21
Mon, Oct
11 Artikel Baru

AGAMAWAN telah melaksanakan gerakan kesedaran pendidikan seawal 1906 dengan visi perjuangan pan Islamisasi berdasarkan Quran dan Hadis.

Perjuangan gerakan pembaharuan golongan agama makin komprehensif melalui gerakan dakwah di madrasah dan media, malah menyaingi golongan ortodok dan bangsawan.

Mereka memperjuangkan idealisme Melayu yang berakhir 1926 kerana tempias gerakan pembaharuan sosio ekonomi sehingga mencetus kebangkitan gerakan politik bagi mengusir kolonial.

Bertitik tolak sinergi agamawan mencelikkan umat Melayu tentang ilmu, penulis mengemukakan idealisme dalam skop dimensi pendidikan merupakan kegiatan pembentukan dan perkembangan ilmu, kerohanian, kompetensi dan kemahiran manusia sama ada melalui pendidikan formal atau tidak formal.-HARAKAHDAILY 1/2/2018

(Ikuti tulisan penuh tersebut yang disiarkan dalam Harakah cetak keluaran terbaharu Bil.2320 edisi Jumaat dipasaran)

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) memandang berat keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 29 Januari 2018, berhubung kes agama bagi tiga anak-anak kepada Muhamad Ridhuan bin Abdullah (dahulunya Pathmanathan a/l Krishnan) dan bekas isterinya, Indira Gandhi a/p Mutho. Berdasarkan kepada 'Press Summary' yang disediakan oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia, intipati daripada kes tersebut antara lainnya adalah seperti berikut:-
 
(a)     Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa eksklusif semakan kehakiman, termasuk untuk mendengar dan membicarakan perkara-perkara yang jatuh di bawah hukum syar’ie, walaupun Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil “tidaklah mempunyai bidang  kuasa  berkenaan  dengan  apa-apa  perkara  dalam  bidang  kuasa  Mahkamah Syariah”;
 
(b)     Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa perkataan ‘parent’ dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan — yang memperuntukkan bahawa “the religion of a person under the age of eighteen years shall be decided by his parent….” — adalah merujuk kepada ibu dan bapa, dan oleh yang demikian persetujuan kedua-dua ibu dan bapa adalah diwajibkan sebelum seseorang anak itu boleh didaftarkan agamanya sebagai Islam; dan
 
(c)     Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Syariah di negeri Perak tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan penentuan sama ada kemasukan ke agama Islam seseorang itu adalah sah ataupun tidak, kerana seksyen 50(3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perak hanya memperuntukkan bidang kuasa untuk Mahkamah Syariah membuat pengisytiharan keluar Islam, bukan untuk menentukan kesahihan kemasukan Islam seseorang itu.
 
Ketiga-tiga perkara di atas antara lainnya menyentuh tiga aspek genting mengenai kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan; Pentadbiran agama Islam di negeri-negeri di bawah kekuasaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu; dan pembahagian bidangkuasa di antara Mahkamah Sivil dan Syariah. Ketiga-tiganya juga melibatkan hak-hak keibu-bapaan yang sepatutnya perlu ditangani secara cermat bagi melindungi hak kesemua pihak, tetapi malangnya keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, pada hemat UMMAH, gagal memastikan hal ini.
 
Berhubung penentuan agama anak-anak, misalnya, sungguhpun syarat persetujuan kedua-dua ibu dan bapa mesti diperolehi terlebih dahulu sebelum agama anak-anak boleh ditukarkan nampak seperti memberi keadilan kepada suami dan isteri; tetapi jika dicermati dengan lebih mendalam, ia sebenarnya adalah amat berat sebelah dan sama sekali tidak adil kepada pasangan yang memeluk agama Islam.
 
Hal ini kerana apabila seseorang itu memeluk Islam, sedangkan pasangannya tidak mahu memeluk Islam, perkahwinan di antara mereka akan perlu dibubarkan. Dalam menjalani proses pembubaran perkahwinan atau perceraian ini, ada kalanya kedua-dua pasangan tidak lagi bercakap di antara satu sama lain melainkan melalui peguam masing-masing. Justeru, sudah tentulah syarat untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua belah pihak dalam hal penentuan agama anak adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk dicapai. Ini bererti jika seseorang Mualaf itu memeluk Islam, dia juga perlu bersedia untuk melepaskan haknya di bawah Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan berhubung penentuan agama dan pendidikan agama anak-anaknya. Hal ini sudah tentu tidak adil.
 
Keputusan Mahkamah Persekutuan ini juga telah menyimpang daripada keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu, yang pernah diputuskan pada tahun 2008, dalam kes Subashini Rajasingam v. Saravanan Thangothoray Other Appeals [2008] 2 CLJ 1. Dalam kes tersebut, Mahkamah telah mengambil pendekatan yang lebih berharmoni, di mana Mahkamah mengatakan bahawa persetujuan mana-mana ibu atau bapa adalah memadai (dan tidak semestinya persetujuan kedua-duanya) untuk mendaftarkan pertukaran agama anak apabila salah seorangnya memeluk agama Islam. Dalam masa yang sama, jika pasangannya yang bukan Islam merasakan pertukaran agama anaknya itu tidak adil dan menzalimi haknya, maka dia juga berhak untuk membantah. Jika bantahan dikemukakan, maka Mahkamah akan menghakimi dengan mengambil kira kepentingan kanak-kanak tersebut, serta diimbangkan dengan hak di antara ibu dan bapa, serta fakta-fakta lain berasaskan kepada case to case basis.
 
Pendekatan yang diambil oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2008 dahulu dilihat lebih adil, kerana setiap kes akan diadili berasaskan meritnya masing-masing; berbanding keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi baru-baru ini, yang seolah-oleh memberikan kuasa veto kepada pasangan bukan beragama Islam untuk menafikan hak menentukan agama anak kepada pasangan Mualaf. Ia adalah diskriminasi yang tidak adil kepada hak beragama seseorang Mualaf.
 
Meskipun demikian, UMMAH tetap menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, tetapi dalam masa yang sama, UMMAH akan menggembelengkan usaha bagi membetulkan kembali kekhilafan dalam sistem keadilan negara ini, melalui jalan-jalan yang sah di sisi undang-undang, termasuk melalui pendekatan perbincangan, wacana, engagement, desakan, tuntutan, dan termasuk juga, jika perlu, masuk sebagai pencelah ( intervener ) bagi memfailkan semakan semula di Mahkamah Persekutuan.
 
Wajar diambil perhatian bahawa keputusan
Mahkamah semalam turut menyentuh beberapa kelompongan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam di Negeri Perak, terutamanya berkait cakupan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang tidak lengkap dan menyeluruh, sehingga menyebabkan Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa atas kelompongan tersebut. Dalam hal ini, UMMAH menggesa Dewan Undangan Negeri di semua negeri untuk memastikan dan memasukkan cakupan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang holistik dan menyeluruh, ke dalam Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing, dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam di Negeri-Negeri.
 
UMMAH menegaskan bahawa prinsip perundangan dan keadilan Islam hendaklah senantiasa dihormati dan dipakai dalam sistem keadilan di negara ini, berasaskan kepada konsep kedaulatan watan dan Raja-Raja Melayu bersumberkan ajaran Islam. Seperti yang pernah ditegaskan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz, Common Law di negara ini adalah Islamic Law. Justeru, sebagai peringkat permulaan bagi merungkaikan permasalahan ini, UMMAH mencadangkan Kerajaan mengusulkan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bersidang dengan menjemput pakar-pakar dalam bidang berkaitan termasuk para pemimpin politik untuk medapatkan pandangan dan hujah masing-masing, sebelum kerajaan membuat sebarang tindakan lanjut — seperti memperkenalkan semula seksyen 88A yang telah dibantah oleh UMMAH sebelum ini — atas keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.
 
Akhir sekali, UMMAH juga mendesak agar suatu Suruhanjaya Kedaulatan Negara (SUKEN) segera ditubuhkan oleh pihak kerajaan, bagi memastikan keutuhan Perlembagaan dari digugat oleh mana-mana pihak dengan matlamat untuk menyebarkan kefahaman dan tafsiran yang betul lagi bersifat watan tentang kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan; juga memastikan prinsip pengharmonian undang-undang Malaysia digubal dan dikuatkuasakan di atas premis kedaulatan watan Raja-raja Melayu bersumberkan ajaran Islam.
 
HJ AMINUDDIN YAHAYA
Ketua Sekretariat
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
HARAKAHDAILY 31/1/2018

KOTA BHARU: Usaha PAS memperkenalkan lafaz baiah kepada bakal calon yang bertanding kini turut dijejaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila menganjur Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kepada calon pilihan raya.
 
Naib Presiden PAS, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, langkah PAS memperkenalkan baiah bertujuan mengawal calon menggunakan kedudukan untuk tujuan yang salah.
 
Bagaimanapun katanya, pada masa itu semua pihak mengkritik langkah tersebut.
 
“Sekarang SPRM pula bersedia untuk mewujudkan perkara serupa sempena PRU 14. Kami buat baiah semua orang bising, sekarang SPRM pula yang nak buat,” katanya di sini.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas usaha SPRM memperkenalkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) khas untuk calon pilihan raya jika ada permintaan daripada mana-mana parti politik.
 
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dilapor berkata, tidak kira parti politik mana sekali pun bebas untuk memohon IBR.
 
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, sekiranya peraturan itu menjadi arahan SPR, PAS akan akur walaupun setiap kali pilihan raya lafaz baiah dilakukan calon.
 
“Buat masa ni kami tak boleh nak ulas apa-apa, kita tengok dulu macam mana, nak komen sekarang benda belum nampak lagi.  Entah jadi atau tidak kita tak tahu,” ujarnya. HARAKAHDAILY 31/1/2018

SELEPAS saya menulis artikel dalam kolum Kalam Perantau bertajuk, “Mencari PM selepas Najib”, seorang pembaca dari Pantai Dalam bernama Jalil Yusof menghantar salinan keratan artikel dari akhbar Mingguan Kota yang ditulisnya  membincangkan tentang teori RAHMAN bertarikh 14 Ogos 1998.
 
Saya mengucapkan terima kasih di atas titipan beliau, “Hati-hati dengan ramalan” terutama bila saya menyebut dalam mencari Perdana Menteri baru selepas Najib kemungkinan muncul teori HAMKA atau MAHA? 
 
Untuk rekod, jika diteliti semula tulisan tersebut yang disiarkan ( Harakah Bil: 2315/15-18 Januari, 2018) saya mengambil tulisan Ruhanie Ahmad dari blognya, Kuda Kepang bertarikh 5 April, 2009  menyebut, mungkin muncul pihak yang akan mengemukakan teori-teori lain bagi meramalkan siapakah PM Malaysia di masa akan datang. 
 
Disebutnya mungkin muncul teori HAMKA, dengan ‘H’ tersebut akan dimulai oleh Hishamuddin Tun Hussein sebagai PM Ke-7 selepas Najib.
 
Melihat kepada realiti politik semasa, jika Umno-BN masih lagi diberikan mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti kemungkinan Najib diganti oleh Hishamuddin tidak dapat ditolak begitu sahaja, walaupun Ahmad Zahid Hamidi, yang menjadi Timbalan Perdana Menteri dan menjalan tugas-tugas Timbalan Presiden Umno bila Tan Sri Muhyiddin Yasin dipecat dari kedua-dua jawatan tersebut sebelum ini.
 
PH umum Tun M jadi PM ‘recycle’
 
Kesediaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu untuk menjadi Perdana Menteri ketujuh dinyatakan dalam temu bual `Hang Tanya Che Det Jawab’ menerusi siaran langsung Facebook rasminya sebelum ini. 
 
“Saya tidak boleh membelakangkan kawan-kawan dalam PH, kalau mereka ada cadangan itu (memilihnya menjadi Perdana Menteri) dan dipersetujui, mungkin saya terpaksa menimbang (jawatan Perdana Menteri). 
 
“Tetapi buat masa ini saya tidak bersetuju jadi Perdana Menteri, selepas saya bersara saya takkan jadi Perdana Menteri lagi,” katanya. 
 
Dr Mahathir menjawab soalan dikemukakan pemilik akaun Facebook yang mengikuti sesi temu bual berkenaan yang mahu mengetahui sama ada beliau masih berminat untuk menjadi Perdana Menteri jika PH berjaya menawan Putrajaya pada PRU-14. 
 
Menjawab soalan jika beliau tidak berminat dengan jawatan Perdana Menteri, apakah peranan yang akan diambil jika PH berjaya menumbangkan Kerajaan BN, Dr Mahathir berkata sekurang-kurangnya pandangan beliau diambil kira oleh parti yang memerintah berhubung isu atau masalah dihadapi negara.
 
“Ini kerana saya menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, saya mempunyai banyak pengalaman dan maklumat mungkin berguna… kalau saya diberi peluang untuk memberi pendapat, kalau ada soalan (isu/masalah) yang memerlukan perbincangan, saya bersedia mengambil bahagian untuk mencari penyelesaian kepada masalah dihadapi,” katanya. 
 
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, perkara pertama yang akan dilakukan beliau bagi membantu ekonomi negara jika ditakdirkan menjadi Perdana Menteri atau penasihat kerajaan, beliau akan menubuhkan jawatankuasa dianggotai pakar dalam bidang berkaitan. 
 
Melihat kepada kesungguhan Pakatan Harapan (PH) dalam konvensyennya pada 7 Januari 2018 lepas yang mencalonkan Tun Dr Mahathir menjadi calon Perdana Menteri selepas PRU ke-14 nanti, andainya PH menang, jadi pada saya teori HAMKA yang disebut oleh Ruhanie atau lebih mesra dipanggil Ron tertolak dengan sendirinya.
 
Saya pun sebut dalam tulisan tersebut, dengan Mahathir sebagai PM ‘recyle’, tidak mustahil wujud pula teori MAHA dan selepas itu, Anwar akan menjadi Perdana Menteri jika tidak dikhianati sekali lagi. 
 
Saya tidak pasti, logik yang digunakan PH bila calon Perdana Menteri ini adalah bekas Perdana Menteri berumur 93 tahun yang dah meletak jawatan selepas memerintah selama 22 tahun. 
 
Tidak pernah wujud senario seumpama ini, bukan saja di Malaysia tetapi juga dunia.
 
Malah muslihat apa pula terutama dari PKR, bila diwar-warkan  bahawa calon Perdana Menteri de facto PH masih Anwar. Kedudukan Dr Mahathir sebagai calon PM adalah hanya untuk memberi jalan kepada Anwar. 
 
Senario ini tidak pernah berlaku di mana-mana pun di dunia di mana penetapan calon Perdana Menteri dan timbalannya dari PH itu dibuat dalam kerangka bahawa kesemua proses itu adalah untuk akhirnya menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyandang jawatan Perdana Menteri.
 
Memang Anwar Ibrahim diumumkan sebagai PM Ke-8 oleh PH walaupun Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar yang juga Presden PKR dan PH diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas PRU Ke-14.   
       
Saya tidak bercadang untuk membincangkan baik buruknya Tun M menjadi Perdana Menteri sekali lagi atau lebih baik disebut PM recycle. Pada saya sekalipun PH berjaya menang, jawatan Perdana Menteri tak sesuai lagi diberikan pada Tun M sebab zamannya dah berlalu. Umurnya sekarang pun dah 93 tahun. 
 
Saya boleh bersetuju dengan cadangan seorang pemimpin wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, jawatan yang sesuai untuk Tun M adalah sebagai Menteri Mentor atau Menteri Kanan seperti yang yang dibuat oleh Kerajaan PAP di Singapura yang menjadi parti asal atau 'sekutu' DAP. Saya pun ada sebut dalam artikel berkenaan, jika bukan Mahathir PM recycle, teori ini juga tertolak.  
 
Malah dalam tulisan tersebut, saya ada menulis juga teori RAHMAN tersebut adalah dua pusingan atau berkembar. Ini berdasarkan kepada pasangan Yang Dipertuan Agong pertama dan Perdana Menteri yang pertama bernama Tuanku Abdul Rahman dan Tunku Abdul Rahman.
 
Melihat kepada realiti politik semasa berlaku pertandingan 3 penjuru, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gagasan Sejahtera (GS) sebagai ‘third force’. Katalah tiada mana-mana pihak yang dapat 112 kerusi untuk membentuk kerajaan dengan simple majority.
 
Kalau PH menang pun, ia sudah cukup untuk menjadi suatu peristiwa bersejarah. Ini kerana Malaya dan Malaysia tidak pernah menyaksikan kemenangan pihak pembangkang. Jika berlaku ‘hung’ parlimen bila mana sebagai contoh PH mendapat 92 kerusi, BN mendapat 90 kerusi dan GS (atau lebih tepat lagi PAS) mendapat 40 kerusi parlimen yang disasarkan.
 
Dalam keadaan begini, andaikan tiada Ahli Parlimen yang melompat. PAS menjadi kuasa penentu atau  'king maker’ dalam menentukan kerajaan. 
 
Ini memberikan peluang kepada PAS berusaha mendapatkan 40 kerusi parlimen yang disasarkan bagi menentukan kerajaan yang hendak dibentuk pasca PRU ke-14 nanti. -HARAKAHDAILY 31/1/2018

PADA tanggal 11 Disember 1950 Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan untuk mengembalikan seorang gadis Belanda yang telah masuk Islam dan menikahi seorang lelaki Melayu kepada suaminya. Hak penjagaan gadis tersebut diperintah diberikan kepada ibu-bapanya pasangan Roman Katolik Belanda.
 
Ini bermakna mahkamah yang didominasi penjajah itu membatalkan pengislaman gadis berkenaan sekali gus perkahwinannya dan beliau dengan itu kembali menjadi seorang Katolik mengikut agama ibu-bapanya.
 
Keputusan mahkamah berkenaan telah mencetuskan rusuhan besar-besaran dalam kalangan masyarakat Islam di Singapura yang mengakibatkan 18 orang terkorban dan 173 orang tercedera dengan 778 orang khususnya aktivis dan pejuang Muslim ditahan pihak polis.
 
Itu kes Natrah atau Maria Hertogg yang berlaku kira-kira 68 tahun dahulu dan sebahagian kita termasuk penulis belum lahir pun ke dunia lagi.
 
Betapa umat Islam pelbagai keturunan berani bangkit sewaktu penjajah British berkuasa  lantaran tidak redha dan rela melihat seorang gadis Muslim dimurtadkan oleh campur tangan mahkamah.
 
Terbaru diwaktu hidup kita ini. Tatkala bumi bertuah ini sudah Merdeka dengan kuasa dan pemerintahan berada di tangan anak bangsa dan umat Islam rupanya keputusan mirip Natrah lebih 60 tahun dahulu berulang.
 
Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi memutus membatalkan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam dengan mengisytiharkan ianya  tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibunya yang masih Hindu iaitu Indira Gandhi.
 
Keputusan ini memberi maksud bahawa kedudukan Islam tiga orang anak Muhammad Ridhuan Abdullah yang di Islamkan sejak tahun 2009 tidak sah dan terbatal. Ketika mereka diislamkan tahun tersebut, kanak-kanak berkenaan itu masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan. Keputusan ini juga memaksa si bapa, Muhammad Riduan Abdullah, memulangkan anak bongsu mereka kepada ibunya.
 
Pihak polis kini sedang memburu Muhammad Riduan untuk mendapatkan anak bongsunya itu untuk diserahkan kepada Indira Gandhi untuk dikembalikan sebagai seorang Hindu sebagaimana kakak dan abangnya yang kini bersama-sama ibu mereka.
 
Tanahair tercinta tenang dengan keputusan berkenaan. Seorang Muslim bakal dimurtadkan atas perintah mahkamah.
 
Kita bukan minta umat Islam keluar ke jalanraya dan merusuh sebagaimana dalam kes Natrah dahulu. Ia tidak perlu.
 
Dahulu kita di bawah penjajah yang sedia menjajah agama, bangsa, budaya dan pemikiran kita. Kita lesu dan tiada daya.
 
Hari ini bumi dipijak milik sendiri namun murtad berlaku berlalu begitu sahaja.
 
Semoga perkara ini membuka mata dan perasaan semua pihak yang memegang kuasa dari Istana hinggalah kuasa yang dimandatkan rakyat.
 
Mana maruah dan harga diri kita kalau dalam kes kecil ini pun kita tumpas. 
 
Berani lagi rupanya moyang dan datuk nenek kita sewaktu zaman penjajah dahulu berbanding kita hari ini yang kononnya bevas Merdeka.
 
Hari ini kuasa ditangan tetapi maruah hilang tah ke mana. -HARAKAHDAILY 31/1/2018

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan kelmarin yang membatalkan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, M Indira Gandhi membuka mata dan mendapat perhatian utama. Keputusan Mahkamah Persekutuan yang menetapkan keputusan pada tahun 2007 tidak mengikat berkaitan dengan tafsiran makna 'ibu bapa' menjadi sebab keputusan ini dibuat. Mahkamah dihakimi lima panel hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Richard Malanjum, Zainun Ali, Abu Samah Nordin dan Ramly Ali.
 
Keputusan ini memberi maksud bahawa kedudukan Islam tiga orang anak Muhammad Ridhuan Abdullah yang di-Islamkan sejak tahun 2009 tidak sah dan terbatal. Ketika mereka di-Islamkan tahun tersebut, kanak-kanak berkenaan itu masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan. Keputusan ini juga memaksa si bapa, Muhammad Riduan Abdullah, memulangkan anak bongsu mereka kepada ibunya.
 
Kes ini boleh menjadi kes rujukan di masa akan datang. Keadaan ini akan menimbulkan kegelisahan yang berpanjangan di kalangan umat Islam. Persoalan kekeluargaan, hak jagaan anak-anak serta identiti agama anak-anak yang ibu bapanya memeluk Islam terus menghantui masyarakat yang boleh merencatkan usaha dakwah di negara ini. Ibu atau bapa yang mahu memeluk Islam akan dilanda ketakutan kerana hilang hak membawa anak-anak bersama ke dalam agama Islam.
 
Kewujudan Mahkamah Syariah yang dipinda tahun 1988 dengan memasukkan perenggan 1A Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan bagi memelihara umat Islam di negara ini serta mengangkat kedudukan agama Islam di negara ini. Perenggan 1A ini menghadkan Mahkamah Sivil tidak boleh mencampuri perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun dengan keputusan semalam, membuktikan bahawa Mahkamah Syariah masih di bawah pengaruh Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah tidak bebas dari diganggu gugat oleh mahkamah Sivil. Kedudukan Mahkamah Syariah pula tidak langsung mengganggu hak orang bukan Islam di Malaysia, tetapi mengapa hak umat Islam sering diganggu oleh bukan Islam melalui Mahkamah Sivil? Keputusan ini boleh menggugat keharmonian antara agama dalam konteks Islam sebagai agama Persekutuan.
 
Dalam Islam, menurut pandangan empat mazhab dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah, jika ibu atau bapa memeluk Islam anak perlu mengikutnya. Ia berdasarkan kepada mazhab Syafie, Hanafi dan Hambali. Manakala Mazhab Maliki pula berpandangan jika bapa yang memeluk Islam anak perlu mengikutnya, kerana anak dinasabkan kepada bapa dan bukan ibu. Namun anak boleh membuat pilihan sekiranya dia telah berusia 18 tahun ke atas.
 
Polemik ini perlu dihentikan segera bagi mengelakkan perbalahan agama dan kaum di negara ini. Yang dibimbangkan adalah polemik seperti ini berterusan dengan banyak lagi kes akan timbul dan persoalan yang bangkit, yang boleh menyebabkan keharmonian antara agama tergugat. Akhirnya umat Islam akan rugi, agama Islam dipinggirkan, diperlekeh dan dihina dengan mudah. Tiada makna lagi negara ini yang dianggap sebagai sebuah negara Islam jika nilai agama Islam lebih rendah dari kedudukan agama lain di negara ini.
 
Sebagai mendokong Perlembagaan Persekutuan Perkara 3(1) yang menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, maka bidang kuasa Mahkamah Syariah juga perlu diperkasakan dan dimantapkan. Justeru Perenggan 1A kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan perlu dihayati dan dihormati oleh semua pihak. Hanya dengan ini agama Islam terus dihormati, di amalkan dan dilaksanakan di negara ini.
 
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat
HARAKAHDAILY 31/1/2018

7:48 malam :Perhatikan kemunculan bayang-bayang gelap umbra yang muncul di sisi bawah Bulan. Mulakan cerapan 5 minit sebelum waktu rasmi. Bilakah kali pertama mata anda dapat melihatnya? Ketika ia tamat sekitar 11:11 malam, bilakah kali terakhir ia dapat dilihat?
 
7:48 - 8:51 malam : Perhatikan pergerakan bayang-bayang umbra merentasi permukaan Bulan sedikit demi sedikit. Sama juga ketika dalam fasa keluar bayang-bayang umbra, dari jam 10:07 - 11:11 malam.
 
Bermula sekitar 8:20 hingga 8:51 malam. Perhatikan warna kemerahan yang muncul pada bahagian gelap umbra. Bilakah ia boleh dilihat dengan mata kasar? Menerusi kamera, seawal bilakah ia sudah boleh dirakam? Ketika fasa bayang-bayang umbra keluar, bilakah kali terakhir anda dapat lihat warna ini? 
 
Tips  astrofoto .Panjangkan  waktu  dedahan  dan  biarkan  bahagian  cerah  Bulan  ‘overexpose’
 
Fasa gerhana penuh 8:51  hingga  10:07  malam.  Cuba perhatikan warna turquoise (biru kehijauan) pada sisi Bulan yang lebih cerah. Adakah ia mudah dilihat dengan mata? Atau perlukan teleskop? Kamera? 
 
Tips astrofoto: Pastikan  tiada  bahagian  Bulan  yang  ‘overexpose’  ketika  merakam  warna  ini.
 
Fasa gerhana penuh 8:51 hingga 10:07 malam. Perhatikan warna kemerahan Bulan. Adakah ia merah pekat atau merah terang? Adakah masih dapat lihat ciri-ciri di permukaan Bulan pada ketika ini?
 
Fasa gerhana penuh 8:51 hingga 10:07 malam. Perhatikan kawasan langit sekitar Bulan. Bandingkan jumlah bintang yang dapat dilihat sebelum gerhana, ketika gerhana dan selepas ia tamat. Adakah bilangan bintang semakin banyak kelihatan? Jika ya, kenapa? Bincangkan!
 
Tips astrofoto: Cuba rakamkan bintang-bintang berhampiran bulan ketika ia dalam fasa gerhana penuh dengan panjangkan waktu dedahan.
 
31 Januari 2018
 
Sumber: Falak Online

More Articles ...