21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

PADA suatu hari, di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dalam tahun 1998. Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS yang juga Pengerusi Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) telah mengadakan mesyuarat bulanan Gerak kerana membincangkan langkah-langkah menghadapi kezaliman Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Hadir sama dalam pertemuan ini termasuk Ustaz Ahmad Awang (ketika itu Yang Dipertua PUM), Lim Kit Siang (DAP), Dr Dzulkifli Ahmad (Isma), Dr Syed Hussin Ali (PRM), Mahfuz Omar (PAS) dan lain-lain. Saya juga hadir kerana ketika itu, Ustaz Fadzil melantik saya sebagai Pegawai Khas Gerak.

Mesyuarat memutuskan supaya Ustaz Fadzil mengutuskan surat kepada Dr Mahathir kerana isu kezaliman ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditahan di bawah ISA kerana kes liwat.

Saya sendiri yang mendrafkan surat itu, seusai mesyuarat tersebut dan menunjukkannya kepada Ustaz Fadzil. Ketika saya masuk bertemu dengan Ustaz Fadzil, beliau sedang berbual dengan Ustaz Ahmad Awang tentang lawatan pemimpin PUM itu ke Mesir. Ustaz Fadzil meneliti setiap perkataan pada surat tersebut. Tiba-tiba...

"Orang zalim seperti Dr Mahathir tidak akan mendapat rahmat Allah!" bentak Ustaz Fadzil.

Terdiam Ustaz Ahmad Awang dan saya yang berada di sisinya kerana kerasnya bantahan Presiden PAS itu. Rupanya Ustaz Fadzil memberi komen terhadap perenggan terakhir surat yang saya drafkan. Saya menulis, "Akhirnya, dengan kerjasama YAB Datuk Seri saya mengucapkan ribuan terima kasih dan semoga Allah merahmati..."

"Orang yang zalim seperti Mahathir dilaknat Allah. Allah tidak beri rahmat kepada orang sepertinya. Jangan doa rahmat untuk orang jahat! Buang perkataan itu," arah Ustaz Fadzil kepada saya selepas menjelaskan sebabnya.

Kisah ini mungkin Dato' Mahfuz Omar (ketika itu Ketua Sekretariat Gerak) sudah lupa kerana beliau pun tidak hadir dalam pertemuan dengan Ustaz Fadzil itu. Muna Izzah dan suaminya lagilah, mungkin tidak tahu kisah marahnya Ustaz Fadzil kepada Dr Mahathir lantaran kezalimannya. Ketika ini Muna dan Faiz Fadzil masih belajar di UIA! Ustaz Fadzil menentang Dr Mahathir sampai akhir hayatnya.

Tiba-tiba sekarang Dr Mahathir mendakwa Ustaz Fadzil "Penasihat agama"nya, dan dia diberikan layanan oleh sebahagian keluarga Ustaz Fadzil kerana ziarahnya ke kubur Tokoh PAS itu beberapa hari lepas.

MOHD FADLI GHANI
Bekas Pegawai Khas GERAK
21 Syaaban 1439 / 7 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 7/5/2018

STRATEGI

Pakar strategi Tun berfikir macam mana untuk membaiki kerosakan yang terhasil daripada ucapan Tun menghina mangsa pembunuhan di Memali sebagai "mati katak'".

Strategi Pertama: Video minta maaf.

Strategi Kedua: Ziarah kubur pimpinan PAS.

Sudut pandang Tun M 

Memanglah sukar bagi Tun. Musuh-musuh utama Tun ketika mereka masih bernyawa. Tapi itulah strategi untuk mengelakkan kehilangan lebih banyak undi.

Sekurang-kurangnya Tun dilihat cuba merendah diri dengan pimpinan PAS yang telah pun kembali ke Rahmatullah.

Sudut pandang Nik Adli  

Nik Adli pula, tidak langsung berfikir mengenai strategi. Dia kenal Tun sebagai manusia berhati batu yang meng-ISA-kan dirinya. Tun memisahkan beliau daripada keluarganya tanpa diberi hak untuk dibicarakan.

Sedih dan pilunya adalah teramat sangat. Begitu juga ayahandanya yang dipisahkan dengan anaknya. Sekonyong-konyong, Tun Mahathir diberitakan akan menziarahi makam ayahandanya.

Apa lagi, Nik Adli bangkit. Jiwanya tidak rela. Semua pihak menyuruh beliau bersabar dan berlaku adil. Nik Adli merasakan dia telah lama bersabar dan telah dizalimi. Orang yang tidak mengalaminya, tidak memahaminya.

Jiwanya tidak dapat menerima. Bangkit semula rasa marah, geram dan benci kepada si "Penzalim" yang telah memenjarakannya dan menyusahkan ayahandanya.

Dia mengerahkan seluruh keupayaannya untuk menghalang Tun Mahathir daripada menziarahi makam ayahandanya.

Kesimpulan 

Episod ini adalah satu lakonan ingatkan mati bagi Tun Mahathir. Tetapi satu penghinaan yang terlalu ketara bagi Nik Adli. Setiap orang ada batas dan hadnya. Ini sudah melampaui had kesabaran dan kesantunan Nik Adli.

Bukankah Nik Adli lebih utama dimaafkan berbanding Tun Mahathir dalam episod ini? Bukankah sebabnya sudah terang, lagi bersuluh?

Jawapannya "Ya" kepada orang yang masih mempunyai hati dan kehalusan jiwa. Namun bagi strategis politik tanpa jiwa, Tun Mahathirlah yang sedang dizalimi. Tun dihalang daripada mengingati mati. Nik Adli pula ialah si "Penzalim" yang tidak matang dan tidak sejahtera.

Epilog 

"Jebatkah yang benar? Atau akukah yang benar?,"  getus Tun Tuah setelah membunuh Jebat, sambil mukanya menjengah keluar jendela melihat orang ramai berteriak "Hidup Tun Tuah! Hidup Tun Tuah!".

ZAKARIA ISMAIL
AJK PAS Kawasan Marang
7 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 7/5/2018

DAKWAAN PAS akan bekerjasama dengan Umno adalah tuduhan berniat jahat.

Dakwaan ini sengaja diada-adakan oleh mereka yang hendak memburukkan PAS.

Berbanding dengan parti pembangkang-pembangkang lain, PAS adalah parti yang paling banyak menerima kesan dari kezaliman dan penindasan Umno dan Barisan Nasional.

Pertembungan di antara PAS dan Umno telah berlaku sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Lebih 200 pemimpin dan ahli PAS telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Pemimpin tertinggi PAS seperti Presiden PAS ketiga, Dr Burhanuddin Al-Helmi, juga pernah ditahan di bawah akta tersebut.

Kesengsaraan ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi telah wujud akibat dasar pilih kasih Umno. Ada yang telah dinafikan bantuan-bantuan dan peruntukan-peruntukan kerajaan seperti subsidi baja dan biasiswa pelajaran. Kampung-kampung yang dikenal pasti menyokong PAS tidak mendapat kemudahan awam seperti jalan tar. Gerai-gerai penyokong PAS telah dirobohkan.

Peristiwa Memali pada 19 November 1985 telah mengorbankan 14 orang pimpinan dan ahli PAS akibat tindakan Kerajaan Umno-Barisan Nasional. Ahli-ahli PAS tidak akan lupa kepada tragedi yang berlaku di Kg Memali, Baling, Kedah itu.

Pilihan Raya Kecil Padang Terap pada bulan Januari 1985 melihat seorang penyokong PAS, Allahyarham Osman Talib, terkorban di dalam pertembungan dengan penyokong-penyokong Umno. Puluhan penyokong-penyokong PAS telah cedera akibat ditetak, ditikam dan dipukul dengan senjata tajam, besi dan botol.

Kerajaan Negeri Kelantan sejak diperintah oleh PAS sentiasa diberi layanan kelas kedua malah mungkin kelas ketiga. Peruntukan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dilambat-lambatkan. Begitu juga Kerajaan Negeri Terengganu ketika dikuasai oleh PAS juga telah dianaktiri oleh Kerajaan Persekutuan. Royalti petroleum yang diberikan ketika Barisan Nasional memerintah telah ditarik balik. Kelantan juga telah dinafikan royalti tersebut.

Persempadan semula yang diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini juga bertujuan untuk mengalahkan PAS di Kelantan dan merampas negeri tersebut. Terdapat kerusi-kerusi Dun di mana PAS telah menang tipis telah dirombak semula untuk memudahkan Umno memenanginya. Oleh yang demikian PAS telah menentang persempadanan ini di dalam dan di luar Parlimen. Ini bertentangan dengan fitnah yang menyatakan PAS menyokong persempadanan ini. Rujuklah kepada Hansard (Penyata) Parlimen untuk melihat bagaimana Ahli-ahli Parlimen PAS berbahas dan mengundi.

Maka jelas sekali PAS adalah parti yang paling tegas menentang kerjasama politik dengan Umno. Ahli-ahli PAS tidak akan membenarkan ini berlaku. Terdapat parti-parti lain yang pernah menyatakan bersedia untuk mengadakan kerjasama politik dengan Umno tetapi ia tidak dibesar-besarkan. Hanya PAS yang menolak kerjasama politik ini yang sentiasa dituduh.

DATO' ISKANDAR A. SAMAD 
Calon PAS N.21 Pandan Indah
6 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 6/5/2018

PUSAT Penyelidikan PAS (PPP) telah melakukan tinjauan di lapangan menggunakan jentera akar umbi PAS di seluruh negara sejak dari hari penamaan calon pada 28 April 2018 yang lalu sehingga semalam.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan tersebut, situasi di lapangan menunjukkan Tsunami Hijau, iaitu perubahan besar-besaran pengundi Islam kepada PAS dan Gagasan benar-benar sedang berlaku.

Dapatan yang diperolehi dari hasil tinjauan ini membenarkan pandangan yang dibuat oleh Prof Hoo Kee Ping pada 21 April 2018 yang lalu, bahawa Tsunami pengundi Islam akan berpihak kepada PAS.

Tsunami Hijau yang berlaku ini memungkinkan PAS memenangi sebahagian besar dari 128 kerusi Parlimen yang bermajoriti besar pengundi Islam melebihi 70 peratus, khususnya di negeri lingkaran Melayu dan kawasan bandar.

Selain daripada kerusi-kerusi bermajoriti besar pengundi Islam, dengan Tsunami Hijau ini PAS ada peluang memenangi kerusi campuran yang ditandingi oleh calon-calon bukan Islam mewakili BN dan PH.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI 
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS

6 Mei 2018
20 Sha'ban 1439 - HARAKAHDAILY 6/5/2018

PADA tahun 2011, satu keputusan dari Mahkamah Syariah Kota Bharu telah dikeluarkan kepada saya, Wan Ismail bin Wan Jusoh yang merupakan bapa kandung kepada Wan Ahmad Firdaus dan Wan Nor Salwa supaya membayar nafkah sebanyak RM 500 (Ringgit Malaysia Lima Ratus ) sebulan bagi setiap seorang.

Pada tarikh 15/7/2015, saya Wan Ismail telah memasukkan wang ke dalam akaun Tabung Haji atas nama:

1.     Wan Ahmad Firdaus (akaun bersama Wan Shah Jihan b. Wan Din) 
Nombor akaun Tabung Haji: KT 351018463
Amaun: RM 3000

2.     Wan Nor Salwa (akaun bersama Wan Shah Jihan b. Wan Din) 
Nombor akaun Tabung Haji: KT 351018462
Amaun: RM 3000

Wan Shah Jihan b. Wan Din merupakan bapa tiri kepada Wan Ahmad Firdaus dan Wan Nor Salwa

Pada 5/1/2017, saya telah membuka akaun bank baru di Public Bank cawangan Wakaf Siku atas nama:

1.     Wan Ahmad Firdaus (akaun bersama Wan Ismail Wan Jusoh): 
Nombor akaun Public Bank: 6-4197400-28

2.     Wan Nor Salwa (akaun bersama Wan Ismail Wan Jusoh):
Nombor akaun Public Bank: 6-4197399-00

Saya telah memasukkan wang ke dalam akaun tersebut sehingga tarikh 1/3/2018 :

1.     Wan Ahmad Firdaus berjumlah sebanyak RM 36,061.08 (Ringgit Malaysia Tiga Puluh Enam Ribu Enam Puluh Satu Dan Lapan Sen).

2.     Wan Nor Salwa berjumlah sebanyak RM 36,057.96 (Ringgit Malaysia Tiga Puluh Enam Ribu Lima Puluh Tujuh Dan Sembilan Puluh Enam Sen).

Wang yang telah dimasukkan ke dalam kedua-dua akaun tersebut sehingga 1/3/2018 adalah:

1.     Wan Ahmad Firdaus: RM 39,061.08 (akaun Public Bank dan Tabung Haji)

2.     Wan Nor Salwa: RM 39,057.96 (akaun Public Bank dan Tabung Haji)

Jumlah wang yang telah dimasukkan ke dalam akaun-akaun bank tersebut adalah sebanyak RM 78,119.04 (Ringgit Malaysia Tujuh Puluh Lapan Ribu Satu Ratus Sembilan Belas dan Empat Sen).

Pada akhir bulan Disember 2017, saya Wan Ismail telah menerima satu saman dari peguam Rosmah binti Mohd Zain bagi pihak penuntut supaya membayar tunggakan nafkah anak saya dari bulan Julai 2011 sehingga bulan Disember 2017.

Saya telah melantik seorang peguam, Raziman untuk mewakili saya. Segala bukti transaksi pembayaran nafkah seperti yang telah dituntut telah diserahkan kepada peguam Raziman.

Pada bulan Januari 2018, kedua-dua pihak telah bersetuju di hadapan Hakim Mahkamah Syariah Kota Bharu untuk menyelesaikan kes tersebut di luar Mahkamah. Semua dokumen beserta buku akaun telah diserahkan kepada peguam penuntut.

Pada hari ini, tarikh 6/5/2018 Berita Harian Online telah mengeluarkan 2 status di laman Facebook yang mengatakan bahawa Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu telah mengeluarkan waran tangkap terhadap saya yang merupakan calon PAS bagi kerusi P.026 Parlimen Ketereh berhubung kegagalannya membayar tunggakan nafkah dua anak berjumlah RM 78,00 sejak 2011.

Saya dan peguam saya tidak pernah diserahkan dengan apa-apa notis untuk hadir di Mahkamah pada hari ini 6/5/2018, sama ada oleh peguam penuntut atau Mahkamah Syariah.

Ini menunjukkan ada konspirasi politik yang jahat untuk menjatuhkan imej dan reputasi saya selaku calon PAS P.026 Parlimen Ketereh sempena PRU14 yang akan berlangsung pada 9/5/2018 nanti. Perbincangan dengan pihak peguam sedang dijalankan untuk menfailkan tindakan Undang-undang di bawah Tort Konspirasi Untuk Mencederakan Reputasi (Tort Of Conspiracy to Injure) dan Penyalahguanaan Proses Mahkamah (Abuse Of Court Process) serta Pendakwaan Berniat Jahat (Malicious Prosecution) terhadap semua pihak yang terbabit.

Setakat kenyataan ini ditulis pada jam 7.00 malam 6/5/2018, saya masih belum menerima sebarang waran tangkap sebagaimana yang telah disiarkan oleh Berita Harian Online.

WAN ISMAIL WAN JUSOH
Calon PAS
P.026 KETEREH – HARAKAHDAILY 7/5/2018

KITA hormati kajian IDE walaupun kita tahu bahawa badan tersebut cenderung kepada PKR. Mana mungkin dapatan yang merugikan PKR didedahkan kepada awam.

PAS juga memiliki kajian tersendiri. Dan PAS telah Cross-Check dengan method kajian badan-badan lain. PAS lebih advance kerana bukan sahaja kajian quantitative dibuat, tetapi turut mengambil kira dapatan qualitative mengikut setiap kawasan pertandingan seperti faktor calon, jentera, isu tempatan, komposisi kaum, sosioekonomi dan sebagainya. PAS memiliki kekuatan jentera di 195 Kawasan untuk mendapatkan data culaan bagi mengukuhkan lagi kajian yang dibuat.

Ini merupakan sebahagian dapatan yang boleh didedahkan dengan enjin simulasi yang dibangunkan team Simulasi PAS. Setelah mendapat keizinan dari pihak berwajib, saya dedahkan kepada umum. Supaya orang tahu bahawa kita juga ada asas dalam setiap strategi politik yang diambil.

Bagi lebih memahami bagaimana dapatan ini berlaku, boleh baca dua kajian akademik terkini di Channel News Asia oleh Prof Ahmad Nawab dan di Maya Nasional oleh Prof Hoo Ke Ping.

Kita tidak boleh mendedah semua hasil kajian. Cukuplah ini sebagai teaser untuk melihat apakah kedudukan sebenar politik negara pasca PRU14. Bagi ahli dan penyokong PAS, jangan risau. PAS benar-benar yakin kita bakal mencipta sejarah baharu buat negara nanti.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 6/5/2018

BERBAKI dua hari sebelum menjelang 9 Mei 2018 sebagai tarikh bersejarah untuk rakyat merealisasikan cita-cita perubahan melalui gerakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera, menampakkan gelombang “Tsunami Hijau” yang kian marak.

Rakyat diseru menyambut gelombang kebangkitan bersejarah ini dengan menaikkan dan mengibarkan bendera PAS di kenderaan masing-masing, di rumah dan sebagainya.

Kita nyata kesatuan hati kita bersama PAS dan Gagasan Sejahtera memacu kebangkitan rakyat demi menyaksikan Malaysia yang Sejahtera Bersama Islam.

Ku Lihat Hijau, begitulah warna yang mendamaikan malah menjanjikan kesejahteraan dan keberkatan dari Allah S.W.T atas perjuangan Islam untuk semua dan kebenaran yang dipertahankan.

Ayuh ibu ayah, abang, kakak dan sahabat handai, kita semarakkan halaman, kampung dan lokasi sekitar kita dengan kibaran bendera hijau. Khasnya kenderaan peribadi masing-masing.

"Ku Lihat Hijau"
"Sejahtera Bersama Islam"

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
20 Sya’aban 1439 / 06 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 6/5/2018

More Articles ...