KEJAYAAN Sultan Salahuddin al-Ayubi mengambil alih Daulah Fatimiyah pada 1171M dan kembalinya Baitulmaqdis ke tangan Islam pada 1187M telah membuka ruang untuk Islam menguasai bumi Syam sepenuhnya. Kejayaan ini bermula dengan kemenangan dalam Perang Salib II atau Perang Hittin pada 583H, diikuti oleh pembukaan Baitulmaqdis pada 27 Rejab 583H. Kejayaan Sultan Salahuddin al-Ayubi merampas semula Baitulmaqdis setelah kota suci itu dijajah oleh Kristian dalam Perang Salib I pada 1099 (490H) telah menggemparkan Eropah.

Ekoran itu, kebanyakan Raja dan Panglima Perang Kristian seperti Fredrick Barbossa (Raja Jerman), Richard The Lion Heart (Raja England), Philips Augustus (Raja Perancis), Leopold (Austria), Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Sultan Salahuddin al-Ayubi yang mengetuai tentera Islam. Gerakan Kristian ini telah mencetuskan Perang Salib III yang berlaku selama lima tahun, berakhir dengan Perjanjian Ramallah pada 588H (1192M), di mana Sultan Salahuddin al-Ayubi telah diakui sebagai penguasa Baitulmaqdis dan semua wilayah menjadi milik Islam, kecuali Acre.

Sultan Salahuddin al-Ayubi: Panglima Terbesar Islam

Salahuddin al-Ayubi (533-589H) adalah antara pemimpin Islam terkemuka dalam sejarah kerana kejayaannya mengambil alih Mesir daripada Kerajaan Syiah Fatimiyah serta keberhasilan baginda mengalahkan tentera Salib, merampas Baitulmaqdis dan menjadikan seluruh Wilayah Syam dikuasai oleh Islam. Beliau yang dilahirkan di Damsyik merupakan anak kepada Gabenor Balbek, Najmuddin al-Ayubi. Beliau kemudian dilantik sebagai Panglima Saljuk di Mesir menggantikan bapa saudaranya, Shirkuh. Pada awalnya, beliau adalah tentera Sultan Mahmud Nuruddin Zanki, Raja Saljuk Aleppo yang diarahkan menguasai Mesir pada 1160M, sebelum menjadi panglima pada tahun 1969M.

Selepas menguasai Mesir, baginda telah berperanan mempertahankan Mesir dari tentera Salib Baitulmaqdis yang dipimpin oleh Almaric I. Sebagai panglima tentera, Salahuddin al-Ayubi ketika saat kewafatan Khalifah Daulah Fatimiyah, al-Aidid pada September 1171M, telah mengarah para imam menyebut nama Khalifah al-Mustadi' Li Amrillah (1170-1780M) iaitu Khalifah Abbasiyah di Baghdad, sekali gus mengembalikan Mesir kepada umat Sunni. Setelah kewafatan Sultan Mahmud Nuruddin Zanki pada 1174M pula, Salahuddin al-Ayubi mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Mesir, sebelum bergerak ke Baitulmaqdis bagi menghadapi Perang Salib II pada 583H (1187M).

Menawan Kota Safed: Penguasaan ke atas bumi Syam

Selepas berjaya mengalahkan tentera Kristian dalam Perang Hittin dan menguasai Baitulmaqdis, Sultan Salahuddin al-Ayubi menyedari saki baki kekuatan tentera Kristian masih berpusat di kota-kota Kristian sekitar Syam, dan ia menjadi ancaman kepada Baitulmaqdis. Pada Mac 1183M, baginda bergerak dari Acre menuju ke kubu-kubu lawan di Kawkab, Karak dan Safed, iaitu pusat-pusat pengikut Templer dan Hospitaler, panglima-panglima Kristian. Beliau yang bertujuan menguasai wilayah Kristian itu, bergerak menuju ke Hins al-Akrad, benteng Kurdis, sekali gus menghampiri Antioch, kota pemerintahan Byzantine di Syam.

Gerakan Sultan Salahuddin al-Ayubi telah menawan Kota Jabala pada 18 Jamadil Akhir 538H dan memaksa pemimpin Kristian, Bohemond membebaskan tawanan Islam. Pada 24 Jamadil Awal pula, Kota Lattakia telah tewas, diikuti oleh Kota Sahyun yang jatuh pada 27 Jamadil Awal bersama Kota Balatunus, Aydhu dan Jamahiriyah. Kota Bakas pula tumbang ke tangan Islam pada 6 Jamadil Akhir, diikuti oleh kota Shugr 3 hari kemudian, sekali bergerak menghampiri Antioch. Dalam tempoh antara 16 Jamadil Akhir hingga 2 Syaaban, kota-kota Sarminiyah, Barziyah, Darbsak dan Baghras telah tidak dapat dipertahankan lagi oleh tentera Kristian. Akhirnya pada 3 Syaaban, Aleppo daoat dikuasai oleh Islam.

Baginda memasuki Damsyik pada 11 Syaaban dan singgah di Ma'arat al-Ni'man sehingga Ramadan 584H. Kota Kristian yang masih berbaki ialah Kawkab, Karak dan Safed. Baginda menghantar Panglima al-Adil dan Sa'adudin Kamshabah ke Karak, sekali gus menguasai benteng-benteng kecil seperti Shawbak, Wu'ayra, Sila' dan Hurmuz. Dengan kejayaan ini, Sultan Salahuddin al-Ayubi membebaskan Raja Humpery IV yang ditawan dalam Perang Hittin. Setelah itu, beliau menghantar Qaymaz an-Najmi untuk menguasai Kawkab, sedangkan Sultan Salahuddin al-Ayubi sendiri bergerak ke Safed pada 12 Ramadan 584H dan terus dapat menguasai kota itu, sekali gus menghabiskan semua kota dan benteng Kristian di bumi Syam.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
12 Ramadan 1439 / 28 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 28/5/2018

RAND Corporation selaku antara badan pemikir Amerika melalui kertas perancangan mereka yang bertajuk 'Civil Democratic Islam'. Mereka telah menggariskan beberapa langkah untuk mensabotaj kebangkitan Islam, lantas digantikan dengan pembawakan Islam yang direstui oleh Barat.

Antaranya dengan mewujudkan polemik Hadis yang tidak berkesudahan antara golongan-golongan agamawan. Pertempuran tersebut bakal mengheret masyarakat awam agar turut hanyut. Lalu membuka ruang kepada pembenihan kekeliruan dan pertikaian terhadap kefahaman-kefahaman agama.

Ia sebagai kesan langsung dari semangat menilai semula kefahaman agama yang telah sedia diterapkan dalam sesebuah masyarakat Muslim, agar digantikan dengan sisi pandang baharu yang lebih sesuai dengan kehendak Barat.

Maka tidak hairanlah jika kita dapati, golongan yang mencetuskan perbalahan berkenaan Hadis, turut skeptikal terhadap kumpulan Islam. Prejudis mereka terhadap kumpulan Islam teramat tidak dapat diselindungkan.

Persoalannya, siapakah di belakang mereka?

Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi menulis di dalam bukunya yang bertajuk 'Baina al-Islam al-Rabbani Wa al-Islam al-Amrikani', telah mendedahkan beberapa ciri agamawan yang direstui oleh Barat. Antaranya adalah:

"Antara ciri pendakwah yang digemari oleh Barat adalah, pendakwah yang mengerahkan staminanya untuk bersungguh melawan gerakan Islam. Hanya suka mengkritik tokoh serta asyik menyalahkan agenda gerakan Islam. Pada waktu yang sama dia diam seribu bahasa terhadap musuh Islam yang sentiasa merancang kerosakan ke atas Islam"

Diulangi, sebenarnya siapakah di belakang mereka?

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD 
29 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 29/5/2018

FB IMG 1527570193428

ADA kegopohan di dalam tulisan terbaru Datuk A. Kadir Jasin (AKJ) kerana ia mengandungi beberapa perkara yang boleh mengundang persepsi buruk dan mengundang kebencian terhadap institusi raja-raja.

Walaupun mungkin pada dasarnya cadangan penambahbaikan Institusi Raja berperlembagaan mempunyai asas yang boleh difikirkan bersama namun cara beliau cuba membentuk persepsi untuk mendapatkan sokongan terhadap cadangan tersebut dilihat agak gopoh dan boleh mengundang kebencian yang tidak perlu terhadap Institusi Raja-raja Melayu.

Antara perenggan yang kelihatan agak gopoh ialah - "Dalam keadaan di mana hidup rakyat susah dan kewangan negara sempit, kerajaan tidak boleh sekali-kali membazirkan wang untuk sesiapa pun. Biarlah saya kata macam ini: Istana-istana yang ada itu sudah mewah.

Raja-raja juga tidak kekal. Yang di-Pertuan Agong misalnya boleh disingkirkan oleh Majlis Raja-raja dengan lima daripada sembilan Raja-raja Melayu menyokong ketetapan berkaitan dengannya."

Apakah niat beliau untuk membangkitkan ini di kala masih adanya amalan penggunaan jet peribadi dan aset kerajaan untuk keluarga dalam kalangan pimpinan PH yang tidak membantu menjimatkan kewangan negara?

PAS faham kerajaan Pakatan Harapan menghadapi cabaran yang kuat untuk memenuhi janji-janji manifestonya yang termasuk memansuhkan GST serta tol lebuh raya di dalam 100 hari pentadbirannya, tapi ini bukan alasan untuk menghalakan senapang ke arah Institusi Raja-raja Melayu sewenang-wenangnya.

Saya yang mewakili PAS telah pun mengeluarkan kenyataan pada 26 Mei 2018 agar semua pihak, dalam apa sahaja pertikaian, menghormati Institusi Raja-raja kerana inilah institusi yang menjadi payung kepada rakyat, melangkaui semua agama, bangsa, bahasa, fahaman politk dan sebagainya. Ia harus kekal sebagai satu-satunya institusi yang bebas daripada apa-apa sentimen dan pengaruh tertentu.

Atas hasrat tersebut maka PAS atas dasar sangka baik berharap AKJ dapat lebih berhati-hati dalam membuat sebarang teguran kepada Institusi Raja-raja tanpa melibatkan cubaan bermain dengan emosi rakyat yang boleh mengundang kebencian yang tidak perlu.

PAS bersetuju semua pihak berautoriti termasuk raja-raja perlu menunjukkan contoh yang baik di dalam aspek kesederhanaan dan mengelakkan pembaziran sepanjang masa. Ini adalah tuntutan yang wajib. Nasihat boleh diberi dalam bentuk membina berbanding bentuk menghina dan memberikan persepsi buruk.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
29 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 29/5/2018

APABILA saya membaca sebuah karangan pendek berkenaan Perdana Menteri Malaysia yang menangis, saya merasa sangat sedih. Bukan kerana plot ceritanya, tetapi sedih kepada penular yang giat menyebarkan cerita pendek (cerpen) itu.

Tanpa melihat kebenaran, kesahihan dan lojik kisahnya, mereka ralit menari-narikan jari-jemari mereka sama ada berkongsi mahupun berkomentar, kerana mereka sangat percaya dengan cerita itu. Namun tiada siapa pun yang sehingga kini mengaku menulis kisah air mata itu.

Ingatan saya terus menerpa kepada sebuah cerita pendek yang juga direka pada waktu banjir besar melanda Kelantan sedikit masa lalu. Kuala Krai antara tempat yang sangat terjejas. Maka ketika kekalutan itu berlaku, datanglah sebuah cerpen yang dikira sangat menyayat hati.

Ia berkisar mengenai seorang ibu yang terpaksa menghanyutkan mayat bayinya kerana meninggal gara-gara tiada bantuan yang sampai kepadanya. Bayi itu mati, dengan bermadah, ibunya mengarang kesedihannya, menghantar mesej itu dan akhirnya, menganyutkan mayat bayi itu adalah pilihan yang sangat berat untuk beliau lakukan, namun terpaksa.

Maka apabila ditanya, dari manakah cerpen itu diperolehi, tidak ada yang dapat memberikan jawapan. Saya cuba menduga lagi. Bukankah lebih baik si ibu menggunakan data internetnya meminta bantuan daripada melagukan kesedihannya dengan cerpen itu? Kerana saya bingung memikirkan, sempat lagikah ibunya berkarya sedang internet ada capaiannya, maka lebih utama meminta bantuan.

Tetapi agak terkilan apabila saya pula dimarahi kerana bertanya akan kesahihan cerpen itu. Sehingga kini, tiada laporan mengenai kebenaran cerpen itu. Senyap, diam seribu bahasa. Kalau ditanya kembali, mungkin saya akan dimarahi kembali.

Anda boleh sahaja menilai sikap rakyat Malaysia ini apabila melihat mereka menonton filem luar negara yang jika tiada sari kata sekalipun, asalkan sedih, heronya tampan, heroinnya cantik, lagunya sedap, maka mereka akan turut sama bersedih, bergembira dan membenci penjahat, seperti mereka memahami segala bahasa itu layak gaya mereka.

Sama ada Hindustan, Korea, Thailand, atau lain-lain, semua boleh ditonton asal terhibur. Tidak jauh dengan rancangan Akademi Fantasia yang kita tahu bagaimana ia begitu bermakna kepada rakyat Malaysia. Maka pemikiran sebegini mungkin yang memandu mereka memilih mempercayai cerita yang sedap walaupun tidak benar.

Keadaan sekarang pasca PRU saya lihat semakin parah. Apa sahaja yang dikongsi, sangat teruk sumbernya. Hanya dengan sekeping “screen shot” ia menjadi tular dengan beberapa ayat tambahan yang menyedapkan mata pemujanya membaca. Tiada batasan dosa pahala.

Ada yang pernah saya jumpa di dalam ‘WhatsApp Group” yang menyebarkan info-info yang tidak tahu hujung pangkalnya. Apabila ditanya dari mana sumber, saya pula kelihatan seperti pendosa yang perlu menagih keampunan. Terkadang saya diperli.

Ada pernah diberikan jawapan kepada saya "alah, habis tu takkan kita nak bawa ke balai polis dulu untuk pengesahan’" jawapan daripada eksekutif kewangan sebuah syarikat besar. Jika itu jawapan daripada orang terpelajar, maka apa agaknya harapan kita kepada mereka yang kurang pelajarannya? 

Keadaan ini menimbulkan ketakutan kepada golongan yang memikirkan bahaya fitnah yang sedang digerakkan tidurnya. Ancaman laknat dari Rasulullah tidak dihiraukan, maka apatah lagi ancaman manusia biasa? Begitu galak mereka berkongsi berita yang mereka sendiri tidak pasti.

Terbaharu, Menteri Pertahanan, Haji Mohamad Sabu menafikan tular berkenaan beliau menolak untuk menggunakan kenderaan rasmi kerajaan, menjamu Perdana Menteri berbuka puasa di rumah beliau yang mana ia sebenarnya berlaku tahun lalu dan kewujudan tabung derma bagi beliau membeli sebuah kereta. Untuk PAS, jangan cakaplah fitnah yang kena.

Jika ini terus diamalkan oleh rakyat Malaysia, maka mereka sebenarnya menjemput bala Allah. Sikap hampir sama yang ditunjukkan oleh mereka yang mengaku belajar agama. Sungguh, fitan (fitnah-fitnah) ini sangat dahsyat. Sebagaimana diceritakan oleh Rasulullah yang fitan ini akan datang dan baginda menyuruh kita menyelamatkan diri daripadanya. Lebih daripada itu Rasulullah juga menyebut dalam era fitan ini, akan ada dari kita yang menjual agama demi kepentingan dunia yang sedikit.

Marilah kita sama-sama menjauhi fitnah dengan bertabayyun dahulu dengan berita, cerita yang kita dengar. Ia akan menjadi umpan kepada pemfitnah untuk kita mengikut jejak langkah mereka jika kita tidak memeriksa dahulu sumber berita kita.

Janganlah kerana kebencian kita terhadap sesuatu golongan, menyebabkan kita berlaku tidak adil. Sedangkan adil itu lebih dekat dengan takwa. Jika ancaman dari Allah dan Rasul tidak menggerunkan kita, maka apakah lagi yang tinggal dalam hati kita?

MOHD NASIR ABDULLAH 
Hamad International Airport
Doha, Qatar
29 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 29/5/2018

TASIK Tiberias atau juga disebut sebagai Tasik Tabariyyah, Galilee dan Kinaret merupakan tasik air bersih yang terletak di Utara Palestin, bersebelahan sempadan Syria dan Jordan. Berkeluasan 166 km persegi. Menerima punca air utama daripada Sungai Jordan selain dari Bukit Golan dan punca bawah tanah. Dan menjadi bekalan air bersih kepada penduduk negara haram Israel terutamanya Tel Aviv.

Tasik Tiberias mengalami kekeringan beberapa dekad terakhir ini. Pada tahun 2001, paras air di Tasik Galilee sudah berada pada garisan hitam iaitu pada tahap bahaya. Ini kerana ia berisiko untuk dimasuki air masin dari bawah tanah yang bakal merosakkan kualiti air secara kekal, sekali gus mengancam ekosistem sekitar. Antara punca penurunan air yang mendadak adalah kerana penggunaan air yang sangat tinggi oleh Tel Aviv.

Setakat ini, air di Tasik Galilee sudah defisit 2.5 liter kubik. Walaupun Kerajaan Israel sudah mengurangkan penggunaan airnya, namun paras air tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

Dalam Hadis yang dinyatakan pada Siri ke-11, Dajjal menyatakan bahawa tanda kemunculannya adalah Tasik Tiberias menjadi kering. Tasik Tiberias turut dikaitkan dengan kemunculan Yakjuj dan Makjuj. Sabda Rasulullah S.A.W:

وَيَبْعَثُ اللَّهُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ وَهُمْ مِنْ كُلِّ حَدَبٍ يَنْسِلُونَ ، فَيَمُرُّ أَوَائِلُهُمْ عَلَى بُحَيْرَةِ طَبَرِيَّةَ فَيَشْرَبُونَ مَا فِيهَا ، وَيَمُرُّ آخِرُهُمْ فَيَقُولُونَ لَقَدْ كَانَ بِهَذِهِ مَرَّةً مَاءٌ ، وَيُحْصَرُ نَبِيُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ حَتَّى يَكُونَ رَأْسُ الثَّوْرِ لِأَحَدِهِمْ خَيْرًا مِنْ مِائَةِ دِينَارٍ لِأَحَدِكُمْ الْيَوْمَ ، فَيَرْغَبُ نَبِيُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ فَيُرْسِلُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ النَّغَفَ فِي رِقَابِهِمْ فَيُصْبِحُونَ فَرْسَى كَمَوْتِ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ ، ثُمَّ يَهْبِطُ نَبِيُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى الْأَرْضِ فَلَا يَجِدُونَ فِي الْأَرْضِ مَوْضِعَ شِبْرٍ إِلَّا مَلَأَهُ زَهَمُهُمْ وَنَتْنُهُمْ ، فَيَرْغَبُ نَبِيُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى اللَّهِ فَيُرْسِلُ اللَّهُ طَيْرًا كَأَعْنَاقِ الْبُخْتِ فَتَحْمِلُهُمْ فَتَطْرَحُهُمْ حَيْثُ شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ يُرْسِلُ اللَّهُ مَطَرًا لَا يَكُنُّ مِنْهُ بَيْتُ مَدَرٍ وَلَا وَبَرٍ ، فَيَغْسِلُ الْأَرْضَ حَتَّى يَتْرُكَهَا كَالزَّلَفَةِ ، ثُمَّ يُقَالُ لِلْأَرْضِ أَنْبِتِي ثَمَرَتَكِ وَرُدِّي بَرَكَتَكِ .... فَبَيْنَمَا هُمْ كَذَلِكَ إِذْ بَعَثَ اللَّهُ رِيحًا طَيِّبَةً فَتَأْخُذُهُمْ تَحْتَ آبَاطِهِمْ ، فَتَقْبِضُ رُوحَ كُلِّ مُؤْمِنٍ وَكُلِّ مُسْلِمٍ ، وَيَبْقَى شِرَارُ النَّاسِ يَتَهَارَجُونَ فِيهَا تَهَارُجَ الْحُمُرِ ، فَعَلَيْهِمْ تَقُومُ السَّاعَةُ

"Allah mengutuskan Yakjuj dan Makjuj. Mereka akan bertebaran dari segala keturunan. Maka kalangan awal mereka melalui Tasik Tiberias lalu meminumnya. Kemudian lalu yang akhirnya, lalu berkata, dahulu terdapat air di kawasan ini. Mereka mengepung Nabi Isa A.S dan pasukannya sehingga nilai kepala lembu bagi mereka lebih tinggi dari 100 dinar, (keadaan lapar yang amat). Nabi Isa A.S dan pengikutnya memohon doa dari Allah, lalu Allah turunkan bala sehingga mereka mati sekali gus. Kemudian Nabi Isa dan pengikutnya turun, tidak ada sehasta pun tanah melainkam dipenuhi bangkai dan bau Yakjuj Makjuj. Nabi Isa dan pengikutnya memohon doa dari Allah, lalu diturunkan hujan yang sangat lebat sehingga membersihkan bumi dari segala kotoran Yakjuj Makjuj, kemudian dikatakan pada bumi tumbuhlah buahanmu dan kembalikan berkatmu. Dalam keadaan demikian, tuhan utuskan angin lembut mengambil nyawa setiap orang beriman dan Islam. Maka yang tinggal hanyalah manusia-manusia jahat saling bertelagah sesama sendiri. Maka ketika itu berlakulah kiamat."

[HR Muslim]

Banyak pendapat berkenaan bilakah keluarnya Yakjuj dan Makjuj. Ada yang mengatakan bakal keluar ketika berlaku Malhamah. Kesan senjata nuklear menyebabkan temboknya runtuh. Ada juga yang berteori tentang hentaman meteroit ke atas bumi.

Satu lagi pendapat yang kurang popular menyatakan bahawa Yakjuj Makjuj telah pun keluar dan mereka adalah Zionis. Mereka bersandar kepada beberapa teori. Antaranya kerana paras Tasik Tiberias semakin mengering.

Mengikut lokasi Yakjuj Makjuj yang digambarkan dalam Surah al-Kahfi, ia ada kena mengena dengan asal-usul pengasas Zionis. Antra lain juga, terdapat Hadis yang mengatakan di zamannya telah runtuh tembok sebesar syiling, dan mempunyai kaitan dengan kerosakan bangsa Arab yang boleh kita lihat hari ini. Sabda Rasulullah S.A.W:

لا إله إلا اللهُ، ويلٌ للعربِ من شرٍّ قد اقترب، فتحَ اليومَ من ردمِ يأجوجَ ومأجوجَ مثلُ هذه ) . وعقد سفيان تسعينَ أو مائةً، قيل : أنهلِك وفينا الصالحون ؟ قال : ( نعم، إذا كثُر الخبثُ ) .

"Tiada tuhan melainkan Allah. Binasalah orang Arab daripada keburukan yang semakin hampir. Sesungguhnya tembok Yakjuj dan Makjuj telah pun roboh sebesar ini (sambil menunjukkan isyarat lubang dengan ibu jari dan telunjuknya.) Baginda ditanya adakah kita akan binasa walaupun terdapat orang Soleh? Jawab baginda: Ya, jika kerosakan sudah berleluasa."

[HR Bukhari & Muslim]

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
13 Ramadan 1439
29 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 29/5/2018

 

 

BARISAN Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) telah menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan untuk menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India. Dewan Pemuda IKATAN Bangsa Malaysia menghormati hak Hindraf selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menyuarakan isu yang dihadapi masyarakat India di Malaysia.

Dewan Pemuda IKATAN Bangsa Malaysia menggesa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, memperhalusi semua 25 cadangan tersebut dan menolak tuntutan yang melangkaui perlembagaan negara kerana akan merencatkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Isu kemiskinan tegar di kalangan masyarakat India harus diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Namun begitu, isu berkaitan hak keadilan sosial perlu ditangani dengan bijaksana.

Dewan Pemuda IKATAN Bangsa Malaysia menolak cadangan membuka UiTM kepada bukan bumiputera kerana UiTM merupakan satu-satunya institusi yang ditubuhkan untuk memberikan pendidikan tinggi kepada orang Melayu dan Bumiputera secara eksklusif ke arah keadilan sosial masyarakat Malaysia melalui polisi yang dipersetujui semua pihak, Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Diharapkan kerajaan Pakatan Harapan memberi fokus kepada penyelesaian masalah ekonomi peringkat Nasional dan membasmi ketirisan serta rasuah, daripada membuka lebih banyak isu yang membabitkan keharmonian antara kaum. Perpaduan Bangsa Malaysia hanya boleh dicapai melalui pendidikan, bukan di peringkat pendidikan tinggi, tetapi harus dimulakan di peringkat tadika dan sekolah rendah.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berpendirian bahawa perubahan hanya dapat dilakukan jika kita sama-sama bersetuju ke arah sekolah satu aliran di mana semua anak-anak Bangsa Malaysia belajar di bawah satu bumbung dan sama-sama mempelajari bahasa Melayu, Cina dan India serta budaya masing-masing.

Demi Bangsa Malaysia yang sebenar!

Shahir Adnan
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Merangkap Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera - HARAKAHDAILY 29/5/2018

KOTA Bisan atau dalam Bahasa Ibrani disebut Beit She'an terletak di Utara Palestin dan sempadan Jordan Syria. Berada di persimpangan Lembah Sungai Jordan dan Lembah Jezreel. Kedudukannya adalah antara Baitulmaqdis dan Tasik Galilee. Berjiran dengan Bukit Golan yang menjadi sumber utama air bersih Wilayah Syam.

Kota Bisan merupakan antara tempat bersejarah di dunia. Di sana terdapat kota lama yang dipercayai wujud sejak zaman gangsa. Terdapat kesan peninggalan Tamadun Firaun Mesir Purba (Firaun) dan juga Greek di sana. Menjadi penempatan Bangsa Kanaan yang terkenal dalam sejarah. Selepas era kolonialisasi, Kota Bisan menjadi kawasan majoriti Yahudi.

Kota lama ini indah dan subur dengan kebun kurma dan bermacam hasil pertanian. Mengikut maklumat yang diterima dari penduduk Palestin, kurma di Bisan kini masih lagi berbuah. Malangnya, penghasilan kurma menurun dengan mendadak berbanding sebelum ini. Antara puncanya adalah kawasan ini semasa awal penjajahan Zionis adalah medan perang antara Arab dan Israel. Banyak kawasan tanaman yang musnah. Punca lain juga, kawasan ini diserang sejenis binatang perosak yang menyebabkan banyak pohon mati. Sungai Jordan yang mengairi Kota Bisan hingga ke Tasik Galilee juga semakin cetek dengan begitu drastik kebelakangan ini, menjadi salah satu faktor pengurangan kurma Bisan.

Menurut Hadis Nabi S.A.W yang dinyatakan pada siri lepas, antara tanda kemunculan Dajjal adalah kurma di Kota Bisan tidak lagi berbuah. Menandakan ketandusan kota tersebut. Ia berlaku selari dengan Tasik Galilee yang tidak akan lagi berair. Namun tidak dinyatakan secara jelas apakah keadaan mata air Zugor.

Fenomena kemarau menjadi salah satu di antara kejadian yang mendekati zaman keluarnya Dajjal. Sabda Rasulullah S.A.W:

إن قبل خروج الدجال ثلاث سنوات شداد، يصيب الناس فيها جوع شديد، يأمر الله السماء في السنة الأولى أن تحبس ثلث مطرها، ويأمر الأرض أن تحبس ثلث نباتها، ثم يأمر السماء في السنة الثانية فتحبس ثلثي مطرها، ويأمر الأرض فتحبس ثلثي نباتها، ثم يأمر السماء في السنة الثالثة فتحبس مطرها كله، فلا تقطر قطرة، ويأمر الأرض فتحبس نباتها كله، فلا تنبت خضراء، فلا يبقى ذات ظلف إلا هلكت؛ إلا ما شاء الله ، قيل: فما يعيش الناس في ذلك الزمان؟ قال: التهليل والتكبير، والتحميد، ويجزئ ذلك عليهم مجزأة الطعام

"Sesungguunya sebelum keluar Dajjal akan berlaku 3 tahun yang sangat dahsyat. Manusia akan dilanda kelaparan yang teruk. Allah akan memerintahkan langit menghentikan satu per tiga hujan, dan memerintahkan bumi menahan satu per tiga tumbuhan. Pada tahun kedua, Dia akan memerintahkan langit menghentikan dua per tiga hujan, dan memerintahkan bumi menahan dua per tiga tumbuhan. Pada tahun ketiga, tuhan akan memerintahkan langit menghentikan keseluruhan hujan dan bumi menahan keseluruhan tumbuhan. Kesemua tanah akan kering-kontang dan tandus. Sahabat bertanya apakah makanan manusia pada waktu itu? Baginda menjawab, tahlil, takbir dan tahmid. Perkara tersebut akan dapat menggantikan makanan."

[HR Ibn Majah]

Keadaan kering ini membuatkan manusia semakin mudah menjadi pengikut Dajjal. Dalam keadaan terdesak dan memerlukan makanan, Dajjal pula mampu menawarkan kemewahan dunia. Teknologi ataupun sihir yang dimilikinya mampu membuatkan sesuatu tempat subur dan suatu tempat kering. Sabda Rasulullah S.A.W:

فَيَأْتِي عَلَى الْقَوْمِ فَيَدْعُوهُمْ فَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَجِيبُونَ لَهُ ، فَيَأْمُرُ السَّمَاءَ فَتُمْطِرُ ، وَالأَرْضَ فَتُنْبِتُ ، فَتَرُوحُ عَلَيْهِمْ سَارِحَتُهُمْ - الماشية - أَطْوَلَ مَا كَانَتْ ذُرًا - الأعالي والأسنمة - وَأَسْبَغَهُ ضُرُوعًا ، وَأَمَدَّهُ خَوَاصِرَ - كناية عن الامتلاء وكثرة الأكل - . ثُمَّ يَأْتِي الْقَوْمَ فَيَدْعُوهُمْ فَيَرُدُّونَ عَلَيْهِ قَوْلَهُ فَيَنْصَرِفُ عَنْهُمْ فَيُصْبِحُونَ مُمْحِلِينَ لَيْسَ بِأَيْدِيهِمْ شَيْءٌ مِنْ أَمْوَالِهِمْ .

"Dajjal akan mendatangi sesuatu kaum lalu menyeru supaya mengikutinya, lalu kaum tersebut mengikutinya. Maka dia memerintahkan langit untuk hujan dan bumi untuk mengeluarkan tumbuhan. Maka binatang-binatang peliharaan mereka menjadi gemuk dan sihat. Kemudian dia mendatangi sesuatu kaum lalu menyeru supaya mengikutinya, lalu kaum tersebut menolak dan meninggalkan Dajjal. Keesokan harinya mereka dapati tanaman mereka tidak menjadi."

[HR Muslim]

Mengikut Hadis yang lain, Dajjal akan menawarkan syurga dan neraka. Kita disuruh memilih nerakanya. Sabda Rasulullah S.A.W:

مَعَهُ نَهْرَانِ يَجْرِيَانِ أَحَدُهُمَا رَأْيَ الْعَيْنِ مَاءٌ أَبْيَضُ وَالآخَرُ رَأْيَ الْعَيْنِ نَارٌ تَأَجَّجُ ، فَإِمَّا أَدْرَكَنَّ أَحَدٌ فَلْيَأْتِ النَّهْرَ الَّذِي يَرَاهُ نَارًا وَلْيُغَمِّضْ ثُمَّ لْيُطَأْطِئْ رَأْسَهُ فَيَشْرَبَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مَاءٌ بَارِدٌ

"Di tangan Dajjal terdapat dua sungai. Salah satunya sungai berair jernih dan satu lagi berupa api yang marak. Sekiranya kamu sempat pada zaman itu maka pergilah ke arah sungai yang berupa api itu. Tutuplah mata dan tenggelamkan kepala lalu minumlah darinya. Sesungguhnya itu adalah air yang sejuk."

[HR Muslim]

Keadaan akan berlanjutan sehinggalah Imam Mahdi dan tenteranya berjalan menewaskan Dajjal. Sabda Rasulullah S.A.W:

يخرجُ في أُمتي المهديُّ ، يسقيهِ اللهُ الغيثَ ، وتُخرِجُ الأرضُ نباتَها ، ويُعطِي المالَ صِحاحًا ، وتَكثُرُ الماشيةُ ، وتعظمُ الأمَّةُ ، يعيشُ سبعًا أو ثمانيًا ، يعني حِجَجًا

"Imam al-Mahdi bakal keluar untuk umatku. Allah bakal menurunkan hujan bersamanya. Allah juga bakal mengeluarkan tumbuhan dari bumi. Akan dilimpahi dengan harta. Binatang peliharaan akan menjadi banyak. Umat ini akan menjadi agung. Dan dia akan hidup selama tujuh atau lapan tahun, sebagai hujah."

[HR Hakim]

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
10 Ramadan 1439
26 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 26/5/2018

 

 

More Articles ...