KEPULANGAN Nabi S.A.W dari medan Tabuk disambut meriah oleh orang yang beriman, tetapi menjadi penghinaan kepada orang Munafik yang bersekongkol dengan Rom untuk menyerang Islam. Ketibaan Nabi S.A.W rupanya ditambahi keberkatannya oleh Allah S.W.T kerana ia segera didatangi oleh Bani Thaqif, salah satu kaum yang menghina Baginda S.A.W sedekad yang lalu, ketika dakwah dikembangkan di Taif. Kerana gagalnya dakwah di Taif inilah, Nabi S.A.W berhijrah ke Yathrib, kota yang kini dikenali sebagai Madinah.

Taif, sebuah kota pertanian yang bersuhu rendah di Tenggara Makkah menjadi pilihan Rasulullah S.A.W dalam misi dakwahnya. Ia berpunca daripada seorang pemimpin Bani Thaqif di Taif telah berkahwin dengan wanita Quraisy, manakala moyang Baginda S.A.W sendiri, Hasyim bin Abdul Manaf, juga mempunyai seorang isteri dari Bani Salim yang tinggal di Taif. Mereka diharapkan oleh Baginda S.A.W supaya dapat menerima Islam. Bani Thaqif ialah anak cucu kepada Amr bin Umair bin Auf bin Aqdah bin Ghirah bin Auf bin Thaqif. Mereka adalah pemimpin utama penduduk Taif.

Gagalnya dakwah ke Taif: Allah makbulkan doa

Selepas kematian Abu Talib bin Abdul Mutallib dan Khadijah binti Khuwailid, Nabi S.A.W berasa sangat sedih, dalam masa yang sama orang Quraisy mulai mengganggu kerja-kerja dakwah setelah Himayah (perlindungan) dari Abu Talib telah tiada. Baginda S.A.W cuba mendapatkan pertolongan dari Bani Thaqif di Taif, sekali gus melebarkan dakwahnya ke sana. Tetapi usaha Nabi S.A.W gagal apabila pemimpin Taif tiga bersaudara, Abdu Yalil, Mas'ud dan Habib bin Amr bin Umair bin Auf telah menolak dakwah Nabi S.A.W. Mereka sebalik merancang untuk berbuat jahat kepada Nabi S.A.W tetapi bimbang orang Quraisy membalas dendam, lalu diupah orang-orang bodoh untuk menghalau dan mencaci Nabi S.A.W sehingga Baginda S.A.W keluar dari Taif. Dalam peristiwa inilah Baginda S.A.W bertemu dengan seorang pemuda Nasrani bernama Addas di kebun milik Utbah bin Rabiah.

Ketika berada di kebun ini, Nabi S.A.W didatangi Jibrail yang meminta izin untuk bertindak ke atas penduduk Taif, tetapi Nabi S.A.W menolaknya kerana mengharapkan dari sulbi mereka lahir orang-orang beriman. Sebalik Nabi S.A.W berdoa:

"Ya Allah berilah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui."

Diriwayatkan bahawa, selain Addas yang beriman dengan Nabi S.A.W, turut beriman ialah delegasi Jin Nashibin yang bertemu dengan Baginda S.A.W di Nakhlah. Mereka telah beriman dan menyeru kaum jin untuk turut beriman kepada Nabi S.A.W. Selepas 10 hari di Taif, Nabi S.A.W kembali semula ke Makkah dengan harapan Bani Thaqif akan beriman kepada Allah suatu hari nanti.

Bani Thaqif mendatangi Nabi S.A.W dan menerima Islam

Ibnu Ishak mencatatkan bahawa ketika Nabi S.A.W menuju ke Madinah dari Tabuk, Baginda S.A.W didatangi oleh pemimpin Bani Thaqif, Urwah bin Mas'ud as-Tsaqafi. Beliau adalah anak kepada Mas'ud bin Amr bin Umair at-Tsaqafi yang pernah menolak dakwah Nabi S.A.W di Taif sebelumnya. Setelah beliau memeluk Islam, beliau diperintahkan mengajak kaumnya kepada Islam. Pada 27 Ramadan 9H, Urwah bin Mas'ud tiba di Taif dan mengajak kaumnya kepada Islam, tiba-tiba dia dipanah ketika sedang menyeru kepada Islam, lalu syahid. Kerana syahidnya Urwah bin Mas'ud ini, penduduk Taif telah bermesyuarat dan bersetuju untuk masuk Islam. Mereka mengirimkan Abdu Yalil bin Amr bersama pemimpin Bani Malik, Bani Yasar, Bani Salim dan Bani al-Harith untuk menemui Rasulullah S.A.W dalam bulan Ramadan itu juga.

Bermula dengan Islamnya Bani Thaqif dan penduduk Taif, maka dalam tempoh selepas kepulangan dari Tabuk menyaksikan Kabilah-kabilah Arab berbondong-bondong memeluk Islam sehingga turunnya Surah al-Fath, dan tahun 9H dinamakan Tahun Delegasi kerana banyaknya delegasi Kabilah Arab datang memeluk Islam. Antara kabilah yang penting memeluk Islam ialah Bani Tamim, Bani Saad bin Bakr, Bani Abdul Qais, Bani Khanifah, Suku Thayyi, Kabilah Hamdan, Bani Zubaid, Bani Kindah, Bani Jurasy, Gabenor Rom Farwah bin Amir, penduduk Najran dan Raja-raja Himyar. Sehingga wafat Nabi S.A.W pada Rabiul Awal 10H, seluruh Wilayah Tanah Arab telah tunduk kepada Islam.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
27 Ramadan 1439 / 12 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 13/6/2018

AL-QURAN telah menjelaskan fenomena hujan yang mencurah ke bumi sebagai ketentuan Allah S.W.T yang perlu dilihat sebagai nikmat ataupun bencana berdasarkan kapasiti dan kadar turunnya hujan tersebut. Kejadian hujan yang turun melalui langit dan bukan awan telah dirakamkan melalui ayat:

فَفَتَحْنَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ بِمَاءٍ مُنْهَمِرٍ. وَفَجَّرْنَا الْأَرْضَ عُيُونًا فَالْتَقَى الْمَاءُ عَلَىٰ أَمْرٍ قَدْ قُدِرَ

"Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air, lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk melakukan satu perkara yang telah ditetapkan."

[al-Qamar: 11-12]

Hujan yang menjadi asbab rahmat kepada manusia selalunya diturunkan dengan kapasiti yang sesuai untuk manfaat manusia. Tidak semua hujan merupakan rahmat bagi manusia, terkadang ia adalah malapetaka yang diturunkan Allah S.W.T sebagai peringatan buat mereka yang ingkar.

Kaum Nabi Nuh telah ditimpa dengan hujan yang lebat sehingga tenggelam bumi keseluruhannya sebagai tanda azab lantaran keingkaran mereka terhadap seruan Nabi Nuh A.S. Allah menggunakan perkataan 'buka pintu langit' sebagai lafaz yang menunjukkan betapa luasnya pintu langit dibuka berserta azab melalui air hujan yang mencurah-curah bergabung dengan air yang keluar melalui bumi.

Mengikut Ahli Sains, hujan yang lebat dan membawa musibah juga biasanya turun apabila berlaku pembentukan awan Kumulonimbus yang disertakan dengan petir. Awan jenis ini dikategorikan sebagai awan yang paling berbahaya jika dibanding dengan awan-awan lain. Awan ini lazimnya menghasilkan hujan yang sangat lebat dalam tempoh yang singkat dan selalu dikaitkan dengan kejadian banjir kilat.

Jadilah hamba Allah yang bersyukur dan sentiasa mendoakan kebaikan tatkala turun hujan agar malapetaka tidak turun bersama.

USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
27 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 12/6/2018

TERDAPAT berbagai perkhabaran dari punca-punca yang boleh dipercayai mengenai begitu banyak kontrak-kontrak yang telah diberikan kepada kroni-kroni oleh kerajaan dahulu dengan harga-harga yang tidak masuk akal. Ini termasuk pembinaan jalan-jalan tol yang diswastakan sejak kebelakangan ini.

Misalannya jika kita kaji kontrak-kontrak untuk pembinaan jalan raya kita dapati harga pembinaan untuk 1 kilometer jalan telah pun melambung begitu tinggi dalam masa yang paling singkat. Semua kontrak-kontrak ini diberikan kepada kroni-kroni yang kebanyakkannya nama besar dan di peringkat atasan.

Apa yang telah diketahui dan dibongkar oleh Kementerian Kewangan dan Council Eminent Persons adalah terlalu sedikit berbanding dengan jumlah kesalahan-kesalahan yang telah berlaku. Saya penuh yakin apabila semua kontrak-kontrak runding terus ini telah disiasat atau dirunding semula maka jumlah kewangan yang akan diselamatkan sudah tentu akan dapat banyak membantu mengurangkan hutang negara.

Begitu juga terdapat berbagai pembinaan jalan-jalan tol sejak akhir-akhir ini yang juga ditawarkan kepada kelompok-kelompok yang sama dengan harga-harga yang tidak masuk akal. Jelaslah terdapat terlalu banyak yang dicuri dari projek-projek ini.

Memang telah menjadi suatu amalan, apabila kontrak-kontrak runding terus ini telah ditawarkan maka akan timbul pula tuntutan tambahan yang berbagai-bagai menerusi '"Variation Orders" yang akan disokong dan diluluskan oleh ahli-ahli geng yang sama di berbagai peringkat. Perkara seperti ini telah mula menjadi suatu budaya dan telah merebak di seluruh peringkat jentera kerajaan. Oleh itu pihak kerajaan haruslah bertindak tegas, berani dan segera untuk menyelamatkan rakyat dari kerugian dan tragedi yang begitu besar terus menerus melanda negara.

Untuk menyelamatkan masa dan bertindak segera saya cadangkan pihak kerajaan menubuhkan beberapa Jawatankuasa Pakar dalam bidang-bidang tertentu untuk mengkaji semula kontrak-kontrak ini yang telah ditawarkan oleh berbagai Kementerian dan Jabatan khususnya Kementerian Kewangan dan juga Kerajaan-kerajaan Negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Seluruh negara begitu berdukacita dan runsing mengenai hutang negara yang begitu besar dan yang telah disembunyikan dari rakyat dengan begitu bijak selama ini. Walaupun orang-orang yang bertanggungjawab dan salah ini akan dibawa ke muka pengadilan, ini tidak akan dikecualikan rakyat dari terus menanggung beban hutang tersebut yang begitu perit.

(TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA ABDUL KADIR HJ SHEIKH FADZIR)

TARIKH: 7 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 12/6/2018

INDIA merujuk sebuah negara yang berada di Asia Selatan (subcontinent). Negara tersebut memiliki kepadatan penduduk kedua tertinggi di dunia, dan keluasan tanah ketujuh terbesar di dunia. Berkongsi sempadan dengan Pakistan di sebelah Barat, China dan Nepal di sebelah Utara serta Bangladesh dan Bhutan di sebelah Timur.

India turut dikenali sebagai bangsa yang memiliki tamadun tinggi, bahkan antara kaum bertamadun terawal dunia, kira-kira Milenia ketiga sebelum Masihi. Orang Arab yang mengenali India sebagai Hind sangat teruja dengan ketamadunan dan budaya India sehingga menamakan diri dengan Hindi, Hindun dan sebagainya. Antara pengaruh Tamadun India terhadap peradaban manusia adalah sistem penomboran yang ada hari ini.

Pada Era Kolonialisasi, India termasuk di antara Wilayah Empayar British dan menjadi Pusat Kawalan British di Asia. Asalnya Wilayah India hingga ke sempadan Afghanistan dan Myanmar, tetapi perbalahan antara agama dan kaum menyebabkan British menganugerahkan kemerdekaan dengan memisahkan Pakistan daripada India. Pakistan pula asalnya dibahagikan kepada Timur dan Barat, namun berlaku konflik dalaman yang akhirnya membawa pembebasan Pakistan Timur daripada Barat lalu membentuk Negara Bangladesh tahun 1971.

Nabi S.A.W menyatakan tentang India:

عِصَابَتَانِ مِنْ أُمَّتِي أَحْرَزَهُمَا اللَّهُ مِنْ النَّارِ : عِصَابَةٌ تَغْزُو الْهِنْدَ ، وَعِصَابَةٌ تَكُونُ مَعَ عِيسَى بْنِ مَرْيَمَ عَلَيْهِمَا السَّلَام

"Dua pasukan daripada umatku yang akan dipelihara daripada api neraka: pasukan yang memerangi India dan pasukan yang bersama Isa bin Maryam A.S."

[HR Nasaie]

Walaupun perang antara Islam dan India telah berlaku di zaman awal Khilafah Umawiyah, namun ramai ulamak berpandangan bahawa peristiwa peperangan Islam terhadap India sebagaimana yang dinyatakan oleh Hadis Nabi S.A.W hanya akan berlaku di akhir zaman, di masa dekatnya tempoh Nabi Isa A.S turun ke bumi. Perkara ini dikuatkan oleh pelbagai Hadis lain, antaranya sabda Rasulullah S.A.W:

لَيَغْزُوَنَّ الْهِنْدَ لَكُمْ جَيْشٌ ، يَفْتَحُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ حَتَّى يَأْتُوا بِمُلُوكِهِمْ مُغَلَّلِينَ بِالسَّلاسِلِ ، يَغْفِرُ اللَّهُ ذُنُوبَهُمْ ، فَيَنْصَرِفُونَ حِينَ يَنْصَرِفُونَ فَيَجِدُونَ ابْنَ مَرْيَمَ بِالشَّامِ

"India akan diperangi oleh satu pasukan tentera yang akan dibuka di tangannya negara tersebut. Sehingga mereka berjaya menangkap Raja-raja mereka dengan belenggu rantai. Allah mengampunkan dosa-dosa mereka. Selepas itu pasukan ini meninggalkan mereka, ketika meninggalkan itu, pasukan tersebut mendapat Nabi Isa bin Maryam sudah berada di Syam."

[HR Ishak dan Nuaim]

India hari ini merupakan antara sekutu paling rapat US dan Israel. Menjadi negara dengan pembelian kelengkapan ketenteraan Israel terbesar di dunia. Israel juga merupakan pembekal pertahanan kedua terbesar kepada India. Dari sudut perdagangan, India adalah negara ke-10 terbesar bagi Israel. Yang paling penting, India telah membenarkan negaranya menjadi tempat ujian senjata Israel.

Pakistan pula antara negara umat Islam yang memiliki tenaga nuklear dengan kerjasama China dan Jepun selain US sendiri. Sebelum ini Pakistan menerima banyak bantuan dana daripada Amerika dan hubungan antara kedua negara ini baik sehingga zaman Presiden Barack Obama. Namun baru-baru ini hubungan antara kedua negara ini mula renggang selepas Donald Trump seolah-olah sengaja mencari salah Pakistan apabila negara tersebut menolak hasrat US melalui undian berkenaan status Baitulmaqdis di PBB. Kenyataan-kenyataan terbaru Presiden US dilihat sengaja menimbulkan ketegangan dalam hubungan antara dua negara ini sehingga ke tahap mempertikaikan kembali status nuklear negara berkenaan.

Perang Dunia Ketiga seringkali dikaitkan dengan perang nuklear. Hadis-hadis Nabi S.A.W turut menunjukkan perkara serupa tentang Malhamah Kubra. Antaranya apa yang diriwayatkan oleh Ibn Mas`ud:

لم ير مثلها، حتى إن الطائر ليمر بجنباتهم فما يخلفهم حتى يخر ميتاً

"Kamu tidak pernah melihat kedahsyatan perang sedemikian. Sehingga burung yang terbang melintasi medan perang tersebut akan jatuh mati."

[HR Muslim]

Gambaran yang dinyatakan mengenai Malhamah sangat dahsyat. Seolah-olah kawasan perang tersebut tercemar sehingga menyebabkan burung yang sedang terbang boleh gugur mati. Pencemaran boleh berlaku akibat radiasi dari senjata nuklear. Akibat dari radiasi nuklear sangat dahsyat kepada organisme di muka bumi tidak kira manusia, binatang hatta tumbuhan sekalipun.

Radiasi nuklear turut dikaitkan oleh sebahagian ulamak sebagai ad-Dukhan (asap) yang disebutkan di dalam al-Quran dan juga Hadis Nabi S.A.W:

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سِتًّا: طُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، أَوِ الدُّخَانَ، أَوِ الدَّجَّالَ، أَوِ الدَّابَّةَ، أَوْ خَاصَّةَ أَحَدِكُمْ أَوْ أَمْرَ الْعَامَّةِ

"Bersegeralah kamu melakukan amal sebelum tiba enam perkara: Matahari muncul dari arah Timur, Dukhan, Dajjal, Dabbah, kematian setiap dari kamu, atau urusan awam yang disia-siakan."

[HR Muslim]

Sebagai negara nuklear dan negara umat Islam, pastinya Pakistan akan turut diheret ke kancah konflik serantau. India dijangka akan memainkan peranan sebagai anjing US bagi mengekang kemaraan Pakistan. Sementelah perseteruan antara India-Pakistan sehingga kini masih tidak berakhir. Dalam perkembangan lain, US kini sedang mendekati Korea Utara selepas perbincangan damai nuklear bersama Iran menemui jalan buntu.

Sekiranya perang ini benar-benar meletus, maka Nabi S.A.W menggambarkan bahawa tentera Islam bakal memenanginya, dan pemerintah India akan ditangkap sebelum mereka bertaubat. Selepas itu, tentera tersebut akan menyertai pasukan al-Mahdi di Syam, dan mendapati bahawa Nabi Isa telahpun turun bagi menghadapi Dajjal.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Hadis Geo-Eskatologi; Lokasi dan Kronologi akhir zaman yang bakal diterbitkan.)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
27 Ramadan 1439
12 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 12/6/2018

 

KEJAYAAN membuka Makkah yang diikuti oleh kemenangan Perang Hunain dalam tahun ke-8 Hijrah telah melonjakkan kedudukan Islam sebagai kuasa politik baru yang mengancam Rom dan Parsi. Namun begitu, ketika Kabilah-kabilah Arab mulai masuk Islam, Kaisar Rom, Heraclius dengan sombong menjadikan kegagalan tentera Islam mengalah Rom dalam Perang Mu'tah pada 5 Jamadil Awal 8H sebagai alasan bahawa Rom adalah kerajaan terkuat, dan merancang untuk meluaskan wilayahnya di Tanah Arab yang telah dikuasai oleh Islam. Bahkan, Rom telah bersekongkol dengan penduduk Dumah dan juga orang Munafik di Madinah untuk menghancurkan Islam.

Melihat kepada kebiadaban Empayar Rom Timur ini, Rasulullah S.A.W telah mengarahkan satu persiapan tentera untuk menghadapi kemaraan tentera Rom. Baginda S.A.W telah membuat persiapan awal dengan mengumpulkan infak Fisabilillah dan membuat penyertaan tentera sehingga mencecah 30,000 tentera. Terdahulu, Nabi S.A.W telah menghantar Khalid al-Walid ke Dumah untuk menghapuskan pemberontakan Ukaidir bin Abdul Malik yang dibantu oleh Rom. Ketika ini, orang-orang Munafik yang diketuai oleh Abu Amir ar-Rahib telah mengadakan pakatan sulit dengan Rom dan mendirikan Masjid Dhirar untuk menghancurkan Islam. Rasulullah S.A.W juga telah bertindak menghalang pemimpin Munafik, Abdullah bin Ubai daripada menyertai ekspedisi ke Tabuk.

Medan Tabuk: Kemenangan tanpa pertempuran

Dalam bulan Rejab 9H, setelah kegagalan pasukan Islam mengalahkan Rom di Mu'tah, sejumlah 30,000 tentera Islam, termasuk 10,000 tentera berkuda telah bergerak ke Tabuk dengan dipimpin sendiri oleh Nabi S.A.W. Perjalanan sejauh 800 km ini mengambil masa 20 hari untuk sampai di Tabuk. Pasukan Rom yang dipimpin oleh Satria Hercules bergerak ke kawasan tersebut dengan 40,000 tentera dan dibantu oleh Bani Ghassan. Kedua-dua pasukan walau bagaimanapun tidak bertembung ekoran tindakan pasukan Rom berpatah ke Utara setelah menyedari kekuatan pasukan Islam.

Perjalanan yang sangat panas ini dibantu oleh Allah dengan hujan lebat. Ketika sampai di Tabuk, Allah mendatangkan rasa takut di hati musuh sehingga mereka tidak berani menghampiri pasukan Islam kerana dikatakan melihat 100,000 tentera malaikat dalam pasukan Islam. Setelah itu, pemimpin Ilyah, sebuah kota berdekatan Tabuk, Yuhana bin Ru'bah telah datang kepada Rasulullah S.A.W untuk berdamai, diikuti oleh penduduk Jarba dan Azruh. Mereka bersedia membayar Jizyah dan tunduk kepada Islam. Dengan bertambahnya kekuatan Islam, pasukan Rom telah berundur dan kemenangan dicapai 27 Syaaban 9H tanpa sebarang pertempuran.

Kembali ke Madinah dengan kemenangan yang menutup ke-Rasulan

Setelah pasukan Rom berpatah balik dan pasukan Islam mencapai kemenangan tanpa berperang, Nabi S.A.W bertahan di Tabuk selama 10 hari. Kesempatan ini digunakan untuk memperkukuhkan pengaruh Islam. Baginda S.A.W menemui kabilah-kabilah untuk berdakwah atau mengadakan Perjanjian Damai yang menyebabkan mereka membayar Jizyah kepada Kerajaan Islam di Madinah. Banyak Kabilah Arab telah melepaskan diri daripada pengaruh Rom, sebaliknya tunduk kepada Islam pula. Ia sekali gus membentuk benteng yang kuat bagi menghalang Empayar Rom menyerang Wilayah Islam di Selatan, di samping menjadi laluan untuk Islam membuka Syam kemudiannya. Sebelum Nabi S.A.W pulang, satu rombongan Pendeta Nasrani dari Lembah Sinai telah datang dan mengadakan Perjanjian Damai dengan Islam, seperti mana Yahudi berdamai dalam Sahifah Madinah.

Selepas 10 hari di Tabuk dengan kejayaan besar, pada 6 Ramadan 9H, Nabi telah bertolak pulang ke Madinah. Baginda S.A.W tiba di Madinah pada 26 Ramadan 9H dengan membawa kemenangan besar dalam perang yang menutup ke-Nabian ini. Perang Tabuk adalah perang terakhir bagi Rasulullah S.A.W sekali gus perang terakhir dalam sejarah ke-Nabian. Selepas tiba di Madinah dengan kejayaan besar, orang-orang Munafik mulai ketakutan, terutama apabila melihat kunjungan-kunjungan Kabilah Arab untuk menyerah diri dan menyatakan ke-Islaman mereka. Antara tindakan yang dilakukan oleh Nabi S.A.W sebaik sahaja tiba dari Tabuk ialah membakar Masjid Dhirar.


MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
26 Ramadan 1439 / 11 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 12/6/2018

"BANGSA yang menjajah biasanya akan menghapuskan dan menyebar doktrin perjuangan mereka. Ia berbeza dengan Bangsa Tatar yang menjajah dan menjarah bumi umat Islam apabila generasi terkemudian memeluk Islam.”

Ini antara mafhum yang disebutkan oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS berkaitan perihal Bangsa Monggol semasa zaman Kerajaan Bani Abbasiah. Sejarah hitam umat Islam yang sepatutnya menjadi pedoman buat kita. Tamadun umat Islam yang bertahan lebih 600 tahun jatuh di tangan bangsa terbodoh di dunia dari aspek ketamadunan dan keilmuan, namun gagah perkasa dalam bidang ketenteraan dan peperangan.

Akan tetapi janji Allah bahawa kemenangan akhirnya berpihak pada umat Islam. Dalam Peristiwa Perang Ain Jalut pada tanggal 25 Ramadan 656H, di tangan Panglima yang gagah, Saifuddin Qutuz al-Khawarizmi, maruah umat Islam berjaya ditebus selepas 40 tahun ( 617H - 656H ) Bangsa Monggol menjarah hampir keseluruhan wilayah taklukan Kerajaan Bani Abbasiah kecuali Mesir dan Hijjaz.

Monggol ataupun lebih dikenali Tatar memulakan misi menjarah bumi umat Islam pada tanggal 617H dikepalai oleh Temujin ( Genghis Khan ) seterusnya Kiyuk bin Ughitai, kemudian Mankhu Khan dan diakhiri oleh cucunya Hulaghu Khan. Di tangan 4 Jeneral ini berkuburnya Abbasiah dan Sultan terakhir Abbasiah al-Musta`sim mangkat di tangan Hulagu Khan.

Sejarah merakamkan detik kehancuran Abbasiah penuh tragik, sadis dan menyayat hati. Bahkan jika diamati sebaiknya, akan timbul rasa kepelikan dan kejanggalan mengapa umat Islam begitu hina? Walhal perpustakaan di Kota Baghdad merupakan perpustakaan yang amat besar menjadi simbol intelektual dan tingginya keilmuan pada zaman itu. Sejarah juga merakamkan pada tahun 636H, 20 tahun sebelum Kota Baghdad ranap, khazanah kitab umat Islam di Cordova (Sepanyol) juga ranap!

Ibnu Athir ketika mengulas kisah ini dengan panjang lebar menyebutkan:

“Aku termenung beberapa tahun untuk menulis kisah ini kerana bencinya aku untuk menceritakan aib dan keburukan umat Islam yang dahsyat! Siapakah yang begitu mudah baginya untuk menulis aib umat Islam? Siapakah insan yang hina sangat begitu?”

Tambah beliau lagi:

“Kalau ada yang mengatakan sejak daripada Adam diciptakan hinggalah ke waktu ini, umat Islam tidak pernah diuji sebegini rupa nyata ianya benar”

Boleh dikatakan tidak ada dalam sejarah umat Islam diperlakukan semacam ini atau yang hampir serupa dengannya.

Mana mungkin bangsa yang sekejam ini perlakuannya, tiba-tiba berubah 360 darjah memeluk agama wilayah yang dijajah!

Monggol memeluk Islam

يرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ "

( الصف: ٨)

“Mereka berkehendak memadam cahaya Allah dengan lidah-lidah mereka, tetapi Allah menyempurnakan cahaya-Nya sekalipun dibenci oleh orang kafir."

(as-Saff : 08)

Hidayah itu milik Allah sepenuhnya. Masuknya Bangsa Monggol ke dalam Islam merupakan bukti bahawa Islam bukan agama pendendam terhadap musuhnya. Walaupun parut masih kekal di jiwa-jiwa umat Islam, ia mengingatkan kita tentang peristiwa Islamnya Abu Sufian bin Harb dan Hindun bintu Utbah, Islamnya Khalid al-Walid, dan juga Islamnya beberapa lagi tokoh tegar penentang Islam semasa jahiliah, namun pengIslaman mereka melenyapkan terus noda dan dosa mereka! Tiada lagi ungkitan dan memendam rasa dalam jiwa para Sahabat, kesemuanya diterima sepenuh hati:

“Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara“

Menurut Dr Raghib As Sarjani, Bangsa Monggol mula masuk Islam selepas 35 tahun mereka ditimpa kekalahan selepas Ain Jalut. Orang Monggol yang mula-mula masuk Islam ialah Barakah Khan (1256H-1267H) dari Wilayah Rusia. Selepas kekalahan Monggol di tangan Saifuddin Qutuz, Monggol terpecah kepada 4 kelompok.

Barakah Khan menerima pencerahan daripada Najmuddin Muhktar az-Zahidi yang menjelaskan perbezaan antara Islam dan Kristian secara tuntas melalui surat yang dikirimkannya. Diceritakan bahawa punca pengIslaman Barakah Khan apabila beliau secara kebetulan bertemu dengan pedagang yang datang dari Wilayah Bukhara lantas beliau bertanya perihal Islam kepada dua orang daripada kalangan mereka lalu masuk Islam.

Usai masuk Islam, beliau mula merapati Islam sepenuhnya dan memeterai perjanjian bersama Sultan Zahir Bybrus (1260M-1277M) Raja Kerajaan Mamalik di Mesir. Hasil perjanjian keduanya, Bybrus menghadiahkan buku-buku agama kepada Barakah Khan dan akhirnya kebanyakan pengikut Monggol mula menerima Islam sebagai agama mereka yang baru dan kanak-kanak mula didedahkan dengan al-Quran.

Menurut Dr Hj Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (Hamka), perkembangan selepas kekalahan Bangsa Tatar di tangan umat Islam, Monggol yang berbaki masih lagi berkuasa di beberapa wilayah antaranya Iran. Anak kepada Hulagu Khan, Abaqa Khan memerintah Iran. Beliau merapati Kerabat Byzantin dan mengahwini puteri Kaisar ketika itu. Pihak Byzantin juga menaruh harap supaya Abaqa Khan memeluk Kristian namun nyata hampa. Abaqa Khan kekal hingga akhir hayatnya dalam agama asalnya (Yasik)

Sesudah Abaqa Khan, diganti oleh Nikodar Khan yang memeluk Kristian sejak kecil. Seterusnya diperintah oleh Arghon Khan yang memeluk Islam. Namun Arghon Khan dilihat tidak telus dan ikhlas dalam keIslamannya kerana mengambil penasihatnya seorang Yahudi. Begitu juga dengan Ghazan Khan, memeluk Islam bersama 100,000 orang tenteranya. Namun mempunyai prinsip yang amat pelik dan asing. Beliau sering memusuhi Islam, bahkan amat tegar membela kumpulan Syiah Imamiah dan Kristian. - HARAKAHDAILY 12/6/2018

KEINDAHAN Pulau Tioman sebagai salah satu pulau tercantik di dunia yang menjadi tumpuan pelancong kerana kecantikan batu karangnya perlu dipelihara.

Pulau Tioman merupakan sebuah pulau yang sangat sensitif dari sudut ekologinya. Sebarang tindakan ke atas muka bumi akan meninggalkan kesan yang besar kepada keadaan pantai dan lautannya.

tuan ibrTindakan membina satu lapangan terbang untuk pesawat yang lebih besar sehingga terpaksa dilaksanakan penambakan laut akan merosakkan segala yang ada.

Tidak dinafikan tawaran pembinaan yang dianggarkan RM1.2 bilion dibiayai sepenuhnya oleh syarikat Berjaya Group sangat menarik. Tapi sekiranya ia melibatkan penambakan laut di Tioman, ia tidak berbaloi.

Kerajaan Pahang perlu tegas menjaga keindahan dan keselamatan Pulau Tioman. Ia adalah aset pelancongan Pahang yang sangat bernilai kerana keindahannya. Jangan hanya melihat dari aspek ekonomi semata-mata segalanya tergadai.

Oleh itu, PAS membantah cadangan pembinaan lapangan terbang baru di Pulau Tioman sebagaimana tawaran yang dibuat oleh Tan Sri Vincent Tan sekiranya ia melibatkan penambakan laut.

Cara baru perlu diterokai untuk membesarkan lapangan terbang Pulau Tioman jika ia dilaksanakan. Dan cadangan baru itu perlu memenuhi laporan penilaian alam sekitar EIA.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
12 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 12/6/2018

More Articles ...