20
Mon, May
28 Artikel Baru

TAHNIAH kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mendapat pengampunan YDPA. Juga tahniah kepada keluarga besar reformasi. Kami PAS tidak pernah mengajar kepada pengikut kami yang DSAI bersalah walaupun mahkamah yang putuskan, walaupun ditambah dengan rekayasa pertuduhan untuk meyakinkan.

Kami juga tidak pernah mengiyakan tuduhan itu terhadap Dato' Seri walaupun tentera Dato' Seri serang kami habis-habisan. Kami tetap berpegang kepada prinsip Islam yang melarang.

Semoga travelog ujian yang panjang ini akan menyemarakkan semangat untuk Dato' Seri menyertai kami memartabatkan Perundangan Islam yang menjamin keadilan sejagat. Semua prinsip keadilan Islam ini hilang ketika Dato' Seri didakwa dan dibicarakan.

Pada hari ini Dato' Seri berkuasa, maka Dato' Seri bebas mendapat keadilan namun belum tentu untuk orang lain mendapat keadilan tanpa adanya kuasa. Belum tentu juga keadilan pada masa akan datang kerana kuasa bakal silih berganti.

Dengan memartabatkan Sistem Perundangan Islam dalam negara ini sahajalah yang boleh memberi jaminan keadilan kepada Dato' Seri dan kepada kami rakyat Malaysia sekarang dan masa akan datang.

"Sejahtera Bersama Islam"  

USTAZ HAJI AHMAD MARZUK SHAARY  
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa
30 Shaaban 1439/16 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 16/5/2018

 

PRU14 telah berlalu. Menyaksikan kemenangan besar kepada Pakatan Harapan (PH). Kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dan keiltizaman kental PAS dengan prinsip Islam di samping lonjakan sokongan yang semakin meningkat.

Allah memberi peluang kita menyaksikan jatuhnya keangkuhan BN, yang selama ini menganggap Malaysia selamanya untuk BN. Sehingga terpahat keyakinan khurafat di benak sebahagian orang bahawa tanpa BN Malaysia akan hancur dan tidak membangun. Sehingga Umno-BN sewenangnya memperkosa khazanah negara dan harta milik rakyat.

Mereka ada kuasa dan merasakan semua jenayah politik itu boleh ditutup rapi dengan satu calling sahaja. Mereka terus lalai dan lupa. Sehingga saat-saat akhir pilihan raya mereka masih mampu menari terkinja-kinja dan mengutuk parti lawan dengan angkuhnya kerana merasakan kuasa milik mereka selamanya. Namun akhirnya mereka gugur dengan hina.

Allah juga memberi peluang kita menyaksikan kemenangan PH. Gabungan parti-parti yang mendukung fahaman Liberal Sekular. Jika disorot sedari awal, sukar untuk mana-mana peramal politik meramalkan mereka akan menang besar.

Mereka berjaya mewujudkan gelombang "Jatuhkan Najib dan Umno", mereka berjaya mempengaruhi Melayu Islam menjatuhkan BN tanpa sempat berfikir apa wajah Islam nanti di bawah PH, yang bersatu roh dan jiwa dengan DAP. Media sosial berjaya dipergunakan mereka seluas-luasnya untuk mewujudkan persepsi yang tidak baik terhadap PAS.

Dengan penuh berani mereka lontarkan fitnah terhadap PAS bertubi-tubi tanpa henti, sehingga benar-benar tepu dalam fikiran pengundi. Fitnah sebagai satu dosa yang besar dilupakan seketika. Yang penting PAS perlu dilenyapkan dari ingatan dan kepercayaan rakyat. Untuk mencapai hajat PH terpaksa berani melanggar susila bangsa dan adab beragama. Fitnah adalah senjata.

Allah juga memberi kesempatan kita menyaksikan keiltizaman PAS dengan agenda Islamnya. Budaya politik matang yang melatari perjuangan dan pendekatan dakwah PAS terus dipertahankan. PAS tidak menari mengikut rentak lawan. PAS juga tidak terpengaruh dengan pandangan yang mengatakan PAS akan kalah kalau degil untuk terus bersendirian.

Bagi PAS, Islam adalah segala-galanya. PAS tahu dengan siapa ia boleh bersama dan dengan siapa tidak perlu bersama. PAS bukan parti Liberal Sekular yang boleh bertukar wajah dan warna mengikut selera dan suasana.

PAS ada prinsip. PAS bukan tidak tahu bersatu itu teguh dan bercerai itu roboh. Tapi soalnya bersatu dengan siapa yang boleh membuatkan PAS teguh? Dan bercerai dengan siapa yang boleh membawa kepada roboh? Islam telah mengajar segala-galanya, dan PAS menghayatinya.

Oleh itu, teman-teman, anak-anak dan adik-adik Abnaul Harakah belajarlah dari apa yang disaksikan. Yakinlah, keangkuhan itu akan berakhir dengan kehinaan dan kemenangan yang dicapai dengan fitnah tidak akan kukuh dan kekal. Rakyat tidak akan dapat ditipu selamanya dengan media. Sampai masanya nanti media tidak dihiraukan lagi.

Untuk mencapai sebuah kejayaan yang hakiki, kita perlu bertapak dengan kemas dan tegap. Terpaksa membetulkan segala kesilapan. Terpaksa Istiqamah dengan simpulan keyakinan. Jangan goyah hanya kerana mahukan sebuah kemenangan. Tiada 'Short cut' dalam perjuangan ini.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat  
16 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 16/5/2018

HARI ini 16 Mei 2018 adalah Hari Guru. Dalam Islam, guru disebut sebagai murabbi, mudarris, muallim. Namun, setiap satu istilah punya makna tersendiri yang berbeza.

Dalam istilah orang Melayu, Tuan Guru biasanya merujuk kepada seorang yang banyak ilmu agama, umur yang agak lanjut, punya peribadi yang mulia dan disegani oleh orang lain.

Alhamdulillah, dalam sebuah parti dan gerakan Islam seperti PAS, ia punya ramai tok-tok guru. Bukan sahaja dalam aspek-aspek yang disebut di atas sahaja, tetapi juga melahirkan anak-anak murid yang kemudiannya menjadi guru pula.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sudah berumur lebih 71 tahun. Beliau digelar tok guru, bukan kerana beliau yang meminta untuk digelar demikian. Tidak juga membayar mana-mana agensi supaya diletakkan gelaran itu kepadanya. Ia muncul dari masyarakat yang melihat, memandang dan menilai.

Dari sudut ilmu, ramai anak buahnya yang 'menjadi'. Para asatizah dan ilmuan muncul dari tarbiahnya. Dari sudut politik, beliau terus kekal hingga kini. Dalam masa yang sama, dikelilingnya dipenuhi anak-anak buah didikan politiknya juga, walaupun dari segi umur, mereka mungkin dianggap sebagai anak-anaknya.

Tok guru difitnah, dikecam, dikata, persis ulama soleh terdahulu. Namun, tok guru tetap cekal, tidak endahkan rumput dan lalang, meredah lautan perjuangan, mencari redha dan pahala dari Tuhan.

Moga Tok Guru sentiasa sihat, diberi rahmat, terus berbakti buat umat. Selamat Hari Guru kepada Tok Guru dan semua guru. – HARAKAHDAILY 16/5/2018

Penulis ialah Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu dan Timbalan YDP PAS Kemaman.

DENGAN sebegitu banyak skandal yang terkait dengan rejim terdahulu, agak menghairankan mengapa Tun Dr Mahathir boleh mencadangkan nama Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan sedangkan beliau sedang berdepan perbicaraan kes rasuah.

Perdana Menteri kemudiannya menjelaskan bahawa tiada nama lain dicadangkan untuk menggantikan Lim Guan Eng dan beliau mesti bebas dari segala tuduhan sebelum boleh menjawat jawatan tersebut. Sementara itu, sebarang keputusan dan tindakan penting kementerian akan dirujuk secara terus kepada Perdana Menteri.

Maka ini adalah satu lagi cara untuk meletakkan Kementerian Kewangan terus di bawah pengaruh Perdana Menteri?

Di kala urusan ekonomi dan ketelusan dikatakan menjadi keutamaan kerajaan hari ini, adalah penting agar tugasan Menteri Kewangan dipisahkan sepenuhnya dari Perdana Menteri. Hakikatnya, tradisi Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan bermula dari zaman Tun Dr. Mahathir dan menjadi salah satu sebab utama yang menyebabkan kecelaruan pentadbiran ekonomi negara. Ianya tidak boleh diulangi.

Wakil-wakil rakyat PH, tokoh-tokoh terkemuka yang dilantik dan Jawatankuasa Reformasi Institusi mesti segera membangkitkan isu ini dengan PM dan membetulkan keadaan yang timbul selari dengan janji untuk menubuhkan kerajaan pusat yang terbuka serta bebas dari konflik kepentingan dan rasuah.

Tinggal 93 hari lagi.

Nurul Islam Mohamed Yusoff
Exco Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 16/5/2018

GURU ialah murabbi untuk membentuk manusia bagi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi membimbing anak muridnya mengamalkan ilmu dan hidup beragama.

Sebagai sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, Kerajaan Negeri Terengganu akan membawa agenda ‘Pelan Induk Terengganu Sejahtera’ bagi mencapai taraf negeri yang ‘Maju, Berkat dan Sejahtera’.

Oleh itu, pembangunan pendidikan adalah fokus utama kerajaan negeri untuk dipertingkatkan mutu dan kualiti anak Terengganu yang lahir daripada sistem pendidikan yang dilaksanakan.

Besar harapan saya kepada guru-guru agar kita terus berganding bahu dan berkerjasama dalam membangunkan modal insan yang cemerlang akademik dan berakhlak mulia.

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik khususnya di Negeri Terengganu.

Selamat Hari Guru!

“Guru Pemacu Transformasi Pendidikan”

YAB DR. AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu - HARAKAHDAILY 16/5/2018

KITA menyambut Hari Guru setiap tahun bagi meraikan jasa mereka mendidik masyarakat dengan ilmu. Guru adalah cahaya yang menerangi lorong kegelapan. Rasulullah S.A.W contoh guru paling unggul di dunia kerana menyelamatkan manusia dari kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam.

PAS menekankan pendidikan holistik yang merangkumi kecemerlangan duniawi dan ukhrawi, akademik dan akhlak. Sejarah tamadun Islam dibina di bumi kering kontang, namun akhirnya menjadi tamadun yang berpengaruh kerana modal insan generasi awal dibentuk di atas asas keimanan yang kukuh.

Justeru itu, peningkatan kualiti pendidikan negara perlu dititik beratkan ke arah pembinaan modal insan cemerlang melalui geran per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat, Tahfiz, pondok dan sekolah persendirian. Memperbanyakkan sekolah berorientasikan kurikulum integrasi antara tahfiz Al-Quran dan Sains dan memperkasakan waqaf dalam sistem pendidikan bermula daripada peringkat pendidikan pra-sekolah sehinggalah peringkat pengajian tinggi.

Bagi mengurangkan beban warga pendidik, adalah wajar menurunkan nisbah keseimbangan guru dan murid daripada 1:50 kepada 1:30 dan mewujudkan jawatan pembantu guru dalam kerja-kerja perkeranian sepertimana telah ditawarkan dalam Manifesto Malaysia Sejahtera.

Akhir sekali, saya mengambil kesempatan pada hari ini, 16 Mei 2018 untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik. Semoga terus komited dalam membangunkan agenda pendidikan kepada rakyat.

Selamat Hari Guru!

“Guru Pemacu Transformasi Pendidikan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS - HARAKAHDAILY 16/5/2018

DIRIWAYATKAN oleh Abu Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكتَهُ وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِيْ جُحْرِهَا وَحَتَّى الحُوْتَ لَيُصَلُّوْنَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخَيْرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah swt, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Seorang guru memiliki martabat yang tinggi di sisi Islam. Jika nilai sesuatu ilmu dan seorang yang menuntut ilmu sangat dimuliakan oleh Islam, apatah lagi bagi mereka yang mengajarkan ilmu tersebut.

Rasulullah SAW juga seorang guru. Baginda SAW mendidik dan membentuk pegangan, pemikiran serta keperibadian seluruh umat manusia. Begitu juga seorang guru yang memiliki tugasan hakiki membentuk pegangan, minda dan akhlak generasi mendatang.

Sewajarnya sambutan hari guru di sekolah turut melibatkan para ibu bapa dan penjaga, bagi mengeratkan hubungan di antara keduanya, bahkan memastikan para ibu bapa memahami serta menghayati kemuliaan dan pengorbanan seorang guru yang telah mendidik anak mereka.

Malah perlu juga melibatkan masyarakat secara amnya supaya semua pihak sedar, bahawa berjayanya seseorang pada hari ini adalah hasil jerih payah seorang guru yang mendidiknya sebelum ini.

Saya mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru yang mengajar di pelbagai peringkat secara langsung atau tidak secara langsung. Semoga diberikan kekuatan oleh Allah swt. untuk terus berbakti kepada ummah.

Hanya Allah swt. jua yang akan membalas segala jasa baik anda semua.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/5/2018

More Articles ...