19
Fri, Jul
46 Artikel Baru

KUALA TERENGGANU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu pada malam ini.

Ia sekaligus menjadi Kerajaan Negeri kedua selepas Kelantan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Majlis angkat sumpah di hadapan DYMM Sultan Mizan Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin di Istana Kuala Terengganu sebentar tadi.

Berikut adalah senarai Exco Kerajaan Negeri Terenganu yang baharu:

1.     Ustaz Saiful Bahri Mamat

2.     Dr Haji Alias Razak

3.     Ustaz Md Noor Hamzah

4.     Dr Azman Ibrahim

5.     Dato’ Haji Tengku Hassan Tengku Omar

6.     Ustaz Ariffin Deraman

7.     Hanafiah Mat

8.     Wan Sukairi Wan Abdullah

9.     Dr Haji Mamad Puteh

10.     Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman

Senator:     Datuk Hussein Awang

Speaker:     Yahaya Ali

PAS Terengganu berjaya memerintah Terengganu selepas memenangi 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dipertandingkan dalam PRU14.

Bagi kerusi Parlimen, PAS berjaya memenangi 6 daripada 8 kerusi yang dipertandingkan, manakala 2 kerusi menjadi milik BN.

Berikut adalah Biodata Dr. Ahmad Samsuri:

Tarikh Lahir   : 16 November 1970
Umur              : 48 Tahun
Asal                : Jerteh, Besut, Terengganu
Isteri               : Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman

Pengajian Tinggi

●    PhD (Aeroengine Ignition and Combustion, High Altitude Engine Failure), School of Mechanical Engineering, University of Leeds, UK (2001).

●    Masters Of Science in Combustion and Energy. Centre for Combustion Studies, University of Leeds, UK (1996).

●    B.Eng. in Mechanical and Materials Engineering Universiti Kebangsaan Malaysia, Malaysia (1993).

Pengalaman dalam kerjaya

●     Professor in Practice, Universiti Selangor Darul Ehsan (Unisel).

●     Professor Madya, Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan, UPM, 2006-2008.

●     Pensyarah, Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan, UPM, 2001-2006.

●     Ketua Jabatan, Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan, UPM, 2003-2008.

●     Pegawai Penyelidik, Fakulti Kejuruteraan, USM, 1994-1995.

●     Jurutera Quality Assurance, Hitachi Consumer Products, 1993-1994.

●     Bidang Kepakaran: Penganalisis Kejuruteraan Aeroangkasa.

Khidmat kebajikan dan kemasyarakatan

●     Penganalis Kejuruteraan Aeroangkasa, Tragedi MH370 dan MH17 di TV1, TV2, Astro Awani, TV Hijrah, Bernama TV, Radio lKlM.fm.

●     Penasihat, Jawatankuasa Bidang Strategik (Aeroangkasa) Kementerian Pengajian Tinggi (Penasihat kepada Menteri Pengajian Tinggi dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi): Feb 2007-Jan 2009.

●     Pengerusi, Jemaah Dekan Program Aeroangkasa, Kementerian Pengajian Tinggi. Malaysia: Feb 2007-Jan 2009.

●     Ketua Delegasi Teknikal IPTA Malaysia. Jawatankuasa Kebangsaan Panel Program Aeroangkasa ke China (China National Space Agency) Korea (Korean Space Agency) Jepun (Japan Space and Exploration Agency).

●     Mewakili IPTA Malaysia ke Persidangan National Aeronautics and Astronautics (Nasa)
International Conference, Washington, 2006.

Pencapaian

●     Anugerah Penyelidik Cemerlang Universiti Putra Malaysia, 2005.

●     Anugerah Pencapaian Khas, dari Federal Agency for Industry (ROSPROM), Russian Federation: 54th World Exhibition of Innovation, Research & NewTechnologies, Brussels, 2005.

●     Pingat Emas, 54th World Exhibition of Innovation, Research & New Technologies, Brussels, 2005.

●     Anugerah Khidmat Cemerlang, Universiti Putra Malaysia 2003.

●    Anugerah Khidmat Cemerlang, Universiti Putra Malaysia 2004. - HARAKAHDAILY 10/5/2018

trg

PRU14 telah berakhir. Terkejut, gembira, duka semua perasaan dikongsi rakyat Malaysia yang cakna politik. Kekalahan yang memalukan Umno dan sekutunya di dalam BN, telah dihidu awal dengan palitan demi palitan salah laku dan juga tekanan ke atas hidup rakyat, dimainkan dengan baik oleh pembangkang, walaupun PH terkadang melampaui norma-norma kempen yang betul.

Sentuhan isu GST, 1MDB, kemewahan melampau pemimpin, ugutan oleh ahli politik terhadap rakyat marhaen, membuakkan kebencian yang mendekam di sanubari mereka, dan terjadilah apa yang telah Allah tentukan.

Saya tinggalkan kegembiraan pihak yang menang itu dengan saya menumpukan kepada PAS, kerana ia lebih realistik bagi saya untuk mengupasnya. Tidak dinafikan, tawa dalam duka ketika ini menyelubungi perasaan ahli dan penyokong PAS. Tawa setelah 14 tahun menanti untuk mengambil kembali tampuk pemerintahan Terengganu yang sehingga kini, PAS meyakini ia dirampas dengan cara yang jahat dengan bantuan SPR ketika itu.

Gembira juga setelah debaran mempertahankan Kelantan, berakhir dengan izin Allah, PAS menguasai majoriti dua per tiga, tanpa kedua-dua negeri meninggal sebuah kerusi pun kepada musuh tegar terbaharunya, PAN. Tetapi duka di kebanyakan tempat selainnya. PAS terpukul agak teruk.

Kita dengan jelas dapat melihat pola pengundian dengan membahagikan kawasan kepada dua bahagian iaitu negeri-negeri yang dimenangi PH serta negeri-negeri pendukung PAS. Sokongan kepada PH sangat jelas dengan Johor yang dikatakan tempat lahirnya Umno, tumbang tanpa disangka-sangka.

Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor juga memberikan undi mereka kepada PH dengan mereka berjaya menubuhkan kerajaan. Cuma perayaan mereka terbantut di Perak dan Kedah kerana masih tergantung sehingga kini. Di Terengganu dan Kelantan, PAS jelas mendominasikan majoriti Dun. Dan Kedah juga sebenarnya tidak mengecewakan, hampir mengulangi kejayaan 2008, 16 kerusi dan sekarang 15 kerusi.

Bentuk pengundian ini memperjelaskan isu kos sara hidup, GST, 1MDB, kenaikan harga minyak yang dimainkan kesemua pembangkang, sama ada PAS dan PH mendapat tempat yang khusus di hati rakyat. Mereka merasa keperitannya, ditambah dengan keadaan ekonomi dunia semasa yang tidak baik, membantu lagi kempen pembangkang.

Semakin tambah meluat rakyat apabila melihat pemimpin BN yang seperti memperbodohkan rakyat dengan dakwaan-dakwaan songsang harga barang terkawal, menjual ayam dengan harga RM1 seekor, mengadakan apa yang kononnya didakwa sebagai jualan rakyat ketika hampir PRU, menambahkan lagi sebab rakyat mahu menjatuhkan mereka. Ini tuntas, sebabnya jelas.

Tetapi isu-isu lain yang khusus dimainkan oleh PAS seperti hasrat ingin memperkasakan Syariat Islam di Malaysia serta isu-isu keagamaan lain, tidak mendapat sokongan yang menyeluruh, termasuklah isu masalah siasatan rasuah terhadap BN dan PH. Ia tertumpu kepada tiga tanah kelahiran Ulama ini sahaja yang menerima isu agama.

Rakyat di negeri-negeri ini masih berkeyakinan dengan kesungguhan PAS bagi memartabatkan Islam di Malaysia ini. Oleh kerana itulah, walaupun PAN yang juga menjanjikan asas Islam di dalam kempennya, gagal mencuri banyak kerusi seperti yang mereka harapkan di sini. Namun Selangor paling bersedih.

Saya percaya ini kerana PAS Selangor tidak mempunyai bilangan pengundi teras yang cukup, di samping tindakan ahli BN sendiri yang berpaling tadah kepada PH, menghasilkan keputusan ini.

Jadi jelas, PAS masih diyakini rakyat dalam memperjuangkan Islam di Malaysia. PAS tetap sinonim dengan Islam. PAS tiada masalah dengan salah laku. Akan tetapi sokongan untuk PAS, tidak menyeluruh, hanya tertumpu kepada tempat-tempat khusus. Saya yakin PH kali ini menggunakan taktik yang sama yang pernah digunakan BN pada tahun 2004.

Mereka menyasarkan pemindahan pengundi secara sekata ke banyak tempat sasaran mereka. Mereka sudah bersedia dengan persempadanan semula yang mana tidak akan menjejaskan mereka. Mereka bekerja bertahun-tahun untuk ini, bersungguh-sungguh berkempen mengajak orang ramai menyertai mereka sambil memalitkan isu-isu kepada BN dan PAS.

Ditambah dengan perubahan undi oleh orang BN sendiri, mereka berjaya. Ahli dan penyokong PAS mesti juga melihat isu pengagihan pengundi ini sebagai salah satu strategi. Mereka mesti membantu PAS dalam hal ini. Tidak hanya terkumpul jumlah undi di dalam satu Dun atau Parlimen dan mendapat majoriti yang banyak, tetapi tetap menang satu kerusi sahaja.

Kita dipandu sistem ‘First past post’ iaitu kiraan kerusi parti mana yang sampai jumlah majoriti dahulu dan bukannya ‘Propotional representative’ yang mengira undi keseluruhan negara bagi kemenangan sesuatu parti. Ingat PRU lalu? Pakatan Rakyat memenangi 52 peratus undi popular, tetapi tetap kalah kerana kerusi yang dimenangi kurang daripada BN.

Ahli dan penyokong PAS jangan fobia dengan taktik ini. Ia adalah sah di sisi undang-undang asalkan kita mematuhi kehendak SPR. Ahli dan penyokong PAS mesti juga bekerja keras bagi memenangi hati rakyat terutama pengundi-pengundi baharu untuk menjadi pengundi tegar PAS.

Kita berkerja atas kepercayaan kita melakukan semua ini untuk Islam. Kita tidak kisah kalah, kerana kita pernah kalah banyak kali. Kita tidak peduli jika tidak menjadi kerajaan kerana kita biasa menjadi pembangkang. Tetapi kita hendaklah kalah dengan strategi-strategi yang telah kita lakukan dengan baik. Jadi kalah kita kalah bermaruah.

Sekarang perancangan PAS sudah bagus, tetapi perlukan lagi kerja keras dari ahli dan penyokong bagi mendaulatkan Islam di Malaysia yang tidak ada parti lain dan dipercayai rakyat selain PAS. Kita mesti pertahankan ini. Kita mesti mengambil tempat Umno bagi memujuk ahli-ahli mereka memberikan kepercayaan kepada PAS setelah Umno dahulu mengecewakan mereka dengan palitan dosa dan noda yang tidak terhitung. PAS harapan Melayu Islam menggantikan Umno dengan identiti yang sangat jauh lebih baik atas nama Islam, kerana PAS telah membuktikannya. Ayuh kita dekatkan diri dan yakinkan ahli Umno untuk menyokong PAS.

MOHD NASIR ABDULLAH 
Al-Khor, Qatar
10 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 10/5/2018 

MALAM tadi sekali lagi mencurah-curah di media sosial analisis PAS gagal mempertahankan Kelantan. Peliknya angka diberi bukan menggambarkan bilangan undi sebaliknya ditulis responden.

Maknanya ia bukan data dari bilik tempat mengundi, sebaliknya kajian rambang. Ditulisnya setiap Dun bermula di Pengkalan Kubor sehingga ke Nenggiri. Semuanya diberi gambaran PAS kalah.

Begitu juga bagi kerusi parlimen PAS tewas. Menariknya setiap statistik dikemukakan PAN berada di hadapan mengatasi jumlah responden BN.

Inikah yang dinamakan ‘war room’ atau ‘peperangan baru’ menuntut lebih stamina emosi. Ramai gundah apabila membaca laporan itu.

Pakcik dan makcik juga ditunjuk anak cucu data laporan terbabit. Mereka menjadi kelu seketika. Ini menggambar sayangnya mereka kepada kerajaan Islam Kelantan.

Namun ‘war room’ dari bilik sebelah tidak mampu bertahan lama. Akhirnya ranap begitu sahaja menjelang jam 12 malam tadi. Ketika itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan PAS menang 28 kerusi Dun.

Bilangan kerusi Dun Kelantan 45. Ini bermakna sudah melepasi simple majority. Ketika PAS di saat kritikal pada PRU 2004 hanya menang 24 kerusi Dun berbanding BN 22.

Dan selepas pilihan raya kecil diadakan kerusi PAS susut kepada 23 dan BN bertambah kepada 23. Namun sehingga jam 12 malam tadi kerusi PAS sudah 28 kerusi seperti disahkan SPR.

Bagaimanapun selepas mendapat keputusan keseluruhan di awal dinihari, meningkat pula sebanyak 9 lagi. Ia menjadikan jumlah keseluruhan 37 kerusi. Sedangkan Jentera Pilihan Raya PAS Kelantan sebelum penamaan calon membayangkan sasaran PAS menguasai 38 kerusi.

Ini bermakna hanya kurang satu kerusi untuk menepati sasaran. Hebat telahan jentera Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan yang diketuai Zulkifli Mamat.

Biar pun beliau kecundang di kerusi parlimen Machang, namun analisis dan jangkaannya hampir tepat.

PAS berjaya menambah lima lagi kerusi Dun berbanding PRU 13. Kerusi tersebut iaitu Dabong, Semerak, Pengkalan Kubor, Guchil dan Selising. Guchil pada PRU lepas diwakili PKR yang dibantu jentera pilihan raya PAS.

Keputusan pimpinan negeri meletak Yang Dipertua PAS Pasir Puteh dalam misi merampas Dun Selising juga berjaya. Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail menang dengan majoriti besar iaitu 3,120 undi.

Sedangkan menjelang pengumuman calon PAS, ada rombongan PAS Selising datang menemui Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob unjuk rasa.

Sertai Umno sokong PAS

Dan tahun lepas juga bekas penghulu di Selising mengumumkan menyertai Umno dengan menyerah borang kepada calon parlimen BN Pasir Puteh, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Penghulu terbabit memberi jaminan akan kembali kepada PAS sekiranya saya dicalonkan bertanding di Selising,” kata Ustaz Tuan Saripuddin.

Begitu juga kejayaan Tok Imam Ku Zaki merampas semula Dun Dabong. Setelah kubu itu ditinggalkan Ketua Umno Kuala Krai untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Krai, kerja Tok Imam menjadi lebih mudah.

Mungkin impian Dato’ Ramzi Abdul Rahman dilantik sebagai timbalan menteri ranap di tengah jalan. Beliau kecundang di tangan Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.

PAS juga mengukuhkan kedudukan di Tumpat apabila menguasai sepenuh kerusi parlimen dan empat Dun. Pengkalan Kubor yang berada dalam genggaman Umno sejak PRU 2004 kembali dikuasai PAS.

Kehadiran Ustaz Wan Ruslan Wan Hamat diterima masyarakat Pengkalan Kubor.

Isu yang membelit Ketua Umno Pasir Puteh, Dato’ Zawawi Othman juga memberi laluan kepada Wan Hassan Wan Ibrahim untuk kembali ke kerusi Dun Semerak.

Apa pun kesedihan paling hiba menimpa PAN. Calon Menteri Besar yang diimpikan pemimpin mereka tercicir di tengah jalan.

Ustaz Nik Omar yang dicadang Husam Musa seumpama ‘menjunjung reba’. Bukan sekadar Nik Omar gagal, Husam tertiarap di tangga parlimen Kota Bharu dan Dun Salor.

Biar pun PAN dan PKR cemerlang di pantai barat, namun di pantai timur tidak. Bagi mengubat gundah gelana Husam, eloklah Tun Dr Mahathir intai Naib Presiden PAN itu kerusi Speaker Parlimen nanti. - HARAKAHDAILY 10/5/2018

WALAUPUN bersungguh-sungguh benar pemimpin dan penyokong Islam dalam Pakatan Harapan (PH) menafikannya sebelum ini, ternyatalah bahawa keputusan PRU14 yang baru berlalu menyaksikan buat pertama kalinya kerajaan yang didominasi oleh golongan bukan Islam berjaya ditubuhkan di Malaysia walaupun penduduk Islam adalah majoriti di negara ini.

Berdasarkan keputusan rasmi yang dikeluarkan oleh SPR dan berdasarkan perkembangan semasa yang menunjukkan bahawa Ahli Parlimen Solidariti di P.180 – Keningau, iaitu Jeffrey Kitingan, akan bergabung dengan PH maka bilangan kerusi Parlimen bukan Islam di dalam kerajaan baru ini adalah 66 berbanding 58 kerusi Parlimen Islam.

66 kerusi Parlimen bukan Islam ini mengikut parti adalah terdiri daripada:

●    41 kerusi Parlimen bukan Islam milik DAP

●    20 kerusi Parlimen bukan Islam milik PKR

●    2 kerusi Parlimen bukan Islam milik Warisan 

●    2 kerusi Parlimen bukan Islam milik Bebas 

●    1 kerusi Parlimen bukan Islam milik Solidariti 

66 kerusi Parlimen bukan Islam ini mengikut negeri pula adalah terdiri daripada:

KEDAH: 2 (PKR 2)

P.009 – ALOR SETAR: Chan Ming Kai (PKR)
P.017 – PADANG SERAI: Karupaiya Mutusami (PKR)

PULAU PINANG: 8 (DAP 7, PKR 1)

P.043 – BAGAN                    : Lim Guan Eng (DAP)
P.045 – BUKIT MERTAJAM: Sim Chee Keong (DAP)
P.046 – BATU KAWAN        : Kasthuriraani A/P Patto (DAP)
P.048 – BUKIT BENDERA   : Wong Hon Wai (DAP)
P.049 – TANJONG               : Chow Kon Yeow (DAP)
P.050 – JELUTONG       : Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji (DAP)
P.051 – BUKIT GELUGOR: Ramkarpal Singh Karpal Singh (DAP)
P.052 – BAYAN BARU          : Sim Tze Tzin (PKR)

PERAK: 10 (DAP 7, PKR 3)

P.060 – TAIPING                  : Teh Kok Lim (DAP)
P.062 – SUNGAI SIPUT       : Kesavan Subramaniam (PKR)
P.064 – IPOH TIMOR           : Wong Kah Woh (DAP)
P.065 – IPOH BARAT      : M.Kulasegaran V.Murugeson (DAP)
P.066 – BATU GAJAH    : Sivakumar Varatharaju Naidu (DAP)
P.068 – BERUAS                   : Ngeh Koo Ham (DAP)
P.070 – KAMPAR                  : Su Keong Siong (DAP)
P.071 – GOPENG                   : Lee Boon Chye (PKR)
P.076 – TELUK INTAN          : Nga Kor Ming (DAP)
P.077 – TANJONG MALIM   : Chang Lih Kang (PKR)

PAHANG: 1 (DAP 1)

P.089 – BENTONG               : Wong Tack (DAP)

SELANGOR: 9 (PKR 5, DAP 4)

P.094 – HULU SELANGOR  : Leow Hsiad Hui (PKR)
P.097 – SELAYANG              : William Leong Jee Keen (PKR)
P.102 – BANGI                      : Ong Kian Ming (DAP)
P.103 – PUCHONG               : Gobind Singh Deo (DAP)
P.104 – SUBANG                  : Wong Chen (PKR)
P.106 – DAMANSARA         : Pua Kiam Wee (DAP)
P.107 – SUNGAI BULOH     : Sivarasa K.Rasiah (PKR)
P.110 – KLANG                 : Charles Anthony R.Santiago (DAP)
P.112 – KUALA LANGAT : Xavier Jayakumar Arulanandam (PKR)

WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR: 7 (DAP 5, PKR 1, Bebas 1)

P.114 – KEPONG                  : Lim Lip Eng (DAP)
P.115 – BATU              : Prabakaran M Parameswaran (Bebas – Kunci) 

P.116 – WANGSA MAJU    : Dr.Tan Yee Kew (PKR)
P.117 – SEGAMBUT            : Yeoh Tseow Suan (DAP)
P.120 – BUKIT BINTANG    : Fong Kui Lun (DAP)
P.122 – SEPUTEH                : Teresa Kok Suh Sim (DAP)
P.123 – CHERAS                  : Tan Kok Wai (DAP)

NEGERI SEMBILAN: 2 (DAP 2)

P.128 – SEREMBAN            : Loke Siew Fook (DAP)
P.130 – RASAH                    : Cha Kee Chin (DAP)

MELAKA: 1 (DAP 1)

P.138 – KOTA MELAKA      : Khoo Poay Tiong (DAP)

JOHOR: 7 (PKR 2, DAP 5)

P.140 – SEGAMAT            : Santhara Kumar Ramanaidu (PKR)
P.142 – LABIS                    : Pang Hok Liong (DAP)
P.145 – BAKRI                    : Yeo Bee Yin (DAP)
P.152 – KLUANG                : Wong Shu Qi (DAP)
P.158 – TEBRAU                 : Choong Shiau Yoon (PKR)
P.162 – ISKANDAR PUTERI: Lim Kit Siang (DAP)
P.163 – KULAI                      : Teo Nie Ching (DAP)

SABAH: 7 (DAP 3, Warisan 2, PKR 2, Solidariti 1)

P.172 – KOTA KINABALU   : Chan Foong Hin (DAP)
P.174 – PENAMPANG      : Ignatius Dorell Leiking (WARISAN)
P.179 – RANAU                    : Jonathan Bin Yasin (PKR)
P.180 – KENINGAU              : Jeffrey Kitingan (Solidariti)
P.181 – TENOM                   : Noorita Binti Sual (DAP)
P.185 – BATU SAPI             : Liew Vui Keong (Warisan)
P.186 – SANDAKAN          : Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh (DAP)
P.190 – TAWAU                    : Christina Liew Chin Jin (PKR)

SARAWAK: 11 (DAP 6, PKR 4, Bebas 1)

P.192 – MAS GADING         : Mordi Anak Bimol (DAP)
P.195 – BANDAR KUCHING: Kelvin Yii Lee Wuen (DAP)
P.196 – STAMPIN                 : Chong Chieng Jen (DAP)
P.198 – PUNCAK BORNEO  : Willie Anak Mongin (PKR)
P.205 – SARATOK                 : Ali Anak Biju (PKR)
P.208 – SARIKEI                    : Wong Ling Biu (DAP)
P.209 – JULAU                   : Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (Bebas – Kerusi)
P.211 – LANANG                 : Alice Lau Kiong Yieng (DAP)
P.212 – SIBU                         : Oscar Ling Chai Yew (DAP)
P.214 – SELANGAU             : Baru Bian (PKR)
P.219 – MIRI                         : Michael Teo Yu Keng (PKR)

58 kerusi Parlimen Islam ini mengikut parti adalah terdiri daripada:

   27 kerusi Parlimen Islam milik PKR

   13 kerusi Parlimen Islam milik PPBM

   11 kerusi Parlimen Islam milik PAN

   6 kerusi Parlimen Islam milik Warisan

   1 kerusi Parlimen Islam milik DAP

58 kerusi Parlimen Islam ini mengikut negeri pula adalah terdiri daripada:

PERLIS: 1 (PKR 1)

P.002 – KANGAR                 : Noor Amin Bin Ahmad (PKR)

KEDAH: 8 (PKR 4, PPBM 3, PAN 1)

P.004 – LANGKAWI              : Mahathir Mohamad (PPBM)
P.005 – JERLUN                    : Mukhriz Mahathir (PPBM)
P.006 – KUBANG PASU       : Amiruddin Hamzah (PPBM)
P.008 – POKOK SENA         : Mahfuz Omar (PAN)
P.010 – KUALA KEDAH       : Azman Ismail (PKR)
P.014 – MERBOK                  : Nor Azrina Surip (PKR)
P.015 – SUNGAI PETANI     : Johari Abdul (PKR)
P.018 – KULIM - BANDAR BAHARU: Saifuddin Nasution Ismail (PKR)

PULAU PINANG: 3 (PKR 3)

P.044 – PERMATANG PAUH: Nurul Izzah Anwar (PKR)
P.047 – NIBONG TEBAL     : Mansor Othman (PKR)
P.053 – BALIK PULAU   : Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PKR)

PERAK: 3 (PAN 2, PPBM 1)

P.057 – PARIT BUNTAR      : Mujahid Yusof (PAN)
P.063 – TAMBUN                : Ahmad Faizal Azumu (PPBM)
P.074 – LUMUT                    : Mohd Hatta Md Ramli (PAN)

PAHANG: 4 (PKR 2, DAP 1, PAN 1)

P.080 – RAUB                : Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DAP)
P.082 – INDERA MAHKOTA: Saifuddin Abdullah (PKR)
P.083 – KUANTAN                : Fuziah Salleh (PKR)
P.088 – TEMERLOH     : Mohd. Anuar Mohd Tahir (PAN)

SELANGOR: 11 (PKR 5, PAN 5, PPBM 1)

P.093 – SUNGAI BESAR      : Muslimin Yahaya (PPBM)
P.096 – KUALA SELANGOR: Dzulkefly Ahmad (PAN)
P.098 – GOMBAK                 : Mohamed Azmin Bin Ali (PKR)
P.099 – AMPANG                 : Zuraida Kamaruddin (PKR)
P.100 – PANDAN                  : Wan Azizah Wan Ismail (PKR)
P.101 – HULU LANGAT       : Hasanuddin Mohd Yunus (PAN)
P.105 – PETALING JAYA     : Maria Chin Abdullah (PKR)
P.108 – SHAH ALAM           : Khalid  Abd Samad (PAN)
P.109 – KAPAR                   : Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR)
P.111 – KOTA RAJA          : Mohamad Sabu (PAN)
P.113 – SEPANG                 : Mohamed Hanipa  Maidin (PAN)

WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR: 4 (PKR 3, PPBM 1)

P.118 – SETIAWANGSA    : Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR)
P.119 – TITIWANGSA        : Rina Mohd Harun (PPBM)
P.121 – LEMBAH PANTAI: Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PKR)
P.124 – BANDAR TUN RAZAK: Kamarudin Jaffar (PKR)

NEGERI SEMBILAN: 3 (PKR 1, PPBM 1, PAN 1)

P.129 – KUALA PILAH        : Eddin Syazlee Shith (PPBM)
P.132 – PORT DICKSON     : Danyal Balagopal Abdullah (PKR)
P.133 – TAMPIN                  : Hasan Bahrom (PAN)

MELAKA: 3 (PKR 2, PPBM 1)

P.135 – ALOR GAJAH        : Mohd Redzuan Md Yusof (PPBM)
P.136 – TANGGA BATU      : Rusnah Aluai (PKR)
P.137 – HANG TUAH JAYA: Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin (PKR)

JOHOR: 11 (PPBM 5, PKR 5, PAN 1)

P.141 – SEKIJANG              : Natrah Ismail (PKR)
P.143 – PAGOH                   : Mahiaddin Md Yasin (PPBM)
P.144 – LEDANG                  : Syed Ibrahim Syed Nor (PKR)
P.146 – MUAR                 : Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PPBM)
P.149 – SRI GADING          : Sharuddin Md Salleh (PPBM)
P.150 – BATU PAHAT        : Mohd Rashid Hasnon (PKR)
P.151 – SIMPANG RENGGAM: Maszlee Malik (PPBM)
P.159 – PASIR GUDANG      : Hassan Abdul Karim (PKR)
P.160 – JOHOR BAHRU  : Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PKR) 

P.161 – PULAI                       : Salahuddin Ayub (PAN)
P.165 – TANJUNG PIAI       : Md Farid Md Rafik (PPBM)

SABAH: 7 (Warisan 6, PKR 1)

P.169 – KOTA BELUD   : Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy (Warisan)
P.171 – SEPANGGAR            : Mohd Azis Jamman (Warisan)
P.173 – PUTATAN                 : Awang Husaini Sahari (PKR)
P.175 – PAPAR                       : Ahmad Hassan (Warisan)
P.188 – SILAM                       : Mohamaddin Ketapi (Warisan)
P.189 – SEMPORNA              : Mohd Shafie Apdal (Warisan)
P.191 – KALABAKAN            : Ma'mun Sulaiman (Warisan)

Sama-samalah kita tunggu dan lihat kebijaksanaan Perdana Menteri kerajaan baru ini, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad yang parti yang beliau ketuai, PPBM, hanya memenangi 13 kerusi daripada 124 kerusi yang dimenangi oleh gabungan PKR, DAP, PPBM, PAN, Warisan, Bebas dan Solidariti, di dalam mengemudi tanah air kita selepas ini.

Dan semoga keputusan PRU14 ini akan mengukuhkan lagi tekad umat Islam untuk melaksanakan seluruh tuntutan agama mereka selaras dengan Perkara 3 (1) yang meletakkan Islam sebagai “agama bagi Persekutuan” dan Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada tiap-tiap orang untuk “menganuti dan mengamalkan agamanya”.

Nota: Sehingga kini masih belum dapat dipastikan dengan jelas hala tuju Ahli Parlimen Bebas (Kunci) yang menang di kerusi P.203 – Lubok Antu, iaitu Jugah AK Muyang. - HARAKAHDAILY 10/5/2018

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat yang mengundi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk mengekalkan Kelantan dan menawan Terengganu.

Beliau yang memenangi kerusi Parlimen Marang dalam PRU14 mengucapkan syukur di atas selesainya tanggungjawab mengundi oleh rakyat khususnya bagi warga Terengganu.

Beliau turut meminta ahli PAS supaya bertenang dan menunggu arahan parti dari semasa ke semasa.

PAS memenangi 18 kerusi Parlimen pada PRU14 dan 90 kerusi Dun menjadikan ianya sebagai keputusan terbaik PAS tanpa gabungan dengan Dap dan PKR.

Di Kelantan, PAS berjaya menambah kerusi Dun kepada 37 kerusi berbanding 32 kerusi pada PRU13 manakala di Terengganu, PAS berjaya memenangi 22 kerusi daripada 32 kerusi.

Majlis penerimaan watikah dan angkat sumpah Menteri Besar untuk Negeri Terengganu dijadualkan pada 9 malam ini di Istana Syarqiyyah. – HARAKAHDAILY 10/5/2018

TUAN Guru Presiden PAS masih bersedia datang ke Kemaman pada hari terakhir kempen, Selasa 8 Mei 2018 tempohhari walaupun barangkali sudah terlalu penat mengelilingi Malaysia dalam siri kempen PRU14. "Santai bersama Ayah Chik' itu dibuat di Banggol Square, Chukai dengan kehadiran angka ribuan orang.

Dun tumpuan di Kemaman adalah Kemasik dan Chukai. Dalam kepala saya sendiri secara peribadi, Dun Kijal dan Air Putih agak sukar dimenangi, apatah lagi Parlimen Kemaman yang diwakili oleh Menteri Pertanian.

Pukul 4.50 petang hari Rabu, saya melihat senarai keluar mengundi yang rendah di bangsal panas, juga dengan majoriti yang lebih rendah dari PRU13 dahulu. Macam mana ni?

Alhamdulillah, kita diberi kemenangan luar jangka di Kemaman sehingga dapat menambah majoriti di Dun Chukai, menang buat kali pertama di Kemasik dalam sejarah pilihan raya, mengambil kembali Dun Air Putih yang pernah dimenangi pada tahun 1999, mengurangkan majoriti di Dun Kijal, dan yang menariknya PAS mengalahkan seorang menteri di peringkat Parlimen, selepas 6 penggal PAS tidak bertanding di peringkat Parlimen.

Saya mengucapkan tahniah kepada semua YB baharu kita. Ingatlah bahawa semua ini adalah amanah yang perlu dipikul dengan sebaik mungkin untuk manfaat rakyat. Tiada kepentingan peribadi, tiada bentuk kezaliman dan tiada perkara bercanggah dengan syarak.

Saya juga mengajak kepimpinan PAS Kemaman di semua peringkat untuk membantu YB-YB PAS kita supaya yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Alhamdulillah, sekali lagi atas nikmat ini dan saya anggap kemenangan di Kemaman ini adalah hadiah buat Tuan Guru yang disayangi. –  HARAKAHDAILY 10/5/2018

Penulis adalah Timbalan YDP PAS Kemaman dan AJK Dewan Ulamak PAS Terengganu.

PRU14: Umno sudah ditolak, PAS makin diterima, PH disokong Cina

“Katakanlah, wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki, dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan, Sesungguhnya Engkau Maha berkuasa atas segala sesuatu” (Ali Imran: 26)

Pemerhatian awal terhadap keputusan pengundian dan pola sokongan rakyat dalam PRU14 menunjukkan beberapa indikasi awal seperti berikut:

1. Sokongan kepada Umno merosot - Undi yang diterima UMNO merosot di kawasan tradisi BN termasuk di kerusi Felda dan negeri kubu kuat Umno seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan; pengundi muda jelas menolak UMNO/BN (tsunami anak muda); penolakan pengundi Cina terhadap Umno memberi tempias kekalahan teruk parti komponen BN, khususnya MCA dan MIC yang kecundang di semua kerusi parlimen yang ditandingi.

2. Sokongan kepada PAS melonjak di negeri utara dan pantai timur (Tsunami Melayu) - PAS berjaya mengekalkan kerajaan negeri Kelantan dan dikurniakan kemenangan besar di Terengganu. PAS mendapat lonjakan undi di Kedah dan Pahang, tetapi merosot teruk di Selangor dan negeri selatan semenanjung.

Ternyata, undi Melayu telah beralih daripada Umno kepada PAS di kawasan majoriti Melayu, disokong oleh segmen pengundi muda dan pengundi luar, termasuk berlaku lonjakan sokongan PAS di kerusi Felda yang menjadi bukti kejayaan BPMS. Namun fitnah dan persepsi ‘PAS terima duit Umno’ dan ‘PAS akan bergabung dengan Umno’ sangat kuat dan tidak berjaya dipatahkan sehingga membentuk penolakan di kalangan Melayu bandar terhadap PAS (dianggarkan >20%), mengakibatkan PAS tidak memperolehi kemenangan di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan negeri selatan semenanjung, yang sangat kuat penolakan terhadap Umno.

3. PH disokong Cina dan Melayu bandar – Penolakan pengundi Cina terhadap Umno/BN adalah bersifat total (>95%), mengakibatkan MIC dan MCA kalah teruk di semua kerusi yang ditandingi. Tsunami Cina kekal di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor, serta turut membadai di negeri selatan semenanjung sehingga PH berjaya membentuk kerajaan baru di negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Secara kasar, dianggarkan Ahli Parlimen beragama bukan-Islam di kalangan Pakatan berjumlah 59 orang daripada 113 kerusi Parlimen yang dimenangi (52%), menjadikan Pakatan didominasi Ahli Parlimen bukan beragama Islam.

4. Kesukaran membentuk kerajaan Persekutuan dan Negeri - Proses pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri, di samping pelantikan Perdana Menteri dan Menteri Besar akan menjadi sangat rumit bagi pihak Istana, untuk mempertimbangkan suara majoriti rakyat dan aspek ketuanan Melayu dan kedaulatan agama Islam.

Semua pihak diseru agar bertenang serta mematuhi segala undang-undang dan menjaga keamanan dalam negara, namun kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan (expect the unexpected) dalam kerangka demokrasi berperlembagaan, khususnya proses perundingan di antara pihak BN dan PH untuk membentuk kerajaan.

5. PAS berpolitik secara matang sejak Merdeka – PAS mempunyai rekod menang dan kalah dalam pilihanraya sejak PRU pertama hingga PRU ke-14. PAS mempunyai rekod pernah bersendirian, berpengalaman membentuk kerajaan negeri, menjadi pembangkang di Parlimen dan Dun serta pernah membentuk kerajaan bersama pihak lain. Rekod menunjukkan PAS sentiasa menerima dan menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat mengikut saluran demokrasi yang dibenarkan.

Keputusan PRU14 menyerlahkan kekuatan PAS yang tersendiri dan meletakkan PAS sebagai tonggak utama untuk menjaga ketuanan Melayu dan kedaulatan agama Islam dalam negara. Di samping itu, PRU14 bakal membuka dimensi baru kepada PAS untuk menjadi teras survival politik Melayu-Islam, di samping menjadi wadah alternatif kepada kelompok pertengahan di kalangan penjawat awam, NGO, tokoh masyarakat dan anak muda, seterusnya memberi nafas baru kepada PAS untuk melangkah menuju PRU15 dengan penuh bersedia, di mana PRU15 kelak bakal dicorakkan oleh pola pengundian Melayu dan anak muda yang menilai prestasi dan sikap sebenar Pakatan terhadap negara, bangsa dan agama.

Bersama kita doakan yang terbaik untuk Malaysia.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi Pemuda PAS
10 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 10/5/2018

More Articles ...