20
Thu, Jun
39 Artikel Baru

DUNIA Melayu atau Alam Melayu adalah sebuah rantau politik dan ekonomi yang sangat strategik sejak zaman pra-sejarah lagi. Kedudukan geografi Alam Melayu yang disebut juga sebagai Nusantara yang berada di tengah-tengah kawasan tamadun awal manusia telah menjadikan rantau ini sangat penting. Di sebelah Timur, berdirinya Tamadun Hwang Ho (kini China) yang mencipta pelbagai kemajuan, sedangkan di sebelah Barat muncul Mohenjadoro dan Harappa (India), Mesopotamia dan Babylon (Iraq), Nil (Mesir) dan Athens (Greek), sehingga menjadikan Alam Melayu penghubung utama kedua-dua belah tamadun.

Kedudukan Alam Melayu yang berada di laluan ekonomi yang utama iaitu Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut China Selatan telah memboleh komunikasi perdagangan antarabangsa yang lebih cekap berlaku, berbanding Laluan Sutera yang merentasi Siberia yang sangat mencabar. Disebabkan kedudukan strategik ini, muncul bandar-bandar pelabuhan sepanjang pesisirnya, yang kemudian membentuk Kerajaan-kerajaan Kota, sebelum menjadi Empayar-empayar yang besar. Kemunculan Kerajaan Melayu Funan (68-628M), Sriwijaya (600-1100M), Majapahit (1293-1498M) dan Melaka (1400-1511M), adalah gambaran bagaimana Bangsa Melayu menjadi sebuah bangsa dan tamadun yang mempunya empayar besar yang menguasai laluan ekonomi Timur-Barat sehingga abad ke-16M.

Seorang Orientalis, Snouck Hurgronje mengemukakan teori The Greater India untuk menggambarkan keseluruhan pemikiran, kebudayaan dan Tamadun Melayu adalah sebahagian daripada proses ketamadunan India yang beragama Hindu-Buddha. Namun begitu, Bangsa Melayu yang merupakan Bangsa Maritim yang menguasai ekonomi dan politik laut, telah menjadi sebahagian dari kawasan Tamadun Islam mulai abad kesembilan Masehi. Bangsa Melayu telah menjadi bangsa besar yang dicatatkan pencapaian tamadun mereka dalam catatan China, India, Arab dan Greek, selain turut dikunjungi oleh pengembara terkenal seperti Marco Polo (m. 1324M) dan Ibnu Batutah (m. 1377M). Alam Melayu telah bertukar menjadi kawasan Islam sejak berdirinya daulah Islam yang pertama di sebelah Nusantara di Perlak pada 840M (225H).

Konsep Melayu

Perkataan "Melayu" menjadi perbahasan para sarjana tentang asal-usulnya. Secara akademik, pertama kali perkataan Melayu dicatatkan oleh Sejarawan China pada 644M yang menyebutnya sebagai "Mo-lo-yue." Ada sarjana yang mendakwa ia berasal dari kata "Himalaya" iaitu tempat bersalji, tetapi lebih ramai yang bersetuju ia berasal dari perkataan Jawa, "Mlayu" yang bermaksud berlari atau mengembara, merujuk kepada pergerakan manusia dari Yunan ke Nusantara ribuan tahun dahulu. Dr Burhanuddin al-Helmy mengatakan ia berasal dari dua perkataan "Mela" (mula) dan "Yu" (negeri) iaitu Mula Negeri. Andaian lain ialah perkataan "Melayur" yang bermaksud bukit atau tanah tinggi dan "Malaya" dalam Bahasa Tamil yang bermaksud hujan.

Istilah Melayu diertikan sebagai Bangsa Austranesia yang tinggal di Semenanjung Tanah Melayu dan seluruh Kepulauan Melayu. Ia merujuk kepada orang Melayu di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina hingga ke Madagaskar. Lebih umum boleh dikatakan merujuk kepada bangsa yang bertutur dengan Bahasa Melayu, berbudaya Melayu dan tinggal di Semenanjung dan Kepulauan Melayu. Dalam konteks Malaysia secara yang sempit, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mentakrif orang Melayu ialah orang yang berbahasa Melayu, berbudaya Melayu dan beragama Islam. Dalam pengertian ras, Melayu adalah seluruh penduduk asal Nusantara.

Daerah Alam Melayu

Ketika membahaskan konsep Melayu Raya, Dr Burhanuddin al-Helmy mengatakan seluruh Gugusan Kepulauan Melayu termasuk Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina adalah Daerah Melayu. Daerah-daerah ini terpisah hari ini kerana dipecahkan oleh penjajah Barat. Takrif ini selari dengan definisi Encyclopedia Britainica Vol. 14 yang menyebutkan "The Malay Archipelago, also known as Malaysian and East Indies contain in the largest group of island in the world consisting of more 3,000 islands of Indonesia dan 7,000 islands and unnamed rocks of Philippines group. The New Guinea island is arbitrary included in the Malay Archipelago."

Kawasan rumpun Melayu adalah meliputi seluruh Negara Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura dan Malaysia. Sedang di Thailand, Wilayah Melayu adalah seluruh Semenanjung hingga Ratchaburi, 100km di Selatan Bangkok. Tenasserim (Tanah Seri) di Myanmar juga termasuk kawasan Melayu. Di sebelah Utara ia bermula di Kepulauan Nicobar di Lautan Hindi dan Farmosa di Laut China, termasuk Indo-China hingga ke Kepulauan Solomon di Selatan. Dari Barat, ia bermula di Madagaskar hingga ke Fiji. Kawasan kepulauan terbesar di dunia di Tenggara Asia inilah yang dipanggil rumpun Melayu dan menjadi daerah kehidupan bagi orang Melayu.

Agama Bangsa Melayu

Oleh kerana agama adalah teras kebudayaan, bangsa Melayu telah mempunyai pegangan dengan pelbagai agama, sebelum mereka menerima Islam. Dua agama utama yang dianut oleh orang Melayu ialah Hindu dan Budhha, iaitu agama yang dianut hasil daripada perhubungan politik, budaya dan ekonomi dengan India. Selain itu, orang Melayu juga dicatatkan pernah menganut Anamisme dan agama Majusi. Pada peringkat awal, orang Melayu secara umumnya beragama Hindu sehingga Raja Asoka (304-232SM) yang beragama Buddha menguasai India, yang menyebabkan orang Melayu mula menganut agama Buddha. Kebangkitan Hindu pada zaman Empayar Chola (300SM-1279M) yang menyerang Tanah Melayu dan Sumatera pada 1025M, telah menyebabkan orang Melayu kembali menerima agama Hindu. Atas sebab kuatnya pengaruh India terhadap agama orang Melayu, maka sering disebut orang Melayu beragama Hindu-Buddha.

Sheikh Safiyuddin dalam Tarikh Fathani menyebutkan bahawa orang Melayu pernah menerima pengaruh Parsi dan menganut agama Majusi. Namun begitu, sejak 640M, mula wujud pengaruh Arab-Islam di Sumatera, sebelum berdirinya Kesultanan Perlak sebagai kerajaan Islam yang pertama pada 840M. Sejak itu, Islam mulai berkembang dan diterima secara damai sehingga menjelang abad ke-16M, Alam Melayu telah bertukar menjadi Wilayah Islam, terutama dengan munculnya Kerajaan-kerajaan Islam di pelbagai tempat di Nusantara. Antara Kerajaan Islam yang terpenting di Nusantara ialah Melaka (1400-1511M), Johor-Riau-Lingga (1511-1857M), Demak (1475-1554M), Mataram (1587-1755M) dan Aceh (1496-1903M). Kerana tumbuhnya Kerajaan-kerajaan Melayu Islam inilah, Kerajaan Melayu dipanggil "Daulah Islamiyah Melayuwiyah" seperti yang tercatat dalam Itqanul Muluk bi Takdil as-Suluk.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
2 Syawal 1439 / 16 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 16/6/2018

KENDURI besar negeri

Jika berlaku lagi pertandingan tiga penjuru akan menyaksikan kerusi-kerusi Dun dan Parlimen milik Umno akan difaraidkan di antara PAS dan PH. Dalam tempoh peralihan ini, pengundi Umno tidak ada pilihan selain PH atau PAS, anggaran 30 peratus bekas pengundi BN akan mengundi parti PAS dan 70 peratus akan mengundi parti yang menguasai Kerajaan Pusat iaitu PH.

Parti PAS akan berkenduri besar di Kelantan dan Terengganu dengan menambah kerusi Dun dan Parlimen di Kelantan dan Terengganu. Semua kerusi milik Umno di Kelantan dan Terengganu akan jatuh ke tangan parti PAS.

Manakala kerusi Umno di Perak dan Pahang juga jatuh kepada parti PAS sebagai contoh Parlimen Parit di Perak namun tidak mencukupi untuk bentuk Kerajaan Negeri bersendirian.

Manakala di Kedah pula, kadar sokongan kepada PH daripada bekas pengundi Umno lebih tinggi berbanding kepada parti PAS kerana PH berkuasa di negeri dan Pusat pada kadar 70 : 30. Ini mengakibatkan kerusi parti PAS yang dimenangi tanpa undi lebih daripada 50 peratus mungkin akan jatuh pada PH. (nota: hanya 3/15 kerusi Dun milik PAS di Kedah di mana undi lebih daripada 50 peratus). Namun jika kadar hanya sekitar 50 : 50, maka PAS mungkin boleh menguasai Dun Kedah.

Di peringkat Parlimen pula, PH akan mudah mendapat dua per tiga majoriti dengan PAS menambah bilangan kerusi kepada 30-50 kerusi kerana merampas kerusi majoriti Melayu dari Umno. Dengan mendapat majoriti dua per tiga, PH lebih bebas menentukan polisi dan persempadanan semula dengan menambah kerusi yang bercampur (pertambahan kerusi bercampur akan memudahkan PH mengekalkan kemenangan).

Tempoh kenduri besar negeri untuk parti PAS ini hanyalah sementara sahaja dan PRU16 pula akan menyaksikan bekas pengundi Umno yang mengundi PAS akan beralih pula kepada PH kerana PH menjadi kerajaan di Pusat serta perubahan sempadan pilihan raya baru. Fenomena ini umpama pada PRU2004, di mana pengundi Umno yang menyokong PAS pada PRU1999 kembali mengundi BN. Ini akan akibatkan parti PAS mengalami kekalahan teruk di mana dijangkakan kerusi yang dimenangi semasa PRU14 dan PRU15 akan direset semula yang menyaksikan PAS mungkin kehilangan Negeri Terengganu dan Kedah.

Kenduri sederhana Pusat

Keadaan ini akan berlaku jika parti PAS bekerjasama dengan parti Umno sebelum Umno kehilangan sokongan sebahagian besar 3.5 juta pengundi pada PRU14.

Apabila undi PAS dan Umno digabungkan, hampir semua kerusi majoriti Melayu yang dimenangi oleh PH akan kembali kepada gabungan PAS dan Umno (berdasarkan keputusan PRU14 yang menyaksikan PH menang di kawasan majoriti Melayu kerana pecah undi).

Ini ditambah lagi dengan semangat Melayu dan Islam yang akan kembali meningkat dalam kalangan orang Melayu. Keadaan ini akan membolehkan gabungan PAS dan Umno untuk menang majoriti mudah di Pusat.

Apabila parti PAS dan Umno menguasai Pusat, maka banyak perubahan berkaitan Islam akan berlaku seperti pelaksanaan syariat yang tidak memerlukan dua per tiga majoriti Parlimen.

Keadaan ini akan berkekalan hingga tempoh yang agak lama kerana pertambahan pengundi Melayu akan bertambah kerana kelahiran Melayu yang tinggi dan perpindahan keluar orang-orang Cina.

Oleh:
DR ISHAK IBRAHIM
Penganalisis Politik
2 Syawal - HARAKAHDAILY 16/6/2018

TAFAKKUR ayat al-Quran pada hari terakhir Ramadan 1439 Hijriyah berkisar tentang ayat-ayat daripada Juz 29 dan 30 yang memfokuskan berkaitan kehancuran alam dan terjadinya Kiamat. Allah mengingatkan manusia bahawa apabila sangkakala ditiup, maka gunung-ganang akan terangkat dan langit mulai merekah kemudian menjadi hancur lebur. Firman Allah S.W.T:

فَإِذَا نُفِخَ فِى ٱلصُّورِ نَفْخَةٌ وَٰحِدَةٌ (١٣) وَحُمِلَتِ ٱلْأَرْضُ وَٱلْجِبَالُ فَدُكَّتَا دَكَّةً وَٰحِدَةً (١٤) فَيَوْمَئِذٍ وَقَعَتِ ٱلْوَاقِعَةُ (١٥) وَٱنشَقَّتِ ٱلسَّمَآءُ فَهِىَ يَوْمَئِذٍ وَاهِيَةٌ (١٦)

"Kemudian apabila ditiup sangkakala dengan sekali tiup (13) dan bumi serta gunung-ganang diangkat lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur (14) Maka pada saat itu berlakulah hari Kiamat (15) dan terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh) (16)"

[al-Haqqah: 13-16 ]

Peristiwa ini sangat menggerunkan dan manusia pada hari tersebut bertempiaran lari akibat terlalu mencemaskan. Inilah kebenaran yang Allah janjikan, pasti akan berlaku sebagaimana firman Allah S.W.T:

ذَٰلِكَ الْيَوْمُ الْحَقُّ ۖ فَمَنْ شَاءَ اتَّخَذَ إِلَىٰ رَبِّهِ مَآبًا

"Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (Kiamat) yang sungguh pasti berlakunya; maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, hendaklah dia mengambil jalan dengan kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh)."

[al-Naba': 39]

Sesungguhnya al-Quran sentiasa memberikan peringatan tentang goncangan besar dan fenomena hari Kiamat yang terlalu dahsyat. Langit akan terbelah serta meletus seolah-olah seperti sekuntum bunga mawar yang berwana merah. Dengan kemajuan Sains dan Teknologi masa kini, para ilmuan khususnya di bidang Astronomi telah mampu mengkaji segala yang ada di langit melalui Teleskop bumi dan Teleskop luar angkasa.

Mereka berpendapat bahawa sudah ada ledakan yang berlaku pada bintang-bintang. Lokasi bintang yang meledak itu akan terjadi sebuah belahan di langit dan bentuknya seperti mawar merah. Nasib seperti ini juga akan berlaku ke atas matahari. Para Ulama menyebut dengan ledakan dan kehancuran matahari, ia merupakan tiupan sangkakala pertama. Setelah itu disusuli langit terbelah akibat ledakan matahari tersebut.

Hakikatnya, Sains telah memperakui bahawa alam semesta akan mengalami kehancuran secara total. Sampai satu ketika, pasti alam semesta akan berhenti berfungsi dan akan hancur lebur. Di sinilah perlunya manusia tunduk kepada keagungan Allah dan berserah diri kepada-Nya dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Semoga Ramadan kali ini meninggalkan cahaya keimanan yang utuh dalam diri kita.

Ya Allah, terimalah segala amalan kami dan redhailah kami sebagai hamba-Mu.

USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
29 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 14/6/2018

PAS Sarawak ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin. Semoga Allah menerima segala amalan kamu dan kami sepanjang Ramadan. Semoga kebaikan atas kamu sepanjang tahun ini di kurnia oleh Allah, Tuhan sekalian alam.

Mari kita promosi kasih sayang antara semua umat masyarakat di hari yang gembira ini, hari kita kembali kepada fitrah manusia. Mari mulakan kasih sayang kita pada kedua ibu bapa, keluarga, jiran dan masyarakat dengan memohon maaf dan melupakan sengketa.

Mari kita pertaut ikatan persaudaraan dengan ziarah dan bertanya khabar agar kita menjadi insan yang bahagia dan sejahtera. Mari kita memperbaiki ikatan silaturahim sebagai rakyat Malaysia.

Mari kita di kesempatan Aidilfitri ini berazam untuk menyumbang sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat dan negara tercinta.

MUHAMMAD AFIQ MHD KHAZAR
Ketua Penerangan
PAS Negeri Sarawak - HARAKAHDAILY 14/6/2018

PERGERAKAN Islam dalam bentuk jemaah muncul pada abad ke-20M setelah runtuhnya Daulah-daulah Islam, iaitu selepas 1,342 tahun menguasai politik dunia. Berbeza dengan wilayah lain, Nusantara yang dijajah sejak 1511M, merupakan rantau yang paling mencabar dan menjadi tumpuan kuasa Emperial Kristian. Selepas kejatuhan Melaka (1511M), Sunda Kelapa (Jakarta) mulai diduduki oleh Belanda pada 1695, kemudian British menduduki Pulau Pinang pada 1876, sebelum Singapura turut dikuasai pada 1819.

Perang Napoleon di Eropah kemudiannya membawa kepada Konvensyen London 1814 dan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang menandakan pecahnya Kerajaan-kerajaan Islam seperti Kerajaan Aceh dan Kerajaan Johor-Riau yang menguasai Selat Melaka. Lanjutan dari itu, berlakunya Perjanjian Siak 1858 dan Perjanjian Pangkor 1874 yang melumpuhkan kuasa politik Islam di Nusantara. Memasuki abad ke-20, Kerajaan-kerajaan terakhir mulai runtuh dengan jatuhnya Pattani (1902M), Aceh (1903M), Tidore (1904M) dan Banjar (1905M), serta Perjanjian Inggeris-Siam 1902 dan Perjanjian Bangkok 1909 yang membawa kepada penguasaan Inggeris ke atas Negeri-negeri Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Johor.

Perjuangan politik Islam: Dari Daulah kepada Harakah

Kejatuhan Kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara telah membuka langkah para ulamak dalam perjuangan Islam di rantau ini. Ketika Daulah Othmaniyah masih berkuasa, sudah banyak Negeri Melayu jatuh ke tangan penjajah Barat, kerana itu, sehingga abad ke-18 Alam Melayu diwarnai oleh peperangan mempertahan Islam seperti gerakan Adipati Yunus di Melaka (1517 dan 1521M), gerakan Sunan Fatahillah di Sunda Kelapa (1522M), gerakan Sultan Agung Mataram (1628-1633), gerakan Sultan Hassanudin Makasar (1666-1669), gerakan Sheikh Yusof Makasari di Banten (1682-1683) dan gerakan Raja Haji di Melaka (1784M). Penentangan besar-besaran untuk mempertahankan tanah air berlaku sepanjang abad ke-19 di seluruh Nusantara.

Setelah lebih 200 tahun para ulamak bergerak mempertahankan Kerajaan Islam, menjelang akhir abad ke-19, para ulamak Nusantara memulakan langkah baru melalui pembentukan jemaah-jemaah Islam bagi menuntut pengembalian Daulah. Bermula dengan penubuhan Jam'iyatul Fathaniyah di Makkah (1873M), ditubuhkan pula di Pulau Penyengat, Riau badan-badan Islam iaitu Jam'iyatul Rusyidiyah (1880M) dan Jam'iyatul Khairiyah (1884M). Setelah itu berkembang organisasi Islam di Singapura sepanjang 1890-an seperti Persekutuan Darul Adab, Persekutuan Jawi Masakin dan Harbab Askadan, sebelum ia berkembang di Tanah Melayu dan Jawa. Pengaruh Jam'iyatul Khairiyah kemudian berkembang di Betawi sehingga tertubuhnya Jami'at Kheir (atau Djamiat Choir) pada 1901. Dari pembentukan Jam'iat Kheir inilah terinspirasinya penubuhan Sarekat Dagang Islam (SDI) di Solo pada 16 Oktober 1905.

Sarekat Islam pelopor gerakan Islam moden

SDI yang ditubuhkan pada 1905 oleh Haji Samahundi untuk menyatukan gerakan ekonomi Islam, telah bertukar menjadi pergerakan politik Islam apabila ia mula dikenali sebagai Sarekat Islam (SI) mulai 1906. Perkembangan SI dalam organisasi yang tersusun dilihat sebagai ancaman oleh Belanda. Belanda bukan sahaja menyekat perkembangannya, tetapi turut menubuhkan Sjarikat Dagang Islamiyah pimpinan R.M Tirtoadisurjo pada 1909. Haji Omar Said (HOS) Cokroaminoto yang memimpin SDI Surabaya kemudiannya bergabung dengan Haji Samahundi pada 1912 dan mengambil alih kepemimpinan SI. Bagi mengukuhkan perjuangan SI, pada 10 September 1912, HOS Cokroaminoto telah mendaftarkan SI sebagai badan hukum yang bergerak dalam bidang politik dan agama, selain ekonomi di seluruh Indonesia, tidak terhad di Pulau Jawa sahaja.

Pendaftaran SI kepada notaris B. Ter Kuile di Solo ini telah menetapkan tujuan untuk memperjuangan ekonomi umat Islam, mengembangkan pendidikan Islam, menyatukan pendapat-pendapat orang Islam dan membentuk kehidupan berdasarkan agama Islam. Dengan tujuan baru ini, ia telah mengubah SI daripada sebuah badan ekonomi, berkembang menjadi badan agama dan politik Islam. Pendaftaran SI telah diluluskan dua hari kemudian, iaitu pada 30 Ramadan 1330H bersamaan 12 September 1912M, dan pada 14 September 1912, pemerintah Belanda telah mengesahkan perubahan tujuan dasar SI, lalu menjadilah SI sebagai gerakan politik Islam yang pertama di dunia. Setelah itu, ia bermetamorfosis dengan membentuk Central Sarekat Islam (CSI) pada 1916M, sebelum berkembang menjadi Partai Sarekat Islam (PSI) (1920M), Partai Sarekat Islam Hindia Timur (PSIHT) (1923M), Partai Sarekat Islam Indonesia (PSII) (1929M), Syarikat Islam (PSII) (1973M) dan kini dikenali sebagai Syarikat Islam (SI) mulai 2003.

Kemunculan SI di pentas politik gerakan Islam telah mendahului semua gerakan Islam lain di dunia. Dalam masa yang cepat, pengaruh SI telah berkembang di seluruh Indonesia. Jumlah keahliannya meningkat dari 4,500 anggota pada 1912M, kepada 800,000 pada 1916M. Di Tanah Melayu, Cawangan-cawangan SI telah ditubuhkan di Singapura, Johor Bahru, Beserah, Kuala Nerus, Marang, Kota Bharu, Pattani dan Pulau Pinang antara 1920-1928M. Perkembangan ini telah menyebabkan SI disabotaj oleh penjajah dengan isu khilafiyah dan Komunis pada pertengahan 1920-an yang menyebabkan ia berpecah. Selepas munculnya SI, barulah muncul Ikhwanul Muslimin di Mesir (1928M), Hizbul Istiqlal di Moroko (1936M), Jamaat-e-Islami di India (1941M) Masyumi di Indonesia (1943M), Hizbul Muslimin di Tanah Melayu (1948M) dan PAS (1951M). Ternyata kejayaaan mendaftarkan SI pada akhir Ramadan 1330H telah membawa kepada perkembangan gerakan Islam moden pasca kejatuhan khalifah.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
1 Syawal 1439 / 15 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 15/6/2018

ALLAHU Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Alhamdulillah, bersyukur kita ucapkan kepada Allah Taala kerana diberikan kesempatan menjadi tetamu Allah Taala selama sebulan di bulan Ramadan. Satu bulan yang disediakan kepada kita untuk mentarbiah dan mendidik diri agar menjadi orang yang bertaqwa.

Hari raya pula ertinya kita menyambut kemenangan. Kemenangan melawan hawa nafsu dan meninggalkan larangan Allah Taala dalam bulan Ramadan. Semoga hari raya yang disambut ini, menjadikan kita lebih baik dari tahun sebelumnya.

Begitu juga yang kita harapkan kepada negeri Terengganu. Setelah berlakunya perubahan pentadbiran kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita mengharapkan negeri ini juga menjadi lebih baik dengan penambahbaikan untuk kesejahteraan kepada rakyat.

Marilah kita membuka lembaran baru membangunkan negeri Terengganu dengan membawa dasar yang mesra rakyat, politik yang melebarkan kasih sayang tanpa batasan warna kepartian, ekonomi yang mampan, dan kehidupan rakyat yang sejahtera.

Sempena Hari Raya Aidilfitri, gunakanlah kesempatan ini untuk kita sebarkan keharmonian dengan mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memperteguhkan ukhuwah Islamiyyah di kalangan umat Islam tanpa mengira latar belakang politik kepartian serta mengukuhkan keharmonian hubungan antara kaum. Meriahkan Aidilfitri dengan budaya kunjung mengunjung antara sanak saudara dan juga rakan-rakan.

Disamping kegembiraan menyambut hari raya, janganlah lupa kepada nasib umat Islam yang berada di luar negara. Mereka berada dalam keadaan yang kurang berkemampuan dalam konflik yang berpanjangan. Teruskan berdoa kepada rakyat Palestin, Syria, Rohingya dan seluruh dunia agar dipermudahkan urusan mereka dan diberikan pertolongan oleh Allah Taala.

Manakala, buat anak perantau yang akan pulang ke kampung halaman, semoga sampai dengan selamat ke destinasi yang dituju. Pandulah dengan berhati-hati dan banyakkan bersabar. Patuhi peraturan dan had laju yang telah ditetapkan dan saling hormati menghormati antara pengguna jalan raya.

Mewakili Kerajaan Negeri Terengganu saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat negeri Terengganu Darul Iman. Maaf Zahir dan Batin.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Menteri Besar Terengganu - HARAKAHDAILY 14/6/2018

MENGIKUT catatan Barat, bangsa Rom berasal dari Wilayah Roma yang kini menjadi Ibu Negara Itali di Selatan Eropah. Tetapi mengikut catatan Islam, Rom berasal dari cucu Nabi Ishak yang bernama Rom bin Eisu bin Ishak. Beliau menetap di Wilayah Syam.

Roma merupakan Pusat Pemerintahan Empayar Rom Barat. Daripada sebuah Pusat Pemerintahan, Roma bertukar sebagai Pusat Keagamaan setelah Revolusi Industri yang didorong oleh fahaman Protestan dan Sekularisme. Hari ini, Roma menjadi Pusat Agama Kristian Katolik seluruh dunia. Di sana terdapat sebuah wilayah autonomi bernama Vatican City, dipimpin oleh seorang Ketua Paderi yang digelar Pope. Pemimpin terkini bergelar Pope Francis.

Nabi S.A.W bersabda mengenai Roma:

كنا عند عبدِ اللهِ بنِ عمرو بنِ العاصِ، وسُئِلَ أيُّ المدينتيْنِ تُفتحُ أولًا القسطنطينيةُ أو روميَّةُ؟ فدعا عبدُ اللهِ بصندوقٍ له حِلَقٌ، قال: فأخرج منه كتابًا قال: فقال عبدُ اللهِ: بينما نحنُ حولَ رسولِ اللهِ نكتبُ، إذ سُئِلَ رسولُ اللهِ: أىُّ المدينتيْنِ تُفتحُ أولًا القسطنطينيةُ أو روميَّةُ؟ فقال رسولُ اللهِ: مدينةُ هرقلَ تُفتحُ أولًا: يعني قسطنطينيةَ

"Sahabat bertanya bandar manakah yang bakal dibuka dahulu, Constantinople atau Roma? Jawab Nabi S.A.W: Bandar Heraclius yang pertama dibuka."

[HR Hakim]

Tidak dinyatakan tentang bilakah Kota Rome akan dibuka oleh Islam. Boleh jadi sebelum membuka Baitulmaqdis, iaitu sebelum yahudi dan Dajjal ditumpaskan, dan boleh jadi juga selepas Islam menegakkan Khilafah di atas Manhaj Nubuwwah. Apa yang pasti, ia akan dibuka juga oleh orang Islam.

Perkembangan di Eropah hari ini menunjukkan perkembangan yang sangat pesat. Menurut kajian Pew Research, Islam merupakan agama yang mengalami pertambahan penganut paling mendadak. Bahkan menjelang 2050, jumlah penganut Islam akan menyamai penganut kristian, dengan 10 peratus populasi Muslim dunia adalah daripada Eropah. Tetapi menurut Monsgnor Formenti, jurnalis sebuah akhbar Vatican L`Osservatore Romano mencatatkan bahawa Muslim telah mengatasi populasi Catholic dengan 19.2 peratus berbanding 17.4 peratus.

Perkembangan di Vatican City sejak akhir-akhir ini juga semakin menarik. Pope John Paul II sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Islam bakal menguasai Eropah. Bahkan beliau memiliki sikap yang sangat terbuka dengan Islam sehingga digelar Pope Of Islam.

Jolokan yang sama turut diberi kepada Pope Francis kini. Beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa keganasan tidak ada apa-apa kaitan dengan Islam. Malah beliau dengan lantang mengkritik Amerika yang mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai milik Israel.

Pope Benedict XVI pula walaupun sebelum ini lantang mengaitkan Islam dengan keganasan, tetapi di akhir jawatannya telah mengeluarkan kenyataan bahawa Kristian bukan agama Bible. Selepas mengeluarkan kenyataan, beliau memecahkan rekod sepanjang zaman apabila menjadi Pope pertama meletakkan jawatan. Khabar angin mengatakan beliau telah memeluk Islam.

Dari segi agama Kristian, mereka telah berpecah kepada beberapa mazhab. Yang paling masyhur adalah Katolik, Ortodoks dan Protestan. Kristian yang menguasai dunia pada hari ini terdiri daripada penganut Protestan dan juga anggota gerakan radikal Evangelikal, atau disebut sebagai Kristian-Zionis.

Allah menyatakan di dalam al-Quran bahawa golongan yang paling baik terhadap umat Islam adalah orang yang mengaku dirinya Kristian. Firman Allah:

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً ل ِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

"Demi sesungguhnya engkau akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong."

[al-Maidah:82]

Ada ulamak berpendapat yang dimaksudkan dengan Kristian ini adalah merujuk kepada Kristian Ortodoks yang dianuti oleh Roman Byzantine. Sehingga kini ia menjadi anutan di Syria, Mesir, Eropah Timur tetapi kebanyakannya berada di Rusia. (Rujuk bab Rom)

Ada juga yang berpandangan simplistik, dengan mengatakan semua Kristian adalah baik termasuk Amerika yang dikuasai oleh Protestan Sekular dan Evangelikal. Sedangkan sifat mereka dengan mafhum nas jauh panggang daripada api.

Pandangan yang lebih harmoni adalah, bahawasanya Kristian yang dimaksudkan oleh al-Quran meliputi Kristian Ortodoks dan Katolik hari ini. Ciri-ciri yang disebutkan dalam ayat tersebut lebih kurang sama antara Katolik dan Ortodoks. Tetapi tidak termasuk Protestan yang menganut fahaman Sekular dan Evangelical yang menyokong agenda Zionis.

Justeru melatari pembukaan Kota Rome, penganut Katolik di Vatican City akan menerima Islam. Boleh jadi mereka juga termasuk dalam Hadis mereka yang akan berdamai dengan Islam bagi menghadapi musuh yang sama. Sabda Rasulullah S.A.W:

ستصالحون الرومَ صُلحًا آمنًا، فتغزون أنتم وهم عدوًّا من ورائهم

"Kamu bakal berdamai dengan Rom. Maka kamu dan mereka akan memerangi musuh di belakang mereka."

[HR Ibnu Majah]

Gereja Katolik hari ini tidak terlepas daripada kemasukan anasir Evangelikalisme. Fahaman ini membawa kepada pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai hak milik Yahudi sebagaimana yang diperjuangkan gerakan Zionis. Katolik sedang bergelut dengan gerakan Reformasi Gereja yang membawa idealisme Evangelikal yang berasal dari US. Sehinggakan mazhab Ortodoks tidak terkecuali sebagai sasaran Evangelikal. Walau bagaimanapun, Protestan antara yang paling kuat terpengaruh dengan ideologi ini.

Namun perkaitan dengan Kristian Ortodoks adalah lebih kuat. Ini berdasarkan Hadis bahawa umat Islam akan bergabung sebelum berperang dengan Bani Asfar. Di dalam Hadis konteks berlainan, Nabi memaksudkan Bani Asfar sebagai keturunan Heraclius iaitu Maharaja Rom Byzantine. Keturunan beliau kini berada di Rusia. (Rujuk bab Rom)

Apa yang pasti, antara hikmah diturunkan Nabi Isa A.S menurut ulamak adalah untuk menyatukan kembali penganut Kristian. Simbolik mematahkan salib yang dilakukan oleh Nabi Isa nanti menjadi tanda bahawa anutan mereka selama ini salah, dan akhirnya membawa mereka memeluk Islam. Sabda Rasulullah S.A.W:

لا تقومُ السَّاعةُ حتَّى ينزلَ فيكم ابنُ مريمَ حَكمًا مُقسطًا فيَكسرَ الصَّليبَ ويقتلَ الخنزيرَ ويضعَ الجزيةَ ويفيضَ المالُ حتَّى لا يقبلَهُ أحدٌ

"Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah Ibn Maryam turun kepada kamu sebagai pemimpin yang adil. Baginda akan mematahkan salib, membunuh babi dan menghapuskan Jizyah. Maka ketika itu harta melimpah ruah sehingga tiada orang yang mahu menerimanya lagi."

[HR Bukhari]

Wallahualam.

(Petikan dari buku Hadis Geo-Eskatologi; Lokasi dan Kronologi akhir zaman yang bakal diterbitkan.)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
29 Ramadan 1439
14 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 14/6/2018

 

More Articles ...