19
Mon, Aug
16 Artikel Baru

POLITIK sukar diramal pasca PRU14. Pertama kali dalam sejarah 60 tahun Negara Kerajaan Umno kecundang. Walaupun bukan sesuatu yang pelik di negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Cumanya ianya tidak pernah berlaku.

Tindakan Tun Mahathir juga sukar diramal kali ini. Walaupun kita semua sangat tahu tindak-tanduknya sebelum ini mudah diduga. Kali ini agak berbeza. Dan juga suasana jauh berbeza dengan zaman dia mengetuai Barisan Nasional (BN).

Imbangan kedudukan kaum dalam Kabinet kali ini juga terlihat pemilihan yang berhati-hati dan tidak diterjemahkan dari sudut wakil kompenen parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH). Posisi kaum tidak diambil keutamaan. Ianya lebih kepada kepercayaan Mahathir terhadap individu tertentu.

Penguasaan Sabah Sarawak juga sukar diramal. Pelantikan lima pemimpin Warisan Sabah dalam Kabinet berbanding hanya seorang Menteri penuh dari komponen di Sarawak juga agak menimbulkan tanda tanya strategi Tun kali ini. (Mungkin ada lagi lantikan dari Sarawak)

Penantian tiga lagi Senator sebagai Menteri penuh juga dinanti dan menjadi rebutan serta perhatian semua pihak terutamanya parti politik. Kemasukan YB Saifuddin Abdullah sebagai Menteri penuh juga menarik perhatian. Oleh kerana beliau antara pemimpin Umno yang keluar parti dan dapat kedudukan dalam Kabinet baharu.

Kabinet Tun Mahathir terkini mempunyai 26 Menteri dan 23 Timbalan Menteri, yang mencakupi 27 portfolio tertentu dengan pembahagian dan perkongsian antara empat komponen PH selain wakil tunggal daripada Parti Warisan Sabah.

Menariknya, Kabinet ini diperhati oleh rakyat segala tindak tanduknya. Segala polemik yang tercetus bakal diadili rakyat. Apakah kali ini Tun Mahathir benar-benar bertindak bijak atau sebaliknya.

Seperkara lagi parti yang menjadi perhatian ialah DAP. Kerana sebelum ini sikapnya terhadap Islam dan Melayu menakutkan orang Islam. Apakah kegilaan anti Melayu dan Islam ini akan diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan agenda Kerajaan PH. - HARAKAHDAILY 5/7/2018

 

SEKALUNG tahniah diucapkan kepada Dato’ Ustaz Haji Husain bin Awang yang telah dipilih sebagai Ahli Dewan Negara. Ahli Dewan sebulat suara bersetuju di atas pelantikan beliau mewakili Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Beliau berpengalaman luas sebagai Yang Dipertua Dun Terengganu yang telah diberi kepercayaan untuk menerajui persidangan pada sesi 1999-2004.

Dato' Ustaz Haji Husain juga berpengalaman dalam bidang pendidikan dan bergerak aktif dalam politik. Merupakan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat dan terkini adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu.

Saya yakin dengan kewibawaan dan kredibiliti beliau sebelum ini dapat memberikan input yang positif dalam persidangan Dewan Negara yang akan datang.

Selamat bertugas untuk kecemerlangan Negeri dan rakyat Terengganu.

YAB DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Negeri Terengganu
4 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 5/7/2018

MEMANDA Najib sudah ditahan dan dimahkamahkan atas dakwaan skandal dan segala macam penyelewengan semasa berkuasa.

Apa yang dapat dikata atas musibahnya itu? Ialah kata-kata ibadah yang Islam ajar kepada umat Islam: Inna lillah wainna ilaihirajiun.

Bukan sekadar mati. Atas apa saja musibah, itulah reaksi oleh setiap umat.

Apa yang dapat kita komen atas tindakan terhadapnya? Sistem kita hanya berupaya bertindak ke atas rakyatnya yang lemah.

Belum dapat kita kata tindakan Kerajaan Harapan yang baru itu tegas dan berani. Sekalipun Najib itu orang bangsawan besar dan anak orang besar, tetapi tindakan itu masih dikira bertindak ke atas orang yang lemah.

Kita hanya ada Kerajaan baru, tetapi kita masih dalam pemerintahan sistem yang sama. Kerajaan Harapan menyambung sistem yang terpakai dalam Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Baik keadilannya, mahkamahnya, polisnya dan apa-apa institusinya berupaya bertindak ke atas rakyatnya yang lemah yang orang ramai bahasakan bilis. Tidak ke atas jerung.

Sekalipun Najib itu pernah jadi sebesar-besar jerung, tetapi hari ini sudah jadi jerung yang kecil lagi lemah. Yang baru jadi jerung sekarang Guan Eng, Menteri Kewangan. Dia dikatakan ada skandal dan masih dalam takluk mahkamah. Justeru dia jerung, berupayakah sistem ini bertindak ke atas jerung?

Apa jua tindakan terhadap Najib, ia adalah sudah menjadi orang yang lemah.

Padahal segala yang dikatakan skandal bagi Najib itu bukan sekadar sesudah jadi Perdana Menteri (PM) dan adalah angkara 1MDB. Gemanya sudah seawal menjadi Menteri Pertahanan di bawah PM Dr Mahathir dan PM Abdullah Badawi.

Justeru dia adalah orang gagah dalam sistem masa itu, Kerajaan dan sistem tidak terfikir untuk mengenakan apa-apa terhadapnya. Bahkan dia boleh naik jadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan PM.

Bila jadi PM Najib seolah-olah lebih besar dari Kerajaan dan lebih besar dari sistem. Mana Kerajaan dan sistem boleh kuatkuasakan undang-undang, pertahankan wibawa integriti dan kebebasan institusinya sekalipun ia dilengkap dengan polis, SPRM, kehakiman dan demokrasinya.

Seantero alam dari hal ehwal Najib diperkatakan, Kerajaan dan sistem tidak upaya mengusiknya. Wibawa dan kebebasan semua institusi itu jadi hiasan indah saja tetapi bukan untuk dikuatkuasa terhadap semua.

Orang berkuasa itu tidak lebih tinggi dari Kerajaan dan sistem. Bagi Malaysia Raja-raja ada kekebalan. PM tidak kebal. Tetapi demokrasi kita secara amalinya Ketua Kerajaan itu kebal.

Keadaan demikian menjadikan kuasa rakyat tiada makna, demokrasi tidak begitu berguna dan Kerajaan serta institusinya serba lemah. Yang tidak lemah ialah orang-orang yang berkuasa. Tidak seperti Korea Selatan, Jepun dan Israel. Presiden dan PM boleh dimahkamahkan. Lebih ramai Presiden Korea dipenjara. Mereka boleh bertindak terhadap orang kuat dan orang lemah.

Najib tidak kena apa-apa semasa dia kuat. Jika dia PM lagi semuanya tidak buat apa-apa.

Setelah PRU14 menjadikannya bertukar lemah, barulah tindakan dikenakan ke atasnya. Apa hebatnya jika kita bertindak atas orang lemah? Hanya Kerajaan yang lemah mampu bertindak terhadap orang lemah seperti Najib sekarang.

PM Mahathir dan Kerajaan Harapan belum boleh dikira tegas, telus dan berani sekadar bertindak atas orang lemah. Sekurang-kurangnya ia berani membersihkan kes Guan Eng dulu. - HARAKAHDAILY 5/7/2018

ALHAMDULILLAH bersyukur kita panjatkan kepada Allah S.W.T kerana memberikan kesempatan kepada kita untuk berada dalam dewan yang mulia ini. Bagi melunaskan tanggungjawab membawa suara dan hasrat rakyat yang telah memilih kita dalam PRU14 lalu.

Izinkan saya untuk mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat, khususnya pandangan yang bernas dan membina sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Begitu juga kepada ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

MENJANA HASIL NEGERI

Berkenaan soalan yang menyentuh isu penjanaan hasil negeri selain daripada kebergantungan dengan royalti minyak yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tepuh dan Bandar, telah dijawab oleh Adun Ladang.

Sebagai tambahan Jawatankuasa Hasil Negeri yang ditubuhkan ini juga boleh mengkaji mekanisma yang telah digunapakai di negeri-negeri lain untuk dilaksanakan di negeri ini mengikut kesesuaian, ke arah meningkatkan hasil negeri di samping melaksanakan dasar berbelanja secara berhemat.

TANAH KELULUSAN KERAJAAN NEGERI

Saya juga ingin menggunakan kesempatan ini untuk menjawab soalan yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Manir berkenaan kelulusan tanah-tanah untuk dimiliki pada Januari 2014 sehingga Disember 2017, terdapat 8 kategori penerima yang telah menerima kelulusan tanah seluruh negeri Terengganu dalam tempoh tersebut.

Sebanyak 2,622 kelulusan telah diberikan kepada individu, 168 kelulusan kepada Agensi Kerajaan Negeri, 98 kelulusan kepada Agensi Kerajaan Persekutuan, 53 kelulusan kepada syarikat-syarikat, 35 kelulusan tanah kepada pertubuhan (Umno). Manakala koperasi mendapat 5 kelulusan, Persatuan mendapat 12 kelulusan dan 3 kelulusan tanah telah diberikan kepada IPTA.

* Mana-mana pertubuhan atau orang yang tersenarai dalam Jadual kedua seksyen 9 (iii)(av) Enakmen Rizab Melayu no 17/1360

Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat juga, kerajaan negeri pada pentadbiran kali ini telah meletakkan manifesto untuk mengembalikan semula tanah-tanah yang dirampas BN selepas pemerintahan PAS 2004 dan membuka permohonan tanah baru dengan pemberian geran/hak milik yang sah.

MAJLIS PETROLEUM TERENGGANU (TPC)

Menyentuh berkenaan TPC, dengan izin, Terengganu Petroleum Council atau Majlis Petroleum Terengganu sebagaimana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tepuh dan Kemasik, berkait usaha dan hasil yang dilakukan oleh TPC sepanjang penubuhannya.

Sebagai makluman ahli-ahli Yang Berhormat, TPC telah mengenalpasti beberapa projek yang melibatkan kerja-kerja dan operasi di perairan Negeri Terengganu yang mampu dilaksanakan oleh syarikat Negeri Terengganu dengan anggaran projek bernilai sekitar RM5 billion.

Melalui rundingan ini juga, sebuah anak syarikat kerajaan negeri telah dianugerahkan projek oleh Petronas sekitar harga RM30 juta. Ianya sebagai permulaan untuk kerja-kerja berkaitan yang lebih besar nilainya.

TPC juga sedang berbincang dengan Petronas tentang minat Kerajaan Negeri untuk menerokai bidang Penerokaan dan Pengeluaran dengan keutamaan diberi kepada, dengan izin, Brown Field atau Marginal Field.

(Brown Field oil atau gas field yang sudah matang dan mungkin ada tanda tanda pengurangan pengeluaran)

(Marginal Field oil atau gas field yang berkemungkinan menghasilkan production yang sedikit (perlaburan berisiko tinggi)

Manakala, berkenaan Telaga Minyak Bertam, Jawatankuasa Bersama Teknikal (JBT) yang akan dipengerusikan bersama oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu akan bersidang bagi mendapatkan persetujuan bersama berkaitan perkara berikut:

1. Mengkaji Titik Akhir Sempadan Darat Negeri Terengganu dan Negeri Pahang ;

2. Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Negeri Pahang boleh memulakan rundingan sempadan maritim antara kedua-dua Negeri ;dan

3. Menjalankan kerja-kerja penandaan dan pengukuran baki sempadan darat Negeri Terengganu dan Pahang ke Titik Akhir Sempadan Darat.

Setelah persetujuan bersama negeri dicapai bagi penentuan sempadan darat dan sempadan maritim dicapai, pihak kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan bersama pihak Kerajaan Persekutuan dan Petronas berkaitan tuntutan royalti minyak Telaga Bertam.

Berkaitan dengan royalti petroleum pula, sebagaimana yang semua maklum, kita berpegang kepada komitmen yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri yang secara prinsipnya royalti petroleum akan diberikan secara terus kepada kerajaan negeri tanpa melalui jabatan atau agensi yang lain.

INDUSTRI SILIKA DI NEGERI TERENGGANU

Sekali lagi, saya ingin menarik perhatian ahli ahli Yang Berhormat sekalian berkenaan usaha kerajaan terhadap mineral/silika yang ada di negeri Terengganu.

Kerajaan negeri telah mengenalpasti dan menyedari bahawa bahan mineral/silika berpotensi besar sebagai penggerak ekonomi Negeri Terengganu dan penjanaan pendapatan kerajaan negeri. Bagi tujuan ini, kerajaan negeri akan mengkaji semula Enakmen Mineral Negeri Terengganu khususnya mencapai matlamat-matlamat seperti :-

1. Menggalakkan pembangunan industri mineral/silika bagi menjadikan Terengganu sebagai Hab Galian Negara. Kajian ini akan melibatkan perubahan-perubahan polisi dan prosedur untuk menggalakkan pelaburan swasta dan kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu. Penekanan utama adalah memaksimumkan guna tenaga kerja dari anak-anak negeri Terengganu sendiri.

2. Mengukuhkan rantaian ekonomi industri mineral/silika dengan sektor-sektor lain dalam pembangunan ekonomi Negeri Terengganu. Ini termasuklah menggerakkan pemprosesan hiliran, dengan izin, (downstream) produk-produk akhir yang berasaskan mineral/silika di Terengganu.

3. Meningkatkan pendapatan kerajaan negeri. Ini termasuklah perubahan kepada kadar bayaran lesen, pajakan dan royalti bahan mineral/silika kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk membangunkan satu kawasan seluas 4,000 hektar di Jambu Bongkok, Marang yang dikenali dengan Lembah Silika Terengganu. Lembah Silika Terengganu adalah satu kawasan perindustrian bersepadu khusus untuk industri yang berasaskan silika dan kuartz. Kawasan perindustrian ini adalah tempat pemprosesan produk-produk akhir yang berasaskan silika dan kuartz.

Lembah Silika Terengganu akan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan paip gas dari Kerteh, sebuah, bulk terminal dan conveyor belt, independent power plant, (dengan izin), kawasan perumahan, bangunan komersil dan kemudahan-kemudahan lain.

Lembah Silika Terengganu akan berjaya menarik pelaburan langsung asing dari pemain-pemain utama di dalam industri ini kerana kelebihan kualiti bahan mentah (silika), penjimatan kos pengangkutan, eko sistem yang ditawarkan dan pakej insentif yang kompetitif oleh MIDA, dengan izin (Malaysia Investment Development Authority) atau lain lain agensi yang diwujudkan oleh kerajaan pusat.

Secara keseluruhannya, kerajaan negeri menjangkakan 7,600 peluang pekerjaan baru dapat diwujudkan dengan nilai anggaran pelaburan sebanyak RM13 bilion melalui industri ini. Perkara ini sekali gus mempermudahkan usaha kerajaan menunaikan manifesto menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam masa 4 tahun.

Di samping itu, sektor pembuatan, minyak dan gas akan terus diberi penekanan bqgi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, fokus utama adalah kepada anak negeri Terengganu. Kerajaan Negeri juga akan mempergiatkan peluang-peluang di dalam sektor pertanian, keusahawanan serta potensi industri lain termasuk di dalam bidang perkhidmatan, Information Technology (sebagai contoh: Online business dan Digital worker) dan Revolusi Industri 4.0

POLITIK MATANG DAN SEJAHTERA

Bagi mendepani perjalanan sebagai kerajaan negeri, pada awal pelantikan saya sebagai Menteri Besar, kita telah memperkenalkan Politik Kasih Sayang sebagai budaya politik Terengganu. Politik yang dinatijahkan daripada pembudayaan Politik Matang dan Sejahtera.

Ini merupakan satu anjakan paradigma. Memahamkan masyarakat supaya jangan takut melakukan perubahan, kita mahu bawa politik keharmonian kasih sayang, tidak timbul kebencian. Tiada pendekatan balas dendam, penuh kesederhanaan dan cakna kepada setiap permasalahan. Dalam masa yang sama semua jentera pentadbiran di semua peringkat, harus melaksanakan tugas dengan penuh amanah, tegas dengan prinsip dan integriti kerja.

Sudah terlalu lama kita bermain politik, sehingga berlaku ketegangan, bergaduh antara keluarga, tidak bertegur sapa, nafsu amarah. Ini tidak membantu kearah keharmonian negeri, tanpa keharmonian timbullah masalah sosial yang lain. Kita harus berani melakukan perubahan dengan politik kasih sayang.

Dengan politik baru ini juga peralihan kuasa yang berlaku di negeri Terengganu berlangsung dengan tenang dan lancar tanpa sebarang masalah. Saya sangat menyanjung tinggi dan berterima kasih di atas kesediaan mantan Menteri Besar Terengganu Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Razif Bin Abd Rahman, Adun Seberang Takir di atas kesudian menghadiri majlis serah tugas baru-baru ini. Ini juga boleh menjadi contoh kepada mana-mana pihak di peringkat nasional.

Saya mengharapkan budaya ini akan menjadi satu panduan politik kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat, dalam memacu pembangunan Negeri Terengganu.

Bahkan melalui budaya politik ini kita tidak mengamalkan politik tergopoh gapah dalam mengambil setiap keputusan. Bagi menjawab persoalan tentang projek-projek yang dirancang dan sedang dilaksanakan oleh pentadbiran dahulu kerajaan akan lakukan kajian terperinci sebelum memutuskan sesuatu keputusan terhadap projek-projek tersebut. Dengan mengambil kira situasi kewangan negeri dan manfaat kepada rakyat negeri Terengganu. Aspek pelaksanaan projek akan dipastikan berjalan dengan penuh efisen, berintegriti tanpa sebarang ketirisan yang boleh membebankan kerajaan negeri.

HALA TUJU NEGERI TERENGGANU

Bagi membangunkan negeri Terengganu, kerajaan telah merangka satu pelan induk yang kita namakannya Pelan Induk Terengganu Sejahtera atau singkatannya PITAS 2030.

PITAS 2030 ini merupakan model pembangunan yang dicadangkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang merangkumi 3 dasar, 7 prinsip, 9 strategi, 5 bidang utama, 10 program induk, 6 sasaran dan 3 teras pelaksanaan.

PITAS 2030 akan menjadi agenda pembangunan negeri Terengganu sesuai dengan tema Maju, Berkat, Sejahtera. Pembangunan pelan ini akan mengambil beberapa fasa penting bermula dari sekarang sehingga ke tahun 2030.

Kerajaan negeri sangat optimis, menerusi PITAS 2030, pembangunan insan dan penjanaan ekonomi dapat ditingkatkan sesuai dengan pendapatan dan kuasa beli rakyat.

PENUTUP

Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker, ahli-ahli Yang Berhormat yang berpartisipasi dalam perbahasan sepanjang sidang Dun ini dijalankan.

Ucapan penggulungan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 4 Julai 2018.

SELAKU Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Selangor saya menafikan ada mengesyorkan agar PAS dan Umno membentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Dun Sungai Kandis sebagaimana dilaporkan dalam sebuah akhbar harian hari ini.

Apa yang telah saya nyatakan pada wartawan akhbar berkenaan adalah bahawa dari penilaian awal kami, pertandingan satu lawan satu antara PAS dan PH adalah yang terbaik buat PRK ini berbanding apa yang berlaku dalam PRU lalu.

Jentera Pilihan Raya PAS sedia mengatur gerak kerja untuk bertanding sekiranya pimpinan parti memutuskan PAS masuk bertanding.

Saya turut memberi pandangan dalam keadaan Umno yang berhadapan pelbagai masalah dalaman khasnya di Selangor adalah lebih wajar Umno memberi laluan pada PAS untuk menghadapi PH dan tidak meletakkan calon mereka.

Saya tidak pernah mencadangkan sebarang bentuk kerjasama antara PAS dan Umno, sesuatu yang di luar bidang kuasa saya selaku Pengarah pilihan raya.

Semoga semua pihak bertindak profesional dalam melaksanakan tugas masing-masing khasnya rakan-rakan di bidang media.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor
5 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 5/7/2018

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) berpegang kepada prinsip “amar makruf nahi mungkar” dalam semua aspek kehidupan sama ada atas kapasiti individu, kumpulan, masyarakat dan juga sebuah Kerajaan. Prinsip di atas adalah tanggungjawab semua pihak dalam rangka mewujudkan sebuah masyarakat dan negara yang baik lagi menjamin keamanan dan kebahagiaan seluruh rakyatnya.

PAS amat percaya usaha di atas hanya boleh dijayakan dengan berpandukan kepada proses keadilan yang dilaksanakan berteraskan kepada kedaulatan undang-undang (rule of law) serta ketinggian sistem nilai. Proses keadilan ini seharusnya melibatkan semua institusi serta entiti perundangan khususnya pihak Mahkamah, Pendakwaan, Pembelaan serta institusi masyarakat awam termasuk media.

Dalam konteks pendakwaan terhadap mantan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, PAS juga berharap ia hanya bertujuan untuk mencapai matlamat tadi yang dan tidak boleh dikompromi oleh tujuan atau kepentingan lain.

Dalam hal ini PAS berpegang teguh kepada prinsip perundangan dan keadilan Islam bahawa “seseorang adalah tidak bersalah sehinggalah ia dibuktikan bersalah menurut proses undang-undang, innocent until proven guilty. Manakala pihak pendakwaan memikul “beban untuk membuktikan (burden of proof) tuduhan terhadap tertuduh”. Di samping itu mahkamah akan bertindak sebagai pengadil yang akan bertindak secara adil dan tidak berpihak without fear or favour.

PAS berharap proses keadilan terhadap mantan Perdana Menteri ini akan berjalan mengikut lunas undang-undang serta dihormati, dipatuhi dan dipertahankan oleh semua pihak dan golongan bagi memastikan ia memberi keadilan kepada semua, terutama pihak yang dituduh, pihak yang berkepentingan langsung dan masyarakat serta negara amnya.

Walau apa pun keputusan yang bakal diperolehi dalam proses perundangan yang sedang berjalan, PAS berharap ia akan menyumbang secara positif kepada keutuhan, pembaikan dan kematangan kehidupan bermasyarakat dan bernegara kita, selain meningkatkan mutu kewarganegaraan dan keperibadian rakyat dari sudut-sudut yang dimaksudkan di atas.

TAKIYUDDIN HASSAN, JP.
Setiausaha Agung PAS

Bertarikh: 4 Julai, 2018- HARAKAHDAILY 5/7/2018

PAS Dun Sungai Tua memerhati secara serius tragedi malang membabitkan adik Adam Rayqal yang ditemui mati di rumah pengasuhnya di Jalan Nakhoda Kiri, Kampung Nakhoda, Batu Caves.

Ia merupakan suatu perkara yang amat tidak berperikemanusiaan dan sepatutnya berlaku dalam pada kita dihidangkan isu-isu penderaan anak dan pembuangan bayi mutakhir ini.

PAS Dun Sungai Tua ingin merakamkan ucapan takziah kepada Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi dan isterinya Farah Madiha Othman atas tragedi yang menimpa keluarga ini. Kami mendoakan keluarga ini diberikan kesabaran dalam menempuh ujian berat ini.

Apatah lagi ia adalah saat paling sukar kepada mereka dalam menempuhi hidup selepas kehilangan anak tersayang dalam tragedi menyayat hati.

PAS Dun Sungai Tua ingin mencadangkan kepada Kerajaan khasnya menyediakan pusat penjagaan yang berautoriti tidak hanya kepada pekerja awam, juga kepada pekerja swasta yang ingin menghantar anak-anak ke pusat penjagaan.

Kakitangan yang diambil boleh dilatih dalam kerja-kerja mengasuh bayi juga mereka yang dalam kalangan graduan kursus jururawat juga boleh diserapkan ke pusat penjagaan ini.

Kami sekali lagi mengucapkan salam takziah kepada keluarga adik Adam. Damailah anak syurga ini di sana dan bertabahlah ibu dan ayah mereka.

USTAZ MOHAMMAD IBRAHIM @ Ustaz Mad China (UMC)
Mantan Calon N16,
Sungai Tua, Gombak.
04 JULAI 2018 - HARAKAHDAILY 5/7/2018

More Articles ...