WALAUPUN RUU 164 dibawa oleh kerajaan. 13 MP PAS menentang. Kami bangun untuk Speaker benarkan kira belah bagi supaya dikira setiap orang. Tapi apakan daya. Peraturan dewan menetapkan mesti ada 15 orang baru boleh dikira undi belah bagi. Mesej jelas. Datuk Takiyuddin Hassan (MP Kota Bharu) dan Dr Mohd Khairuddin (MP Kuala Nerus) yang bahas mewakili PAS amat jelas.

13 MP PAS sahaja yang bantah, walaupun kerajaan yang bawa. Sikap PAS adalah jelas, apabila baik untuk umat dan Islam kita sokong walaupun dibawa oleh kerajaan. Kalau sebaliknya, PAS akan lawan walaupun dibawa oleh kerajaan. Ini sikap PAS.

Tidak timbul isu PAS 'berUG' dengan umno apabila sokong RUU 355. Kerana ia baik untuk umat dan Islam. Nasihat saya kepada ahli PAS janganlah kita "terlajak cerdik" menuduh mereka yang menyokong RUU 164 telah makan dedak Datuk Seri Najib. Sebagai mana yang selalu dituduh kepada PAS. Biarlah  mereka kata kepada kita. Buktikan dengan amalan. Selagi kita pegang dengan Islam kita tenang dengan semua keadaan.

PAS matang, rasional, istiqamah, berhikmah, berilmu dalam tindakan. Sejahtera Bersama Islam. Aslim taslam. Islam selamat, negara selamat. Islam selamat Melayu selamat. Islam selamat Cina selamat. Islam selamat India selamat. Islam selamat, Kadazan, Dusun, Murut, Iban selamat.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
17 Zulkaedah 1438 / 10 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 10/8/2017

TERIMA kasih kepada Tuan Yang Dipertua, mengizinkan saya untuk membahaskan pindaan rang undang-undang Akta 104 berkaitan dengan Akta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah 1973. Kalau kita melihat kepada hasrat pindaan yang dicadangkan ini ialah untuk sebahagiannya peningkatan penyampaian perkhidmatan yang melibatkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah yang menjadi agensi yang ditugaskan bagi kemajuan wilayah dalam kawasan yang melibatkan tiga daerah; Hulu Terengganu, Hulu Dungun di Dungun dan juga Hulu Chukai di Kemaman.

Oleh itu, jika kita melihat kepada keluasan kawasan yang di bawah kawalan KETENGAH ini bagi kawasan pembangunan wilayah yang berasaskan kepada Dasar Ekonomi Baru Malaysia yang telah disebutkan oleh Menteri tentang keluasan jumlah ketika Akta 104 yang menjadikan KETENGAH Diperbadankan, keluasan 443,876 hektar kemudian ditambah pula dengan kawasan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu dengan keluasan 209,199 hektar yang telah digazetkan menjadikan keseluruhan keluasan Wilayah KETENGAH 653,075 hektar bersamaan dengan satu perdua keluasan Negeri Terengganu. Keluasan negeri Terengganu ialah 1,295,512.1 hektar.

Dengan adanya tiga daerah dalam keluasan yang ditugaskan kepada KETENGAH ini, kita boleh menilai setelah daripada 44 tahun kelulusan akta ini diberi, apakah dengan peruntukan saban tahun yang telah diberi kepada kementerian untuk disalurkan kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, mencapai maksud daripada hasrat yang diletakkan dalam misi KETENGAH yang disebut tiga dimensi menjelang tahun 2020.

Pertama, organisasi. KETENGAH menjadi organisasi yang terkemuka dalam pembangunan wilayah. Dengan menjaga keluasan satu perdua negeri Terengganu, kita akan boleh melihat hasil daripada pencapaian yang telah berlaku daripada misi KETENGAH ini.

Kedua, melalui dimensi kawasan iaitu menjadikan Wilayah KETENGAH sebagai tempat kediaman dan kawasan industri atau perusahaan yang terbaik.

Ketiga, melalui dimensi insan. Penduduk Wilayah KETENGAH merupakan insan yang berilmu, berteknologi, berkemahiran dan seimbang dalam segala lapangan hidup iaitu disebut sebagai ‘khairul ummat’. Realiti dalam 44 tahun meliputi tiga daerah.

Terengganu ada lapan daerah termasuk Kuala Nerus baru-baru ini. Kita boleh melihat bagaimana perkembangan kemajuan seperti yang diletakkan dalam misi KETENGAH ini. Bandar adalah sumber bagi kita melihat kemajuan yang ada.

Pembangunan Bandar AMBS sendiri, Durian Mas atau Al-Muktafi Billah Shah yang merupakan nadi dan pusat bandar kepada pentadbiran KETENGAH menjadi bandar yang tidak membangun berdasarkan kepada tempoh 44 tahun Akta 104 ini diluluskan.

Ini menunjukkan bahawa bandar itu menentukan suatu kemajuan yang ingin dicapai kalau hendak menjadikan bandar itu pusat kepada kemajuan yang boleh kita lihat daripada penubuhan KETENGAH dalam operasinya untuk menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dalam daerah pentadbiran.

Bandar yang dirancang, Rasau. Kita tidak melihat satu pembangunan bandar yang baik. Kerteh, apatah lagi sekarang ini sebahagian daripada petroleum yang sepatutnya berada dalam Kerteh itu juga dipindahkan ke Johor. Kemudian, kita melihat Bandar Bukit Besi sendiri yang diuar-uarkan sebagai bandar pelancongan, apatah lagi dengan sekarang ini pula apabila penggunaan Lebuhraya Pantai Timur 2 menyebabkan FT14 jalan persekutuan sudah tidak menjadi jalan utama. Kebanyakan bandar-bandar menjadi bandar yang terpinggir.

Hulu Chukai begitu juga, dalam daerah Kemaman dan juga Cheneh. Padahal banyak agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam wilayah ini antaranya FELDA, RISDA dan FELCRA menunjukkan bahawa mesti ada satu pelan pembangunan yang terancang dengan baik untuk memastikan misi-misi yang disebut oleh misi KETENGAH ini dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan kerana hanya dijangka akan dapat dicapai pada tahun 2020. Padahal kita mungkin tidak mempunyai masa yang dirangka daripada sudah berlaku 44 tahun itu untuk kita melihat hakikat sebenar yang berlaku dalam wilayah yang sangat luas bagi kelolaan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah ini.

Apa yang saya ingin tanya ialah, apakah peluang-peluang pekerjaan yang telah diwujudkan kerana rata-rata kita melihat penduduk dalam Wilayah KETENGAH ini tidak mencapai satu tahap kedudukan yang membolehkan mereka untuk keluar daripada keadaan yang sedia ada. Itu yang pertama.

Kedua, apakah pembangunan IKS yang telah dilaksanakan kerana melibatkan penduduk dalam taraf yang sedia ada itu sekurang-kurangnya dapat dirangka oleh kementerian berdasarkan kepada kaedah memberikan suatu input kepada KETENGAH untuk merangka pembangunan IKS dalam wilayah ini.

Kita melihat Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) atau Durian Mas secara ringkasnya adalah pusat pentadbiran KETENGAH tetapi ia tidak menjadi bandar yang merupakan nadi pembangunan bagi Wilayah KETENGAH atau dalam bahasa mudahnya bandar yang menjadi minus pembangunan. Kita tidak melihat satu kerangka dengan bajet yang diberi selama 44 tahun, ia melibatkan suatu pembangunan wilayah yang benar-benar diharapkan daripada misi yang dicatatkan. Ketengah Holdings ada 13 buah anak syarikat. Peranannya perniagaan tetapi di manakah pembangunan penduduk yang dirancang bagi wilayah ini?

Saya juga ingin minta suatu penjelasan mengenai isu pemilikan tanah yang masih belum selesai. Rumah yang rakyat diami ataupun penduduk diami dalam wilayah ini sudah lebih daripada puluhan tahun. 40 tahun yang lalu tetapi masih berstatus sewa sedangkan mengikut perjanjian asal ketika Wilayah KETENGAH ini diwujudkan iaitu semasa penubuhan KETENGAH, penduduk akan mendapat hak milik.

Sekarang, berstatus sewa sahaja sedangkan sudah 44 tahun ditubuhkan dan rakyat yang berada dalam kawasan KETENGAH ini mendiami kawasan ini, membayar sewa dengan harapan supaya mereka akhirnya akan mendapat hak milik tetapi geran diberikan atas nama KETENGAH. Lalu, KETENGAH meletakkan bahawa tidak akan diberikan hak milik. Ini isu yang juga penting untuk diselesaikan dalam Wilayah KETENGAH ini.

Tujuan penubuhan untuk kemajuan ekonomi dan sosial kepada rakyat yang tinggal dalam kawasan Wilayah KETENGAH menunjukkan bahawa pemilikan tanah itu menjadi asas yang utama daripada sewaan yang mereka lakukan. Kalau tidak diselesaikan, hak mereka ini, rakyat dalam kawasan KETENGAH ini akan terus terpinggir dari pembangunan wilayah dan ini adalah bertentangan dan berlawanan dengan maksud asal penggubalan Akta 104 ini, Akta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah 1973 ini kerana ia adalah untuk kepentingan. Kita sampaikan perkhidmatan itu kepada rakyat.

Oleh itu mesti kembali kepada perjanjian asal sebagaimana yang ditawarkan kepada penduduk. Mana-mana penduduk yang tinggal dalam kawasan KETENGAH selama lima tahun, bayaran berterusan, diuruskan kepada mereka suatu perjanjian sewa beli yang baru supaya mereka mendapat hak milik daripada mereka berada dalam kawasan KETENGAH ini.

Akhir sekali, saya ingin mendapatkan maklum daripada Kompleks Bebas Cukai Pulau Bayas, Tasik Kenyir. Bagaimana perkembangan infrastruktur kompleks ini setakat ini? Kedua, jumlah kos keseluruhan dan perbelanjaan yang telah dibelanjakan setakat ini untuk kemajuan projek ini setakat ini.

Ucapan Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli semasa membahaskan Rang Undang-undang Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat pada 8 Ogos 2017.

SAYA berkesempatan mengikuti secara langsung perbahasan RUU 164 melalui siaran web tv. Bermula selepas maghrib sehingga lulus jam 1 pagi. Banyak kupasan dan hujahan diberikan; ada yang pro dan ada yang kontra.

Secara jelasnya PAS menentang RUU ini atas alasan yang jelas:

1. Seksyen 51 RUU bercanggah dengan undang-undang persekutuan sedia ada seperti Seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 2003.

2. Ianya juga bercanggah dengan peruntukan Perkara 121 1A Perlembagaan Persekutuan.

3. Secara alternatifnya dicadangkan ditubuhkan satu tribunal untuk mediasi sebelum kes dibicarakan.

Rata-rata MP yang berhujah mempertikai alasan Seksyen 88A yang ditarik balik. Beberapa orang MP DAP secara nyata menyatakan kekesalan atas tindakan menteri membuang seksyen tambahan tersebut.

Tapi saya lebih terkejut bilamana MP Parti Amanah Negara yang beragama Islam pun boleh bersetuju dengan hujahan rakan baik mereka.

Sedangkan secara jelas, ia bercanggah dengan peruntukan perlembagaan yang kemudiannya ditafsir oleh Mahkamah Persekutuan dan bersamaan dengan fatwa peringkat kebangsaan.

PAS mencadangkan RUU ini ditarik balik bagi membolehkan pembentukan satu jawatankuasa yang terdiri dari semua stake holder dan mencadangkan satu RUU bersama.

Malangnya seruan tersebut telah dikalahkan dengan undian suara dan mendapat sokongan majoriti semua MP kecuali MP PAS.

Nah sekarang... siapa yang tuan-tuan nampak sebenarnya membela Islam?                        

NIK BAHRUM NIK ABDULLAH
Pengkalan Chepa, Kelantan
10/8/2017

SIKAP ambil kesempatan isu 1MDB untuk kepentingan politik sehingga keluar negara memburukkan imej kita di mata Rakyat dunia khususnya para pelabur dan pelancong.

Akhirnya, Rakyat juga yang menerima kesan buruknya. Kejatuhan ekonomi dan kewangan negara akibat publisiti negatif berterusan dari isu 1MDB ini akan mengheret Rakyat yang tidak berdosa untuk sama-sama menanggungnya.

Oleh sebab itu PAS melalui Budaya Politik & Matang (BPMS) mengambil pendekatan inklusif dan progresif untuk sama-sama membantu menyelesaikan isu ini tanpa perlu memangsakan rakyat dan negara sebagai kerosakan kolateral dalam memenuhi kepentingan politik peribadi sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk memancing undi tanpa mengambilkira implikasi buruknya terhadap rakyat dan negara.

Sikap politik matang PAS amat dihargai dan dipuji. Contoh sikap matang sebuah Kerajaan Menunggu atau 'Government in Waiting' yang terbukti sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara  dari kepentingan politik parti. – HARAKAHDAILY 10/7/2017

SEJAK zaman kanak-kanak lagi, anak seusia enam tahun di sekolah rendah dibebani dengan memikul beg sekolah berat sehingga boleh menyebabkan sakit belakang dan masalah kelengkungan tulang belakang akibat setiap hari membawa beg berat ke sekolah.
 
Masalah kanak-kanak membawa beg berat ke sekolah setiap hari bukanlah sesuatu isu yang baru tetapi ia adalah masalah lama yang tidak ada penyelesaian sehingga kini. Oleh sebab masalah ini kurang mendapat perhatian pihak berkenaan, kanak-kanak berisiko tinggi mengalami sakit belakang, leher, bahu dan sakit tulang belakang.
 
Menurut Pakar Ortopedik dan Pakar Tulang Belakang, kanak-kanak harus membawa beban 1/10 daripada berat badan dan tidak lebih daripada itu. Beliau menambah bahawa disebabkan masalah itu terdapat peningkatan jumlah pesakit tulang belakang di kalangan pelajar sekolah hari ini.
 
Begitu juga masalah sakit leher dan bahu tidak terkecuali kerana pada masa yang sama potensi dari kesan membawa beg sekolah berat.
 
Siapa yang tidak bimbang melihat anak-anak kecil yang membawa beg sekolah yang kadang-kadang lebih besar dan lebih berat daripada saiz mereka sendiri? Ibu bapa mana sanggup melihat keadaan ini berterusan? Adakah kita sedar tentang kesan buruk yang dihadapi oleh anak-anak kecil ini?
 
Menurut saintis yang menjalankan ujian ini, ia membuktikan bahawa membawa beg berat memberi kesan
kepada tulang belakang seorang kanak-kanak, walaupun hanya seberat 4 kilogram (10% daripada berat purata kanak-kanak) hanya dipikul. Mereka menasihatkan bahawa kajian harus dijalankan untuk mengelakkan kanak-kanak ini memikul beg sekolah yang berat setiap hari.
 
PAS menggesa Kementerian Pendidikan mengkaji semula dan mencari cara terbaik untuk mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh anak kecil di sekolah rendah ini.
 
Antara cadangan yang boleh kita fikirkan bersama untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menggalakkan kanak-kanak sekolah rendah ini menggunakan beg sekolah beroda dan dengan mudah ditarik, dari beg sekolah bahu. Menggunakan laci di sekolah untuk menampung buku teks yang berat. Laci hendaklah dikunci menggunakan kad magnet bersepadu dalam lencana atau Tag nama kanak-kanak jadi mereka tidak lupa membawanya ke sekolah. Guru juga boleh menyimpan "kunci utama" jika kanak-kanak terlupa untuk membawa kunci mereka di sana mereka dapat gunakan kunci pendua.
 
Mengasingkan buku latihan yang perlu dibawa ke rumah melalui buku teks yang mengandungi pembelajaran. Oleh itu, buku latihan untuk dibawa pulang akan menjadi lebih ringan. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan untuk membantu anak-anak mereka di rumah.
 
Mungkin kementerian pendidikan atau jabatan pendidikan harus mengkaji kesan beban berat pada kesihatan keseluruhan kanak-kanak. Kita berasa kasihan kerana anak-anak kecil ini terpaksa menanggung beban berat beg itu setiap kali ke sekolah. Mereka harus diberikan kemudahan dan keselesaan untuk pembelajaran mereka dan kesihatan mereka di masa depan tidak akan terjejas.
 
Kami berharap isu ini dapat ditangani dengan segera supaya anak-anak kita boleh pergi ke sekolah dengan selesa dan kesihatan serta keselamatan mereka terjamin. – HARAKAHDAILY 10/8/2017

PERTIKAIAN beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) terhadap penjelasan dan pendirian PAS berhubung isu 1MDB rentetan dari pertemuan dan sidang meja bulat khas bersama Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda ternyata disengajakan, serta dilihat masih bersikap mahu mempolemikkan keadaan. Sedangkan kematangan dalam menuju kepada solusi seharusnya diwujudkan agar masalah dapat ditangani.

Pendirian asas dan semasa untuk menyiasat segala skandal serta menggerakkan langkah penyelesaian menerusi pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)  dan pelan penstrukturan; sewajarnya dipersetujui secara terbuka dan lapang dada demi kepentingan negara, tanpa diemosikan oleh sentimen negatif atau bermotif meraih kesempatan politik.

PAS sebagaimana juga pihak lain, turut mengakui bahawa 1MDB adalah antara skandal kewangan terbesar negara sebagaimana perkara seumpama yang banyak terjadi dan menjadi liabiliti kepada rakyat dan negara sebelum ini. Bezanya, 1MDB melibatkan pelbagai agensi dan negara serta jumlah dana sangat besar, sehingga menjadi perhatian kritikal seantero dunia.

PAS turut mengambil maklum dan menghormati laporan penyiasatan dari Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, termasuk tindakan-tindakan berkaitan oleh negara asing lainnya, sebagai di bawah bidangkuasa negara berkenaan. Namun, pengadilan dengan undang-undang negara ini mestilah diutamakan sebagai junjungan terhadap kedaulatan yang dimiliki.

Semua proses dan bentuk tindakan undang-undang yang di lakukan demi keadilan dan menyelamatkan wang serta ekonomi negara mestilah didokong. Manakala konflik kepentingan melibatkan pihak yang disiasat oleh kekurangan kuasa oleh BNM, SPRM atau PDRM, diteguhkan dengan gesaan supaya RCI dibentuk dan bukannya mengundang pihak luar atau asing.

Arul Kanda seharusnya diberi peluang untuk berperanan membetulkan kesilapan dan kepincangan 1MDB dan bersikap tidak memihak, sebaliknya adil, jujur serta amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya. Beliau dan pasukannya perlu berusaha menjayakan pelan rasionalisasi memandangkan hutang yang dijamin oleh Kementerian Kewangan Malaysia secara tidak langsung membabitkan kantung kewangan negara.

Kami percaya, usaha dilaksanakan adalah ke arah merungkai kesilapan lalu dari memberi musibah dan kemungkinan lebih buruk, selain kembali untuk bangun semula. Walaupun kami berpuashati dengan penjelasan diberi, namun tetap berpegang kepada prinsip sama bahawa tegas tidak mahu wang mahupun aset negara digunakan lagi bagi menampung operasi mahupun hutang 1MDB.

PAS mahu setiap individu yang bertanggungjawab di heret ke muka pengadilan ‘without fear or favour’ dan jika didapati bersalah, dihukum sewajarnya atas perbuatan dilakukan yang sangat memalukan rakyat dan negara. PAS tidak mahu beban 1MDB menjejaskan ekonomi negara dan secara tidak langsung kepada rakyat secara keseluruhannya, apatah lagi di saat ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu.

Kewangan negara perlu utuh untuk menampung perbelanjaan mahupun defisit, demi kelangsungan pertumbuhan negara. Kemelut 1MDB secara tidak langsung menjejaskan kepercayaan pelabur luar kepada negara yang turut memainkan peranan di dalam pertumbuhan ekonomi negara dengan nilai pelaburan cukup besar, di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

PAS mahu kemelut ini diselesaikan segera, setelah bebanan lampau warisan BN yang masih terbeban hingga kini, di mana rakyatlah yang membayar semua hutang tersebut melalui pelbagai instrument percukaian. Maka, sewajarnya kerajaan dan parti yang korup ini diturunkan dari tampuk pemerintahan, seterusnya dibina masa depan negara lebih gemilang dengan menggantikan sistem berteraskan Islam.

IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
10 Ogos 2017 | 17 Zulkaedah 1438. – HARAKAHDAILY 10/7/2017

KLEPTOKRASI adalah jenayah. Demikian juga amalan nepotisme dan kronisme. Ia adalah mungkar yang wajib dicegah dan PAS sentiasa melaksanakan tanggungjawab itu sejak awal penubuhannya, merentasi semua zaman pemerintahan BN termasuklah zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir.

PAS bukan sahaja mahu agar tidak wujud lagi pemimpin yang melakukan mungkar itu, bahkan PAS mahu agar ruang dan peluang melakukan jenayah itu juga tertutup rapat; kerana itu PAS menyeru kepada perubahan sistem.

Pendirian PAS tegas bahawa isu hutang dan aliran wang 1MDB ini adalah suatu yang mesti disiasat secara telus dan menyeluruh bagi mengenalpasti dan mengesahkan wujud salah laku yang didakwa, justeru itu dapatlah dihukum semua individu atau pihak yang disabit salah.

Tanpa menafikan pentingnya peranan SPRM, Jabatan Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan PDRM serta BNM, namun mesti diakui juga bahawa badan ini mempunyai keterbatasan bidang kuasa dalam sistem negara kita. Dalam masa yang sama, ketegasan kita tidak perlu mengundang campurtangan asing dalam menangani isu ini.

Oleh sebab itu, PAS konsisten menggesa dan mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu ini secara bebas dan berwibawa untuk memastikan jika terdapat sebarang salah laku atau penyelewengan, maka pesalahnya mestilah dijatuh hukum  sewajarnya.

Siasatan suatu perkara. Pun begitu, isu ini sendiri sudah pun menyebabkan kepentingan negara dan rakyat terancam. Usaha bagi menyelamatkan kepentingan terancam ini adalah keutamaan yang mesti didahulukan dan semua pihak mesti terlibat; bukannya mengambil kesempatan bagi meraih kepentingan peribadi atau politik parti masing-masing.

Hutang 1MDB ini mesti diselesaikan dengan cepat dan wajar. Sekiranya tidak, negara dan rakyat berterusan menanggung beban ini tanpa peduli lagi parti atau pemimpin mana yang sedang berkuasa nanti.

Pelan Rasionalisasi 1MDB, meskipun berdepan dengan pelbagai kritikan, sekurang-kurangnya itulah pelan yang ada dan sedang berjalan bagi mengawal kerosakan yang telah berlaku. Pelan penyelesaian ini wajar diberi peluang untuk dijayakan tanpa sebarang campurtangan politik.

Tanggungjawab semua bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan pelan ini sentiasa ditambahbaik melalui kuasa semak dan imbang yang kita miliki.

Inilah cara PAS dan PAS berasa bahawa ia adalah lebih selamat untuk semua; negara dan rakyat. Berterusan menyalahkan pihak lain tidak dapat menyelesaikan masalah. Inilah jua yang telah dipertegas oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi selaku Presiden PAS dan Timbalannya Ybhg Dato Tuan Ibrahim Tuan Man.

”Sejahtera Bersama Islam”

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
09 Ogos 2017 | 16 Zulkaedah 1438 - HARAKAHDAILY 9/8/2017

More Articles ...