18
Thu, Jul
47 Artikel Baru

MUTAKHIR ini bahang serangan terhadap PAS dengan menggunakan tuduhan takfiri membahang kembali. Dalangnya Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri yang telah memerintah negara ini selama 22 tahun, tujuannya jelas supaya rakyat membenci dan mengucilkan PAS di persada politik tanah air. Mahathir tetap Mahathir, semenjak dekad 80an tidak kepalang kebenciannya kepada PAS dan pendokong sehingga pelbagai undang-undang draconian dihalakan kepada PAS. Dr Mahathir di zamannya telah menggunakan media perdana untuk menyerang PAS melalui isu ini, pelbagai rekayasa termasuk isu solat dua imam dimainkan oleh media perdana untuk memburukkan PAS. Isu ini dikitar semula terutama menyalahkan "Amanat Haji Hadi" dan kelihatan Mahathir tidak lelah untuk menyerang PAS melalui isu ini.

Apabila PAS dipimpin oleh ulama haraki dalam dekad 80-an, maka pengajian yang berteraskan ilmu akidah menjadi salah satu paten dalam majlis ilmu yang dianjurkan oleh PAS, juga institusi seperti masjid dan surau. Pengajian akidah akan membenihkan ahli yang faham akan konsisten dengan perjuangan Islam. Namun ada sisi lain yang terserlah apabila pengajian akidah menggerakkan kesedaran secara besar-besaran tentang politik berteraskan akidah terutama yang membatalkan syahadah.

Pada tahun-tahun 80-an pula kesan pengajian ini ialah isu takfir di dalam masyarakat terutama di negeri-negeri yang mempunyai pengaruh PAS yang kuat seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Fenomena ini juga dikesan pernah berlaku di Mesir pada tahun 70-an sehingga menimbulkan jamaah Takfir Wal Hijrah yang dipimpin oleh Mustafa Shukri. Menurut Dato Asri (1993), PAS sendiri tidak pernah mengambil sebarang ketetapan atau keputusan mana-mana mesyuarat pun, baik di peringkat cawangan. Badan yang berhak untuk memutuskan dalam hal ini ialah Dewan Ulamak, sedangkan Dewan Ulamak tidak pernah membuat keputusan sama ada dengan bertulis atau dengan lisan.

Isu ini juga telah digunakan sebagai senjata politik UMNO untuk memencilkan PAS daripada masyarakat umum. UMNO mempunyai niat terselindung untuk menuduh PAS menyebarkan fahaman ini dan di sisi lain gerakan Islam dituduh sebagai gerakan neo-Khawarij, inilah juga yang terjadi di Libya, Algeria, Mesir, Yaman dan sebagainya. Khawarij adalah firqah akidah, pelabelan ini akan memencilkan sesuatu kelompok daripada masyarakat yang lain.

Di tanah air kita, isu perpecahan akibat takfir dikesan pada tahun 1960-an apabila isu politik diganding dengan isu akidah tetapi ia tidaklah separah dekad 1980-an, kerana UMNO mempolitikkan isu dengan semaksimum mungkin bagi mewajahhitamkan PAS. Isu politik dan akidah agak serius apabila terbitnya kitab "Beberapa Mutiara Yang Bagus Lagi Indah" karangan Sheikh Abdul Kadir Al-Mandili di Mekah. Beliau adalah tokoh ulama yang mengajar di Masjidil Haram yang juga merupakan Ketua Cawangan PAS di Mekah.

Menurut seorang tokoh agama UMNO iaitu Dato' Nakhaie Haji Ahmad (2002), apabila berlakunya kesedaran di negara ini sekitar tahun 70-an di mana golongan terpelajar mendapat percikannya, fahaman-fahaman takfir ini mendapat ilham baru daripada karangan al-Maududi dan Sayyid Qutb. Meskipun karangan mereka lebih banyak menjelaskan tentang persoalan prinsip mengenai pemerintahan tetapi penerapan prinsip itu di dalam menjelaskan isu-isu politik, menimbulkan banyak salah faham sehingga mengakibatkan berlakunya kegiatan takfir. Pandangan Nakhaie ini juga dikongsi bersama oleh intelektual proksi UMNO di menara gading dengan nada dan lirik yang sama.

Kerajaan BN tidak bertindak dengan hujah tetapi menggunakan ISA untuk berhadapan dengan pimpinan PAS dalam isu ini. Gejala takfir di Besut, isu ini cuba dibendung oleh kerajaan dengan menangkap pemimpin PAS Besut seperti Ustaz [email protected] Jusoh dan Ustaz Abdul Latif Mohamad di bawah Enakmen Kediaman Terhad Seksyen 2 (Abdul Latif juga telah meninggalkan PAS semasa krisis Besut dan kini menyertai PAS kembali). Ustaz Abdul Latif dalam pertemuan peribadi dengan penulis pada tahun 1994 menegaskan beliau hanya menerangkan batas-batas iman dan kufur kepada masyarakat bukan mengkafir pengikut UMNO. Beliau mengajar secara berkitab dan tidak ada ulama UMNO yang berani menyanggah dengan hujah apa yang disebut dengan nas al-Quran dan al-Hadis junjungan.

Tuduh-menuduh antara PAS-UMNO, siapa yang mencetuskan fenomena takfir hampir menyeret keduanya ke meja debat terbuka, untuk rakyat menilai isu ini dengan terbuka. Pimpinan PAS telah bersedia dengan apa tajuk sekalipun. Sebelum debat ini dijadualkan berlangsung ada wakil NGO dan tokoh umat Islam meminta supaya debat itu tidak diadakan, sebaliknya berunding. Antaranya Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim (UIA), wakil ABIM dan sebagainya.

Debat bertajuk "PAS mengkafirkan UMNO" yang dicadangkan pada 11 November 1984 telah disensasikan dan menjadi buah mulut rakyat negara ini. Namun sebelum berlangsung ianya dibatalkan dengan campur tangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pihak PAS berpandangan pembatalan debat ini satu bukti yang ampuh UMNO takut berhadapan dengan PAS dalam isu ini yang dimanipulasi dengan gaya paling hodoh oleh jentera UMNO untuk masyarakat membenci PAS.

Menurut Tuan Guru Haji Hadi Awang, isu takfir yang dimainkan oleh UMNO terhadap PAS semakin reda, masyarakat mula menghargai menghargai ikrar syahadah mereka yang tidak boleh dipermainkan sesuka hati kerana syahadah boleh terbatal sama ada dengan iktikad, lisan atau perbuatan. Ucapan menghina Islam dan syariatnya semakin sirna apabila masyarakat difahamkan dengan ilmu akidah. – HARAKAHDAILY 7/1/2018

Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

TERAS Pengupayaan Melayu (Teras) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa pihak kerajaan melihat secara serius terhadap tren pemberhentian pekerja yang semakin meningkat sejak 2015.

Laporan berita bahawa dijangka 50,000 pekerja akan diberhentikan pada 2018 sangat mencemaskan kerana dalam sebuah negara yang bergantung kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan, tren ini boleh menjejaskan kualiti hidup rakyat.

Laporan yang disiar dalam akhbar tempatan kelmarin melaporkan Pengarah Eksekutif Persukutuan Majikan Malaysia menyatakan sektor perbankan, insurans, pembinaan dan peruncitan juga dijangka mengalami pengurangan pekerja.

Kami menggesa pihak kerajaan meneliti tren ini dengan terperinci agar suatu perancangan menukar kebergantungan kepada pekerja luar dikurangkan bagi memastikan rakyat tempatan mendapat peluang pekerjaan yang lebih luas.

Sementara itu pelbagai skim melindungi kebajikan pekerja hendaklah dinilai semula agar majikan tidak sewenang-wenangnya membuang pekerja tanpa melihat nasib mereka.

Kami menyarankan supaya sektor pertanian diberi lonjakan baru terutama dalam sektor makanan agar ia dapat menyerap pekerja mencari pendapatan yang terjamin.

Kami juga melihat pengangguran graduan tempatan juga suatu tren yang perlu diperhatikan. Meningkatkan kemahiran dan kemampuan menjadi usahawan yang berjaya perlu diusahakan. Pelbagai institusi kemahiran teknikal dan vokasional masih belum dapat melahirkan usahawan yang mencukupi dalam kalangan graduan universiti.

Skim gaji minimum, sistem insurans pekerja, cuti bersalin serta pasaran pekerja yang tidak kompetitif adalah faktor yang perlu diberi perhatian. Akan tetapi kebajikan dan perlindungan pekerja tidak boleh dikompromi supaya pekerja tidak boleh dieksploitasi dengan mudah.

Kami menyeru pihak kerajaan meneliti isu ekonomi negara yang berkait dengan soal menerima terlalu ramai pekerja luar. Daripada lebih 6 juta pekerja swasta, pekerja asing nampaknya mendominasi pasaran pekerja. Ini menandakan tren bekalan pekerja dari luar jauh lebih besar dari pekerja di dalam negara sendiri.

Tren sektor pembuatan semakim malap sepatutnya sudah dapat dikesan. Pihak kerajaan perlu lebih proaktif melihat tren global ekonomi dunia.

Kami masih berpendapat ekonomi negara yang terlalu bergantung kepada FDI (pelaburan langsung asing) perlu dinilai semula. Kini pembukaan pelaburan kepada negara luar dalam sektor hartanah juga bakal melihat profil pekerja luar akan terus meningkat di dalam negara ini.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Teras Pengupayaan Melayu
7 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 7/1/2018

SAYA merasa teruja bila mendapati tulisan saya pada 4 Januari 2018 bertajuk “Amanat Maza Jauh Lebih Bahaya Dari Amanat Hadi” yang memaparkan tulisan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza), di laman web DrMaza.Com pada 6 Februari 2014 yang, selain menghina keturunan raja/sultan, bercakap mengenai kritikan dan pembuangan institusi raja/sultan, mendapat sambutan yang memberangsangkan dari masyarakat umum.
 
Sehingga tengahari ini, 6 Januari 2018, tulisan saya ini telah mendapat 856 perkongsian (shares) di muka buku peribadi saya, Kamarul Yusoff, selain 542 perkongsian (shares) di halaman Dr. Kamarul Yusoff yang dikendalikan oleh seorang sukarelawan, dan ini mengatasi jumlah perkongsian (shares) tulisan Dr Maza pada 2 Januari 2018 bertajuk “Benarkah “Amanat Hadi: ‘Dr Maza Lupa Nasihat Sendiri’?” di halaman DrMaza.Com, iaitu 841
 
Pada hemat saya, sambutan yang memberangsangkan dari masyarakat umum terhadap tulisan saya ini sudah cukup untuk memberikan bayangan terhadap dua perkara, iaitu pertama, ketidaksetujuan dan kemarahan mereka terhadap Dr Maza sendiri dan, kedua, ketidaksetujuan dan kemarahan mereka terhadap tindakan Dr Maza yang, selain menghina keturunan raja/sultan, bercakap mengenai kritikan dan pembuangan institusi raja/sultan.
 
Tidak pelik bila ramai yang tidak setuju dan marah terhadap Dr Maza kerana banyak sekali suara-suara tidak puas hati yang sering kedengaran mengenai tindakan beliau mahu menunjuk pandai dalam semua perkara dengan mengkritik hampir semua orang di negara ini, khususnya, selain sasaran terbaru beliau, iaitu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Suara-suara tidak puas hati ini timbul kerana, seperti diketahui umum, Dr Maza adalah Mufti Kerajaan Negeri Perlis sejak 2 Februari 2015 di mana jelas disebut di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis 2006, di bawah Seksyen 45, bertajuk “Fungsi Mufti”, bahawa “Mufti hendaklah membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak...” sahaja.
 
Malah, di bawah Seksyen 51 (1) dan 51 (2) jelas disebut bahawa kuasa Mufti Perlis hanyalah terhadap kepada ruang lingkup Perlis sahaja di mana perbincangan mengenai fatwa yang berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional umpamanya hendaklah dikemukakan kepada Majlis untuk disyorkan kepada Raja Perlis supaya dirujukkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, melalui Majlis Raja-Raja.
 
Definisi “fatwa yang ada hubungan dengan kepentingan nasional” ini diberikan oleh Seksyen 51 (3), iaitu “suatu fatwa adalah dianggap berkaitan dengan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan nasional jika persoalan itu ada hubungan dengan apa-apa perkara, dasar, program atau aktiviti yang secara langsung menyentuh kepentingan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau mana-mana kementerian, jabatan atau agensi-agensinya.”
 
Begitupun, tidak sampai seminggu selepas beliau menjawat jawatan Mufti Perlis, terus sahaja Dr Maza, di dalam wawancara yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada 8 Februari 2015, mengisytiharkan “kemerdekaan” Perlis dari segi fatwa dengan menyebut: “Negeri sebenarnya tidak terikat dengan fatwa kebangsaan, agama di bawah negeri. Cuma fatwa kebangsaan sebagai makluman kita hadir ke Majlis Fatwa Kebangsaan.”
 
Sikap angkuh ini selari dengan kritikan Dr Maza ke atas Majlis Fatwa Kebangsaan di dalam satu lagi wawancara yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada 4 Mei 2013 berbunyi: “Hari ini fatwa mengenai individu dalam parti politik kita rasa macam sangat naif, ada isu-isu besar yang membabitkan negara ini majlis fatwa mungkin tidak dapat mengeluarkan fatwanya kerana dia tidak ada keberanian dalam melakukan perkara itu”.
 
Antara yang pernah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Dr Maza ini ialah Setiausaha Veteran Umno Malaysia, Datuk Mustapha Yaakob, yang, pada 28 Ogos 2016, mencabar beliau supaya meletakkan jawatan sebagai Mufti Perlis dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ekoran sokongan beliau ke atas perhimpunan 'Tangkap Malaysian Official 1' oleh sekumpulan pemimpin mahasiswa di Kuala Lumpur sehari sebelumnya.
 
Bahawa Dr Maza terlibat aktif dalam politik anti-kerajaan, khususnya dengan menanamkan bibit-bibit ketidaksetiaan dan kebencian terhadap kerajaan yang memerintah, setelah beliau menjawat jawatan Mufti Perlis pada 2 Februari 2015, boleh diketahui dengan jelas melalui semakan ke atas segala tulisan Dr Maza selama ini, sama ada yang disiarkan di halaman DrMaza.Com atau di laman web DrMaza.Com selepas tarikh itu.
 
Di sini diberikan 10 contoh tulisan Dr Maza yang menunjukkan keterlibatan aktif beliau dalam politik anti-kerajaan selepas beliau menjawat jawatan Mufti Perlis, khususnya melalui persekongkolan beliau dengan Pengerusi PPBM yang kini adalah Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang semua tahu agendanya adalah untuk menggulingkan kerajaan:
 
(1) Kenyataan beliau di dalam wawancara dengan akhbar Sinar Harian pada 8 Februari 2015 yang disiarkan di laman web DrMaza.Com pada 10 Februari 2015 yang berbunyi: “Najib lambat. Saya suka cara (bekas Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad). (Sekarang) dekat nak bertumbuk, baru nak buat keputusan. Itu pun tak konkrit, yang (boleh) menggambarkan kepimpinan yang bagus. Kita perlu pemimpin bijaksana, pintar, (dan) tangkas. Saya rasa Najib pada masa ini tidak dapat memimpin dengan baik. Jika cara kepimpinan begini berterusan, negara tak akan henti dengan masalah.”
 
(2) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 7 April 2015 yang berkongsi tulisan Tun Dr Mahathir di laman web Tun Dr Mahathir yang mengkritik Datuk Seri Najib, yang disertakan dengan tulisan: “Hebat juga bantuan untuk tokoh Melayu dan Bumiputera seperti Jho Low, berbillon ringgit. Bertuahnya seorang bumiputera di negara ini. Terima kasih ayahanda Tun atas maklumat.”
 
(3) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 27 April 2015 yang berbunyi: “Pagi ini sebelum bertolak ke Acheh bersama DYTM Raja Muda Perlis, saya sempat membuka buku A DOCTOR IN THE HOUSE karya agung Yang Berbahagia Tun Mahathir. Saya terpandang tulisan tangan Tun Mahathir memberikan kata-kata peransang kepada saya beberapa tahun lalu. Beliau menulis ketika dalam penerbangan ke Cairo. Semoga Tun Mahathir terus sihat untuk membimbing negara dan rakyat.”
 
(4) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 7 Mei 2015 yang berbunyi: “Sebagai rakyat, saya berkongsi kebimbangan tentang nasib dan masa depan negara saya seperti orang lain juga. Banyak soalan yang tidak diberikan jawapan yang jelas. Isu 1MDB yang dibangkit oleh Ybg. Tun Mahathir yang membabitkan kehilangan puluhan billion yang masih misteri. Jho Low pula kelihatan tersenyum mewah di sana-sini. Mengapa dia begitu 'kebal dan utuh'? Media antarabangsa pula tidak henti-henti melaporkan kemewahan luar biasa wanita tertentu. Benarkah begitu? Rakyat pula terbeban dengan kenaikan harga barang. Sekarang Tabung Haji pula dilaporkan akan membeli dari 1MDB dengan satu pembelian luar biasa. Saya lihat pihak ABIM telah menuntut penjelasan kerajaan. Saya pun telah tanya rakan-rakan yang berada di pihak kerajaan. Tiada jawapan yang jelas dan memuaskan.” 
 
(5) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 31 Julai 2015 yang berbunyi: “Pagi ini berbual panjang dengan negarawan lagi wira negara Tun Dr Mahathir. Agak sudah lama tidak bersembang dengan ayahanda Tun M. Alhamdulillah, banyak perkara hari ini saya dengar sendiri dari mulut Tun M. Semoga Allah memberkati hidup beliau dan memberinya kesihatan yang baik sentiasa.”
 
(6) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 4 Ogos 2015, yang dikaitkan oleh laman web Astro Awani hari itu sebagai merujukkan kepada wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib, yang berbunyi: “Jumlah ataupun nilai pemberian yang luar biasa kepada seorang penguasa ataupun pegawai yang pasti tidak diberikan jika tidak kerana kedudukannya, maka itu pasti rasuah.”
 
(7) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 30 Ogos 2015 yang berbunyi: “Teriak mereka: “"Kita mesti membela pemimpin perjuangan Melayu!!!". Jeritan slogan itu 'bagaikan' menyedarkan saya bahawa Jho Low, Paul Phua Wei Seng, Arul Kanda dan yang sewaktu dengan mereka merupakan tokoh-tokoh melayu yang sejati lagi soleh.”
 
(8) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 27 Julai 2016, yang dikaitkan oleh banyak pihak sebagai menyokong dakwaan Tun Dr Mahathir bahawa Datuk Seri Najib adalah penjenayah, yang berbunyi: “Menakutkan jika seseorang terpaksa hidup dalam sebuah masyarakat yang menjadikan orang-orang yang jujur, bijak dan berjasa sebagai penjenayah. Sementara, penjenayah pula ditabalkan sebagai ketua dan dibela.”
 
(9) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 28 Ogos 2016, yang dikaitkan oleh banyak pihak sebagai menyokong perhimpunan 'Tangkap Malaysian Official 1' oleh sekumpulan pemimpin mahasiswa di Kuala Lumpur sehari sebelumnya, yang berbunyi: “Kibarkan jalur gemilang kita, bangkitlah membela amanah bernegara, tahniah mahasiswa!”.
 
(10) Tulisan beliau di halaman DrMaza.Com pada 1 November 2017, yang membela Tun Dr Mahathir, berbunyi: “Namun untuk menyatakan Tun M itu pengkhianat Melayu, rasanya patut dinilai semula. Setahu dan seingat saya, ditambah dengan pengenalan saya secara dekat dengan Tun M sejak tahun 2007, beliau lebih fikir tentang nasib Orang Melayu dibandingkan ramai yang lain. Saya banyak kali berbual secara peribadi dengan beliau sejak dahulu. Saya kata 'hati nurani beliau sangat Melayu'.”
 
Mengapa agaknya Dr Maza boleh bebas hingga ke hari ini untuk menyalahguna dan mencemarkan jawatan Mufti Perlis dengan mencampuri urusan politik kepartian, bukan sahaja dengan menyerang Presiden PAS, malah juga menyerang Presiden Umno yang merupakan Perdana Menteri, termasuk dengan menanamkan bibit-bibit ketidaksetiaan dan kebencian terhadap kerajaan yang memerintah? - HARAKAHDAILY 7/1/2018

ISU perpecahan dalam masyarakat antara PAS dan Umno kembali dibuka. Besut kawasan tanah tumpah darah saya antara tempat yang menyaksikan pertembungan panas dan keras ekoran perbezaan pegangan politik. Selalunya PAS yang menjadi mangsa dan kambing hitam. Kononnya PAS adalah punca segala perpecahan ini.

Orang selalu terlupa bahawa PAS adalah mangsa. Pada zaman pertembungan panas dulu, Umno bagaikan tak boleh terima bila ada orang kampung yang bukan Umno. Orang yang menyokong PAS dilihat dengan penuh seteru dan kebencian.

Dr Azman2Pengikut PAS dianiaya. Hak mereka dinafikan. Seingat saya, ayah seorang pesawah tak pernah dapat rasa baja subsidi padi. Borang anak sekolah pun JKKK tak nak tandatangan. Ini bukan cerita lama, bekas YB Jabi pernah tandatangan tak sokong untuk anak orang PAS terima bantuan awal Yayasan Terengganu untuk masuk IPT.

Cerita program PAS diganggu Umno semua orang tahu. Ceramah PAS dihalang serta disekat. Diganggu dengan pelbagai aneka ragam gangguan. Cerita ugut-mengugut bukan rahsia. Samseng pemuda tahan lasak Umno menunjukkan lagak sehabisnya. Sehingga ada orang PAS kena kapak kecik di kepala.

Kakitangan kerajaan seperti guru-guru yang menyokong PAS ditukar terpelanting ke ceruk hulu. Ahli PAS ditangkap, ditahan, malah pernah dibunuh. Penceramah PAS terpaksa ke mahkamah kerana alasan tiada tauliah dan pernah ke penjara.

Berhadapan dengan semua tindakan keras ini, tak munasabah orang PAS nak terima dengan senyum dan ucapan terima kasih. Tindakan yang keras biasanya mengundang tindak balas keras. Isu yang menjadi punca keretakan hubungan dalam masyarakat bukannya kafir mengkafir. Tapi isu ketidakadilan, penindasan, tekanan dan kezaliman dari pihak yang berkuasa bernama Umno. Maka jangan salahkan PAS atas sejarah silam ini.

Kafir mengkafir hanya isu picisan yang ditimbulkan segelintir kecil individu dan bukannya keputusan PAS. Malah mereka yang suatu ketika dulu begitu bersemangat mengkafirkan Umno, kini telah berada dalam Umno dan sebahagian mereka mati sebagai ahli Umno.

Dalam konteks DUN Jabi, solat Jumaat di masjid tertentu yang dikuasai PAS bukannya kerana kafir mengkafir dan tak boleh solat bersama orang Umno.

Masjid Lama Jabi tempat diadakan solat Jumaat ialah sebuah masjid lama yang dikenali sebagai Masjid Lama Jabi. Boleh semak balik sejarah diadakan solat Jumaat di Masjid Lama Jabi yang diadakan lebih dulu dari masjid kerajaan di Jabi.

Masjid Tok Dat antara tempat solat Jumaat yang dikuasai orang PAS. Perlu dimaklumi bahawa di Kampung Tok Dat Jabi tak ada masjid kerajaan. Hanya sebuah masjid milik orang PAS yang ada. Di masjid inilah diadakan solat Jumaat.

Satu lagi tempat solat Jumaat ialah Masjid Matlain Badrin di Kampung Pasir Tawar, Jabi. Di kampung ini juga tiada masjid kerajaan. Dengan didirikan solat Jumaat di Masjid Matlain Badrin, ianya memberi rahmat dan kemudahan kepada penduduk sekitar Kampung Pasir Tawar.

Sejarah lama perpecahan sudah berlalu. Sekarang masyarakat kampung hidup dengan harmoni walau berbeza fahaman politik. Boleh pergi mari bila ada sakit mati, kenduri kendara. Orang yang masih menimbulkan isu perpecahan ini sebenarnya ketinggalan zaman.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang dibawa PAS sekarang telah meningkatkan lagi momentum ini. PAS nak mengajak masyarakat mencari kesejahteraan bersama Islam. Bukan nak ajak orang ramai berpecah. - HARAKAHDAILY 6/1/2018

Penulis ialah AJK PAS Pusat.

INISIATIF lebih bersepadu perlu dilaksanakan kerajaan dan pihak swasta di negara ini dalam peranan untuk mengatasi masalah pengangguran serta mewujudkan peluang pekerjaan terutama dalam kalangan rakyat. Perhatian diberikan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang terhadap isu ini memerlukan perbincangan semua pihak dalam menggariskan penyelesaian jitu terhadapnya. Secara asas, pengangguran berlaku ekoran kurangnya peluang pekerjaan, selain fenomena masa kini dalam kalangan anak muda terutamanya yang memilih pekerjaan.
 
Masalah ini biarpun merupakan cabaran kepada seluruh negara di dunia, namun ia tidak harus menjadi satu budaya tanpa mencipta bantuan dan tindakan untuk tenaga kerja negara memajukan diri. Apatah lagi dalam mengatasinya, segala kejujuran, ketelusan dan tanpa sentimen politik sangat dituntut untuk dilaksanakan. Juga memastikan pelbagai inisiatif telah diadakan pihak kerajaan seperti peluang latihan teknikal dan usaha melahirkan graduan, diseiringkan dengan peluang pekerjaan serta mengecilkan sebab-sebab pengangguran.
 
Kecenderungan mengambil pekerja asing yang lebih dipercayai oleh para pemain industri berbanding menawarkan ruang kepada warga tempatan dilihat meningkatkan jumlah mereka hingga 2 juta mengisi pelbagai sektor. Sekali gus ia meningkatkan jumlah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sehingga dilaporkan lebih 4 juta masih gagal didaftarkan Jabatan Imigresen. Malah, mereka bebas terlepas dalam negara dan bekerja, sedangkan 520,000 rakyat negara ini terutama golongan muda masih lagi mengisi statistik pengangguran.
 
Pihak majikan disyor menyediakan pelan pembangunan kerjaya termasuk insentif kenaikan gaji tahunan dan elaun sara diri, termasuk menyediakan jadual dan suasana kerja lebih kondusif dengan pengurusan lebih baik. Ini bagi memastikan pekerja tempatan seronok untuk menyumbang ke arah kualiti kerja, serta memberikan kesungguhan serta perkhidmatan terbaik dalam tempoh lebih lama. Gaji dan elaun pekerja tempatan juga haruslah lebih tinggi berbeza dari pekerja asing yang telah diberi kemudahan kediaman dan makan minum.
 
Kerajaan wajib menguatkuasakan mekanisma kawalan pengambilan pekerja asing secara telus dan memberikan insentif seperti rebet cukai tahunan bagi majikan yang berjaya menggajikan pekerja tempatan sepenuhnya di syarikat mereka. Cukai dan levi lebih tinggi kepada pekerja asing boleh diperkenalkan, selain syarikat yang menggaji lebih 50 peratus pekerja asing juga turut dikenakan cukai pendapatan lebih tinggi. Pengecilan sektor yang dibenarkan mengambil pekerja asing juga haruslah diperinci kerajaan dalam membendung keadaan sedia ada.
 
Aktiviti perniagaan dalam kalangan belia perlu digalakkan dengan memberi pengecualian cukai berkaitan antara 1 hingga 3 tahun, terutama belia berumur 30 tahun ke bawah yang menjalankan perniagaan sendiri termasuk perniagaan dalam talian. Begitu juga dibidang pertanian dengan memberi galakan menerusi pembangunan tanah-tanah terbiar milik kerajaan atau GLC, termasuk tanah persendirian untuk diusahakan menerusi bantuan dana atau keperluan bagi memulakan aktiviti tersebut.
 
Kerajaan disaran tidak terus mempromosikan Pertanian Bandar kepada sasaran-sasaran yang tidak berminat menjalankannya di kediaman flat mereka kerana dilihat membazir. Lebih efektif dana tersebut diperuntukkan secara berfokus dalam membantu belia menganggur meneroka ‘indoor farming’ atau ‘rooftop farming’ terutama di kawasan yang tiada tanah seperti Lembah Klang. Juga mengadakan projek perladangan haiwan ternak dengan model seperti inisiatif tanah rancangan Felda untuk disertai tenaga kerja tempatan.
 
Kerajaan juga digesa membantu secara khusus golongan gelandangan untuk memiliki sara hidup dengan tawaran pekerjaan yang bersesuaian antaranya menempatkan mereka di satu kelompok aktiviti ekonomi sama ada pertanian atau industri. Selain itu, mentaliti kalangan belia yang suka memilih pekerjaan diubah dengan meningkatkan kempen serta promosi peluang pekerjaan menerusi kolaborasi bersama pihak syarikat-syarikat memerlukan pekerja dalam negara ini.
 
 
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
7 Januari 2018 | 19 Rabiul Akhir 1439 - HARAKAHDAILY 7/1/2018

SEBAGAI manusia, memang kita tidak sunyi dari salah silap. Namun apa yang penting ialah tidak mengulangi kesilapan, melakukan perubahan dan bertaubat terhadap kesalahan lampau.

Namun dalam urusan taubat, ia adalah urusan seseorang itu dengan Allah, dan sekiranya melibatkan manusia, dia perlu memohon maaf kepada mangsa yang terlibat.

Tindakan Tuan Guru Presiden PAS memaafkan Tun Dr Mahahir Mohamed membuktikan bahawa PAS tidak pernah berdendam dengan sesiapa, dan sedia memaafkan kesilapan lampau. Tindakan Tuan Guru juga jelas bahawa beliau tidak mahu terjerat dengan permainan politik yang mengganggu persiapan PAS dan ahli-ahli PAS menjelang PRU14.

PAS mengingatkan seluruh jentera mengikut langkah Presiden PAS agar fokus kepada gerak kerja pilihan raya dan tidak tenggelam dengan agenda pihak lain. Jangan sibuk melayan serangan politik terdesak yang menjauhkan kita daripada tugas sepatutnya. Pendek kata, jangan sibuk mencabut kemuncup ketika bertempur di dalam permainan bola sepak.

Tahniah kepada jentera parti sama ada Unit Amal, pemuda, muslimat dan semua pihak yang turun padang membantu mangsa banjir di Pahang sekarang.

Fokuskan kerja membantu memastikan makanan yang cukup kepada mangsa perpindahan, membantu memindahkan mangsa banjir dan sedia membersihkan kediaman mangsa.

Biarlah rakyat yang akan menjadi hakim parti mana yang mereka rasakan membela rakyat dan yang akan dipilih nanti berdasarkan kerja kebajikan kita.

PAS akan kekal dengan dasarnya dan mempertahankan konsep negara berkebajikan serta budaya politik matang dan sejahtera dalam menyokong benda yang baik untuk rakyat dan membantah perkara yang tidak baik.

Biar kita menghadapi PRU ke-14 dengan menghalakan usaha kepada sasaran yang betul.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
6 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 6/1/2018

KAK Wan, penegasan mahukan DS Najib kekal ini telah dibuat oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang suatu ketika dahulu sekitar tahun 2015 bagi membidas suara-suara yang kononnya mahu menjadi pembangkang yang cerdik, tetapi hanya mahu menukar PM sahaja, bukan parti yang memerintah dengan dasar memeras itu. Akhirnya suara-suara sumbang itu juga bersetuju dengan idea TG Presiden PAS supaya Najib kekal, agar mudah dikalahkan dalam PRU nanti. Kerana jika naik PM baharu yang juga dari Umno, maka makin sukar untuk pembangkang mengalahkan Umno. Bijak fikiran TG Presiden PAS.

Kak Wan, mengapa suara Kak Wan seirama dengan Tun Mahathir di kala ini sedang galak berkokok menyerang PAS berbanding Umno? Sedangkan Umno yang dikatakan sebagai pasukan yang tidak berbuat dengan sepatutnya atas amanah rakyat yang memilih mereka? Jika Umno yang bersalah, lojikkah PAS pula diacukan senapang? Jika PAS lemah, tidak menjadi ancaman kepada PH, kenapa PAS diletakkan sebagai sasaran? Politik cacamarba apakah ini?

Kak Wan, sedarkah Kak Wan yang Lim Guan Eng juga turut memuntahkan peluru bagi menyerang PAS? Orang ini yang memeluk erat Timbalan Perdana Menteri dan menangis merayu meminta bantuan dari Umno ketika banjir tempoh hari? Dia juga turut menelan segala peruntukan Pusat dalam bajet yang dia tentang akhir tahun lalu. Jika kerjasama PAS yang tiada bukti bersama Umno itu dikatakan UG, maka apakah pula patut kita panggil dengan pelukan LGE dan Zahid Hamidi itu? Dan apa pula gelaran bagi LGE yang memotong peruntukan Adun dari PKR sendiri di Pulau Pinang? Oh lupa, Kak Wan pun dilihat terhegeh-hegeh mengejar DS Najib pada waktu banjir tempoh hari. Ada apa-apa ke?

Kak Wan, tidak cukup Kak Wan tiga sekawan, ditambah juga beberapa orang yang mengejar populariti, turut menari mengikut rentak bikinan Tun Mahathir dengan galian cerita lapuk dan lama yang masih relevan barangkali bagi mereka dengan isu Memali dan kafir mengkafir. Agak malang kerana penggali isu lapuk itu adalah golongan agamawan yang mendakwa tanpa parti. Tetapi sekarang mereka membisu apabila Tun menuduh TG Presiden PAS kafir.

Kak Wan, jika PAS benar tersisih dari persada pentas politik Malaysia, biarkanlah kami begini. Tak usah diganggu PAS yang boleh dianggap sebatang kara ini. Kami tiada kudrat untuk bersaing dengan BN dan PH. Tetapi agak janggal di kepala ini kerana makin dikata lemah, semakin PAS dikerumuni dan ditekan, bagaikan ketakutan. Tambah ajaib apabila semakin dituduh, semakin berduyun-duyun rakyat memohon menyertai kami.

Kak Wan, apa agenda Kak Wan sebenarnya bersama DS Najib sehingga bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan PAS? Mahu membebaskan DS Anwar? Mahu mengangkat Tun Mahathir sebagai PM sementara? Atau masih berangan mahu menjadi MB Selangor? Apa sekalipun impian Kak Wan, ia tidak akan menjatuhkan PAS insya Allah. Kami semakin hari, semakin bersemangat dan istiqamah dalam menghadapi PRU. Lawan PAS dan Gagasan Sejahtera adalah BN. PH juga boleh turut serta bersama BN untuk melawan PAS dan Gagasan Sejahtera jika mahu.

Ada lebih baik Kak Wan menyambung semula bermain teka-teki apakah makanan, penyanyi atau apa sahaja kegemaran Nurul Izzah. Daripada turut menyertai Tun yang sememangnya membenci PAS sejak dahulu lagi. Bermain teka-teki seperti itu jauh lebih baik kerana dapat mengenal anak sendiri. Jika mengenal anak sendiri gagal, bagaimana mahu mengenal pengundi yang lima tahun sekali berjumpa dengan hanya menjanjikan resepi kuih bengkang ubi?

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
16 Rabiulakhir 1439 / 4 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 4/1/2018

More Articles ...