17
Sat, Aug
24 Artikel Baru

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpendapat pertikaian Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dianggap mencalarkan maruahnya sebagai seorang pemimpin utama parti komponen Pakatan Harapan. Sebagai seorang pemimpin yang sangat berpengalaman, beliau sewajarnya bijak membaca perkembangan politik semasa negara. Setakat ini seorang wakil pengundi di Port Dickson telah memfailkan permohonan deklarasi mahkamah dan perakuan segera berhubung status DSAI sepertimana yang telah dibantah juga oleh wakil calon PAS ketika hari penamaan calon sebelum ini.

Di peringkat nasional, kita berdepan dengan kemelut ketidaktentuan ekonomi. Banyak bantuan kepada rakyat dinafikan contohnya dalam kalangan penjawat awam, golongan B40, para nelayan dan peminjam PTPTN. Projek-projek khas bagi menjamin kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan luar bandar juga telah dimansuhkan. Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada bulan November 2018 juga dianggap sebagai bajet berkorban. Kos yang diperuntukkan untuk PRK PD sahaja telah menelan belanja sebanyak RM3.6 juta. Namun, disebabkan kemahuan peribadi, beliau sanggup mahukan PRK diadakan untuk tujuan politik peribadi menjadi Perdana Menteri.

Mengapa ‘move’ mahu menjadi Perdana Menteri Ke-8 sentiasa diulang-ulang? Adakah ini sebagai bukti untuk menjustifikasikan ketidakupayaan Tun Dr Mahathir sebagai PM? Adakah parti-parti dalam Pakatan Harapan telah retak menanti belah? Bukankah PM sendiri telah berjanji untuk memberikan jawatan tersebut setelah 2 tahun? Tindakan ini akan menyebabkan lebih banyak ‘politiking’ dan berkemungkinan akan menjejaskan kestabilan politik negara.

Walaupun DSAI telah menjadi calon PRK PD, namun dari aspek moral, ia telah tercalar. Kerelevanan beliau sebagai calon dipertikaikan oleh banyak pihak termasuk dalam komponen Pakatan Harapan sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa ‘move’ Port Dickson penuh dengan kepentingan peribadi berbanding kepentingan awam dan ia tidak menjamin kesejahteraan rakyat khususnya pengundi di Port Dickson. Segala kepentingan awam diperjudikan demi untuk memenuhi motif peribadi DSAI.

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Adun Batu Burok, Terengganu – HARAKAHDAILY 3/10/2018

FIRMAN Allah:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ وَالْفُلْكَ تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِأَمْرِهِ وَيُمْسِكُ السَّمَاءَ أَنْ تَقَعَ عَلَى الْأَرْضِ إِلَّا بِإِذْنِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ

"Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu, dan (demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintahNya? Dan Ia pula menahan langit daripada runtuh menimpa bumi, kecuali dengan izinNya; sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan-Nya dan rahmat-Nya kepada umat manusia."

(al-Hajj: 65)

Inilah kenyataan Allah mengenai langit dan bumi-Nya. Semuanya dicipta untuk manfaat makhluk-Nya yang bernama manusia. Langit dan bumi adalah 'Ayah Manzurah' atas kekuasaan dan ketuhanan Allah. Namun manusia sering leka, alpa dan sombong. Sehingga mereka sewenangnya mendurhakai Allah. Ayat-ayat dan hukum-hakam Allah dilempar ke belakang seolah-olah mereka tidak pernah tahu kalau Allah telah pernah menurunkan kitab-Nya kepada mereka. Firman Allah:

وَلَمَّا جَاءَهُمْ رَسُولٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَهُمْ نَبَذَ فَرِيقٌ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ كِتَابَ اللَّهِ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ كَأَنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

"Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi Muhammad S.A.W), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya)."

[al-Baqarah: 101]

Kini manusia semakin berani mendurhakai Allah. Al-Quran telah diubah-ubah pengertiannya agar sesuai dengan kehendak mereka. Apa yang mereka lakukan persis apa yang dilakukan oleh pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani terhadap Taurat dan Injil selepas zaman Nabi-nabi mereka. Rasul-rasul dan ulamak di kalangan mereka dicemuh dan dihina. Ajaran agama dianggap penghambat kemajuan dan kebebasan manusia. Lalu saat itu Allah memberikan amaran awal-Nya dengan memerintahkan langit dan bumi menghukum manusia.

Gempa bumi, tsunami, taufan dan apa sahaja bencana adalah amaran Allah kepada yang tahu memerhati dan memiliki Ainul Basyirah. Kepada yang buta mata hati, bencana itu semua hanyalah fenomena alam biasa. Yang pastinya tidak akan pernah merubah sikap durhaka mereka sama sekali.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 
3 Oktober 2018 - HARAKAHDAILY 3/10/2018

 

TANGGAL 28 September yang lalu, Sulawesi Tengah telah dilanda gempa bumi bermagnitud 7.4 pada skala Richter pada jam 5.02 petang mengakibatkan tsunami setinggi tiga meter di pantai Kota Palu.

Ini merupakan kecemasan dan krisis kemanusiaan yang sangat dahsyat dengan mangsa korban melebihi 1000 orang dan semakin meningkat mengakibatkan Kerajaan Indonesia mengisytiharkan darurat.

Sebagai tanda solidariti jiran tetangga terdekat serumpun dalam ASEAN, Kerajaan Malaysia sepatutnya dengan pantas menjadi yang negara terawal menghantar bantuan kecemasan untuk membantu pihak berkuasa Indonesia.

Special Malaysia Disaster assistance and Rescue Team (SMART) atau agensi lain sepatutnya sudah siap bergerak misi membantu penduduk di Sulawesi yang sedang ditimpa bencana ini.

Telah dilaporkan oleh The ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management (AHA Centre) bahawa lebih 1.5 juta penduduk di bandar Palu, Donggala, Parigi, Moutong dan Sigi wilayah Sulawesi telah dan akan menerima kesan langsung mangsa kepada bencana gempa bumi dan tsunami ini.

Tidak memadai bagi kerajaan hanya mengucapkan takziah kepada Indonesia walhal bencana ini meruntun hal kemanusiaan yang tiada batas sempadan.

Dalam pada itu, sekalung tahniah diucapkan kepada NGO-NGO Malaysia yang nampaknya lebih pantas bertindak menghulurkan bantuan awal seperti PASRelief, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Yayasan Amal dan lain-lain yang sangat cakna akan situasi ini.

Sekali lagi saya menyeru atas semangat serantau dan saudara kemanusiaan, Kerajaan Malaysia dan juga negara ASEAN yang lain perlu segera menghantar bantuan kepada Indonesia menggunakan aset kepakaran yang ada.

"Islam Memimpin"
"Sejahtera Bersama Islam"

YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Sik / Ahli Jawatankuasa PASReleif /
Ahli Parlimen Sik

21 Muharram 1440 / 1 Oktober 2018 - HARAKAHDAILY 1/10/2018

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak pihak kerajaan untuk menjelaskan butiran dan faktor lebih 4,000 Projek Mesra Rakyat yang telah diluluskan bagi tahun 2018 dikatakan telah dimansuhkan.

Berdasarkan sumber maklumat yang diperolehi sehingga Julai 2018, jumlah 4,000 Projek Mesra Rakyat tersebut merangkumi setiap parlimen di seluruh negara. Anggaran keseluruhan nilai projek tersebut berjumlah lebih RM100 juta.

Contohnya, di Negeri Sembilan sahaja, projek yang terlibat berjumlah lebih 500 buah projek. Johor pula mencatatkan paling banyak iaitu lebih 800 buah projek, manakala di Kedah pula sebanyak lebih 500 buah projek.

Kebanyakan projek berkenaan adalah projek di luar kawasan bandar dan ia adalah projek keperluan masyarakat setempat seperti masjid, dewan dan jalan raya.

Apa yang disuarakan oleh PAS ini selari dengan kebimbangan yang disuarakan oleh Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia sebelum ini.

Tuntutan pembayaran projek berjumlah kira-kira RM8 juta masih belum dilunaskan disebabkan pemberhentian dana daripada pihak kerajaan.

Sekiranya jumlah ini tidak dibayar kepada pihak kontraktor Bumiputera ini, maka lebih kurang 400 syarikat kontraktor akan muflis. Bukan sekadar itu, kehidupan harian mereka turut terjejas.

PAS menuntut pihak Kerajaan khususnya Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk tampil memberikan penjelasan berhubung isu ini.

Perkara ini telah berlarutan terlalu lama sehingga menyebabkan pihak kontraktor yang telah menyiapkan kerja-kerja mereka tidak mendapat pembayaran yang sepatutnya.

Islam Memimpin

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
21 Muharram 1440 | 1 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 1/10/2018

PRK Parlimen 132 Port Dickson (PD) yang sedang dalam tempoh kempen ini bolehlah dimanfaatkan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai pentas penamat riwayat politiknya.

Rancaknya pengundi, penganalisis politik, pemerhati dan seluruh rakyat menilai PRK PD adalah kerana di sini ada perbalahan besar sedang berlaku.

Sudah lama PRK tidak dihiasi dengan jumlah calon bebas yang ramai, terakhir adalah di Bukit Selambau pasca PRU 12 dimana 16 calon bebas menyertainya.

PRK PD ini sangat istimewa, bukan kerana kehadiran bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad sebagai anak tempatan yang bertanding kali ini, jauh sama sekali saingan dari bebas.

Namun apa yang melingkari sepanjang kempen kali ini adalah perang antara Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohammad yang sebenarnya menuju ke kemuncaknya.

Pertelingkahan lama yang masih membara, Anwar tidak mahu melihat Tun Dr Mahathir kekal jadi Perdana Menteri (PM), disebabkan itu maka Langkah PD dicipta bersama orang kanannya kini iaitu Rafizi Ramli.

Perbalahan terbuka dengan kenyataan Mahathir bahawa beliau tidak pernah memaafkan Anwar adalah satu signal jelas bahawa Mahathir memamg semahunya Anwar tewas kali ini.

Secara logiknya, walaupun terpaksa sukarela menewaskan Anwar, kerajaan yang ada tetap akan kukuh kerana Mahathir yakin lebih ramai MP Umno akan menyeberang ke Bersatu demi survival mereka.

Apatah lagi, dalam PKR hanya tinggal team Rafizi yang terpalit pelbagai isu sahaja mempertahankan Anwar.

Sedangkan team Dato Seri Azmin Ali lebih kukuh cengkamannya kerana kini dia berada bersama Mahathir dan memegang jawatan yang bisa sahaja mengawal pergerakan mereka yang "kurang baik rekodnya" dalam soal integriti.

PRK PD kali ini memperlihatkan rancaknya tikam menikam antara team Rafizi dan Azmin hingga terlihat kempen "sailang" bagi menjatuhkan Anwar.

Kehadiran lima calon lain (tidak termasuk PAS) membayangkan bertapa PRK ini sangat penting menjadi penentu samada Anwar boleh bertahan atau sebaliknya.

Situasi yang bakal harus Anwar terima ketika selepas ini adalah bagaimana Mahathir akan memastikan Anwar kalah, samada dengan majoriti besar atau kecil.

Agensi kerajaan yang biasa diatur bekas Presiden Umno itu boleh sahaja menjadi alat kepada Mahathir menyekat Langkah PD seterusnya mengkuburkan politik Anwar.

Lebih dari itu, PD miliki kem tentera yang sangat besar jumlah pengundinya, maka manipulasi yang telah biasa berlaku di zamannya boleh sahaja dia lakukan demi menolak Anwar ketepi.

Rata-rata anak muda pengundi di sini bercakap mengenai perbalahan ini, malah mereka secara terbuka meluah rasa kesal melihat kegilaan dua pemain politik bercakaran angkara Langkah PD sedangkan masyarakat masih dalam belenggu ekonomi yang cukup parah.

Malah dalam tinjauan penulis beberapa hari sejak penamaan calon, ramai dalam kalangan pengundi bukan Melayu khasnya kaum India dan Cina sedikit pesimis dengan langkah PD yang dibawa Anwar ini, antaranya kerana mereka penat melihat perebutan kuasa antara pemimpin ini yang tidak kesudahan.

Ada terdengar suara-suara penolakan ke atas Anwar dari kalangan pemimpin anak muda setempat khasnya mereka yang duduk dalam kem Azmin dan pro Mahathir.

Untuk memilih Isa Samad atau Saiful Bukhari Azlan sebagai wakil rakyat, pengundi di sini sudah masak dengan sikap Isa yang terpalit dengan isu Felda selama ini, sementara Saiful Bukhari pula tiada kekuatan dan ketokohan sebagai orang politik.

Tetapi mereka berdua bakal memecah undi kerana masing-masing ada pengikut tersendiri. Kerana itulah, Anwar sebenarnya bimbang dengan situasi kini apatah lagi paling dibimbangi adalah "game" yang sedang diatur Mahathir menyekat langkah PD.

Ramai melihat PRK PD adalah titik akhir kepada Anwar menikmati hari-hari lewat usia politik, dan jika kali ini bekas Timbalan Perdana Menteri itu berjaya ditewaskan, maka akan berpecah belahlah PH menuju PRU15, dengan Mahathir sendiri akan dikenang sebagai PM yang berjaya menyekat pengaruh timbalan dan bakal PMnya untuk sekian kalinya. – HARAKAHDAILY 3/10/2018

PRESIDEN PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menerima kunjungan hormat Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, H.E. Kamala Shirin Lakhdhir di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur.

Pertemuan yang berlangsung lebih sejam tersebut menyentuh pelbagai isu politik dan perkembangan semasa, di peringkat dalam dan luar negara.

Presiden PAS berkongsi pandangan tentang konsep keadilan Islam, keutamaan untuk mendahulukan damai dalam setiap perkara, dan pendekatan yang diambil oleh PAS untuk membangunkan Negeri Kelantan dan Terengganu.

“Islam Memimpin”

SYAHIR SULAIMAN
Setiausaha Politik Presiden PAS
Bertarikh: 21 Muharam 1440 / 1 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 1/10/2018

TIDAK mudah juga untuk Anwar sampai ke kerusi Perdana Menteri (PM). Kalaupun bukan Mahathir yang menyekatnya, mungkin orang-orang Mahathir yang menghalangnya. Dalam keadaan PKR pecah dua dan DAP yang mula selesa dengan Mahathir menjadikan laluan Anwar tidak semudah yang dirancang oleh Rafizi dan Abdullah Sani.

Politik Malaysia sedang memerhatikan perkembangan hubungan group Anwar dan group Mahathir. Manakala DAP pula mungkin merasa lebih mesra dengan Mahathir kerana pada mereka lebih mudah mengawal Mahathir berbanding mengawal Anwar. Lagipun kerusi Bersatu lebih sedikit dari kerusi DAP berbanding kerusi PKR. Pertukaran Pengerusi SPR saat-saat suasana PRK Port Dickson (PD) sedang panas, semacam ada sebuah percaturan dari belakang untuk menghalang Anwar. Apa pun Anwar setakat ini belum buat apa-apa statement yang bersifat kontra dengan Mahathir. Tetapi orang-orang kuat Anwar seperti Rafizi dan Abdullah Sani makin pedas kritikan mereka kepada Mahathir. Sehingga Bersatu PD beri amaran kepada mereka berdua agar tidak turun berkempen untuk Anwar di PD.

Walaupun Mahathir dan Anwar masing-masing belum serang menyerang, namun pemerhati politik sudah dapat mengesan perang dingin sedang berlaku. Masing-masing sudah ada sniper yang akan mula memetik picu. Hanya tunggu keputusan PRK PD. kerana di sini akan bermula sebuah landskap baru politik Malaysia. Mungkin luka yang melukai Anwar tidak besar, hanya luka yang kecil, tapi saya percaya ia sebuah luka yang dalam dan memedihkan. Kalaupun nanahnya sudah kering tapi keluping dan parutnya masih jelas kelihatan. Kehadiran Saiful yang pernah ada isu yang panjang dengan Anwar dalam gelanggang PRK PD bukan suatu yang kebetulan. Teori kebetulan jarang berlaku dalam dunia politik.

Bersambung.....
Tunggu dan lihat....

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 
1 Oktober 2018 - HARAKAHDAILY 1/10/2018

 

More Articles ...