21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

FAKTANYA, Akta GST diluluskan di Parlimen ketika Tan Sri Muhyiddin masih TPM. Parti Umno/BN yang dipimpin YB Pagoh ini yang undi menyokong. Generasi anak cucu kita yang baca sejarah lepas ini jangan lupa bahawa Ahli Parlimen BN yang sokong GST.

MP PAS yang lain jelas undi menentang Akta GST. Ini fakta. Sebab apa pula Tan Sri Muhyiddin jadi pening kata Presiden PAS sokong GST berdasarkan maklumat di media sosial sedangkan mereka berdua sama-sama ada di Parlimen?

Siapa kata PAS berkecuali dalam isu GST? Malah Dewan Ulama PAS Pusat dah mengeluarkan ketetapan bahawa cukai GST adalah haram menurut hukum syara'. Kita bersyarah menjelaskan keburukan GST ke segenap ceruk negeri. Slide power point yang digunakan untuk penerangan GST ini masih saya simpan.

Tak pernah pun saya dengar orang kampung salahkan PAS kerana GST. Tapi ada pihak terlebih fakta yang selalu menunding jari kepada PAS. 1MDB salah PAS! GST pun salah PAS juga.

Tan Sri MP Pagoh dari keluarga orang beragama. Kita sama-sama bertaubat atas segala dosa kita dengan Allah. Tapi kesilapan parti Tan Sri dulu sokong semasa undian GST di Parlimen dan Tan Sri sendiri berucap sokong GST di merata tempat sehingga musibah GST ditanggung jutaan rakyat Malaysia nak kira macam mana? Perkara ini kita perlu fikir sebab kita semua pasti mati tanpa terkecuali.

DR AZMAN IBRAHIM

Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 15/3/2018

FITNAH dilemparkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyokong Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terlalu dangkal dan hanya memalukan dirinya.

Beliau sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri bukan sahaja tergagap-gagap tatkala diminta bukti, bahkan sedang berucap di Dewan Rakyat yang dipenuhi rujukan dan fakta. Namun, keangkuhan diri menghalang beliau menarik balik tuduhannya itu.

Lebih malang, jika diteliti skrip sama itu sebenarnya terdahulu dimainkan TV3 dan Utusan Malaysia yang telahpun dijawab. Tetapi manusia terbuang ini rupanya enak mengitar sampah yang pernah menjadi sebahagian hidupnya semasa di dalam Umno.

Kini bersama dahan rapuh PH pun, Muhyiddin tanpa segan silu bersumberkan lagi media milik Umno itu yang membenar dan mensahihkan pengakuannya seawal dipecat bahawa "Saya totok Umno" dalam majlis di Panchor, Pagoh. Hakikatnya, kebusukan PH dan Umno sama sahaja.

Beliau hanya mengundang ketawa dan mungkin dijangkiti penyakit mudah lupa setelah kembali akrab bersama Tun Dr Mahathir Mohamad. Di mana GST diluluskan semasa beliau masih sebagai TPM dan tidak pernah menyatakan bantahannya.

Bahkan kini bersama PH, beliau hanya menyokong pemansuhan GST, namun bakal diganti SST. Hanya PAS satu-satunya pihak masih konsisten menentang GST hingga hari ini. Melainkan PH yang sentiasa memomokkan secara salah dan lapuk sebagaimana dilakukan Muhyiddin.

Terbaharu PAS bukan sahaja menyenaraikan komitmen memansuhkan GST dalam Manifesto GAGASAN, malah menerusi Dokumen Hijau menyatakan alternatif ganti yakni dari cukai saham dan cukai korporat.

Malah, lebih tegas lagi apabila PAS telah memutuskan dalam Muktamar Tahunan bahawa GST hukumnya haram di sisi syarak. Maka, perkara hukum sama sekali tidak mungkin dilangkaui orang beriman, kecuali ingkar dan mustakbirin.

Tan Sri Muhyiddin kami ingatkan untuk tidak perlu mempertahankan keangkuhan dirinya yang lebih buruk dari tahi GST dengan pelbagai skandal pernah terpalit. Kini PAS Kawasan Pagoh lebih bersemangat, memastikan keegoan itu dilenyapkan pada PRU nanti.

"Sejahtera Bersama Islam"

AHMAD NAWFAL MAHFODZ
Pengarah
Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Pagoh
merangkap Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor - HARAKAHDAILY 15/3/2018

MALAM tadi, di Starling Mall, Damansara Uptown, telah berlangsung satu majlis pelancaran buku Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin, bertajuk “Reimagining Malaysia”. Majlis pelancaran buku ini telah dihadiri oleh begitu ramai sekali pembesar DAP, termasuk Lim Kit Siang, Tony Pua, Zairil Khir Johari, Hannah Yeoh dan Steven Sim.

Turut hadir ialah paderi beliau, Pastor Timothy Loh dari Gereja Eaglepoint, yang beliau pernah dedahkan memainkan peranan penting di dalam kemasukan beliau ke dalam DAP. Malah turut hadir memberikan sokongan padu mereka kepada Yeo Bee Yin di dalam majlis pelancaran buku ini ialah pemimpin PAN, Saari Sungib, dan pemimpin PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Walaupun tajuk buku ini, “Reimagining Malaysia”, sama dengan tajuk khutbah Yeo Bee Yin di Every Nation Church Malaysia pada 10 September 2017, tetapi saya belum tahu kandungan sebenarnya. Saya berminat untuk membaca buku ini kerana, mengikut ucapan Yeo Bee Yin malam tadi, penulisannya adalah berinspirasikan pembacaan beliau ke atas buku Hannah Yeoh.

Lebih menarik daripada pelancaran buku ini adalah pengumuman beserta tangisan Yeo Bee Yin beliau akan bertanding di negeri kelahiran beliau, Johor, dalam PRU 14. Kata Yeo Bee Yin, perpindahan kerusi beliau akan bertanding dari Selangor ke Johor ini adalah penting untuk membolehkan perubahan berlaku di dalam politik Malaysia.

Yeo Bee Yin ini adalah Evangelis yang namanya pernah saya timbulkan bila secara tiba-tiba sahaja, walaupun sangat baru menyertai DAP, dilantik ke CEC pada 12 November 2017. Susulan tulisan saya yang mendedahkan sekurang-kurangnya 7 daripada 10 orang ahli tambahan CEC DAP adalah penganut Kristian tegar, Hannah Yeoh pun menarik diri.

Bagaimanapun, jika diteliti kembali tulisan dan ucapan Yeo Bee Yin maka akan didapati bahawa tahap keKristianan beliau adalah lebih tinggi berbanding dengan Hannah Yeoh. Dalam khutbah beliau di Damansara Utama Full Gospel Businessmen (FGB) Fellowship pada 13 Jun 2013, Yeo Bee Yin mendedahkan Tuhan bercakap terus dengan beliau.

Dedah Yeo Bee Yin di dalam gereja itu: “I told God that I am not going far. But He told me, ‘isn’t it the same for you if you go to Singapore? Why don’t you just stay overseas?’”. Yeo Bee Yin juga berkata: “Everything would fall into place in the right timing. We just need to pray, work hard and wait patiently for his Sovereign Will to be done in this nation”.

Saya tertanya-tanya apakah yang Yeo Bee Yin maksudkan dengan “everything would fall into place in the right timing” dan “for his Sovereign Will to be done in this nation”. Saya juga tertanya-tanya apakah yang Yeo Bee Yin maksudkan dengan “It took 52 days to rebuild the walls of Jerusalem instead of 100. All it takes is one person to answer the call”. Rakyat Johor, sila beringat-ingat dengan Yeo Bee Yin dan DAP.

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF - HARAKAHDAILY 15/3/2018

KENYATAAN terbaharu majalah antarabangsa, The Economist yang mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memanipulasikan proses pilihan raya atau membenarkan gerimandering menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) perlu disangkal dengan mengheret majalah itu ke mahkamah. Jika tidak nama Malaysia terus buruk di mata dunia setelah isu 1MDB dipanaskan dengan pelbagai siri pendedahan, serbuan, tangkapan mahupun rampasan.

Artikel di dalam Majalah The Economist bertajuk “How Malaysia’s Next Election Will Be Rigged” itu berniat jahat dan mempunyai motif memburukkan nama Malaysia. Bagaimana pengarang dan editor majalah itu mempunyai akses dengan isu dalaman terutama perjalanan pilihan raya di negara ini. Sama ada ada rakyat di negara ini yang menjaja keluar dengan membawa pelbagai maklumat dalaman negara, ataupun mungkin beberapa pihak dari majalah terbabit membuat kajian melalui rakyat di negara ini berpandukan petunjuk tertentu yang dijadikan rujukan.

Pendedahan ini tidak boleh dipandang remeh kerana seluruh dunia kini tertumpu kepada Malaysia dan sebelah mata mereka memandang sinis perjalanan pilihan raya negara. Justeru, penting bagi SPR membuat penafian dengan pembuktian bahawa tuduhan tersebut tidak berlaku. Fakta dan tindakan SPR selama ini yang bebas, adil dan tidak berat sebelah perlu ditunjukkan kepada dunia. Malah, SPR perlu lebih bertegas dengan mengheret majalah The Economist ke mahkamah kerana tindakan jahat majalah tersebut. Tindakan saman penting supaya jangan ada lagi akhbar atau media asing sewenang-wenangnya memburukkan nama negara.

Dari sudut yang lain, apabila ada dakwaan dan tuduhan, SPR perlu membuktikan dakwaan mereka meleset dengan menjadikan Pilihan Raya Umum ke-14 ini sebagai PRU paling adil dan telus pernah diadakan. Sebagai contoh, dalam soal persempadanan pilihan raya, SPR mesti bersikap adil dengan pembahagian yang betul dan bukan untuk menguntungkan sebelah pihak.

Dakwaan itu timbul kerana setiap kali persempadanan pilihan raya, BN kemudiannya menang besar dalam pilihan raya tersebut. Dan didapati pula, agihan untuk kawasan antara pembangkang dan BN tidak adil, yang menjadikan BN menang mudah di kawasan-kawasan tertentu. Justeru, pendedahan The Economist adalah sebagai amaran supaya SPR benar-benar telus, tidak memihak atau sebaliknya.

Selain itu, dunia semakin pesat dan masyarakat semakin pintar. Penipuan dan pembohongan yang dilakukan akan mudah dilihat walau sehalus mana pun perancangan dibuat. Jika dahulu pelbagai kejahatan direncanakan dan masyarakat mudah ditipu dengan pelbagai silap mata ketika pilihan raya, kini cabaran besar buat mereka yang merancang penipuan ini adalah, masyarakat dunia akan menjadi pengadil yang menilai. Jika penipuan yang selama ini direncanakan terhadap rakyat yang tidak berdaya melawan kerana kongkongan kuasa pemerintah, kini masyarakat dunia yang bebas memerhati setiap langkah dan gerak geri pemerintah. Maka SPR, atau mana-mana agensi kerajaan, mesti bertindak adil dalam pilihan raya, supaya jangan ada pembongkaran oleh mana-mana pihak terhadap kejahatan atau makar yang disembunyikan dari pengetahuan umum.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 14/3/2018

PENDEDAHAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan di Parlimen semalam bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seramai 92 ahli politik dari kerajaan BN dan pembangkang (Pakatan Harapan) kerana terlibat dengan rasuah antara tahun 2013-2017 adalah statistik yang begitu membimbangkan.

Semestinya angka yang dibentangkan oleh Datuk Paul Low Seng Kuan merencatkan kehangatan iklim politik negara yang sedang di ambang Pilihan Raya Umum ke 14. Rakyat yang berkira-kira mahu membuang undi dengan meletakkan harapan kepada parti-parti politik merasa resah, marah, bimbang bahkan meluat terhadap kesemua parti politik kerana tiada pemimpin parti politik yang dilihat benar-benar bersih dari kesan rasuah. Lihatlah dengan angka 71 orang pemimpin politik dari Barisan Nasional (BN) dan 21 pemimpin dari Pakatan Harapan, menandakan parti-parti politik ini tidak boleh dipercayai. Kesannya, rakyat tidak percaya lagi dengan parti politik malah dengan suasana politik negara. Bagi mereka sama ada kerajaan BN mahupun PH, kedua-dua belah pihak memiliki rekod yang tidak bersih. Tidak memeranjatkan jika pengundi mengambil sikap tidak mahu turun mengundi kerana menganggap kesemua parti politik sama dan tidak boleh dipercayai lagi.

Dalam hal ini, hanya PAS satu-satunya parti yang tidak dipalitkan dengan kes rasuah. PAS memimpin Kelantan sejak 1990, dan sering dicemuh, sehingga akhir-akhir ini banyak pendedahan kononnya mengenai salah urus tadbir, penyelewengan, korupsi, rasuah dan lain-lain yang melibatkan kerajaan Negeri Kelantan dan agensi-agensinya. Malangnya, kesemua dakwaan itu hanya sekadar dakwaan sedangkan angka dan faktanya, pemimpin PAS di mana-mana peringkat masih bebas dari rasuah.

Jika hendak dibandingkan dengan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan, Selangor dan Pulau Pinang yang baru berusia 10 tahun (sejak 2008), tetapi telah 21 tangkapan atau siasatan dibuat. Ia melibatkan pelbagai kes dari Exco Kerajaan Negeri sehinggalah ke peringkat Ketua Menteri. PAS pula telah memimpin Kelantan selama 28 tahun, tetapi pemimpinnya sangat bersih dan berintegriti. Data daripada SPRM ini boleh menjadi bukti dan saksi bahawa sifat kepimpinan PAS yang berpandukan Islam dan sentiasa amanah dalam pemerintahan. Justeru dakwaan PAS menerima ‘dedak’ dari Umno, menerima habuan tertentu dengan nilai jutaan ringgit adalah tuduhan tanpa asas.

Apa yang hendak dibanggakan dengan slogan perjuangan keadilan atau kerajaan bersih oleh Pakatan Harapan (PH) yang bersungguh mahu merampas Putrajaya jika sebelum menang dan membentuk kerajaan persekutuan pun, pemimpin dan kerajaan negeri mereka sudah banyak terpalit dengan rasuah. Bayangkan jika mereka memerintah kelak, apakah PH boleh menjadi lebih baik dari BN atau mereka adalah sama atau mungkin PH lebih teruk lagi?

Saya nasihatkan pemimpin PH dan BN agar banyak bermuhasabah terhadap diri mereka. Jangan terlalu kemaruk mendapat kuasa sehingga lupa diri mereka yang masih bergelumang dengan tahi dan najis rasuah. Belajarlah dari kepimpinan PAS soal pemerintahan adil, bersih, telus dan amanah. Bersihkan hati dalam politik sebelum bercita-cita tinggi menawan puncak Putrajaya, kerana kelak ujian dan godaannya lebih besar.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 15/3/2018

SAYA tidak akan sekali-kali menafikan dakwaan PAS kini lebih lunak dengan kerajaan. Pimpinan PAS memang kerap menyertai program anjuran kerajaan berbanding dahulu. PAS juga mengambil sikap tidak menyerang kerajaan semberono tanpa fakta dan bukti. Selain itu PAS banyak berbincang dengan kerajaan serta mencadangkan beberapa perkara untuk penambahbaikan pentadbiran negara, dan sebahagiannya telah pun diimplementasikan oleh kerajaan.

Hal ini kerana PAS memperkenalkan atau dalam bahasa lebih tepatnya mendokumentasi dan menguatkuasakan konsep politik baharu yang dikenali sebagai Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Politik ini bercanggah dengan budaya politik konvensional yang menganggap kerajaan sebagai musuh pembangkang. BPMS juga menolak budaya politik untuk tujuan berebut kuasa semata-mata.

Presiden PAS pernah mengeluarkan kenyataan bahawa PAS bersedia menjadi penasihat yang bebas kepada kerajaan. PAS sedia untuk dijemput ke mana-mana agensi mahupun jabatan yang kebuntuan dalam mencari solusi merawati penyakit negara. Ini kerana PAS memiliki anggota dari berbagai profesion dan kepakaran. Tetapi tidaklah bermaksud PAS mendamba posisi khusus dalam kerajaan. PAS lebih selesa sebagai badan pengimbang kepada kerajaan.

Walau bagaimanapun, PAS sehingga kini masih belum memiliki apa-apa hubungan rasmi dengan mana-mana parti pemerintah. PAS membentuk tahaluf bersama parti dan NGO dalam pakatan Gagasan Sejahtera (GAGASAN). Dengan erti kata lain, PAS menolak untuk bergabung sama ada dengan BN mahupun PH kerana kedua-duanya pada masa ini tidak menepati syarat yang diharuskan untuk bertahaluf menurut ijtihad Majlis Syura Ulamak PAS.

Apa yang pelik, puak-puak PH daripada pemimpin tertinggi hinggalah yang bertaraf macai semuanya memutar belitkan pendirian PAS ini sebagai helah untuk bergabung dengan Umno. Dimainkan siang dan malam dengan harapan berjaya memperbodohkan rakyat dengan persepsi jahat. Setiap kali berucap sama ada di Parlimen, pentas ceramah, wacana, mahupun dalam tulisan, pasti elemen UG diselitkan.

Hakikatnya, hati dan jiwa PH lebih dekat dengan BN. Walaupun mereka tampak bermusuh, tapi dari segi perangai dan perilaku, mereka ibarat adik beradik kembar. Berikut antara sikap mereka yang boleh dijadikan contoh:

i)     BN dan PH kedua-duanya tidak bersih dari siasatan SPRM. Mengikut dakwaan agensi pencegahan rasuah itu, 71 orang pemimpin BN dan 21 dari PH dalam siasatan mereka antara 2013 hingga 2017. PAS pula 0.

ii)     BN dan PH kedua-duanya menukar Dewan Rakyat menjadi medan maki hamun, mencarut dan haru-biru. Bodoh, bangang, bacul, apa sahaja ayat yang tidak melambangkan moral dan nilai Timur boleh didengari di Parlimen. Macam reban ayam pun ada dibuatnya. Tetapi PAS boleh menukar Dewan Rakyat menjadi bilik kuliah dan wacana ilmiah.

iii)     BN dan PH kedua-duanya berkongsi matlamat menjatuhkan PAS di Kelantan. Isu Pasar Pasir Puteh digunakan kedua-dua mereka untuk memburukkan kerajaan negeri. Mengikut kenyataan Timbalan Menteri Besar, kebanyakan peniaga yang berdegil adalah penyokong Umno. Tetapi PAN turut menumpang mereka atas tujuan yang sama.

iv)     BN dan PH kedua-duanya tidak serius dalam isu perundangan Islam. RUU355, RUU164, isu murtad, kita boleh lihat ketidak konsisten kedua pihak ini walaupun majoriti pemimpin mereka dari kalangan orang Islam. Begitu takut dengan ugutan sebahagian bukan Islam yang tidak mahu Islam dimartabat.

v)     BN dan PH kedua-duanya suka guna pendekatan lompat parti dan curi kerusi. Masa pilihan raya bertanding atas tiket parti A, tetapi lepas pilihan raya suka-suka hati tukar parti pula. Tetapi PAS sangat tidak bersetuju dengan sikap tak bermoral dan tidak menghormati pengundi ini. PAS mendesak supaya akta anti lompat parti diperkenalkan.

vi)     BN dan PH kedua-duanya mengakui GST cukai paling efisyen. Keduanya tidak mahu memansuhkan akta GST. Cadangan PH hanya mahu mengenakan kutipan pada kadar 0 peratus, dan berkemungkinan akan dinaikkan dari semasa ke semasa. Cadangan terbaharu PH, mengembalikan cukai SST yang sudah dimansuhkan kerajaan, tetai masih tidak jelas apakah akta GST akan dimansuh.

vii)     BN dan PH kedua-duanya memiliki pemimpin yang berperanan seperti badut. Menghiburkan pemerhati politik. Kalau BN ada Ahmad Maslan, PH ada Hanipa Maidin.

viii)     BN dan PH kedua-duanya menuduh PAS mempergunakan agama. Tetapi hakikatnya mereka sendiri mempergunakannya. BN sudah pandai bercakap bab taat, wala, yahanana, dan berhasrat tubuh Dewan Ulama. PH pula befatwa berdosa undi PAS. DAP yang sekular itu pun lantik agamawan untuk urus isu agama.

Banyak lagi contoh yang boleh menunjukkan perkongsian hati dan jiwa kedua gabungan parti politik ini. Walaupun mereka tampak bergaduh, tetapi dari dimensi lain mereka sebenarnya begitu dekat. Benci tapi rindu.

Kata orang, biasanya yang selalu bergaduh akhirnya akan berkahwin. Maka tak mustahil kalau keadaan mendesak, kedua anjing dan kucing ini boleh berkahwin selepas PRU14 nanti. Politik itu seni seribu kemungkinan.

27 Jumadal Ukhra 1439
14 Mac 2018

ALANG IBN SHUKRIMUN - HARAKAHDAILY 14/3/2018

BISMILLAH. Membaca kajian terbaharu Invoke yang diketahui penyokong kuat PH dan juga musuh bersama BN yang membenci PAS, membuatkan saya terdiam dan terpaku. Kelu untuk berkata-kata. Terasa sebak yang amat sangat, bagaikan sembilu menusuk hati ini. Kepiluan ditambah lagi dengan kajian yang menunjukkan kerajaan Kelantan pimpinan PAS tersungkur. Presiden PAS juga kalah kedua-dua kerusi beliau. Bahkan jauh dari itu, kubu PAS di Kelantan, Parlimen Kubang Kerian juga bertukar milik. Tegasnya PAS tidak memenangi sebarang kerusi pun. Sungguh sedih.

Mari kita uji semula kekuatan kajian yang sebenarnya sangat memualkan dijalankan ke atas 2000 orang responden seperti yang didakwa ini. Amat malang dengan keupayaan PKR sebelum ini yang tidak mempunyai jentera yang lengkap, melukut dengan PAS pada banyak tempat dan masa, DAP yang semakin dibenci Melayu Islam, PAN yang diketahui sebagai kumpulan penumpang yang tidak membawa untung dan juga PPBM yang tidak dilihat orang-orang penting bersama mereka kecuali beberapa kerat bekas orang kuat Umno yang mengajak rakyat membalas dendam bagi kebencian mereka, memilih untuk mengeluarkan kajian sampah seperti ini dan di zaman ini.

Perang psikologi sebegini amat rapuh pelurunya, mudah dipatahkan dan juga tiada nilai keintelektualan. Pembodohan kepada rakyat oleh BN sekarang bakal disambung oleh PH, jelas dengan tanda yang ditunjukkan ini. Tidak pernah di dalam sejarah sejak selepas merdeka PAS sama ada bergabung, mahu pun bersendiri, tidak memenangi sebarang kerusi, tidak pernah. PAS tetap berdiri di kala gagah, bertongkat paruh ketika sayap patah, namun rebah, alhamdulilah, tidak sekali. Apatah lagi dengan penerimaan kemasukan ahli baharu PAS yang berjumlah puluhan ribu setahun. Ini sebagai satu kajian balas yang sangat mudah.

Kajian sejujurnya harus ditumpukan kepada kekuatan PH sebelum PRU kerana lambungan kerusi, kata-mengata, caci-mencaci dan tuduh-menuduh sedang galak berjalan bagi merebut untuk menjadi calon (bukan menang lagi). Ia berlangsung ketika PH bermimpi mahu menyatukan rakyat Malaysia dalam keadaan mereka sedang bercakaran. Kajian juga harus dibuat bagi memberikan jangkaan kepada nasib PH selepas PRU kerana dapat dilihat Umno pada bila-bila masa boleh kembali rujuk kepada jandanya Bersatu yang masih dalam talak raje’i (boleh rujuk) jika Bersatu memenangi kerusi-kerusi penting. Atau kajian seperti akan adakah lagi kejatuhan seperti Perak selepas PRU setelah wakil PKR dan DAP berkhianat sebagaimana perangai PAN?

Kajian ini sangat lebih penting kerana sejarah politik di negara kita amat jelas bahawa tiada pakatan pembangkang yang berjaya bertahan selepas PRU. Paling lama mungkin Angkatan Perpaduan Ummah iaitu bermula tahun 1989 sehingga 1996 iaitu dua kali PRU sebelum S46 rujuk kepada Umno. Manakala Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat singkat hayatnya. Namun kajian seperti ini sangat dibimbangi oleh PH kerana mereka tahu hubungan di antara Bersatu yang dibintangi oleh figura-figura yang mempunyai sejarah hitam ketika di dalam Umno, DAP yang anti Melayu-Islam, PKR yang mempunyai individu-individu kaki fitnah serta PAN pasukan pengkhianat yang sekarang menjadi khadam DAP itu, ibarat embun di hujung rumput, terbit mentari, hilanglah ia.

Hanya PAS yang membuktikan semangat setiakawan yang terbaik atas dasar Islam dengan dibuktikan pada setiap pengakhiran pakatan pembangkang, ia bukan daripada PAS. Lebih dari itu jawapan Menteri di Parlimen yang mengakui lebih 70 kes rasuah melibatkan wakil BN dan 27 kes membabitkan PH, tetapi tiada seorang pun wakil rakyat PAS yang disiasat kerana rasuah. Penanda apa lagi yang rakyat mahu bahawa PAS adalah harapan utama rakyat bagi menerajui kerajaan yang bersih?

Jadi saya menyeru kepada seluruh ahli-ahli dan penyokong PAS untuk terus istiqamah, menumpukan sepenuhnya perhatian kepada PRU yang amat penting ini. Jika kita berjalan mengikut perancangan parti, dengan usaha dan tawakal kepada Allah, insyaAllah kita akan berjaya mencapai cita-cita kita iaitu kemenangan total ataupun menjadi King Maker di Malaysia. Jangan dilayan usikan-usikan orang yang tidak berpijak di bumi yang nyata ini, kita akan kepenatan dan BN akan kegembiraan kerana PH membantu mereka mengganggu PAS. Wallahua’lam.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan PAS Terengganu
25 Jamadilakhir 1439/13 Mac 2018 - HARAKAHDAILY 13/3/2018

More Articles ...