21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

LAJNAH Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat menyambut baik komen positif oleh agensi penarafan Moody’s Investor Services, bahawa potensi peralihan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang akan memberikan risiko yang kecil kepada penarafan A3-Stable Malaysia sekarang. Moody menambah bahawa jangkaan ini adalah selagi mana tiada perubahan substantif kepada polisi-polisi jangka panjang kerajaan.

Bagi kami komen daripada Moody tersebut menggambarkan sikap profesional agensi antarabangsa itu dalam memberikan penarafan kredit kepada sesebuah negara yang berdaulat seperti Malaysia.

Ianya juga bermaksud penerimaan Moody bahawa walau apapun keputusan dan pilihan rakyat selepas PRU14 ini, ianya adalah proses biasa dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Dan sebagai sebuah parti yang mengamalkan pendekatan “muwajahah silmiyyah” dan terlibat secara langsung dalam proses demokrasi pilihan raya, kami yakin sekiranya PAS dipilih oleh rakyat sebagai kerajaan nanti, pasaran dan komuniti perniagaan akan tetap menerima PAS sebagai kerajaan yang berdaulat dipilih secara sah.

Oleh kerana itulah maka semua tawaran PAS yang telah kami hebahkan kepada umum sepertimana Dokumen Hijau (DH), Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS) dan terkini tawaran Manifesto Malaysia Sejahtera adalah ke arah membina negara Malaysia yang sejahtera, malah yang lebih penting akan memperbaiki dan memulihkan daya saing Malaysia. Dan yang akhirnya akan menjadikan Malaysia lebih kompetitif bagi memastikan penarafan Malaysia akan terus kukuh.

Untuk maksud itu maka PAS dalam banyak sesi penerangan dan beberapa kali pernah disebut oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, bahawa ekonomi Malaysia sebenarnya menghadapai masalah struktur yang salah yang menyebabkan ianya tidak mapan dan tidak kompetitif.

Struktur ekonomi Malaysia sekarang yang terlalu bergantung kepada input modal perlu dibetulkan dan beralih kepada struktur ekonomi berinput buruh yang lebih mapan. Dengan kata lain kuasa untuk menggerakkan ekonomi harus diserahkan kepada rakyat dan meminimakan penglibatan kerajaan.

Jesteru itu tawaran PAS adalah penyelesaian melalui DH yang mengandungi dasar-dasar dan prinsip-prinsip penting berkaitan pengurusan ekonomi Islam bagi menjamin keadilan, pembangunan, kesaksamaan serta pengukuhan ekonomi negara dan rakyat berasaskan Islam.

Secara teknikal DH menawarkan alternatif yang bukan sahaja mampu untuk menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang amat regresif dan opresif, malah ianya mesra pelabur dan pengguna. Melalui alternatif tiga perkara iaitu Cukai Simpanan Korporat, Cukai Pegangan Saham dan Cukai Keuntungan Saham, bukan sahaja menyediakan struktur cukai yang lebih adil berasaskan prinsip Islam, malah mampu untuk meningkatkan permintaan melalui permerkasaan kuasa beli rakyat.

Berdasarkan anggaran kami, melalui pendekatan Cukai Simpanan Korporat kerajaan akan mampu memperolehi pendapatan cukai sebanyak anggaran RM 12.5 billion setahun.

Manakala untuk Cukai Pegangan Saham nilai potensi yang mampu diperolehi kerajaan adalah sebanyak anggaran RM 47.5 billion setahun berdasar harga saham semasa. Semua ini membayangkan bahawa potensi hasil menggunakan kaedah cukai alternatif ini lebih tinggi daripada pendapatan GST itu sendiri. Ini tidak termasuk potensi pendapatan daripada Cukai Keuntungan Saham yang juga agak substantif nilai urus niaganya.

Melalui struktur cukai baru bagi menggantikan GST ini, konsep dicukai orang kaya dan diagihkan kepada orang miskin akan terserlah dan diperkukuhkan lagi, yang mana ianya mengambil model zakat sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

Walaupun begitu dalam melaksanakan struktur cukai baharu ini, PAS akan memastikan bahawa ilkim pelaburan Malaysia, terutama melalui dagangan di Bursa Malaysia, akan terus kekal kompetitif dan mesra pasaran supaya daya saing ekonomi Malaysia boleh diperkasakan. Jesteru perbincangan lanjut diperingkat kerja akan diadakan bersama Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia dan pihak berkepentingan pemain pasaran yang lain bagi memastikan pelaksanaan struktur cukai baharu ini berjaya.

Pelaksanaan konsep ekonomi Islam melalui tawaran DH ini diperkukuhkan lagi melakukan Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS) yang merupakan 'road map' untuk Malaysia ke arah Negara Sejahtera. WINS 2051 merupakan satu model baru yang dicetuskan oleh PAS sebagai panduan asas untuk mentadbir sebuah negara berdasarkan prinsip-prinsip Islam dalam realiti moden. Mengandungi 10 konsep asas yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa, WINS akan menyediakan Malaysia dengan asas yang kukuh ke arah Malaysia Sejahtera.

Antara elemen penting WINS 2051 adalah penstrukturan sistem percukaian berdasarkan sistem ekonomi Islam. Inisiatif ini adalah strategi bagi memastikan tercapai elemen ke tiga WINS iaitu “kekayaan dan hasil tempatan adalah untuk semua lapisan rakyat”. Strategi ini amat penting bagi memastikan kuasa beli rakyat akan meningkat yang seterusnya menyokong permintaan. Sudah tentu hasil akhir adalah untuk tujuan memastikan Malaysia kekal kompetitif.

Bagi memterjemahkan tawaran-tawaran PAS ini melalui polisi-polisi pengurusan ekonomi seperti yang disebut di atas, tawaran yang lebih mikro telah dituntaskan melalui Manifesto Malaysia Sejahtera (MMS) yang baharu dilancarkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS.

Tawaran MMS yang komprehensif tersebut mendokong beberapa objektif penting untuk memastikan Malaysia kekal kompetitif iaitu, yang paling utama, untuk membetulkan struktur ekonomi Malaysia. Oleh itu, daripada sembilan teras utama MMS, tiga daripadanya adalah diukir khusus bagi memperkasa rakyat sebagai penggerak utama ekonomi Malaysia. Tiga teras tersebut adalah:

Teras Kedua – Penambahan pendapatan boleh guna dan penjanaan peluang baharu untuk rakyat.

Teras Ketiga – Pemberdayaan rakyat untuk meredakan kesan peningkatan inflasi dan kenaikan kos sara hidup.

Teras Keempat – Pengurangan jurang agihan pendapatan dan kakayaan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.

Kumpulan utama sasaran teras-teras tersebut adalah rakyat kelas menengah (M40) dan kelas bawah (B40). Ini jelas daripada semua inisiatif 20 perkara tawaran MMS yang jelas bagi memperkasa M40 dan B40 yang secara langsung akan menjadikan rakyat lebih berfungsi dalam eko-sistem ekonomi Malaysia. Antara sebahagian daripada tawaran 20 perkara yang akan memberi kesan langsung kepada rakyat adalah lapan inisiatif berikut:

1.     Menghapuskan Goods and Services Tax (GST) yang membebankan rakyat dan menggantikannya dengan sistem percukaian yang lebih adil seperti Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Pegangan Saham di Bursa Malaysia.

2.     Melupuskan hutang peminjam-peminjam PTPTN yang sedia ada untuk meringankan bebanan anak muda sebagai satu inisiatif permulaan ke arah memberikan pendidikan percuma.

3.     Memberikan bantuan makanan asasi kepada golongan fakir dan miskin secara bulanan menerusi program It’aam Kebangsaan.

4.     Menawarkan bantuan sekali (one-off) sebanyak RM 2,000 sebagai modal kepada wanita bekerjaya untuk memulakan kerja dari rumah.

5.     Melaksanakan program bas sekolah percuma untuk membantu meringankan bebanan ibu bapa.

6.      Memberikan bantuan pembelian kereta pertama di bawah 1300 cc (1.3 liter) menerusi pengecualian duti eksais dan pembiayaan pinjaman tanpa faedah (Qardul Hasan).

7.      Mengurangkan harga rumah mampu milik antara RM 50 ribu sehingga RM 180,000.

8.      Menstrukturkan semula kadar bayaran tol untuk mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun

Semua tawaran-tawaran tersebut di atas sudah tentu akan meningkatkan lagi pendapatan boleh guna rakyat yang akhirnya akan memperkukuhkan lagi ekonomi Malaysia dengan struktur yang betul.

Sudah tentu tawaran ini akan mampu menyelesaikan banyak masalah rakyat terutamanya B40 yang rata-ratanya dihimpit oleh kemiskinan, terutamanya yang tinggal di bandar. Mengikut laporan kajian Bank Negara Malaysia (BNM), 27 peratus rakyat yang tinggal di Kuala Lumpur mempunyai pendapatan dibawah tahap kemampuan hidup.

Walaupun B40 ada mendapat kenaikan upah sekitar 6 peratus setahun di antara tahun 2014 hingga 2016 namun ianya masih tidak mampu untuk mengekang kos sara hidup mereka. Ini adalah kerana jika diambil kira kos sara hidup yang perlu ditanggung, pendapatan sebenar bagi B40 hanya meningkat pada kadar 3.8 peratus.

Sebagai panduan mengikut BNM pendapatan mampu hidup untuk Kuala Lumpur adalah sekitar RM 2,700 untuk dewasa bujang, RM 4,500 untuk pasangan dan RM 6,500 untuk pasangan dengan dua anak.

Sudah tentu inisiatif untuk meningkatkan lagi upah dan pendapatan boleh guna rakyat perlu diseimbangkan dengan peningkatan produktiviti rakyat, yang penting bagi memastikan inflasi stabil.

Justeru bagi menentukan iklim ekonomi Malaysia kekal sihat, inisiatif spesifik bagi meningkatkan produktiviti rakyat akan juga diperkenalkan oleh PAS, seimbang dengan inisiatif peningkatan upah dan pendapatan boleh guna, yang akhirnya akan meningkatkan kadar keluaran kasar pekerja Malaysia, iaitu daripada 1.7% sekarang kepada 3.8 peratus. Kadar 3.8 peratus adalah standard yang ditentukan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi negara berpendapatan menengah atas seperti Malaysia.

Dengan semua tawaran-tawaran polisi, road map dan inisiatif yang PAS utarakan kepada rakyat dan pasaran, kami berkeyakinan bahawa apabila PAS diberi peluang dan kepercayaan oleh rakyat bagi memerintah Malaysia selepas PRU14 nanti, akan tidak berlaku apa-apa kejutan yang boleh menjejaskan ekonomi dan pasaran negara, sebagaimana ramalan daripada Moody di atas.  

Walaupun terdapat sedikit kegusaran yang disebut di dalam laporan Moody, terutama berkaitan kedudukan hutang luar, kami percaya Malaysia akan berada dalam landasan dan struktur ekonomi yang lebih kukuh selepas PRU14 dengan pelaksanaan polisi-polisi baharu tersebut, yang secara langsung akan meningkatkan keyakinan pasaran dan mengukuhkan lagi nilai ringgit. Jesteru tahap hutang luar negara akan dapat diurus dalam julat yang optimum iaitu tidak melebihi 20 peratus kadar pembayaran balik hutang (debt service ratio).

Oleh itu kami berpandangan bahawa para penganalisa dan agensi penarafan perlu mengambil kira dan yakin dengan keupayaan PAS untuk mentadbir dan mengurus ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih baik. Justeru, dalam menilai kemampuan PAS, ianya perlulah dilakukan secara objektif, melalui penelitian tawaran-tawaran di atas, dan tidak hanya bergantung kepada sentimen pasaran. Dengan ketelusan, urus tadbir cekap dan integriti tinggi yang telah dibuktikan oleh PAS, kami yakin Malaysia akan lebih kompetitif dan lebih sejahtera bersama PAS.

Malaysia Sejahtera 

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat
14 Rejab 1439H / 1 April 2018 - HARAKAHDAILY 1/4/2018

PEMIMPIN PAN, termasuk Presidennya Mohamad Sabu dan Pengarah Hal Ehwal Syariahnya Zolkharnain Abidin al-Abyadhi, sering mencemuh PAS kerana kononnya mengamalkan politik takfiri dan suka melabelkan pihak yang tidak bersetuju dengannya.

Tidak mereka ketahui atau mungkin mereka lupa bahawa Penasihat Umum PAN Ustaz Ahmad Awang dan Timbalan Penasihat Umum PAN Ustaz Abdul Ghani Samsudin sendiri biasa memberikan atau mengongsi label buruk kepada pihak yang mereka tidak setujui.

Berdasarkan rekod, kedua-dua Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani yang merupakan mantan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia diketahui amat kuat mengata Tun Dr Mahathir dengan beberapa kali menegur Tun Dr Mahathir dalam isu-isu membabitkan akidah atau syariah.

Antara lainnya, Ustaz Ahmad Awang menulis, pada 10 Mei 2008, mengenai “tindakan gila kuasa yang melampau Tun Dr Mahathir (yang meminda perlembagaan mengurangkan imuniti kuasa Raja-raja) seharusnya boleh dihukum pancung oleh Raja-raja Melayu”.

Ustaz Abdul Ghani pula antara lainnya mengongsi, pada 24 September 2012, kenyataan media Teras yang menyebut kekesalan Teras dengan kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengatakan mengikuti Sunnah dan Hadis tidak wajib untuk menentu hukum Islam sekali gus menyifatkan Tun Dr Mahathir sebagai tersasar dalam pegangan akidahnya.

Ustaz Abdul Ghani juga menulis, sambil mengongsi video Tun Dr Mahathir menyebut “Hudud tiada dalam al-Quran”, pada 3 Januari 2013, mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa “Hudud tiada dalam al-Quran” ini dengan menyifatkannya sebagai “kenyataan salah yang perlu ditarik balik dan menggugat akidah umat Islam”.

Ustaz Abdul Ghani juga mengongsi, pada 19 Februari 2014, kenyataan media Mapim yang menyebut Tun Dr Mahathir dan Dr Kassim Ahmad sebagai mempunyai pemikiran sesat, sudah lanjut usia serta mungkin tidak mahu bertaubat dari pegangan yang sesat.

Ustaz Ahmad Awang juga menyebut, dan Ustaz Abdul Ghani mengongsinya, pada 19 Februari 2014, bahawa Tun Dr Mahathir berbohong apabila berkata para ulama di negara ini gagal melawan Dr Kassim Ahmad dengan hujah lalu melabelkannya ‘anti-hadis’.

“Boleh dihukum pancung”, “Tersasar dalam pegangan akidah”, “Penggugat akidah umat Islam”, “Mempunyai pemikiran atau pegangan sesat” dan “Pembohong” adalah label-label amat keras yang pernah diberi atau dikongsi oleh Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani.

Tun Dr Mahathir pula tidak diketahui pernah meminta maaf mahupun menarik balik pelbagai kenyataan yang menyebabkan beliau dilabel sebagai “Tersasar dalam pegangan akidah”, “Penggugat akidah umat Islam” dan “Mempunyai pemikiran atau pegangan sesat” ini.

29 Mac lalu, Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani merendahkan diri 'mengadap' Tun Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana sehingga, menurut catatan Ustaz Abdul Ghani, mereka sanggup menunggu giliran untuk berbuat demikian.

Berdasarkan gambar ditunjukkan dan catatan Ustaz Abdul Ghani mengenai “mengukuhkan hubungan silaturahim”, tidak logik pertemuan itu bertujuan mendesak Tun Dr Mahathir meminta maaf mahupun menarik balik pelbagai kenyataan kontroversi beliau.

Tidak diketahui Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani pernah menegur Tun Dr Mahathir, mahupun pemimpin DAP, sejak mereka dan parti mereka, PAN, bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir dan parti beliau, PPBM, mahupun DAP.

Bila Penasihat Umum dan Timbalan Penasihat Umum PAN sendiri sudah tunduk mengalah kepada Tun Dr Mahathir dalam isu-isu membabitkan akidah atau syariah maka tidak hairanlah pemimpin PAN lain seperti Hanipa Maidin boleh lepas bebas. - HARAKAHDAILY 31/3/2018

SELURUH umat Islam sedang bergembira menyambut peristiwa Israk dan Mikraj di bulan Rejab. Allah mengungkapkan peristiwa yang penuh ajaib dengan firman-Nya:

"Maha Suci (tuhan) yang telah memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam daripada Masjid Haram ke Masjid Aqsa yang kami berkatkan sekitarnya untuk kami perlihatkan kepadanya ayat-ayat Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

(al-Isra': 1)

Saya dengan penuh rasa kesal dan sedih dengan sikap yang ditunjukkan oleh MP Sepang ketika berbahas di Parlimen semalam. Allah adalah tuhan kita bagi orang Islam, tuhan sekalian alam, juga kepada semua manusia. Apabila menyebut tuhan, maka tiadalah yang terlintas di dalam fikiran kita sebagai Muslim, kecuali Allah. Sebagai umat Islam, kita dilarang sama sekali untuk menggambarkan bentuk, menyamakan, memperlekehkan, mempersenda ataupun membuat Allah sebagai satu bentuk misalan bagi memperolok-olokkan. Itu jelas:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ

"Tidak ada sesuatu pun yang menyamai Allah."

(ash-Shura: 11)

Perkataan 'kalau' sememangnya tidak boleh diguna sebagai perisai oleh MP Sepang dalam hal ini. ‘Kalau’ ada tempatnya boleh, ada tempatnya haram. Kita semua tahu sebuah hadis di zaman Rasulullah melarang kita menyebut ‘kalau’ kerana kesal atas keburukan yang menimpa. Buatlah apa pun, Allah itu bukan berjawatan, jadi bagaimana mungkin manusia boleh berkata kalau saya jadi tuhan?

Apatah lagi dengan jelas beliau menyebut sebab saya bukan tuhan, maka tuhan ciptakan MP Baling. Adakah ini bermakna Allah bodoh tidak tahu apa yang Dia lakukan? Atau Allah tidak mengetahui kesan ciptaan-Nya? Atau adakah ini Allah perlu berbincang dengan beliau dahulu sebelum menciptakan sesuatu?

Ini tidak kurang bezanya dengan sikap salah seorang yang mengaku cendekiawan Islam yang berada di dalam Bersatu sekarang ini. Beliau pernah mengandaikan jika Rasulullah hidup ketika ini, Rasulullah pun akan meletakkan jawatan. Apakah beliau bermaksud ujian yang beliau tanggung sekarang ini adalah lebih dahsyat dan hebat daripada apa yang telah Rasulullah lalui?

Atau adakah beliau ingin memberikan isyarat bahawa dengan PhD yang beliau ada, maka Rasulullah yang ummiy atau buta huruf itu tidak akan lebih hebat daripada beliau? Lebih malang lagi, ianya disebutkan di hadapan paderi di dalam gereja. Sedih kerana kedua-duanya sombong tidak mahu menerima kebenaran teguran. Janganlah harapnya mereka termasuk di dalam hadis Rasulullah yang menafsirkan sombong itu ialah menolak kebenaran dan tidak akan masuk syurga bagi mereka yang bersifat demikian.

Amat sesuailah gandingan mantap ini, kedua-duanya di dalam PH. Tidak lupa juga kepada Pengerusi PH yang tidak membenarkan isterinya bertudung, menghina Allah dan Rasul atas isu hukum Hudud ketika beliau menjadi PM dahulu. Dikuatkan lagi dengan kehadiran Presiden Bersatu yang terang-terang mengfitnah Presiden PAS menyokong GST, sedang di dalam video jelas beliaulah yang sebaliknya berkempen mempromosikan GST.

DAP yang berterusan mengfitnah dan membenci Islam, serta pimpinan mereka yang sedang menghadapi tuduhan rasuah. PKR yang juga pening dengan terpaksa menyokong Mahathir yang pernah membuat tuduhan liwat ke atas Anwar, yang sehingga kini masih belum ditarik balik tuduhan itu.

Umno-BN pula sememangnya dari mula tidak boleh diharap untuk menjaga negara, sama ada hal dunia, mahupun akhirat, maka kekallah PAS sebagai satu-satunya wadah yang tetap teguh berpegang kepada prinsip untuk menjulang Islam. PAS insyaa Allah tidak akan sekali-kali membiarkan Allah dan Rasul dipermainkan.

Marilah kita selamatkan Malaysia ini daripada dua golongan ini, yang jahil mengenai agama dan daripada golongan yang mengaku pandai agama, tetapi memberikan khayalan kepada rakyat bahawa Allah dan Rasul itu berjawatan, boleh diambil jawatan itu ataupun meletakkan jawatan itu. Wallahua’lam.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu
12 Rejab 1439 / 30 Mac 2018 - HARAKAHDAILY 30/3/2018

SAYA terpanggil untuk menyatakan rasa yang amat jelek dengan sikap biadap dan keceluparan mulut yang ditunjukkan oleh ahli Parlimen Sepang, YB Mohamed Hanipa Maidin ketika membahaskan Rang Undang-undang Anti Berita Tidak Benar 2018 pada sesi petang Sidang Parlimen semalam Khamis 29 Mac 2018.

Kebiadapan dan keceluparan beliau tersebut bukan sahaja memberikan imej tidak baik kepada kemuliaan Institusi Parlimen Malaysia, tetapi telah juga menghina Allah S.W.T dan agama Islam itu sendiri. Dengan sikap yang ditunjukkan itu, saya mewakili DPPK Sepang dan percaya seluruh anak muda Sepang berasa amat kesal dengan beliau yang sepatutnya menunjukkan sikap yang lebih profesional dan beretika sebagai seorang pemimpin Islam.

Di samping itu, DPPK Sepang juga bersyukur kepada Allah S.W.T kerana orang seperti beliau telah tidak lagi bersama dalam PAS. PAS tidak pernah mengajar ahlinya untuk bersikap dan berperangai biadap sedemikian. Saya cukup yakin dan percaya bukan sahaja ahli-ahli pemuda PAS Sepang yang telah melihat sikap beliau itu, tetapi seluruh pengundi Sepang dan rakyat Malaysia termasuklah para penyokong Pakatan Harapan (PH) sendiri telah melihat tidak senonohnya Yang Berhormat Sepang ketika menjalankan amanah sebagai wakil yang mewakili rakyat Sepang.

Dengan sikap yang sedemikian itu, YB Hanipa (jika dicalonkan semula bertanding) atau sesiapa pun juga yang dicalonkan mewakili PH di kerusi Parlimen Sepang pastinya akan diajar secukup-cukupnya oleh pengundi Sepang dengan tidak akan memberikan undi kepada PH dalam PRU ke-14 nanti.

DPPK Sepang juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri yang telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin Muslim dengan menegur kebiadapan dan keceluparan YB Hanipa tersebut dan mengajak beliau kembali untuk bersikap sebagai seorang Muslim yang sejati dengan penuh adab dan berdiplomasi walaupun dibalas dengan segala macam perkataan buruk dan penghinaan. Inilah akhlak yang sepatutnya dimiliki oleh seorang pemimpin. Pemimpin sebeginilah yang akan ditawarkan oleh PAS kepada rakyat untuk dipilih pada PRU 14 nanti.

Justeru itulah, undi para pengundi Sepang mestilah diberikan kepada PAS pada PRU ke-14 akan datang untuk memberikan peluang PAS merealisasikan Negeri Selangor Yang Sejahtera.

Akhirnya kepada YB Hanipa, beristighfar dan bertaubatlah! Di kesempatan hari Jumaat yang barakah ini, marilah hayati sabda Baginda Nabi S.A.W:

وَ إِنَّ العَبْدَ لَيَتكلَّمُ بالكَلِمَةِ مِنْ سُخْطِ اللهِ لا يُلْقي لَهَا بالاً يَهوى بها فى جَهَنَّمَ

“Sungguh seseorang mengucapkan satu kalimat yang mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia menganggapnya ringan, kerananya dia dilemparkan ke dalam api neraka.”

(HR Bukhari no 6478)

MOHD NAZWAN SAIDI
Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Sepang
30 Mac 2018 - HARAKAHDAILY 30/3/2018

DALAM wawancara beliau dengan portal berita Malaysia Kini pada 27 Mac lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak yang juga Pengerusi PPBM Perak, Ahmad Faizal Azumu, merayu kepada DAP supaya tidak meletakkan calon Melayu di mana-mana kerusi Dun Perak.

Kata Ahmad Faizal kepada DAP, kalau mahu menang, kalau mahu undi Melayu, jangan letakkan calon Melayu di mana-mana kerusi Dun kerana jika itu dilakukan ia akan menghantar isyarat kepada pengundi Melayu bahawa DAP mahu ketuai kerajaan negeri.

Masalah yang dibangkitkan oleh Ahmad Faizal ini tidak terhad kepada Perak sahaja malah di negeri-negeri lain seperti Johor juga yang menyaksikan DAP muncul pemenang terbesar antara semua parti pembangkang bagi kerusi Dun Johor di dalam PRU 13, iaitu 13.

Apatah lagi bila Pengerusi DAP Johor merangkap Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, telah mengumumkan di dalam Konvensyen DAP Johor pada 11 Oktober 2015 lagi bahawa DAP perlu melengkapkan diri sebagai bakal pewaris Kerajaan Johor.

Jika dilihat kepada senarai nama kesemua 13 calon Dun DAP di Johor yang kesemuanya mencapai kemenangan di dalam PRU 13, maka akan didapati bahawa kesemuanya adalah bukan Melayu bukan Islam, dan tidak ada seorang pun adalah Melayu Islam.

12 daripada 13 Adun DAP Johor ini adalah berbangsa Cina, iaitu Adun N2 Jementah, Tan Chen Choon; Adun N6 Bekok, Lim Eng Guan; Adun N10 Tangkak, Ee Chin Li; Adun N12 Bentayan, Chua Wee Beng; Adun N19 Yong Peng, Chew Peck Choo; Adun N23 Penggaram, Gan Peck Cheng; Adun N28 Mengkibol, Tan Hong Pin; Adun N42 Johor Jaya, Liow Cai Tung; Adun N45 Stulang, Chen Kah Eng; Adun N46 Pengkalan Rinting, Cheo Yee How; Adun N48 Skudai, Boo Cheng Hau; Adun N52 Senai, Wong Shu Qi; dan Adun N55 Pekan Nenas, Yeo Tung Siong.

Satu daripada 13 Adun DAP Johor ini pula adalah berbangsa India, iaitu Adun N30 Paloh, Shanker A/L Rengganathan. Semalam, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, mengumumkan seorang Melayu Islam, bekas ahli PAS yang menyertai DAP pada 20 Jun 2015 dengan diberikan jawatan Pegawai Khas Kepada Pengerusi DAP Johor, iaitu Sheikh Omar Ali, sebagai calon Dun N30 Paloh dari DAP.

Sekali gus isyarat yang dihantar kepada pengundi Melayu Johor, seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi PH Perak, ialah bahawa DAP mahu ketuai kerajaan negeri di Johor, dengan persepsi bahawa Sheikh Omar Ali adalah calon Menteri Besar Johor dari DAP.

Sheikh Omar Ali inilah yang dalam wawancara dengan lidah rasmi DAP, Roket Kini, pada 8 September 2015 membataskan urusan beragama kepada soal peribadi individu dengan menyebut, “Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan tuhannya”.

Kita lihat sahaja sejauh manakah benarnya telahan Pengerusi PH Perak bahawa tindakan DAP meletakkan calon Melayu di mana-mana kerusi Dun di Perak, yang terpakai juga di negeri lain, akan menyebabkan pengundi Melayu tidak mengundi PH. Awal-awal lagi DAP dah tak hormat pandangan PPBM nampaknya. - HARAKAHDAILY 31/3/2018

KESIHATAN adalah aspek paling penting yang mesti dijaga oleh setiap manusia. Oleh itu, doktor merupakan insan yang sangat diperlukan masyarakat untuk mendapat khidmat dan bantuan sewajarnya.

Kami Muslimat PAS sangat menghargai sumbangan besar kalian kepada negara. Justeru, marilah sama-sama kita zahirkan penghargaan kepada insan yang banyak berbakti kepada masyarakat ini sempena Sambutan Hari Doktor Sedunia yang disambut pada setiap 30 Mac.

Statistik jumlah pesakit yang meningkat sepanjang tahun menjadikan tugasanmu semakin mencabar. Akan tetapi, kalian tetap menjalankan amanah sebaiknya walaupun kami mengerti masamu bersama keluarga, begitu juga waktu rehat makan dan sebagainya sering kali terlepas serta terpaksa dilupakan.

Namun ketahuilah, setiap saatmu merawat dan menyelamatkan nyawa seorang insan itu bernilai ibadah. Kami rakyat Malaysia mendoakan semua doktor di seluruh negara beroleh kesejahteraan dan ketabahan mengiringi penat lelah kalian.

Terima Kasih Doktor!

“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”

Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
12 Rejab 1439H bersamaan 30 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 30/3/2018

doktor

SEPANJANG bulan Mac ini terdapat tiga isu besar membabitkan kenyataan kontroversi dua pemimpin tinggi PAN, iaitu Naib Presiden PAN, Husam Musa, dan Pengerusi Kanun PAN, Hanipa Maidin.

Isu pertama adalah membabitkan kenyataan Husam Musa di Kuala Krai pada 3 Mac bahawa “haram undi PAS”. Isu kedua adalah membabitkan kenyataan Hanipa Maidin di Dewan Rakyat pada 7 Mac beliau “puas hati mati lawan BN”.

Isu ketiga adalah membabitkan kenyataan Hanipa Maidin di Dewan Rakyat pada 29 Mac kalau beliau tuhan beliau tidak akan jadikan atau akan hapuskan Datuk Seri Azeez Rahim.

Sepanjang wujudnya ketiga-tiga isu ini, Penasihat Umum dan Timbalan Penasihat Umum PAN, Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Samsudin, tidak diketahui mengeluarkan kenyataan bagi menyokong atau menegur pembuat kenyataan kontroversi tersebut.

Kedua-dua pembuat kenyataan kontroversi tersebut juga tidak diketahui mengeluarkan kenyataan bagi menyatakan hasrat mereka untuk merujuk dan membincangkan kenyataan kontroversi tersebut dengan Penasihat Umum dan Timbalan Penasihat Umum PAN, khususnya selepas dikritik.

Di dalam isu kenyataan Hanipa Maidin kalau beliau tuhan beliau tidak akan jadikan atau akan hapuskan Datuk Seri Azeez Rahim, Hanipa Maidin, selepas dikritik, sekadar menyatakan bahawa sokongan melalui telefon ibu beliau adalah “lebih dari mencukupi”.

Tidak dibangkit langsung oleh beliau atau mana-mana pihak lain mengenai Penasihat Umum dan Timbalan Penasihat Umum PAN seolah-olah Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Samsudin ini tidak wujud atau mereka wujud tetapi tidak berfungsi. Wujud lagikah Penasihat Umum dan Timbalan Penasihat Umum PAN? - HARAKAHDAILY 30/3/2018

More Articles ...