20
Thu, Jun
39 Artikel Baru

MEMBACA surat Pemuda PAN Kelantan di Malaysiakini, kami kira mereka tersasar jauh. Kenapa? Adakah mereka merasakan atau berfikiran masih sebagai pembangkang? Tidak sedarkah bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mereka sudah pun memiliki segala jenis kuasa nun di Putrajaya? Kenapa mahu mengikuti perangai 'gemulah' Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu yang kerap menuding jari kepada PAS Kelantan contohnya dalam isu pil kuda dan jenayah rentas sempadan berkaitan penyeludupan pil ini ke Malaysia melalui sempadan Kelantan-Golok sedangkan segala jenis polis, kastam imigresen dan Aksem semuanya berada di bawah kuasa Kerajaan Pusat.

Pemuda PAN menyebut kononnya sebagai kerajaan berteraskan Islam di Kelantan, maka sepatutnya Kerajaan Negeri lebih proaktif dalam usaha menangani dan merawat masalah LGBT. Ya, Pemuda PAS Kelantan tolong jawabkan! Memang Kerajaan Negeri melalui agensi-agensinya sudah cukup proaktif dalam mendepani masalah sosial ini. Hanya orang yang tidak mahu mengetahui kebenaran sahaja yang akan menafikan kerja buat Kerajaan Negeri selama ini. Atau, adakah Pemuda PAN mahu melihat YAB Menteri Besar sendiri menangkap orang berkhalwat, baru dikatakan kerajaan ini sebuah kerajaan yang proaktif menentang maksiat?

Kerajaan Negeri melalui kemampuan dan kuasa yang terhad telah, sedang dan akan terus bertindak menentang masalah pelacuran dan LGBT. Pihak penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKBBRI) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) sentiasa bertindak bila sahaja ada laporan mengenai kes maksiat ini. Operasi bersepadu bersama pihak PDRM sering digerakkan bagi menghapuskan gejala sosial terkutuk di Kelantan dan pada tahun 2016 sebanyak 7 kes mewakili masing-masing pelacuran 4 kes dan pondan 3 kes telah ditangani yang mana mereka yang terlibat telah ditangkap seterusnya didakwa di mahkamah. Rekod pada tahun 2017 pula, penguatkuasa MPKBBRI dan JAHEIK telah membuat tangkapan dan pendakwaan terhadap 4 kes pelacuran serta 5 kes pondan. Bahkan terkini untuk tahun 2018 sehingga bulan Jun lalu, sebanyak 6 kes pondan dilakukan serbuan, tangkapan dan pendakwaan.

Baik tuan-tuan, semua ini membawa maksud bahawa, surat Pemuda PAN Kelantan kepada Malaysiakini yang menyatakan kononnya "Kerajaan Kelantan dilihat gagal menghapuskan kegiatan pelacuran seks songsang yang berlaku di sekitar bandar Kota Bharu Bandar Raya Islam" adalah tersalah fakta, berniat jahat, menuduh tanpa bukti dan berhujah tanpa nas serta malas melakukan kerja rumah (homework). Menyebut "masalah LGBT yang sudah sampai ke tahap perdagangan lendir di Negeri Serambi Makkah" amatlah dikesali dan menyedihkan. Maksud perdagangan di sini adalah kononnya seks rambang dan songsang telah menjadi satu bentuk perniagaan yang seolah-olah halal dan diberikan lesen oleh Kerajaan Negeri. Lupakah kalian di Kelantan, bahawa semua premis bangunan dan niaga yang berunsurkan maksiat seperti judi, kelab malam, disko, nombor ekor, rumah urut dan yang seumpamanya tiada tempat di negeri tadahan wahyu ini?

Kami sarankan sebaiknya Pemuda PAN Kelantan melakukan kunjung hormat ke negeri-negeri yang mereka kuasai seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan sebagainya untuk berkongsi pengalaman dan ilmu bagaimana Kelantan mampu untuk tidak mengeluarkan lesen-lesen bagi premis maksiat ini sepanjang 28 tahun yang lalu. Masalah LGBT ini harus kita tangani bersama, bahu-membahu tanpa menuding jari dan mencari kesalahan pihak lain. Jika ada maklumat, baik yang tuan-tuan dapati di jalanan, ataupun yang masuk di peranti kalian melalui Wechat dan Whatsapp, maka salurkan terus kepada pihak JAHEIK dan kepada pihak D7 PDRM (Bahagian Kongsi Gelap atau Perjudian atau Maksiat). Ini salurannya.

Kita cukup tertarik dengan minat yang ditunjukkan oleh Pemuda PAN berkaitan Polis Sejahtera (Syariah) di Kelantan. Mereka menyindir Kelantan dengan manifesto untuk mewujudkan Polis Syariah oleh PAS sepanjang tempoh kempen PRU baru-baru ini. Memang benar ia adalah salah satu janji Kerajaan Negeri dalam usaha untuk memartabatkan lagi pelaksanaan dan penguatkuasaan Undang-undang Syariah di negeri ini. Ia bukan suatu dongengan apatah lagi untuk dijadikan bahan lelucon oleh pihak yang sentiasa pesimis terhadap segala usaha baik Kerajaan Islam Kelantan. Berikan ruang untuk Kelantan melakukan kajian mendalam dan seterusnya melalui prosedur dan segala bagai birokrasi dalam melaksanakan janji Manifesto Polis Syariah ini. Takkanlah hanya selepas 2 bulan sahaja Pilihan Raya Umum dilakukan, maka Kelantan terus berjaya menubuhkan Polis Syariah ini? Umum mengetahui bahawa hal ehwal agama berada di bawah kuasa negeri manakala pasukan polis terletak di bawah kuasa Persekutuan.

Kelantan sudah lama mengimpikan pasukan penguatkuasa syariah yang sedemikian, persis di beberapa negara lainnya sebelum daripada ini. Arab Saudi memiliki seramai 3,500 unit khas polis dikendalikan oleh jawatankuasa hal ehwal agama dan pencegahan maksiat. Mereka bertindak antaranya mengekang kes homoseksual, pelacuran, penzinaan, arak serta murtad. Acheh juga lama meninggalkan kita sejak tahun 2005 dengan melantik 13 orang anggota Polis Syariah dan sehingga tahun 2014 jumlah mereka bertambah sehingga 62 orang termasuklah 14 anggota wanita. Dan lebih memalukan kita apabila negara mundur seperti Nigeria juga telah lama mewujudkan Polis Syariah di 5 negeri bahagian Utara daripada 12 buah negeri keseluruhannya.

Dan untuk rekod bersama, isu Polis Syariah ini bukanlah satu perkara yang baharu di Malaysia. Pada 27hb Januari 2014, pihak Jakim mengumumkan sebuah unit polis baru akan ditubuhkan dan berpusat di pejabat mereka bagi membantu menguatkuasakan undang-undang berkaitan kesalahan jenayah Islam. Datuk Othman Mustapha yang merupakan Ketua Pengarah Jakim pada waktu itu menyebut bahawa unit ini akan ditugaskan untuk menguatkuasakan semua kesalahan jenayah syariah termasuklah menangani kes Syiah dan ajaran sesat. Selepas 6 bulan berlalu, Menteri Dalam Negeri pada waktu itu iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kesediaan Kementeriannya untuk menempatkan pegawai dan anggota PDRM di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai Polis Syariah. Zahid menyebut lagi, beliau hanya menunggu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan jawatan itu di Jakim. Lebih jelas lagi apabila Ketua Polis Negara pada waktu itu Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa pegawai dan anggota polis akan dipinjam ke jabatan-jabatan agama Islam bagi membantu penyiasatan dan penguatkuasaan jika terdapat permohonan.

Nah, Pemuda PAN Kelantan, seperti kami katakan pada para pertama di atas tadi, bahawa segala kuasa ada pada kalian di Putrajaya saat ini. Kuasa Menteri Dalam Negeri, Polis, Menteri Agama, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jakim dan segala apa lagi yang membolehkan hasrat Polis Syariah dilaksanakan sesegera yang ada di Kelantan. Sekarang masa untuk kita sama-sama depani LGBT dan seks songsang. Bukan lagi masa untuk sindir-menyindir, saling mempersalahkan dan merendah-rendahkan lawan politik. Beranikah kalian melawan LGBT? 

NAZMAN CHE IBERAHIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan - HARAKAHDAILY 12/7/2018

KETIKA umat Islam diserang tentera Tatar, hampir seluruh Wilayah Islam dijajah. Antara yang terawal adalah Wilayah Khurasan yang berjiran dengan Mongol.

Pada satu peringkat di Khurasan, Tatar tidak berdaya menghadapi umat Islam di Kota Bukhara. Lalu pemimpinnya Genghis Khan menulis surat kepada umat Islam:

"Sesiapa yang menyerahkan senjatanya dan menyertai tentera Tatar, mereka akan selamat. Namun barangsiapa yang enggan, mereka pasti akan menerima penyesalan."

Surat tersebut menyebabkan umat Islam yang sedang terancam itu berpecah kepada dua pihak. Pihak pertama menolak keras tawaran Genghis Khan dengan berkata:

"Seandainya mereka mampu memerangi kita, tak mungkin mereka menawarkan sedemikian. Ini menandakan peluang kita cerah. Teruskan perjuangan, pasti kita akan beroleh salah satu antara dua kebaikan; menang ke atas mereka atau syahid penuh bahagia!"

Namun pihak kedua cenderung untuk menerima tawaran tersebut. Mereka berkata:

"Wajarkah kita sengaja menumpahkan darah sendiri, dalam keadaan kita tahu bahawa kita tidak akan mampu menentang mereka? Tidakkah kalian lihat bilangan dan kelengkapan mereka?"

Genghis Khan terus mengambil peluang dari pertelingkahan ini. Dia mengutus surat berikutnya khusus kepada pihak kedua yang sanggup menerima tawaran. Dalam surat tersebut, dia berjanji akan memberikan tampuk kekuasaan Bukhara kepada pihak tersebut dengan syarat mereka menumpaskan pihak pertama.

Tawaran itu menyebabkan pihak kedua rambang mata. Terus mereka menyahutnya tanpa rasa bersalah. Sanggup mereka memerangi saudara sendiri bagi pihak Tatar.

Pertempuran pun berlangsung. Akhirnya tumpaslah pihak yang teguh mempertahankan prinsip di tangan pihak yang menjual agama dengan habuan dunia.

Apa yang menyedihkan, pihak yang menerima tawaran Tatar itu tidak dianugerahkan apa yang dijanjikan. Sebaliknya senjata mereka dirampas, mereka ditangkap dan diarahkan supaya disembelih kesemuanya.

Genghis Khan mengungkap satu kata-kata yang sangat masyhur:

"Kalaulah mereka boleh dipercayai, mustahil mereka sanggup memerangi saudara sendiri demi kita. Padahal kita orang asing bagi mereka..!"

10 pengajaran dari cerita di atas:

1.     Taktik pecah dan perintah, strategi ampuh menghadapi Islam zaman berzaman.

2.     Aqidah perjuangan yang lemah punca tidak yakin dengan janji kemenangan dari tuhan.

3.     Habuan takhta dan harta mudah menggugat keikhlasan perjuangan.

4.     Pabila dunia menguasai diri, saudara sendiri pun sanggup dikhianati.

5.     Mempercayai bulat-bulat kata-kata musuh adalah kebodohan yang membinasakan.

6.     Islam tidak kalah kerana agama ini. Sebaliknya kalah kerana penyelewengan orang Islam sendiri.

7.     Dedak musuh itu beracun. Dan racunnya mampu membunuh jamaah.

8.     Pengkhianat tidak akan bahagia. Nikmat mereka hanya sementara.

9.     Pentingnya untuk berpegang kepada prinsip. Walau menyusahkan (tampak syadid), ia perisai pertahanan yang utuh!

10.     Tidak ada kerjasama dengan bukan Islam dalam menentang sesama Islam.

Tiga kata-kata hikmah yang perlu diambil iktibar:

1.  

  ما أشبه اليوم بالأمس

"Alangkah samanya hari ini dengan semalam."

2.    

لا تقتلوا أسودكم فتأكلكم كلاب عدوكم

"Jangan kamu bunuh singa di kalanganmu, nescaya kamu akan dimakan oleh anjing di kalangan musuhmu."

3.  

  من لا يتعلم التاريخ يعلمه التاريخ

"Barangsiapa tidak belajar dari sejarah, maka sejarah akan mengajarkannya kembali."

28 Syawal 1439
11 Julai 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 11/7/2018

 

SAYA ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Ustaz Muhamad Zain Abd Rahman yang kembali ke rahmatullah pagi tadi di rumah beliau.

Almarhum pernah berkhidmat untuk rakyat Terengganu sebagai Ketua Pegawai Agama, TDM Berhad pada 1999 hingga 2004.

Mewakili kerajaan dan rakyat Negeri Terengganu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan bakti almarhum.

إِنَّا للهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Menteri Besar Terengganu - HARAKAHDAILY 11/7/2018

SELURUH AJK Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor berasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga Al-Marhum Ustaz Mohd Zain Abdul Rahman yang telah dijemput menghadap Allah sebentar tadi di rumahnya.

Beliau telah berkecimpung dalam dakwah dan parti sejak dari beliau menuntut di Universiti Al-Azhar. Beliau merupakan mantan Ketua Dewan PAS Negeri Selangor yang telah memegang jawatan ini selama beberapa penggal dan pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.

Beliau merupakan seorang tokoh yang gigih dan komited menjalankan usaha dakwah sehingga ke akhir hayat beliau. Pemergiannya itu merupakan suatu kehilangan bagi umat Islam di Selangor.

Seluruh AJK Dewan Ulama PAS Negeri Selangor menyeru agar sekalian umat Islam mendoakan keampunan dan kerahmatan buat beliau dan menghadiahkan bacaan al-Fatihah buat al-marhum. Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh di syurga Allah.

Ustaz Rizuan Rahmat
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
11 Julai 2018
2.30 ptg - HARAKAHDAILY 11/7/2018

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَأْخُذَ اللَّهُ شَرِيطَتَهُ مِنْ أَهْلِ الْأَرْضِ، فَيَبْقَى عَجَاجٌ لَا يَعْرِفُونَ مَعْرُوفًا، وَلَا يُنْكِرُونَ مُنْكَرًا

"Tidak berlaku kiamat, sehingga Allah mengambil orang-orang baik dalam dari penduduk bumi. Maka tersisalah golongan-golongan sampah. Mereka tidak mengenali kebaikan dan tidak mengingkari kemungkaran"

(Hadis riwayat Ahmad)

Antara petanda hampirnya kiamat adalah:

●     Ramai orang baik dimatikan. Menyebabkan kebaikan menjadi janggal dan orang-orang baik yang masih berbaki menjadi tersisih.

●     Orang-orang jahat dibiarkan hidup ramai dan membiak menjadi sampah sarap dunia. Mereka menjadi pelaksana kepada kecelakaan-kecelakaan di ambang berlakunya kiamat.

●     Dari senario itu, kejahatan mendominasi hidup manusia. Lantas mereka menjadi golongan yang anti dengan kebaikan serta mendukung cara hidup yang batil.

Sungguh, kita berada di zaman yang dahsyat.

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
11 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 11/7/2018

 

PILIHAN raya Umum lebih dua bulan telah berlalu. Calon-calon yang memenangi kerusi-kerusi negeri mewakili parti masing-masing (termasuklah yang menang dan khianat serta lompat parti kemudiannya) telah pun mengangkat sumpah sebagi Ahli Dewan Negeri di negeri masing-masing, manakala yang memenangi kerusi Dewan Rakyat dijangka mengangkat sumpah mereka bulan Julai ini.

Barisan kepimpinan negeri-negeri telah pun dibentuk demikian juga di peringkat Persekutuan.

Walaupun tempoh mereka masih di peringkat terlalu awal, ditakdirkan Allah swt berlaku kekosongan di Dun Sungai Kandis, Parlimen Kota Raja, Selangor apabila Adun kawasan yang mewakili PH-PKR meninggal dunia.

Dengan kekosongan ini bermakna akan berlaku pilihan raya kecil iaitu yang pertama selepas PRU ke-14 dalam waktu yang terdekat.

Dengan perubahan besar pasca PRU ke-14 lalu sudah pasti “padang permainan” PRK ini berbeza sama-sekali dengan senario di waktu sebelum dan semasa menghadapi PRU ke-14. Umum mengetahui “upset” terbesar PRU ke-14 adalah kalah dan tersungkurnya BN di peringkat Persekutuan dan sebahagian besar negeri-negeri kecuali Perlis dan Pahang sahaja.

PAS walaupun tidak lagi sebahagian kerajaan di negeri Selangor, namun PRU ke-14 membuktikan PAS masih relevan dan terus diterima rakyat khasnya di utara Semenanjung dan di Pahang serta Pantai Timur Semenanjung. Walaupun PH cemerlang di Pantai Barat dan Johor namun di Kelantan dan Terengganu PH gagal memenangi walau satu kerusi Dun mahupun Parlimen dan PAS berjaya mempertahankan Kelantan serta menawan kembali Terengganu.

Ternyata politik Malaysia terbelah pada 3 penjuru sokongan iaitu PH, BN dan PAS yang menganggotai Gagasan Sejahtera, namun pasca PRU 14 baru-baru ini, BN khasnya Umno teruk “tercedera” dengan parti-parti komponannya berderu-deru berpaling tadah menjauhi gabungan tersebut yang kini hanya dianggotai Umno, MCA dan MIC, itupun entah berapa lama boleh bertahan.

Umno sendiri terus goncang apabila berlaku pengkhianatan dalam parti, dan pertandingan peringkat kepimpinan baru-baru ini melihatkan parti Melayu tertua dalam negara ini terus berhadapan dengan pelbagai masalah dan dilema.

Dan kini bakal berlaku pula PRK di Dun Sungai Kandis.

Sungai Kandis mempunyai 50,800 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu merupakan pengundi terbesarnya iaitu 73.11% diikuti India 14.7% dan Cina 12.8%. PRU ke 14 lalu meyaksikan berlaku pertandingan 4 penjuru di Dun ini iaitu antara calon PAS, PH-PKR, BN-Umno, PAS dan PRM. Calon PH Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie menang dengan majoriti 12,480 undi.

Ternyata sebagaimana di kerusi-kerusi Dun yang lain yang majoriti pengundi Melayu di Selangor, pertandingan 3 penjuru atau lebih antara calon-calon PH, BN dan PAS telah menyaksikan sokongan pengundi Melayu itu berpecah tiga.

Kerana itu bagi menghadapi PRK Sungai Kandis kali ini PAS melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pusatnya telah memutuskan hanya akan meletakkan calon kiranya berlaku pertandingan satu lawan satu iaitu antara calon PH dan PAS. Sikap ini penting kerana jika berulang pertandingan tiga atau lebih penjuru maka besar kemungkinan keputusan PRU14 akan berulang kembali dan PH akan menang mudah.

Umno walaupun memperolehi 11,518 undi di Sungai Kandis pada PRU14 lalu, iaitu kedua terbesar, namun ia hari ini berbeza dari Umno sebelum PRU14. Umno hari ini berhadapan dengan pelbagai masalah dan krisis, mereka ditolak rakyat pada PRU lalu dan bekas Presidennya pasca PRU ini telah diseret ke mahkamah dan akan menghadapi pelbagai pertuduhan bersabit skandal 1MDB yang banyak menconteng arang ke wajah Umno.

Akaun Umno di peringkat pusat dan beberapa negeri termasuk Selangor pun telah dibeku pihak berkuasa yang sudah pasti melumpuhkan operasi Umno.

Lantaran itu, PRK Sungai Kandis sepatutnya bukanlah masa sesuai buat Umno sertai. Dan tepatlah keputusan PAS Pusat bahawa sewajarnya PASlah diberi laluan untuk menghadapi PH dalam PRK ini memandangkan PAS kekal relevan dan punya rekod yang baik serta masih boleh diterima rakyat, tidak seperti Umno di waktu ini.

Hari ini setelah 2 bulan berkuasa, beberapa dasar dan program serta tindakan yang diambil kerajaan PH sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri Selangor mula digusari rakyat dan mula dipertikaikan.

PH menang Dewan Negeri Selangor pada PRU14 lalu dengan begitu selesa iaitu menguasai 51 daripada 56 kerusi Dun.BN-Umno menang 3 kerusi dan PAS cuma 1. Oleh itu PRK Sungai Kandis ini adalah peluang buat rakyat untuk melontarkan wakil yang dapat bersuara mempertahan dan memperjuangkan hak dan kepentingan mereka agar tidak dieksploitasi dan didominasi oleh PH yang punya penguasaan dua pertiga di Dewan Negeri.

PAS dengan rekodnya yang diketahui rakyat Selangor berupaya menjadi benteng suara rakyat khasnya dalam mempertahankan kepentingan Melayu Islam sebagaimana yang pernah ia lakukan sejak PRU 2008 semasa di dalam kerajaan.

Semoga pihak lain khasnya Umno berbesar hati memberi laluan kepada PAS dalam PRK ini agar PAS dapat menggembleng kekuatannya menghadapi calon PH-PKR. Namun jika opsyen ini tidak berhasil, maka sebagaimana ditegaskan PAS Pusat, ketika itu suatu keputusan drastik perlu diambil demi kelangsungan masa depan dan perjuangan PAS. – HARAKAHDAILY 11/7/2018

SAYA mendapat perkhabaran yang mendukacitakan di atas pemergian al-Fadhil Ustaz Muhammad Zain Abdul Rahman, AJK Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor. Beliau telah dijemput Ilahi sekejap tadi di kediamannya. Beliau telah meninggalkan jasa yang begitu besar kepada DUPP sepanjang menjawat jawatan sebagai Setiausaha DUPP semasa kepimpinan almarhun Tuan Guru Dato' Haji Harun Taib. Saya mewakili saf kepimpinan DUPP merakamkan ucapan takziah kepada keluarga almarhum dan mendoakan agar beliau ditempatkan bersama hamba Allah yang diredhai di syurga-Nya.

إنا لله وإنا إليه راجعون
اللَّهُمَّ اغْفِرْ َله وَارْحَمه وَعَافِه وَاعْفُ عَنْه وَأَكْرِمْ نُزُلَه وَوَسِّعْ مُدْخَلَه وَاغْسِلْه بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّه مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وَأَدْخِلْه دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِه وَأَهْلا خَيْرًا مِنْ أَهْلِه وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِه وَأَدْخِلْه الْجَنَّةَ وَأَعِذْه مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ

USTAZ DATO' DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
27 Syawal 1439H / 11 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 11/7/2018

More Articles ...