18
Thu, Jul
47 Artikel Baru

KUALA KRAU: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru rakyat Malaysia kembali kepada Islam dan memulakan langkah memenangkan PAS supaya dapat menegakkan Islam di negara ini.
 
Perkara itu diutarakannya ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan 12K Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Pahang, Fastaqim 2.3 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini semalam.
 
Menurut beliau, unik sekali Islam ialah satu-satunya agama yang memberi perhatian kepada politik di mana tidak ada agama lain memberi petunjuk cara berpolitik.  
 
Jelasnya, apabila Allah mencipta Adam sebagai khalifah di muka bumi, Dia juga menjadikan Rasul dan kitab untuk memberi petunjuk dan panduan yang mesti dipatuhi ketika memerintah umat manusia. 
 
Terang Tuan Guru, bermakna Nabi dan Rasul dihantar untuk mengajak manusia supaya mematuhi Allah dan memerintah dengan petunjuk Allah yang menyaksikan Islam berjaya memerintah di serata pelusuk dunia.
 
Katanya, pemerintahan Islam berlangsung dengan berkesan walaupun dalam keadaan masyarakat yang majmuk, namun malangnya ada kaum yang dengki dan berusaha menjatuhkan Kerajaan Islam. 
 
"Sebagai bukti itulah yang menyebabkan jatuhnya Melaka, jatuh Kerajaan Islam India, Andalusia kemudian Kerajaan Uthmaniyah. Orang yang membenci Islam ini sedar, selagi ada al-Quran, sembahyang Jumaat didirikan, dan ibadah haji di Makkah, Islam tidak akan dapat dihapuskan.
 
"Maka mereka melakukan berbagai strategi melemahkan Islam. Anak Melayu yang mendapat pendidikan di Makkah telah menubuhkan Gerakan Islam yang diharamkan oleh British sebaik penubuhannya. Tetapi akhirnya PAS berjaya juga ditubuhkan pada 1951. 
 
"Malangnya ada org Melayu yang jahil agama, mengaji al-Quran tetapi tidak tahu makna sehingga ada yang menghina hukum Islam; busuk sungai akibat potong tangan, kata mereka," bidasnya.
 
Melanjutkan ceramah katanya, pertembungan pemikiran antara yang faham agama dengan jahil berterusan selepas Merdeka sehingga tahun 1969 apabila berlaku peristiwa 13 Mei.
 
Barulah ketika itu maklumnya, Islam hendak dibawa ke dalam pemerintahan dan PAS masuk menyertai kerajaan kerana mahu kerajaan kembali kepada Islam, namun selepas BN mempunyai kedudukan yang kukuh, PAS ditendang keluar. 
 
Setelah itu ujarnya, BN terus meminggirkan syariat Islam dan kemuncaknya berlakulah peristiwa Memali di mana mereka tetap dengan dasar yang tidak mematuhi Islam. 
 
"Jika mereka tidak mahu kepada Islam biarlah PAS yang memimpin negara. Tugas kita ialah untuk mengajak orang supaya keluar memenangkan Islam. 
 
"Jika kamu tidak keluar memenangkan Islam, Allah akan menyeksa kamu di akhirat," ujarnya mahu petugas PAS komited berdakwah dan berusaha memenangkan PAS.
 
Menurutnya lagi, terdapat kumpulan lain juga begitu berminat untuk memerintah negara, tetapi bertelagah dan berebut dalam menentukan calon yang akan menjadi Perdana Menteri, sedangkan bagi PAS itu adalah ketentuan Allah.
 
Katanya, pilihan raya adalah sistem yang boleh memelihara hubungan antara kaum, sedangkan perang walaupun satu cara untuk memperolehi kuasa, tetapi sebagai cara terakhir, tetapi Islam mendahulukan perdamaian. 
 
Maklumnya, ada negara Arab memilih berperang walaupun terpaksa berlawan sama sendiri, tetapi sebaliknya PAS tetap pilih demokrasi dan memasuki pilihan raya yang dijalankan di negara ini. 
 
"Kalau Islam menang, di situ ada pahala tetapi jika Islam kalah, di situ ada dosa. PAS masih memimpin Kelantan dan pernah memimpin Terengganu dan Kedah, kejayaan yang kita perolehi ialah pemerintahan yang bersih. 
 
"Kerajaan PAS berterusan didiskriminasi. Negeri Kelantan pernah diugut supaya tidak melaksanakan hudud dan Terengganu pula ada hasil minyak tetapi dirampas dari negeri. Orang yang melakukan tindakan itu masih menawarkan diri untuk kembali berkuasa," ujarnya mengingatkan. - HARAKAHDAILY 21/1/2018

HAMPIR tergelak saya membaca Kenyataan Bersama Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani oleh Liew Chin Tong dari DAP, Dr Dzulkefly Ahmad dari PAN, Datuk Dr Rais Hussin dari PPBM dan Syed Ibrahim Syed Noh dari PKR hari ini, 21 Januari 2018.
 
Di dalamnya, mereka “menggesa Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak untuk memberi taklimat kepada calon Perdana Menteri PH, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad serta Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan berkaitan keputusan-keputusan dasar luar negara untuk menjamin konsensus dwiparti dan peralihan kuasa yang sempurna jika atau bila berlaku perubahan kerajaan.”
 
Kata mereka lagi: “Pada ketika Malaysia memasuki pusingan terakhir menuju PRU14, yang bakal berlaku dalam masa seratus hari akan datang, dan untuk menjamin dasar-dasar luar negara yang telah ditetapkan kerajaan sekarang akan diteruskan kerajaan yang akan datang jika berlaku perubahan kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab DS Najib untuk memberi taklimat kepada calon Perdana Menteri PH serta Ahli-Ahli Parlimen untuk membina konsensus dan tidak mendatangkan kesan negatif kepada rakan-rakan negara asing.”
 
Tambah mereka: “Dalam mana-mana demokrasi matang, Ahli-Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak akan duduk bersama di dalam jawatankuasa dasar luar negara Parlimen atau Kongres yang cukup berkuasa untuk meneliti dasar-dasar luar negara kerajaan sedia ada dan membina konsensus yang luas. Dan, untuk menjamin negara-negara asing tidak terkesan akibat perubahan kerajaan, dalam mana-mana demokrasi matang Ketua Pembangkang biasanya akan diberi taklimat oleh kerajaan berhubung dasar luar negara dan isu-isu keselamatan.”
 
Kenyataan Bersama Majlis Setiausaha PH ini, bagi saya, adalah sangat kelakar sekali kerana mana ada di dalam mana-mana peruntukan undang-undang negara obligasi bahawa Perdana Menteri perlu memberi taklimat kepada calon Perdana Menteri lawan berkaitan keputusan-keputusan dasar luar negara mahupun keputusan-keputusan lainnya. 
 
Calon Perdana Menteri adalah tidak diiktiraf di dalam mana-mana peruntukan undang-undang negara, malah jawatan Ketua Pembangkang pun hanya wujud di dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang sekadar menyebut, di dalam Fasal 4a (1), bahawa “maka hendaklah ada... seorang Ketua Pembangkang”, di dalam Fasal 4a (2), bahawa “Ketua Pembangkang ertinya berhubungan dengan Majlis Mesyuarat, ahli Majlis Mesyuarat yang sedang menjadi Ketua Kumpulan pihak Pembangkang”, tanpa apa-apa obligasi. 
 
Jika sekalipun Majlis Setiausaha PH terlebih yakin bahawa ia akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, keterlebihyakinan, yang sebenarnya tidak disertakan dengan sebarang bukti ini, tidaklah sampai boleh mewajarkan ia melakukan sesuatu yang tidak pernah pun dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri (PM) sebelum ini, termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu memberi taklimat kepada mana-mana calon PM berkaitan keputusan-keputusan dasar luar negara mahupun keputusan-keputusan lainnya.
 
Lebih perlu difikirkan lagi ialah Kenyataan Bersama Majlis Setiausaha PH ini menzahirkan bahawa, bagi PH, kepentingan negara asing adalah lebih penting berbanding kepentingan negara sendiri kerana apa yang tercatat di dalam kenyataan bersama ini ialah hasrat PH “untuk tidak mendatangkan kesan negatif kepada rakan-rakan negara asing” dan “untuk menjamin negara-negara asing tidak terkesan akibat perubahan kerajaan” bukannya “untuk tidak mendatangkan kesan negatif kepada negara sendiri” dan “untuk menjamin negara sendiri tidak terkesan akibat perubahan kerajaan”.
 
Soalan yang perlu kita jawab bersama sekarang ialah: Kenapa PH terlalu gelojoh dengan kuasa sedangkan bayang kuasa pun masih jauh dari kelihatan dan kenapa pula PH kelihatan terlalu fokus untuk menjaga kepentingan negara asing? - HARAKAHDAILY 21/1/2018

SHAH ALAM: Belum pernah berlaku dalam sejarah politik apabila pembangkang menyerang sesama pembangkang melainkan hanya di Malaysia, demikian sindir Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.
 
Katanya, PAS yang turut berada di posis pembangkang telah diserang daripada pelbagai sudut oleh pihak lawan politik termasuk juga daripada kalangan pembangkang lain.
 
Beliau berucap demikian dalam perasmiannya pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Selangor, Fastaqim 2.4 di Kompleks Sukan Seksyen 17, di sini pagi ini.
 
Pun begitu, tegas Ahli Parlimen Bukit Gantang tersebut, PAS sebenarnya telah begitu matang dalam mendepani pertarungan pilihan raya sepanjang 67 tahun parti Islam itu ditubuhkan.
 
"(Sudah) 13 kali pilihan raya (lawan Umno), cuma sekali sahaja kita tak lawan Umno iaitu pada tahun 1974, PAS terlibat dalam Kerajaan Campuran.
 
"Waktu dia (Tun Dr Mahathir Mohamad) memimpin selama 22 tahun pun kita lawan, dia jadi pembangkang baru dua, tiga hari tak kan kita tak lawan.
 
"Sebab itu ada orang nak mengajar PAS menjadi pembangkang lawan Umno, padahal dia itu baru sehari dua keluar daripada Umno.
 
"Nak belajar lawan Umno, kena belajar dengan PAS," katanya merujuk serangan Pengerusi Pakatan Harapan yang saban hari menyerang PAS.
 
Sempena himpunan tersebut juga, beliau telah melancarkan Infaq Pilihan Raya Fastaqim 2.4 ke arah mengukuhkan dana PAS memasuki gerbang PRU14. - HARAKAHDAILY 21/1/2018

KETIKA satu poster disebarkan, ramai bertanya apa beza cadangan PAS yang mahu GST dihapuskan dengan PH yang mahu menetapkan 0 peratus cukai GST? Saya sendiri termangu untuk menjawab. Saya bukan ahli di bidang ekonomi.
 
Setelah lama mencari, akhirnya bertemu satu jawapan. Walaupun dua solusi ini tampak sama, tapi bezanya sangat besar. Ia adalah isu prinsip. Perbezaannya adalah berkaitan dengan syariat Islam. Solusi PAS adalah patuh syariah manakala apa yang ingin dibawa oleh PH adalah bertentangan dengan syariat malah maqasid syariat.
 
PAS menolak GST kerana konsepnya bersalahan dengan Islam kerana mengambil cukai daripada semua orang termasuk si miskin yang tidak berkemampuan. Sedangkan di dalam ajaran Islam, cukai hanya diambil daripada orang berada bertujuan untuk membantu yang tidak berkemampuan. Oleh itu PAS menolak GST secara total dan tidak boleh dilaksanakan sekali-kali. Akta GST perlu dihapuskan.
 
Cadangan PH pula adalah untuk tidak mengenakan GST buat masa ini. Tetapi mereka mengakui bahawa GST adalah sistem cukai yang berkesan. Ia dikenakan 0 peratus kerana masih mahu mengekalkan Akta GST. Cuma kadarnya sahaja direndahkan kepada sifar sehingga masa tertentu. Ia bersifat sementara. Ini bermakna, pada suatu masa nanti GST bakal dikenakan semula.
 
Suka untuk saya katakan idea PH adalah suatu yang sangat bodoh. Mengekalkan sistem cukai tetapi tidak memungutnya hanya akan menambah beban kos kepada peniaga dan kerajaan walaupun dalam tempoh tertentu. Negara akan ditertawakan kerana menjadi satu-satunya negara yang mengenakan GST tetapi 0 peratus. Tetapi lebih malang, jika ada rakyat yang berjaya diperbodohkan oleh mereka.
 
Inilah padah apabila memahami konsep makro-ekonomi melalui neraca Barat. Mereka hanya nampak penjanaan ekonomi hanya melalui percukaian semata-mata mengikut kaedah polisi fiskal. Soal mengurus kewangan negara difikirkan seputar naik turun nilai cukai dan kaedah kutipan yang efisyen sahaja. Saidina Uthman pernah menyebut di dalam suratnya kepada para Gabenor beliau:
 فإن الله أمر الأئمة أن يكونوا رعاة، ولم يتقدم إليهم أن يكونوا جباة، وإن صدر هذه الأمة خلقوا رعاة، ولم يخلقوا جباة، وليوشكن أن يصيروا جباة، ولا يكونوا رعاة، فإذا عادوا كذلك انقطع الحياء والأمانة والوفاء،
"Sesungguhnya Allah memerintahkan kepada para pemimpin supaya menjadi pemelihara, bukan menjadi pengutip cukai. Sesungguhnya kalangan terdahulu dari umat ini diciptakan sebagai pemelihara, bukan pengutip cukai. Dan akan tiba suatu masa nanti pemerintah menjadi pengutip cukai bukan lagi pemelihara. Apabila berlaku demikian, maka hilanglah sifat malu, amanah dan menepati janji.."
 
Mereka mengenakan cukai secara samarata (equality) dengan menganggap ia bertepatan konsep keadilan (justice). Sedangkan keadilan dan kesamarataan satu perkara yang berbeza. Walaupun tanggungan cukai boleh diperkecilkan kerana dikongsi semua penduduk negara, tetapi kesannya berbeza antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah. RM6 mungkin tiada nilai bagi sesetengah pihak, tetapi ia adalah nilai sara hidup untuk sehari bagi sesetengah golongan.
 
Tetapi yang lebih malang, kebanyakan konsep percukaian yang dikenakan lebih bersifat mesra kapitalis. Transaksi dan urusniaga golongan korporat bernilai trillion ringgit langsung tidak diusik bagi menjaga hati golongan 1 peratus ini. Barangkali kerana kapitalis inilah yang membela politikus-politikus ini. Rakyat teramai yang sentiasa bergelut dengan kos hidup pula diperas setiap hari.
 
Kesudahannya, yang kaya semakin kaya dan yang miskin terus miskin. Jumlah miskin semakin bertambah. Kuasa beli rakyat teramai sebagai pengguna pula menurun mendadak, menyebabkan hasil GST turun menurun kerana kelembapan pasaran. Perniagaan kapitalis turut terjejas lalu akhirnya ekonomi bertambah tenat. Inilah yang berlaku di Greece.
 
Malaysia bukan negara yang kekurangan sumber pendapatan. Negara sebenarnya kaya dengan pelbagai galian dan tanah yang subur. Semuanya bernilai tinggi dan bermanfaat untuk kehidupan. Masalah sekarang adalah sistem yang menguruskan hasil negara yang tidak efisyen, menyebabkan kekayaan negara hanya berlegar di kalangan sebilangan kecil sahaja. Ia tidak akan selesai hanya sekadar merubah individu, tetapi sistem masih begitu.
 
Justeru itu PAS menawarkan solusi tuntas melalui Dokumen Hijau agar kitaran ekonomi negara berlaku secara lebih adil mengikut ajaran Islam. Cukai simpanan korporat dan cukai urusniaga saham BSKL adalah alternatif kepada GST dalam menambah pendapatan negara. Bezanya, cukai ini diambil dari golongan kaya yang membentuk kurang 1 peratus daripada keseluruhan 30 juta rakyat Malaysia sahaja. Itupun boleh mengutip lebih daripada hasil GST hari ini.
 
Bagi menjayakan perkara ini, PAS mengamalkan salah satu kriteria BPMS iaitu Politik Mengutamakan Rakyat. PAS mengemukakan Dokumen Hijau kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara buat pertama kali sebelum dipaparkan kepada rakyat. Menunjukkan PAS benar-benar ikhlas mahu membantu negara. Dokumen Hijau bukan semata-mata modal politik PAS. Namun hanya sebahagian kecil kandungan Dokumen Hijau yang dipertimbangkan.
 
Sehingga kini PAS masih percaya hanya Islam sahaja yang mampu menyelesaikan masalah negara. PAS memiliki berbagai lagi solusi selain ekonomi. Kesemuanya terkandung di dalam dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051). Membuktikan PAS tidak hanya pandai bercakap mengenai hudud sahaja sebagaimana yang digambarkan media. PAS sudah bersedia jika diberi amanah memerintah!
 
"Sejahtera Bersama Islam"
 
2 Jumadal Ula 1439
20 Januari 2018
 
ALANG IBN SHUKRIMUN - HARAKAHDAILY 20/1/2018
 
 

JOHOR ini saya banyak kali turun sebab saya duduk tengok bulan purnama akan muncul di Johor. Dan Johor ini walaupun kita rasa suatu negeri yang payah untuk kita menangi, tetapi kadang-kadang Allah Taala ingat kita dua kali, dalam surah (asy-Syarh):

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
(asy-Syarh: 5-6)

Dalam surah Asy-Syarh ini Allah Taala menyebut:


فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
"Bersama susah kamu itu akan ada kesenangan."

Dan Allah Taala sebut kali kedua:

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
"Dan bersama susah kamu itu akan ada kesenangan."

Apa maknanya? Kesusahan kita berjuang, kesusahan kita berlawan, bina, kita tubuh, kita bentuk, Allah janji bila kita berdepan dengan kesusahan, Allah akan sediakan jalan kepada kemenangan dan kesenangan insya-Allah.

Jadi oleh kerana itu kalau kita lihat dalam Gagasan Sejahtera, kita ada tiga komponen. Yang pertama parti politik hingga setakat ini kita ada Ikatan, kita ada Berjasa, kita ada PCM, kita ada PAS, dan ada beberapa parti lagi yang dalam perundingan.

Yang kedua kita ada hampir 300 NGO, 200 daripada Kongres Rakyat yang telah kita adakan, dan 26 haribulan ini kita ada satu lagi himpunan juga di bawah anjuran NGO bersama-sama dengan PAS iaitu Himpunan MyAqsa yang dijangka lebih kurang 300 NGO yang akan menjayakan himpunan ini. Dan ini sangat besar tuan-tuan sekalian.

Kemudian di samping NGO, kita ada tokoh-tokoh individu-individu tertentu, tokoh korporat, tokoh akademik, tokoh usahawan yang bagi komitmen untuk bersama-sama dengan Gagasan Sejahtera dalam Pilihan Raya Ke-14.

Sebab itu bila kita menganalisa senario politik negara kita, parti yang bersedia untuk mengubah dasar ada dua. Yang pertama semua orang tahu bahawa PAS bersama dengan Gagasan Sejahtera, komitmen kita nak ialah mengubah polisi, mengubah dasar, kerana negara kita punah ialah kerana dasar yang rosak. Tukar individu tidak menjamin negara jadi baik, apatahlagi nak tukar Najib, nak naik Tun Mahathir, lagi teruk.

Komitmen kita ialah untuk mengubah dasar, sebab Sirah Nabi, Nabi tidak datang untuk basmi rasuah, Nabi tidak datang untuk basmi minum arak, berzina atau sebagainya, sebab semua nilai-nilai buruk ini dia berpunca daripada kerosakan dasar. Bila akidah mereka betul, maka akan betullah ekonomi mereka, akan betullah politik mereka, akan betullah sistem sosial mereka, akan betullah undang-undang mereka.

Tetapi bila mana akidah mereka rosak, maka akan rosaklah ekonomi dia, akan rosaklah politik dia, akan rosaklah undang-undang dia. Sebab manusia, dia tidak boleh mengatur hidup dalam kerangka manusia, dia mesti duduk dalam satu sistem di mana kerangkanya yang mengatur dia ialah pencipta manusia, bukan manusia. Pencipta manusia, dia mengatur untuk manusia.

Maka kerana itu, PAS, kita gerakkan perubahan bahawa kalau nak negara kita selamat, ialah kita kena kembali kepada satu sistem yang selamat. Sistem yang mengiktiraf kepelbagaian bangsa, kepelbagaian warna kulit, kepelbagaian agama.

Islam tidak pernah membahagikan manusia mengikut bangsa. Sebab bangsa bukan pilihan kita. Dr Ann Wan Seng tidak minta dilahirkan Cina. Saya tidak minta dilahirkan Melayu. Yang Berhormat tidak minta dilahirkan Jawa. Siapa yang menentu? Yang menentu Allah. Kalau kita kata Melayu lebih mulia daripada Cina, kita letakkan ketidakadilan kepada Allah. Sebab itu Nabi sebut:

لا فضل لعربي على أعجمي
ولا لأبيض على أسود إلا بالتقوى

"Tidak ada kelebihan orang kulit putih berbanding kulit hitam. Tidak ada kelebihan bangsa Arab berbanding bukan bangsa Arab. Yang lebih ialah takwa."

Tuan-tuan tengok ayat ini, yang lebih ialah takwa. Kenapa takwa? Sebab takwa semua orang boleh dapat. Semua orang boleh dapat takwa. Cina boleh dapat takwa, India boleh dapat takwa. Iban boleh dapat takwa. Tapi Iban tak boleh jadi Cina. Saya tak boleh jadi Cina. Cina tak boleh jadi Melayu.

Jadi kalau kita letak bangsa sebagai tanda kemuliaan, kita letak benda yang manusia tak mungkin boleh capai. Sebab ini tak boleh buat. Saya nak tukar warna kulit jadi putih, tak boleh. Warna kulit bangsa bahkan agama, agama. Sebab itu Allah Taala menurunkan ayat:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ
"Tidak boleh paksa, tak boleh paksa orang masuk Islam."
(al-Baqarah: 256)

Kenapa tak boleh paksa? Kalau kita paksa, dia jadi munafik. Dia berpura-pura Islam. Islam tak mahu berpura-pura. Sebab itu bagi kita, agama ialah pilihan. Manusia boleh memilih. Allah Taala turunkan Nabi Muhammad S.A.W membawa al-Quranul Karim, tunjuk akhlak yang baik, tunjuk cara yang baik, hidup yang baik, lalu ini dibuka, dibentang kepada manusia.

Sebab itu Islam itu dipanggil Al-Fathu. Al-Fathu makna buka, bentang. Umpama air. Kalau sekiranya kita tak buka, dia tak mungkin boleh keluar. Minyak wangi, wangi macam mana minyak wangi, kalau tak dibuka tudungnya, orang tak tahu.

Demikian juga Islam, orang tak nampak cantiknya undang-undang Islam sebab mereka tidak pernah berada di dalam sistem tersebut. Orang tak nampak bagaimana indahnya ekonomi Islam sebab dia tak berada dalam sistem itu.

Jadi untuk memahami sistem tersebut, yang ada dua, yang pertama kena baca sejarah kejayaan Islam dulu. Kita akan nampak kejayaan. Yang kedua kita perlu menunjukkan model, mewujudkan model contoh. Walaupun contoh ini tidak sempurna, tetapi ini yang terbaik yang kita ada.

PAS memerintah Kelantan 27 tahun. Baru ini Jabatan Audit Negara bagi anugerah kepada Jabatan-jabatan, ada sembilan Jabatan di Kelantan, Pejabat Menteri Besar, Pejabat Kewangan Negeri Kelantan mendapat markah 99 peratus. Jabatan Kewangan 98 peratus. Jabatan lain kebanyakan 95, 96, 97 peratus. Itu tinggi, tak ada negeri macam itu di Malaysia. Ini contoh model.

Yang kedua, sepanjang 27 tahun tak ada rekod pimpinan kita didakwa di mahkamah kerana terlibat rasuah, tak ada. Sepanjang 27 tahun kita memerintah, tidak ada non-Muslim mengadu dia dianiaya, dia tak boleh beramal.

Saya ingat lagi bila Dr Ann Wan Seng sebut soal kubur, di Kota Bharu, masyarakat Cina pada waktu itu sebelum PAS memerintah, tak ada kawasan perkuburan Cina. Kalau meninggal dunia, dia terpaksa kebumikan jauh kawasan lain. Bila PAS mengambil alih tahun 1990, Persatuan Cina datang jumpa Menteri Besar, minta digazet satu kawasan perkuburan Cina. Tok Guru Nik Aziz terkejut, dia kata tak ada kubur? Tak ada.

Dia orang kata kami orang bukan Islam hidup susah, mati pun susah. Tak ada kubur. Ini hak asasi. Ini hak kaum, ini hak agama, mana boleh kita tak bagi, tak boleh. Ini hak dia. Lalu kita bagi.

Sebab itu bagi kita, kita nak minta rakyat Malaysia, bukan menilai hanya pada parti yang boleh dimanipulasi, tapi tengok jasa. Pilihan Raya Ke-14, rakyat Malaysia makin matang. Dia akan menilai seseorang itu bukan sahaja pada parti yang ingin buat perubahan, tapi ialah calon yang bersedia membawa kebajikan kepada pengundi, bukan calon menang, makan tidur, bukan. Tapi calon yang turun bekerja, jentera yang turun bekerja.

Jadi ini malam ini saya nak ucap tahniah kepada Unit Amal PAS. Unit Amal ini tuan-tuan, berlaku banjir di mana, pergi tanpa minta bantuan, tanpa minta duit, buat kerja tanpa minta upah. Ini Kota Tinggi ini dulu banjir besar, ada satu peti undi saya tak ingat nama peti undi itu di sini, PAS dapat dua undi.

Ini saudara Onn Jaafar beritahu sayalah. Dia dah keluar. Tak apalah. PAS tidak pernah memusuhi kawan-kawan kita yang keluar. Cuma kita terkilan elok-elok duduk dalam jamaah Islam, sabarlah sekejap. Tak apa, mudah-mudahan kita doa dia balik semula. Ramai juga yang dah balik sebenarnya. Ramai yang dah balik. Yang isi borang semula, yang minta nak balik semula ramai. Alhamdulillah. Cuma tak perlu kita hebohlah.

Jentera Amal kita buat kerja misi banjir di Kota Tinggi masa itu. Dia basuh, pindahkan pengundi, sediakan makan, basuh rumah bersih siap. Tahun depan, mari Pilihan Raya Umum, kampung itu, peti undi itu PAS dapat tiga undi, tambah satu je. Sebab itu saya beritahu orang Unit Amal kita, dan kitalah pimpinan PAS khususnya, kalau kita bekerja kerana manusia, kita akan kecewa. Tapi kalau kita bekerja kerana Allah, Allah tidak pernah mengecewakan kita.

Dan akhir sekali, dalam Gagasan Sejahtera, kita sentiasa ada pertemuan, dan insya-Allah lepas ini pun kita ada mesyuarat dengan rakan-rakan parti kita ini, sebagaimana disebut tadi, 130 kerusi yang PAS akan bertanding, yang Gagasan Sejahtera akan bertanding, 130 ini bukan PAS, 130 ini ialah Gagasan Sejahtera. Makna 130 ini ialah kerusi PAS, kerusi Ikatan, kerusi Berjasa, kerusi PCM. 130 ini juga kita akan bagi kepada rakan-rakan NGO yang bernaung di bawah Gagasan Sejahtera.

(Jumlah) 130 juga kita akan bagi kepada individu-individu tertentu. Kalau tuan-tuan ingat, Tuan Guru Presiden banyak kali sebut, mengemukakan idea Kerajaan Teknokrat. Kerajaan Teknokrat bererti kerajaan yang bukan hanya disusun oleh ahli politik. Saya sangat bersetuju dan kami pimpinan setuju dengan cadangan Gagasan Presiden, sebab bagi menentu hala tuju negara kita, tak akan orang politik sahaja? Seluruh rakyat ada hak bagi menentu masa depan negara kita.

Jadi bukan orang politik sahaja, jangan biarkan orang politik sahaja menentukan masa depan negara. NGO ada hak, individu ada hak, tokoh-tokoh pun ada hak. Negara kita negara kita, negara Malaysia negara kita semua. Dan tadi saya sebut, ada dua parti yang menggerakkan perubahan dasar. Satu PAS, mana satu lagi? Satu lagi ialah Parti Sosialis. PSM.

Tuan-tuan baca kenyataan dibuat oleh Saudara Arul dua hari lepas. Dia menyebut bahawa komitmen ialah untuk merubah dasar, dia tak percaya kepada BN, tak percaya kepada PH. Tapi dia tak sebut PAS. Pakatan Harapan tidak bersedia mengubah dasar negara. Barisan Nasional tidak bersedia mengubah dasar negara.

Dia kata Parti Sosialis bersedia, PSM sedia. Cuma kami bertanding tiga percent. Dia kata dia hanya bertanding tiga peratus. Tiga peratus ini tak boleh ubahlah tuan-tuan. Tiga peratus tak mungkin boleh mengubah dasar negara.

Sebab itu PSM ini dia tak join Pakatan Harapan. Dia tak mari bersama dengan Gagasan Sejahtera sebab dia Sosialis. Sosialis dengan Parti Islam dia tak bertemu. Dia dua line yang berbeza, tak mungkin boleh bertemu. Walaupun Islam menerima beberapa konsep dalam idealisma Sosialis, sebab Islam lebih awal daripada Sosialis. Soal kesamarataan, keadilan, hak sebagainya, tapi berbeza.

Jadi oleh kerana itu bagi kita, satu-satunya muafakat politik yang bekerja untuk ubah polisi dasar ialah Gagasan Sejahtera bersama-sama dengan PAS, Ikatan, Berjasa, dan PCM. Sebab itu bagi rakyat Malaysia, kita tidak mungkin boleh sebuah negara yang kita ingin tanpa merubah dasar, polisi dalam negara ini.

Dan insya-Allah bagi saya, apa yang sedang berlaku pergolakan dalam Pakatan Harapan, pergolakan dalam Barisan Nasional, dia menyebabkan kita dalam Gagasan Sejahtera tak ada masalah, kami tak ada masalah, bincang kerusi pun tak ada masalah, bincang calon tak ada masalah, jawatan? Jawatan kita tak bincang. Pasal apa tak bincang? Kambing belum bela lagi, tak usah bincang bahagi nak untung berapa. Cawangan tak tahu mana.

Kita bagi kita, fokus rakyat. Fokus kebajikan rakyat. Selesaikan masalah rakyat. Insya-Allah rakyat akan beri harapan kepada parti yang menjaga dan pelihara hak-hak mereka insya-Allah. Dan parti itu ialah PAS, insya-Allah bersama dengan Gagasan Sejahtera.

Mudah-mudahan himpunan kita pada malam ini, kita memahami bagaimana hasrat besar parti ialah membawa perubahan yang besar kepada sebuah negara yang seringkali kita sebut:

بلدة طيبة ورب غفور

"Sebuah negara yang baik, dan Allah Taala mengampuni penduduk negara ini"

Insya-Allah. Wallahua’lam.

(Transkrip oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR dan suntingan oleh Penolong Pengarang Berita Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari Ucapan Timbalan Presiden PAS Majlis Makan Malam Bersama Pimpinan Gagasan Sejahtera pada 18 Januari 2018 di Dewan Chon Moi, Kota Tinggi) - HARAKAHDAILY 21/1/2018

TERKEJUT saya bila membaca tulisan editor akhbar rasmi DAP, Roketkini, Izmil Amri Ismail, bertajuk “Mahu Menang Bersama Dr Mahathir, Atau Tewas Di Tangan Najib?” pada 19 Januari 2018 yang menyebut “Dr Mahathir sudah murtad daripada perjuangan Umno yang dibinanya selama puluhan tahun” dan mengibaratkan penyertaan Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Pakatan Harapan seperti “Pope masuk Islam” kerana kedua-dua pernyataan ini, iaitu 'murtad' dan 'Pope masuk Islam', seringkali dikaitkan dengan konotasi keagamaan. 
 
Menyebut “Dr Mahathir sudah murtad daripada perjuangan Umno yang dibinanya selama puluhan tahun” dan mengibaratkan penyertaan Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Pakatan Harapan seperti “Pope masuk Islam” adalah satu perbuatan yang sangat tidak sensitif oleh akhbar rasmi DAP ini.
 
Begitu juga dengan rumusan Izmil Amri di dalam tulisannya itu yang berbunyi: “Maka pilihannya mudah sahaja. Tidak ada lain, kita mesti menang. Rakyat mesti menang. Dan kalau kemenangan itu diusung mantan diktator tua, si mahafiraun yang kita benci; apakah kita akan menangguhkan kemenangan sekali lagi, dan membiarkan rejim terus ketawa untuk seribu tahun lagi?”
 
Bila akhbar rasmi DAP sendiri menyifatkan Tun Dr Mahathir sebagai 'mantan diktator tua' dan 'si mahafiraun yang kita benci' maka jelaslah betapa sangat hinanya Tun Dr Mahathir di mata DAP dan betapa DAP sebenarnya hanya mahu mempergunakan Tun Dr Mahathir sebagai alat yang terpaksa digunakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sahaja.
 
Dengan penghinaan sebegini teruk yang ditunjukkan oleh DAP terhadap Tun Dr Mahathir ini, tidak sukar untuk diagak ke mana Tun Dr Mahathir akan dilemparkan nanti setelah DAP mencapai hajat yang ia mahukan dari beliau. - HARAKAHDAILY 21/1/2018

KALAULAH semua guru yang terlibat dengan PAS disuruh berhenti dari perhidmatan, saya bimbang Kementerian Pendidikan akan kehilangan sebahagian besar guru cemerlang yang gigih mendidik para pelajar. Yang tinggal hanyalah mereka yang mencukupkan bilangan guru di sekolah. 
 
Saya sangat dekat dengan institusi sekolah. Sampai sekarang saya masih lagi dijemput berceramah di sekolah. Kita kenal ramai guru-guru yang berdidikasi. Maaf untuk diberitahu, majoriti guru-guru yang berdedikasi bukan penyokong Umno. 
 
Guru-guru anak Kelantan yang sedang berkhidmat di luar Kelantan berjumlah lebih 37,000 orang. Saya jumpa mereka di Lembah Kelang, di Utara, di Tengah malah ramai di Sabah dan Sarawak sampai ke pendalaman. Malang sekali lagi kerana mereka juga bukan penyokong Umno. 
 
Saya kenal ramai kawan-kawan penerima anugerah guru cemerlang. Sekali lagi malang kerana mereka bukan penyokong parti keris.
 
Saya juga kenal seorang dua guru-guru yang jadi Pengerusi JKKK dan Setiausaha JKKK di Jabi. Boleh pula mereka pegang jawatan dalam Umno dan JKKK. 
 
Silakan saja kalau nak singkirkan semua guru-guru yang menyokong PAS. Silakan...
 
DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 20/1/2018

More Articles ...