AKHIR-akhir ini makin banyak sebaran maya berkaitan khasiat buah-buahan dan sayur-sayuran dari sudut perubatan. Terdapat dakwaan dari mereka bahawa buah-buah tertentu mempunyai daya kesembuhan seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, buah pinggang dan lain-lain lagi.

dr suhazeliSaya seperti biasa, tidak akan terus menjawab dakwaan tersebut kecuali mencari kesahihan pemberitaan, terutama sekali kajian-kajian yang berkaitan. Sebelum saya melanjutkan tulisan ini, saya tegaskan di sini bahawa saya bukan anti-buah, bukan anti-sayur, bukan anti-ulam, bukan anti-makanan sunnah. Malah pemakanan yang sihat dan halal saya selalu anjurkan kepada pesakit saya sepanjang masa. Selain ubat diberikan, saya akan menasihati para pesakit agar senantiasa mengamalkan gaya hidup sihat. Di mana 4 komponen utama gaya hidup sihat ini ialah; Penjagaan makanan yang sihat serta berkhasiat, penjagaan berat badan, amalkan hidup cergas dengan bersenam dan elakkan stres dalam kehidupan.

Mana-mana makanan, buah-buahan, sayur-sayuran sama ada pernah disebut oleh Nabi atau tidak, boleh dimakan, tiada larangan. Silakan selagi tidak mendatangkan mudarat pada tubuh seperti alergik. Syaratnya mengikut sukatan yang dibenarkan. Bersederhanalah, jangan membazir. Kesemuanya itu adalah membantu dalam menjadikan kehidupan kita semakin sihat. Kita tidak memerlukan bukti sains pun dalam mengambil makanan ini, kerana ianya adalah makanan asas kita semua.

Manakala ubat pula, sebagai pengawal supaya penyakit kronik kita hadapi tidak melepasi paras bahaya. Tidak dinafikan terdapat segelintir kecil dari para pesakit boleh mengawal penyakit kronik mereka dengan mengamalkan empat komponen gaya hidup sihat semata-mata. Akan tetapi mereka perlu berdisiplin dan patuh dengan secara ketat amalan pemakanan, senaman dan sebagainya. Sebagai contohnya crash diet dengan pengiraan pengambilan kalori seharian sebanyak <1000-1200 sehari.[1] Tetapi kebanyakan dari kita tidak dapat mengamalkannya. saya pun tidak mengesyorkan kecuali pesakit yang terlalu bermotivasi untuk mengamalkannya.

Ada rakan netizen yang menempelak saya kerana menerangkan bukti kajian isu-isu yang berkaitan dengan buah-buahan dari segi perubatan. Setakat bacaan saya, sehingga kini tiada lagi buah-buahan atau pati buah tersebut menandingi ubat-ubat moden yang sedia ada. Apabila saya berhujah sedemikian, segelintir dari mereka cuba memperli saya kerana telalu mengagungkan perubatan moden. Asas yang kita wajib kita pegang adalah bukti kajian, bukan kaedah perubatan, sama ada moden atau alternatif. Jika perubatan alternatif boleh membawa bukti kajian mengikut metodologinya, kami dengan senang boleh menerimanya. Senang sahaja asas itu untuk difahami.

Contohnya dalam isu khasiat petai, terdapat netizen yang mendakawa kajian ke atas petai sudah ada, dan terbukti. Lalu disertakan link rujukan. Apabila saya membaca artikel rujukan tersebut, pemahaman mereka membaca artikel berbeza dengan metodologi dan hasil akhir kajian. Phytosterol yang terdapat dalam petai, kacang, dan sebagainya itu dikaji berkaitan dengan penyerapan kolesterol di usus. Di mana wujudnya phytosterol berkenaan boleh mengurangkan penyerapan kolesterol ke dalam darah. Metodologi dan objektif kajian itu bukan mengkaji penurunan kolesterol dalam darah. Dan penulis pun mengaku kajian lanjut perlu dijalankan bagi mencari potensi kesan Phytosterol terhadap metabolisma kolestrol dalam badan seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung.

Tetapi malangya mereka memahami dengan kefahaman lain. Kajian itu tidak memberi konklusi yang konkrit. Saya mengesyorkan lebih baik ambil sesuatu yang telah terbukti dari apa yang masih belum diyakini. Kenapa mereka memberi konklusi yang berbeda sedangkan tulisan dalam kajian itu sebut perkara lain. Penelitian saya mendapati:

1) Kebanyakan mereka adalah penjual produk-produk kesihatan yang berasaskan buah-buahan ini. Di zaman orang tidak suka membuat bacaan lanjut, masyarakat awam akan mudah terpengaruh. Terutama sekali diselitkan pautan kajian saintifik. Masyarakat hanya membaca tajuk dan terus menelan gorengan dari para penjual. Sedangkan hakikat sebenar mereka dikelentong. Keuntungan akan semakin meningkat dengan semakin ramai yang mempercayai.

2) Perkataan klise yang mereka selalu dipancing adalah pemakanan sunnah. Sebaris dua hadis diselitkan. Membeli dan memakan produk mereka akan memperolehi dua kenikmatan, pertama pahala menghidupkan sunnah. Kedua penyakit akan sembuh sepenuhnya. Dipertegaskan sekali lagi bahawa kita wajib yakin dengan sunnah kerana ianya bersumberkan dari Rasulullah dan Nabi tidak menipu ummat dengan hadis-hadis sahih.

Haruslah bagi kita untuk berikhtiar mencari kaedah penyembuhan dan pencegahan. Bukan bermakna jika kita mengambil ubat hospital, kita dikira sebagai menentang sunnah atau kejadian yang Allah turunkan kepada seseorang. Bukan bermakna juga kita melawan fitrah kejadian manusia yang cukup sempurna. Arahan mencari ubat itu juga adalah sunnah, bukan tertakluk kepada bahan apa yang digunakan. Ubat-ubatan itu juga pun makhluk Tuhan yang diciptakan bagi kegunaan manusia. Para saintis telah menggunakan kepintaran yang diberikan oleh Allah dalam menyusun sebab akibat sesuatu itu berlaku. Jika bertepatan dengan ubat itu, maka sembuhlah ia.

Sedangkan Rasulullah SAW juga mencari penawar bagi penyakit yang ditimpanya sebagai salah satu ikhtiar, apatah lagi kita yang berada di akhir zaman ini? Hospital pun ikhtiar. Cuma ikhtiar berdasarkan kaedah yang paling hampir dengan keberkesanan, selamat dan berkualiti. Takdir sembuh, hidup dan mati atasNya jua. Jika kita meletakkan ikhtiar itu kepada sesuatu sandaran yang tiada jaminan keyakinan dari sudut sunatullah, bukan bermakna ikhtiar namanya. Contohnya produk jenis A yang baru dipromosi dalam laman maya, dengan pelbagai testimoni yang tiada asas kaedah kajian, dakwaan tersebut masih kabur. Berapa jumlah atau peratus pesakit yang sudah sembuh hasil dari mengambil produk tersebut? Berapa tempoh yang perlu diambil? Adakah kesan sampingan timbul? Dan banyak lagi persoalan yang perlu dinyatakan.

Sebagai pengamal perubatan, apabila pesakit bertanya isu pengambilan produk sedemikian, saya akan cuba melontarkan kembali soalan-soalan seperti di atas. Ini kerana setiap patah perkataan doktor, jika membenarkan sesuatu produk yang masih belum diuji, akan menjadi pegangan kepada pesakit dan terus menjaja nama kita di mana-mana.

Ini berbeza dengan ubat-ubatan atau alat-alatan yang sudah teruji dalam premis kesihatan moden. Doktor akan memberikan sesuatu ubat itu mengikut zhan yang kuat setelah mengikut ghalib pengalaman beliau. Ianya bukan disandarkan seratus peratus kepada ubat, tetapi di hujung konsultasi penyerahan kuasa penyembuh itu kepada Allah jua. Doktor sekadar wasilah kesembuhan, jika berbetulan dengan qodar Allah, maka sembuhlah.

Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak melarang pesakit saya untuk memakan buah-buahan, ulama-ulaman, makanan Timur Tengah dan sebagainya. Teruskan.

Rujukan:
[1] Very Low Calorie Diet. http://www.nhs.uk/…/losew…/Pages/very-low-calorie-diets.aspx

PAS pernah membenarkan DAP bertanding menggunakan lambang parti Islam itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Situasi getir ini apabila Pendaftar Pertubuhan (RoS) menggantung DAP dalam situasi PRU13 yang semakin hampir.

Lalu PAS tanpa memikirkan risiko kehadapan terus menawarkan Parti aliran Sekuler-Sosialis agar menggunakan lambang bulan Parti Islam sebagai penyelesaian kemelut yang dihadapi DAP waktu itu. Satu tindakan luar jangkaan dan berani yang diambil PAS sebagai bukti setiakawan dalam Pakatan.

Pengerusi DAP waktu itu, mendiang Karpal Singh seolah merayu rakan-rakan politik membantu mereka membenarkan DAP menumpang lampang parti PAS atau PKR kerana mengelak kecelaruan jika DAP menggunakan lambang bebas bagi calon mereka yang sudah tentu nanti akan memberi kesan lain semasa PRU 13.

Apabila PAS menawarkan lambang mereka, DAP boleh bernafas lega dan tidak sangat tertekan dengan perbagai masalah dalam menghadapi persiapan PRU. Sikap PAS yang harmoni memberi satu semangat kebersamaan menyelesaikan kontroversi lambang yang terpaksa DAP hadapi disaat PR Kini sekali lagi DAP hadapi ujian besar menjelang PRU14. Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baru.

Semua pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti berkenaan pada 29 September 2013 dianggap tidak sah apabila DAP didapati melanggar peraturan Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP.

DAP perlu memastikan 2576 perwakilan dari 865 cawangan bermesyuarat semula untuk memuktamadkan pemilihan 20 orang anggota CEC diiktiraf semula kerana pemilihan tidak sah dan rekod 2012 mungkin diambil kira, untuk mengarahkan 865 cawangan bermesyuarat dalam masa sebulan dua ini bukan mudah.
Inilah masalah besar yang DAP perlu selesaikan jika PRU14 diadakan dalam tempoh terdekat. Maka tidak keruan Kit Siang dan anak-beranaknya. Guang Eng pula terpaksa memikul pertuduhan rasuah membabikan pembelian hartanah kediamannya.

Jika berlaku PRU 14 dalam masa terdekat ini sudah tentu DAP bertanding tanpa parti. Mereka sekali lagi akan terpaksa merayu kepada kompenan lain dalam Pakatan Harapan. Apakah PPBM atau Tun Mahathir akan bermegah menawarkan lambang Bunga Raya untuk DAP? Jika ini berlaku Mahathir sudah tentu melakarkan sejarah hitam dalam riwayatnya kerana membantu DAP.

Apakah PKR sudah bersedia menawarkan lambang mereka dikibarkan DAP? Kenapa tidak PAN? Walaupun masalah lambang ini bukan masalah utama sekarang ini, tetapi bakal memberi kesan besar kepada DAP. Dalam gelojoh menyerang PAS bertalu-tahu, DAP terpaksa melupakan sekejap serangan-serangan kepada PAS dalam waktu itu.

Budak nakal PAN sudah tentu sudah menuduh Umno sudah bantu PAS. PAS pula bantu Umno. Ini sudah tentu menjadi amalan tambahan diganding dengan ratib-ratib PAS selamatkan Najib, PAS selamatkan Umno dan PAS nak masuk Umno....

Apapun penangan PAN, dia gagal memberi buah fikiran kepada DAP bagaimana DAP perlu buat, bagaimana menyuluh jalan penyelesaian kemelut yang DAP tanggung sekarang ini. DAP sedang merenung laut senja angkara ahli-ahlinya sendiri yang membuat laporan kepada RoS tentang skandal dan salah laku pemimpin DAP menguruskan pemilihan parti yang lalu.

Kesian juga, DAP sudah hilang kuasa menandatangani watikah pelantikan calon untuk mewakili parti dalam pilihan raya yang diiktiraf Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Mungkin PAN segan nak buat program Solat Hajat memohon tuhan membantu menyelesaikan masalah taikung mereka. – HARAKAHDAILY 10/7/2017

KALAU Dr Mahathir terus tak jaga mulut, Zahid ugut nak dedahkan salah laku Mahathir sepanjang 22 tahun memerintah negara.

drazman1Saya yakin kedua-dua mereka masing-masing ada simpan rahsia antara mereka. Zahid pernah jadi anak buah Mahathir dan Mahathir pernah jadi boss Zahid.

Tiada siapa yang boleh mendabik dada bahawa dia lebih bersih. Cuma yang membezakan sekarang ialah seorang berkuasa dan seorang lagi sudah tiada gigi.

PAS tak pernah jemu menentang salah laku Mahathir sepanjang 22 tahun pemerintahannya sehingga ramai pemimpin PAS merengkok dalam tahanan ISA malah ada yang dibunuh kejam di Memali.

Bila Zahid ugut nak dedah salah laku Mahathir, ia menguatkan lagi dalil bahawa Mahathir banyak melakukan salah laku yang ditentang oleh PAS selama ini tapi didiamkan saja oleh pemimpin Umno lain. Sekarang baru mereka ugut nak dedahkan salah laku Mahathir. Salah laku selama berpuluh tahun ini telah meninggalkan kesan parut kekal yang hodoh kepada negara. Bukan hanya nasi telah menjadi bubur, tapi buburnya juga telah basi dan berbau.

Salah laku Mahathir bukan atas kapasiti nama dia Mahathir, tapi atas kapasiti dia seorang Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia. Umno adalah parti di mana sekarang Zahid menjadi Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden.

Tanggungjawab atas kerosakan lantaran salah laku Mahathir selama berpuluh tahun ini wajib dipikul bersama oleh semua pemimpin Umno yang pernah bersama Mahathir. Bukan hanya Mahathir seorang diri. Ajaibnya kalau mereka yang pernah menyokong segala tindakan Mahathir selama ini, sekarang mula berlagak suci.

Ketika Mahathir berkuasa dia disanjung, sudah tak ada kuasa dia diperlekehkan oleh bekas anak buah sendiri yang suatu ketika dulu pernah mencium tangannya sehingga ke siku. Itulah resam dunia. Tapi Mahathir seorang tokoh yang sentiasa ingin menjadi pemimpin dan akan memaksa orang lain untuk tunduk di bawah telunjuknya. Bila nak buat apa-apa, dia tak hiraukan apa orang nak kata kerana dialah yang kata Melayu mudah lupa.

Salah seorang Melayu yang mudah lupa ialah Mahathir sendiri.

Antara yang mudah lupa juga ialah mereka yang sekarang ini berada sepentas dengan Mahathir bagaikan terlupa bahawa asbab parti mereka ditubuhkan dulu adalah untuk membela pemimpin besar mereka yang dipecat oleh Mahathir.

Zahid adalah salah seorang pemimpin muda Umno yang bersama Anwar sebelum membuat U-turn untuk kembali menumpahkan ketaatan kepada Mahathir. Barangkali ada juga unsur-unsur kelupaan. - HARAKAHDAILY 9/7/2017

SEMUA ada perasaan, jangan fikir kita sahaja ada perasaan, orang lain pun ada perasaan. Kita akan marah jika orang fitnah dan kata kepada orang yang kita sayang.

Kita berpesta dan bersuka ria apabila orang kata dan menulis mengenai orang yang kita benci. Kadang-kadang di tahap melampau sehingga menabur fitnah. Kita melatah dan mengamuk  apabila orang kata balik kepada kita.

Kita suruh orang lain jaga perasaan kita, tetapi kita tidak pandai menjaga perasaan orang lain. Jika perasaan kita terguris dan terluka, apakah kita tidak fikir orang lain tidak terluka dengan tindakan kita.

Kita manusia, orang lain juga manusia. Kita ada pengikut, orang lain juga ada pengikut. Sebenarnya ini budaya yang tidak baik. Nasihat untuk diri saya juga.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
15 Syawal 1438 / 9 Julai 2017 - HARAKAHDAILY 9/7/2017

TUNTUTAN utama perhimpunan Bersih 1 sehingga 5, adalah supaya diadakan pilihan raya secara bersih dan telus. Sejak himpunan pertama hingga sekarang, DAP antara parti yang mendokong teguh Bersih ini. Mereka kononnya mahu membersihkan pilihan raya Malaysia daripada kekotoran dan penipuan seperti pengundi hantu, beli pengundi dan sebagainya. Kononnya parti mereka adalah parti suci bersih.

Namun sebenarnya itu hanya retorik. Hakikatnya DAP lebih kotor dan busuk. Sebagaimana yang dilaporkan, DAP telah menyekat seramai 753 perwakilan daripada mengundi pada pemilihan tahun 2012. Bukan itu sahaja, mereka turut mengimport seramai 547 pengundi hantu untuk mengundi!

Kenapa mereka lakukan semua ini? Kerana jika tidak, kemungkinan besar Lim Guan Eng akan kalah. Ini kerana akar umbi DAP rata-ratanya tidak menyukai kepimpinan nepotis keluarga Lim. Maklumat dalaman menunjukkan sokongan lebih jitu daripada akar umbi adalah kepada Tan Seng Giaw dan Lim Guan Eng boleh kalah pada pemilihan itu.

Perwakilan yang dinafikan hak untuk mengundi ini kemudian melaporkan pada RoS. Maka menjelang PRU13, RoS meminta DAP membuat pemilihan semula dan jika tidak, mereka tidak boleh menyertai PRU13 kerana melanggar lunas demokrasi yang menjadi tonggak pertubuhan berdaftar di Malaysia. Semasa itulah PAS menawarkan logonya kepada DAP.

Selepas PRU13, baru mereka mengadakan pemilihan semula. Malangnya RoS menerima laporan dan mengesahkan bahawa pemilihan itu juga tidak sah. Justeru mereka meminta pemilihan sekali lagi diadakan.

Hak-hak ahli DAP yang dinafi kartel Lim Guan Eng wajib ditebus. Sehingga kini mereka masih mengekalkan jawatankuasa yang dipilih secara tidak sah sejak tahun 2012 dan 2013 dahulu. Dalam tempoh tersebut, PAS sudah tiga kali melakukan pemilihan.

Mungkin atas sebab inilah, kita melihat berbagai ahli-ahli DAP keluar parti tersebut sejak krisis itu sehingga sekarang. Setakat ini sudah ada dua parti serpihan DAP ditubuhkan iaitu Parti Alternatif Rakyat PAP dan Parti Cinta Malaysia PCM.

Itulah dia wajah sebenar DAP. Mereka yang dulunya sibuk mengganggu pemilihan PAS dengan memberi sokongan terbuka kepada beberapa pemimpin PAS, akhirnya membawa rebah. Mereka mendakwa PAS bakal berkubur setelah wakil tajaan mereka keluar parti. Tetapi kini Allah ajar mereka pula dengan pergelutan dalaman, dan nampaknya seperti parti mereka pula bakal berkubur.

Hari ini mereka cuba sekali lagi memporak perandakan PAS. Mereka cuba cari titik perbezaan antara Presiden PAS dengan Timbalan. Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan melaga-lagakan antara kedua mereka. Itu menandakan mereka akui pihak tajaan mereka yang keluar itu gagal memberi apa-apa kesan signifikan ke atas PAS.

Kasihan pejuang Bersih yang makan gas, yang berpanas berhujan, yang tidur atas jalan raya, yang membontoti Lim Guan Eng dan sekutu-sekutunya ke mana sahaja. Mereka diperdaya hidup-hidup demi nafsu rakus cauvinis itu untuk berkuasa. – HARAKAHDAILY 10/7/2017

SETELAH membuat siasatan rapi, pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPM) akhirnya membuat keputusan bahawa, mengikut Akta Pertubuhan dan Perlembagaan DAP sendiri, proses pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang telah diadakan pada 29 September 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Keputusan tegas JPPM ini sekali gus menjadikan pelantikan semua pemegang jawatan utama DAP, termasuk Setiausaha Agung, turut tidak sah kerana pemilihan CEC itu sendiri tidak sah.

Keputusan JPPM ini tidak seharusnya cuba dipolitikkan oleh pemimpin dan penyokong DAP untuk menarik simpati rakyat kononnya ini adalah konspirasi jahat pemerintah untuk mengalahkan DAP.

Pemimpin DAP, khususnya Lim Guan Eng yang memegang kuasa eksekutif dalam DAP, sepatutnya merasa malu dan menyalahkan diri sendiri kerana gagal membuat pemilihan semula mengikut undang-undang ditetapkan sehingga memaksa ahli-ahli DAP yang tidak berpuas hati membuat aduan mengenainya kepada JPPM.

Sebagai sebuah parti yang kononnya bersifat demokratik, tidak sepatutnya pemilihan semula ini dibuat secara tidak betul, apatah lagi bila DAP selalu terkehadapan dalam menuntut penjalanan pilihan raya yang bersih dan telus dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Cukup memalukan bila masalah pemilihan semula ini masih membelenggui DAP sedangkan ia dibarisi oleh ramai tokoh profesional, khususnya para peguam, yang sepatutnya arif dalam bidang undang-undang.

Keputusan ini sekali gus membebaskan JPPM dari tuduhan banyak pihak yang mendakwa konon kegagalannya bertindak ke atas DAP sebelum ini adalah kerana ada tangan ghaib yang mahu membela DAP.

Kini terpulanglah kepada pemimpin DAP untuk mempolitikkan isu ini demi kepentingan sempitnya seterusnya menggunakan watikah pelantikan calon pilihan raya dari parti rakan atau segera membuat pemilihan semula CEC baharu secara telus.

Persoalan yang menarik untuk dilihat ialah apakah pemimpin tertinggi DAP sekarang sanggup mengambil risiko pemilihan semula CEC baharu yang dibuat secara telus akan mengubah komposisi selaras dengan kehendak akar umbi parti?

Apa pun, bagi sesetengah pihak, kesilapan besar menguruskan parti begini akan mendorong pemimpin yang bertanggungjawab ke atasnya meletakkan jawatan jika pemimpin itu benar-benar bermoral.

Memegang jawatan utama parti selama bertahun-tahun hasil daripada pemilihan yang tidak sah adalah satu perkara yang sukar dimaafkan.

DR Maxwell Maltz, seorang pakar bedah hebat sekitar tahun 1950, mendapati pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan berperangai pelik selepas sesi bedah. Kebanyakan mereka mengambil masa paling minimum 21 hari untuk menyesuaikan diri dalam bentuk imej yang baharu. Contohnya pesakit beliau yang membuat pembedahan hidung, tempoh 21 hari diperlukan untuk melakukan adaptasi kehidupan dengan bentuk hidung yang berlainan dari sebelum ini. (Foto di atas hanya hiasan)

Dalam kajian lain, ahli psikologi mengesyorkan tempoh 30 hari kepada pesakit untuk melakukan perubahan sikap dan perangai positif seperti yang dikehendaki oleh masyarakat awam. Kemudian, latihan kemantapan perlu diteruskan lagi selepas sebulan tempoh ‘induksi’ tersebut.

Sebulan Ramadhan yang kita lalui, sebenarnya tempoh induksi untuk kita melakukan perubahan diri ke arah perangai, sikap dan budaya yang lebih baik. Fitrah dan naluri seorang manusia inginkan sesuatu yang positif di dalam diri mereka. Perangai yang disukai oleh ahli keluarga dan masyakarat perlu ditanam sebaik mungkin. Sesuai dengan kaedah psikologi perubatan, sepanjang sebulan kita berpuasa, boleh menghapuskan sikap, perangai dan budaya buruk.

Tiga puluh hari itu cukup mantap untuk kita tekuni bagi mengelakkan kita masih berbudaya lama yang tidak sihat itu. Kita akan mampu meninggalkan kelaku tidak sihat seperti merokok, lewatkan subuh, tidak tepat waktu, makan berlebihan, leka dari ibadah dan pelbagai lagi. Kemudian sesi pengukuhan perangai dan budaya yang baik dilangsungkan lagi dengan berpuasa 6 hari di bulan Syawal. Enam hari di bulan Syawal ini, penting bagi memastikan kita terus mempunyai azam yang tinggi dan istiqamah dalam meneruskan akhlak yang baik.

Jamuan raya secara besar-besaran sebenarnya tidak elok, kerana kita kembali menjamu nafsu kita yang sudah tertindas sebulan di Ramadhan lepas. Jamuan sana sini di setiap premis rasmi atau persatuan boleh menyebabkan kita lupa sesi pengukuhan sikap, perangai dan budaya baik yang telah kita latih itu. Justeru berpada-padalah dalam membuat jamuan raya.

Saya kira negara kita sahaja bermewah dengan jamuan rumah terbuka ini. Pengalaman saya di beberapa negara yang saya lawati seperti Filipina, Kemboja, Bangladesh, Mesir, Jordan, Turki dan Sudan, tiada pun majlis sambutan raya yang melebihi hawa. Mereka melakukan sekadar menyambut kegembiraan menang berpuasa secara biasa. Mereka sambut hanya sehari dua di bulan Syawal. Kemudian kembali kepada rutin normal. Amat berbeda dengan kita, sebulan dipulun untuk disajikan dengan jamuan Aidilfitri.

Saya tidak melarang sambut Aidilfitri, tetapi bersederhana dan berpada-padalah. Elok kita kenangkan juga sahabat-sahabat semuslim kita di negara yang dhaif. Mereka hanya makan sekali sehari. Itupun jika ada stok makanan. Jika tidak, mereka akan berlaparlah sepanjang hari. Mengharapkan belas ehsan dari saudara seagama dari negara luar, amat jauh sekali dek kerana kekangan sosiopolitik yang terjadi. Akhirnya mereka hanya mampu menyambut setiap hari Aidilpasrah, manakala kita Aidilfitri…

More Articles ...