21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

KUALA LUMPUR: Sekalipun umur Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, 93 tahun diterbalikkan menjadi 39 tahun, PAS tetap tidak menerimanya untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri. 
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, pendirian PAS tersebut jelas dan tegas selagi Mahathir terus dengan sikapnya yang anti pelaksanaan Islam.
 
Menurut beliau, soal umur tua atau muda bukan isu dan PAS juga tidak berminat mengulas sesuatu berdasarkan andaian di mana ketika ini masing-masing pihak perlu menyelesaikan pencalonan PRU14.
 
"Isu lebih besar dari bincang usia tua muda membuat spekulasi calon PM ini adalah menetapkan dasar pemerintahan negara.
 
"Ternyata sama ada BN mahupun PH, adakah bersedia untuk meninggikan syariat Allah di atas muka bumi Malaysia selaras Perlembagaan?
 
"Yang jelas mereka tidak bersedia, malah menentang. Soal lantik PM, lepas PRU parti yang menang silalah lantik PM," ujar beliau. -HARAKAHDAILY 22/3/2018

IKATAN Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) memohon pihak KPM mewujudkan kembali Pendidikan J-Qaf di peringkat rendah dan seterusnya ke tahap pendidikan menengah rendah bagi memperkasa nilai-nilai murni di kalangan para pelajar Muslim.

Program J-Qaf pernah dilaksanakan di zaman Perdana Menteri ke-5 iaitu Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi. Pelaksanaan program ini berjaya menerapkan nilai-nilai penghayatan keagamaan di kalangan para pelajar serta mengatasi masalah buta al-Quran . Di samping itu J-Qaf ini dapat membentuk sahsiah pelajar dari sudut kesedaran terhadap kepentingan solat serta menguasai asas-asas fardhu ain dan penguasaan jawi.

Namun amat malang selepas tahun 2016 pelaksanaan J-Qaf menghadapi zaman suram dan tidak diteruskan di peringkat menengah. Satu kajian yang telah dijalankan oleh JAKIM mendapati kira-kira 23-25 peratus pelajar menengah rendah tidak tahu mengucap, membaca al-Quran, menulis jawi, mengetahui rukun iman dan Islam serta mengabaikan solat lima waktu.

Meskipun KPM telah memperkenalkan program SUMUR (Sahsiah Unggul Murid) di peringkat sekolah rendah, namun ia tidak diteruskan secara menyeluruh di peringkat sekolah menengah. Bagi memantapkan pembinaan modal insan pelajar dan pembentukan sahsiah murid unggul, iGuru mencadangkan agar dikembalikan semula program J-Qaf di peringkat menengah khususnya di tahap menengah rendah.

Apatah lagi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 tidak menjelaskan peranan subjek pendidikan Islam di dalam memperkasa kemenjadian murid secara jelas. iGuru bimbang jika Pendidikan Islam tidak diperkasa di dalam sistem pendidikan arus perdana, ia akan mendedahkan para pelajar dengan pengaruh liberalisme yang bakal menghapus identiti dan jati diri pelajar Melayu Islam.

Justeru iGuru berharap pihak KPM khususnya Bahagian Pendidikan Islam diberikan nafas baharu dan peranan lebih besar untuk memperkasa pendidikan Islam di dalam sistem pendidikan negara. Pada masa yang sama pihak KPM perlu menilai semula PPPM 2013-2025 agar diberikan penekanan kepada aspek pendidikan Islam di samping penekanan kepada penguasaan sains dan matematik serta bahasa.

iGuru bimbang gelombang TN50 yang dicanang oleh kerajaan serta menghadapi Revolusi Industri 4.0 akan gagal membina tamadun manusiawi apabila aspek penghayataan keagamaan di dalam sistem pendidikan kita dikesampingkan.

MOHD AZIZEE HASAN 
Presiden iGuru - HARAKAHDAILY 22/3/2018

"SATU masalah bila pendidikan percuma. Orang tak pandai nak hargai." Begitulah kata mereka dan keluarga mereka yang tak suka dengan tawaran Manifesto Gagasan. Pelik juga nak layan mentaliti peminat hutang seperti ini.

Faktanya majoriti mereka yang sedang menjawat jawatan tinggi di pelbagai Kementerian dan jabatan kerajaan ialah generasi penerima biasiswa dan bukannya peminjam PTPTN. Malah Pengerusi PTPTN sendiri dulu belajar dengan biasiswa kerajaan dan bukannya peminjam PTPTN.

Tak keterlaluan kalau saya katakan bahawa ramai mereka yang berada di posisi pembuat polisi adalah bukan generasi PTPTN. Bolehkan dipukul rata bahawa mereka adalah generasi yang tak tahu menghargai?

Bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Dr Ng Yen Yen dulu belajar dengan biasiswa Kerajaan PAS Kelantan. Tak dapat biasiswa Kerajaan Persekutuan, biasiswa Kerajaan PAS Kelantan menjadi alternatif untuk belajar di Fakulti Perubatan Universiti Malaya sehingga berjaya lulus pada tahun 1972.

Perlu dibuat satu kajian, kenapa orang Melayu Umno selalu anggap, yang dibayar itu bernilai. Kalau percuma maknanya tak ada nilai. Lagi mahal maka lagi tinggi nilainya.

Mungkin kerana yang jadi juara barang mahal, minyak mahal, tol mahal, yuran mahal, kereta mahal, pinjaman PTPTN mahal dan pelbagai lagi aneka mahal ialah Umno, maka Umno terus menjadi pilihan mereka. Jangan tawarkan yang murah dan percuma kepada mereka yang memiliki mentaliti ini. Murah dan percuma bermakna tak bernilai!

DR AZMAN IBRAHIM

Ahli Jawatankuasa Kerja

PAS Pusat - HARAKAHDAILY 22/3/2018

SEMPENA Hari Air Sedunia yang jatuh pada 22 Mac setiap tahun, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Malaysia supaya melindungi sumber air yang amat kritikal di Malaysia untuk memastikan jaminan sekuriti air negara. Langkah-langkah yang perlu diambil termasuk mengelaskan hutan simpanan kekal untuk tujuan perlindungan, pengurusan baik tanah lembap dan meningkatkan usaha untuk menuai air hujan.

Tema sambutan tahun ini ialah ‘Alam Untuk Air’, meneliti penyelesaian berasaskan alam terhadap cabaran air yang kita hadapi dalam abad ke 21. Mesej utama penyelesaian berasaskan alam seperti menanam pokok untuk menambahkan hutan, menghubung semula sungai ke dataran banjir dan membaik pulih tanah lembap, adalah cara yang berkesan dan lestari serta menjimatkan kos untuk membantu mengimbangi semula kitaran air, mitigasi kesan perubahan iklim dan memperbaiki kehidupan dan kesihatan manusia.

Rancangan Malaysia ke-11 mengenal pasti hutan sebagai modal semula jadi negara memandangkan kepada perkhidmatan ekosistem yang disediakan. Contoh yang menggambarkan aspek ini ialah Hutan Simpanan di Ulu Muda, Kedah yang merupakan sumber air penting bagi negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, yang membekalkan 96%, 80% dan 70% keperluan air harian negeri-negeri tersebut.

Apabila pembalakan menjejaskan fungsi Hutan Simpanan Ulu Muda (HSUM) sebagai kawasan tadahan air, bukan hanya aktiviti ekonomi di tiga negeri itu terjejas, tetapi keperluan asas air bagi lebih 4 juta penduduk di tiga buah negeri tersebut dan alam sekitar turut terancam.

Hutan Simpanan Kekal (HSK), sehingga dikelaskan di bawah Seksyen 10, subseksyen (1) Akta Perhutanan 1984 disifatkan telah dikelaskan di bawah Seksyen 10(1) perenggan (a) sebagai hutan pengeluaran kayuan di bawah perolehan berkekalan. Kegagalan untuk mengelaskan HSK bermakna kerajaan negeri boleh mengeluarkan lesen atau permit untuk mengambil hasil hutan dari HSK, oleh itu ia mengancam fungsi ekosistem hutan.

Pada hakikatnya, senario HSUM di mana aktiviti pembalakan dan pengambilan pasir telah diluluskan, menggambarkan betapa perlunya dasar negara yang seragam untuk melindungi hutan di Malaysia sebagai kawasan tadahan air negara.

Sungai adalah sumber air mentah utama di Malaysia. Di Semenanjung Malaysia, aliran sungai-sungai utama adalah dari Banjaran Titiwangsa yang membentuk tulang belakang Semenanjung.

Sungai utama yang mengalir ke arah Selat Melaka termasuklah Sungai Muda, Sungai Perak, Sungai Bernam dan Sungai Linggi, manakala Sungai Pahang, Sungai Rompin dan Sungai Kelantan mengalir ke arah Laut China Selatan. Sumber semua sungai ini adalah diselubungi oleh hutan hujan tropika yang menadah air untuk sungai-sungai tersebut.

Di bawah Perlembagaan, tadbir urus dan perlindungan sungai, sebagai sumber air mentah, berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Pengelasan hutan sebagai hutan perlindungan tanah, hutan kawalan banjir dan hutan tadahan air amat penting untuk melindungi sumber air.

Bagaimanapun, apabila melibatkan tadbir urus dan perlindungan hutan yang menadah air bagi sungai, amat sedikit negeri yang meluluskan enakmen negeri. Di Pulau Pinang, sejumlah 62.9 kilometer persegi hutan kini diwartakan dan dilindungi sebagai kawasan tadahan air.

Negeri lain kelihatan enggan untuk meluluskan undang-undang yang sama, kemungkinan memandangkan kepada potensi kehilangan hasil daripada premium, royalti kayu balak dan keluaran hutan lain.

Matlamat Pembangunan Lestari 6 (Sustainable Development Goal 6) memberi komitmen dunia untuk memastikan bahawa setiap orang mempunyai akses kepada air yang selamat menjelang 2030, dan termasuk sasaran bagi melindungi alam sekitar semula jadi dan mengurangkan pencemaran. Oleh itu, hutan hujan Malaysia mestilah dilindungi sebagai kawasan tadahan air mentah negara untuk melindungi bekalan air untuk penduduk.

Sehubungan itu, kami menggesa kuasa melindungi kawasan tadahan air kritikal dibawa ke bawah kuasa perundangan Persekutuan juga. Rasional bagi tujuan perundangan baharu yang dicadangkan ini ialah jika hutan hujan musnah, sungai akan kekeringan, dan ini akan menyebabkan krisis bekalan air. Jika terdapat krisis bekalan air, ia akan menjadi krisis negara yang akan menjejaskan berjuta penduduk dan mengganggu semua aktiviti ekonomi dan pergantungan hidup.

Air hujan merupakan sumber air lestari yang merupakan komponen penting dalam mencapai jaminan sekuriti air. Dalam konteks ini, melindungi hutan, sungai dan tanah lembap yang merupakan kawasan tadahan air semula jadi perlu dianggap sebagai isu kepentingan negara yang perlu diambil tindakan segera.

SM MOHAMED IDRIS
Presiden Sahabat Alam Malaysia - HARAKAHDAILY 21/3/2018

MENDOAKAN kebaikan dan mendoakan keburukan kedua-duanya adalah sunnah berdoa, ada petunjuknya dalam hidup Rasulullah S.A.W dan para Sahabat.

Berdoa agar musuh mendapat hidayah adalah dituntut seperti mana doa Nabi S.A.W agar orang-orang Thaqif mendapat hidayah tatkala mereka menyakiti Nabi S.A.W.

Berdoa agar musuh yang jahat dan golongan yang zalim mendapat pembalasan tuhan juga dibolehkan malah dituntut apabila kezaliman itu melibatkan kepentingan Islam dan umatnya.

Doa keburukan terhadap musuh yang jahat dan golongan yang zalim akan menggerunkan musuh dan menakutkan golongan yang zalim.

Asasnya adalah kerana doa adalah senjata mukmin. Nabi S.A.W bersabda:

الدُّعَاءُ سِلاحُ الْمُؤْمِنِ، وَعِمَادُ الدِّينِ، وَنُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ

"Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit-langit dan bumi"

(Hadis Riwayat Hakim)

Dalam Hadis Sahih Bukhari dan Muslim, Nabi S.A.W berdoa ke atas Quraisy yang mengganggu dan menyakiti baginda ketika solat di Masjid Haram dengan "Ya Allah binasakanlah Quraisy" sebanyak tiga kali. Orang-orang Quraisy yang sedang ketawa gembira melihat Nabi S.A.W diperlakukan demikian segera terdiam kerana takut dengan doa Nabi S.A.W.

Kemudian Nabi S.A.W menyambung lagi doa baginda khusus ke atas tujuh orang pemuka Quraisy yang mengganggu baginda agar dibinasakan oleh Allah. Kata Sahabat Nabi S.A.W, Ibnu Mas'ud R.A, aku melihat mereka antara yang mati terbunuh di medan Badar.

Nabi S.A.W juga mendoakan kehancuran tentera bersekutu pakatan Ahzab dalam peperangan Ahzab dan mendoakan kehancuran kerajaan Kisra Parsi.

Dalam Hadis Muslim, seorang sahabat Nabi S.A.W yang terkenal bernama Sa'id bin Zaid R.A yang juga merupakan salah seorang daripada sepuluh Sahabat yang dijamin syurga, mendoakan keburukan terhadap Arwa binti Uwais yang membuat tuduhan palsu terhadap beliau kononnya merampas sebahagian tanahnya. Beliau lalu berdoa, "Ya Allah sekiranya dia berbohong maka butakanlah matanya dan bunuh dirinya di tanahnya sendiri". Doa beliau dimakbulkan Allah lalu Arwa menjadi buta kemudiannya dan terbunuh di tanahnya sendiri akibat terjatuh ke dalam lubang.

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani dan al-Aini dalam Syarah Sahih Bukhari, Nabi S.A.W mendoakan kebaikan untuk musuh yang kufur apabila merasa aman daripada pengkhianatan mereka dan mengharapkan hidayah untuk mereka. Nabi pula mendoakan kehancuran musuh apabila mereka semakin kuat, gangguan dan ancaman mereka juga semakin kuat dan umat Islam tidak selamat daripada kejahatan mereka.

Bagi golongan yang dizalimi, senjata mereka berhadapan dengan orang zalim ialah doa. Nabi S.A.W bersabda:

اتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

"Takutlah kamu terhadap doa orang yang dizalimi kerana sesungguhnya tiada antara doa itu dengan Allah sebarang dinding".

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam satu riwayat Ahmad menyebut, "meskipun doa daripada seorang yang kufur (yang dizalimi)". Antara dalil boleh berdoa keburukan terhadap orang yang zalim ialah firman Allah:

لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَنْ ظُلِمَ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا

"Allah tidak suka berterangan menyebut kejahatan melainkan daripada orang yang dizalimi."

(al-Nisa: 148)

Menurut Ibnu Kathir, berkata Ibnu Abbas, maksud ayat ialah Allah tidak suka seseorang mendoakan keburukan atas seseorang melainkan dia dizalimi kerana Allah memberi kelonggaran untuk mendoakan keburukan ke atas orang yang menzaliminya.

Berkata al-Sa'di, harus bagi orang yang dizalimi mendoakan keburukan terhadap orang yang menzaliminya dan mengadu perihalnya dan menyebut secara terang-terangan kejahatannya tanpa menambah pembohongan atau berlebih-lebihan mengatasi kadar kezaliman ke atas dirinya.

Hanya golongan yang zalim takut kepada doa orang yang soleh dan doa orang yang dizalimi. Bagi mereka yang baik, tidak melakukan kezaliman kepada manusia, mereka tidak bimbang terhadap doa keburukan oleh orang lain kerana yang menerima dan memakbulkan doa hanyalah Allah.

DATO' DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI 
Ahli Parlimen Kuala Nerus
22 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 22/3/2018

ADALAH sangat salah bagi Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamed Hassan, untuk menggalakkan keganasan. Video baru-baru ini yang telah menjadi viral menunjukkan bagaimana tidak berbudaya dan tidak bertamadunnya Mohamed Hassan, yang mahu terus berkuasa, bukan dengan cara aman dan dapat diterima secara demokratik, tetapi dengan menghasut dan menggalakkan keganasan terhadap mereka yang mengkritik kerajaan.

Mohamed Hassan dilaporkan berkata kepada hadirin yang terdiri daripada Pemuda Barisan Nasional di Rembau supaya mengambil “Tindakan fizikal terhadap mana-mana premis perniagaan yang dilihat memfitnah kerajaan”. Dia juga berkata, "Sekiranya polis mengambil tindakan terhadap mereka (Pemuda BN), dia akan bertanggungjawab". Mohamed Hassan menghadiri Majlis Pelancaran Briged Gempur Pemuda Umno di Rembau, Negeri Sembilan pada Ahad 18 Mac.

Patriot berasa jijik dengan ucapan Mohamed Hassan yang dibuat di hadapan Menteri Belia, Khairy Jamaluddin dan pemuda BN di Rembau, Negeri Sembilan. Tingkah lakunya tidak mencerminkan seorang ahli politik dan seorang pemimpin di peringkat negeri. Kelakuan seperti samseng itu adalah salah dan tidak boleh diterima dalam budaya Malaysia kita. Ucapannya tidak diterima dengan baik oleh masyarakat umum dan ramai yang telah menonton video itu meluahkan cemuhan dan perasaan jijik.

Kami tertanya-tanya sama ada dia fikir sebagai Menteri Besar memberinya hak dan keistimewaan untuk mengatakan apa sahaja yang diinginkan, walaupun bertentangan dengan kanun jenayah. Lebih teruk lagi apabila beliau menghasut penyokong partinya agar mengambil tindakan fizikal terhadap sesiapa sahaja yang dilihat mengkritik kerajaan. Kami juga tertanya-tanya apakah dia fikir sebagai Brigadier Jeneral Kehormat Pasukan Simpanan Tentera Darat memberi hak kepadanya untuk mengancam orang awam dan pembangkang. Patriot ingin memaklumkan bahawa Jeneral Tentera tidak berkelakuan seperti beliau. Beliau tidak memiliki kehormatan.

Patriot sentiasa mengingatkan para ahli politik untuk menunjukkan tingkah laku dan teladan yang baik, dan ucapan yang mereka buat seharusnya menggalakkan rakyat untuk bersatu, menunjukkan patriotisme, dan membina masyarakat Malaysia yang harmoni. Jika ahli-ahli politik terus membuat ucapan benci seperti Mohamed Hassan, maka kita boleh menjangkakan pengundian pada pilihan raya akan datang tidak akan bebas dari keganasan.

Tidak kira sama ada terdapat laporan polis yang dibuat terhadap Mohamed Hassan atau sebaliknya, Patriot menggesa pihak polis untuk menyiasat sepenuhnya ucapan yang dibuat oleh Mohamed Hassan dan mengambil apa-apa tindakan yang diperuntukkan dalam undang-undang. Patriot menuntut Mohamed Hassan memohon maaf secara umum dan menunjukkan penyesalan atas kelakuannya yang tidak sopan.

BG DATO MOHAMED ARSHAD RAJI (B) 
Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan - HARAKAHDAILY 22/3/2018

11 tahun penantian penyanyi terkenal Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza akhirnya terbalas apabila dikurniakan seorang bayi perempuan yang selamat dilahirkan pada 1 Rejab 1439 bersamaan 19 Mac 2018 jam 8.17 pagi.

Bayi comel yang diberi nama sementara sebagai ‘Fatimah Az-Zahra’ menjadi buah mulut seluruh netizen apabila masing-masing berasa sangat teruja, terharu dan syukur atas kelahirannya.

Sudah pasti Datuk Seri Siti atau lebih mesra dengan panggilan ‘Mak Iti’ dan ‘Tok Ti’ sendiri berasa gembira kerana itulah yang diharapkan dalam sebuah perhubungan suami isteri, iaitu zuriat yang soleh selain memperoleh pasangan yang baik dan memahami.

Di kesempatan ini, Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan segunung tahniah kepada Datuk Seri Siti dan suami serta keluarga atas kelahiran cahaya mata yang pasti menjadi penyejuk di mata dan penawar di hati.

Kami juga mengajak netizen untuk sama-sama mendoakan bayi yang dilahirkan ini agar menjadi harta yang bernilai buat ibu, ayah khususnya dan pada agama, bangsa dan Negara umumnya insya Allah.

بَارَكَ اللهُ لَكَ فِي المَوهُوبِ، وَشَكَرْتَ الوَاهِبَ، وَبَلَغَ أَشُدَّهُ، وَرُزِقْتَ بِرَّهُ

“Semoga Allah memberkati anak yang dianugerahkan kepadamu, semoga kamu bisa mensyukuri Sang Pemberi (Allah), semoga cepat besar dan dewasa, dan engkau mendapatkan baktinya si anak.”

جَعَلَهُ اللهُ مُبَارَكًا عَلَيكَ وَعَلَى أُمَّةِ مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم

“Semoga Allah menjadikannya anak yang diberkati untukmu dan untuk umat Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam.”

بَارَكَ اللَّهُ لَكِ فِيهِ، وَجَعَلَهُ بَرًّا تَقِيًّا

“Semoga Allah memberkati anak ini untukmu dan menjadikannya orang baik yang bertaqwa”

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
21 Mac 2018 / 3 Rejab 1439 – HARAKAHDAILY 21/3/2018

More Articles ...