20
Mon, May
28 Artikel Baru

DEWAN Pemuda PAS Malaysia memandang serius kehadiran delegasi dari entiti haram Israel ke Malaysia semasa berlangsungnya World Urban Forum (WUF) di Kuala Lumpur pada 7-13 Februari 2018 yang lalu. Delegasi yang diketuai oleh Diplomat Israel David Roet, dianggotai sama oleh salah seorang bekas Menteri Israel, Ophir Pines-Paz dan professor dari Hebrew University of Jerusalem, Eran Razin. Mereka telah dibenarkan masuk oleh Kerajaan Malaysia dengan menggunakan pasport entiti haram Israel.
 
Berdasarkan laporan beberapa akhbar Israel, kehadiran Diplomat Israel ke Malaysia seperti ini merupakan yang pertama seumpamanya semenjak tahun 1965. Bahkan mereka berbangga dengan dakwaan betapa perkara ini menunjukkan kejayaan Israel dalam bidang diplomasi sehingga berjaya menembusi Malaysia, dan berpeluang bertemu dengan pegawai kanan kerajaan.
 
Sungguhpun jemputan terhadap delegasi tersebut bukanlah dibuat secara rasmi oleh Kerajaan Malaysia, namun sebagai negara yang komited menyanggah kezaliman dan penjajahan rejim Israel dan menterjemahkan ketegasan sikap tidak membuat hubungan diplomasi dengan entiti haram tersebut, Malaysia sepatutnya lebih sensitif dalam perkara-perkara seumpama ini, dan tidak sewenang-wenangnya tunduk terhadap tekanan pihak-pihak tertentu termasuk PBB.
 
Kami menegaskan bahawa kesudian Malaysia menerima kehadiran delegasi berprofil tinggi dari entiti haram Israel tersebut adalah keputusan yang salah dan tidak sewajarnya berulang lagi. Lebih-lebih lagi dewasa ini Israel semakin rakus merampas dan membunuh harta dan jiwa rakyat Palestin selepas pengumuman Kerajaan Amerika Syarikat bahawa Baitulmaqdis adalah ibu negara Israel. Akibatnya peranan Malaysia sebagai sebuah negara yang memperjuangkan keadilan sejagat bagi rakyat Palestin melawan penjajahan Israel, telah tercalar. Bahkan, ia boleh ditafsirkan sebagai permulaan hubungan Malaysia-Israel.
 
Justeru, kami mendesak kerajaan Malaysia agar mengakui kesilapan ini dan seterusnya mempertegas komitmen untuk menolak sebarang bentuk hubungan dengan entiti haram Israel. 
 
Dalam masa yang sama, Kerajaan Malaysia perlu membuktikan dengan langkah-langkah diplomatik yang lebih strategik dan praktikal dalam memperjuang hak dan pembebasan Baitulmaqdis dan Palestin sekali gus menterjemah Resolusi Persidangan Ulama Dunia Mengenai Baitulmaqdis yang turut mempertegas pendirian umat Islam di mana tidak sekali-kali mengiktiraf entiti haram Israel dalam apa jua keadaan.
 
USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 18/2/2018

AKHBAR The  Star dalam satu artikelnya hari ini mengulas isu politik Kelantan. Dalam laporan satu muka itu pengarang kanannya Joceline Tan menyatakan bahawa pertempuran PRU14 di Kelantan sesungguhnya akan tertumpu pada pertembungan Umno dan PAS sahaja.
 
PBBM diketuai Tun Dr Mahathir sukar kerana Tun adalah personaliti yang sukar diterima rakyat Kelantan. Manakala PAN yang berkrisis dengan istana hanya dilihat mampu mengikis pengaruh PAS di sana sini.
 
Kesimpulannya kata Tan BN-Umno punya harapan cerah berkuasa kembali.
 
Tan tidak sentuh pencapaian dan pengiktirafan pelbagai badan dan agensi terhadap kerajaan negeri di bawah PAS. Kerajaan negeri PAS paling bersih dan penuh berintegriti dan ia sesuatu yang BN-Umno gagal tingkatkan selama ini.
 
Mungkin hakikat itu tidak disentuh dan disembunyikan kerana ia akan melarikan matlamatnya untuk menjulang Umno yang telah lebih 28 tahun tidak berkuasa di Kelantan.
 
Tan tidak sedar walau Kelantan kini punya Umno, Bersatu, PAN yang masing-masing lapar kuasa, tetapi rakyat Kelantan kenal sangat mereka dan sejarah di belakang mereka masing-masing.
 
Semuanya punya rahsia silam yang bukan rahsia lagi buat rakyat Kelantan.
 
Sebagaimana dipetik Naib Presiden PAS dan Timbalan MB Kelantan, Ustaz Dato' Mohd Amar Nik Abdullah dalam artikel berkenaan, kedua-dua Pakatan dan BN punya rekod yang terlalu tercalar.
 
Kedua-duanya kata beliau di mata rakyat Kelantan adalah umpama: "kuali dan belanga hitam".
 
Tercemar dan tercalar, tidak wajar diberi peluang kecuali menempah padah.
 
PAS kata beliau menawarkan diri sebagai perkakas 'stainless  steel' bersih dan terbukti.
 
Apapun rakyat Kelantan telah sejak 1990 mempertahankan bumi "Serambi Makkah" ini dari dikotori pihak yang tempang dan pincang.
 
Dan PRU14 ini insyallah bumi bertuah ini bakal kekal sejahtera bersama Islam kekal sebagai ikon kebangaan ummah. - HARAKAHDAILY 18/2/2018

SAYA tidak akan pelik jika Presiden PAN, Mohamad Sabu, mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, adalah diktator. PAS sekarang ini adalah musuh ketat parti yang beliau ketuai, iaitu PAN, maka sudah tentulah beliau akan cuba memperburukkan ke tahap maksima PAS dan pemimpin tertingginya.
 
Namun begitu, untuk Mohamad Sabu menyatakan bahawa bekas Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor, dan bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, juga diktator adalah satu perkara yang sukar dijangkau oleh akal fikiran biasa kerana rekod-rekod sejarah membuktikan bahawa mereka, malah Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekalipun, bukanlah diktator dan kehebatan mereka juga bukanlah kerana mereka diktator.
 
Memberikan gambaran bahawa PAS di bawah pimpinan Datuk Fadzil Mohd Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak mengamalkan perundingan, perbincangan dan musyawarah adalah satu perkara yang sangat tidak betul, apatah lagi bila ia dibuat oleh Mohamad Sabu yang merupakan seorang bekas pemimpin PAS yang pernah dinaungi dan dididik oleh kedua-dua tokoh itu sendiri. Tambahan pula, gelaran diktator kepada kedua-dua tokoh ini sangat tidak selari dengan dakwaan para pemimpin PAN sendiri sebelum ini kononnya PAN adalah pewaris kepada perjuangan kedua-dua tokoh ini.
 
Bagaimanapun, inilah yang diucapkan oleh Mohamad Sabu di dalam ucapan beliau pada majlis Ceramah Pakatan Harapan (PH) Kelantan di Pengkalan Chepa malam tadi, 16 Februari 2018, bila mana beliau menyebut:
"Sekarang saya menjadi Presiden Parti PAN. Saya tidaklah sehebat Ustaz Fadzil Mohd Noor, tidak langsung sehebat Tok Guru Nik Abdul Aziz, juga tidak sehebat Tok Guru Haji Hadi. Saya hanyalah pemimpin kecil, memimpin sebuah parti. Sebarang keputusan kami ambil secara perundingan, secara perbincangan. Kerana dalam PAN tak ada pemimpin yang boleh 'dictate', yang boleh mengatakan "ini", "buat ini", "jangan tak buat itu". Kerana kita cuba selesaikan dalam bentuk musyawarah dan keputusan terbaik kita ambil. Sebab itulah saya tidaklah menjadi ketua setahap pemimpin-pemimpin yang saya sebut tadi."
 
Adalah satu perkara yang baik untuk kita dilihat cuba bersikap merendah diri dengan menyatakan kita tidaklah sehebat pemimpin dan bekas pemimpin parti kita dahulu seperti yang dilakukan oleh Mohamad Sabu ini, malangnya adalah satu perkara yang tidak baik bila di dalam usaha kita untuk menonjolkan 'kehebatan' kita sendiri itu maka kita memperlekehkan pula pemimpin dan bekas pemimpin parti kita dahulu dengan memberikan gambaran kononnya mereka tidak mengamalkan perundingan, perbincangan dan musyawarah.
 
Berdasarkan kepada rekod-rekod sejarah, PAS di bawah pimpinan mereka memang mengamalkan perundingan, perbincangan dan musyawarah, baik pada peringkat cawangan, kawasan, negeri dan pusat, di mana kemuncak kepadanya ialah Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS dan Muktamar Tahunan PAS Pusat.
 
Berpolitik itu tidak ada salahnya, tetapi janganlah di dalam usaha kita untuk berpolitik itu kita bersikap keterlaluan pula dengan menidakkan fakta-fakta sejarah malah dengan menggelarkan bekas pemimpin parti kita dahulu dengan istilah yang tidak baik.
 
Jika Mohamad Sabu adalah orang yang benar, saya mohon beliau senaraikan kejadian dalam mana Datuk Fadzil Mohd Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah 'dictate' pimpinan dan ahli PAS sebelum ini. - HARAKAHDAILY 17/2/2018

DEWAN Muslimat PAS Selangor mengucapkan Selamat menyambut Tahun Baharu Cina 2018 kepada semua masyarakat Tionghua umumnya di Malaysia dan khususnya di Negeri Selangor. Semoga kehadiran Tahun Baharu kali ini membawa kebahagiaan,  kesejahteraan dan keharmonian kepada seluruh kehidupan keluarga dan rakyat Malaysia. 
 
Amalan baik yang tetap utuh ketika menyambut Tahun Baru Cina adalah majlis 'makan besar' yang mengumpulkan ahli keluarga. Amalan baik ini  mampu menguatkan institusi keluarga dan membina masyarakat yang sejahtera. Di kala masyarakat Malaysia yang berhadapan dengan meningkatnya masalah moral, institusi keluarga yang berpecah belah dan kadar jenayah yang makin menggila, masyarakat Cina tetap tampil membawa budaya baik iaitu ‘makan besar' yang merapatkan semangat kekeluargaan. 
 
Firman Allah SWT:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)."
(Al Hujurat: 13)
 
PAS sentiasa menghormati dan mengiktiraf kehadiran dan peranan masyarakat Tionghua dalam membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan makmur terutama melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS. Sikap toleransi dan saling memahami adalah struktur yang penting bagi kita mewujudkan Malaysia yang sejahtera. Semoga kerjasama dan kesatuan yang telah lama wujud tersemat tetap teguh.
 
Perbezaan tidak perlu diperbesarkan sehingga menyumbang kepada perpecahan. Sebaliknya dijadikan obor semangat untuk saling melengkapi demi menjamin kesejahteraan negara dan mengembalikan hak rakyat yang makin diratah tanpa segan silu.
 
Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor sentiasa mendoakan agar keharmonian dan kestabilan masyarakat majmuk akan terus kukuh dan erat ke arah mewujudkan Negara Sejahtera dan Berkebajikan. 
 
Selamat Tahun Baharu Cina 2018
Gong Xi Fa Cai
 
USTAZAH HJH WAN HASRINA WAN HASSAN
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor

SETIU: Walaupun penoreh getah berkerja dua kali sehari pada pagi dan selepas Isyak sebelah malamnya, mereka masih terkial-kial untuk meneruskan kehidupan dengan keperluan yang paling asas.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, ia adalah kerana harga getah terlalau rendah, berada di sekitar RM2.30 dan RM2.40 bagi satu kilogram.
 
“Dalam keadaan sekarang ini purata sebatang batang pokok getah perlu ditoreh 3 hingga 4 hari untuk dapat sekilo getah sekerap. Bermakna (untuk mendapat) sekilo getah sekerap, sebatang (pokok) getah perlu dikunjungi oleh penoreh empat hari.
 
"Untuk empat hari itu, baru boleh dapat RM2.30 dengan purata sebenar 40 sen lebih sahaja sehari,” jelasnya ketika meninjau kehidupan golongan penoreh di Kampung Kerandang, Jabi, di sini kelmarin.
 
Bermakna katanya, jika dibandingkan dengan keperluan hidup seharian, penoreh tidak mampu untuk membeli ikan Selayang yang paling murah, berharga RM10 sekilogram.
 
Bahkan kata beliau, amat menyedihkan apabila pekedai runcit memberitahu, penoreh getah hanya mampu membeli beras secara timbang kilogram, kerana tidak mempunyai wang.
 
“Habis pergi (mereka) kedai beli hanya sekilo (beras) dan ada yang terpaksa beli beras bukan setakat sekilo, ditanda pulak dalam buku hutang Buku 555.
 
“Menjelang seminggu atau dua daun akan luruh getah tidak mengeluarkan susu-susu. Dengan harga getah sekarang ini, kita jangkakan penoreh memang akan berhadapan kesempitan,” katanya.
 
Beliau berkata, bantuan kewangan yang diberikan kepada para penoreh getah, tidak dapat menyelesaikan masalah yang dialami oleh mereka.
 
“Biasanya kerajaan akan timbulkan, yang kerajaan dah bagi bantuan ‘one off’, bantuan ini bukan penyelesaian, (bantuan yang diberikan) ketika musim tengkujuh dan beberapa bantuan lagi.
 
“Ia hanya bantuan yang akan habis dalam tempoh sehari dua hari sahaja,” tegasnya.
 
Justeru itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Terengganu menggesa kerajaan meletakkan satu harga yang stabil, bagi membolehkan para penoreh hidup dengan selesa.
 
“Kita nak penyelesaian jangka panjang, yang mana kerajaan boleh menstabilkan harga getah ini pada satu harga syiling yang munasabah.
 
“Rata-rata bila kita buat tinjauan, pandangan di kalangan penoreh getah tidak mengharapkan harga RM6 atau RM7 sekilogram, (tetapi) cukup sekadar RM4 sekilogram harga getah sekerap sudah dikira harga yang sangat stabil,” jelasnya. - HARAKAHDAILY 17/2/2018

ISU harga rumah yang mahal dan di luar kemampuan rakyat membeli amat penting menjadi penilaian mengenai kedudukan semasa rakyat Malaysia. Ia boleh menjadi kayu pengukur adakah benar rakyat Malaysia sedang dalam keadaan selesa dengan berbelanja mewah atau sedang menderita kepayahan dengan keadaan yang berlaku hari ini.

Data daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan rumah di negara ini “tidak mampu dibeli” pada 2016 oleh standard antarabangsa boleh menjadi penanda aras penting. Menurut BNM, antara faktor kemampuan membeli rumah disebabkan oleh penawaran dan permintaan yang tidak sepadan, serta pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan. BNM menganggarkan harga rumah mampu milik di negara ini ialah pada maksimum RM282,000 berdasarkan pendekatan beban kos perumahan. Bagaimanapun, median harga rumah sebenar ialah RM313,000 (pada 2016), jauh melepasi kemampuan kebanyakan isi rumah, dengan pendapatan median isi rumah kebangsaan hanya RM5,228.00

Data yang dikemukakan ini dengan mudah faham menyatakan bahawa harga rumah yang tersedia tidak sepadan dengan pendapatan isi rumah. Kerana itu, rakyat tidak mampu membeli rumah. Dalam keadan begitu, rakyat pula terpaksa menanggung beban kos hidup yang semakin meningkat, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), harga barangan yang naik setiap masa. Mereka terpaksa berjimat cermat, mengikat perut, dan hanya membeli barangan keperluan sahaja. Soal membeli rumah adalah perkara sampingan yang akan dilakukan oleh golongan yang berkemampuan sahaja.

Oleh itu pandangan Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin bahawa pengguna tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk perbelanjaan runcit adalah relevan dan perlu diambil perhatian sewajarnya. Ia berkait rapat soal ekonomi dan kadar kemampuan rakyat dalam membeli keperluan hidup mereka. Jika dalam soal keperluan harian pun rakyat mengikat perut, tidak mungkin rakyat mampu berbelanja besar membeli rumah, kenderaan dan bercuti di luar negara.

Justeru, syor daripada BNM wajar dipertimbangkan sesegera mungkin bagi menangani masalah ketidak mampuan memiliki rumah yang sedang dialami. Antara lain syor BNM antara lain dengan mencadangkan halangan kos kepada perumahan mampu milik dikurangkan supaya rakyat lebih mampu memiliki rumah dengan mudah. Harga rumah mampu milik perlu disesuaikan mengikut kadar pendapatan rakyat, atau pendapatan rakyat dinaikkan sesuai dengan harga rumah semasa agar ia seimbang. Pendapatan rakyat yang statik atau naik amat perlahan amat tidak berpadanan dengan keadaan semasa di mana hampir semua harga barangan naik begitu drastik dan ketara. Rakyat semakin tertekan dan selepas ini entah apa pula data terbaru yang dikeluarkan membenarkan semua realiti yang dialami.

Apa yang ditimbulkan ini bukan untuk mencetuskan suasana cemas dan panik, tetapi sekadar membangkitkan realiti semasa dan usah menafikan keadaan ini. Kerana semakin banyak penafian yang dibuat, semakin banyak fakta yang muncul dan timbul, yang menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia sedang dilanda krisis kewangan atau ekonomi yang serius. Jika tidak ditangani, ia boleh membangkitkan kemarahan dan kebangkitan rakyat. Perut rakyat yang lapar, boleh membahayakan pemimpin Umno yang sedang kenyang dan mewah, khususnya menjelang PRU ke-14 nanti.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 16/2/2018

SAYA dengan masyarakat Cina ini ada sejarah yang menariklah. Moyang saya dulu masa perang dunia yang kedua, masa itu ada dua orang warga Cina yang terdampar di pantai kampung saya kampung Rusila, jadi moyang saya pergi selamatkan mereka dan sembunyikan mereka di dalam hutan dekat dengan kampung Rusila itulah. Jadi masa itu tentera Jepun mari cari, jadi tak jumpalah bila moyang saya sembunyikan mereka berdua. Dan selepas daripada itu, moyang saya ambil mereka ini sebagai anak angkat.

Untuk pengetahuan semua memang dalam keluarga saya ada bangsa Cina. Adik saya Yusuf, isterinya ialah bangsa Cina. PAS sangat terbuka dengan semua bangsa, kaum dan penganut ugama. Itu boleh lihat dan boleh saksikan dalam ceramah, dalam penulisan-penulisan daripada pimpinan PAS. Bahkan kita buktikan dalam pemerintahan yang dipimpin oleh PAS di Negeri Kelantan, di Negeri Terengganu, di Negeri Kedah satu ketika dulu, di Negeri Selangor sendiri.

PAS adalah sebuah parti yang menjadi salah satu daripada tonggak dalam pembinaan negara kita ini selepas kita mencapai kemerdekaan. Dan kita menerima kepelbagaian kaum dan bangsa di atas semangat kemerdekaan yang kita capaikan itu. Antara mesej yang dibawa oleh PAS ialah:

أَسْلِمْ تَسْلَمْ

Terima Islam nescaya selamat

Mesej ini bukan bererti kita memaksa penganut bukan Islam untuk memeluk Islam, tidak. Tetapi mesej ini ialah kita bawa kepada penganut bukan Islam untuk menerima Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Saya membayang dan mengimpikan jika sekiranya Malaysia ini diberikan peluang kepada PAS untuk mentadbir dan mengurusnya ialah sebuah Malaysia yang sejahtera berasaskan kepada konsep Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin mengucapkan kepada saudara-saudara, rakan-rakan bangsa Cina di dalam negara kita ini Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Cai.

 

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

Ketua Pemuda

Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 16/2/2018

More Articles ...