20
Mon, May
28 Artikel Baru

DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengajak semua anak muda Malaysia untuk meletakkan cita-cita tinggi sempena 2018 bagi membentuk kekuatan dalam usaha melahirkan Malaysia yang sejahtera dengan Islam.

Tahun 2017 yang dilalui merakamkan suasana yang suram buat rakyat Malaysia ekoran perkembangan ekonomi dunia yang kurang memberangsangkan. Kepincangan urus tadbir aset dan harta benda negara oleh kepimpinan negara juga amat mendukacitakan.

Sistem yang ditawarkan oleh Islam dalam membangunkan negara melalui pembasmian gejala rasuah, pengurusan kos sara hidup rakyat secara adil, urus tadbir percukaian yang tidak menzalimi rakyat dan pelbagai lagi corak urus tadbir tidak digunakan oleh pemerintah sebagai jalan penyelesaian kemelut rakyat.

Justeru, 2018 adalah ruang untuk semua rakyat khususnya anak muda Malaysia membina kembali negara dengan meletakkan Islam sebagai paksi utama jalan penyelesaian. PRU14 hendaklah diterjemahkan melalui undi rakyat agar Islam menjadi penyelesaian untuk ummah dan rakyat. Anak muda Malaysia mesti terus 'Mara Menuju Cita'.

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 1/1/2018

DALAM ucapan penggulungan beliau pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertama PPBM di Ideal Convention Center (IDCC), Shah Alam, semalam, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah menyebut:
 
“Saya tertarik dengan ucapan daripada (perwakilan) Kelantan. Baru dia sedar bahawa PAS itu jual agama, bukan Parti Islam, dia parti yang memperalatkan Islam. Saya ingin bertanya kepada Mufti-Mufti yang menjadi penasihat kepada Raja kita, apabila PAS dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS adalah kafir, kenapakah Mufti-Mufti tidak membetulkan kenyataan mereka? Mereka berdiam seribu bahasa seolah-olah mereka setuju, setuju dengan pendapat Parti PAS ini. Kalau mereka setuju dengan pendapat Parti PAS, mereka tidak masuk Parti PAS, maka Mufti-Mufti kita juga kafir, dan orang yang dinasihati oleh Mufti-Mufti kita juga kafir. Tapi tak berani siapa cakap, senyap seribu bahasa sampaikan Amanat Hadi dikeluarkan dan pengikut-pengikutnya, Ibrahim Libya, merancang untuk kononnya mengguna pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan. Apa yang kita lihat ialah Peristiwa Memali yang mana pengikut Ibrahim telah bunuh empat orang polis kerana pada mereka polis ini adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir. Inilah hasil daripada fatwa yang dikeluarkan oleh orang politik yang tidak ditangkis oleh Mufti-Mufti. Saya fikir Mufti-Mufti patutlah bertanggungjawab. Kenapa berlakunya Peristiwa Memali? Ianya tidak akan berlaku kalau awal-awal lagi Mufti-Mufti mencabar. Kenapakah Amanat Hadi tidak disangkal oleh mereka?”
 
Secara ringkasnya, melalui ucapan beliau ini, Tun Dr Mahathir telah:
(1) Memfitnah PAS “dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS (termasuk Mufti-Mufti dan Raja-Raja) adalah kafir”.
(2) Memfitnah “Ibrahim Libya merancang untuk kononnya mengguna pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan”.
(3) Memfitnah “pengikut Ibrahim telah bunuh empat orang polis kerana pada mereka polis ini adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir”.
(4) Memfitnah Mufti-Mufti dengan mendakwa bahawa mereka, bukan beliau, bertanggungjawab ke atas berlakunya Peristiwa Memali.
 
Suka saya tegaskan bahawa sepanjang penelitian menyeluruh saya, sebagai pengkaji PAS, ke atas dokumen-dokumen, kenyataan-kenyataan dan ucapan-ucapan PAS dan pemimpin PAS selama ini, tidak pernah saya temui mana-mana dakwaan yang dibuat oleh PAS atau pemimpin PAS bahawa “orang yang tidak menyertai PAS adalah kafir”. Jika Tun Dr Mahathir bertanggungjawab, beliau sepatutnya memberikan bukti spesifik bila, siapa dan di mana wujudnya dakwaan sebegini jika beliau tidak mahu dikatakan berbohong.
 
Jika yang mahu dimaksudkan oleh Tun Dr Mahathir bahawa yang mengkafirkan “orang yang tidak menyertai PAS” ini adalah 'Amanat Haji Hadi' maka ia jelas adalah satu pembohongan kerana apa yang terkandung di dalam 'Amanat Haji Hadi' hanyalah ayat “kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku” sahaja. Jika pengikut Tun Dr Mahathir tidak menerima pandangan saya maka mereka boleh sahaja merujukkan kepada Dr Maszlee Malik, seorang pengkagum Tun Dr Mahathir, yang pernah menulis pada 1 Januari 2013 bahawa beliau “tidak nampak ada isu mengkafirkan Umno dalam Amanat Haji Hadi”.
 
Tindakan Tun Dr Mahathir memfitnah PAS “dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS (termasuk Mufti-Mufti dan Raja-Raja) adalah kafir” adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang dilihat cuba melaga-lagakan PAS dengan Mufti-Mufti dan Raja-Raja kerana tidak pernah dalam sejarahnya PAS mengkafirkan Mufti-Mufti dan Raja-Raja. Cubaan mengheret Mufti-Mufti dan Raja-Raja di dalam isu politik ini, khusus bagi membolehkan PAS dihentam, adalah satu perbuatan yang sangat tidak sihat, apatah lagi bila yang bermasalah dengan Mufti-Mufti dan Raja-Raja bukanlah PAS, tetapi Tun Dr Mahathir.
 
Tindakan Tun Dr Mahathir memfitnah “Ibrahim Libya merancang untuk kononnya mengguna pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan” juga adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab kerana ia tidak disertakan sebarang bukti. Malah, OCPD Baling waktu Peristiwa Memali ini berlaku, iaitu Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim, telah menulis di dalam buku “Memali: A Policeman Remembers” bahawa Ibrahim Libya bukan seorang penjenayah dan bukan seorang pengganas komunis (“was not a criminal nor was he a communist terrorist”) tetapi adalah seorang ahli politik yang dihormati dan seorang pemimpin agama yang disanjungi (“a respected politician and revered religious leader”).
 
Surat Ketua Polis Kedah/Perlis kepada Ketua Polis Negara pada waktu itu juga menyebut bahawa “sasaran (Ibrahim Libya) bukanlah ‘criminal fugitive’ yang mesti ditangkap dengan apa cara dan kekerasan beserta dengan ‘harbourer’nya yang sama bersalah, tetapi sasaran adalah sasaran politik yang sudah tidak lagi ada pengaruh dan tidak boleh bergiat lagi di luar kawasan rumah yang lebih terseksa daripada orang yang kena sekatan tempat kediaman”.
 
Tindakan Tun Dr Mahathir memfitnah “pengikut Ibrahim telah bunuh empat orang polis kerana pada mereka polis ini adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir” pula adalah jelas satu tuduhan liar yang turut tidak disertakan sebarang bukti. Soal siapa yang memulakan tembakan dan atas motif apa, serta siapa yang bunuh empat orang polis dan atas motif apa, adalah isu-isu yang memerlukan kepada wujudnya suruhanjaya siasatan diraja.
 
Tindakan Tun Dr Mahathir memfitnah Mufti-Mufti dengan mendakwa bahawa mereka, bukan beliau, bertanggungjawab ke atas berlakunya Peristiwa Memali juga adalah jelas satu lagi tuduhan liar yang merupakan satu tindakan untuk melepaskan tanggungjawab ke atasnya.
 
Bahawa pihak polis tidak bertanggungjawab ke atas berlakunya Peristiwa Memali ini juga tergambar di dalam buku Tunku Muszaffar Shah itu yang menyebut cubaan menangkap Ibrahim Libya di kampung beliau sendiri (Kampung Memali) adalah tindakan bodoh (“had been foolhardy”) dan bukan satu langkah yang baik (“was not a wise move").
 
Begitu juga dengan surat Ketua Polis Kedah/Perlis itu yang menyebut bahawa “tindakan lanjut terhadap sasaran (Ibrahim Libya) perlulah dirancang dengan penuh kebijaksanaan supaya ‘pisang tidak berbuah dua kali’ dan kesan-kesan negatif tidak dipikul oleh polis serta tidak mendatangkan sebarang ancaman keselamatan” dan yang hanya mengesyorkan supaya “sasaran (Ibrahim Libya) ditangkap bila dia keluar dari kawasan rumahnya di tempat dan masa yang sesuai yang tidak mendatangkan huru-hara atau pertumpahan darah”.
 
Sangatlah tidak munasabah bahawa Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri pada waktu berlakunya Peristiwa Memali tidak terlibat di dalam insiden ini kerana beliau sendiri pernah mendedahkan, dalam satu majlis tertutup dengan pemimpin tempatan di Kuala Terengganu pada 26 Ogos 2017, bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sepatutnya telah ditahan di bawah ISA selepas berlakunya Peristiwa Memali, malah Tun Dr Mahathir sendiri telah direkodkan memberikan amaran untuk menahan Datuk Seri Abdul Hadi (lihat umpamanya “Amaran kepada pengikut PAS di Rusila”, dalam Berita Harian, 31 Januari 1986).
 
Malah, dalam sidang Dewan Rakyat pada 25 Mac 2002, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, menyatakan bahawa Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika Peristiwa Memali berlaku, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, pernah mendedahkan bahawa “arahan untuk operasi serangan (terhadap Ibrahim Libya di Memali) itu dibuat secara direct, terus oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) kepada pihak yang berkuasa”.
 
Kenapa sehingga sekarang Tun Dr Mahathir gagal memberikan sebarang maklum-balas kepada dakwaan Datuk Mahfuz dan Tan Sri Mohd Radzi bahawa beliaulah yang sebenarnya memberikan arahan untuk operasi serangan terhadap Ibrahim Libya di Memali ini? - HARAKAHDAILY 31/12/2017

MAHATHIR tetap Mahathir, jika anda mengkaji dengan mendalam biografinya dengan objektif, maka anda melihat tampang hitam dan putih ini bukan terlalu sukar untuk dibedakan. Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri negara ini, dalam kepesatan pembangunan yang berlaku tetapi rejimnya menyubur rasa takut rakyat untuk bersuara melalui undang-undang drakonian. Penyalahgunaan kuasa dengan timbunan skandal besar bersalut KKN negara dibungkus rapi dengan program dan slogan muluk-muluk seperti Penerapan Nilai-Nilai Islam, slogan "Bersih,cekap dan amanah", kepimpinan melalui teladan dan pelbagai slogan yang meloyakan. Sangat paradoks!.

Beliau tetap beliau, tiada yang berubah walau disintuk limau oleh penyokong PH dan anak muda kail sejengkal yang tidak merasai keperihan di zaman Dr Mahathir. Bagi saya, dia adalah liabiliti dalam gerakan oposisi untuk menjatuhkan BN. Dilihat tidak harmoni dengan istana, pihak keselamatan negara, agamawan apabila memimpin oposisi, bahkan di zaman beliau di merak kuasa, beliau bermusuh dengan semua Timbalan Perdana Menteri dan pantang ditegur!

Kelmarin, onarnya terserlah lagi dengan tuduhan tajam terhadap PAS dan pihak yang tidak menyokong beliau, ucapan beliau pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertama PPBM di Ideal Convention Center, Shah Alam. Muntahan maafnya di perhimpunan kelmarin hanya sekadar strategi politik dan opera sebuah kegilaan kuasa yang tak pernah diredam. Dalam maaf itu, kesumat dendam dihamburkan tanpa segan silu dengan fitnah:

(1) Memfitnah PAS “dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS (termasuk Mufti-Mufti dan Raja-Raja) adalah kafir”.

(2) Memfitnah “Ibrahim Libya merancang untuk kononnya mengguna pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan”.

(3) Memfitnah “pengikut Ibrahim telah bunuh empat orang polis kerana pada mereka polis ini adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir”.

(4) Memfitnah mufti-mufti dengan mendakwa bahawa mereka, bukan beliau, bertanggungjawab ke atas berlakunya Peristiwa Memali.

Pada tahun 1984, berlaku tangkapan kepada tokoh-tokoh pimpinan Pemuda PAS di bawah ISA, antaranya Ustaz Abu bakar Chik, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang tersenarai untuk ditahan tanpa bicara. Namun pihak berkuasa gagal menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh penyokong-penyokongnya yang setia. UMNO Kedah semakin gelisah dengan populariti almarhum yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah di mana sahaja beliau dijemput.

Dalam perhimpunan agung UMNO pada tahun 1985, sekali lagi wakil UMNO Kedah mendesak KDN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz Ibrahim Libya yang dilihat mengancam penguasaan UMNO di Kedah. Pada tahun yang sama berlaku tragedi Lubuk Merbau dalam pilihan raya kecil Padang Terap yang membawa pembunuhan terhadap Osman Talib, seorang aktivis PAS Kedah, juga kecederaan parah seorang ahli PAS dari Besut, Haji Ayub Mir. Bahang kebangkitan PAS semakin menyala di negara ini, apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang sedang melanda .

Dengan desakan berterusan, maka akhirnya pada 19 November 1985 berlakulah tragedi yang memerihkan hati umat Islam negara ini, plot ceritanya hampir sama dengan peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di Indonesia. Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa. Memali bergema dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan anggota polis juga terkorban dalam misi ini. Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh. Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz Ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat, manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Juneid mengisytiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada.

Dr Mahathir dalam usaha mensucikan diri, sekali lagi menyalahkan apa yang dinamakan 'Amanat Haji Hadi' sebagai pemicu kepada tragedi pembantaian kejam 19 November 1985, bahkan diseret sekali pihak mufti-mufti untuk memikul beban kesalahan beliau. Suruhanjaya Siasatan Diraja wajib membuka kembali siasatan dan membersihkan nama-nama mangsa tragedi berdarah ini. Keadilan mestilah diberikan kepada seluruh mangsa serta membayar pampasan yang seadilnya kepada mangsa yang terlibat. Seret pelaku jenayah ini ke muka pengadilan semoga tragedi ini tak akan berulang lagi di tanah leluhur ini. – HARAKAHDAILY 31/12/2017

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

BULAN lalu, seorang rakan memaklumkan kononnya Naib Presiden PAN, Dato' Husam Musa, telah mendapat restu daripada seorang pemimpin veteran Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk menjadi Menteri Besar Kelantan yang baru selepas PRU 14. 
 
Berita ini bagaimanapun tidak saya pandang serius kerana kesukaran untuk memikirkan logik bagaimana Tengku Razaleigh, yang bukan pun menjawat jawatan Pengerusi Umno Kelantan, boleh mempengaruhi Umno Kelantan untuk menyokong Dato' Husam.
 
Pada masa yang sama, dakwaan bahawa wujudnya kerjasama antara PAS dan Umno di Kelantan di dalam PRU 14, selain ditepis berkali-kali oleh Pengerusi Umno Kelantan, Dato' Seri Mustapha Mohamed, turut dinafikan oleh para pemimpin PAS Kelantan.
 
Di dalam menafikan kerjasama antara PAS dan Umno di Kelantan di dalam PRU 14 ini, kerap kali pula para pemimpin PAS Kelantan menyebut bahawa PAN dan Umno-lah yang sebenarnya sedang berpakat untuk menjatuhkan PAS di Kelantan di dalam PRU 14.
 
Malam kelmarin, 28 Disember, Dato' Husam, yang merupakan bekas Ahli EXCO Kanan Kerajaan Negeri Kelantan, hadir sebagai tetamu di dalam majlis “Bicara Anak Kelantan” anjuran portal berita Sokmo.Net di Dewan Kayangan, Hotel Crystal Lodge, Kota Bharu.
 
Moderator di dalam majlis ini ialah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad, yang bertindak keluar dari PKR untuk menyertai Umno pada 22 April 2010, tiga hari sebelum hari pengundian PRK Hulu Selangor.
 
Desas-desus yang berlegar kuat di kalangan orang ramai ialah portal berita Sokmo.Net ini mendapat pembiayaan daripada Umno Kelantan dan ini diperkuatkan lagi dengan paparan pelbagai gambar dan aktiviti Dato' Seri Mustapha di dalam laman portal berita ini.
 
Penyertaan Dato' Husam di dalam majlis anjuran portal berita yang dikaitkan dengan Umno Kelantan dan yang dimoderatorkan oleh aktivis Umno Kelantan menguatkan lagi dakwaan wujudnya pakatan antara PAN dan Umno untuk menjatuhkan PAS di Kelantan.
 
Persepsi orang ramai adalah bahawa Dato' Husam dan Umno Kelantan saling cuba mempergunakan di antara satu sama lain bagi membolehkan kritikan-kritikan keras terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dapat disuarakan dengan lebih berkesan dan lebih meluas.
 
Itulah yang kelihatan berlaku pada malam tadi di mana Dato' Husam telah membuat pelbagai pendedahan mengenai pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan di samping mendorong moderator mengemukakan tuntutan tertentu terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.
 
Malah, Dato' Husam juga telah menyerahkan dokumen Kerajaan Negeri Kelantan yang didakwa ditandatangani oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob, membabitkan Jambatan Kedua Sdn Bhd kepada moderator “sebagai akuan dan saksi bahawa (beliau) ada dokumen ini”.
 
Menariknya, ketika ditanya oleh moderator yang kelihatan bimbang kemungkinan dokumen ini melanggari Akta Rahsia Rasmi, “Tidak OSA ni dih?”, Dato' Husam telah menjawab, “Tak apalah OSA pun, berjuang kan, kalau kena jel sekali dengan moderator masuk”.
 
Lebih dari itu, Dato' Husam juga kelihatan cuba memberi gambaran bahawa Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin oleh Dato' Ahmad pada waktu ini lebih teruk berbanding Kerajaan Negeri Kelantan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Mohamed Yaacob dulu.
 
Antara lain, kata Dato' Husam: “KELKON yang dulunya ditinggalkan oleh Tan Sri Mohamed Yaacob ada cash, kalau tak silap saya ada dalam fixed deposit KELKON hampir RM60 juta kalau tak silap saya, tetapi pada hari ini KELKON sudah tidak wujud”.
 
Tambah Datuk Husam lagi: “KPK (Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn Bhd) semasa Tan Sri Mohamed Yaacob (ada) beratus orang pekerja, hari ini ada lapan orang sahaja pekerja KPK, jadi bermakna rakyat Kelantan anak muda telah dinafikan peluang kerja.”
 
Kesimpulannya, majlis malam kelmarin kelihatan menepis terus dakwaan wujudnya kerjasama antara PAS dan Umno di Kelantan sebaliknya menguatkan lagi dakwaan wujudnya pakatan antara PAN dan Umno untuk menjatuhkan PAS di Kelantan di dalam PRU 14.
 
Bagaimanapun, sama ada Umno mendapat laba daripada majlis ini adalah soal lain pula kerana beberapa kali juga Dato' Husam kelihatan turut membedal Umno, termasuk dengan menyebut “orang marah kor PAS tapi marah kor Umno tu berat lagi pada marah kor PAS”. - HARAKAHDAILY 30/12/2017
 

TAK ada seorang pun orang kampung yang saya temui menganggap Mahathir masih relevan. Malah tak minat pun nak bincang topik Mahathir. Ayahanda saya yang dah berumur lebih 70 tahun kata, "ado lagi ko ore ccayo ko Mahathir?" Malah ayahanda bagi nasihat, tak perlu buang banyak masa dengan Mahathir. Banyak sangat lagi kerja kita yang belum selesai.

Mahathir dah jadi harimau yang tak bergigi. Kalau gigit pun tak luka. Adalah rasa geli-geli sikit. Kita doakan di penghujung usia dia bertaubat. Antara syarat taubat ialah menyesali sungguh-sungguh kesilapan yang lalu serta berazam tak akan mengulangi lagi. Urusan dengan Allah yang tertinggal kena qada' dan urusan dengan manusia kena selesai. Ada hak orang lain yang terambil kena pulangkan atau minta halal. Ada manusia yang kita zalimi kena minta maaf. Taubat wajib dengan taubat nasuha bukan taubat kemudian ulang semula.

dr azman1Ayahanda saya kata, kita boleh maafkan Mahathir tapi mustahil kita boleh bagi kepercayaan kepada Mahathir. Sifat pemaaf dituntut, tapi jangan tertipu dengan memberi kepercayaan kepada orang yang kita telah kenali dia selama 22 tahun.

Mahathir pun tahu dia sudah tak relevan lagi. Tapi ada kepentingan Mukhriz, Mirzan, Mokhzani dan Marina yang perlu dijaga. Perjuangan Mahathir ialah untuk kesinambungan politik dan bisnes anak-anaknya. Untuk semua kelangsungan ini, Umno mesti diselamatkan. Nak selamatkan Umno, Mahathir sedang memainkan watak Kamikaze. Menyusup masuk dalam PH dan berjaya memainkan peranan sebagai 'Pakar Hancur' yang telah 'mencaca-merbakan' Pakatan Harapan. Tindakan Mahathir telah berjaya menjadikan PH bahan ketawa khalayak. Mahathir telah berjaya dalam 'misi bunuh diri' dengan 'menerjunkan pesawat terbangnya ke atas kapal PH'. Biarlah dia terbunuh asalkan Umno selamat.

Mahathir nak jadikan PAS sebagai jambatan untuk mencapai cita-citanya adalah mustahil sama sekali. Batuk Mahathir pun PAS dah kenal apatah lagi bau kentut Mahathir. Mahathir bukan tak tahu bahawa ancaman utama kepada survival Umno yang dikasihinya ialah PAS dan bukannya PH. Tapi dia tak boleh nak pergunakan PAS. Yang bersedia menjadi balaci Mahathir ialah mereka dan keluarga mereka yang dimaklumi oleh kita semua.

Bila mereka rela menjadi khadam dan balaci, biarkan mereka. Kita teruskan kerja kita.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat – HARAKAHDAILY 31/12/2017

TUN Mahathir terus mengekalkan rekod permusuhan dan mempertahankan fitnahnya terhadap PAS dan syuhada’ Memali. Kini beliau mengheret para mufti terhumban dalam kancah fitnah liar yang direkanya.

Ucapan penggulungan beliau di Perhimpunan Agung Tahunan Pertama PPBM di Ideal Convention Center Shah Alam jelas mempamerkan beliau masih gagal menginsafi kesalahan besar yang telah beliau lakukan sejak menjawat kerusi Perdana Menteri selama 22 tahun.

PAS JUAL AGAMA

nasrudinFitnah lapuk yang dikisar semula tanpa jemu ialah kononnya PAS menjual agama, memperalatkan agama demi kepentingan politik. Saya percaya, tidak akan ramai yang terpedaya dengan dakyah songsang Tun Dr Mahathir.

Dunia teknologi maklumat hari ini telah berjaya membekalkan maklumat jelas kepada masyarakat sekali gus menampakkan wajah sebenar perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Apakah perjuangan PAS untuk;

a) Memperkasakan Mahkamah Syariah
b) Mendaulatkan Syariat Islam
c) Mewujudkan nilai-nilai hidup Islam
d) Mempertahankan kesucian Islam
e) Pertahankan kemerdekaan negara
f) Menentang ISA, rasuah, judi, zina, riba
g) Menentang gaya hidup bebas, LGBT
h) Perjuangkan isu Rohingya, Palestine
i) Menentang pecah amanah, salah guna kuasa, penyelewengan
j) Perjuangkan hak rakyat mendepani isu kenaikan harga barang, kos sara hidup, percukaian GST, Royalti Petroleum dan sebagainya,

(Sekadar menyenaraikan sebahagian kecil apa yang telah diperjuangkan oleh PAS)

Ini disifatkan sebagai menjual agama?

Perlembagaan PAS jelas menyebut pada:

a) Fasalnya yang ke 3, bahawa Dasar PAS ialah ISLAM.

b) Fasalnya yang ke 5 (a), tujuan PAS ditubuh adalah: “Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah."

c) Fasalnya yang ke 6 (b), di bawah tajuk Usaha-usaha PAS ialah : “Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari‟at serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan”

Jika tindakan PAS bercanggah dengan perlembagaan atau undang-undang tubuhnya, maka sudah lama perjuangan PAS ini akan ditolak oleh rakyat dan diambil tindakan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau dibatalkan pendaftarannya seperti UMNO yang pernah diharamkan.

TIDAK SOKONG PAS KAFIR

Tuduhan jahat ini memerlukan bukti. PAS tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Malah tiada disebut pun dalam “Amanat Haji Hadi” bagai yang didakwa. Bahkan mereka yang mengamati “Amanat Haji Hadi” secara teliti dan saksama, nescaya memahami bahawa amanat itu tidak sekali-kali mendakwa siapa yang tidak sokong PAS sebagai kafir.

Fitnah ini telah saya dengar sejak tahun 80-an lagi. Filem hitam putih yang cuba ditayang semula oleh Tun Dr Mahathir di pawagam 3D.

KINI FITNAH MUFTI PULA

Tun Dr Mahathir cuba touch up fitnahnya dengan membabitkan mufti. Beliau cuba memperbodohkan mufti. Seperti mufti tiada ilmu dan keberanian sehingga konon tidak menangkis Amanat Haji Hadi. Beliau terlalu merendahkan keupayaan dan kedudukan para mufti.

IBRAHIM LIBYA ANJUR PEMBERONTAKAN BERSENJATA

Asy Syahid Ibrahim Libya dan rakan-rakannya syahid di pekarangan rumahnya. Asy Syahid diserang bukan menyerang. Bagaimana mereka dianggap melancarkan pemberontakan bersenjata? Mereka bukan menyerang Bukit Aman? Tun Dr Mahathir bangkitkan 4 anggota polis terbunuh? Bagaimana dengan penduduk kampung yang diserang dan 14 dari mereka terbunuh?

Jika mereka adalah pemberontak bersenjata, mengapa Al Marhum KDYM Sultan Abdul Halim Sultan Negeri Kedah berkenan menyiram air mawar di pusara para syuhada Memali dan menghadiahkan nisan untuk pusara mereka?

Buat Tun Dr Mahathir, kembalilah ke pangkal jalan.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
12 Rabiul Akhir 1439 / 31 December 2017 – HARAKAHDAILY 31/12/2017

TERTARIK dengan komen beberapa pemimpin PKR mengenai desas-desus yang ditimbulkan oleh portal berita The Malaysian Insight 23 Disember lalu kononnya 10 Adun PAS di Selangor akan menyertai PKR dan bertanding menggunakan tiket PKR menjelang PRU14.
 
Pada 25 Disember, Timbalan Ketua Wanita PKR Selangor, Dr Daroyah Alwi, dilaporkan oleh portal berita Sinar Harian sebagai berkata, “jika ada (Adun PAS di Selangor) yang berminat (menyertai PKR), kita tiada halangan dan menyambutnya dengan berlapang dada”.
 
Kenyataan Dr Daroyah ini dibuat di sebalik kesedaran beliau bahawa “memang semalam Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, memberitahu dakwaan itu sebagai khabar angin dan hanya perang siber”, tetapi, mengikut Dr Daroyah, “itu pendapat (Datuk Iskandar) saja”.
 
Semalam, 27 Disember, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, pula, ketika ditanya mengenai desas-desus kononnya Adun PAS di Selangor akan menyertai PKR, dilaporkan oleh portal berita Sinar Harian sebagai berkata, “jika tiada angin masakan pokok bergoyang”.
 
Tambah Shamsul Iskandar lagi, “walaupun ada penafian (daripada para pemimpin dan Adun PAS di Selangor), saya fikir kita mesti beri komen berdasarkan fakta”, dan “kalau ada keseriusan ke arah itu (Adun PAS di Selangor mahu menyertai PKR), kami alu-alukan”.
 
Masalah utama dengan kenyataan Dr Daroyah dan Shamsul Iskandar ini adalah bahawa kenyataan mereka ini tidak diasaskan kepada apa-apa bukti yang konkrit, apatah lagi bila telah wujud beberapa penafian daripada para pemimpin dan Adun PAS di Selangor terhadapnya.
 
Perumpamaan “jika tiada angin masakan pokok bergoyang” juga tidak boleh dipakai sepenuhnya kerana boleh dihujahkan bahawa, walau tiada angin pun, pokok masih boleh bergoyang juga jika umpamanya di atas pokok itu ada makhluk tertentu seperti monyet yang menggoyangnya.
 
Pada hemat saya, kenyataan Dr Daroyah dan Shamsul Iskandar ini akan hanya lebih menyerlahkan lagi imej PKR sebagai Pencuri Kepimpinan Rakan setelah ia umpamanya bertindak mencuri Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar, dari PAS pada 11 September 2015.
 
Sebagai rekod, PKR pernah bergaduh besar dengan DAP sewaktu ia masih bersama dengan PAS, DAP dan PRM di dalam Barisan Alternatif pada awal tahun 2001 dulu kerana tindakan PKR mengambil bekas pemimpin DAP Pulau Pinang, Teoh Teik Huat, menjadi ahlinya.
 
Ekoran tindakan PKR ini, Pengerusi DAP Pulau Pinang pada waktu itu, iaitu Chow Kon Yeow, mengumumkan, pada 26 Februari 2001, bahawa DAP Pulau Pinang akan menjarakkan hubungan mereka dengan PKR (“will 'loosen' their relationship with PKR) sehingga isu ini diselesaikan.
 
Begitu juga dengan Pengerusi DAP pada waktu itu, iaitu Lim Kit Siang, yang mengumumkan, pada 27 Februari 2001, bahawa beliau tidak lagi akan menghadiri mana-mana perbincangan dan mesyuarat Barisan Alternatif yang menyentuh hubungan PKR-DAP.
 
Turut dibangkitkan pada waktu itu adalah mengenai persetujuan Majlis Kepimpinan Barisan Alternatif pada 28 April 1999 bahawa mana-mana parti komponen Barisan Alternatif tidak dibenarkan sama sekali mencuri ahli (atau bekas ahli) mana-mana parti komponen lain.
 
Bagaimanapun, ternyata hingga sekarang perbuatan mencuri ahli, malah mencuri pemimpin, parti rakan, sama ada sesama parti Pakatan Harapan atau sesama parti pembangkang, terus menjadi amalan di dalam parti yang cogan perjuangannya ialah “Keadilan Untuk Semua” ini. - HARAKAHDAILY 29/12/2017

More Articles ...