26
Fri, Apr
15 Artikel Baru

TIDAK pasti apakah patut diberi tahniah atau takziah kepada Asyraf Wajdi Dusuki atas pemilihannya menjadi Ketua Pemuda Umno menggantikan kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Khairy Jamaludin?

Awalannya boleh diberi tahniah jadi Ketua Pemuda Umno Malaysia itu, satu jawatan politik yang ketiga pengaruhnya bagi parti sekular Melayu/Islam itu selepas Presiden dan Timbalan Presidennya.

Pada zaman parti itu berkuasa, ia selalu dilihat pada Umno dan kerajaan kerana ia memang satu sayap yang penting dan kedudukannya Ketua Pemuda dilihat sebagai pelapis yang terdekat dengan tampuk kekuasaan.

Tetapi Asyraf adalah Ketua Pemuda Umno yang pertama sesudah ia tidak berkuasa dan sesudah parti itu tidak dipastikan berduit lagi atau tidak. Keadaannya mungkin boleh disamakan pembentukan sayap itu di bawah Kapten Hussein Onn seletah ia ditubuhkan. Tiada kuasa dan perjungan parti itu adalah untuk menegakkan kerajaan sendiri. Setelah ketiadaan Dato Onn dan Kapten Hussein perjuangannya ditingkat kepada kemerdekaan.

Lepas kemerdekaan ia sepatutnya mengisi kemerdekaan dengan cita-cita penubuhan Umno. Tidak pasti perjuangan itu ada atau tidak tetapi yang dilihat ia jadi tempat orang cari makan, makan gaji dan mencari kekayaan.

Sekarang ia sudah bukan jadi empat orang cari makan. Berlambak anak muda tidak dapat makan gaji. Apa lagi ia sudah tidak berkuasa dan tidak dipastikan jadi parti berduit lagikah selepas ini.

Apakah anak muda sedia bersukarelawan jadi Pemuda Umno tidak mengutamakan duit seperti Unit Amal Pemuda PAS? Unit Amal keutamaannya amal, duit kedua atau ketiga.

Jika tiada kuasa itu setakat menjelang PRU15 boleh tahan lagi. Jika menunggu PRU16, takut Asyraf dibawa gelombang dulu dari Pemuda Umno.

Ia antara cabaran yang Asyraf terpaksa hadapi dan lalui. Jika boleh bertahan seperti Pemuda PAS sudah cukup, tetapi takut jadi Pemuda Parti Rakyat, hujung hilang pangkal lesap.

Hari-hari menjelang dua bulan tidak berkuasa ada saja orang keluar Umno, pemimpin Umno memberi laluan kepada anak muda dan mengumum diri bersara dari politik. Setiap pagi membaca akhbar bagi mengetahui siapa pula keluar Umno. Jika ini tidak dapat disekat, maka kita kena beri takziah kepada Asyraf.

Asyraf adalah anak muda beragama dan ahli agama dari Kelantan. Ibu bapanya membesar di tengah rakyat Kelantan yang menolak Umno. Orang Kelantan khususnya yang beragama berkampung bersama PAS. Amat kurang benih beragama di Kelantan bersama pimpinan Umno. Tun Razak pergi ke Mesir mencari benih beragama untuk bersama Umno. Dia dapat bapa Asyraf. Dia tidak jadi pemimpin Umno tetapi hingga pencen makan gaji dengan Umno.

Paling lama anak muda bersama Umno di Kelantan Tengku Razaleigh. Dia dikenali sebagai pemimpin Umno Gua Musang, bukan Kelantan atau persekutuan. Umno ambil Awang Adek dari Bank Negara untuk memimpin Kelantan. Orang lain jadi Gabenor Bank Negara, dia makan gaji dengan Mara.

Sekarang Umno ambil ahli agama memimpin Pemuda Umno. Ahli agama yang lain di Kelantan memilih PAS. Dia dilihat antara beragama yang rasional tetapi memilih Umno. Sudah dua kali dia mencuba nasib di Kelantan, rakyat Kelantan belum mahu Umno.

Bila orang persekutuan pula tidak mahu Umno lagi, bagaimana Asyraf hendak suap Umno kepada Kelantan. Jika dia memilih Pemuda PAS, politiknya mungkin senang. Tetapi dia memilih Umno ketika orang tak mahu Umno. Mungkin perlu diucap takziah. – HARAKAHDAILY 26/6/2018

TUN Mahathir tidak tahu Tan Sri Vincent Tan dan T7 Global Bhd terlibat di dalam projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) ketika menjawab soalan wartawan mengenai ECRL. Tidak logik langsung. Kita akur Tun orang yang pengetahuan luas.

Jack Ma pun puji Tun kerana mahir dalam IT dan mempunyai pengetahuan tentang jualan online. Tiba-tiba Tun kata tidak tahu menahu mengenai penglibatan Vincent Tan dalam ECRL.

Vincent Tan kita tahu sahabat karib Tun sejak dahulu lagi. Beliau seangkatan dengan tokoh korporat yang lain seperti Ananda Krishnan, Robert Kuok, Ting Pek Khing, mendiang Eric Chia. Mereka cukup intim dengan Tun sewaktu 22 tahun menjadi PM. Sekarang muncul kembali.

Menurut The Edge Markets, selepas PRU14 pengasas dan Pengerusi Eksekutif Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan muncul sebagai pemegang saham utama T7 Global dengan pengambilan 21 juta saham atau 5.04 peratus kepentingan.

Saham T7 Global Bhd melonjak sehingga 34.5 peratus susulan laporan berita projek ECRL diteruskan di bawah kerajaan.

Tak kisahlah tu, tiba-tiba Tun Mahathir kata tidak tahu. Ajaib.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
26 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 26/6/2018

BERMULA tarikh 9 Mei 2018, terbentuknya kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga kini, kepimpinan tertinggi PH lebih ghairah bertutur dalam bahasa asing daripada bahasa kebangsaan.

gamisMerujuk kepada Perjanjian PH yang dimeterai oleh 3 komponen parti kemudiannya disertai PPBM bernama Perjanjian Kerjasama PH-PPBM pada 13 Disember 2016 telah bersetuju dalam Perkara 1(iii):

"1. Berjuang dengan berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/63 terutamanya:

iii. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan dan pembelajaran bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa."

Jelas menunjukkan kegagalan PH menunaikan janjinya untuk memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu.

Janji ini sekali lagi diulang dalam Buku Harapan yang dilancarkan pada 8 Mac 2018 pada bahagian Falsafah dan Matlamat Pentadbiran Pakatan Harapan dalam muka surat 10 sebagai janji kepada rakyat Malaysia untuk dilaksanakan sepenuhnya apabila membentuk kerajaan. Sepanjang 47 hari pemerintahan kerajaan PH, sidang media dan pertuturan bahasa asing dilihat lebih lazim pada mulut kepimpinan tertinggi PH berbanding bahasa kebangsaan.

Kebiadaban terhadap bahasa kebangsaan ini semakin meruncing apabila Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng (LGE) sewenang-wenangnya menggunakan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan untuk mengabsahkan tindakannya menulis kenyataan rasmi daripada Kementerian Kewangan dalam Bahasa Mandarin.

Merujuk kepada Perkara 152(1)(a) dan (6) Perlembagaan menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah digunakan dalam tugas rasmi kerajaan. Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 juga telah mengukuhkan lagi Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi maksud-maksud rasmi.

Tindakan YB LGE yang memetik Perkara 152 tanpa menelitinya secara keseluruhan merupakan satu tindakan yang memalukan dan menggadai maruah sebagai seorang rakyat Malaysia. Bukan sahaja beliau tidak menggunakan bahasa kebangsaan malah beliau mempertahankan tindakan yang memalukan ini.

Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia mesti bertanggungjawab penuh atas kegagalan untuk mendaulat dan mendidik kepimpinan tertinggi kerajaan dalam menggunakan bahasa kebangsaan. Malaysia berdiri dengan budaya dan nilainya yang tersendiri. Sebarang bentuk penghakisan kepada ruh dan semangat perlembagaan mesti dihapuskan sepenuhnya sebelum menjadi lebih parah.

GAMIS Malaysia menuntut kerajaan Pakatan Harapan untuk menghormati dan taat setia kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Asas dan dasar ini wajib dipatuhi dan dipertahankan oleh pihak kerajaan.

"Istiqamah Bersama Islam"

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) – HARAKAHDAILY 26/6/2018

PELAKSANAAN air percuma telah dilaksanakan dalam tiga bentuk:

Kerajaan BN Terengganu penggal lalu, telah merealisasi air percuma kepada rakyat yang menggunakan kurang daripada 21 m3 sahaja di penghujung kepimpinan Dato Seri Ahmad Razif dan hampir PRU14. Sesiapa yang menggunakan air lebih daripada 20 m3, dia mesti membayar sepenuhnya. Contohnya penggunaan 19 m3 adalah percuma, tetapi apabila digunakan 22 m3, anda mesti membayar sepenuhnya harga 22 m3 itu.

Cuba bayangkan, satu pasangan miskin yang mempunyai anak yang ramai, pasti tahap penggunaan airnya tinggi maka mereka terpaksa membayarnya penuh dengan sebab penggunaan melebihi daripada 20 m3. Bandingkan pula pasangan yang kaya hanya tinggal berdua atau memiliki keluarga kecil yang tahap penggunaan airnya sedikit, maka dia tidak perlu membayar dengan sebab penggunaan air kurang daripada 20 m3. Mekanisma ini jelas hanya memberi peluang golongan kaya seperti contoh di atas untuk mendapat kelebihan daripada tawaran ini, tidak kepada keluarga miskin yang besar. Adil atau tidak mekanisma ini?

Kerajaan Selangor yang kaya pula telah menawarkan 20 m3 air percuma pada seluruh rakyat sama ada kaya atau miskin. Mekanisma sangat baik dan sememangnya menjadi impian Kerajaan Negeri Terengganu untuk turut melaksanakannya. Akan tetapi persoalannya, adakah Kerajaan Terengganu mampu melaksanakan mekanisma ini dalam masa yang singkat ini. Sedangkan, negeri-negeri lain yang lebih kaya daripada Terengganu belum lagi mampu menawarkannya.

Kerajaan Terengganu yang baharu, sebelum ini telah menawarkan dalam Manifesto PRU14 kepada rakyat Terengganu untuk memberi 20 m3 air percuma kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah sahaja. Tawaran yang ke-8 dalam manifesto ini jelas ditulis hanya kepada golongan miskin, berpendapatan rendah dan dibuat sebagai satu penyelesaian untuk meringankan beban kos sara hidup golongan sasaran ini.

Kerajaan Negeri Terengganu di bawah PAS juga sangat realistik, ada kajiannya yang terperinci dalam membuat manifesto dan tidak mahu memberikan satu janji yang sangat besar, dianggap melampau dalam berjanji yang akhirnya membebankan kewangan negeri, dan rakyat turut merasa tertipu. Oleh itu, Kerajaan Negeri Terengganu tidak memberi jaminan untuk memberikan air 20 m3 percuma kepada semua golongan, tetapi mensasarkan hanya golongan miskin di Terengganu sahaja.

Kerajaan Negeri Terengganu meletakkan asas dalam pembangunan ekonomi rakyat dan kebajikan hidup mereka berteraskan Islam. Ekonomi Islam meletakkan keutamaan dalam sumbangan kebajikan dan bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Ekonomi Islam meletakkan asas kawalan agar jangan kekayaan itu berlegar antara golongan kaya dan mewah sahaja.

PAS dalam manifestonya juga tidak pernah berjanji untuk melaksanakan segera atau dalam tempoh 100 hari pemerintahannya misalnya atau waktu-waktu tertentu. Hanya PAS berjanji untuk dilaksanakan, ketika PAS memerintah iaitu dalam tempoh 5 tahun. Walaupun demikian, Kerajaan Terengganu agak cepat bertindak untuk melaksanakan segera tawaran ini dalam tempoh 30 hari supaya rakyat berpendapatan rendah dan miskin dapat mengecapi janji ini.

Pada peringkat permulaan, tawaran ini akan dikecapi oleh golongan miskin yang disenaraikan dalam e-Kasih sahaja dahulu. Sebagaimana yang Kerajaan Negeri Terengganu tekankan sebelum ini, apa-apa sistem tinggalan kerajaan terdahulu yang difikirkan baik, akan diguna pakai sebagai rujukan, sebelum sebarang perubahan dilakukan. Kerajaan Negeri Terengganu sedang merancang untuk mengkaji semula senarai e-Kasih. Di samping itu, Kerajaan Negeri Terengganu sedang membina mekanisma baru untuk mengenalpasti golongan miskin dan berpendapatan rendah yang tiada dalam senarai e-Kasih bagi sama-sama menikmati kemudahan ini.

Moga rakyat Terengganu bersabar untuk melihat kejayaan pelaksanaan tawaran ini agar dapat dirasai oleh golongan yang benar-benar layak untuk meringankan beban hidup keluarga. Kerajaan juga menyeru agar segala maklumat berkenaan perkara melibatkan dasar Kerajaan Negeri, rakyat mendapatkannya melalui saluran rasmi, dan bukannya khabar-khabar angin di alam maya yang mungkin dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Terima kasih.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,
Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu
12 Syawal 1439/26 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 26/6/2018

KEMASUKAN Islam ke Nusantara sejak abad ketujuh Masehi akhirnya membuahkan hasil apabila Daulah Islam yang pertama dapat didirikan di Perlak, Utara Sumatera (dalam provinsi Aceh sekarang). Kerajaan Islam Perlak dikatakan berdiri selepas 40 tahun kedatangan Islam ke wilayah itu. Kerajaan Perlak yang terletak di Pantai Timur Aceh, mengadap Selat Melaka muncul ketika Empayar Sriwijaya yang berpusat di Palembang dan beragama Buddha menjadi kerajaan terbesar di Nusantara. Islam yang masuk ke Perlak dikatakan berasal dari Teluk Kambey, Gujerat, India dan pada awalnya bermazhab Syiah. Ada pengkaji mengatakan rombongan pendakwah tersebut dikirimkan oleh Abdullah bin Muawiyah bin Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib (m. 747M), pemimpin yang memberontak di Kufah terhadap Daulah Umayyah bersama Abu Muslim untuk mengasaskan Daulah Abbasiyah pada 750M. Rombongan pendakwah yang dikirimnya ini telah berjaya meng-Islamkan Perlak pada awal 800M, sebelum dapat menegakkan Daulah Islam.

Mendirikan negara atau kerajaan yang berasaskan Islam adalah pengalaman baru bagi orang Melayu, kerana sebelumnya para pemerintah di Nusantara adalah beragama Hindu-Buddha. Kebangkitan Perlak sebagai Daulah Islam telah memberi nafas baru kepada Alam Melayu sebagai bakal wilayah kekuasaan Islam. Kerajaan Perlak (840-1292M) sebenar berdiri di atas dua Dinasti Raja iaitu Dinasti Sayyid (840-918M) dan Dinasti Johan Berdaulat (918-1292M). Kerajaan ini, selain terpaksa menghadapi serangan Empayar Sriwijaya, terpaksa juga berhadapan dengan konflik Sunni-Syiah kerana pada awalnya, Islam yang tiba di sini bermazhab Syiah. Namun begitu, Kerajaan Perlak telah bangkit menjadi Pusat Pendidikan dan Pengembangan Dakwah yang terpenting di Nusantara, sebelum pelaksanaan Syariat Islam dapat dijalankan. Marco Polo yang tiba di Perlak pada 1292M mencatatkan bagaimana Hukum-hukum Syariat telah berkuat kuasa di negara ini.

Penubuhan dan pembentukan daulah

Pembentukan Kerajaan Perlak sebagai Daulah Islam telah bermula sejak awal 800M. Akibat krisis politik di Asia Barat kerana gerakan kaum Alawiyah dan Abbasiyah untuk menjatuhkan Daulah Umayyah, satu rombongan pendakwah berbangsa Parsi (dikatakan bermazhab Syiah) diketuai oleh Nakhoda Khalifah bergerak dari Teluk Kambey, Gujerat untuk menyebarkan Islam di Alam Melayu. Salah seorang pendakwah yang menyertai rombongan ini ialah Sayyid Ali bin Mohammad bin Jaafar as-Sadiq bin Muhammad bin Ali bin Hussein bin Ali bin Abi Talib. Pada peringkat awal, mereka telah berdakwah kepada Raja Perlak, Meurah Shahrun Nuwi. Setelah Shahrun Nuwi memeluk Islam, bagi mengukuhkan lagi dakwah, Sayyid Ali bin Muhammad telah mengahwini Puteri Makhdum Tansyuri, iaitu puteri kepada adik Meurah Sharun Nuwi, Pengeran Salman yang juga merupakan Raja Juempa.

Perkahwinan ini telah menyebabkan Raja Perlak dan Raja Juempa yang berketurunan Parsi memeluk Islam. Selepas kematian Muerah Shahrun Nuwi pada 840M, putera Sayyid Ali bin Muhammad, iaitu Sayyid Abdul Aziz telah diangkat menjadi Raja yang baru. Baginda memakai gelaran Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Aziz dan mengisytiharkan kerajaannya sebagai Kerajaan Islam pada 1 Muharram 225H (12 November 839M). Bandar Perlak pula diberikan nama baru, Bandar Khalifah. Dengan pertabalan Sultan Sayyid Abdul Aziz ini, maka bermulalah pemerintahan Dinasti Sayyid sebagai Daulah Islam pertama di Nusantara. Kerajaan yang berusia 452 tahun ini diperintah oleh 18 orang Sultan.

Perlak menjadi Pusat Perdagangan dan Dakwah

Ketika rombongan Nakhoda Khalifah tiba pada 173H (800M), Perlak telah pun menjadi sebuah pelabuhan yang dikunjungi oleh para pedagang dari China, Maluku, India dan Arab kerana ia terletak di laluan perdagangan utama. Selain rempah yang dibawa oleh pedagang Maluku, di Utara Sumatera ini terkenal dengan wangian kapur yang dikeluarkan di Barus, berdekatan dengan Fansur (Selatan Aceh). Perdagangan Arab-Sumatera pula telah berlangsung lama, terutama melibatkan pedagang Quraisy di Aden, Yaman. Di Perlak, barang-barang dagangan dari China, India dan Arab, selain dari Kepulauan Melayu diperdagangkan. Kerana perdagangan juga, keluarga Meurah Shahrun Nuwi berhijrah ke Perlak dari Parsi, sebelum menjadi Raja di sini.

Pembentukan Kerajaan Perlak pada awalnya bermazhab Syiah kerana dipelopori keluarga Alawiyah. Kegagalan mereka menguasai kerajaan baru selepas kejatuhan Daulah Umayyah pada 750M, telah membuka ruang kepada Abdullah as-Saffah mengasaskan Daulah Abbasiyah menjadi khalifah (750-754M). Atas sebab gagal menguasai kerajaan, keluarga Alawiyah tersingkir ke Mada'in (Selatan Baghdad). Merekalah yang mengirimkan pendakwah ke Nusantara. Para pendakwah yang berjaya meng-Islam Meurah Shahrun Nuwi telah bersemenda pula dengan pendudukan tempatan untuk meluaskan pengaruh Islam. Dalam tempoh 40 tahun, keluarga diraja, orang awam dan saudagar dari Arab dan Parsi telah ramai yang beragama Islam, sehingga Islam mulai diterima secara meluas dan dapat mendirikan daulah. Selepas itu, Islam mula dikembangkan ke kawasan sekitar Aceh termasuk Juempa, Lamuri, Pene, Pasai, Samudera, Singkel, Fansur, Barus dan lain-lain.

Sultan-sultan Perlak

Sepanjang sejarah Kesultanan Perlak (840-1292M), seramai 18 orang Sultan telah memerintah kerajaan ini dengan dua dinasti. Dinasti yang pertama ialah Dinasti Sayyid yang berketurunan Jaafar as-Sadiq, manakala Dinasti Johan Berdaulat pula dari keturunan asli Muerah Shahrun Nuwi.

●     Raja-raja Dinasti Sayyid adalah seperti berikut:

i.     Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah (840-864M)

ii.     Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Rahim Shah (864-888M)

iii.     Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abbas Shah (888-913M)

iv.     Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Ali Mughyat Shah (913-918M)

●     Adapun Dinasti Johan Berdaulat adalah seramai 14 orang Raja, iaitu:

v.     Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdul Kadir Shah Johan Berdaulat (928-932M)

vi.     Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Shah Johan Berdaulat (832-956M)

vii.     Sultan Makhdum Alaiddin Abdul Malik Shah Johan Berdaulat (956-983M)

viii.     Sultan Makhdum Alaiddin Malik Ibrahim Shah Johan Berdaulat (986-1023M)

ix.     Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mahmud Shah Johan Berdaulat (1023-1058M)

x.     Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mansur Shah Johan Berdaulat (1059-1078M)

xi.     Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdullah Shah Johan Berdaulat (1078-1109M)

xii.     Sultan Makhdum Alaiddin Malik Ahmad Shah Johan Berdaulat (1109-1135M)

xiii.     Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mahmud Shah Johan Berdaulat (1135-1160M)

xiv.     Sultan Makhdum Alaiddin Malik Usman Shah Johan Berdaulat (1160-1173M)

xv.     Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Shah Johan Berdaulat (1173-1200M)

xvi.     Sultan Makhdum Alaiddin Abdul Jalil Shah Johan Berdaulat (1200-1230M)

xvii.     Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Shah II Johan Berdaulat (1230-1267M)

xviii.     Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdul Aziz Johan Berdaulat (1267-1292M)

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
12 Syawal 1439 / 26 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 26/6/2018

HARI pertama dagangan di Bursa Malaysia pada 14 Mei 2018, saham-saham yang berkaitan kerajaan dan pemimpin politik menunjukkan pelbagai respons. Saham-saham seperti MyEG, George Kent dan MRCB menunjukkan kejatuhan yang teruk.

Sebaliknya, saham-saham yang dimiliki dan berkaitan dengan ahli politik Pakatan Harapan, menunjukkan kenaikan yang mendadak seperti Opcom, Petron dan Thriven. Ini satu kebiasaan dalam pasaran modal yang dipacu oleh sentimen politik ekonomi.

Namun, berbeza dengan tindakan selektif kerajaan dalam membuat keputusan terhadap projek-projek mega khususnya yang melibatkan infrastruktur rakyat seperti HSR, MRT3 dan ECRL.

Dua projek yang diberikan kata muktamad untuk dibatalkan atau ditangguhkan adalah HSR dan MRT3. Manakala, projek ECRL walaupun terdapat desakan sejak tahun lalu untuk dibatalkan oleh Pakatan Harapan, ia tetap diteruskan sepertimana yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan beberapa hari lalu.

Projek ECRL yang mencecah RM66 bilion tetap diteruskan walaupun kerja-kerja awal hanya bermula kurang daripada 15 peratus. Sepatutnya, kerajaan perlu lakukan semakan mengapa sejumlah RM20 bilion telah dibayar kepada CCCC sebelum membuat keputusan untuk meneruskan projek berkenaan.

Isu ini lebih menimbulkan kontroversi apabila keputusan meneruskan projek ECRL ditetapkan setelah 22 juta unit saham T7 Global Bhd telah dibeli oleh Tan Sri Vincent Tan pada 17 Mei yang lalu.

Adakah ini yang dimaksudkan sebagai ‘insider trading’?

Tan Sri Vincent Tan diketahui umum sebagai salah seorang kawan akrab kepada Tun Mahathir. Berlegar foto-foto beliau bersama Perdana Menteri dalam majlis-majlis keraian termasuk sebuah majlis sambutan hari lahir Tun Mahathir yang ke-90 pada tahun 2015 di Berjaya Times Square.

Sebelum itu, kedua-duanya juga turut dikritik berhubung isu lesen judi yang dikatakan telah diberikan sejak tahun 2003 lagi. Hal ini bukan sesuatu yang asing malah menjadi rahsia umum.

Sebelum itu, seorang lagi ahli korporat kontroversi yang dikaitkan dengan Tun Mahathir dan Tun Daim iaitu Tan Sri Ting Pek Khing yang muncul dua minggu selepas kemenangan Pakatan Harapan untuk membina projek Langkawi City bernilai RM30 bilion.

Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih arif akan hal ini terutamanya yang berkaitan dengan projek Empangan Bakun seperti mana laporan polis yang pernah dibuat olehnya pada tahun 1999.

Walaupun Kerajaan Persekutuan dilihat amat cermat dalam menguruskan dasar fiskal dengan memainkan sentimen hutang negara berulang-ulang kali dan mengamalkan dasar penjimatan yang ketat, pada masa yang sama kerajaan juga mencipta ‘peluang baru’ dalam pasaran modal ketika pelabur-pelabur asing agresif menarik dana.

Isunya ialah berkemungkinan berlaku ‘insider trading’. Pihak tertentu yang lebih awal mengetahui polisi kerajaan dan cepat mengaut keuntungan.

Sekarang, siapa yang telah meraih laba? Selamat datang, kleptokronisme !

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 26/6/2018

KHALIFAH adalah ketua bagi orang beriman atau disebut Amirul Mukminin yang menggantikan tugas-tugas Kenabian dalam memimpin umat untuk menegakkan hukum agama dan mentadbir urusan dunia dengan Islam. Dalam sejarah Islam, selepas kewafatan Nabi S.A.W pada 632M, kepemimpinan umat digantikan oleh Khulafa' ar-Rasyidin (632-661M), Daulah Umayyah (661-750M), Daulah Abbasiyah (750-1517M) dan Daulah Othmaniyah (1517-1924M).

Pada zaman Abbasiyah, muncul beberapa kerajaan yang penting termasuklah Daulah Saljuk (1037-1194M) dan Daulah Mamalik (1250-1517M) yang merupakan nadi Daulah Abbasiyah. Pada masa yang sama, muncul pula beberapa daulah yang mengisytiharkan mereka sebagai khalifah berasingan iaitu Daulah Fatimiyah (909-1171M), Daulah Umayyah Andalusia (929-1031M) dan Daulah Muwahidun (1143-1269M). Kebangkitan Daulah Islamiyah Melayuwiyah meliputi era Daulah Abasiyah di Baghdad (750-1258M) hinggalah munculnya Daulah Fatimiyah, Umayyah Andalus, Saljuk dan Mamalik, sebelum kebangkitan Daulah Othmaniyah pada 1299M.

Kemunculan awal Daulah Islam di Alam Melayu bermula dengan tertubuhnya Kerajaan Perlak pada 840M, diikuti oleh Kerajaan Samudera-Pasai pada 1267M. Adapun peng-Islaman Tidore (1081M), Leran (1101M), Kedah (1136M), Jawaka (1253M), Ternate (1257M), Champa (1360M), Brunei (1363M) dan Sulu (1405M) adalah belum jelas pembentukan daulahnya, walaupun ada bukti pelaksanaan Syariat di Kelantan (1181M) dan Terengganu (1303M).

Sehingga memasuki abad ke-15M, boleh dikatakan daulah yang nyata hanya wujud di Aceh, sehinggalah bangkitnya Melaka sebagai Kerajaan Islam pada 1414M. Melaka melanjutkan peranan Aceh sebagai Daulah Islam sepanjang abad ke-15M. Mengikuti Melaka kemudiannya ialah Pattani (1457M), Demak (1478M), Aceh (1496) dan Johor-Riau (1528M). Sebagai Daulah Islam, kerajaan-kerajaan ini mempunyai hubungan dengan khalifah yang berpusat di Barat Asia dari masa ke masa, selain hubungan dengan Wilayah Islam yang lain.

Pengaruh khalifah terhadap Daulah Islamiyah Melayuwiyah

Kedudukan Khalifah Islam di Madinah (632-655M), Kufah (655-661M) dan Damsyik (661-750M) telah menjadikan Islam sebagai kuasa politik yang baru, sedangkan di Alam Melayu muncul Kerajaan Sriwijaya sebagai sebuah empayar kelautan. Pada zaman Sri Indrawarman, telah berlaku hubungan dengan khalifah Islam di Damsyik. Inilah hubungan terawal orang Melayu dengan Khalifah Islam, sebelum utusan-utusan dakwah dihantar pada abad ke-9 Masehi dan berjaya mendirikan daulah di Perlak pada 840M.

Pengaruh kekhalifahan Islam ke atas Alam Melayu dapat dilihat dengan jelas pada gelaran yang dipakai oleh pemerintah seperti di Kelantan pada 1181M bergelar "al-Mutawakkil ala Allah" iaitu menyamai sistem gelaran Daulah Abbasiyah Baghdad. Bahkan gelaran al-Mutawakkil telah digunakan oleh Khalifah Abbasiyah di Baghdad, iaitu al-Mutawakkil (847-861M) serta Khalifah Abbasiyah di Kaherah, al-Mutawakkil I (1362-1383M), al-Mutawakkil II (1479-1497M) dan al-Mutawakkil III (1506-1517M).

Sedangkan gelaran al-Malik yang digunakan di Samudera-Pasai menyamai gelaran Raja-raja Kerajaan Ayubiyah dan Mamalik di Mesir. Gelaran Maliku as-Salleh (1287-1297M) di Pasai menyamai Maliku as-Salleh (m. 1249M), Sultan terakhir Ayubiyah, manakala Maliku az-Zahir I (1297-1326M) dan Maliku az-Zahir II (1330-1346M), mengikuti nama Maliku az-Zahir Baybras (m. 1278M), salah seorang Sultan Mamalik yang terkenal di Mesir.

Satu aspek yang penting juga dalam pemakaian gelaran bagi Sultan-sultan di Nusantara ialah memperlihatkan ciri-ciri daulat melalui gelaran "Zilalullah fil Ardh" (bayangan Allah di muka bumi), "Zilalullah fil Alam (bayangan Allah di alam buana), "Khalifatullah" (wakil Allah), "Tabdil ar-Rasul" (pengganti Rasul) dan "Khalifatul Mukminin." Gelaran-gelaran memperlihatkan pengaruh kekhalifahan Islam, selain gelaran al-Malik dan as-Sultan.

Pada zaman Melaka, Sultan Mahmud Shah (1488-1511M) menggunakan gelaran Khalifah al-Mukminin, sedangkan di Pahang, Sultan Abdul Ghafur (1592-1614M) bergelar khalifah. Dalam Kesultanan Sulu, Sultan Azimuddin I (1735-1748M) bergelar Amirul Mukminin, sedangkan Sultan Abdul Rahman (1659-1706M) bergelar Khalifah al-Mukminin. Di Ternate, Sultannya pernah bergelar Khalifah ar-Rasyid, manakala Sultan Pattani yang pertama, Sultan lsmail Shah bergelar Zilalullah fil Alam. Gelaran Khalifatullah pula digunakan oleh Raja-raja Jogjakarta sejak Amangkurat IV (1719-1724M), sedangkan Kesultanan Ternate menggunakan gelaran Tabdil ar-Rasul.

Peranan khalifah dalam pembentukan Daulah Islamiyah Melayuwiyah

Hubungan dan pengaruh kekhalifahan Islam ke atas Alam Melayu telah mewujudkan beberapa peranan dalam pembentukan Daulah Islam. Antara peranan besar ialah gerakan dakwah, bermula dari pengiriman pendakwah-pendakwah dari Makkah, Jeddah, Yaman, Parsi dan India untuk menyebarkan Islam hinggalah terbentuknya Majlis Dakwah Wali Songo pada 1404M. Sokongan Kerajaan-kerajaan Islam dari Barat Asia ke atas program-program pendidikan Islam termasuk penubuhan dayah di Aceh, pesantren di Jawa dan pondok di Pattani telah membolehkan Islam berkembang dengan pesat.

Tidak dinafikan juga, kekuatan ini adalah kesan hubungan diplomatik antara Kerajaan-kerajaan Islam di Alam Melayu dengan empayar-empayar dan Khalifah Islam. Kedatangan Raja-raja Melayu ke Makkah untuk mengerjakan haji, melawat Kerajaan-kerajaan Islam dan "menerima daulat" sangat membantu proses pembinaan ini, di samping lawatan pembesar seperti kunjungan Hang Tuah ke Kesultanan Delhi di India dan Sultan Rom (Othmaniyah) di Turki. Beberapa Sultan seperti Sultan Abdul Kahar (1651-1682M) dari Banten, Sultan Abdul Malik Said (1639-1653M) dari Gowa dan Sultan Agung dari Mataram (1613-1646M) telah mendapat gelaran Sultan daripada penguasa Makkah.

Selain pengukuhan dalam bentuk daulat, khalifah juga terlibat secara langsung dalam mempertahankan negara daripada ancaman musuh. Hal yang paling jelas adalah pengiriman senjata dan armada laut ke Melaka dan Aceh dalam menghadapi penjajahah Barat. Maka dalam konteks inilah, apabila kita meneliti perkembangan Islam di Nusantara, pengiktirafan orang Melayu terhadap para khalifah telah berlaku sama ada yang berpusat di Makkah (Syarif Makkah - wakil khalifah) atau Kaherah (zaman Fatimiyah, Ayubiyah dan Mamalik) dan juga Istanbul (era Othmaniyah). Sultan Rom (atau Ruhum) adalah Raja terbesar dalam ungkapan pemikiran Melayu, sehingga keturunan Raja-raja yang dicatat dalam hikayat dan kronik Melayu mengaitkan Raja-raja dengan Iskandar Zulkarnain dan Sultan Rom. Inilah pemikiran baru dalam membawahkan kepercayaan lama bahawa Raja Cham di Indo-China dan Raja Kertagama di Jawa berasal dari keturunan dewa Siva, manakala Raja Airlangga di Jawa berketurunan dewa Visnu.

Aceh: Duta khalifah di Alam Melayu

Aceh adalah Wilayah Nusantara yang terawal menerima Islam dan berdirinya daulah. Bermula dengan Perlak pada 840M, kemudian muncul Kerajaan-kerajaan Islam yang kecil seperti Daya dan Lamuri, sebelum bangkitnya Samudera-Pasai. Kemudian, pada hujung era Melaka, Kesultanan Aceh pula muncul sebagai kuasa politik Islam terbesar di Nusantara. Faktor kedudukan geografi sangat membantu Aceh dalam soal ini.

Ia bukan sahaja negeri yang paling Utara dan hampir dengan India dan Arab, tetapi juga merupakan pintu masuk ke Selat Melaka yang menjadi nadi perdagangan itu. Pada saat berdirinya Aceh pada 1496M, Kerajaan Mamalik-Abbasiyah sedang melemah di Mesir, begitu juga Kerajaan Delhi Lodi (1451-1526M). Pada 1517M, Daulah Othmaniyah telah mengambil alih kekhalifahan dari Daulah Abbasiyah, sedangkan keruntuhan Kerajaan Lodi pada 1526 telah digantikan oleh Empayar Mongol yang terkenal itu. Kemunculan Daulah Othmaniyah dan Empayar Mongol ini telah memberi kekuatan kepada Aceh yang telah lama mempunyai hubungan dengan kedua-dua wilayah tersebut, khusus dalam menghadapi kemaraan Barat.

Kebangkitan Daulah Othmaniyah sebagai khalifah baru umat Islam berlaku selepas kejatuhan Granada pada 1492M, Goa, India (1508M) dan Melaka (1511M). Bagi mengukuhkan kedudukan politik umat Islam, lima buah kota telah menjadi induk bagi kekhalifahan yang baru iaitu Istanbul (Kota Othmaniyah), Fez (Kota Saadi) Esfahan (Kota Shafawi), Agra (Kota Mongol) dan Banda Aceh (Kota Aceh). Aceh mewakili Khalifah Othmaniyah bagi seluruh kepentingan umat Islam di Alam Melayu. Sultan Aceh diiktiraf sebagai duta atau wakil khalifah untuk Nusantara sejak ke-16M.

Atas sebab itu, Aceh bukan sahaja mempunyai hubungan diplomatik dengan Istanbul, tetapi turut menerima bantuan ketenteraan dan persenjataan dalam menghadapi Portugis di Melaka. Para ulamak juga dikirimkan ke Aceh dari kalangan ulamak Arab, India, Parsi dan Turki sendiri. Peranan utama Aceh adalah menguasai perdagangan dan melindungi Nusantara daripada kemasukan penjajah Barat, selain mengembangkan dakwah Islam. Peranan Aceh dalam membebaskan Melaka dari tangan Portugis telah membawa kepada Perang Tiga Segi, selain mengelakkan Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan Jawa dikuasai oleh Portugis. Sedangkan dalam dakwah, Aceh diketahui mengirimkan pendakwah ke Kelantan, Champa, Jawa, Sulawesi dan lain-lain yang akhirnya menjadikan seluruh Alam Melayu sebagai Wilayah Islam.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
11 Syawal 1439 / 25 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 26/6/2018

More Articles ...