DENGAN Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Dalam nama KudusNya, saya mula menulis ini. Semoga saya sentiasa menyedari bahawa keupayaan jari-jari ini untuk menaip skrin pada papan kekunci adalah dengan izin-Nya. 
 
Fikiran yang terlintas mengenai ulasan yang ingin disampaikan kepada pembaca dan mungkin akan dikomen berpunca dari kehendak-Nya. Saya berdoa agar Allah S.W.T akan membuka hatiku untuk membuat tulisan ini hanya kepadaNya sahaja, baik pada permulaan, di tengah-tengah dan pada akhir supaya ia bukan semata-mata bertujuan mengharapkan tindak balas, ulasan, sorotan, pujian, dan lain-lain.
 
Sesungguhnya, suhu pilihan raya semakin panas apabila banyak pihak dari parti-parti politik di Malaysia semakin menggila tingkah-lakunya untuk ke Putrajaya. 
 
Ini petanda bahawa, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 semakin dekat menghampiri kita semua. Masing-masing parti mula memasang angan-angan untuk menaiki takhta walaupun umurnya masih baharu setahun jagung.
 
Hakikat yang berlaku dihadapan mata kita semua ialah Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) telah lama memerintah Malaysia yang sebelum ini dikenali Tanah Melayu. Kini usia pemerintahannya telah memasuki usia warga emas yang bukan semakin gah dan hebat tetapi menuju kepada nyanyuk.
 
Ibarat kata, destinasi pemerintahan Melayu Umno kini sedang menuju keruntuhan dan kemusnahan yang jika terus dibiarkan mereka kekal berkuasa nescaya generasi akan datang berada dalam kemalapan dan kegelapan.
 
Sedar tak sedar sebenarnya, Umno yang menjadi tulang belakang pemerintahan kerajaan BN hari ini telah pun berkubur buat kali pertamanya pada tahun 4 Februari 1988. Maka, Umno yang ada pada hari ini adalah Umno Baru setelah berlaku Krisis Perlembagaan Malaysia 1988 di zaman pemerintahan bekas Perdana Menterinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Hari ini terdapat sebanyak 46 buah parti politik berdaftar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Manakala, bilangan kerusi pula sebanyak 222 bagi kerusi Parlimen dan 587 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dipertandingkan.
 
Sedarlah wahai rakyat Malaysia yang cukup umurnya 21 tahun dan layak mengundi bagi yang mempunyai namanya dalam daftar pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sesungguhnya, nasib dan masa depan rakyat dan negara ini ditangan kamu.
 
 

Umno Baru dan kerajaan BN yang sedia ada hari ini sudah tidak boleh diharapkan lagi untuk menjadi tuan bagi menjaga bumi bertuah Negaraku Malaysia. Pelbagai musibbah dan kerosakan berlaku saban hari oleh pemimpin Nombor Satu, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak.

 
Pelbagai isu melanda negara dengan skandal 1MDB, hilang tanah Felda, skandal National Feedlot Corporation (NFC) dan hari ini media serta akhbar luar negara melabelkan Malaysia The Most Corrupt Country  In  The  World.
 
Kata loghat orang Terengganu, Lok Koho Punoh bagi menggambarkan kepada rakyat jika masih terus dibiarkan, keadaan semakin teruk dan rosak hingga tidak dapat diselamatkan lagi.
 
Kini menjelang PRU14, timbul pula Pakatan Harapan (PH) yang cuba mempertaruhkan bekas PM selama 22 tahun, Tun Dr M untuk diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia Ketujuh jika PH menang PRU14 tahun ini.
 
Rakyat tidak lupa bagaimana dengan isu pembunuhan mangsa Memali, skandal pelaburan Bumiputera Malaysia Finance (BMF), Forex dan skandal Perwaja Steel di zaman Tun Dr M menjadi PM Malaysia. Tun mentadbir dengan prinsip Machiavellian serta mengamalkan kronisme dan nepotisme.
 
Gabungan parti dalam PH itu terdiri daripada Parti KeADILan Rakyat Malaysia (PKR), Parti Bersatu Bangsa Malaysia (PBBM), Parti Tindakan Demokratik atau DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) setelah gabungan parti dalam Pakatan Rakyat (PR) terkubur.
 
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kini berada dalam satu gabungan lain dinamakan Gagasan Sejahtera yang terdiri dari PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa). Selain itu, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Harapan Malaysia (PHM) juga berhasrat menyertai Gagasan Sejahtera dalam kelompok Blok Kuasa Ketiga.
 
Ini bermakna, PRU14 agak istimewa dan boleh jadi sebagai ibu pilihan raya kerana bakal berlaku pertarungan hebat antara tiga gabungan parti besar antara komponen Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera.
 
Justeru, kepada rakyat dan pengundi yang budiman sekalian. Buatlah pilihan yang tepat dan berintegriti sebagai seorang hakim yang akan membuat pilihan parti yang benar dan layak bagi menerajui negara ini selama tempoh lima tahun mendatang.
 
Jika dikekalkan mandat itu kepada Umno Baru dan BN (Najib) samalah seperti loghat Terengganu tadi Lok Koho Punoh. Jika diserahkan pula kuasa itu kepada Pakatan Harapan (Tun M) telah terbukti kerosakan berlaku selama 22 tahun lalu. Namun, jika diamanahkan mandat baharu itu kepada PAS dan Gagasan Sejahtera, terbukti PAS lebih cekap kerana telah memerintah Kelantan selama 27 tahun sebagai role model yang bersih serta bebas rasuah.
 
Oleh itu, ingatkan wahai rakyat Malaysiaku. Jika kita Lok Koho Punoh! -HARAKAHDAILY 15/2/2018

KOTA BHARU: Biarpun berlaku kemelut awal dalam kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan pada 1990, namun Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berjaya mengurusnya.
 
Polemik awal berlaku apabila Semangat 46 menuntut jawatan Timbalan Menteri Besar selepas Angkatan berjaya membentuk kerajaan pada Oktober 1990.
 
Pensyarah Sains Politik Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, PAS berjaya keluar daripada kemelut tersebut yang berlaku di awal pentadbiran Angkatan Perpaduan Ummah.
 
Katanya, Tok Guru Nik Abdul Aziz mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar II bagi melantik wakil Semangat 46 mengisi jawatan tersebut.
 
“Begitu juga tuntutan jawatan Exco oleh Semangat 46 selepas Berjasa gagal pada PRU 1995. Sebelum itu wakil Berjasa, Datuk Wan Hashim Wan Ahmad berada dalam barisan Exco kerajaan negeri.
 
“Namun selepas Berjasa gagal mempertahankan kerusi pada 1995, Semangat 46 pula mahu calon daripada parti itu dilantik bagi mengisi kuota
Berjasa,” katanya di sini semalam.
 
Menurutnya juga krisis agak menggemparkan negara berlaku apabila Tok Guru mengarah laluan masuk ke projek Empangan Hidro Elektrik Pergau
disekat selepas Kerajaan Pusat enggan membayar pampasan.
 
Katanya, kerajaan negeri menuntut pampasan sebanyak RM90 juta daripada projek tersebut.
 
“Pada awalnya Kerajaan Pusat enggan membayar pampasan. Namun selepas sekatan ke tapak projek dilakukan agensi kerajaan negeri menyebabkan Kerajaan Pusat terpaksa akur,” katanya. -HARAKAHDAILY 15/2/2018

DR MAHATHIR sebagai Presiden Umno dan Tan Sri Rashid sebagai Pengerusi SPR. Inilah dua gandingan yang sangat sinonim dengan pelbagai strategi pilihan raya untuk memberikan kemenangan maksimum kepada Umno/BN berhadapan lawan utama iaitu PAS. 
 
Persempadanan baru kawasan pilihan raya dan pemindahan pengundi yang menguntungkan Umno adalah kepakaran Tan Sri Rashid. Seingat saya, berbanding Pengerusi SPR yang lain, Tan Sri Rashid dengan ketara menzahirkan diri beliau bercakap bagi pihak Umno dan selalu menghentam PAS walaupun semasa masih menjawat jawatan Pengerusi SPR. Macamlah dia Ahli Majlis Tertinggi Umno.
 
Alhamdulillah, berhadapan dengan pelbagai helah ini PAS tak mati. 
 
Sekarang Tan Sri Rashid sebagai Naib Presiden PPBM menasihati PAS supaya bergabung dengan Umno untuk mengelakkan PAS kalah teruk dalam PRU14. Tan Sri ada cita-cita nak masuk rancangan Maharaja Lawak Mega ke? 
 
DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 14/2/2018

KOTA BHARU: Seluruh program Islam dirintis Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat akan runtuh sekiranya kerajaan yang ada sekarang tidak dipertahankan.
 
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin berkata, Kelantan satu-satunya negeri yang ditadbir di bawah kepemimpinan ulama di negara ini sekarang.
 
Katanya, keruntuhan pentadbiran berteras Islam memberi peluang kepada unsur sekular muncul kembali di Kelantan seperti sebelum 1990.
 
“Biar apa pun ancaman, ugutan, kita tetap terus bangkit dengan menyumbang setiap titik peluh, tenaga, masa dan wang ringgit bagi mempertahankan kepimpinan ulama di Kelantan.
 
“Kita hendaklah bekerja keras bagi meneruskan agenda Islam yang dilaksanakan sejak arwah Tok Guru dan diteruskan kepimpinan sekarang,” katanya pada ucaptama sempena seminar Kelantan Model Kepemimpinan Ulama di Dewan Teratai hari ini.
 
Perasmian penutup disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob. Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato’ Abdullah Yakub, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.
 
Seminar separuh hari itu dianjur bersama Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) Bentara Setia.
 
Sebelum itu tiga kertas kerja dibentang pada seminar tersebut iaitu Timbalan Pengarah IPTG, Ustaz Fadzli Abdul Ghani; Pensyarah UUM, Dr Kamarul Zaman Yusoff dan Pensyarah UMK, Dr Nik Yusri Musa.
 
Pada program itu juga dilancar buku Tuan Guru Haji Yaakub Ishak: Sumbangan dan Perjuangan serta pelancaran Mobile Apps Tok Guru.
 
Selain itu penyerahan kitab Al  Fihris  Asy  Syamil  Litturath  Al’-Rabi  Al  Islami  Al  Makhtut oleh Setiausaha Dewan Ulama, Dato’ Dr Nik Zawawi Salleh kepada IPTG.
 
Tuan Guru Hashim juga berkata, pada Pilihan Raya Umum 1990 rakyat Kelantan menolak politik sekular dan mengangkat ulama mentadbir negeri tersebut.   -HARAKAHDAILY 14/2/2018

DEWAN Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) bersetuju dengan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang menyatakan bahawa haram untuk pengundi menyokong kempen memboikot atau sengaja merosakkan undi pada pilihan raya umum ke 14 (PRU 14). Pandangan Mufti WP amat tepat ketika kempen "UndiRosak", "SpoiltVote" dan "ProtesPRU" sedang hangat dijayakan di media sosial oleh segelintir pihak yang kecewa dengan suasana politik negara.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga telah mengeluarkan kenyataan dan pandangan bahawa haram hukumnya bagi orang Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau merosak undi. Beliau menyatakan dengan tegas bahawa mereka yang memulau pilihan raya atau merosak undi adalah mereka yang telah menyerah kalah sehingga penentuan kuasa politik diserahkan kepada bukan Islam yang menjadi salah satu dosa paling besar. Nampaknya, kalangan ulamak dan Mufti sendiri sependapat dengan pandangan Presiden PAS menunjukkan hukumnya yang jelas dan penting sebagai panduan kepada semua pengundi beragama Islam.

DUPWP melihat kempen atau tindakan merosakkan undi ini adalah satu kempen negatif yang ditaja oleh mereka yang mahu memusnahkan negara ini. Dengan merosakkan undi, pengundi telah mensia-siakan peluang bagi menentukan proses kepimpinan negara. Justeru, pengundi tidak boleh berlepas tangan dengan mengambil sikap tidak bertanggung jawab daripada menunaikan hak mereka mengundi atau merosakkan undi mereka hanya semata-mata kerana marah dengan pihak tertentu.

Mengundi ibarat membuat referendum terhadap parti politik dan pemimpin negara. Dengan mengundi, pengundi telah memberi nasihat, menegur dan melakukan perbuatan ‘amar ma’aruf nahi mungkar’ terhadap pemerintah yang didapati melakukan kesalahan. Begitu juga dengan mengundi, pengundi telah memberi hak untuk menyokong, membantu dan menaikkan pemimpin yang berhak atau layak untuk menjadi pemimpin. Bagi umat Islam, ia ada pertimbangan dosa dan pahala serta akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak. Dengan mengundi, pengundi telah menunaikan hak dan kewajipan mereka terhadap agama, masyarakat dan negara ini.

Selain itu, Mufti WP turut menyatakan haram dari segi syarak jika tidak mengundi serta tidak mendaftaran diri sebagai pengundi. Data daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menunjukkan seramai 3.6 juta warganegara yang berumur 21 tahun ke atas belum mendaftar sebagai pemilih sehingga suku ketiga tahun lalu. Dengan pandangan Mufti WP itu, adalah diharapkan umat Islam yang telah layak mengundi dan belum mendaftar diri sebagai pengundi agar dapat mendaftarkan diri mereka sesegera mungkin.

DUPWP mengharapkan agar lebih ramai para mufti dan ulamak tampil ke hadapan memberi pandangan dan pendirian agar rakyat Malaysia segera mendaftar diri sebagai pengundi dan seterusnya menunaikan kewajipan untuk mengundi kerana itu adalah hak dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia yang perlu mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke 14 nanti. Kita mahu keputusan PRU ke 14 nanti ditentukan oleh pengundi kerana merekalah yang berhak dan layak bukan didorong oleh sentimen pihak luar yang mahu merosakkan sistem pilihan raya di negara yang tercinta ini.


USTAZ DR (H) MOHD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak
PAS Wilayah Persekutuan - HARAKAHDAILY 14/2/2018

SIK: Umno sudah tidak mampu menjaga Islam di negara ini, bahkan Islam semakin ditekan dan diasak saban hari akibat ketidakmampuan Umno, demikian menurut Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman.
 
Memetik kes Indira Gandhi sebagai contoh berkaitan, beliau menyifatkan perkara tersebut terjadi berikutan sistem perundangan negara yang tidak meletakkan Islam sebagai asas.
 
"Akta 164 yang dibawa oleh kerajaan dan telahpun diluluskan oleh Parlimen walaupun semua Ahli Parlimen PAS menentangnya. Manakala Akta 355 penambahbaikan Mahkamah Syariah dipandang sepi oleh kerajaan. 
 
"Masih relevankah Umno menjaga Islam di bumi Malaysia ini?" soalnya ketika berceramah bersama Yang DiPertua PAS Kawasan Padang Serai, Ustaz Shaharudin Ibrahim di Kampung Jelutong, Chepir, di sini semalam.
 
Ustaz Tarmizi menegaskan, hanya PAS sahaja yang benar-benar hendak Islam ditinggikan dan menyeru ahli Umno untuk menyokong PAS pada pilihan raya kali ini.
 
Jelasnya, kesediaan para ahli Umno untuk berubah itu penting supaya usaha memartabatkan Islam selayaknya sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaaan Negara benar-benar dapat direalisasikan.
 
Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana ahli Umno telah ditipu oleh pemimpin mereka mengenai Islam dan pelbagai lagi isu, hanya kerana mahu kuasa dikekalkan dalam kalangan mereka.
 
Sementara Ustaz Shaharudin Ibrahim dalam ceramahnya melontarkan renungan berkait pertambahan ramai pengundi bukan Islam untuk PRU14 berbanding pengundi Islam kerana kesedaran mereka mengenai kuasa.
 
"Tahap kesedaran orang Islam mengenai betapa pentingnya untuk mendapatkan kuasa supaya suara Islam di dalam Parlimen digeruni masih di paras rendah. Waima, ada orang Islam sendiri yang tidak peduli mengenai kuasa. 
 
"Hanya bagi mereka cukup dapat menjalani kehidupan seharian walau siapapun memerintah. Ini merupakan satu pemikiran yang salah dan sangat membimbangkan. 
 
"Kerana golongan bukan Islam sentiasa bersatu hati dalam apa jua isu yang melibatkan kepentingan mereka mahupun agama Islam tanpa mengira mana-mana parti," terangnya. -HARAKAHDAILY 14/2/2018

MARANG: Perjuangan politik PAS bukan sekadar untuk menang di negeri Terengganu dan Kelantan sahaja tetapi bagi menyelamatkan Malaysia.
 
Sehubungan itu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata partinya mengambil kira seluruh negeri yang ada di Malaysia.
 
Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini PAS berusaha untuk bertanding sebanyak 130 kerusi daripada 222 kerusi parlimen negara.
 
"Maka, kita (PAS) mengambil kira seluruh negeri yang ada di Malaysia, supaya kita mendapat kerusi dengan sebanyak-banyaknya. 
 
"Dalam pilihan raya (PRU14) ini di peringkat pusat kita (PAS) berusaha supaya kita bertanding 130 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. 
 
"Jika kerusi kita lebih, kita (PAS) boleh membentuk kerajaan. Kalau kerusi kita sekadar 40 kerusi, tidak ada parti yang boleh membentuk kerajaan. Umno tak boleh bentuk kerajaan. DAP tak boleh bentuk kerajaan, siapa pun tak boleh bentuk kerajaan. 
 
"Kalau kita (PAS) 40 kerusi, parti lain akan dapat kerusi-kerusi dia. (Dengan) 40 kerusi ini sudah cukup bagi PAS untuk menekan parti-parti lain sama ada menerima Islam atau pun tidak. Bermakna kita (PAS) ada kekuatan dengan 40 kerusi itu," tegasnya dihadapan ribuan hadirin.
 
Beliau berkata demikian ketika Ceramah Perdana Sempena Majlis Pelancaran Markaz Besar PAS Dun Bukit Payung di Perkarangan Madrasah Darul Iman (MDI), Kampung Titian Baru, Bukit Payung, Marang semalam.
 
Dato' Seri Abdul Hadi turut mengingatkan umat Islam bahawa mendirikan sebuah kerajaan Islam itu merupakan satu kewajipan.
 
"Hari ini orang kita buat main-main dalam masalah mengundi pilihan raya ini. Ini kerana, mereka tidak tahu bahawa mendirikan kerajaan Islam adalah kewajipan yang besar dalam Islam.
 
"Payah kepada PAS untuk mengajak orang penyokong perjuangannya. Oleh kerana, kita (Malaysia) lama dijajah banyak (ramai) orang Islam tenggelam dalam kejahilan," ujarnya.
 
Justeru, kata Ahli Parlimen Marang itu, PAS berusaha bagi mempertahankan Kerajaan Kelantan dan berusaha menang di beberapa negeri lain.
 
Menurutnya, jika PAS diberi mandat memerintah pada pilihan raya nanti parti itu akan menunjukkan keadilan Islam kepada orang bukan Islam. 
 
"Kita berusaha untuk mempertahankan kerajaan PAS Kelantan, berusaha untuk menang lagi di Terengganu, menang di Kedah, menang di Perlis dan menang di Selangor. Ini kita akan usahakan. 
 
"Jika kita mendapat kejayaan, InsyaAllah kita (PAS) tunjuk dulu apa dia adilnya Islam dan baiknya Islam ini khusus kepada orang bukan Islam dan menyedarkan orang Melayu sendiri," jelasnya.
 
Maka, katanya perjuangan PAS dalam pilihan raya ini sangat besar makna bagi mengembalikan semula Islam memerintah dan menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.
 
Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS II Terengganu, Dr Alias Razak, Yang Dipertua PAS Kawasan Marang, Yahaya Ali dan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah. -HARAKAHDAILY 14/2/2018

More Articles ...