PERNAH saya berbincang dengan Ketua Penolong Pengarah Farmasi Bahagian Penguatkuasaan berkait dengan ramuan ubat tradisional. Adakah perlu didaftarkan atau tidak. Jawab beliau, apa sahaja ramuan yang mencampurkan bahan-bahan bagi tujuan rawatan, ubatan, atau seumpamanya perlu didaftarkan. Hatta campuran telur dengan madu sekalipun. Jika untuk makan atau kegunaan sendiri, tiada masalah. Tetapi jika dijual, diedarkan walaupun free bagi perawatan, perlu disahihkan dahulu keselamatannya.

Encik Mohd Dziehan Mustapa, seorang ahli farmasi KKM juga pernah menulis isu yang sama. Berikut saya titipkan tulisan beliau.

"Ada orang cakap tak perlu masuk kilang kalau nak buat produk...
"Majun ini masak cara tradisional, tidak perlu masuk kilang. Cara masak seperti kacau dodol."
Betul ke kenyataan ini?

Jawapan:
Salah kenyataan ini. Semua produk ubat termasuk ubat tradisional, ubat am, suplimen dan kosmetik perlu dikilangkan di premis yang mempunyai status GMP/APB
GMP: Good Manufacturing Practice
APB: Amalan Pengilang Baik (BM)

Mengapa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia menguatkuasakan peraturan perlu dikilangkan di kilang yang ada status GMP ini?
1. Keperluan seperti dalam Peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984 (Control of Drug & Cosmetic Regulation 1984)
2. Memastikan produk yang dikeluarkan itu berkualiti dan bersih.

Bukan itu sahaja, pihak JAKIM kalau nak bagi pensijilan "Halal Jakim" bagi produk ubat tradisional, suplimen dan kosmetik, salah satu keperluan yang disemak adalah perlu berdaftar dengan KKM. Dalam erti kata lain perlu dikilangkan di kilang berstatus GMP.
Sesuatu yang HALAL itu perlu juga dijamin "BERSIH & SUCI"

Bersama-sama posting saya ini saya sertakan contoh gambar-gambar keadaan kilang membuat produk ubat yang tidak berstatus GMP untuk netizen nilaikan sendiri.

Masak kat rumah untuk buat majun, hmmmm...entahlah. speechless, tak tahu nak cakap apa lagi dengan pengusaha produk di Malaysia.

Wahai masyarakat Malaysia, KKM buat semua peraturan ini bertujuan menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat dalam negara ini. KKM bukan sebuah kementerian yang ditubuhkan untuk mencari sumber kewangan bagi kerajaan sepert LHDN atau KASTAM.

Saya seru agar para netizen semua bersama-sama KKM untuk menolak produk-produk yang diusahakan oleh pengusaha yang tak ikut peraturan dan tidak beretika ini.

Laporkan sebarang aduan berkaitan ubat-ubatan termasuk ubat tradisional, suplimen dan kosmetik yang melanggar peraturan, mencurigakan dan diiklankan dengan tuntutan yang melampau di saluran berikut:
http://moh.spab.gov.my/eApps/system/index.do

Sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan pula, boleh hubungi Pusat Panggil Farmasi Kebangsaan di talian 1 800 88 6722 (Isnin-Jumaat 8 am-5 pm).

Lebih menyedihkan juga jika pengedar makjun rahsia itu terdiri dari orang yang berpelajaran tinggi. Adakah mereka tidak menilai tahap kebersihan, tahap keberkesaan dan keselamatan sesuatu produk? Saya dapat maklumat doktor pun terlibat dalam pengedaran majun jenis rahsia resepinya ini. "I cannot brain this!" Ke mana perginya ilmu asas pembuktian (evidence based medicine) dalam kaedah berubat? Adakah dek kerana masuk fulus mereka lupakan ilmu asas ini?

Insaflah.

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Fb.com/drsuhazeli
2.9.2017
Rabak, Sudan

makjun

makjun1

PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga konsul kehormat Malaysia ke Republik Madagascar, Allahyarham Houssenaly Zahid Raza.

PAS mengharapkan satu siasatan dapat dijalankan secepat mungkin untuk menyiasat punca kematiannya selepas timbulnya dakwaan bahawa beliau telah dibunuh sebelum sempat menyerahkan penemuan serpihan pesawat MH370 kepada pihak berkuasa Malaysia.

Kerajaan Malaysia perlu memburu setiap bukti terhadap MH370 agar misteri ini dapat dirungkai dan memberikan satu penutupan kepada semua keluarga mangsa yang terlibat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
3 September 2017 - HARAKAHDAILY 3/9/2017

SAYYID Qutb adalah nama besar yang menggugah nurani kita apabila berbicara tentang Ikhwanul Muslimin selain Hassan al-Banna dan tokoh-tokoh yang lain seperti Abdul Qadir Audah, Said Hawwa, Dr Mustapha as-Sibaie, Abdul Aziz al-Badri, Hassan Ismail Hudhaibi dan yang lainnya. Sayyid Qutb mempunyai sejarah yang tersendiri sebagai tokoh ideologue Ikhwanul Muslimin serta diklasifikasikan sebagai tokoh pemikir yang sukar digalang ganti oleh dunia islam.

Sayyid Qutb telah dilahirkan pada tahun 1906 di Asyut, Mesir dalam lingkungan yang taat beragama, keluarbiasaan bakatnya dapat dikesan semenjak umurnya masih hijau. Menghafal al-Quran dan menamatkan hafazan semasa berusia sepuluh tahun, bapanya Qutb Ibrahim merupakan pencinta al-Quran dan sangat tegas dalam urusan mendidik anak-anaknya dengan sakhsiah Islam, beliau memberikan perhatian langsung kepada pembelajaran anak-anak terutama Sayyid Qutb. Keberkesanan sang ayah kepada anaknya pernah dirakamkan oleh Sayyid Qutb dalam sebuah bukunya:

“Wahai ayahku! Kutujukan tulisan ini kepada rohmu. Aku masih kecil ketika engkau menanamkan ke dalam jiwaku rasa takut kepada hari akhirat. Tidak pernah engkau mengherdikku, namun engkau mempamerkan hidupmu di depanku. Hari akhirat menjadi perhitungan dan peringatanmu, dihati dan di lidahmu. Engkau bersungguh menunaikan hak orang ke atasmu, namun engkau berlebih kurang dengan hakmu di atas orang lain, kerana engkau takut kepada hari akhirat. Engkau memaafkan kesalahan orang, walaupun engkau mampu membalasnya, lantaran mengharapkan ia menjadi kifarat di Akhirat. Engkau selalu mengenetepikan keperluanmu agar mendapat ganjaran di Akhirat. Wajahmu terbayang dalam ingatanku, setiap kali kita selesai makan malam, engkau membacakan al-Fatihah dan engkau menujukan kepada roh kedua ibubapamu di negeri akhirat. Dan kami anak-anakmu yang kecil turut bersamamu membacanya, terputus di sana sini kerana kami masih belum menghafalnya dengan sempurna”.

Sayyid Qutb merupakan seorang yang genius malahan pernah diungkapkan oleh Abbas Mahmud Aqqad sebagai pelajarnya yang paling cerdas, mempuyai bakat dan kecederungan yang besar dalam bidang sastera dan penulisan.

Karyanya dalam pelbagai genre seperti puisi, sajak, cerita telah diterbitkan dalam pelbagai penerbitan malah sebelum menggabungkan diri beliau dengan Ikhwanul Muslimin, beliau lebih dikenali oleh khalayak Mesir sebagai seorang sasterawan.

Kesyahidan Hasan al Banna pada 12 Februari 1949 telah menyeruak relung hati Sayyid Qutb untuk mengenali fikrah Ikhwan dan akhirnya beliau menggabungkan diri dalam bahtera Ikhwanul muslimin. Bermula dengan Exco Dakwah sehinggalah menjadi ideologue Ikhwan dengan pelbagai magnum opus yang memercik kesedaran kepada ummah yang sedang lena dibuai khayalan.

Regim Jamal Naser telah memenjarakan Sayyid Qutb dengan pelbagai tuduhan palsu, bahkan mengharamkan Ikhwanul Muslimin yang dilihat pesaing utama rejim dalam medan politik Mesir.

Sayyid Qutb mendekam dalam penjara militer dan beliau tidak pernah mengangkat bendera putih dalam perjuangan. Sosok sesepuh dakwah ini terus menuang idea-idea daripada celah jeriji penjara, termasuk tafsir fenomenal “fi Zilalil Quran”.

Sayyid Qutb berjuang ditengah kegilaan masyarakat Arab pada fahaman Sosialis Arabism dan kekaguman umat Islam pada dunia Barat (the Blue eyes mentality). Beliau mendobrak ideologi manusia dengan sejuta keyakinan dan membayar dengan harga yang mahal. Mahkamah Mesir yang dikawal regim pemerintah telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati pada mufakkir Islami yang hebat ini pada 29 Ogos 1966. Telah 51 tahun beliau berkelana ke alam abadi. Namanya ditoreh dengan tinta emas pada kanvas perjuangan dan dakwah. Walaupun ada yang cuba merosak reputasi Sayyid Qutb sebagai pemicu fahaman takfiri, namun tuduhan tetap tuduhan. Beliau telah meninggalkan dunia ini dengan seribu keteladanan kepada para abnaul harakah. – HARAKAHDAILY 3/9/2017

PAS menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan untuk mempercepatkan penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik untuk dibentangkan di sidang parlimen akan datang.

Ini kerana sudah setahun idea Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik telah diutarakan dan jawatankuasa teknikal untuk mengkaji akta ini sudahpun ditubuhkan beberapa bulan yang lalu.

Tambahan pula, PAS melalui Gagasan Sejahtera, telah menyerahkan dokumen sokongan dan sudah diserahkan kepada Paul Low April yang lalu.

Sepatutnya segala kajian dan cadangan mengenai akta ini sudahpun selesai. Apakah yang sedang menyebabkan kelewatan ini?

PAS ingin menegaskan bahawa akta itu sangat penting memandangkan wujud dua isu besar yang sering berlaku ketika pilihan raya umum. Isunya adalah dana yang diberikan kepada parti-parti politik dan juga politik wang. Kedua-dua isu ini boleh merosakkan parti dan negara.

Di Malaysia tidak ada akta yang mengawal politik kecuali akta pilihan raya yang mengehadkan jumlah duit kempen pilihan raya umum. Apabila tidak ada akta, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh berbuat apa-apa.

Jika ia tidak dibendung, perkara sebegini akan berterusan.

Dengan wujudnya akta ini nanti, ia dapat mengawal supaya politik wang tidak akan berlaku. Politik wang akan melahirkan parti yang merosakkan parti politik di negara ini.

Berbeza dengan Paul Low, PAS berpendapat seeloknya akta ini dapat dikuatkuasakan sebelum diadakan Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) supaya amalan politik wang dan budaya rasuah dapat dikawal untuk mengelakkan insiden pembelian undi.

Ia juga dapat mengelakkan peristiwa seperti dana derma berbilion ringgit daripada negara luar dapat disalurkan tanpa dikesan sehingga ia terbongkar di ruangan awam.

Semua ini adalah untuk memastikan pilihan raya dapat diadakan dalam keadaan yang betul-betul adil dan padang yang rata.

Memandangkan setakat ini, tiada siapa yang tahu bila akan diadakan PRU14, Paul Low perlu mempercepatkan usaha kementeriannya agar akta ini dapat dikuatkuasa sebelum PRU14, dan bukannya bernada putus asa bahawa akta ini tidak akan dapat dilaksanakan sebelum PRU14.

Atau Paul Low sudahpun mengetahui tarikh yang bakal diadakan PRU14?

Ramai yang merintih dengan kepayahan membuat perancangan kerana tarikh PRU14 masih tidak diketahui. Akibat tarikh yang tidak diketahui, semua berada dalam spekulasi. Pelbagai acara dikait dengan PRU14, keadaan ini sangat tidak baik bagi sebuah masyarakat dan negara.

Sepatutnya tarikh PRU14 sudah diumumkan. Ia memudahkan rakyat dan Menteri seperti Paul Low untuk membuat perancangan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
2 September 2017 - HARAKAHDAILY 2/9/2017

MENTERI  Besar Negeri Sembilan boleh dinobatkan sebagai manusia yang juga mempunyai keberanian.

Datuk Seri Mohammad Hassan,  menongkah arus,  apabila dalam perasmian Mesyuarat Agung Umno Bahagian Kota Tinggi secara lantang menyebut bahawa Umno bukan lagi satu-satunya parti politik Orang Melayu.

Sebaliknya PAS dan beberapa parti lain katanya boleh menjadi alternatif dan wadah kepada orang Melayu.  Kenyataan berbaur peringatan kepada Umno khasnya kepimpinan Datuk Seri Najib Razak itu dilihat sebagai satu lagi percubaan menentang arus, walaupun dalam nada yang sedikit berhemah.

Mohammad Hassan seperti diketahui umum antara mereka yang disenaraikan sebelum ini antara empat MB yang kononnya bakal digugurkan oleh Najib,  cuma pelan itu tidak menjadi akibat 'pecah awal' dan menyebabkan Najib terpaksa kona baring menyelamatkan bahteranya yang hampir karam.

Demi takut kehilangan kuasa dan tindakan undang-undang mungkin bakal menantinya jika tidak lagi menjadi Perdana Menteri, Najib Razak adalah pemimpin paling kerap memainkan sentimen seolah-olah Umno satu-satunya parti pembela kepada orang Melayu.

Antara kata-katanya ialah orang Melayu akan jadi bangsat jika Umno kehilangan kuasa, di samping mereka juga didakwanya tidak lagi menjadi kaum yang akan diberi keutamaan di negara ini.

Seiring itu, ramuan menakut-nakutkan orang Melayu itu direncahkan lagi dengan gambaran kononnya selepas Umno hilang kuasa, namun Najib lupa bahawa jika Umno kalah, maka PAS lah yang akan menjadi parti Melayu yang  menang.

Beberapa pemimpin Umno juga kerapkali mendendangkan lagu yang sama seolah-olah parti itu mesti dikekalkan berkuasa sehingga kiamat.

Barangkali apa yang diingatkan Mohammad Hassan itu sebagai satu petanda baharu bahawa MB Negeri Sembilan ini bakal mengakhiri hayat politiknya yang dijangka hingga PRU14 apabila Najib sebenarnya sudahpun mula mengintai calon lain untuk menerajui Negeri Sembilan selepas ini andai BN terus berkuasa di negeri ini.

Seperkara lagi, ada telahan teman-teman di negeri ini menyebut, Mohammad Hassan mungkin sekali akan ditolak bertanding ke Parlimen sekiranya dia kekal bersama BN untuk penggal akan datang sementara mahu dikerat terus Najib tanpa sebarang posisi dalam pentadbiran negeri mahupun negara.

Sama-sama kita saksikan keberanian Mohammad Hassan menongkah arus memukul badai, atau sebaliknya beliau akan menutup terus mulut agar dapat kekal menerajui negeri Adat Perpatih sementelahan BN ketandusan calon MB berkaliber. – HARAKAHDAILY 3/9/2017

MATAWANG kurun ke 16, dan lukisan-lukisan sejarah kesultanan kerajaan Islam Arakan ini adalah petunjuk bahawa Arakan sejak kurun ke-14 (1345M), telah diperintah oleh kerajaan Islam sehingga kurun ke-18 (1784M). Islam diterima meluas di Arakan sejak kurun ke-9 (877M) sewaktu pemerintahan Khalifah Harun Al-Rashid.

Dikisahkan bumi Arakan pernah disinggahi sahabat Rasulullah yang tersohor iaitu Syaidina Saad Abi Waqas untuk berdakwah, dalam perjalanannya ke China.

MusRoh 2Satu-satunya bangsa di dunia yang 100% menganut Islam adalah etnik Rohingya di Arakan. Kekalahan kepada penjajah Burma pada 1784M dan dijajah Inggeris pula pada 1824M membelahkan wilayah Islam Arakan ini kepada Burma pada 1948M, bahagian yang diserahkan kepada India kemudiannya menjadi Pakistan Timur pada 1947M dan menjadi sebahagian Bangladesh pada 1971M. Pelabuhan terbesar Bangladesh di Cittagong dahulu adalah sebahagian daripada Arakan.

Sebuah tugu Field Marshal William Joseph Slim (The Viscount Slim) yang bertugas dalam British Indian Army  didirikan di Kota London, bertentangan dengan kediaman Perdana Menteri Britain di 10 Downing Street.  Tugu ini dipahat wilayah-wilayah imperial di bawah kendalian beliau antaranya adalah Arakan, terpahat berasingan daripada Burma. Beliau pernah dilantik mengetuai 14th Army Burma (1943-45) dan kemudiannya Gavenor General Australia (1952-60).

MusRoh 3Rohingya adalah penduduk asal Arakan, Islam adalah pegangan dan kerajaan yang mereka dirikan. Untuk memadamkan sejarah ini, semua media mutakhir ini di Burma tidak menggunakan Istilah 'Rohingya'  malah kerajaan Burma memanggil mereka kaum Benggal. Nama Arakan di tukar kepada Rakhine State dan ibu negerinya Akyab dinamakan Sittwe.

Masjid-masjid yang berusia ratusan tahun dan premis perniagaan milik orang Islam dibakar,  ditutup dan dirampas.  Orang Islam tidak boleh berada di mana-mana bahagian bandar Akyab (Sittwe).

Siapa kata Muslim kaum bukan Rohingya tidak terancam di Myanmar?

Pada Mac 2013, di Maktila,  Mandalay ( bahagian tengah Burma), 5 buah Masjid, kedai-kedai milik umat Islam dibakar dan lebih 20 muslim dibunuh (bakar hidup-hidup) . Mereka bukan dari bangsa Rohingya tetapi Muslim Burma. Ia disenyapkan.

Sejak 2005, Kerajaan Myanmar melarang membina masjid baru dan masjid sedia ada tidak boleh diperbesar atau dibaikpulih. Ia juga disenyapkan!

Adalah pelik dan buta sejarah apabila ada pihak mendakwa Rohingya adalah pendatang di Myanmar dan hanya mereka dizalimi tentera kerana mereka bukan warga Myanmar dan kerana berkelakuan buruk.

Sahabat saya di Yangon berketurunan Rohingya sebelah neneknya, dan datuknya berbangsa Rakhine yang memeluk Islam. Datuknya berkhidmat selama 40 tahun sebagai pegawai kerajaan Burma.  Neneknya masih menerima pencen datuknya sebagai pesara kerajaan.

Dia terpaksa membuang semua identiti Rohingya untuk tinggal bebas di Yangon. Semua Rohingya yang berada di luar Arakan menanggalkan identiti Rohingya untuk hidup. Semua Muslim Burma tidak dibenarkan masuk atau keluar ke Arakan,  kecuali dengan permit khas.

Saya dapat memerhatikan seorang muslim Burma yang beratur di hadapan saya, ketika mahu pulang ke Rakhine State, diperiksa seluruh badan, dan diselongkar bagasinya di Lapangan terbang Yangon dan setibanya di Akyab,  walaupun dia memiliki permit khas.

Dia seorang sahaja dibuat begitu, lebih daripada pemeriksaan terhadap kami, warga asing. Saya bertanya kepada saudara Nasim yang menguruskan keberangkatan kami ke Arakan, dia memaklumkan kerana maulana itu muslim. Orang Islam sukar sekali mahu pergi atau keluar dari Arakan.

Sejak keluar dari Arakan pada 2007, Nasim tidak pernah pulang lagi ke bumi itu. Dia terpaksa merasuah pegawai Myanmar sekitar RM30,000 untuk membenarkan ibunya keluar dari Arakan untuk merawat sakit diabetis di Yangon tahun lalu.

Ada tiga pihak yang sedang membunuh,  mengusir dan membakar kampung-kampung Muslim Rohingya. Junta tentera kerajaan, Arakan Army -sayap bersenjata parti politik etnik Rakhine dan sami buddha dari Gerakan 969 pimpinan Ashin Wirathu. Jika Rohingya adalah pendatang haram, kenapa urusan pandatang haram menjadi urusan Arakan Army dan Gerakan 969 Ashin Wirathu?

Ada pihak cuba menulis sejarah Rohingya seolah-olah Myanmar tidak pernah dikenali sebagai Burma,  Arakan bukan nama asal Rakhine State. Bagaimana etnik yang mendiami Arakan sejak seribu tahun dikatakan berasal dari sebuah negara lain yang hanya wujud pada 1971?

Tuduhan-tuduhan pelik kepada Muslim Rohingya yang baru muncul di media internet adalah sejenis propaganda politik kerajaan Myanmar untuk menghalalkan kekejaman terhadap Muslim Rohingya. Setelah bertahun-tahun cuba memadamkan sejarah Islam di Arakan dan kaitannya dengan Muslim Rohingya, kini muncul pula usaha mewajarkan mereka diperlakukan persis haiwan perosak, dibunuh dan dihapuskan... Berwaspadalah! - HARAKAHDAILY 3/9/2017

Penulis ialah Pengarah PASRelief

SAYA mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Eidul Adha kepada seluruh muslimin dan muslimat.

Saya juga mengucapkan selamat mengerjakan ibadah korban kepada mereka mengerjakannya tahun ini.

Pada Hari Raya Eidul Adha kita akan mengenang kembali akan pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang yang telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anak Baginda, Nabi Ismail AS.

Walaupun ia merupakan satu pengorbanan yang begitu besar namun Baginda tidak teragak-agak untuk mengerjakan perintah tersebut.

Pengorbanan berlaku sepanjang zaman walaupun tidaklah sehebat pengorbanan Nabi Ibrahim AS.

Ibu bapa berkorban demi keluarga, anak-anak berkorban demi ibu bapa, guru berkorban demi murid-murid, majikan berkorban demi pekerja-pekerja, pemimpin berkorban demi pengikut-pengikut dan pemimpin berkorban demi rakyat.

Semoga pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS akan menjadi satu motivasi untuk meneruskan usaha-usaha kita.

Tidak kira siapa kita, jangan kita merasa jemu untuk meneruskan perjuangan.

Kita belum lagi diminta untuk mengorbankan nyawa tetapi hanya sekadar tenaga, wang ringgit, harta benda, keselesaan, masa dan ego.

Tetapi jangan pula kita mengorbankan orang lain. Jangan pula majikan mengorbankan pekerja, pemimpin mengorbankan pengikut atau pemimpin mengorbankan rakyat semata-mata kerana hawa nafsu masing-masing.

Ingatlah balasan Allah SWT itu amat keras.

Semoga segala amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT.

Dato’ Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor

More Articles ...