21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

MELETUSNYA Revolusi Perancis pada 1789 telah menimbulkan persaingan politik di antara Perancis dengan Empayar Britain yang sedang menguasai perdagangan di India dan Tanah Melayu ketika itu. Napoleon Bonaparte, pemimpin terbesar Perancis mengatur strategi untuk melemahkan British dengan menguasai Mesir. Dalam konteks politik dan ekonomi, Mesir adalah negara yang sangat strategik kerana ia menghubungan Afrika, Eropah dan Asia. Bagi maksud mengukuhkan kedudukan Perancis dalam persaingan dengan British ini, Napoleon mengatur langkah untuk menjajah Mesir.

Mesir sejak menerima Islam pada tahun 21H, telah menjadi Wilayah Daulah Umaiyah, sebelum jatuh ke tangan Daulah Abbasiyah pada 750M. Pada zaman Daulah Abbasiyah, Mesir terlepas total apabila Daulah Fatimiyah menguasainya pada 362H (969M), sebelum Sultan Salahuddin al-Ayubi mengembalikan ia kepada Daulah Abbasiyah pada 1171M. Selepas 1260M, Kesultanan Mamalik yang menguasai Mesir mengangkat semula Khalifah Abbasiyah sehingga ia jatuh ke tangan Daulah Othmaniyah pada 1517M. Memasuki abad ke-19, Daulah Othmaniyah mulai melemah dan menerima banyak pengaruh Perancis, sehingga Napolean mengambil kesempatan di atas kelemahan ini untuk mereka menguasai Mesir.

Penguasaan Perancis ke atas Mesir

Kelemahan Daulah Othmaniyah dan pergolakan politik Mamalik di Mesir telah mendorong Napoleon bertindak menguasai Mesir. Pada Julai 1798M, Napolean dan tenteranya telah mendarat di Iskandariah bagi menguasai Mesir. Dengan alasan kaum Mamalik sebagai Muslim yang tidak baik, Napoleon melancarkan propaganda kepada orang Mesir, di samping meneruskan serangan ke atas kedudukan Mamalik di Iskandariah, sehingga mereka berundur ke Kaherah. Dalam Perang Piramid pada 21 Julai 1798, rakyat Mesir tidak menyokong Mamalik yang menyebabkan mereka tewas dan Mesir jatuh ke tangan Perancis.

Napoleon yang menutup Universiti al-Azhar dan membuka Institut d'Egypte telah memperkenalkan pendidikan Barat dan moden kepada Mesir, selain budaya percetakan dan Undang-undang Perancis. Namun begitu, di sebalik gerakan kebudayaan Perancis yang begitu berkesan, tentera Perancis tidak dapat bertahan di Mesir. Pada awal Ogos 1798, tentera Perancis kalah di Teluk Aboukir, diikuti oleh tindakan Napoleon meninggalkan Mesir pada 18 Ogos 1798. Beliau digantikan oleh Jeneral Kleber sehingga 1801, sebelum Panglima Mohamad Ali Pasya menghalau Perancis pada 31 Ogos 1801.

Kekalahan Perancis di tangan Othmaniyah: Kemerdekaan semula Mesir

Kejayaan Napoleon menguasai Mesir telah menghentikan sementara perbalahan antara Othmaniyah dengan Russia dan Britain. Kebimbangan Britain terhadap penguasaan Perancis terhadap negara-negara Eropah dan Utara Afrika telah menyebab tiga kuasa politik (Othmaniyah, Britain dan Russia) bersatu dan dapat menyekat Napoleon dari menguasai Akka pada 1799M, setelah Gaza, Ramallah dan Jaffa dikuasai oleh Perancis. Jeneral Othmaniyah, Ahmad Pasya al-Jazzar telah berjaya menyekat Napoleon dengan bantuan Britain, kemudian satu gerakan diatur di Iskandariah pada Februari 1799 untuk melumpuhkan tentera laut Perancis dengan bantuan Britain.

Peperangan yang tercetus pada 19 Ramadan 1213H (24 Februari 1799M) ini akhirnya berjaya menghancurkan kekuatan tentera Perancis di Iskandariah. Kejayaan mengalahkan Perancis ini telah menyebabkan pemberontakan rakyat di seluruh Mesir terhadap Perancis. Akhirnya satu pemberontakan besar berlaku pada 1800M (1215H) yang membawa kepada pembunuhan Jeneral Kleber. Ekoran itu, pada 31 Ogos 1801, dengan masuknya tentera Othmaniyah dan Britain ke Kaherah, Perancis telah menyerah kalah dan meninggalkan Mesir.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
19 Ramadan 1439 / 4 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 4/6/2018

MASALAH pelantikan Peguam Negara sepatutnya kekal menjadi urusan antara Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Perdana Menteri sahaja.

Ia perlu diselesaikan secara tertib mengikut peruntukan dalam perlembagaan. PM berperanan menasihati manakala YDPA tetap berkuasa menentusahkan pelantikan yang perlu dibuat.

Amat tidak wajar sekali isu ini sengaja didedahkan menjadi polemik awam sehingga boleh mencemarkan nama YDPA dan Majlis Raja-raja yang mempunyai kedudukan dan peranan istimewa yang diiktiraf oleh perlembagaan dan sejarah.

Lebih teruk lagi, ada pihak sengaja mengasosiasikan agama dengan sifat zalim, dengan berhujah bahawa lebih baik memilih orang kafir yang baik daripada orang Islam yang zalim seolah tiada lagi yang adil dan baik dalam kalangan muslim.

Islam dijadikan kambing hitam semata-mata mahu merasionalkan pelantikan seseorang yang bukan Islam. Ini adalah antara bentuk serangan pemikiran tajaan kumpulan liberalisme dan pluralisme agama yang sedang mengancam umat Islam di negara ini.

Meneliti kuasa dan tanggungjawab Peguam Negara yang digariskan dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, tanpa menafikan kepakaran Tommy Thomas mengenai undang-undang dan perlembagaan, saya berpendirian bahawa beliau tidak sesuai menduduki jawatan itu kerana pemikiran sekular tegar beliau boleh menjejaskan kedudukan dan peranan Islam yang telah dijamin oleh perlembagaan Persekutuan sendiri serta bakal membantutkan usaha memartabatkan agenda Islam yang menjadi teras kedaulatan negara ini.

Kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab menyatukan masyarakat berteraskan asas-asas bernegara yang telah dipersetujui antaranya kedaulatan Islam dan kedaulatan Raja-raja dan Sultan.

Adalah amat mengecewakan sekali apabila Kerajaan di era Malaysia Baharu hari ini gagal mengemukakan calon yang bebas kontroversi dan tidak berkepentingan untuk menjawat posisi sepenting itu. Kelihatannya sikap itu sama sahaja dengan kerajaan sebelum ini yang sering melantik individu bermasalah untuk memegang jawatan-jawatan penting.

"Sejahtera Bersama Islam"

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Isnin, 4hb Jun 2018 – HARAKAHDAILY 4/6/2018

APABILA kita meneliti kandungan ayat suci al-Quran, telah dinyatakan bahawa seluruh makhluk yang terdapat di muka bumi khususnya haiwan dengan kepelbagaian jenis adalah dijadikan untuk membantu manusia menjalankan aktiviti dalam kehidupan harian. Firman Allah S.W.T:

وَاللَّهُ خَلَقَ كُلَّ دَابَّةٍ مِنْ مَاءٍ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ يَمْشِي عَلَىٰ بَطْنِهِ وَمِنْهُمْ مَنْ يَمْشِي عَلَىٰ رِجْلَيْنِ وَمِنْهُمْ مَنْ يَمْشِي عَلَىٰ أَرْبَعٍ ۚ يَخْلُقُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

"Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu daripada air, maka sebahagian di antaranya menjalar atas perut, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah mencipta apa sahaja yang Dia kehendaki, kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

[al-Nur: 45]

Sesungguhnya keunikan ciptaan haiwan didapati mempunyai fungsi dan kelebihan tersendiri yang dapat memberi ilham kepada manusia untuk mencipta sesuatu berasaskan sifat-sifat istimewa yang dimiliki oleh haiwan tersebut. Daripada sekecil-kecil serangga seperti semut sehingga sebesar-besar gajah, ianya terdapat pelbagai manfaat yang sangat menakjubkan. Keistimewaan ciri-ciri haiwan yang dicipta Allah tidaklah dijadikan dengan sia-sia melainkan dengan tujuan agar manusia mengambil manfaat daripadanya untuk diaplikasikan dalam pelbagai urusan kehidupan mereka.

Semenjak awal penciptaan manusia, Allah telah mendatangkan haiwan sebagai solusi dalam beberapa permasalahan yang menimpa manusia. Ketika berlakunya konflik pertama pembunuhan manusia di atas muka bumi iaitu antara Qabil dan Habil. Allah mendatangkan burung untuk menunjukkan cara mengebumikan orang mati.

Pada zaman kegemilangan Islam, para Saintis Muslim sudah mula menghasilkan ciptaan mereka berilhamkan kelebihan haiwan. Mereka membuat cubaan untuk terbang dengan melihat ciri-ciri yang ada pada burung. Setelah itu muncul pelbagai jenis teknologi seperti teknologi IMOD (interferometric modulation) untuk paparan skrin gajet elektronik yang diinspirasikan melalui ciri-ciri yang ada pada sayap rama-rama.

Pada dasarnya, sangat banyak teknologi untuk kegunaan manusia terhasil melalui penciptaan haiwan. Haiwan yang pelbagai jenis ini mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri. Umpamanya kebijaksanaan burung dapat dilihat melalui kebolehannya yang terbang sejauh 1000 batu dan dapat kembali ke sarang asal tanpa tersesat. Begitu juga dengan kepintaran labah-labah yang membina sistem untuk memelihara telurnya daripada serangan makhluk lain.

Oleh itu, kita sepatutnya memanfaatkan anugerah melalui penciptaan haiwan dengan sebaik-baiknya. Haiwan sebenarnya dapat membantu dalam pertumbuhan ekosistem di muka bumi ini. Manusia, haiwan dan tumbuhan saling memerlukan antara satu sama lain. Baki lagi, manusia hendaklah mengawal akal fikiran mereka agar tidak melampaui batasan syariah.

USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
18 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 3/6/2018

MASYARAKAT dan politik merupakan dua unsur penting yang mempengaruhi kestabilan sesebuah negara. Walaupun Malaysia dikenali sebagai negara yang berbilang kaum, namun jangan sama sekali memandang remeh terhadap hak istimewa Melayu Bumiputera yang mendominasi komposisi kaum dalam negara ini.

Ingatan Nabi

Nabi telah mengajar kita bagaimana memelihara kestabilan sosiopolitik dalam negara. Sabdanya:

الأئمة من قريش

"Pemimpin-pemimpin mestilah dalam kalangan Quraisy"

(HR al-Hakim)

Jika dibaca Hadis ini secara literal, sudah pasti muncul persoalan adakah Islam mengajar konsep fanatik perkauman? Sehingga Nabi meletakkan syarat pemimpin mestilah dipilih dari kaum Quraisy. Tidak, hadis ini tidak cukup difahami secara literal.

Kaum yang dominan

Tokoh Ilmu Sosiologi dan Politik Islam, Ibnu Khaldun mengulas Hadis di atas dalam konteks kenegaraan yang lebih luas. Nabi memetik nama Quraisy memandangkan kaum tersebut mendominasi masyarakat Arab ketika itu.

Dalam erti kata lain, kestabilan sesebuah negara bergantung kepada kaum yang dominan. Hak mereka tidak boleh diganggu dan diperkecilkan. Hak istimewa dan kedudukan posisi-posisi penting mestilah diserahkan kepada kaum yang dominan. Mereka kunci kestabilan negara.

Bukan fanatik, tetapi hak

Dalam konteks Malaysia, bangsa Melayu Bumiputera merupakan kaum yang dominan. Bahkan secara politik pun, kita perlu menyedari bahawa Melayu Bumiputera merupakan pemegang undi teras Malaysia.

Ditambah lagi dengan agama yang mengidentitikan Melayu, iaitu Islam melengkapkan karakteristik corak sosiologi di Malaysia. Itu realiti yang perlu diperakui oleh semua.

Hentikan tindakan provokatif

Ekoran dari penukaran tampuk kekuasaan selepas PRU14 yang lepas, kita mengharapkan Kerajaan Persekutuan hari ini agar lebih cermat dalam bertindak. Terutamanya yang melibatkan hak Melayu Bumiputera. Begitu juga posisi-posisi penting dalam hierarki Pentadbiran Negara, mestilah diserahkan kepada Melayu Islam.

Mesej ini bukan berunsurkan fanatik perkauman. Sebaliknya bertujuan menyedarkan politikus yang sedang berkuasa agar cermat memelihara kestabilan sosiopolitk Malaysia dengan tidak mengganggu kedudukan Melayu Islam.

Polemik cubaan melantik Peguam Negara yang bukan dalam kalangan Melayu Islam, isu cubaan merungkai hak istimewa Bumiputera dalam sektor pendidikan dan penerapan konsep Malaysian Malaysia hanya menatijahkan ketidakstabilan sosiopolitik dalam negara kita.

Hati-hati.

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
3 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 3/6/2018

KAMI merujuk kepada sebuah portal berita yang melaporkan semalam bahawa kerajaan telah mencadangkan beberapa nama di kalangan peguam berpengalaman serta beberapa nama bekas Hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk menjadi Peguam Negara serta beberapa laporan media di dalam laman sesawang yang menyatakan wujud cadangan daripada pihak kerajaan kepada DYMM YDPA berkenaan lantikan Peguam Negara yang baru.

Kenyataan PPMM ini hanya mengulas berkaitan kuasa DYMM YDPA mengikut Perkara 145(5) Perlembagaan Persekutuan di dalam memelihara Agama Islam yang meliputi pentadbiran, undang-undang serta institusi Agama Islam di dalam negara ini.

PPMM di dalam kenyataan ini tidak berhasrat untuk menafikan kredibiliti, pengetahuan dan kemampuan pihak-pihak seperti yang telah dilaporkan di dalam berita dan juga laman sesawang portal-portal berita semasa.

Di samping itu adalah penting Perkara 40 (1) dan (1A) dirujuk dan diamati dengan menyeluruh mengenai keperluan YDPA bertindak mengikut nasihat PM melainkan dalam beberapa perkara yang sepenuhnya di dalam budi bicara YDPA.

Oleh itu, perkataan "nasihat" bukanlah suatu ketetapan mengikat YDPA kerana ia lebih bersifat panduan dan bukannya "arahan" yang dinilai oleh YDPA mengikut hemat, kebijaksanaan dan hikmah Baginda.

Sehubungan dengan itu, PPMM berpandangan YDPA semestinya mengambil kira kepentingan dan kemaslahatan Agama Islam di dalam negara ini kerana dengan lantikan Peguam Negara adalah hendaknya individu yang mampu memelihara Islam pada setiap masa dan keadaan. Tambahan pula, PPMM juga musykil jika lantikan dibuat di kalangan pihak yang bukan di dalam “ahlinya” maka akan mengundang suatu percanggahan terhadap tujuan utama pelantikan oleh YDPA.

PPMM juga berpandangan bahawa seorang Peguam Negara menurut Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah adalah juga merupakan seorang Ketua Pendakwaraya bagi sesebuah negara dan semestinya Peguam Negara yang bakal dilantik hendaklah mempunyai pengalaman sebagai Peguam Litigasi Jenayah yang kukuh dan kuat bagi menjaga kepentingan Negara Malaysia. Perkara yang sama juga telah ditegaskan oleh Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Dato Gopal Sri Ram.

Sehubungan dengan itu, PPMM mendesak agar kesemua pihak perlu menghormati kuasa YDPA. Berikanlah ruang untuk YDPA membuat keputusannya mengikut ‘at the pleasure of Yang Di Pertuan Agong’ menurut Perkara 145(5) yang mana Peguam Negara memegang jawatan dengan perkenan YDPA dan bukan hanya daripada nasihat Perdana Menteri. Suatu 'perkenan atau pleasure' tidak boleh dipaksakan kepada Baginda.

PPMM percaya isu ini tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk mencabar dan merendahkan institusi Raja Berpelembagaan seperti yang telah dianuti oleh rakyat Malaysia sejak sekian lama demi memastikan institusi ini dihormati oleh rakyat Malaysia seperti termaktub di dalam Perkara Kedua di dalam Rukun Negara - Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan YDPA menaiki takhta dengan bersumpah dengan nama Allah antara lain akan memelihara Islam pada setiap masa. Hal ini menjadikan YDPA mempunyai tanggungjawab berperlembagaan (constitutional obligation) untuk memelihara Islam pada setiap masa. Oleh itu YDPA hendaklah melantik seorang yang dapat memelihara Islam pada setiap masa. Malah lantikan Peguam Negara oleh YDPA adalah dalam perkenan YDPA (at the pleasure of the YDPA), justeru itu tidak seorang pun boleh memaksa YDPA memberi perkenan sedemikian.

PPMM berdiri teguh di belakang YDPA dan Raja-raja Melayu di dalam melaksanakan obligasi berperlembagaan Baginda untuk melantik seorang Peguam Negara yang akan menasihati Baginda di dalam pelbagai perkara termasuklah kedudukan Baginda dalam hal ehwal berkaitan dengan Agama Islam, tiada konflik kepentingan dan mempunyai jati diri yang kukuh di samping ketaatan tidak berbelah bahagi kepada Raja.

Persatuan Peguam-peguam Muslim juga memohon pekenan YDPA agar membuat petisyen kepada Mahkamah Persekutuan berdasarkan Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan bagi mentafsirkan sama ada maksud nasihat di dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan tersebut adalah wajib diikuti ataupun dalam budi bicara YDPA. Hal ini penting bagi menyelesaikan kemelut pelantikan Peguam Negara tersebut.

DATO' HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Presiden
Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia
Kuala Lumpur - HARAKAHDAILY 4/6/2018

MAJORITI masyarakat Malaysia adalah orang Melayu yang beragama Islam. Berdasarkan kepada Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia di mana agama Islam adalah agama rasmi negara. Islam adalah agama yang meletakkan keadilan dalam setiap perkara yang diusulkan. Oleh yang demikian, Firman Allah S.W.T:

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

(al-Maa’idah: 8)

Islam merupakan satu agama yang meletakkan keharmonian dan keselamatan di peringkat yang paling tinggi sekali berasaskan kepada wahyu al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W. Tidak dinafikan manusia mempunyai had dalam berfikir, tetapi bila menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai pedoman dalam sesuatu keputusan, menjadikan manusia lebih matang dan mengelakkan diri daripada berlaku kesilapan.

Ini kerana manusia meletakkan sistem kehidupan dalam landasan yang betul kerana Allah S.W.T berfirman:

“Dia-lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang Musyrik tidak menyukainya.”

(at-Taubah:33)

Dalam Isu cadangan pelantikan Peguam Negara Tommy Thomas jika ia adalah benar seperti yang dilaporkan. Dengan ini secara terbuka kami menyatakan sokongan kepada YDP Agong yang meletakkan syarat Peguam Negara mesti beragama Islam. Ini adalah satu perkara yang berasas dan tidak bercanggah dengan sistem perlembagaan yang meletakkan agama islam sebagai agama rasmi negara. Adakah pelantikan Tommy Thomas disebabkan kita mengalami ketandusan orang Islam yang berkepakaran dalam Undang-undang ataupun melantik Peguam Negara ini disebabkan terdapat kepentingan individu tertentu dan kepentingan kelangsungan politik tertentu.

Ini menimbulkan satu konflik masyarakat apabila pelantikan Tommy Thomas diimplimentasi, dan persoalannya:-

1.     Kenapa tidak melantik Peguam Negara di kalangan pegawai di Jabatan Peguam Negara yang telah mendapat banyak pengalaman dan terlatih.

2.     Adakah pegawai di Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai ilmu undang-undang.

3.     Adakah tiada langsung masyarakat Melayu Islam tidak berdisiplin dan tidak berintergriti untuk menjadi Peguam Negara.

4.     Fungsi Peguam Negara adalah sebagai penasihat utama Kerajaan Malaysia, bagaimana orang bukan Islam hendak menasihati pemimpin Islam sedangkan tidak mempunyai pengetahuan Islam dan berlainan agama.

5.     Kebanyakan kes-kes yang menyentuh soal agama Islam tidak mampu dikendalikan oleh Peguam Negara bukan Islam kerana perbicaraannya bukan berasas kepada akidah mentauhidkan Allah S.W.T tetapi berdasarkan logik dan pena'akulan akal semata-mata.

6.     Kedudukan Islam sebagai agama rasmi akan tergugat dan perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia akan boleh terpinda akibat kepentingan individu tertentu.

7.     Tidak menghormati fungsi YDP Agong sebagai Ketua Negara dan Ketua Agama Islam di Malaysia. Secara tidak langsung memberi impak negatif kepada Institusi Raja-raja Melayu di Malaysia akibat mendapat penasihat Undang-undang berlainan agama.

Banyak persoalan-persoalan yang akan timbul sekiranya pemerintah sekarang melantik Peguam Negara di kalangan orang bukan Islam dan secara tidak langsung mengubah sejarah politik Malaysia. Perkara ini perlu diperhalusi dan dikaji sedalamnya sebelum keputusan tersebut dibuat.

Dalam sejarah ketamadunan Islam telah menunjukan Kerajaan Islam Andalus telah mencapai kegemilangan selama 8 abad (710M - 1492M) kegemilangan Kerajaan Islam Andalus tidak dapat dipertahankan akibat pemerintah hendak mendapat sesuatu pembaharuan dalam politik, akibatnya Kerajaan Islam Andalus jatuh dan tidak dapat diselamatkan hinggalah hari ini.

Firman Allah S.W.T:

"Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka."

(al Baqarah: 120)

Oleh itu, kami menyokong penuh saranan YDP Agong agar kerajaan kini wajib melantik Peguam Negara di kalangan orang Islam, bagi mengelakkan sebarang bentuk ancaman penjajahan minda yang tersirat dan mengelakkan implikasi besar kepada kehidupan masyarakat di Malaysia.

PAS juga mempunyai cadangan eksklusif, sekiranya Kerajaan tidak berminat melantik Peguam Negara di kalangan Pegawai di Jabatan Peguam Negara, untuk membawa keharmonian negara dan mengekalkan keamanan negara kami mencadangkan YDP Agong memperkenankan dan melantik Y.Bhg Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar sebagai Peguam Negara yang baru, yang mana pengalaman dan keilmuan beliau tidak dapat disangkal.

YB AKMAL HAJI KAMARUDIN
Ketua Pemuda Pas Perak - HARAKAHDAILY 3/6/2018

ROM sebenarnya merujuk kepada nama satu bangsa yang hebat dalam sejarah. Sejarawan Barat mengatakan ia berasal dari Roma, Itali. Namun Sejarawan Islam mengatakan berasal dari Rom bin Isu bin Nabi Ishak bin Nabi Ibrahim, yang berasal dari Asia Barat.

Tamadunnya bermula pada kurun ke-8 sebelum Masihi. Ia kemudian berkembang ke Timur dan Barat membentuk empayar sehinggalah mencapai zaman kegemilangan sekitar kurun ke-3 hingga 1 sebelum Masihi. Di era tersebut, Rom tidak mampu lagi mentadbir empayarnya secara berpusat lalu berpecah kepada Rom Timur dan Rom Barat. Pusat pemerintahan Rom Barat masih lagi di Roma, tetapi Rom Timur bertukar ke Constantinople.

Oleh kerana Nabi S.A.W dibangkitkan pada zaman Rom sudah berpecah, maka kesemua ayat dan Hadis yang menyatakan tentang Rom adalah merujuk kepada Rom Timur iaitu Byzantine. Mereka menguasai kawasan sekitar Asia Barat bermula Syria di sebelah Timur hinggalah ke rantau Balkan di Barat. Mereka turut menguasai sebahagian Timur Laut benua Afrika.

Selepas kejatuhan Constantinople di tangan Sultan al-Fateh tahun 1453 Masihi, penguasa Byzantine berpindah ke Utara lalu membentuk empayar Tsar di Eropah Timur hingga ke rantau Eurasia. Ianya terus kekal hinggalah kejatuhannya ketika tercetus Revolusi Bolshevik tahun 1917 lalu digantikan dengan Soviet Union. Soviet berideologi Komunis dan menentang semua unsur keagamaan termasuklah Kristian Ortodoks yang menjadi Agama Rasmi Tsar.

Pada tahun 1991, Soviet digulingkan dan Rusia membebaskan diri dari ideologi Komunisme. Kini pengaruh agama Kristian Ortodoks kembali berkembang sehingga diterima di Kremlin, Pusat Pentadbiran Rusia.

Nabi S.A.W menyatakan bahawa di akhir zaman, umat Islam bakal bergabung dengan Rom. Sabda Rasulullah S.A.W:

ستُصالِحون الرُّومَ صُلْحًا آمِنًا، فتغزُون أنتم وهم عدُوًّا مِن ورائِكم، فتُنصَرون وتغنَمون وتسلَمون، ثمَّ ترجِعون حتَّى تنزِلوا بمَرْجٍ ذي تُلولٍ، فيرفَعُ رجُلٌ مِن أهلِ النَّصرانيَّةِ الصَّليبَ فيقولُ: غلَب الصَّليبُ، فيغضَبُ رجُلٌ مِن المُسلِمِينَ فيدُقُّهُ، فعند ذلك تَغدِرُ الرُّومُ وتَجمَعُ للمَلْحَمةِ.

"Kamu akan berdamai dengan bangsa Rom, untuk berhadapan dengan musuh kamu dan musuh mereka bersama. Maka kamu akan menang, mendapat ghanimah dan selamat. Kemudian apabila kamu pulang hingga sampai ke kawasan tanah tinggi yang subur, seorang Kristian mengangkat Salib lalu berkata: Salib telah menang! Maka seorang Islam menjadi marah lalu membunuhnya. Maka pada saat itu terlerai perdamaian dan keduanya bersiap untuk berperang."

[HR Abu Daud & Ibn Majah]

Mengikut bahasa syarak ketika itu, boleh jadi Rom yang dimaksudkan adalah pewaris Rom Timur hari ini berpusat di Rusia. Dari sudut realiti, Rom Timur yang menganut fahaman Kristian Ortodoks lebih terbuka dengan Islam berbanding Kristian Katolik di Rome mahupun Kristian Protestan di Eropah Barat dan US. Bahkan kuasa politik US lebih cenderung kepada ideologi Evangelicalisme yang menyokong penubuhan negara haram Israel dan cita-cita Israel Raya.

Dari sudut politik pula, Rusia bersaing dengan Barat dalam melebarluaskan hegemoni masing-masing. Sekiranya difokuskan musuh utama umat Islam adalah Zionis, maka kecenderungan untuk umat Islam bersama Rusia adalah lebih besar berbanding US dan Eropah. Ini kerana Zionis merupakan sekutu utama Barat.

Boleh jadi juga ia bermaksud kedua-dua Rom Timur dan Barat bersatu atas nama agama. Ini kerana keduanya sangat menentang ajaran Protestan yang kini sudah berevolusi kepada Evangelicalism. Vatican dan Moscow menolak pengiktirafan Evangelicalis terhadap perjuangan Zionis. Tidak mustahil mereka boleh bersatu atas titik tersebut, sebagaimana mereka pernah bersatu dalam Siri Perang Salib menentang Islam.

Walau bagaimanapun, Hadis tersebut turut menyatakan bahawa Islam bakal berperang dengan Rom kembali. Bermakna pakatan Islam-Rom tidak akan bertahan lama. Selepas musuh berjaya menewaskan musuh dalam satu siri peperangan, Rom dan Islam akan kembali berperang. Ini kerana masing-masing memiliki matlamat agama tersendiri, dan tergabung hanya atas tujuan menewaskan musuh bersama.

Perkara ini berlaku sebelum kemunculan Dajjal. Sabda Rasulullah S.A.W:

تغزون جزيرةَ العربِ ، فيفتحُها اللهُ . ثم فارسٌ ، فيفتحُها اللهُ . ثم تغزون الرومَ ، فيفتحها اللهُ . ثم تغزون الدَّجالَ ، فيفتحه اللهُ

"Kamu akan memerangi tanah Arab lalu Allah memberikan kemenangan. Kemudian kamu akan memerangi tanah Parsi lalu Allah memberikan kemenangan. Kemudian kamu akan memerangi tanah Rom lalu Allah memberikan kemenangan. Kemudian kamu akan memerangi Dajjal lalu Allah memberikan kemenangan."

[HR Muslim]

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
17 Ramadan 1439
2 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 2/6/2018

 

 

More Articles ...