18
Thu, Jul
47 Artikel Baru

SEBAHAGIAN besar kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) perlu dijalankan dengan nasihat kabinet dan Perdana Menteri (PM). Dalam pelantikan Peguam Negara misalnya, Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa YDPA, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri perlu melantik seorang memenuhi kelayakan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, untuk menjadi Peguam Negara.

fathi topSoalnya, adakah YDPA tiada pilihan lain, melainkan mesti mengikut nasihat PM dalam pelantikan Peguam Negara? Perkara 40(1) dan (1A) menyebut keperluan YDPA bertindak mengikut nasihat kabinet dan PM, melainkan dalam beberapa perkara yang sepenuhnya dalam budibicara YDPA. Peruntukan undang-undang ini perlu dibaca secara menyeluruh dengan melihat kedudukan YDPA sebagai Raja Pemerintah yang disebut sebagai Ketua Negara. Peranan, amanah dan kuasa YDPA dalam pelbagai urusan negara, seperti yang dinyatakan dalam banyak peruntukan Perlembagaan secara praktikalnya diterjemahkan sebagai satu pengiktirafan kedudukan Baginda yang mempunyai budi bicara selepas mendengar nasihat PM atau Kabinet.

Oleh itu, perkataan ‘nasihat’ adalah kekal dengan maksud ‘nasihat’, bukannya satu ketetapan yang mengikat YDPA. Nasihat sifatnya memberikan pandangan dan panduan, bukannya satu bentuk arahan. Penasihat bertanggungjawab untuk menyampaikan nasihat terbaik dengan maklumat yang tepat. Penerima nasihat yang berada pada kedudukan yang lebih tinggi akan menilai nasihat mengkut kebijaksanaan dan hikmahnya.

Hal ini dihuraikan dengan penuh jitu dan indah dalam ucapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 5 Ogos 2017 di Putrajaya:

“Raja tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberikan perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan tuntutan syarak, menyimpang daripada semangat Perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat, hingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman. Apabila Raja dirujuk, Duli-duli Baginda hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa perasaan ragu atau pilih kasih; dan dalam perkara Raja perlu bertindak atas budi bicara, Duli-duli Baginda hendaklah menyempurnakannya dengan hikmah dan kebijaksanaan demi membuktikan Raja bersifat arif, adil lagi saksama, sebagai penimbangtara yang bebas kepada cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, demi memastikan terlaksana secara bermakna mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan amalan demokrasi yang telus…”

Jadi dalam pelantikan Peguam Negara ini, PM berperanan menasihati berkenaan individu yang layak menduduki jawatan berkenaan, manakala YDPA mempunyai kuasa untuk menilai sama ada nasihat itu sesuai atau tidak untuk kepentingan Islam, semangat Perlembagaan dan keadilan sejagat. Dalam hal ini YDPA boleh mendapatkan pandangan Raja-raja Melayu lain. YDPA berhak menolak nasihat yang diberikan jika ia lebih mendatangkan keburukan. Lebih-lebih lagi Perkara 145(5) menyebut bahawa Peguam Negara memegang jawatan selama mana diperkenan oleh YDPA (…the Attorney General shall hold office during the pleasure of the Yang di-Pertuan Agong…).

Jika berlaku penolakan, maka PM bertanggungjawab untuk mencadangkan nama lain sesuai dengan hasrat YDPA. Bagi mengelakkan konflik dan kontroversi, proses ini sepatutnya berlaku secara tertutup dan tanpa sebarang pendedahan kepada media. Ia perlu dilaksanakan melalui jalan muafakat yang penuh dengan adab dan hemah. Penyelesaiannya harus segera dan cekap bagi mengurangkan spekulasi dan persepsi negatif. Apa yang penting institusi Istana perlu dihormati sesuai dengan semangat Perlembgaan dan prinsip rukun negara.

Kita sama-sama doakan isu berkaitan pelantikan Peguam Negara ini dapat diselesaikan dengan penuh harmoni dan mudah-mudahan individu yang dilantik itu benar-benar menghayati prinsip kejujuran, keadilan dan mampu membantu mengukuhkan kedudukan Islam di dalam negara.

Dr Muhammad Fathi Yusof
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Universiti Teknologi Malaysia
Kuala Lumpur
3 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 3/6/2018

MANUSIA merupakan makhluk yang memiliki sifat tergesa-gesa. Sifat ini kadang-kadang menguasai manusia sehingga ketika mereka beribadat kepada Allah, mereka menggesa Allah dalam doa agar segera dikabulkan segala permintaan. Oleh itu, Allah melarang manusia daripada bersifat dengan terburu-buru sebagaimana firman-Nya:

خُلِقَ الْإِنْسَانُ مِنْ عَجَلٍ ۚ سَأُرِيكُمْ آيَاتِي فَلَا تَسْتَعْجِلُونِ

"Manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halnya. Aku akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Ku; maka janganlah kamu meminta disegerakan."

[al-Anbiya': 37]

Sifat terburu-buru adalah sikap negatif akibat manusia melakukan sesuatu tindakan tanpa berfikir panjang apatah lagi memikirkan risiko yang bakal dihadapi. Adapun bergegas dalam melakukan perkara kebaikan adalah sikap positif sekiranya jelas bahawa perbuatan yang bakal dilakukan itu adalah baik, maka kita dianjurkan untuk segera melakukannya.

Kajian sains juga telah membuktikan bahawa sifat-sifat yang tidak baik, ianya boleh menghancurkan dan memusnahkan jasad manusia. Antara sifat yang dikaji dan boleh memusnahkan diri manusia ialah sifat terburu-buru. Sifat ini akan menghasilkan banyak sikap negatif lain seperti berbohong demi untuk segera mendapatkan habuannya.

Menurut Pakar Psikologi dari Universiti Massachusetts US, Robert Feldmen beliau mendapati orang yang bersifat dengan terburu-buru dalam semua perkara akan pasti memiliki sikap berbohong. Menurut kajiannya, manusia seperti ini berpotensi sebanyak 60 peratus akan berbohong dalam perbualannya iaitu sekurang-kurangnya sekali berbohong dalam jangka masa 10 minit perbualan.

Akibat daripada sikap ini juga boleh menyebabkan berlakunya stres yang mengakibatkan seseorang itu menghadapi masalah jantung. Stres juga boleh membawa kepada masalah kemurungan dan boleh membawa kepada membunuh diri. Oleh sebab itu, Islam melarang umatnya daripada bersikap terburu-buru.

Sempena kedatangan Ramadan ini, kita hendaklah berusaha membuang segala sifat Mazmumah yang membinasakan diri sendiri. Bacalah al-Quran serta selidiki maknanya, insyaAllah terlalu banyak permasalahan diri dan masalah kehidupan dapat diatasi.

USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
17 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 2/6/2018

PENGHIJRAHAN Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah pada tahun 622M tidak menghentikan permusuhan golongan Musyrikin Makkah terhadap orang-orang yang beriman. Kejayaan Nabi S.A.W menubuhkan negara Islam pertama di Madinah dan termaterinya Piagam Madinah tahun pertama Hijrah telah memberikan kekuatan politik kepada Islam. Penyatuan kaum Muhajirin dari Makkah dan Ansar dari Madinah telah mengukuhkan lagi Islam. Masyarakat Yahudi di Madinah terpaksa mengiktiraf kedudukan Nabi S.A.W sebagai pemimpin tertinggi Madinah, sekali gus memberi kemenangan moral kepada Islam ke atas orang-orang Makkah.

Bagi menuntut hak kaum Muhajirin yang dirampas oleh orang Makkah, beberapa siri gerakan hendap (sariyah) telah dibuat oleh umat Islam di Madinah terhadap rombongan perdagangan Makkah yang berulang-alik ke Syam melalui kawasan Madinah. Beberapa pertempuran dan rampasan yang kecil berlaku di antara orang Islam dengan pedagang Makkah pada tahun pertama Hijrah (623-624M), tetapi tidak tercetus peperangan. Gerakan sariyah lebih kerap berlaku pada tahun kedua Hijrah kerana umat Islam ingin mengambil semula hak mereka yang dirampas. Keadaan ini menyebabkan orang-orang Quraisy mulai terancam, lebih-lebih lagi Madinah (dahulunya Yathrib) telah dikuasai oleh Nabi S.A.W yang dihalau oleh mereka dua tahun sebelumnya.

Sekatan yang menjadi perang di Badar

Dalam musim bunga 624M, Nabi S.A.W telah menerima maklumat bahawa rombongan pedagang Makkah yang dipimpin oleh Abu Sufian bin Harb akan melalui Madinah dari Syam. Rombongan yang dibiayai dengan harta umat Islam yang ditinggal di Makkah ini disertai sekitar 40 orang pengawal. Nabi S.A.W telah menggerakkan 313 orang terdiri daripada 82 orang Muhajirin dan 231 orang Ansar ke Badar untuk menyekat kafilah Quraisy tersebut dan merampas semula harta mereka yang digunakan untuk membiayai rombongan perdagangan tersebut. Abu Bakar, Umar al-Khattab, Ali bin Abi Talib dan Hamzah bin Abdul Mutallib adalah antara Tokoh utama dalam gerakan ini. Mereka hanya membawa tiga ekor kuda dan beberapa ekor unta, dengan tidak membawa maksud untuk berperang.

Berita tentang pergerakan pasukan Islam untuk membuat serbuan terhadap rombongan Quraisy telah sampai ke pengetahuan Abu Sufian. Dia telah mengarahkan Damdam bin Amru al-Ghafiri untuk meminta bantuan dari Makkah. Mereka segera dikirimkan oleh orang Makkah dengan 1,000 tentera dengan dipimpin oleh bangsawan utama Makkah termasuklah Amru bin Hisham (Abu Jahal), Walid bin Utbah, Syaibah bin Utbah dan Umaiyyah bin Khalaf. Tujuan mereka menyertai ketumbukan ini adalah pelbagai termasuk untuk membalas dendam dan mempertahankan harta mereka dalam rombongan Abu Sufian. Dengan jumlah tentera yang ramai beserta kelengkapan perang, ketumbukan ini bermaksud untuk bertempur dengan umat Islam di Madinah.

Iman dan kufur bertembung di Badar

Abu Sufian telah bertindak melencong ke Yanbu, sedangkan beberapa dari mereka tiba di Badar tepat seperti yang dijangkakan oleh Nabi S.A.W. Informasi tentang kedatangan tentera Quraisy dari Makkah telah sampai kepada Nabi S.A.W, lalu Baginda S.A.W telah menanggil Majlis Perang untuk membincangkan hal tersebut, dan akhirnya bersetuju untuk berperang dengan Musyrikin Quraisy. Umat Islam sebenarnya berusaha untuk mengelakkan perang, tetapi jika orang Makkah bertujuan untuk berperang, mereka akan menghadapinya.

Pada 15 Ramadan 2H, dalam jarak sehari perjalanan ke Badar, umat Islam telah menahan dua orang pembawa air dari Makkah yang disangka rombongan pedagang, tetapi mereka adalah daripada kumpulan tentera Makkah. Nabi S.A.W kemudian segera bergerak ke Badar dan menguasai sumber air di Lembah Yalyal sebelum pasukan Makkah tiba. Strategi menguasai telaga sebagai sumber air telah mengukuhkan orang Islam. Ketika Abu Jahal tiba di Juhfah, dia telah diberitahu oleh Abu Sufian bahawa mereka telah selamat dan pasukan Makkah boleh bergerak pulang.

Beberapa puak Quraisy berhasrat untuk berpatah balik, tetapi Abu Jahal memutuskan untuk terus berperang dengan tentera Islam demi kepentingan politik dan pengaruhnya. Abu Sufian kemudian menyertai kumpulan tentera ini melawan Islam. Pada 17 Ramadan 2H, tercetus perperangan antara kumpulan orang beriman dengan kumpulan Musyrikin bermula dengan pertarungan antara Ali bin Abi Talib, Hamzah bin Abdul Mutallib dan Abu Ubaidah al-Jarrah melawan tiga pahlawan Quraisy yang kemudiannya berjaya dibunuh oleh mereka.

Seramai 70 orang Musyrik berjaya dibunuh termasuk Abu Jahal, sedangkan 70 yang lain ditawan. Sedangkan di sebelah orang Mukmin, 14 orang telah syahid. Kejayaan Islam memenangi perang ini telah melonjakkan Nabi S.A.W sebagai pemimpin besar dan Islam menjadi kuasa politik Arab yang baru sehingga orang Arab Badwi mulai berduyun-duyun masuk Islam. Yahudi Bani Qainuqak yang mengkhianati perjanjian turut menerima kesan, selain melumpuhkan pasukan Munafik di Madinah yang diketuai oleh Abdullah bin Ubaiy. Di pihak Quraisy, kematian Abu Jahal telah membolehkan Abu Sufian menjadi ketua orang Makkah yang baru.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
17 Ramadan 1438 / 2 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 2/6/20118

ALLAH S.W.T telah menurunkan ayat-ayat al-Quran sebagai panduan kepada manusia untuk kemaslahatan hidup mereka. Kajian terhadap kandungan al-Quran akan menemui pelbagai ilmu baru sebagaimana kenyataan al-Quran bahawa tumbuhan-tumbuhan juga dicipta berpasangan. Firman Allah S.W.T:

الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ مَهْدًا وَسَلَكَ لَكُمْ فِيهَا سُبُلًا وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْ نَبَاتٍ شَتَّىٰ

"(Dialah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan dan Dia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan untuk lalu-lalang. Dia juga yang telah menurunkan hujan dari langit. Maka, Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis pasangan tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya."

[Thaha: 53]

Pada zaman dahulu, manusia tidak mengetahui bahawa tumbuhan juga mempunyai pasangan jantan dan betina sebagaimana manusia dan binatang. Setelah itu, ilmu botani di zaman moden telah menjumpai adanya jenis jantan dan betina pada tumbuhan. Malah tumbuhan yang mempunyai kedua-dua jantina (unisexual), mempunyai kedua-dua elemen yang jelas perbezaannya antara jantan dan betina. Hal ini sebenarnya telah dinyatakan dalam al-Quran sejak lebih 1,400 tahun lampau.

Jika kita membaca kajian-kajian tentang perkembangan kehidupan tumbuh-tumbuhan, maka kita dapati pada buah yang dihasilkan adalah produk terakhir daripada sistem pembiakan tumbuh-tumbuhan berperingkat tinggi. Peringkat sebelum menjadi buah adalah bunga yang mempunyai organ jantan dan betina. Apabila debunya dibawa ke bunga, ia menjadi buah. Oleh kerana itu, semua buah-buahan juga menunjukkan adanya organ jantan dan betina.

Pada hakikatnya, setiap makhluk yang diciptakan adalah berpasangan ini baru terbongkar pada abad ke-19. Seorang Ilmuwan Barat, Paul Dirac, dalam penelitiannya berhasil menemukan bahawa seluruh benda yang ada di alam semesta sampai partikel terkecil yang tidak terlihat oleh mata kasar, ternyata juga mempunyai pasangannya. Hasil kajian berkenaan, beliau telah dianugerah Nobel dalam bidang fizik pada tahun 1933.

Penemuan demi penemuan baru telah diketemui oleh para pengkaji pada zaman kini setelah adanya alat-alat canggih. Namun, pada hakikatnya penemuan ini telah lama disebut dalam al-Quran dan hanya dijumpai oleh golongan yang tafakkur serta tafaqquh ayat-ayat Allah S.W.T.

USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
16 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 1/6/2018

HADRAMAUT merupakan kota lama yang kini berada di Barat Yaman. Disempadani dengan Negara Arab Saudi di sebelah Utara dan Lautan Hindi di sebelah Selatan. Dipisahkan daripada Negara Oman dari arah Timur dengan Wilayah al-Mahrah. Berada jauh dari ibu negara Sana'a tabg terletak di bahagian Barat atau Utara Yaman.

Hadramaut merupakan wilayah terbesar di Yaman. Menjadi sebahagian daripada wilayah kekuasaan Kerajaan Saba' dan ratu Balqis. Ketika perang saudara, Hadramaut berada pada bahagian Yaman Selatan.

Di zaman umat Muhammad, Hadramaut telah melahirkan ribuan cendikiawan dan daie Islam yang menyebarkan Islam ke seluruh dunia terutama ke Asia Tenggara termasuk negara kita. Antara Institusi Pendidikan Agama popular di Hadramaut adalah Darul Mustafa dan Ribat di Tarim. Walaupun Yaman diwarnai dengan berbagai konflik, daerah tersebut tidak dilanda perang saudara dan perang proksi yang teruk sebagaimana kawasan lain. Ini kebanyakan kebanyakan mereka beraliran sufi yang tidak mencampuri urusan politik dan tidak memberi ancaman kepada penguasa dalam dan luar.

Maksud perkataan Hadramaut dalam Bahasa Arab ialah 'telah datang kematian'. Tiada pendapat yang muktamad berkenaan dengan nama Hadramaut. Antara pendapat yang masyhur adalah kerana Hadramaut dahulu merupakan kawasan yang sering bergolak. Mereka yang pergi ke sana seolah-olah mencabar maut. Lama-kelamaan dinamakan dengan nama tersebut.

Mungkin atas faktor inilah Nabi S.A.W memberikan bidalan mengenai keamanan akhir zaman dengan Hadramaut. Ketika Khabba datang menemui Rasulullah bagi mengadu nasib Islam yang sering ditindas di era Makkah, serta meminta Rasulullah berdoa agar Allah menyegerakan bantuanNya, maka Rasulullah S.A.W bersabda:

لَقدْ كان مَن قَبْلَكم لَيُمْشَطُ بِمِشاطِ الحَديدِ، ما دونَ عِظامِه مِن لَحْمٍ أو عَصَبٍ، ما يَصرِفُه ذلكَ عن دينِه، ويُوضَعُ المِنْشارُ على مَفرِقِ رَأسِه، فيُشَقُّ بِاثنَينِ ما يَصرِفُه ذلكَ عن دينِه، ولَيُتِمَّنَّ اللهُ هذا الأمرَ حتَّى يَسيرَ الرَّاكبُ مِن صَنعاءَ إلى حَضْرَموتَ ما يَخافُ إلَّا اللهَ والذِّئبَ على غَنمِه.

"Sesunggunya umat sebelumnya ada yang disikat dengan sikat besi hingga luruh daging daripada tulangnya, ada yang digergaji badan mereka hingga terbelah dua. Namun itu semua tidak membuatkan mereka berpaling dari agama. Allah akan menyempurnakan urusan agama ini, sehingga seorang boleh mengembara dari Sana'a ke Hadramaut sendirian, tidak takutkan sesiapa kecuali Allah, dan serigala terhadap kambingnya."

[HR Bukhari]

Jarak antara Sana'a dan Hadramaut adalah lebih kurang 700 km. Di zaman Nabi S.A.W, perjalanan sejauh itu sendirian amat berbahaya. Terdedah kepada penyamun jalanan dan bermacam pihak.

Namun Rasulullah S.A.W menggambarkan akan tiba suatu masa apabila Islam memerintah, keamanan bakal dikecapi sehingga tiada sebarang jenayah boleh berlaku. Bahkan dinyatakan dalam Hadis yang lain, sehingga binatang pun tidak bergaduh antara satu sama lain.

Hadramaut turut menjadi kawasan yang menjadi saksi terbitnya api yang menjadi tanda besar kiamat. Sabda Rasulullah S.A.W:

ستخرجُ نارٌ من حضْرَمَوْتٍ – أو من نحو بَحْر حضْرَمَوْتٍ – قبلَ يومِ القيامة ، تُحْشرُ الناسَ . قالوا : يا رسولَ اللهِ فما تأمُرُنا ؟ فقال : عليكُم بالشّامِ

"Akan terbit api dari Hadramaut atau dari arah laut Hadramaut sebelum berlaku kiamat yang menghimpunkan manusia. Sahabat bertanya apa yang kamu perintahkan kepada kami pada masa itu? Jawab Rasulullah: Wajib untuk kamu pergi ke Syam."

[HR Tirmizi]

Api yang dimaksudkan berkemungkinan adalah api yang sama dimaksudkan dalam Hadis pada Siri 16 (Yaman) yang lalu. Ia menyebutkan jelas bakal berlaku sebelum kiamat. Bermakna seluruh manusia akan dihimpunkan di satu tempat sebelum mereka dibinasakan sekali gus. Selepas itu baharulah mereka dibangkitkan kembali dan dihimpunkan sekali lagi dalam dimensi alam akhirat.

Jika dimurnikan dengan Hadis lepas yang mengatakan perkara pertama berlaku pada waktu kiamat adalah cahaya yang menghimpunkan manusia dari Timur hingga Barat, ini bermakna kejadian ini adalah perkara pertama yang berlaku di saat hari bumi dihancurkan. Pada masa itu tidak ada lagi orang beriman kerana hari kiamat hanyalah peristiwa bagi membuktikan kebenaran kiamat yang diingkari oleh orang-orang yang tidak beriman.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
17 Ramadan 1439
2 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 2/6/2018

 

FIRMAN Allah SWT:

رَفِيعُ الدَّرَجَاتِ ذُو الْعَرْشِ يُلْقِي الرُّوحَ مِنْ أَمْرِهِ عَلَىٰ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ لِيُنْذِرَ يَوْمَ التَّلَاقِ

“(Dialah) Yang Maha Tinggi, yang mempunyai ‘Arsy, yang menurunkan Al-Quran dengan perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya supaya ia memperingatkan (manusia) tentang hari pertemuan (hari kiamat)”. (Al-Mu`min: 15)

Al-Quran disebut sebagai roh dalam ayat di atas disebabkan sesiapa yang mempelajari serta mengamalkannya akan memberi kehidupan kepada hati manusia. Sesungguhnya, diturunkan Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca walaupun membacanya merupakan ibadah yang diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Al-Quran merupakan petunjuk dan panduan untuk diikuti dan diamalkan oleh manusia agar sejahtera dunia dan akhirat. Manusia yang memuliakan kandungan Al-Quran apatah lagi melaksanakan perundangan yang terkandung di dalamnya akan diberi kemuliaan oleh Allah sesuai dengan kemuliaan Al-Quran. Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya ada menyebut:

أنزل أشرف الكتب بأشرف اللغات، على أشرف الرسل، بسفارة أشرف الملائكة، وكان ذلك في أشرف بقاع الأرض، وابتدئ إنزاله في أشرف شهور السنة وهو رمضان، فكمل من كل الوجوه

“Diturunkan kitab yang paling mulia (Al-Quran) dengan bahasa yang paling mulia, diajarkan kepada Rasul yang paling mulia, disampaikan oleh Malaikat yang paling mulia, diturunkan di tempat yang paling mulia di muka bumi, diturunkan pula di bulan yang paling mulia sepanjang tahun, iaitu bulan Ramadhan. Dengan demikian, sempurnalah kitab suci Al-Quran di semua sudut".

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Kelantan di bawah Dasar Membangun Bersama Islam, menjulang tinggi tuntutan Al-Quran dalam pentadbiran. Pendidikan berteras Al-Quran diberi keutamaan, sehingga kini Kerajaan Kelantan telah menubuhkan 92 buah sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan termasuklah 8 buah sekolah aliran tahfiz Al-Quran bagi melahirkan generasi celik dan hafiz Al-Quran sepanjang waktu.

Semoga kehadiran Ramadhan 1439H ini menjadi inspirasi kepada seluruh umat Islam untuk memartabatkan tuntutan Al-Quran dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Selamat memperingati Nuzul Al-Quran dan sentiasalah tadabbur, tafakkur serta tafaqquh ayat-ayatnya.

USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
17 Ramadhan 1439 – HARAKAHDAILY 2/6/2018

YAMAN termasuk di dalam negara Semenanjung Arab. Kedudukannya di bahagian Barat Daya Semenanjung Arab dan disempadani dengan Oman di sebelah Timur dan Arab Saudi di sebelah Utara. Selain berada di pesisir Lautan Hindi, Yaman turut berada di pintu masuk ke Laut Merah yang dinamakan sebagai Bab el Mandab.

Dikatakan Yaman dahulunya lebih besar dari peta politik yang ada hari ini meliputi sebahagian Timur dan Selatan Arab Saudi serta Barat Oman. Bahkan ada yang berpendapat bahawa Yaman meliputi hampir keseluruhan Semenanjung Arab. Pandangan inilah yang menjadi punca ketegangan yang sering berlaku dalam lipatan sejarah antara Yaman dengan negara-negara sekitar. Di zaman Nabi S.A.W, Yaman berada di bawah pengaruh Parsi.

Yaman merupakan penempatan banyak tamadun-tamadun silam seperti Tamadun Kaum Saba`, Ad, Iram dan Thamud. Malah Yaman dikatakan sebagai negara asal usul bangsa Arab. Bahkan ada pendapat dari kalangan ulamak Tafsir yang mengatakan di Yamanlah tempat pertama kewujudan manusia di atas muka bumi ini iaitu Nabi Adam A.S dan isterinya Saidatina Hawa.

Di era moden, Yaman sebelum ini dipecahkan kepada dua buah negara berbeza iaitu Yaman Selatan dan Yaman Utara ekoran pecahan yang berlaku terhadap koloni Eden. Ia hanya bergabung pada tahun 1990 dan dikenali selepas itu dengan Republik Yaman.

Yaman merupakan antara tempat yang didoakan keberkatan oleh Nabi S.A.W selain Syam. Sabda Rasulullah S.A.W:

اللهمَّ بَارِكْ لنا في شَامِنَا وفي يَمَنِنَا . قال : قالواْ : وفي نَجْدِنَا ؟ قال : قال :اللهمَّ بَارِكْ لنا في شَامِنَا وفي يَمَنِنَا . قال : قالوا : وفي نَجْدِنَا . ؟ قال : قال : هناكَ الزلازلُ والفِتَنُ ، وبها يطلُعُ قَرْنُ الشيطانِ .

"Ya Allah, berkatilah Syam dan Yaman kami. Sahabat bertanya, bagaimana pula dengan Najd kami? Nabi berkata Ya Allah, berkatilah Syam dan Yaman kami. Sahabat bertanya, bagaimana pula dengan Najd kami? Nabi berkata di sana bakal berlaku gempa dan ujian atau fitnah. Akan muncul tanduk atau era syaitan."

[HR Bukhari]

Nabi S.A.W juga menyatakan kelebihan penduduk Yaman sebagai beriman dan berhikmah. Sabda Rasulullah S.A.W:

جاء أهلُ اليَمَنِ، هم أرَقُّ أفئدةً، الإيمانُ يَمانٍ، والفِقهُ يَمانٍ، والحِكمةُ يَمانِيَةٌ

"Telah datang penduduk Yaman. Mereka memiliki jiwa yang paling lembut. Keimanan adalah Yaman. Kefahaman adalah Yaman. Kebijaksanaan adalah di Yaman."

[HR Bukhari & Muslim]

Di akhir zaman, Yaman juga menjadi tempat berhimpun tentera Islam selain Syam dan Iraq. Nabi juga memerintahkan agar bersama dengan tentera Yaman suatu masa nanti sekiranya tidak mampu untuk ke Syam. Sabda Rasulullah S.A.W:

سيصيرُ الأمرُ إلى أن تكونوا جُنودًا مُجنَّدةً جندٌ بالشامِ وجندٌ باليمنِ وجندٌ بالعراق قال ابنُ حوالةَ خَرْ لي يا رسولَ اللهِ إن أدركتُ ذلك فقال عليك بالشامِ فإنها خِيرةُ اللهِ من أرضِه يجتبِي إليها خِيرتَه من عبادِه فأما إن أبيتُم فعليكم بيَمنِكم واسقُوا من غدرِكم فإنَّ اللهَ توكَّلَ لي بالشامِ وأهلِه

"Akan berlaku berbagai perkara sehingga membawa kepada terbentuk beberapa pasukan tentera. Tentera di Syam, tentera di Yaman dan tentera di Iraq. Ibn Huwalah berkata: Pilihlah untuk kami wahai Rasulullah sekiranya kami sempat dengan suasana demikian. Jawab Rasulullah: Wajib kamu bersama dengan tentera Syam, sesungguhnya mereka adalah pilihan Allah di kalangan hambaNya di muka bumi ini. Sekiranya kamu enggan, maka bersamalah dengan tentera Yaman dan minumlah dari sumber airnya. Sesungguhnya Allah telah mewakilkan padaku Syam dan penduduknya."

[HR Abu Daud]

Pada hari ini, nasib Yaman tidak kurang huru-haranya berbanding Syria dan Iraq. Berlaku perang saudara yang amat dahsyat diantara kabilah-kabilah dan aliran-aliran, ditambah dengan campur tangan asing dari berbagai kuasa politik termasuk Arab Saudi, UAE, US, NATO, Tentera Arab Bersekutu, Rusia dan Iran.

Yaman menjadi rebutan antaranya kerana lokasinya yang berada di Bab el Mandab. Ia adalah pintu keluar Barat dari Laut Mediterenean melalui Terusan Suez dan Laut Merah bagi menuju ke arah Timur. Barat tidak mahu Yaman jatuh ke tangan seteru mereka iaitu Rusia dan Iran, yang bakal mengancam keselamatan laluan perdagangan dan ketenteraan laut mereka ke arah Timur.

Walaupun Hadis menyatakan bakal terbentuk tentera di Yaman, namun sehingga kini kita masih belum mampu menetapkan tentera mana satukah yang dimaksudkan. Apakah telah wujud dan telah berlalu di zaman lampau, atau apakah sedang terbentuk sekarang ataupun belum terbentuk buat masa ini.

Maka Hadis ini tidak boleh dijadikan satu-satunya petunjuk bagi membenarkan kita mengikut mana-mana kumpulan di sana tanpa melihat kepada keseluruhan petunjuk ajaran Islam. Dibimbangi kita hanya akan diperkudakan oleh musuh-musuh Islam yang berniat jahat dan bernafsu tinggi demi kepentingan duniawi mereka.

Selain itu, Yaman juga bakal menjadi saksi keluarnya api yang menghimpunkan seluruh manusia Timur dan Barat. Sabda Rasulullah S.A.W:

إنها لن تقومَ حتى ترَون قبلَها عشرَ آياتٍ " . فذكر الدخانَ ، والدجالَ ، والدابةَ ، وطلوعَ الشمسِ من مغربِها ، ونزولَ عيسى ابنِ مريم صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ ، ويأجوجَ ومأجوجَ . وثلاثةَ خُسوفٍ : خَسفٌ بالمشرقِ ، وخَسفٌ بالمغربِ ، وخَسفٌ بجزيرةِ العربِ . وآخرُ ذلك نارٌ تخرج من اليمنِ ، تطردُ الناسَ إلى مَحشرِهم

"Sesungguhnya tidak akan berlaku kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya 10 tanda: (1) Dukhan, (2) Dajjal, (3) Dabbah, (4) matahari terbit dari arah Barat, (5) turun Nabi Isa, (6) Yakjuj dan Makjuj, tiga gempa bumi; (7) satu di Timur, (8) satu di Barat dan (9) satu di Semenanjung Arab, dan terakhir (10) api yang terbit daripada Yaman, menghimpunkan manusia ke tempat perhimpunan (Mahsyar)."

[HR Muslim]

Menurut sebahagian pendapat, ia berlaku sebelum detik kehancuran bumi iaitu kiamat. Dihimpunkan sebelum dibinasakan sekali gus di saat tiada lagi orang beriman di atas muka bumi ini. Ada juga pandangan yang menyatakan ia berlaku selepas peristiwa kiamat, iaitu di saat manusia dihidupkan kembali sesudah mati. Disitulah lokasi Padang Mahsyar menurut pandangan ulamak yang mengatakan di bumi ini jugalah manusia akan dibangkitkan semula. Yang berbeza cuma peralihan dari dimensi alam dunia kepada dimensi alam akhirat.

Ini disokong dengan satu lagi Hadis di mana Abdullah bin Salam bertanya apakah perkara pertama bakal berlaku di hari kiamat. Rasulullah S.A.W menjawab dengan sabdanya:

أما أولُ أشراطِ الساعةِ فنارٌ تَحشُرُ الناسَ منَ المشرقِ إلى المغربِ

"Adapun perkara pertama berlaku adalah api yang menghimpunkan seluruh manusia daripada Timur hingga Barat."

[HR Bukhari]

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
16 Ramadan 1439
1 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 1/6/2018

 FB IMG 1527846951360

More Articles ...