26
Fri, Apr
15 Artikel Baru

KELANTAN dianggap sebagai sebuah negeri pertanian (agrarian), menyaksikan aktiviti ekonomi yang berkait-rapat dengan sektor pertanian, perniagaan, dan pelancongan, di samping faktor geografi seperti banjaran, dataran Sungai Kelantan dan monsun Laut China Selatan.

Persepsi pihak luar terhadap ekonomi Kelantan sering dikaitkan dengan kemiskinan dan pengangguran, namun Kelantan turut sinonim dengan dasar berkebajikan, daya keusahawanan dan kuasa beli yang tinggi, menjadikannya mempunyai daya tahan dan kekuatan tersendiri.

Keunikan utama ekonomi Kelantan adalah budaya integriti dan dasar berkebajikan di pihak kerajaan. Rekod bersih pentadbiran kerajaan Kelantan sejak 1990 menjadi model pencegahan dan pembasmian rasuah, di samping dasar penjimatan dan perbelanjaan berhemah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang mengutamakan nilai keberkatan.

Pelbagai program berkebajikan telah dilaksanakan di Kelantan seperti biasiswa pendidikan (YIK, zakat), bantuan kemiskinan (beras percuma, rumah termiskin, Tabung Serambi Mekah), bantuan wanita dan ibu tunggal, latihan kemahiran, bantuan modal perniagaan, program Ladang Rakyat dan sebagainya, bertujuan untuk membantu dan meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat Kelantan.

Selain peranan pihak kerajaan, kerancakan ekonomi negeri Cik Siti Wan Kembang turut disokong oleh kekuatan kuasa beli dan permintaan tempatan di kalangan rakyat, khususnya dalam transaksi tunai, perniagaan kecil, industri desa, serta pelaburan hartanah dan perumahan, di samping budaya infak, sedekah dan waqaf yang sinonim dengan rakyat Kelantan.

Potensi ekonomi Kelantan boleh dikembangkan melalui sektor pendidikan (hab pengajian Islam dan tamadun Melayu), pertanian moden (ladang rakyat, perikanan laut dalam), keusahawanan (belia, wanita, industri desa, industri kreatif), hab pelancongan Islamik serta industri hiliran minyak dan gas, yang boleh dibangunkan oleh kepakaran dan kemahiran anak jati Kelantan.

Cabaran utama pembangunan Kelantan adalah infrastruktur (darat, laut, udara) serta tarikan pelaburan (insentif cukai, FDI) yang banyak bergantung kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan, di samping peluang pekerjaan yang mampu ditawarkan oleh ekonomi tempatan. Pemberian royalti petroleum (lima atau 20 peratus) pastinya akan mengubah kanvas ekonomi kerajaan negeri dan rakyat Kelantan.

Inilah sebahagian pandangan saya terhadap keunikan, potensi dan cabaran ekonomi Kelantan, dari kaca mata seorang anak Kelantan di perantauan.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
30 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 30/5/2018

KEBANGKITAN Othmaniyah sebagai kuasa politik yang baru bermula sebaik sahaja jatuhnya Daulah Abbasiyah di Baghdad pada 1258M (656H). Pada 1299M (699H), Kerajaan Othmaniyah didirikan di Barat Anatolia, di perbatasan Wilayah Byzantine.

Disebabkan kedudukannya yang bersempadan dengan Kerajaan Romawi ini, Dinasti Othmaniyah bukan sahaja memainkan peranan besar dalam membawa Islam ke Eropah dari arah Timur, bahkan akhirnya berjaya meruntuh Kota Constantinople yang sangat kukuh itu pada 1453M.

Sejarah kemasukan Islam ke Eropah bermula dengan kejayaan tentera Panglima Musa bin Nushair memasuki Andalus menerusi Gibraltar pada tahun 92H. Kemudian, selepas kejayaan Dinasti Alghlabiyah membuka Sicilia pada 212H, Sultan Ibrahim II Aghlabiyah telah berjaya memasuki Semenanjung Itali dan menguasai Kota Bari dan Toranto pada 232H.

Tetapi ia dapat ditawan semula oleh Kerajaan Rom tiga tahun kemudian. Adapun penguasaan lain terhadap Wilayah Eropah hanya berlaku ke atas pulau-pulau di Mediterranean seperti Cyprus, Rhodes dan Crete yang ditawan oleh Muawiyah Abu Sufian pada tahun 29H, iaitu zaman Khalifah Othman al-Affan.

Sultan Murad I: Pemacu kebangkitan Othmaniyah

Sultan Murad I (761-791H) adalah Sultan Othmaniyah yang ketiga, sekali gus cucu kepada pengasas daulah ini, Othman bin Ertughul (656-726H). Sebagaimana ayahnya, Sultan Orkhan bin Othman yang merupakan seorang Sultan yang sangat berambisi dalam meluaskan Wilayah Islam ke atas kawasan-kawasan Kristian Byzantine di sekitarnya, Murad I mulai masuk ke bumi Eropah secara meluas sehingga Constantinople dapat dikepung dari arah Barat. Bahkan, beliau telah memindahkan Ibu Negara Othmaniyah ke Eropah pada 1362M sebagai langkah untuk meluaskan pengaruh Islam ke atas benua itu.

Sultan Murad I adalah seorang pemimpin yang terkenal kerana adil, mencintai jihad, sangat pemberani, dermawan dan kuat beragama, sehingga beliau mendapat syahid pada 1389M (791H). Kejayaan terbesar dalam jihad beliau ialah penguasaan ke atas Adrianople (Edirne) pada 1360M, yang merupakan kota kedua terbesar bagi Byzantine, dan menjadi pintu masuk ke Eropah, khususnya Balkan.

Pada 1363M, Adrianople dijadikan Ibu Negara Othmaniyah menggantikan Bursa. Dari kota ini, Sultan Murad I bergerak menguasai Tenggara Eropah termasuk Balkan, Serbia dan Bulgaria sehingga dapat memaksa Kaisar Byzantine, John V Palaiologos membayar pampasan kepada Daulah Othmaniyah. Beliau kemudiannya mewujudkan dua Pusat Pentadbiran Othmaniyah iaitu di Rumelia bagi Balkan dan Adrianople bagi Asia Kecil.

Perang Serbia: Pembukaan Bosnia dan syahidnya Sultan Murad I

Kejayaan Daulah Othmaniyah menguasai Adrianople pada 1360M telah mewujudkan tiga kuasa politik di Timur Eropah iaitu Constantinople, Daulah Othmaniyah dan Empayar Serbia. Kematian Raja Serbia, Stefan Uros V pada 1371 tanpa putera telah menyebabkan empayar ini melemah.

Sebelumnya, kejayaan Sultan Murad I menguasai Philippoupolis telah menyebabkan Wilayah Othmaniyah membesar lima kali ganda, dan mendorong Paus Urban V menghasut Raja-raja Kristian bangkit melawan Othmaniyah. Raja Serbia, Bosnia dan Falakh telah berpakat menyerang Andrianople pada 1363M tetapi tewas dalam serangan hendap Othmaniyah.

Pada awal 1371M, mereka tewas lagi dalam perang di Maritsa. Sultan Murad I kemudiannya menguasai Samakov, Sofia, Monatsir, Nice dan Salonika sehingga Raja Serbia dan Bulgaria terpaksa membayar ufti.

Walau bagaimanapun, tentera Othmaniyah telah tewas dalam dua pertempuran iaitu dalam Perang Plocnik (1386M) dan Perang Bileca (1388M) yang menyebabkan pasukan Kristian bersemangat semula. Sultan Murad I memindahkan tenteranya ke Ihtiman dari Philippoupolis pada 1388M melalui Velbudz dan Kratovo (Macedonia) serta menyerang Wilayah Kristian di Utara Serbia seperti Kumanovo, Presvo dan Gnjilane dalam pergerakan ke Prestina. Keadaan ini telah mengakibatkan berlakunya Perang Kosovo pada 15 Jun 1389M.

Sultan Murad I bersama dua puteranya, Bezayid dan Yaakob dengan 40,000 tentera berhadapan dengan tentera gabungan Serbia dan Bulgaria yang dibantu oleh tentera Bosnia, Falakh, Albania, Herzegovina dan Poland yang berjumlah 30,000 orang.

Peperangan ini telah membolehkan Daulah Othmaniyah menguasai Wilayah Balkan iaitu negara-negara Bosnia, Herzegovina dan Kosovo hari ini pada 13 Ramadhan 791, di mana panglima perang Kristian, Lazar telah berjaya dibunuh.

Namun begitu, setelah pasukan Islam, Sultan Murad I telah ditikam oleh seorang perajurit Kristian yang berada dalam gelimpangan mayat tentera yang terbunuh. Dengan syahidnya Sultan Murad I, usaha meluaskan pengaruh Islam di Timur Eropah ini diteruskan oleh Sultan Yildirim Beyazid.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
13 Ramadan 1439 / 29 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 30/5/2018

PADA hari ini, tafakkur 13 Ramadan memfokuskan ayat berkenaan kejadian kilat dan petir di langit. Pada hakikatnya, semua itu di bawah kekuasaan Allah untuk membuktikan seluruh makhluk-Nya di langit dan bumi sentiasa bertasbih serta memuji kebesaran-Nya. Firman Allah S.W.T:

وَيُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ وَيُرْسِلُ الصَّوَاعِقَ فَيُصِيبُ بِهَا مَنْ يَشَاءُ وَهُمْ يُجَادِلُونَ فِي اللَّهِ وَهُوَ شَدِيدُ الْمِحَالِ

"Dan Dialah yang petir dan Malaikat bertasbih memuji-Nya kerana takut kepada-Nya. Dan Dialah juga yang menghantarkan kilatan petir, lalu Dia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendaki. Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan kuasa Allah. Padahal Dia amat keras azab seksa-Nya."

[ar-Ra'd: 13]

Al-Quran telah membincangkan perihal petir dengan membawa istilah al-Ra'du, al-Showa'iq dan al-Barq. Para Mufassirun mendefinisikan al-Ra'du lebih dekat dengan makna suara petir sementara al-Shawa'iq dan al-Barq lebih dekat dengan makna kilatan petir, iaitu cahaya yang muncul beberapa saat sebelum adanya suara petir atau guruh.

Sayyidina Ibnu Abbas R.A ada menyebut bahawa petir itu adalah Malaikat yang berteriak kuat untuk mengatur perjalanan awan yang mengakibatkan turunnya hujan.

Petir merupakan suatu fenomena alam yang sering terjadi saat sebelum dan ketika turunnya hujan. Apabila kilatan petir menyentuh ke bumi, Saintis menyatakan bahawa cuaca menjadi panas hingga mencecah 25,000 darjah celsius dan kelajuan kilatan petir sehingga 150,000 km/detik.

Mengikut ahli Sains juga, kilat yang terhasil mempunyai banyak kebaikannya kepada penduduk bumi. Ia dapat membantu pembentukan lapisan ozon bagi melindungi bumi daripada radiasi sinar matahari yang berbahaya bagi kehidupan di bumi.

Selain itu, kilat dapat membantu mengimbangkan arus elektrik di bumi. Ia boleh memindahkan caj negatif balik ke bumi. Tanpa bantuan ini, imbangan elektrik antara bumi dan atmosfera akan semakin hilang. Begitu juga untuk faedah tumbuh-tumbuhan yang dapat melarutkan gas nitrogen ke dalam air bagi menghasilkan baja asli seterusnya meresap ke akar-akar tumbuhan.

Inilah rahmat Allah kepada makhluk di bumi, walaupun guruh dan kilat ditakuti oleh manusia dan makhluk lain namun ia tetap membawa manfaat kepada kehidupan mereka. Kajian Sains juga menyatakan bahawa dengan berlaku sambaran petir di udara, ia akan membunuh kuman-kuman dan bakteria yang terlalu banyak di udara dan ini akan menyebabkan udara menjadi bersih untuk keselesaan makhluk di muka bumi.

Subhanallah!

USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
13 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 29/5/2018

KEJAYAAN Sultan Salahuddin al-Ayubi mengambil alih Daulah Fatimiyah pada 1171M dan kembalinya Baitulmaqdis ke tangan Islam pada 1187M telah membuka ruang untuk Islam menguasai bumi Syam sepenuhnya. Kejayaan ini bermula dengan kemenangan dalam Perang Salib II atau Perang Hittin pada 583H, diikuti oleh pembukaan Baitulmaqdis pada 27 Rejab 583H. Kejayaan Sultan Salahuddin al-Ayubi merampas semula Baitulmaqdis setelah kota suci itu dijajah oleh Kristian dalam Perang Salib I pada 1099 (490H) telah menggemparkan Eropah.

Ekoran itu, kebanyakan Raja dan Panglima Perang Kristian seperti Fredrick Barbossa (Raja Jerman), Richard The Lion Heart (Raja England), Philips Augustus (Raja Perancis), Leopold (Austria), Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Sultan Salahuddin al-Ayubi yang mengetuai tentera Islam. Gerakan Kristian ini telah mencetuskan Perang Salib III yang berlaku selama lima tahun, berakhir dengan Perjanjian Ramallah pada 588H (1192M), di mana Sultan Salahuddin al-Ayubi telah diakui sebagai penguasa Baitulmaqdis dan semua wilayah menjadi milik Islam, kecuali Acre.

Sultan Salahuddin al-Ayubi: Panglima Terbesar Islam

Salahuddin al-Ayubi (533-589H) adalah antara pemimpin Islam terkemuka dalam sejarah kerana kejayaannya mengambil alih Mesir daripada Kerajaan Syiah Fatimiyah serta keberhasilan baginda mengalahkan tentera Salib, merampas Baitulmaqdis dan menjadikan seluruh Wilayah Syam dikuasai oleh Islam. Beliau yang dilahirkan di Damsyik merupakan anak kepada Gabenor Balbek, Najmuddin al-Ayubi. Beliau kemudian dilantik sebagai Panglima Saljuk di Mesir menggantikan bapa saudaranya, Shirkuh. Pada awalnya, beliau adalah tentera Sultan Mahmud Nuruddin Zanki, Raja Saljuk Aleppo yang diarahkan menguasai Mesir pada 1160M, sebelum menjadi panglima pada tahun 1969M.

Selepas menguasai Mesir, baginda telah berperanan mempertahankan Mesir dari tentera Salib Baitulmaqdis yang dipimpin oleh Almaric I. Sebagai panglima tentera, Salahuddin al-Ayubi ketika saat kewafatan Khalifah Daulah Fatimiyah, al-Aidid pada September 1171M, telah mengarah para imam menyebut nama Khalifah al-Mustadi' Li Amrillah (1170-1780M) iaitu Khalifah Abbasiyah di Baghdad, sekali gus mengembalikan Mesir kepada umat Sunni. Setelah kewafatan Sultan Mahmud Nuruddin Zanki pada 1174M pula, Salahuddin al-Ayubi mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Mesir, sebelum bergerak ke Baitulmaqdis bagi menghadapi Perang Salib II pada 583H (1187M).

Menawan Kota Safed: Penguasaan ke atas bumi Syam

Selepas berjaya mengalahkan tentera Kristian dalam Perang Hittin dan menguasai Baitulmaqdis, Sultan Salahuddin al-Ayubi menyedari saki baki kekuatan tentera Kristian masih berpusat di kota-kota Kristian sekitar Syam, dan ia menjadi ancaman kepada Baitulmaqdis. Pada Mac 1183M, baginda bergerak dari Acre menuju ke kubu-kubu lawan di Kawkab, Karak dan Safed, iaitu pusat-pusat pengikut Templer dan Hospitaler, panglima-panglima Kristian. Beliau yang bertujuan menguasai wilayah Kristian itu, bergerak menuju ke Hins al-Akrad, benteng Kurdis, sekali gus menghampiri Antioch, kota pemerintahan Byzantine di Syam.

Gerakan Sultan Salahuddin al-Ayubi telah menawan Kota Jabala pada 18 Jamadil Akhir 538H dan memaksa pemimpin Kristian, Bohemond membebaskan tawanan Islam. Pada 24 Jamadil Awal pula, Kota Lattakia telah tewas, diikuti oleh Kota Sahyun yang jatuh pada 27 Jamadil Awal bersama Kota Balatunus, Aydhu dan Jamahiriyah. Kota Bakas pula tumbang ke tangan Islam pada 6 Jamadil Akhir, diikuti oleh kota Shugr 3 hari kemudian, sekali bergerak menghampiri Antioch. Dalam tempoh antara 16 Jamadil Akhir hingga 2 Syaaban, kota-kota Sarminiyah, Barziyah, Darbsak dan Baghras telah tidak dapat dipertahankan lagi oleh tentera Kristian. Akhirnya pada 3 Syaaban, Aleppo daoat dikuasai oleh Islam.

Baginda memasuki Damsyik pada 11 Syaaban dan singgah di Ma'arat al-Ni'man sehingga Ramadan 584H. Kota Kristian yang masih berbaki ialah Kawkab, Karak dan Safed. Baginda menghantar Panglima al-Adil dan Sa'adudin Kamshabah ke Karak, sekali gus menguasai benteng-benteng kecil seperti Shawbak, Wu'ayra, Sila' dan Hurmuz. Dengan kejayaan ini, Sultan Salahuddin al-Ayubi membebaskan Raja Humpery IV yang ditawan dalam Perang Hittin. Setelah itu, beliau menghantar Qaymaz an-Najmi untuk menguasai Kawkab, sedangkan Sultan Salahuddin al-Ayubi sendiri bergerak ke Safed pada 12 Ramadan 584H dan terus dapat menguasai kota itu, sekali gus menghabiskan semua kota dan benteng Kristian di bumi Syam.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
12 Ramadan 1439 / 28 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 28/5/2018

BAGI mereka yang biasa mendengar lontaran hujah dari Tuan Guru Haji Hadi (TGHH), pasti memahami kaedah penerangan beliau. TGHH akan mengkaitkan kemelut yang berlaku dengan persoalan-persoalan ideologi yang menjadi punca kepada pelbagai masalah negara dan masyarakat.

Sudah pasti ia kelihatan besar dan tidak menyentuh isu secara langsung. Namun itulah cara berfikir yang mahu diterapkan oleh TGHH, agar kita tidak terbawa-bawa dengan permainan isu tanpa mengamati punca utamanya.

Berikut beberapa penekanan beliau ketika diwawancara oleh Astro Awani tempoh hari:

●     Kestabilan negara kita ditentukan oleh taburan demografi undi teras, iaitu Melayu Islam. Sesiapa yang berkuasa mesti memelihara dominasi hak golongan tersebut.

●     Ideologi ekonomi dan politik yang lebih terarah kepada materialisme tidak mendidik integriti. Demi mencapai nilai integriti, manusia memerlukan pantauan spiritual iaitu sedar akan pertimbangan dosa pahala.

●     PAS lebih memilih untuk menjadi pembangkang yang menasihat. Bersedia untuk bersama dengan pihak lain demi kepentingan Islam. Tidak membangkang secara melulu. Oleh kerana itu PAS mengemukakan konsep Ta'awun Siyasi.

●     Islam adalah Islam. Tiada Ortodok, tiada Protestan. Justeru Islam tidak perlu dijenamakan kononnya dengan jenama 'Islam progresif'. Kondisi Islam di Malaysia tidak seteruk Islam di Turki yang melalui tekanan Islamophobia yang dahsyat. Justeru tidak wajar PAS yang beroperasi di Malaysia, tiba-tiba meniru pendekatan Islam di Turki .

●     PAS perlu menangani masalah di kalangan anggota PAS yang semangat Islamnya tinggi tetapi jahil.

●     Diharapkan kepada Kerajaan PH agar berlaku adil ke atas semua negeri, terutamanya berkaitan polemik bayaran royalti petroleum. Jangan disebabkan negeri itu diperintah oleh parti pembangkang, maka hak mereka menerima royalti minyak disekat.

Teguran buat anggota PAS

Kita dipimpin oleh seorang tokoh yang hebat dari sudut akhlak dan ilmunya. Dalam pertarungan politik hujah pada hari ini, adalah penting untuk kita serius memasarkan manhaj ilmu TGHH. Menyambung lidah beliau.

Apabila kita hanya memuja tanpa mengemukakan hujah-hujah TGHH, kelakuan ini hanya membuka ruang kepada pihak musuh untuk membuat serangan-serangan liar ke atas kita. Berpadalah dengan romantisme. Sebaliknya budayakanlah ilmu dan pasarkanlah hujah-hujah bernas TGHH. Sementara beliau masih bersama kita.

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD  
30 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 30/5/2018

10 minit sebelum dialog secara langsung di Astro Awani dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang jam 2 petang Isnin 28 Mei 2018, sudah lebih 600 komen dibuat di laman Astro. Komennya sama ada pro atau kontra.

Usai dialog selama sejam itu, beratus lagi komen yang ditulis, pro atau kontra.

Bagi saya, semua komen ini menggambarkan ketokohan dan kehebatan Tok Guru yang muncul julung-julung kali di Astro Awani. Ia menggamit para penyokong atau pembencinya untuk menulis di ruangan komen, sama ada dengan ilmu atau nafsu.

Kalau saudara membaca komen-komen itu, ia sebenarnya menggambarkan watak si penulis. Apa yang ada di dalam hati, ia diungkap dalam bentuk teliti atau sebaliknya menyakitkan hati. Ada yang sangat berhemah, ada yang hujahnya sangat lemah, dan ada yang hanya komen berdasarkan nafsu serakah.

Saya mengikuti dialog selama sejam itu, sebagaimana orang lain. Yang tulis komen, entah dengar atau tidak. Yang mengikuti pula, kalau diteliti akan faham apa yang ingin disampaikan oleh Tok Guru. Sementara ada pula yang tak faham atau sengaja buat tak faham.

Saya dengar soalan-soalan yang dikemukakan oleh Haji Nazri Kahar. Tok Guru menjawabnya dengan 'cara beliau'. Ada yang kata Tok Guru tidak menjawab soalan. Ada yang kata Tok Guru mengelak dari menjawab dan pelbagai tohmahan dengan maksud melekehkan beliau.

Kalau anda ahli PAS, pendukung PAS atau yang biasa mendengar ceramah, kuliah, tulisan Tok Guru, sebenarnya sebahagian soalan-soalan Haji Nazri Kahar itu sudah terjawab dalam semua itu. Maka apabila anda mendengar jawapan Tok Guru, anda sudah boleh menangkap maksud dan apa yang ingin Tok Guru sampaikan. Justeru, tidak timbul Tok Guru tidak menjawab soalan atau mengelak dari menjawab.

Bagi yang tidak biasa mendengar jawapan Tok Guru terhadap sesuatu isu, tetapi kuat mengomen, nampak sangat anda ketinggalan zaman. Komen di ruangan komen zaman ICT, tapi ceramah Tok Guru melalui ICT tak tahu.

Anda setuju atau tidak, Tok Guru sudah berkecimpung dalam politik sebelum sebahagian dari anda lahir. Setuju atau tidak, Tok Guru sudah ditanya pelbagai soalan dalam pelbagai medium sebelum ini. Setuju atau tidak, Tok Guru memahami mantiq, balaghah dan seni menjawab jauh lebih bijak dari sebahagian mereka yang kuat komen di ruangan komen.

Nabi SAW pernah ditanya pelbagai soalan. Nabi SAW juga menjawab dengan pelbagai jawapan. Ada yang direct, ada yang indirect. Ada yang ringkas, ada yang panjang. Kesemuanya berdasarkan fatanah, kebijaksanaan seorang Nabi.

Allah bertanya kepada Nabi Musa tentang tongkatnya. Cuba lihat cara jawapan Nabi Musa.

Tok Guru bukan nabi. Tetapi beliau mengikut jejak perjuangan Nabi. Nabi sebut: Ulama adalah pewaris Nabi. Antara yang diwarisi ialah sifat bijaksana.

Haji Nazri bertanya. Tok Guru menjawab, bagi saya, dengan kebijaksanaan beliau. Usai program, Haji Nazri tahu beradab dengan seorang ulama. Gambar beliau dengan Tok Guru menceritakan demikian. Sementara yang banyak tulis di ruangan komen, sebahagiannya langsung tidak beradab dengan seorang ulama. Ya, gambar profil FBnya pun memang menceritakan demikian. – HARAKAHDAILY 29/5/2018

Penulis adalah Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu dan TYDP PAS Kemaman.

RAND Corporation selaku antara badan pemikir Amerika melalui kertas perancangan mereka yang bertajuk 'Civil Democratic Islam'. Mereka telah menggariskan beberapa langkah untuk mensabotaj kebangkitan Islam, lantas digantikan dengan pembawakan Islam yang direstui oleh Barat.

Antaranya dengan mewujudkan polemik Hadis yang tidak berkesudahan antara golongan-golongan agamawan. Pertempuran tersebut bakal mengheret masyarakat awam agar turut hanyut. Lalu membuka ruang kepada pembenihan kekeliruan dan pertikaian terhadap kefahaman-kefahaman agama.

Ia sebagai kesan langsung dari semangat menilai semula kefahaman agama yang telah sedia diterapkan dalam sesebuah masyarakat Muslim, agar digantikan dengan sisi pandang baharu yang lebih sesuai dengan kehendak Barat.

Maka tidak hairanlah jika kita dapati, golongan yang mencetuskan perbalahan berkenaan Hadis, turut skeptikal terhadap kumpulan Islam. Prejudis mereka terhadap kumpulan Islam teramat tidak dapat diselindungkan.

Persoalannya, siapakah di belakang mereka?

Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi menulis di dalam bukunya yang bertajuk 'Baina al-Islam al-Rabbani Wa al-Islam al-Amrikani', telah mendedahkan beberapa ciri agamawan yang direstui oleh Barat. Antaranya adalah:

"Antara ciri pendakwah yang digemari oleh Barat adalah, pendakwah yang mengerahkan staminanya untuk bersungguh melawan gerakan Islam. Hanya suka mengkritik tokoh serta asyik menyalahkan agenda gerakan Islam. Pada waktu yang sama dia diam seribu bahasa terhadap musuh Islam yang sentiasa merancang kerosakan ke atas Islam"

Diulangi, sebenarnya siapakah di belakang mereka?

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD 
29 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 29/5/2018

FB IMG 1527570193428

More Articles ...