DI dalam satu dialog tertutup di Nanyang Technological University, Singapura, pada 10 Disember 2014, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pernah berkata bahawa, jika Perlembagaan Persekutuan kekal seperti sekarang maka “kita” (orang-orang bukan Melayu bukan Islam) berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Ini kerana Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan hanyalah mensyaratkan bahawa seorang Perdana Menteri hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dari kalangan “ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu” dan tidak semestinya dari orang-orang Melayu Islam.

Cara untuk seseorang ahli Dewan Rakyat mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu adalah dengan memastikan bahawa parti politik yang beliau wakili, sama ada secara bersendirian atau secara berkumpulan bersama-sama parti-parti politik lain yang ia berpakat, mendapat majoriti kerusi di dalam Dewan Rakyat.

Di dalam PRU 14, walaupun persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibuat di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003 merugikan orang-orang Melayu Islam, mereka masih lagi menjadi penentu utama keputusannya kerana kerusi luar bandar jauh lebih banyak berbanding kerusi bandar dan separa bandar.

Perkara ini boleh berlaku kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan ukuran pewajaran (weightage) diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya di atas asas “kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar”.

Parti politik yang paling lantang sejak zaman berzaman menentang perkara ini adalah DAP, yang berulang kali menyebut betapa persempadanan semula kawasan pilihan raya wajib dilakukan berdasarkan kepada prinsip satu orang satu undi (one man one vote) di mana ia di antara lainnya telah disuarakan oleh pemimpin DAP berikut:

(1)     Lim Guan Eng pada 18 Mac 2013.

(2)     Lim Kit Siang pada 6 Oktober 2014, 3 Januari 2016, 18 September 2016 dan 26 Disember 2016.

(3)     Dr Ong Kian Ming pada 20 Disember 2017.

Selepas PRU 13, DAP telah mengemukakan satu draf persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibuat berdasarkan prinsip satu orang satu undi yang, selain menambahkan bilangan kerusi Dewan Rakyat menjadi 262, melipatgandakan kerusi bandar menjadi 143 berbanding 80 kerusi luar bandar dan 39 kerusi separa bandar.

Mengikut Perkara 113(2)(i) Perlembagaan Persekutuan, badan yang diberi kuasa untuk membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya ini adalah Suruhanjaya Pilihan Raya yang, mengikut Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, “hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-raja”.

Di dalam majlis Pelancaran Manifesto PRU 14 Pakatan Harapan (PH) pada 8 Mac lalu, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, mendedahkan bahawa salah seorang penulis utama manifesto itu ialah Dr Ong Kian Ming dari DAP, antara pemimpin yang paling lantang bersuara mutakhir ini supaya kerusi bandar dipecahkan.

Janji 17 Manifesto PRU 14 PH, “menjamin ketelusan dan kemodenan sistem pilihan raya”, menyebut “pelantikan Ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya mestilah melalui proses perakuan oleh Parlimen” dan “Kerajaan PH akan memastikan nisbah yang adil dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya”.

Jika PH memerintah, bila kuasa melantik Suruhanjaya Pilihan Raya tidak lagi dimiliki sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja, dan bila persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat berdasarkan prinsip satu orang satu undi, maka sudah tentulah jumlah kerusi bandar akan berlipat ganda. Bila jumlah kerusi bandar berlipat ganda maka sudah tentulah DAP yang akan berkuasa. Mudah sahaja sifirnya.

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF - HARAKAHDAILY 11/3/2018

SESIAPA yang membaca sepintas lalu Manifesto PRU14 Pakatan Harapan (PH) mungkin akan terpesona dengan apa yang kelihatan seperti 'keikhlasan' dan 'kesungguhan' PH mengiktiraf dan memartabatkan kedudukan Raja-Raja Melayu.
 
Disebutkan di dalam Janji 11 manifesto ini betapa “Kerajaan PH akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu di tempat tertinggi, iaitu sesuai dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dalam negara kita”.
 
Ini diikuti dengan ikrar betapa “Kerajaan PH akan memberi galakan kepada universiti-universiti awam untuk memperbanyak kajian dan perkongsian nasional dan antarabangsa mengenai kesultanan Melayu agar sejarah ketamadunan Melayu dapat dikongsi di persada dunia”.
 
Tidak cukup dengan itu, disebutkan lagi betapa “Muzium di-Raja di Istana Negara lama akan dinaik taraf menjadi Muzium Pendidikan Kebangsaan, dan kerjasama akan dijalin dengan universiti awam untuk mengaktifkan kegiatan kajian, penerbitan dan pendidikan, melalui seminar dan persidangan secara berkala, tentang institusi Raja-Raja Melayu”.
 
Ini ditambah pula dengan kenyataan bahawa “kerjasama juga akan dijalin dengan muzium di-raja negara-negara lain agar berlaku percambahan fikiran dan perkongsian ilmu tentang peranan penting institusi beraja dalam semak imbang negara demokrasi”.
 
Malangnya, jika kita meneliti dengan mendalam janji-janji lain yang terkandung di dalam Manifesto PRU14 PH ini, khususnya di dalam Janji 11 hingga Janji 29 manifesto ini yang membentuk Teras 2, iaitu “mereformasi institusi pentadbiran dan politik”, maka akan nampaklah bagi sesiapa yang berfikir betapa 'keikhlasan' dan 'kesungguhan' ini sebenarnya hanyalah satu alat kosmetik yang bertujuan melindungi maksud sebenar PH.
 
Kita lihat Janji 14 manifesto ini dahulu yang berbunyi: “Untuk memastikan semak imbang yang efektif, bilangan Pesuruhjaya SPRM akan ditambah dengan mewujudkan kuota untuk pertubuhan masyarakat sivil menjadi ahli SPRM. Salah seorang dari mereka akan menjadi Pengerusi SPRM, dan semua pesuruhjaya akan mempunyai jaminan pelantikan tetap. Pelantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen.”
 
Bandingkan pula Janji 14 manifesto ini dengan Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang berbunyi: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang Ketua Pesuruhjaya bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, untuk selama apa-apa tempoh dan atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam surat cara pelantikannya.”
 
Kita lihat pula Janji 15 manifesto ini yang berbunyi: “Peguam Negara akan dilantik dari kalangan Ahli Parlimen yang berkelayakan, dan beliau akan menjadi seorang Menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan. Jabatan Pendakwa Raya pula akan dipegang oleh individu lain yang bebas dan bertindak tanpa mengira kepentingan politik kepartian.”
 
Bandingkan pula Janji 15 manifesto ini dengan Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan”.
 
Kita pergi pula kepada Janji 17 manifesto ini yang berbunyi: “Satu kuota akan diwujudkan untuk memastikan masyarakat sivil mempunyai wakil sebagai Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. Pelantikan Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia mestilah melalui proses perakuan oleh Parlimen.”
 
Bandingkan pula Janji 17 manifesto ini dengan Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.”
 
Seterusnya kita lihat pula Janji 19 manifesto ini yang berbunyi: “Kerajaan PH akan memastikan pelantikan hakim-hakim dilakukan dengan berpaksikan kelayakan dan pengalamannya, tanpa dipengaruhi kepentingan politik. Keanggotaan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman akan diputuskan oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen. Keputusan pelantikan yang dibuat oleh suruhanjaya ini akan dilaksanakan setelah merujuk kepada kebijaksanaan dan budi bicara Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.”
 
Bandingkan juga Janji 19 manifesto ini dengan Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan (tertakluk kepada Perkara 122C) hakim-hakim yang lain Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.”
 
Kita berpindah pula kepada Janji 26 manifesto ini yang berbunyi: “Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SUHAKAM akan dilantik melalui proses jawatankuasa di Parlimen”.
 
Bandingkan juga Janji 26 manifesto ini dengan Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang berbunyi: “Anggota-anggota Suruhanjaya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, atas syor Perdana Menteri”, dan “Yang di-Pertuan Agong hendaklah menetapkan salah seorang daripada anggota yang dilantik di bawah seksyen 5 menjadi Pengerusi Suruhanjaya”.
 
Akhirnya, lihat pula kepada Janji 16 manifesto ini yang berbunyi: “Jawatan-jawatan penting dalam negara seperti pelantikan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia, mestilah disahkan oleh jawatankuasa yang bersesuaian di peringkat Parlimen”.
 
Bandingkan juga Janji 16 manifesto ini dengan Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan seperti yang disebutkan di atas.
 
Maka selepas melihat kepada semua janji yang terkandung di dalam Manifesto PRU 14 PH dan membandingkannya dengan semua peruntukan undang-undang seperti yang disebutkan di atas, akan dapatlah kita buat kesimpulan mengenai tahap 'keikhlasan' dan 'kesungguhan' Pakatan Harapan di dalam mengiktiraf dan memartabatkan kedudukan Raja-Raja Melayu ini.
 
Tidakkah mengikut undang-undang negara yang ada sekarang kesemua pelantikan ini, iaitu Ketua Pesuruhjaya (PH merujukkannya sebagai Pengerusi) bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di dalam Janji 14, Peguam Negara (PH memecahkannya kepada Peguam Negara dan Pendakwa Raya) di dalam Janji 15, Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya di dalam Janji 17, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi di dalam Janji 19, dan Anggota-Anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia di dalam Janji 26, hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong?
 
Di dalam kes-kes Ketua Pesuruhjaya bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Peguam Negara, dan Anggota-Anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, pelantikan ini hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat atau syor Perdana Menteri. Di dalam kes Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, pelantikan ini hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Di dalam kes Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, pelantikan ini hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri, tanpa nasihat atau syor Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
 
Tanpa mengira sama ada pelantikan ini hendaklah dibuat atas nasihat atau syor Perdana Menteri, atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, atau tanpa nasihat atau syor Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, hakikatnya adalah kesemuanya hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
 
Bila Manifesto PRU 14 PH langsung tidak memperkatakan peranan Yang di-Pertuan Agong (dan Majlis Raja-Raja di dalam kes yang berkaitan) di dalam kesemua pelantikan ini, melainkan di dalam pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, atau menjadikan pelantikan ini tertakluk kepada “pengesahan secara demokratik oleh Parlimen” atau kepada “perakuan oleh Parlimen”, tidakkah ini boleh membawa makna bahawa manifesto ini telah cuba menghakis kuasa atau membakulsampahkan terus Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu?
 
Di dalam pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang dikehendaki dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, ayat yang digunakan oleh manifesto ini, iaitu bahawa “keputusan pelantikan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman ini akan dilaksanakan setelah merujuk kepada kebijaksanaan dan budi bicara Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja”, adalah bercanggah dengan Seksyen 21(1)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 yang berbunyi: “Fungsi Suruhanjaya adalah “untuk memilih orang berkelayakan yang sesuai yang wajar dilantik sebagai hakim mahkamah atasan untuk pertimbangan Perdana Menteri”. 
 
Mengiktiraf dan memartabatkan kedudukan Raja-Raja Melayu-kah semua janji yang terkandung di dalam Manifesto PRU 14 Pakatan Harapan ini? - HARAKAHDAILY 10/3/2018

SEMAKAN ke atas janji-janji yang terkandung di dalam Manifesto PRU 13 Pakatan Rakyat dalam bidang pendidikan menunjukkan ia dengan tegasnya mengisytiharkan, di bawah tajuk “Pendidikan percuma untuk semua, hapus PTPTN”, bahawa:

(1)     Pakatan Rakyat akan mengembalikan hak pendidikan percuma kepada rakyat kerana ia mampu dilaksanakan.

(2)     Yuran bagi pengajian tinggi lepasan sekolah di semua institusi milik awam akan ditanggung kerajaan.

(3)     Pelajar di institusi swasta akan diberikan subsidi yuran setara dengan kos tanggungan kerajaan di institusi awam.

(4)     Semua pelajar di institusi milik awam akan diberikan elaun sara hidup untuk menampung kos kediaman, makan dan minum, buku dan pengangkutan kecuali bagi mereka yang benar-benar kaya.

(5)     Pelajar di institusi swasta boleh meminjam dari satu dana khas untuk menampung kos sara hidup sepanjang kursus pengajian.

(6)     PTPTN akan dihapuskan kerana ia sebahagian dari mekanisme yang menyebabkan pergantungan kepada pihak swasta untuk menyediakan tempat-tempat pengajian awam.

(7)     PTPTN tidak diperlukan lagi apabila pendidikan tinggi diberikan secara percuma kepada rakyat.

(8)     Mekanisme khusus untuk menangani masalah keberhutangan pelajar akibat PTPTN akan diperkenalkan agar kebajikan setiap pelajar dijaga.

Berbanding dengan Manifesto PRU 13 Pakatan Rakyat ini, Manifesto PRU 14 Pakatan Harapan (PH), melalui Janji 49, menjadikan sekolah-sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan terbaik untuk rakyat, dan melalui Janji 50, mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi, sekadar dengan lembik, dan kaburnya menyebut bahawa:

(1)     PH berkeyakinan bahawa sistem persekolahan yang baik adalah tanggungjawab penting kerajaan untuk rakyat.

(2)     Kerajaan PH akan memastikan bantuan kerajaan lebih difokuskan kepada golongan yang memerlukan, terutama golongan B40 dan M40.

(3)     Kerajaan PH akan memastikan syarikat-syarikat milik kerajaan mempertingkat jumlah biasiswa pendidikan yang diberikan kepada golongan B40 dan M40.

(4)     PH berpegang dengan prinsip bahawa universiti dan Institusi Pengajian TinggiAawam mestilah percuma untuk semua.

(5)     Pengalaman UNISEL di bawah pentadbiran kami di Selangor yang telah memulakan pendidikan percuma berperingkat-peringkat akan dijadikan landasan ke arah mencapai matlamat ini.

(6)     Kami akan menyusun semula struktur pembayaran pinjaman PTPTN supaya jumlah pembayaran bergantung kepada jumlah gaji peminjam.

(7)     Kami akan menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN bagi peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

(8)     Peluang biasiswa dan pinjaman pelajaran akan ditambah, terutama untuk membantu anak-anak muda dari keluarga B40 dan M40 menampung kos sara hidup semasa belajar.

Tegasnya, beza antara Manifesto PRU 13 Pakatan Rakyat dan Manifesto PRU 14 PH dalam bidang pendidikan ini adalah umpama langit dengan bumi:

(1)     Tiada lagi komitmen tegas Pakatan Rakyat untuk mengembalikan hak pendidikan percuma kepada rakyat di dalam Manifesto PRU 14 PH.

(2)     Tiada lagi komitmen tegas Pakatan Rakyat untuk kerajaan menanggung yuran bagi pengajian tinggi lepasan sekolah di semua institusi milik awam di dalam Manifesto PRU 14 PH.
(3)     Tiada lagi komitmen tegas Pakatan Rakyat untuk kerajaan memberikan subsidi yuran setara dengan kos tanggungan kerajaan di institusi awam kepada pelajar di institusi swasta di dalam Manifesto PRU 14 PH.

(4)     Tiada lagi komitmen tegas Pakatan Rakyat untuk kerajaan memberikan elaun sara hidup untuk menampung kos kediaman, makan dan minum, buku dan pengangkutan kepada semua pelajar di institusi milik awam, kecuali bagi mereka yang benar-benar kaya di dalam Manifesto PRU 14 PH.

(5)     Tiada lagi komitmen tegas Pakatan Rakyat untuk kerajaan membolehkan pelajar di institusi swasta meminjam dari satu dana khas untuk menampung kos sara hidup sepanjang kursus pengajian di dalam Manifesto PRU 14 PH.

(6)     Tiada lagi komitmen tegas Pakatan Rakyat untuk menghapuskan PTPTN kerana ia sebahagian dari mekanisme yang menyebabkan pergantungan kepada pihak swasta untuk menyediakan tempat-tempat pengajian awam di dalam Manifesto PRU 14 PH.

(7)     Tiada lagi komitmen tegas Pakatan Rakyat bahawa PTPTN tidak diperlukan lagi apabila pendidikan tinggi diberikan secara percuma kepada rakyat di dalam Manifesto PRU 14 PH.

(8)     Dan tiada lagi komitmen tegas Pakatan Rakyat untuk kerajaan memperkenalkan mekanisme khusus untuk menangani masalah keberhutangan pelajar akibat PTPTN agar kebajikan setiap pelajar dijaga di dalam Manifesto PRU 14 PH.

Saya dan rakan-rakan tertanya-tanya: Ke mana menghilangnya keberanian dan kebijaksanaan para pemimpin PH, khususnya mereka yang turut terlibat di dalam merangka Manifesto PRU 13 Pakatan Rakyat dahulu? - HARAKAHDAILY 10/3/2018

TERKEJUT juga bila membaca artikel yang diterbitkan MalaysiaKini semalam bahawa DAP mahu melindungi hak demokrasi di kalangan 1.6 juta penjawat awam yang dilaporkan sedang diberi tekanan politik menjelang PRU ini.

Walaupun sikap mahu melindungi hak demokrasi ke atas seluruh Rakyat Malaysia khususnya penjawat awam sudah lama diangkat PAS dan Gagasan Sejahtera. Saya ingin mempertikaikan keikhlasan DAP khususnya dalam soal ini selepas Ketua Publisiti DAP pada forum berbahasa Mandarin bertajuk “Menganalisis Bajet 2017” yang dianjurkan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur pada 24 Oktober 2016 yang lalu sanggup menggelarkan penjawat awam sebagai ‘berat mati’ yang perlu ditanggung kerajaan.

Malah kenyataan Tony Pua yang dipetik TheEdgeMarket pada tahun yang sama ("Pua: Budget 2017 shows government running out of money") dengan jelas menzahirkan sikap pemimpin DAP itu terhadap penjawat awam apabila mempertikaikan kenaikan bayaran emolumen dan bayaran pencen terhadap kumpulan pekerja itu.

Malah sikap dan pendirian Ketua Publisiti DAP itu juga pernah dikongsi Setiausaha Agong DAP pada Mei 2007 ketika berucap di forum “Civil Service Excellence: Quality Vs Quantity" (Kecemerlangan Perkhidmatan Awam: Kualiti atau Kuantiti) di dewan perhimpunan yang sama apabila mempertikaikan kenaikan jumlah kakitangan penjawat awam, kenaikan bayaran gaji dan kenaikan bayaran pencen dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010).

Apakah nasib 80 peratus penjawat awam dari Komuniti Melayu Islam, 10 peratus Bumiputera Sabah dan Sarawak dan 10 peratus Komuniti Cina dan India agaknya jika DAP dan Pakatan Harapan mengambil alih kuasa selepas PRU Ke-14 nanti? Belum mengambil kira jumlah penganggur yang dianggarkan mencecah 520 ribu orang (3.4 peratus) dari jumlah 14.83 juta tenaga kerja yang sedang berhempas pulas untuk mencari sesuap nasi untuk diri mereka dan keluarga. Jika langkah pengurangan penjawat awam ini terus dilakukan, sudah tentu semakin sempitlah peluang buat golongan ini untuk berkhidmat di sektor awam.

Bukankah DAP adalah parti paling berpengaruh dalam gabungan Pakatan Harapan memandangkan jumlah majoriti kerusi Parlimen yang mereka kuasai? Jika keadaan ini terus kekal selepas PRU Ke-14 nanti, saya yakin DAP sangat upaya untuk mempengaruhi dasar dan hala tuju kerajaan baru itu khususnya terhadap penjawat awam jika mereka berjaya menguasai Putrajaya selepas ini. Sama-sama kita fikirkan.

HUZIR SULAIMAN
Penganalisis Politik
21 Jamadil Akhir 1439 / 9 Mac 2018 - HARAKAHDAILY 9/3/2018

JIKA masih diingat, pada 22 September 2017, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Christina Liew, telah mengumumkan bahawa PH akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua khas untuk Sabah dan Sarawak jika ia menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
 
Pengumuman ini dibuat oleh Christina Liew di hadapan Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan di hadapan Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah, di dalam majlis soft launch manifesto PH Sabah di Kota Kinabalu.
 
Kata Christina Liew, janji bahawa PH akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua khas untuk Sabah dan Sarawak jika ia menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ini akan menjadi sebahagian daripada manifesto PH untuk seluruh Malaysia.
 
Malangnya, bila diteliti kandungan Manifesto PRU 14 PH, tidak didapati walau di mana sekalipun di dalam senarai 60 janjinya itu, termasuk di dalam janji-janji khas untuk Sabah dan Sarawak (Janji 40-Janji 48), janji untuk mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua khas ini.
 
Saya tertanya-tanya ke mana menghilangnya janji manis PH untuk mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua khas untuk Sabah dan Sarawak jika ia menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ini. Takkanlah belum apa-apa lagi pun rakyat Sabah dan Sarawak sudah tertipu? - HARAKAHDAILY 10/3/2018

DUNGUN: Petanda awal Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, semakin hampir apabila kelibat Perdana Menteri (PM), Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menterinya selesai menjelajah negeri seluruh negara.
 
Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman berkata, PAS Terengganu menjangkakan Parlimen Malaysia akan dibubarkan pada 5 April depan. 
 
Jangkaan itu menurutnya, berdasarkan pengalaman pilihan raya sebelum ini apabila semua pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) selesai melawat negeri-negeri.
 
"Saya jangka 5 April depan Parlimen akan dibubarkan. Perdana Menteri, (Najib Razak) Timbalan Perdana Menteri (Zahid Hamidi) dan Menteri-menteri khususnya di Terengganu ini mereka semua telah hadir (datang) dan kebiasaannya dekat pilihan raya mereka datang. Ini menandakan pilihan raya sangat hampir," ujarnya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Markaz Unit Peti Undi (UPU) Tepus dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Besi, di sini kelmarin.
 
Namun jelasnya, PAS tetap bersedia pada bila-bila masa dan berkeyakinan parti itu bakal menjadi pilihan rakyat kali ini.
 
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat menjelaskan bahawa pemimpin tertinggi parti Umno-BN amat bimbang dengan senario politik di Terengganu.
 
"InsyaAllah, kami berkeyakinan PAS akan menang dalam pilihan raya yang ke-14, yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. Mengapa kita (PAS) begitu yakin dengan kemenangan ini? 
 
"PAS, pembangkang dalam Dun Terengganu sekarang kita ada 15 Adun, berbanding 17 Adun Umno-Barisan Nasional. 
 
"Menteri Dato Hishamuddin (Naib Presiden Umno) ketika datang ke Terengganu, membuat kenyataan cukup bimbang jika Umno-BN tidak dapat mengekalkan tampuk pemerintahannya di Terengganu," tegasnya. 
 
Menurutnya, pertandingan tiga penjuru sudah pasti akan berlaku di Terengganu, tetapi tidak mustahil dengan empat penjuru.
 
"Empat penjuru pun tidak mustahil kerana akan ada calon-calon Bebas yang akan turut bertanding sebagaimana PRU13 lalu. Ini berlaku, apabila ada orang Umno yang tidak puas hati akan bertanding calon tiket Bebas. 
 
"Pada kita (PAS), jika berlaku pertandingan tiga penjuru pun akan memberi keuntungan (menang) kepada kita (PAS), InsyaAllah. 
 
"Saya minta petugas kita di sini (Tepus) supaya bekerja kuat kerana harapan untuk kita menang sangat besar pada pilihan raya kali ini," serunya. 
 
Hadir sama pada majlis itu, Adun Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik dan Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Besi, Ustaz Ghazali Sulaiman. - HARAKAHDAILY 10/3/2018

KOTA BHARU: Sekurang-kurangnya lima saman sedang menunggu Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa berikutan pelbagai dakwaan fitnah terhadap kerajaan negeri dan PAS.

Oleh itu Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, Adun PAN terbabit ‘jangan lari’ daripada menerima notis saman nanti.

“Sebelum ini ada notis daripada peguam yang mahu disampaikan kepadanya tidak mahu diterima,” katanya pada ceramah jelajah Bangkit Pertahan di Kampung Badang malam tadi.

Hadir sama Ketua Penerangan PAS Negeri Kelantan, Dato’ Mohd Nassurudin Daud, Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa, Dr Izani Hussin, Adun Chempaka, Ustaz Fathan Mahmood, Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar dan Naib Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa, Md Azmi Nor.

Tahun lepas wakil pejabat peguam gagal menyerah notis mengosongkan Wisma Tok Guru di Pendek Salor, yang dibeli PAS daripada pemiliknya.

Wisma tersebut pada awalnya sebagai Pusat Khidmat PAS Dun Salor, bagaimanapun bertukar menjadi pusat khidmat PAN selepas Husam menyertai parti tersebut.

Berikutan kegagalan itu notis pengosongan beberapa kali dihantar namun gagal, menyebabkan notis ditampal di pagar pada 12 Oktober lepas.

Terbaru Adun PAN terbabit dilapor mendakwa sebuah syarikat belum wujud dianugerah tender bagi mereka bentuk projek bekalan air di Kelantan.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Hanifa Ahmad. -HARAKAHDAILY 9/3/2018

More Articles ...