19
Fri, Jul
46 Artikel Baru

SEMALAM, 3.9.2018 - Mahkamah Tinggi Georgetown, Pulau Pinang telah melepas dan membebaskan (discharged and acquitted) YB Lim Guan Eng (LGE) dan Phang Li Koon daripada 2 pertuduhan di bawah Seksyen 23 Malaysian Anti-Corruption Commission Act 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Perintah pembebasan penuh tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas Timbalan Pendakwaraya Datuk Masri Mohd Daud pada awal prosiding semalam, memaklumkan kepada Mahkamah bahawa Peguam Negara tidak berhajat untuk meneruskan pendakwaan terhadap LGE dan Phang serta memohon menarik balik pertuduhan di bawah Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah.

Timbalan Pendakwaraya tersebut memaklumkan kepada Mahkamah bahawa: “Pihak Pendakwaan telah menerima representasi dari kedua-dua tertuduh dan selepas membuat penelitian, pihak pendakwaan memutuskan untuk menarik balik pertuduhan-pertuduhan tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang dibawah Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah untuk dilepas tanpa bebas”.

Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah bersama Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memberikan budibicara mutlak kepada Peguam Negara untuk antara lainnya memulakan pendakwaan dan menarik balik pendakwaan terhadap seseorang tertuduh.

Adalah menjadi maklumat awam bahawa Peguam Negara Tommy Thomas adalah bekas Peguam kepada LGE dalam prosiding yang sama, walaupun hanya setakat yang melibatkan prosiding menghina mahkamah (contempt proceeding) sebelum ini.

Sebulan yang lalu, pada 2.8.2018, Pejabat Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Peguam Negara Tommy Thomas menarik diri dari mengendalikan atau terlibat dalam pertuduhan ke atas LGE dan Phang, dan memaklumkan bahawa kes tersebut dikendalikan oleh Peguamcara Negara (Solicitor General) Engku Nor Faizah Engku Atek dan Zauyah Be Loth Khan.

LUHAM berpandangan bahawa sekalipun Pejabat Peguam Negara mengeluarkan kenyataan rasmi sedemikian, untuk menjarakkan Peguam Negara Tommy Thomas dari kes LGE, namun kenyataan tersebut tidak mampu memadamkan keresahan awam terhadap pentadbiran keadilan dalam konteks pendakwaan (dan pengguguran pendakwaan) yang dilihat masih diselubungi konflik kepentingan. Dalam keadaan Peguam Negara masih aktif mentadbir urusan harian Pejabat Peguam Negara, adalah tidak meyakinkan untuk rakyat mempercayai bahawa pegawai bawahannya termasuk Peguamcara Negara dapat membuat pertimbangan yang adil dan objektif dalam mempertimbangkan representasi dari kalangan tokoh-tokoh Kerajaan termasuk LGE.

Tambahan pula, penelitian terhadap Seksyen 376(2) Kanun Tatacar Jenayah, iaitu satu peruntukan yang memberikan kuasa kepada Peguamcara Negara untuk bertindak dan membuat keputusan selaku Pendakwaraya (Public Prosecutor), hanya boleh diaplikasi dalam 2 keadaan sahaja – iaitu in case of absence or inability to act of the Attorney General. [dalam ketiadaan dan ketidakupayaan Peguam Negara untuk menjalankan tugasnya].

Apa yang jelas, sewaktu Pejabat Peguam Negara membuat kenyataan tentang penarikan diri Tommy Thomas dari mengendalikan kes/representasi oleh LGE, Tommy Thomas masih seorang Peguam Negara yang aktif dan sihat pada kacamata undang-undang, dan dengan itu bukanlah seseorang yang berada dalam keadaan ”absence atau ”inability” sebagaimana kehendak Seksyen 376(2) Kanun Tatacara Jenayah. Oleh itu, memindahkan tanggungjawab pengendalian kes kepada Peguamcara Negara adalah bertentangan dengan undang-undang dan sukar dipertanggungjawabkan.

Dalam pada itu, LUHAM mendesak Pejabat Peguam Negara membuat kenyataan awam serta-merta untuk merungkaikan isu konflik kepentingan dengan menjawab persoalan-persoalan berikut:

(a) Apakah fakta-fakta representasi yang dipertimbangkan oleh pihak pendakwaan dalam melaksanakan budibicara untuk menggugurkan pendakwaan terhadap LGE?

(b) Apakah siasatan SPRM dan keterangan 25 orang saksi yang telah dipanggil tidak langsung mempunyai nilai prima facie untuk meneruskan pendakwaan sekurang-kurangnya pada peringkat kes pendakwaan?

(c) Apakah bentuk fakta-fakta baru yang mungkin ada dan telah tidak dipertimbangkan oleh pihak Pendakwaan sebelum ini?

Pada akhirnya, LUHAM mendesak Peguam Negara Malaysia Baru agar dilihat agar mengotakan janjinya untuk mempertahankan keluhuran undang-undang dan hendaklah tidak dilihat sebagai mewarisi pendakwaan terpilih (selective prosecution) Kerajaan terdahulu.

Sejahtera Bersama Islam

Wan Rohimi Wan Daud
Timbalan Pengerusi Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), PAS Pusat
4 September 2018 | 23 Zulhijjah 1439 – HARAKAHDAILY 4/9/2018

APABILA orang Islam hendak mengamalkan hak mereka, maka terserlah wajah-wajah dan tulisan yang anti kepada penghayatan Islam. Apabila hukum sebat syariah tidak salah dari segi bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka mereka cuba bermain dengan emosi pula. Kenapa sebat dilaksanakan di hadapan orang ramai, ini bukan cara untuk mendidik? Macam-macam lagi tuduhan untuk memperkecilkan syariat Allah SWT.

Sebenarnya golongan ini hendak apa? Mereka hendak membentuk masyarakat ke arah mana. Bercakap dengan emosi atau memang tidak suka dengan Islamisasi.

Perlu diingatkan umat Islam hanya menuntut hak mereka di dalam kerangka perlembagaan. Umat Islam masih menggunakan muwajahah silmiah. Mereka bukan menuntut hak mereka dengan kekerasan dan di luar batas demokrasi. Mereka masih menghormati ulama yang melarang menggunakan kekerasan.

Harapan saya supaya semua lapisan masyarakat daripada pemimpin hingga orang biasa, sama ada Islam atau bukan Islam perlu menghormati hak orang Islam. Jangan ada orang yang cuba hendak melakukan provokasi dan penghinaan kepada usaha untuk mengangkat Syariat Islam.

Isu agama, isu yang cukup sensitif. Orang Islam di negara ini, boleh sabar jika tanah mereka hilang tetapi mereka tidak boleh agama mereka dicabul dan dihina. Jika hendak keharmonian dikekalkan hormatlah hak orang Islam sebagaimana Islam melarang penganutnya mengganggu agama orang bukan Islam.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
4 September 2018 – HARAKAHDAILY 4/9/2018

BISMILLAH. Semalam, 3 September 2018, di Negeri Terengganu, telah menyaksikan satu sejarah baharu yang dilaksanakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Terengganu iaitu hukuman sebat terhadap pesalah Lesbian yang dibuat secara terbuka. Ia dihadiri oleh kira-kira 100 orang awam bagi melihat sendiri bagaimana ia dijalankan. Tahniah kepada pengurusan Mahkamah Syariah Terengganu yang melangkah, membuka era baharu bagi menangani jenayah syariah.

Sejarah kepada hukuman sebat sebegini telah berlaku semenjak dahulu lagi. Semenjak Rasul-rasul yang diutuskan kepada manusia sejagat. Ianya bukan sesuatu yang pelik, terutama kepada golongan agamawan, sama ada agama Islam, ataupun agama-agama lain. Mereka tahu hukuman yang dibuat di hadapan orang ramai adalah hukuman pencegahan. Ia tidak boleh dibayar dengan wang ringgit, tetapi dengan maruah mereka. Ia akan menjadi ingatan berpanjangan kepada khalayak manusia. Pernah ada sekumpulan Yahudi meminta Rasulullah mengadili kesalahan mereka. Apabila Rasulullah menyuruh mereka mengikut hukuman kitab mereka, mereka cuba menutupnya. Dan hukuman itu sebenarnya mesti dilakukan di hadapan orang ramai.

Tetapi agak pelik apabila saya melihat ramai non-Muslim cuba mencampuri urusan hal ehwal Islam dan Muslim. Kenapa mereka suka menyindir dan menghina hukuman Islam? Mereka bukan sahaja lupa tentang kontrak sosial dalam negara ini tetapi juga Perlembagaan Malaysia yang memberi kebebasan untuk beramal dengan agama masing-masing. Kami orang Muslim dilarang mencerca agama dan pengamalan agama lain walau sepelik mana sekalipun dan kita tidak bersetuju. Jika sikap mempertikaikan ritual yang diamalkan oleh semua penganut, nescaya ia akan mengundang perbalahan dan pertelingkahan agama yang serius dan berpanjangan. Mungkin, golongan ini mahu mencetuskan huru hara agar mereka boleh mengambil kesempatan untuk terus menguasai negeri ini? Dan adakah mungkin juga golongan ini akan mempertikaikan pengamalan dalam agama lain juga seperti Hari Thaipusam yang bagi kita jelas menyiksa tubuh badan mereka?

Dalam Islam, Rasulullah pernah memerintahkan hukuman sebat dilakukan kepada seorang wanita yang mengaku berzina setelah beberapa ketika ditangguhkan akibat wanita itu mengandung, sehinggalah pesalah itu selesai menjaga anaknya sehingga berusia enam tahun, baharulah dia dihukum. Juga terdapat Hadis yang mengisahkan adanya hukuman rejam yang dijalankan terhadap pesalah ‘Mukhsan’ iaitu pesalah zina yang telah berkahwin. Namun setelah beberapa kali direjam, akibat tidak tertahan, pesalah melarikan diri. Orang ramai yang melaksanakan hukuman rejam itu kemudiannya bertindak mengejar pesalah sambil memaki hamun. Akan tetapi Rasulullah tidak membenarkan mengejarnya dan memakinya.

Mengikut pandangan ulamak, hukuman Lesbian ini bukan terletak di bawah hukuman Hudud secara total. Walaupun ia dianggap sebagai zina, tetapi Lesbian diletakkan di bawah hukuman Takzir. Bagi memberi kefahaman yang jelas mengenai Hudud dan Takzir, secara ringkas, hukuman Hudud seperti zina lelaki dan wanita mesti disebat 100 kali. Ia tiada tawar menawar kerana itu adalah had oleh Allah, jelas dinukilkan dalam al-Quran. Manakala Takzir adalah suatu hukum yang sedikit bawah daripada Hudud, mengikut kebijaksaan Hakim, tetapi tidak boleh melampaui hukuman Hudud. Jadi apabila Lesbian diletakkan di bawah hukuman Takzir, ianya tidak boleh mencapai maksima 100 sebatan. Dan tatacara merotan juga tidak menyeksa pesalah.

Dalil bagi pelaksanaan hukuman sebegini di hadapan orang ramai, disebut dengan jelas dalam al-Quran. Hukuman ini bukan untuk menagih simpati, tetapi sebagai peringatan dan kesedaran bagi orang-orang yang melihatnya. Firman Allah:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman"

(an-Nur: 2)

Jelas apabila hukuman ini dijalankan di hadapan orang ramai, ia memberikan kegerunan kepada manusia. Inilah yang kita mahukan. Apabila mereka tertegah untuk melakukan dosa, maka masyarakat akan merasa selamat. Kerajaan Negeri juga amat gembira kerana keselamatan rakyat meningkat, rasa selesa dengan jaminan keselamatan. Kerajaan Negeri tidak mahu rakyat bergelumang dengan dosa. Dosa adalah menjadi suatu perkara yang sangat memalukan, sentiasa dielak untuk melakukan. Kerajaan Negeri tidak mahu bercakap mengenai hak asasi manusia sekiranya hak Allah terlebih dahulu dicabul. Mana mungkin kita mengagungkan hak hamba ketika hak tuan kepada hamba itu diinjak-injak. Suka diingatkan bahawa yang harus kita marah dan benci ialah perbuatan dosa itu sendiri. Adapun kepada empunya badan, sama-samalah kita memohon keampunan Allah kepada mereka. Begitulah hebatnya hukuman daripada Allah. Ia sangat menggerunkan bukan sahaja pesalah, tetapi iuga penyokong-penyokong mereka.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,
Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu - HARAKAHDAILY 4/9/2018

PAS meletakkan calon terbaik dan cukup berwibawa untuk mewakili semua Panglima, Pegawai Memerintah Pangkalan dan Squadron, Pegawai Pemerintah, Pegawai Kanan, PW squadron, PTB Kanan dan semua anggota TUDM serta PDRM termasuk isteri-isteri yang akan mengundi 4 September. Dr. Halimah Ali jika dipilih sebagai wakil Rakyat N.32 Seri Setia akan berbicara mewakili lebih 53,000 pengundi termasuk 2,579 pengundi ATM, PDRM, ahli BAKAT dan PERKAP.

Dr Halimah Ali adalah seorang bekas Wakil Rakyat PAS yang telah melaksanakan tanggungjawab sebagai Adun dan Exco Kerajaan Selangor dengan cemerlang. Selayaknya beliau menjadi pilihan kita khususnya anggota ATM, ahli BAKAT dan PERKAP untuk membela kebajikan serta urustadbir Rakyat di Negeri Selangor.

Dalam situasi pentadbiran kerajaan PH yang dilihat cacamerba dan melakukan pembohongan kepada rakyat secara terang- terangan atas kegagalan pelaksanaan 100 hari manifesto, adalah amat wajar pengundi pos di Dun Seri Setia. Ini memberikan signal yang jelas kepada mereka dengan memilih Dr. Halimah untuk membawa suara rakyat dan aspirasi pengundi yang kecewa sekarang ini.

Janji palsu, Dasar pengembelingan Ekonomi Negara yang pincang dan goyah, harga barangan tetap mahal adalah antara keluhan rakyat di Dun Seri Setia yang jelas melambangkan kelemahan pentadbiran kerajaan PH yang cakap tak serupa bikin. Pengundi mesti berani menegur melalui saluran demokrasi untuk membantah @ protes dengan turun mengundi calon yang mampu menegur Kerajaan Negeri dan membantu pengundi khususnya wanita. Seluruh Rakyat perlu sedar bahawa kita sedang melihat sebuah negara dipimpin oleh tokoh-tokoh berkepentingan peribadi yang mempermainkan harapan rakyat untuk membawa perubahan kepada negara tetapi realitinya kini, hanya tinggal harapan, malah semakin hari semakin merisaukan dengan pelbagai isu yang berlaku.

Sebagai Presiden KERABAT Veteran ATM, saya menyeru agar Panglima Pangkalan, YBhg Dato Haji Muzamil Ong Abdullah, Tuan Pegawai Memerintah Squadron dan Tuan Pengarah Depoh SMS PDRM, Tuan OCP dan semua Ketua Balai yang berada di Dun N.32 Seri Setia agar dapat memastikan semua pengundi pos dari unit masing-masing dapat turun dan melaksanakan tanggungjawab mereka.

Sebagaimana semua sedia maklum, saya dan Menteri Pertahanan pernah duduk sepentas sejak 2009 dalam gerak kerja untuk mengesa Kerajaan BN dahulu memberikan bantuan kebajikan kepada anggota secara berterusan. Ini termasuk memberikan tanah lot perumahan dan rumah percuma kepada anggota ATM dan Isteri mereka sebagaimana yang dinikmati oleh tentera di Bangladesh, Pakistan dan India.

Namun, semenjak Menteri Pertahanan ini ditukar dari pimpinan BN ke tokoh PH, isu ini tidak langsung menjadi agenda penting mereka malah seolah-olah tidak langsung kedengaran. Kebajikan jangka panjang yang telah termaktub dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera 1973 ini adalah sangat releven dalam membantu kemelut anggota ATM, isteri dan veteran untuk memperolehi rumah yang merupakan keperluan asas mereka yang sentiasa taat setia termasuk terpaksa berpindah randah melibatkan isteri dan ahli keluarga ke mana-mana sahaja sebagaimana diarahkan. Pengorbanan ini wajar dihargai oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada anggota ATM dan Dr. Halimah Ali adalah suara yang sesuai untuk membawa aspirasi kita ini.

LT KOL TUDM (B) HJ NAZARI HJ MOKHTAR
Presiden 

Kebajikan Rangkaian Bekas ATM Kebangsaan (KERABAT) - HARAKAHDAILY 4/9/2018

*Kol Haji Nazari pernah berkhidmat sebagai komandan Pusat Latihan Pentadbiran dan Pengurusan TUDM yang berpangkalan di TUDM Subang dan Tinggal Di Quaters hampir 10 Tahun

PILIHAN Raya Kecil (PRK) N32 bagi Dun Seri Setia adalah medan terbaik bagi rakyat memberikan pengajaran kepada kerajaan PH dengan mengundi calon PAS. Rakyat seharusnya sedar akan permainan kerajaan PH yang dilihat gagal menunaikan janji manifesto yang dicanangkan ketika kempen PRU14 lalu dalam tempoh 100 hari yang dijanjikan.

Manifesto berkaitan tol, peluang pekerjaan baharu untuk sejuta rakyat, PTPTN, KWSP untuk suri rumah dan banyak lagi janji hanyalah sebagai manisan untuk memancing undi namun sehingga kini masih gagal dilaksanakan.

Dengan mengundi dan memenangkan calon PAS di Seri Setia termasuklah memberi undi kepada calon MCA di Balakong adalah sebagai satu isyarat kepada kerajaan PH untuk berhati-hati agar tidak sewenang-wenangnya membuli rakyat lagi.

Pemilihan kepimpinan menerusi medium pilihan raya sama ada PRU atau PRK adalah melibatkan soal kelayakan seseorang untuk menunaikan amanah dan memberikan hak kepada mereka yang selayaknya.

Apa yang berlaku sekarang adalah akibat daripada menyerahkan urusan pentadbiran kepada mereka yang bukan selayaknya mentadbir. Pentadbiran negara menjadi tidak stabil dan terus membebankan rakyat. Ini jelas dari sabdaan Baginda SAW menerusi sebuah hadis.

إذا وُسِّدَ الأمر إلى غير أهله فانتظر الساعة

Maksudnya: “Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya yang layak, maka tunggulah kehancuran.” [Riwayat al-Bukhari]

Dalam situasi pasca PRU14 ini, kematangan dalam mewujudkan kestabilan politik di tanah air ialah dengan menguatkan peranan pembangkang. Ini membolehkan suara rakyat dapat diangkat kepada Dewan Negeri agar diberikan perhatian lebih oleh kerajaan sedia ada.

Malah dengan mewujudkan pembangkang yang kuat, ia mampu menjadi penyemak dan pengimbang terhadap perjalanan pentadbiran kerajaan agar tidak memperjudikan nasib rakyat.

Sudahlah manifesto gagal dilaksanakan dalam tempoh yang dijanjikan, apa yang berlaku pula adalah amat membimbangkan dengan isu seperti gerakan LGBT yang semakin menjadi-jadi, tidak mengutamakan isu pemerkasaan Mahkamah Syariah dan sebagainya.

Sehubungan itu, memperkuatkan suara pembangkang di negeri Selangor menerusi PRK kali ini adalah langkah terbaik dalam menstabilkan politik menerusi semak dan imbang daripada suara pembangkang yang kuat.

Oleh yang demikian, segala usaha yang menjurus ke arah membantu kepada kemenangan calon PAS yang datang daripada pelbagai pihak dan parti pembangkang lain adalah suatu usaha yang berteraskan kebaikan. Ini antara sikap yang patut dijadikan contoh dalam kematangan berpolitik bagi mempastikan kebajikan rakyat terbela.

Rekod pengalaman PAS dalam berpolitik, PAS meletakkan agenda kepentingan agama dan ummah sebagai keutamaan. Oleh itu, jalinan kerjasama PAS atas apa-apa persefahaman adalah berteraskan keuntungan kepada Islam.

Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru agar semua pengundi menunaikan kewajipan mereka dengan keluar mengundi calon PAS di Seri Setia. Kekalahan calon PH dalam PRK ini akan mengurangi kuasa kerajaan PH dan menguatkan suara pembangkang sebagai semak imbang terhadap perjalanan pentadbiran kerajaan PH.

PAS telah menyediakan calon yang sangat berpotensi dengan rekod cemerlang yang dimiliki oleh Dr Halimah Ali semasa beliau menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ini. Semoga kemenangan berpihak kepada calon PAS di N32 Seri Setia.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Membina Negara Sejahtera”

USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
23 Zulhijjah 1439 / 4 September 2018 – HARAKAHDAILY 4/9/2018

KEPERCAYAAN terhadap ketelusan Kerajaan mengangkat nilai kedaulatan undang-undang semakin terhakis dengan penarikan semula dua kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon. Ia menimbulkan persoalan ramai terhadap sejauh mana institusi teras dalam negara ini benar-benar bersih daripada pengaruh pihak luar dalam menentukan tindakannya.

Kerajaan sering melaung-laungkan slogan kedaulatan undang-undang dengan gagasan mereformasi institusi perundangan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Namun, apakah sebuah kedaulatan undang-undang itu terpakai hanya untuk melindungi mereka yang berkuasa, sedangkan perbicaraan kes rasuah Menteri Kewangan tersebut baru pada fasa awal setelah melalui penyiasatan sejak 2016?

Jika pihak tertuduh yakin berada pada pihak yang benar, sewajarnya kes yang berprofil tinggi ini dibicarakan sehingga diputuskan oleh sebuah mahkamah yang bebas, bukannya ditarik balik oleh Peguam Negara. Itu makna sebenar di sebalik hasrat Kerajaan mengangkat slogan kedaulatan undang-undang. Malah, selain dilihat wujudnya campur tangan, pengguguran kes ini menimbulkan persepsi bahawa pihak tertuduh tidak berani berhadapan dengan perbicaraan.

Selain kekaburan terhadap janji reformasi tersebut, saya juga berpandangan pengguguran kes ini akan berkait dengan kredibiliti penyiasatan SPRM. Kenyataan pihak SPRM yang terkejut dengan keputusan pengguguran kes ini menggambarkan bahawa mereka tidak dirujuk oleh Pejabat Peguam Negara sebelum mengemukakan representasi ini ke mahkamah. Apakah penyiasatan pihak SPRM selama ini sudah tiada kredibiliti lagi?

Tuntasnya, pengguguran kes Lim Guan Eng menjelaskan pencanggahan kepentingan yang berlaku. Bagaimana mungkin Peguam Negara boleh dilihat bebas, tidak berat sebelah, mempunyai kepentingan awam dan tanpa dipengaruhi oleh politik dengan pendirian pengguguran kes ini? Persoalan ini semua masih menjadi tanda tanya dalam kalangan rakyat.

Kesemua perkara ini jelas memberi gambaran implikasi terhadap pengguguran kes berprofil tinggi dalam negara kita. Lebih malang lagi, ia bukan sahaja membelakangi janji reformasi pihak Kerajaan terhadap rakyat, bahkan telah menyebabkan institusi-institusi tersebut mengalami defisit keyakinan oleh rakyat hari ini.

"Sejahtera Bersama Islam"

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ahli Parlimen Bachok
4 September 2018 | 23 Zulhijjah 1439 – HARAKAHDAILY 4/9/2018

PAS meneliti episod penarikan balik tuduhan kes rasuah terhadap Menteri Kewangan Malaysia, YB. Lim Guan Eng, oleh Peguam Negara di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.

PAS akur dengan kuasa budibicara Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkannya memulakan, menjalankan atau menghentikan sesuatu kes jenayah di Mahkamah Sivil. Namun demikian kuasa budi bicara tersebut perlu dilaksanakan selaras dan mengikut undang-undang (must be exercised judicially and judiciously), bukannya secara membuta tuli.

Memandangkan kes rasuah yang melibatkan mantan Ketua Menteri Pulau Pinang ini merupakan suatu kes yang mempunyai kepentingan awam dan perlu dijelaskan kepada orang ramai, maka PAS menuntut Peguam Negara menjelaskan:
(i) apakah kandungan representasi Tertuduh kepada Peguam Negara;
(ii) apakah kriteria dan justifikasi kenapa kes tersebut digugurkan selepas lebih dari 20 orang saksi dipanggil;
(iii) adakah pandangan (opinion) SPRM telah diambil kira sepenuhnya;
(iv) adakah kes ini akan mengikat (binding) kes-kes lain yang mempunyai fakta yang sama dengan kes tersebut dan akan turut ditarik balik; dan
(v) Apakah kedudukan kes terdahulu yang mempunyai fakta yang sama tetapi telah disabitkan oleh mahkamah.

Memandangkan kes ini melibatkan seorang Ahli Parlimen dan juga Menteri Kabinet Persekutuan, satu Kertas Putih perlu dibentangkan dalam Parlimen akan datang bagi menjelaskan perkara ini demi memelihara dan menjaga integriti dan martabat Institusi Parlimen.

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung
Bertarikh: 03 September, 2018 - HARAKAHDAILY 4/9/2018

More Articles ...