BERDASARKAN hasil analisia baru Kumpulan Bank Dunia dan UNICEF, kanak-kanak yang termasuk dalam kategori golongan rentan (vulnerable group) dua kali ganda lebih mudah terdedah kepada kehidupan miskin yang melampau berbanding orang dewasa.

Dengan dapatan kaji selidik yang telah dilakukan kepada 2,142 kanak-kanak sekitar PPR di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya menunjukkan 7 peratus hidup dalam kemiskinan mutlak.

Muslimat PAS berpandangan tanggungjawab terhadap pembentukan kanak-kanak seawal usia mereka dilahirkan sehingga dewasa menjadi perkara penting untuk diberikan perhatian.

Perkembangan kanak-kanak ini dipengaruhi oleh persekitaran yang kondusif dan membina. Kajian tersebut juga menunjukkan 22 peratus kanak-kanak menghadapi tumbesaran terbantut akibat kekurangan zat makanan kerana kemiskinan.

Cadangan Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan yang memperkenalkan program bantuan rakyat, ‘Baucar Makanan Sihat Ibu Hamil’ selama 15 bulan kepada ibu yang hamil (Sembilan bulan sewaktu ibu mengandung dan enam bulan ketika menyusukan bayi) sewajarnya layak menerima pujian bagi memastikan bayi mendapat zat yang mencukupi untuk proses tumbesaran yang sihat.

Atas dasar menjamin kebaikan generasi masa depan mampu mentadbir negara aspek pembangunan sahsiah perlu dipelihara merangkumi pembentukan peribadi dan pemuliharaan suasana setempat.

Tekanan kos sara hidup yang membelenggu rakyat memberikan impak kepada pembentukan anak-anak sehingga terpaksa memberikan fokus mencari pendapatan dan mengabaikan tanggungjawab pada anak. Baucar Makanan Sihat Ibu Hamil boleh menjadi satu model usaha kebajikan berorientasikan penjagaan anak-anak seawal dalam kandungan lagi. 

Muslimat PAS juga berharap agar syor dan cadangan ini diperluaskan khusus untuk kanak-kanak di bawah usia enam tahun bagi mendapatkan bantuan makanan terutama makanan sihat untuk tumbesaran mereka selain RMT di peringkat sekolah.

Muslimat PAS mengharapkan pelbagai alternatif bantuan untuk rakyat dinikmati oleh setiap segmen usia dan sasaran agar ia benar-benar membumikan nilai kebajikan pada masyarakat.

DR ROSNI ADAM
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
7 Mac 2018 bersamaan 19 Jamadilakhir 1439 - HARAKAHDAILY 7/3/2018

HUSAM kata undi PAS adalah haram kerana PAS dikira tongkat Umno. Sedangkan Umno itu zalim ke atas rakyat.

Katakanlah betul PAS tongkat Umno (sedangkan sama sekali tidak betul, dan itu hanya tuduhan PAN dan PH), maka menongkat Umno adalah lebih baik daripada berhempas pulas menongkat DAP.

Kerana antara Umno dan DAP, Umno lebih dekat kepada ruh Islam. Fiqh Aulawiyyat apa yang Husam mengaji ni?

Saya sebut itu jika benar PAS tongkat Umno. Tiba-tiba ternyata itu hanya fitnah dan bacaan politik manusia kecewa sahaja. Maka mengundi PAS adalah wajib dan wajib pula mengalahkan BN dan PH.

PAS boleh buktikan bahawa parti itu tidak menongkat Umno, kerana tiada sebarang gabungan antara PAS dan Umno.

Tapi bolehkah PAN menafikan bahawa mereka tidak menongkat DAP? kerana mereka sememangnya sudah berada dalam PH yang bersekongkol dengan DAP.

Saya kira statement Husam itu tidak lebih daripada rengekan anak manja yang mahu menarik perhatian Ayahanda dan Abang Long sahaja.

Mudahan Dewan Undangan Negeri Kelantan akan lebih tenang selepas anak manja ini tidak lagi menjadi ahli dewan selepas PRU 14 nanti.

Sebenarnya Husam perlu berehat untuk memulihkan kembali stamina politiknya yang sudah hampir lumpuh. Rakyat Kelantan perlu merehatkan Husam.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Kuantan, Pahang

HARAKAHDAILY 7/3/2018

KUALA TERENGGANU: Lima lagi tawaran akan diisytiharkan selepas 15 tawaran awal Manifesto PAS Terengganu diumum sebelum ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Setiausaha PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid berkata, manifesto itu akan diumumkan sebagai tawaran baharu kepada rakyat.

Menurutnya juga Umno Terengganu kini terdesak mengenai tawaran PAS sehingga terpaksa menganjurkan Ekspo Terengganu 2018.

"Ekspo Terengganu itu berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak 25 Februari hingga 3 Mac lepas dengan pelbagai tawaran hadiah lumayan kepada rakyat.

"Antaranya sebuah rumah di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, sebuah lot tanah perumahan, sebuah lot tanah pertanian, sebuah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

"Penganjur juga menawarkan hadiah sepanjang ekspo berlangsung seperti motosikal, barangan elektrik dan elektronik," katanya.

Muhyidin juga berkata, tawaran PAS bagi membuka semula permohonan lot tanah kediaman dan pertanian kepada seluruh rakyat Terengganu.

Katanya, PAS hendak beri tanah kepada rakyat yang diumumkan beberapa bulan lalu.

"Sedangkan Umno hanya hendak beri satu lot sahaja, ribuan orang serbu Ekspo Terengganu itu," ujarnya.

Menurutnya juga tawaran manifesto PAS telah sampai kepada pengetahuan rakyat sehingga menyebabkan Umno menjadi gelabah. -HARAKAHDAILY 7/3/2018

UMNO Jabi kitar semula isu kafir-mengkafir dengan bermodalkan ceramah Zulkifli Nordin. Orang PAS kenal Zulkifli Nordin. Hamba Allah ini tak lulus tapisan Majlis Syura Ulama PAS untuk jadi calon PAS dalam pilihan raya. Tentu ada isu besar yang menyebabkan MSU membuat keputusan begitu. Dia masuk PKR dan jadi calon PKR. Lepas itu keluar PKR masuk Umno. PRU 13 bertanding sebagai calon BN Shah Alam dan kalah besar.

Saya perjelaskan semula isu ini. Isu perpecahan dalam masyarakat antara PAS dan Umno kembali dibuka. Besut kawasan tanah tumpah darah saya antara tempat yang menyaksikan pertembungan panas dan keras ekoran perbezaan pegangan politik. Selalunya PAS yang menjadi mangsa dan kambing hitam. Kononnya PAS adalah punca segala perpecahan ini.

Orang selalu terlupa bahawa PAS adalah mangsa. Di zaman pertembungan panas dulu, Umno bagaikan tak boleh terima bila ada orang kampung yang bukan Umno. Orang yang menyokong PAS dilihat dengan penuh seteru dan kebencian.

Pengikut PAS dianiaya. Hak mereka dinafikan. Seingat saya, ayah seorang pesawah tak pernah dapat rasa baja subsidi padi. Borang anak sekolah pun JKKK tak nak tandatangan. Ini bukan cerita lama, bekas YB Jabi Ramlan Ali pernah tandatangan tak sokong untuk anak orang PAS terima bantuan awal Yayasan Terengganu untuk masuk IPT.

Cerita program PAS diganggu Umno semua orang tahu. Ceramah PAS dihalang serta disekat. Diganggu dengan pelbagai aneka ragam gangguan. Cerita ugut-mengugut bukan rahsia. Samseng pemuda tahan lasak Umno menunjukkan lagak sehabisnya. Sehingga ada orang PAS kena kapak kecik di kepala.

Kakitangan kerajaan seperti guru-guru yang menyokong PAS ditukar terpelanting ke ceruk hulu. Ahli PAS ditangkap, ditahan, malah pernah dibunuh. Penceramah PAS terpaksa ke mahkamah kerana alasan tiada tauliah dan pernah ke penjara.

Berhadapan dengan semua tindakan keras ini, tak munasabah orang PAS nak terima dengan senyum dan ucapan terima kasih. Tindakan yang keras biasanya mengundang tindak balas keras. Isu yang menjadi punca keretakan hubungan dalam masyarakat bukannya kafir-mengkafir. Tapi isu ketidakadilan, penindasan, tekanan dan kezaliman dari pihak yang berkuasa bernama Umno. Maka jangan salahkan PAS atas sejarah silam ini.

Kafir-mengkafir hanya isu picisan yang ditimbulkan segelintir kecil individu dan bukannya keputusan PAS. Malah mereka yang suatu ketika dulu begitu bersemangat mengkafirkan Umno, kini telah berada dalam Umno dan sebahagian mereka mati sebagai ahli Umno. Dalam konteks Dun Jabi, solat Jumaat di masjid tertentu yang dikuasai PAS bukannya kerana kafir-mengkafir dan tak boleh solat bersama orang Umno.

Masjid Lama Jabi tempat diadakan solat Jumaat ialah sebuah masjid lama yang dikenali sebagai Masjid Lama Jabi. Boleh semak balik sejarah diadakan solat Jumaat di Masjid Lama Jabi yang diadakan lebih dulu dari masjid kerajaan di Jabi.

Masjid Tok Dat antara tempat solat Jumaat yang dikuasai orang PAS. Perlu dimaklumi bahawa di Kampung Tok Dat Jabi tak ada masjid kerajaan. Hanya sebuah masjid milik orang PAS yang ada. Di masjid inilah diadakan solat Jumaat.

Satu lagi tempat solat Jumaat ialah Masjid Matlain Badrin di Kampung Pasir Tawar Jabi. Di kampung ini juga tiada masjid kerajaan. Dengan didirikan solat Jumaat di Masjid Matlain Badrin, ianya memberi rahmat dan kemudahan kepada penduduk sekitar Kampung Pasir Tawar.

Sejarah lama perpecahan sudah berlalu. Sekarang masyarakat kampung hidup dengan harmoni walau berbeza fahaman politik. Boleh pergi mari bila ada sakit mati, kenduri kendara. Orang yang masih menimbulkan isu perpecahan ini sebenarnya ketinggalan zaman.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang dibawa PAS sekarang telah meningkatkan lagi momentum ini. PAS nak mengajak masyarakat mencari kesejahteraan bersama Islam. Bukan nak ajak orang ramai berpecah.

DR AZMAN IBRAHIM 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat - HARAKAHDAILY 6/3/2018

ROMPIN: Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 semakin banyak program dilaksanakan kerajaan bagi membantu Umno menarik sokongan rakyat.

Antaranya program jualan murah yang melibatkan subsidi terpaksa ditanggung kerajaan membabitkan peruntukan tidak sedikit.

Mulai tahun ini kerajaan BN menganjur program Jualan Sentuhan Rakyat di kawasan parlimen di seluruh negara.

Yang Dipertua PAS Rompin, Ustaz Nazri Ahmad berkata, pemimpin Umno seperti lupa silap urus tadbir sekarang dengan memperkenalkan GST menyebabkan berlaku kos sara hidup.

"Parti yang memerintah menyebabkan berlaku kenaikan harga barang ekoran pelbagai cukai diperkenalkan.

"Mereka yang menyebabkan berlaku kenaikan harga barangan. Sebaliknya dianjur pula jualan murah kononnya bersimpati dengan rakyat.

"Ini amat melucukan atau mungkin Umno merasa bersalah kepada rakyat dan ingin menebus kesalahannya," katanya di sini.

Program Jualan Sentuhan Rakyat dianjurkan kerajaan pusat di premis milik Umno di seluruh negara.

Nazri juga berkata, ada sesuatu yang menghairankan di sebalik kesungguhan Umno menganjurkan pesta jualan murah.

Menurutnya program jualan murah tersebut mungkinkah terlepas daripada GST atau kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan lagi bagi memberi subsidi kepada penjual terlibat.

"Penganjur pesta jualan murah Umno memperolehi keuntungan besar kerana mereka boleh mendapat barangan pada harga kilang kerana membeli dalam kuantiti banyak.

"Mungkin ada subsidi disediakan kerajaan. Ini hanya main silap mata sahaja," ujarnya. -HARAKAHDAILY 7/3/2018

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menafikan tuduhan Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa yang  mendakwa sebuah syarikat yang belum wujud diberi tender projek menaik taraf Loji Air Merbau Chondong.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Dato’ Hanifa Ahmad berkata, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) membuat tawaran tender terbuka projek Merbau Chondong pada 12 November 2014.
 
Katanya, sebanyak lima syarikat mengemukakan tawaran tender berkenaan.
 
"Setelah melalui peringkat penilaian tender oleh perunding bertauliah, kesemua tawaran tender diangkat untuk kelulusan dan pelantikan kontraktor bagi projek tersebut," katanya pada sidang media di Wisma Air hari ini.
 
Semalam Husam yang juga Naib Presiden PAN mendakwa sebuah syarikat usaha sama dianugerah surat setuju sedangkan ia ditubuh dua bulan kemudian.
 
Hanifa juga berkata, keputusan dibuat untuk meluluskan syarikat Cdah Construction Sdn Bhd JV Jangka Prestasi Sdn Bhd selepas melepasi tiga tahap utama. -HARAKAHDAILY 6/3/2018

AMPANG: PAS kini berada di atas landasan utuh untuk menerima mandat kuasa dan majoriti sebagaimana diakui oleh banyak penganalisis di mana mampu membentuk kerajaan atau menjadi ketua dalam kerajaan.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Dato' Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Ampang Kali Ke-34 di Auditorium MPAJ, Pandan Indah, di sini kelmarin.

Menurutnya, kajian banyak pihak antara terbaharu juga dari Merdeka Centre, Singapore Post dan lain-lain menunjukkan sokongan kepada PAS meningkat kepada 45 peratus, sedang Umno merosot.

Ketika sama ujarnya, Umno yang menjadi tunjang pemerintah ketika ini mengalami perpecahan teruk khususnya di beberapa negeri hingga membentuk PPBM, selain peralihan sokongan Melayu kepada PAS.

Perkara itu jelas beliau, turut terlihat dengan petunjuk dari Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang hingga kini tidak berani mengisytihar tarikh PRU kerana belum mendapat formula terbaik untuk menang.

Hal sama juga katanya, berlaku kepada komponen PH yang adanya ketidakpuasan hati sesama mereka dan perpecahan kian membesar atas pelbagai isu dasar dan prinsip.

Malah Ustaz Zawawi yang juga Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat menjelaskan, pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera digagaskan PAS telah memberikan perkembangan sangat positif.

Terangnya, ia bukan sahaja memberi ruang kepada PAS memberitahu dasar Islam dan cara mengatasi masalah negara, tetapi juga keyakinan para pegawai tinggi kerajaan bahawa PAS mampu selamatkan Malaysia.

Begitu juga menurutnya, dua kali pembentangan RUU355 di Parlimen memberi kepercayaan kepada rakyat bahawa PAS benar-benar menjadi teraju dan harapan yang memastikan negara berada di landasan syariat.

"Kesannya sangat besar, di kampung-kampung, JKKK yang Umno mula sedar pihak yang bawa Islam ialah PAS. Di Kelantan, berpusu-pusu ahli Umno masuk PAS.

"Antaranya bekas penghulu-penghulu kampung di Pasir Putih setelah sedar Umno tidak serius bawa RUU355 mereka nyatakan sokongan kepada PAS walaupun dipecat dari jawatan," ujarnya. - HARAKAHDAILY 6/3/2018

More Articles ...