21
Fri, Jun
53 Artikel Baru

"JIKA Allah mengurniakan kemenangan kepada kamu maka tiada siapa lagi yang dapat mengalahkan kamu, dan jika Allah menjatuhkan kamu maka siapa lagi yang dapat memenangkan kamu selepas itu. Kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman."

(ali-Imran: 160)

Nak banding duit kita dengan lawan kita, duit yang kita ada hanya celah gigi lawan kita. Nak banding jentera kita dengan jentera lawan kita, mereka jauh lebih lengkap. Nak banding media kita dengan mereka, lawan kita ada media yang menguasai segenap sudut pemikiran masyarakat.

Kita berusaha sehabisnya untuk memenangkan perjuangan Islam. Lawan kita juga tak tidur malam sebab takut kalah. Kita letak matlamat kemenangan di dunia dan kemenangan akhirat. Lawan kita gementar takut kalah lalu hilang segalanya. Siapa yang lebih tertekan sebenarnya?

Kalau kita merasa sakit, maka mereka juga merasa sakit. Tapi kita berharap kepada Allah apa yang tidak mereka harapkan.

Kita berusaha dan bekerja dengan segala strategi. Hakikatnya yang mengerakkan hati-hati pengundi untuk menyokong kita ialah Allah. Akhirnya kepada Allah Rabbul Jalil kita berserah segalanya. Mengadu segala kekurangan dan kelemahan kita.

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 22/4/2018

SUSULAN pembunuhan Dr. Fadi M. Albatsh (imam Palestin yang mana beliau juga adalah pensyarah Universiti Kuala Lumpur) ketika dalam perjalanan menunaikan solat subuh pagi semalam, PAS mengeluarkan gesaan supaya semua kawalan keselamatan, khasnya di pintu masuk negara mestilah diperketatkan.

Jenayah senjata api di Malaysia merupakan sesuatu yang semakin membarah, namun, apa yang lebih parah ketika ini adalah mengenai tahap keselamatan di pintu masuk negara mahupun sudut-sudut sempadan negara yang lain.

Februari tahun lalu, negara digemparkan dengan kematian abang ipar Presiden Korea Utara di KLIA. Hari ini pula dikejutkan dengan kematian imam Palestin yang ditembak 10 das tembakan di hadapan kondo kediaman beliau.

4PAS percaya tindakan pantas dan profesional pihak berkuasa PDRM dapat menjalankan siasatan terperinci terhadap apa yang berlaku. Namun, kawalan keselamatan perlu diperketatkan memandangkan pelbagai jenayah-jenayah berprofil tinggi yang semakin galak berlaku di negara ini.

Gagal meningkatkan kawalan keselamatan negara kelak menyebabkan negara kita terancam dan lebih terdedah kepada berleluasanya keganasan bersenjata malah sekali gus menjadikan negara kita zon yang tidak selamat.

6Sementelah jika negara kita menjadi sasaran ejen atau organisasi ganas antarabangsa yang mungkin mensasarkan tokoh-tokoh Islam tertentu yang berada dalam negara kita.

Jika negara kita terancam keselamatannya, bukan sahaja masyarakat berada dalam ketakutan, bahkan pasaran ekonomi negara terencat dan juga jenayah makin subur. Tentu saja fenomena ini tidak baik untuk masa depan negara dan pembinaan tamadun yang sejahtera.

Kita tidak mahu kes seumpama ini berulang lagi dalam negara tercinta ini. Jadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi yang selamat dan aman buat semua.

“Sejahtera Bersama Islam”

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 22/4/2018

SESIAPA yang pernah membaca buku Dr Abdul Aziz Bari bertajuk “Perlembagaan Malaysia: Teori dan Praktis” terbitan 2008 serta membandingkannya dengan pelbagai tindakan dan kenyataan Dr Abdul Aziz Bari sejak menyertai DAP akan nampak dengan jelas betapa Dr Abdul Aziz Bari kini sudah terlalu jauh terpesong dari Dr Abdul Aziz Bari yang dulu.

Dr Abdul Aziz Bari yang dulu menyebut di dalam buku beliau betapa “negara ini tidak Sekular dan tidak pernah diSekularkan” (muka surat 306), betapa “tidak kedapatan walau sepatah pun kalimah Sekular atau Sekularisme di dalam Perlembagaan” (muka surat 295), betapa “apabila perlembagaan menaikkan kedudukan Islam Perlembagaan tidak boleh dikatakan sebagai Sekular, dan kalau kita melihat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ciri yang kononnya Sekular tadi makin luntur atau hilang terus” (muka surat 296).

Bagaimanapun, Dr Abdul Aziz Bari yang kini sudah menyertai DAP di mana sebagai ahli DAP yang setia beliau sudah akur sepenuhnya dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan DAP yang menyebut bahawa “Perlembagaan Merdeka merupakan satu dokumen Sekular” dan kini turut sama berjuang bersama-sama para pemimpin DAP lain untuk mencapai matlamat yang dinyatakan oleh Perlembagaan DAP iaitu untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja Sekular yang asal”.

Dr Abdul Aziz Bari yang dulu menyebut di dalam buku beliau betapa masalah murtad “boleh menggugat kestabilan dan keselamatan negara kerana gejala murtad akan mengelirukan dan merubah definisi Melayu di bawah perlembagaan” (muka surat 348), betapa “murtad tidak termasuk di dalam ruang lingkup Perkara 11 kerana murtad itu bukan sejenis agama” manakala “orang Ateis tidak mempunyai hak di bawah perlembagaan kita” (muka surat 330), dan betapa “sekiranya mahkamah membenarkan murtad maka ia secara tidak langsung telah menyebabkan struktur perlembagaan ini tunggang-langgang” (muka surat 333).

Bagaimanapun, Dr Abdul Aziz Bari yang kini sudah menyertai DAP di mana sebagai ahli DAP yang setia beliau sudah akur sepenuhnya dengan pendirian para pemimpin DAP lain mahupun pendirian para pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain khususnya PAN serta senyap tidak terkata bila rakan-rakan beliau seperti Tony Pua dan Mohamad Hanipa Maidin melaungkan bahawa murtad adalah hak asasi yang dilindungi oleh Perlembagaan dan bahawa orang Ateis mempunyai hak di bawah perlembagaan kita.

Dr Abdul Aziz Bari yang dulu menyebut di dalam buku beliau betapa “dalam keadaan Perlembagaan sudah agak baik untuk mereka, umat Islam boleh membentuk Kerajaan sendiri” (muka surat 309) dan betapa “umat Islam boleh memerintah negara ini sendiri tanpa perlu bergantung kepada sokongan orang lain” di mana “umat Islam hanya memerlukan 112 kerusi dari keseluruhan jumlah 222 kerusi di Dewan Rakyat” (muka surat 360) dengan Umno dan PAS perlu bergabung untuk membentuk kerajaan umat Islam (muka surat 310 dan 360).

Bagaimanapun, Dr Abdul Aziz Bari yang kini sudah menyertai DAP di mana sebagai ahli DAP yang setia beliau sudah dinamakan dan mula melakukan gerak kerja sebagai calon DAP bagi kerusi N.26 Tebing Tinggi, Perak, bersama golongan bukan Islam di dalam DAP dan di dalam PKR yang jika PH yang parti mereka anggotai menang dalam PRU 14 maka PH akan membentuk Kerajaan sendiri yang bukan berbentuk “kerajaan umat Islam” tetapi kerajaan dominasi bukan Islam, baik di Ipoh mahupun di Putrajaya. Semoga Allah memberikan kita petunjuk. - HARAKAHDAILY 21/4/2018

ANTARA yang golongan Assabiqun boleh buat untuk membantu kemenangan PAS dalam PRU14 ini ialah mengajak anak buahnya bermunajat setiap malam hingga malam membilang undi, moga-moga Allah buka pintu kemenangan kepada PAS.

subky 1Justeru, kebanyakannya uzur kerana berusia 60 tahun ke atas, ada yang kurang daya/tenaga, ada sakit lutut, lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, kurang daya ingatan dan lain-lain, maka tidak dapat cergas seperti muda-muda dulu.

Tetapi masih boleh menyumbang mengikut keupayaan masing-masing iaitu bermunajat setiap malam. Selain berdoa minta kemenangan setiap solat fardu dan sunat boleh lakukan solat hajat secara sendiri atau berjamaah.

Seeloknya ajak dan pesan kepada semua anak buah, kaum kerabat terdekat dan sekalian aktivis dan penyokong parti. Pada warga Assabiqun sekalian aktivis dan penyokong parti adalah anak buahnya. Nasihatnya sebagai orang tua, banyak jasa dan pengalaman selalunya didengar dan dihormati.

Bagi aktivis yang sibuk dan banyak tugas, boleh adakan solat hajat ringkas, tapi bila ada kelapangan tunaikanlah sepanjang masa yang ada.

Dewan Ulamak telah mengeluarkan satu buku Munajat Pilihan Raya, Himpunan dan Zikir sebagai panduan kepada semua dan merayu supaya setiap ahli dan penyokong PAS menunaikannya setiap malam.

Dianjurkannya bermula dengan membaca al-Fatihah dan Yasin, diikuti dengan empat rakaat solat hajat dua salam. Rakaat pertama selepas Fatihah diiring dengan 10 kali surah al-Ikhlas. Rakaat kedua 20 kali, rakaat ketiga 30 kali dan keempat 40 kali. Jumlahnya 100 kali. Kemudian berdoa nyatakan hajatnya iaitu minta sekalian calon PAS dan penyokongnya dimenangkan.

Orang tua cakapnya masin, doanya makbul, munajatnya didengar Allah. Bagi anak buahnya yang mendengar pesan orang tua amat disayangi Allah dan disediakan pahala yang banyak.

Dalam setiap doa minta tamatkan parti/kerajaan yang mengabaikan tuntutan Allah, gantikan ia dengan kerajaan Islam pimpinan PAS. Moga-moga dengan izin dan syafaat-Nya PAS dapat membentuk kerajaan yang adil, dapat memberi kesejahteraan kepda semua. Amin! – HARAKAHDAILY 21/4/2018

Penulis ialah Pengerusi Assabiqun Pusat.

MONSUN perubahan melanda Terengganu 

Angin seruan ke arah perubahan bertiup kencang ke seluruh negara. Kemuakan rakyat terhadap BN semakin kuat terasa. Tekanan hidup pasca GST membuatkan rakyat terutama golongan bawahan menuntut perubahan pentadbiran negara.

Angin penolakan yang melanda ini tidak mengecualikan Negeri Terengganu. Selepas satu persatu tragedi runtuh, negeri ini diejek sebagai Darul Runtuh. Projek-projek terbengkalai tak dapat ditutup, bangkai gajah busuk mencacatkan keindahan landskap negeri tumpuan pelancong ini. Pengangguran, harga barang termahal di Malaysia, jenayah, dadah, semua itu menjadi arang yang menconteng wajah negeri tercinta ini. Ditambah lagi dengan bas Amficoach rosak, stadium runtuh dan Taman Ilmu Besut menjadi 'mercu tanda kecemerlangan' BN menggelapkan kekayaan negeri.

BN cuba bertahan dengan slogan 'Terengganu Molek Doh', namun dibalas sinis oleh rakyat dengan laungan 'Lok Koho Punoh!'.

Manifesto PAS menawan hati

Rakyat mula tertarik dengan tawaran PAS Terengganu melalui manifesto yang ditawarkan. Air percuma, lot rumah kediaman untuk setiap isi rumah, wad kelas tiga percuma dan 20 000 peluang pekerjaan adalah antara tawaran yang dilihat mampu mengurangkan tekanan hidup rakyat Terengganu yang rata-ratanya berpendapatan rendah.

Namun satu persoalan yang bermain di minda sesetengah rakyat; mampukah PAS merealisasikan manifestonya? Mampukah PAS mentadbir negeri ini dengan kepakaran mereka yang ada?

Sejarah 1999 menjadi bukti 

Soalan ini sepatutnya sudah terjawab dengan melihat sejarah bagaimana PAS Terengganu menunaikan janji pilihan raya sewaktu memerintah 1999-2004 dahulu. PAS dengan berani mengisytiharkan bahawa hari ini menang, esok tol dihapuskan. Dan ianya benar-benar dihapuskan!

Bukan itu sahaja. Umno meninggalkan kerajaan negeri dengan beban hutang mencecah RM 1 billion. Namun PAS bukan sahaja berjaya menyelesaikan segala hutang tersebut, tetapi berjaya juga menyelamatkan beberapa buah GLC negeri yang hampir gulung tikar seperti TDM. Atas jasa PAS itu, TDM hari ini kembali menjadi salah satu GLC yang banyak menyumbang kepada perolehan negeri.

PITAS tunjang manifesto 

Untuk PRU14 ini, PAS jauh lebih bersedia daripada itu. Mungkin ramai yang tidak mengetahui, PAS memiliki pasukan pakar anak jati Negeri Terengganu yang telah membangunkan sebuah model polisi dan pentadbiran negeri jangka masa panjang yang dinamakan sebagai Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS). Konsepnya menyamai dokumen WINS2051 yang dilancarkan akhir tahun lepas di peringkat PAS Pusat.

PITAS mensasarkan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang tahun 2030. Untuk jangka masa pendek iaitu sepenggal pemerintahan (4-5 tahun), pasukan penyelidik PITAS telah merangka pelan penjanaan pendapatan kerajaan negeri bagi menjayakan kesemua Manifesto PAS selain meneroka manfaat-manfaat baharu yang boleh ditawarkan untuk rakyat. Percaya atau tidak, kerajaan negeri sangat berpotensi untuk menjana pendapatan baharu negeri sehingga mencecah RM 1 billion!

Antara sumber besar Terengganu yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh BN hari ini adalah sektor pelancongan, pertanian dan hasil galian selain petroleum. Secara faktanya, Terengganu sangat kaya dengan berbagai hasil bumi dan tarikan alam, sesuai dengan kata-kata "Negeri Cantik Budaya Menarik", malahan jauh lebih baik dari kebanyakan negeri-negeri lain di Malaysia. Malangnya gagal dimanfaatkan secara optimum bagi menjana pendapatan negeri untuk kesenangan rakyat.

Administratif berdedikasi, tapi politikus korupsi 

Isunya mungkin sama di peringkat Kerajaan Pusat. Di peringkat Administratif, Kerajaan Negeri memiliki pasukan pentadbir yang sangat cekap dan berdedikasi. Malangnya sikap ahli politik yang berada pada badan eksekutif mengganggu profesionaliti pegawai awam. Politikus ini kebanyakannya hanya mentadbir negeri untuk memenuhkan kantung peribadi dan kroni, sehingga membakulsampahkan visi dan idea bernas pegawai kerajaan yang komited dengan tugas.

PAS Terengganu menghargai golongan Administratif (TCS) yang benar-benar mahu melihat negeri tercinta ini maju dan membangun. Sekiranya diberi peluang mentadbir, PAS tidak sesekali akan memecat kakitangan kerajaan negeri yang ada. Bahkan mereka akan diberi peluang untuk mencurah idea, komentar dan partisipasi dalam merealisasikan Wawasan PITAS. Tidak kiralah mereka penyokong PAS atau tidak, asalkan mereka bersikap profesional dalam tugasan yang tidak mencampur aduk pengaruh politik dalam pentadbiran.

PITAS milik rakyat Terengganu 

PITAS merupakan dokumen strategik pembangunan negeri. Justeru ia tidak sesuai dipamerkan secara umum kepada orang awam. Walau bagaimanapun, PAS terbuka untuk berkongsi maklumat lanjut mengenai PITAS kepada golongan profesional, korporat, mahupun kumpulan kakitangan awam dalam diskusi yang khusus.

PAS juga bersikap terbuka dalam menerima cadangan dan komentar berhubung PITAS, dan akan terus memperkasakannya dari semasa ke semasa berdasarkan input yang diterima. Sekiranya berminat, hubungi sahaja mana-mana pimpinan PAS peringkat negeri dan ianya akan diatur.

Ke Arah Terengganu Maju, Berkat Dan Sejahtera

5 Syaaban 1439
21 April 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 21/4/2018

 

MARANG: PAS mahu memperkenalkan demokrasi yang tenang dan tidak menimbulkan ketegangan serta kekacauan sepertimana berlaku di negara Arab.

Justeru, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS memperkenalkan suatu gagasan yang ditunjukkan oleh Islam.

Menurutnya, parti-parti politik boleh berbeza pendapat, tetapi usah sampai berlaku perbalahan dan perkelahian sesama sendiri.

"Kita memperkenalkan gagasan yang ditunjukkan oleh Islam iaitu taawun. Kerjasama dalam perkara yang baik dan tidak kerjasama dalam perkara yang tidak baik.

"Ini menimbulkan demokrasi yang tenang dan tidak menimbulkan ketegangan. Kita tidak mahu perbezaan pendapat menimbulkan kekacauan dalam negara.

"Cukuplah apa yang berlaku di negara Arab. Kita (PAS) tidak mahu berlaku ketegangan hingga menimbulkan campur tangan asing. Biarlah kita boleh berbeza pendapat tetapi jangan berbalah, berkelahi.

"Ini pendekatan yang kita (PAS) hendak bawa kepada rakyat," ujarnya selepas majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU14 di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di sini kelmarin.

Sehubungan itu katanya, sasaran PAS bertanding 160 kerusi Parlimen kerana parti itu mempunyai jentera pilihan raya di semua peringkat Cawangan dan Kawasan.

Adapun kata Dato' Seri Abdul Hadi, parti-parti lain yang pernah bergabung dengan PAS sebelum ini banyak bergantung kepada jentera partinya.

"Kita (PAS) mempunyai 196 kawasan Parlimen di seluruh negara. Kita bertanding 160 parlimen dan kita bertanding di tempat yang kita ada Kawasan, kita ada Cawangan, kita ada jentera parti.

"Adapun parti-parti lain ada yang tidak ada cawangan. Pengalaman kita (PAS) dalam kerjasama dengan pihak lain termasuk Parti Melayu Semangat 46, Parti KeADILan Rakyat (PKR) dahulu mereka menggunakan jentera parti kita. Mereka menang pun dengan jentera pilihan raya kita.

"Apa yang menarik, sudah tentu akan ada undi protes daripada Umno, yang tidak puas hati. Ini (sokongan) boleh datang kepada kita. Ini bukan sahaja kepada orang Islam juga mereka yang bukan Islam," jelasnya.

Pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Husain Awang mengumumkan 40 kerusi terdiri dari lapan Parlimen dan 32 Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini. - HARAKAHDAILY 21/4/2018

PARTI Amanah Negara (PAN) sememangnya sebuah parti yang tidak menyumbang kepada pembangunan pendidikan politik (political education) yang sihat, tetapi hidup bergelumang dengan politik fitnah dengan memberi persepsi buruk kepada parti lawan.

Jika Dato Mahfuz Omar yang bergelumang dengan pendekatan itu mungkin boleh diterima kerana sememangnya itulah modal politik beliau. Akan tetapi, sekiranya dua orang pimpinan PAN yang mempunyai ijazah PhD dalam bidang Sains Politik turut bergelumang dengan politik fitnah, ia sememangnya menyedihkan.

Seperti yang telah saya jelaskan dalam kenyataan sebelum ini, kaedah PAS memperolehi dana untuk membiayai kempen PRU melalui pendanaan awam (crowdfunding), merupakan satu kaedah yang paling berintegriti.

Melalui kaedah itu, PAS tidak terikat dengan apa-apa kepentingan penyumbang dana dan kemasukan sumbangan dana ke akaun umum PAS adalah telus dan boleh disemak oleh khalayak umum. Kebanyakan parti politik memilih cara yang tidak bermoral dalam memperolehi dana politik, iaitu sumbangan melalui proksi dan penyumbangnya mempunyai kepentingan.

Sebelum ini, banyak parti-parti yang terlibat dengan pilihan raya di Malaysia mendapat sumbangan dengan cara yang tidak berintegriti. Sumbangan yang diterima sama ada dimasukkan ke akaun individu atau akaun proksi untuk mengelakkan disemak oleh khalayak umum. Dengan kaedah ini mereka boleh memperolehi sumbangan dari tauke-tauke berkepentingan, industri haram seperti kongsi gelap dan pihak-pihak asing seumpama Zionist serta Evangelis. Hanya PAS yang menolak kaedah seperti ini.

Seperti yang ditegaskan oleh Setiausaha Agung PAS baru-baru ini, PAS sangat tegas untuk tidak menerima sumbangan yang haram dan sumbangan yang bersifat sogokan (penyumbang mempunyai kepentingan sebagai balasan). Dengan sebab itu sejak tahun 1951, kaedah pengumpulan dana PAS adalah telus iaitu melalui pendanaan awam dan di setiap Mesyuarat Bulanan PAS Pusat serta Muktamar Tahunan PAS kemasukan sumbangan ini akan diaudit. Oleh sebab itu, bila kerajaan berhasrat menggubal akta berkaitan dana dan perbelanjaan politik, PAS yang paling awal mengalu-alukan.

Hari ini timbul semula tentang DAP mendapat manfaat politik hasil sumbangan RM 50 juta daripada seorang tauke bernama Koon Yew Yin. Tauke yang sama pernah memberi sumbangan kepada PAN Perak sebanyak RM 500 ribu, dan dia berjanji akan memberi 10 kali ganda lagi sumbangan untuk PAN Perak supaya berkerja keras menawan Perak.

Sekiranya sumbangan 10 kali ganda itu diperolehi sekarang bermakna PAN Perak sahaja memperolehi sumbangan RM 5 juta. Apa motif tauke ini memberi sumbangan kepada PAN Perak? Dato Mahfuz sebagai Naib Presiden PAN sepatutnya menjawab perkara ini.

DR MOHD ZUHDI MARZUKI  
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS - HARAKAHDAILY 20/4/2018

More Articles ...