hak budaya. Termasuklah pemansuhan badan penapisan dan proses yang berkaitan.

●     Jawatankuasa CEDAW mahu jaminan dari Malaysia dari aspek Hak Kebebasan untuk beragama atau mengamalkan kepercayaan termasuk hak individu untuk menukar agama dari Islam kepada agama lain serta kepercayaan.

●     Mereka kecewa dengan laporan bahawa penganut Syiah tidak dapat bersembahyang dengan bebas dan mungkin terpaksa melalui halangan untuk menjalankan ritual agama dan budaya.

●     Mereka mahu kesemua bentuk FGM (mutiliasi kemaluan wanita) dimasukkan ke dalam Kanun Tatacara Jenayah serta tidak boleh dilangkaui oleh mana-mana Fatwa atau arahan pihak berkuasa agama.

●     Mereka mengalu-ngalukan keputusan kes Indira Gandi di mana ia telah mengesahkan bidang kuasa Mahkamah Sivil ke atas Undang-undang Syariah serta tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Agama Islam.

●     Mereka melahirkan kebimbangan bahawa wanita Muslim tidak diberi hak yang sama rata dengan lelaki di dalam Undang-undang Keluarga Islam termasuk kelonggaran dalam berpoligami.

●    Jawatankuasa CEDAW mendakwa perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak masih dibenarkan di bawah Undang-undang Keluarga Islam. Mahu umur sah ditetapkan pada usia 18 tahun seperti yang telah ditetapkan dalam standard hak asasi antarabangsa. - HARAKAHDAILY 22/11/2018

 

DALAM perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2019 yang lalu, saya telah bangkitkan mengenai keperluan Kerajaan memperhalusi semula penyelesaian isu PTPTN. Ramai yang menyatakan kekecewaan disebabkan kegagalan kerajaan menepati janjinya dalam isu PTPTN. Lebih menyedihkan adalah ketetapan baru Kerajaan terhadap para peminjam PTPTN dilihat lebih keras berbanding kerajaan terdahulu.

Sebagai sebuah Kerajaan baru yang menjanjikan pentadbiran lebih berintegriti ke arah kesejahteraan rakyat, seharusnya Kerajaan bermula dengan memberi berita gembira dengan kerangka penyelesaian yang lebih menyeluruh, tuntas dan meyakinkan.

Malangnya, rakyat menerima berita buruk yang terpaksa sahaja ditelan. Kerajaan gagal mengemukakan solusi yang diharapkan. Ia jelas gagal memberi kelapangan yang lebih kepada para peminjam yang telah dihimpit dengan isu peluang pekerjaan yang sempit, kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi.

Amat wajar bagi Kerajaan mempertimbangkan semula soal dasar pembayaran balik 2-15% bagi pendapatan melebihi RM1,000 sebulan. Nilai ini dilihat terlalu rendah dan tidak munasabah. Apakah ketetapan ini juga tidak dikaji sedalamnya, sama seperti janji manifesto bulan bintang Pakatan Harapan?

Tetapi itu sepatutnya hanyalah bersifat sementara. Lebih utama, saya menekankan perlunya penyelesaian sebenar yang akan memberi sinar harapan kepada generasi baru yang menuntut capaian pendidikan percuma untuk setiap rakyat.

Selama mana isu pendidikan dibelit dengan permasalahan bisnes dan pinjaman kewangan, selama itulah kita akan kehilangan nilai aset manusiawi yang luhur dan cemerlang. Dunia pendidikan akan berhadapan keciciran akibat kemiskinan dan belenggu belitan hutang di awal usia generasi muda.

Kerajaan seharusnya menilai cadangan pengenalan konsep tabungan wakaf. Perlu difahami bahawa konsep tabungan wakaf ini bukan bererti kita memberikan autonomi kepada universiti seperti yang dirancang melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025, tetapi tabungan ini masih di bawah tanggungjawab kerajaan untuk dapat dan salurkan kepada institusi pengajian.

Justeru cadangan ke arah penubuhan Perbadanan Wakaf Pendidikan Tinggi seharusnya diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan.

Saya ingin tegaskan bahawa masalah PTPTN tidak boleh hanya dilihat dari sisi pembayaran semula semata-mata tetapi turut memerlukan penyelesaian secara menyeluruh seperti yang dibangkitkan.

"Islam Memimpin"

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ahli Parlimen Bachok
22 November 2018 | 14 Rabi'ul Awwal 1440 – HARAKAHDAILY 22/11/2018

More Articles ...