21
Fri, Jun
53 Artikel Baru

INILAH dia Unit Amal PAS. Kami datang bantu bukan sekadar untuk poligam dan acah-acah kemudian tinggal.
 
Sebolehnya bantuan yang dihulurkan adalah untuk memastikan tuan rumah mangsa banjir boleh kembali ke rumah dan meneruskan kembali kehidupan dengan sebaiknya. 
 
Anggota Unit Amal tak ada apa-apa populariti untuk dikejar. Mereka beramal kerana Allah. Walau sebagian mereka memiliki kelulusan tinggi dalam pelbagai bidang profesional tapi bila mereka menyarung uniform Unit Amal, maka mereka berada di medan untuk beramal.
 
Tak cukup dengan rumah mangsa banjir, sekali dengan pinggan mangkuk Unit Amal tolong cuci.
 
Bravo Unit Amal! Anda semua adalah simbol parti dengan membawa mesej perjuangan Islam yang terbaik.
 
Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
11 November 2017 - HARAKAHDAILY 11/11/2017

DALAM dua tulisan saya yang lampau, saya telah menulis tentang bagaimana ekonomi Islam meletakkan matlamat mengsifarkan kos perjalanan. Ia bukan sahaja ekonomi di dalam syariat nabi kita Muhammad SAW, tetapi juga syariat nabi-nabi terdahulu. Fakta ini menunjukkan bahawa ia perkara penting justeru pensyariatannya tidak berubah dari dahulu sehingga sekarang. (Untuk maklumat lanjut, sila baca 2 link di bawah).

Apa yang lebih zalim pada hari ini, tanah rakyat digunakan untuk membuat lebuh raya, wang rakyat dijadikan modal kemudian rakyat juga yang kena bayar akhirnya? Persoalan, siapa untung dan siapa rugi? Apa kerja kerajaan yang dilantik oleh rakyat?

Bagaimana tanah rakyat diambil? Sama ada namanya tanah kerajaan iaitu dari perspektif Islam ia adalah milik rakyat dan kerajaan sebagai pengurus. Jika ia tanah milik orang ramai, kebanyakan yang berlaku ialah golongan negotiator (perunding) dan orang tengah yang akan makan banyak, harga yang dibayar oleh pemunya tanah lebih rendah daripada harga yang diterima daripada syarikat konsesi / pemaju-pemaju lebuhraya.

Bagaimana wang rakyat dijadikan modal? Ia melalui wang cukai dan hasilan bumi seperti hasil petronas dan seumpamanya. PLUS sebagai contoh, sebahagian pemegang sahamnya adalah Khazanah. Sumber khazanah adalah daripada dana kerajaan, sumber cukai dan sumber petronas yang dipam dan berikan pinjam kepada pemaju lebuh raya dalam bentuk pinjaman dana (sukuk / bon).

Siapa yang untung? Yang paling untung ialah syarikat-syarikat konsesi dan pemegang-pemegang saham serta syarikat-syarikat yang diberikan kontrak pengurusan dan penjagaan lebuh raya.

Siapa rugi? sudah tentu rakyat, wang mereka dan tanah mereka digunakan oleh 1 peratus rakyat yang berkuasa, akhirnya mereka pula kena bayar.

Bagaimana penyelesaian? Kembali kepada Islam. Jika islam berkuasa, maka dasar monopoli (دولة بين الأغنياء) adalah sesuatu yang sangat ditentang oleh dasar ekonomi Islam. Justeru itu, 1 golongan daripada 8 golongan pemanfaat hasilan cukai dan 1 golongan daripada 6 golongan pemanfaat hasil bumi adalah untuk sifarkan kos perjalanan.

Maka, jika terbukti kerajaan telah mengambil hak rakyat ini, perundangan Islam akan membatalkannya dengan pembatalah 'fasakh'. Dengan kata lain, jika terbukti ia mengambil hak rakyat, maka semua tol akan dibatalkan dengan cara tidak mengzalimi dan tidak dizalimi. Maksud tidak mengzalimi ialah semua syarikat konsesi akan dibayar semula wang mereka yang actual cost tanpa mengira projection income. Maksud tidak dizalimi ialah, pembatalan itu tidak merugikan kerajaan dan rakyat.

Penguatkuasaan pencegahan berlakunya monopoli dan pengambilan harta orang ramai termasuk di dalam kategori hukum takzir. Maka sangat malang jika orang berkata: laksanakan Islam setelah ekonomi stabil, sedangkan kita faham di atas bahawa hak rakyat dan hak orang ramai serta hak individu pemegang saham dan konsesi tidak akan dapat dibela melainkan dengan undang-undang ini.

Jom kembali kepada Islam, "Ke Arah Rakyat Malaysia Yang Lebih Bebas". – HARAKAHDAILY 11/11/2017

Penulis ialah Presiden Gerakan Selamatkan Ekonomi Malaysia (GESA).

1. Kenapa Kita Menentang Kenaikan Minyak?
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=849572875073149&id=312456128784829

2. Sifarkan kos perjalan?
https://www.facebook.com/Zaharudin-Muhammad-312456128784…/…/

BEBERAPA orang kawan meminta komen saya mengenai keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, D Sunita Kaur Jessy, yang, hari ini, memerintahkan Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Razman Zakaria, membayar RM200,000 kepada Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, kerana kenyataan Haji Razman yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian pada 2 Jun 2015 bertajuk “Pendekatan Nizar mirip DAP”.

Permintaan komen ini dibuat di atas dua sebab. Sebab pertama ialah kerana intipati kes ini dikatakan sama dengan tuntutan saman RM5 juta yang dibuat oleh Pengerusi PAN Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, terhadap saya kerana mengaitkan beliau dengan DAP. Sebab kedua pula ialah kerana syarikat guaman yang mewakili Datuk Seri Mohammad Nizar dalam kes ini turut mewakili Datuk Dr Mujahid dalam kes saya.

Saya telah mendengar penjelasan peguam bela Datuk Seri Mohammad Nizar tadi bahawa “the main reason for the court to rule for Datuk Seri (Mohammad Nizar)” adalah “the defendant has failed to prove that the words uttered by him is not defamatory” di mana “in both defences that he set up (fair comment and justification) he failed to produce evidence and to support whatever he said”, dan “the defendant didn’t produce any witness”.

Saya juga telah membaca kenyataan Haji Razman yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian pada 2 Jun 2015, di mana beliau telah dipetik secara langsung berkata begini:

(1) “PAS mendokong Melayu, Islam dan Sultan tetapi Nizar seolah-olah memandang enteng dan kekal komited dengan perjuangan DAP sebagai parti yang mendokong pendekatan negara sekular”.

(2) “Daripada terus mencemarkan imej parti adalah lebih baik beliau menyertai DAP, kita tak mahu dalam PAS ini dipenuhi dengan individu-individu yang bersifat oportunis dan membelakangkan perjuangan parti”.

Adalah jelas bahawa kenyataan Haji Razman ini agak umum dan memerlukan pembuktian tambahan yang jitu berbanding kenyataan saya yang sangat spesifik dengan khususnya mengaitkan kenyataan bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, pada 5 November 2013 mengenai pengharaman parti politik berasaskan kaum dan agama dengan kenyataan sama Datuk Dr Mujahid pada 23 Mei 2017 yang hingga kini tidak pernah beliau nafikan.

Kepada para pemimpin dan penyokong AMANAH yang kelihatan bersorak kegembiraan dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh ini, sukalah saya mengingatkan anda semua supaya jangan keterlaluan di dalam berbuat demikian kerana proses perundangan di negara ini membenarkan pihak yang kalah merayu, di mana masih ada kemungkinan bahawa keputusan Mahkamah Sesyen ini boleh diterbalikkan oleh mahkamah lebih tinggi.

Perlu diingati bahawa pada 28 Mei 2012 Datuk Seri Mohammad Nizar telah menulis di dalam laman twitter beliau tulisan-tulisan yang mempersoalkan tindakan Sultan Johor membeli nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 dengan harga RM520,000 begini:

(1) RM520,000 untuk nombor plate WWW 1, TAKKAN nak letak kat kereta Proton atau motor kut? Ramai lagi rakyat yang masih kais pagi makan pagi kais petang makan petang!

(2) RM520,000 boleh dibelanjakan membantu rakyat Melayu Johor yang masih ramai miskin serta memerlukan bantuan untuk keperluan hidup, bina 20 rumah PPRT!

Ekoran tulisan-tulisan beliau ini, Datuk Seri Mohammad Nizar telah dikritik teruk oleh TV3 dan akhbar Utusan Malaysia yang mendorong beliau menyaman kedua-dua media ini di mahkamah. Perlu diingati, dalam kes saman beliau ke atas TV3, beliau mulanya kalah di peringkat Mahkamah Tinggi sebelum keputusan itu diterbalikkan oleh mahkamah lebih tinggi. Jadi kemungkinan untuk Haji Razman menang dalam kes ini masih terbuka.

Perlu diingati juga bahawa, walaupun Datuk Seri Mohammad Nizar akhirnya menang dalam saman beliau ke atas TV3 dan akhbar Utusan Malaysia, dari segi moralnya beliau mengalami kekalahan yang teruk ekoran tindakan Sultan Johor menzahirkan, di dalam titah sewaktu merasmikan pembukaan penggal kelima sidang Dewan Undangan Negeri Johor ke-12 pada 14 Jun 2012, kemurkaan Baginda terhadap beliau ekoran tulisan-tulisan beliau tersebut.

Masih diingati bagaimana akhbar-akhbar utama negara menyiarkan dengan secara meluas titah Sultan Johor ini, dengan tajuk-tajuk muka depan berbunyi seperti “Sultan Johor murka terhadap Nizar” atau “Sultan Johor sifatkan Nizar ‘pemimpin berkudis’”:

“Baru-baru ini ada pemimpin politik yang secara terang-terangan mengkritik tindakan saya membida nombor pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Adakah dia lupa tentang adab Melayu atau sememangnya dia seorang yang jahil dan cetek akalnya? Janganlah cuba berlagak pandai jika tidak berilmu dan janganlah mengeluarkan kenyataan sesuka hati jika tidak tahu perkara yang sebenar. Bukankah berdiam diri itu lebih baik daripada berkata yang tidak baik? Kepada pemimpin seperti ini, nasihat saya, janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain, sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati.”

Apakah menang di mahkamah dapat memadamkan ini? – HARAKAHDAILY 10/11/2017

HAMPIR seminggu Pulau Pinang masih ditenggelami air di beberapa kawasan. Semalam, 8 November 2017 pasukan kedua Skuad Prihatin Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM) berangkat menuju ke Pulau Pinang bagi meneruskan misi banjir. Bersama-sama pasukan kedua Skuad Prihatin semalam ialah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP) merangkap Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Rosni Adam, Pengerusi Lajnah Hubungan NGO, Puan Kartini Ahmad dan Pengarah Briged Muslimat Malaysia, Saudari Nuri Muhammad serta beberapa ahli jawatankuasa DMPM.

Alhamdulillah, tabung banjir LKK DMPM masih lagi menerima respons yang tidak putus dari orang ramai yang prihatin. Dengan duit sumbangan fasa kedua ini, pasukan kedua Skuad Prihatin membawa bersama mereka barang-barang keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang bagi menampung barang-barang keperluan yang masih tidak mencukupi. Barang-barang keperluan asas yang dibawa semalam ialah seperti beras, barang-barang makanan, susu formula bayi, tuala wanita dan pampers bayi.

Skuad Prihatin selamat sampai di Pongsu Seribu sekitar pukul 4.30 petang semalam bagi menyerahkan barang-barang sumbangan tersebut di tempat pengumpulan barang-barang sumbangan sebelum mereka meneruskan misi ziarah di kawasan yang terlibat dengan banjir.

Kampung Desa Puri antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir selama hampir seminggu ini. Alhamdulillah, semasa ziarah semalam keadaan air sudahpun kering. Namun, banyak kerosakan dan banyak yang perlu di baiki dan dibersihkan. Kelihatan barang-barang kelengkapan rumah serta perabot-parabot rumah tersusun di pinggir jalan kampung sementara penduduk sedang berusaha membersihkan lumpur-lumpur di dalam rumah mereka.

Sebanyak 20 buah rumah telah diziarahi oleh pasukan kedua Skuad Prihatin semalam bersama-sama dengan barang sumbangan. Salah seorang dari mangsa banjir berkongsi pengalaman mereka mengharungi banjir, katanya, “masa air naik paras dada, tiada bantuan langsung yang sampai sehingga kami terpaksa menyembelih kambing untuk dijadikan lauk”.

Rata-rata ziarah semalam sangat menyentuh hati apabila melihat sendiri keadaan yang dihadapi oleh penduduk kampung. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Terlalu banyak kemusnahan yang mereka alami. Ada yang musnah ayam ternakan sehingga 50 ekor, malah ada juga kambing peliharaan mereka hanyut dibawa arus banjir. Semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik.

Turut hadir semasa ziarah semalam bersama-sama rombongan kedua Skuad Prihatin dan Pimpinan DMPM ialah wakil Amalnita Pulau Pinang dan Muslimat PAS Negeri Sembilan.

Skuad Prihatin LKK DMPM sekali lagi merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang yang dermawan serta setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan para penyumbang yang sentiasa menyokong usaha LKK DMPM dalam menjalankan gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan.

LKK DMPM sentiasa membuka ruang dan mengalu-alukan niat murni para dermawan untuk terus menyumbang. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun: Dewan Muslimat PAS Pusat MAYBANK: 5640 2540 0711

SMS/Whatsapp slip sumbangan kepada Dr 'Uyun (019-357 7502), Puan Zurina (014-306 9141), Saudari Zuriati (019-204 9434) Saudari Oyeen (019-590 2381). - HARAKAHDAILY 9/11/2017

dm1

dm2

dm3

KAWAN-kawan di Penang maklum, ketika LGE berucap dalam sidang DUN Pulau Pinang, semua yang hantar bantuan dan bantu banjir di Pulau Pinang disebut dalam ucapan terima kasih termasuk yang belum hantar tapi istihar nak hantar bantuan turut menerima ucapan terima kasih. 
 
Tapi sumbangan PAS dan Kerajaan Kelantan tidak disebut walau dengan setengah patah ucapan terima kasih. 
 
Saya kata, biarkan dan kita terus bekerja. Sekarang ini setiap hari beribu petugas PAS dari seluruh negara sedang berada di lapangan banjir dalam operasi pembersihan dan pemulihan. 
 
Kita datang menyumbang bakti bukan kerana LGE tapi untuk membantu mangsa banjir. Kalau LGE kena banjir pun kita sedia untuk tolong cuci rumah dia.
 
Dr Azman Ibrahim
11 November 2017 - HARAKAHDAILY 11/11/2017

DALAM beberapa hari lagi, Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan membuat keputusan besar bagi pihak Malaysia sama ada untuk menyertai negara lain untuk menghidupkan kembali dan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) baharu tanpa Amerika Syarikat (AS).

Mereka akan bermesyuarat di Danang, Vietnam, di mana 11 negara TPP yang masih kekal (termasuk Malaysia) akan bertemu untuk bersetuju terhadap teks baharu TPP, yang mana mereka berharap akan ditandatangani di Danang oleh pemimpin politik dalam beberapa hari ini.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk tidak menyertai TPP yang akan mempunyai 11 ahli (TPP-11) tanpa Amerika Syarikat (yang telah menarik diri daripada TPP). Kami kekal berpendirian bahawa tidak perlu untuk menyertai TPP apabila manfaat utama (iaitu akses kepada pasaran AS) tidak lagi diperolehi, manakala kos menyertainya akan menjadi lebih serius.

Sekurang-kurangnya, Malaysia perlu membuat tuntutan dalam perbincangan di Danang yang sedang berlangsung berhubung beberapa bahagian draf TPP yang sedia ada terutama sekali yang merosakkan kepada Malaysia perlu dibuang atau digantung.

Menurut laporan media, banyak negara daripada TPP-11 kini mencadangkan untuk “menggantung” bab atau bahagian draf TPP asal yang mereka dapati tidak munasabah, disebabkan ia ada dalam teks dengan desakan daripada Amerika Syarikat. Kini AS tidak lagi ahli TPP, bahagian teks yang dicadangkan oleh AS dan mendesaknya sebagai pertukaran bagi akses ke pasaran AS perlu dikeluarkan daripada teks TPP baharu.

Dalam konteks ini, CAP merasakan bahawa Malaysia perlu mendesak pembuangan atau pergantungan seperti berikut:
 
1.    Bab mengenai pelaburan yang mengandungi sistem penyelesaian pertikaian pelabur negara (ISDS) yang membenarkan pelabur asing menyaman kerajaan bagi dakwaan kehilangan keuntungan masa depan dalam tribunal asing. Banyak negara telah diminta membayar beratus juta atau berbilion dolar AS kepada pelabur asing disebabkan klausa ini. Sesetengah negara TPP-11 termasuk New Zealand kini meminta pergantungan klausa ISDS.  Malaysia juga seharusnya mendesak pergantungan itu dan tidak seharusnya berdiam diri mengenai isu ini.

2.    Bab harta intelektual juga mempunyai beberapa klausa berbahaya yang akan menjejaskan pengguna dan petani Malaysia.  Malaysia seharusnya mengambil peranan utama dalam meminta penghapusan klausa yang menjadikan mustahil atau sukar untuk menjadikan kelonggaran dalam undang-undang paten negara yang membolehkan penggunaan ubatan generik, seperti langkah terbaik baru-baru ini oleh kerajaan untuk menjadikan ubatan Hepatitis C boleh diperolehi pada kos RM1,000 bagi seorang pesakit berbanding RM300,000 yang perlu dibayar oleh pesakit.
Malaysia juga perlu mendesak supaya dihapuskan dari teks TPP yang memerlukan negara untuk tidak membenarkan undang-undang negara yang menolak paten yang diberikan bagi penemuan bukan asli atau untuk memberikan tambahan tahun bagi paten, atau klausa lain yang melewatkan atau mencegah penggunaan generik yang lebih murah.
Malaysia juga seharusnya mendesak supaya dibuang klausa TPP sedia ada yang memerlukan negara TPP untuk menyertai UPOV-1991, satu perjanjian antarabangsa yang menjadikan kesukaran bagi petani kita untuk menggunakan benih termasuk yang disimpan daripada musim penanaman semasa. Malaysia sejak berdekad enggan untuk menyertai UPOV-1991, tetapi perlu menyertainya jika teks TPP tidak diubah.

3.    Malaysia juga perlu mendesak pergantungan terhadap bab Pemerolehan Kerajaan dan Syarikat Milik Kerajaan (SOE).   Bab pemerolehan melarang atau menjadikan sukar bagi negara mempunyai dasar sendiri dalam memberikan pemerolehan kerajaan bagi projek dan bekalan produk dan perkhidmatan memandangkan TPP memerlukan syarikat daripada negara TPP lain diberikan hak yang sama sepertimana syarikat tempatan. Bab SOE memerlukan negara TPP mengenakan syarat  berhubung cara syarikat berkaitan kerajaan beroperasi termasuk dasar pemerolehan mereka, kemampuan mereka untuk memperolehi pinjaman atau ekuiti daripada kerajaan dan sebagainya. Ini menyentuh isu yang amat sensitif yang menjejaskan kedaulatan negara.  Malaysia melalui rundingan awal TPP cuba untuk menentang bab ini. Kini AS tidak lagi berada dalam TPP, Malaysia seharusnya mendesak pergantungan atau penghapusan bab ini. Konsesi yang diberikan kepada Malaysia dalam TPP asal tidak mencukupi untuk melindungi kemampuan negara untuk membuat dasar berhubung isu utama ini.

4.    E-dagang. Bab E-dagang amat kontroversi memandangkan ia melibatkan isu seperti kerahsiaan data dan sama ada negara boleh memerlukan data (yang merupakan nyawa kepada e-dagang) boleh disimpan dalam lokasi negara daripada di luar negara. Sesetengah negara TPP-11  mendesak isu sensitif ini tidak dimasukkan dalam TPP, kini penyokong utama (AS) tidak lagi berada dalam TPP. Malaysia seharusnya menyokong pergantungan bab e-dagang ini.
 
Malaysia seharusnya tidak tergesa-gesa bersetuju dengan teks baharu TPP-11 dalam beberapa hari ini di Danang. Banyak isu besar penting negara menjadi pertaruhan. CAP menuntut Malaysia menarik diri dari TPP terutama sekali sejak manfaat akses kepada pasaran AS kini tidak diperolehi. Tetapi sekurang-kurangnya, ia perlu berpendirian dengan tegas dan mendesak penghapusan atau pergantungan bab dan bahagian teks TPP yang bertentangan dengan kepentingan negara, termasuklah yang disenaraikan di atas. – HARAKAHDAILY 10/11/2017

KEMAMAN: Kerajaan Malaysia pimpinan Umno-BN yang dipilih memerintah sekarang perlu jujur dan tidak terus berdalih dalam menangani masalah harga minyak dan kesannya kepada kos sara hidup rakyat.
 
Timbalan Pengarah PAS Dun Kemasik, Ir Saifulazmi Suhaili berkata demikian sebagai reaksi kepada kenaikan harga minyak minggu ini yang diumumkan pada petang Rabu semalam.
 
"Isu kenaikan saban minggu harga minyak perlu di urus dengan penuh jujur. Kerana kita yakin keborosan dalam mentadbir negara adalah faktor utama yang menyebabkan pemerintah tidak mampu mentadbir dengan baik.
 
"Kesannya sangat besar dalam menjaga kestabilan rakyat. Tekanan hidup meningkat dengan kenaikan berterusan harga minyak dan harga barang, diburukkan lagi dengan GST. Gaji masih ditakuk lama, malah peluang pekerjaan juga semakin menyusut," tambah beliau.
 
Menurut Saifulazmi, tiada lagi boleh harapkan kepada kerajaan yang memerintah sekarang ini jika masalah tersebut gagal mereka selesaikan.
 
Harga minyak pada minggu ini bermula pada 9 hingga 15 November mencatatkan kenaikan dengan RON95 bertambah 7 sen menjadikan RM2.31 seliter, RON97 naik 6 sen kepada RM2.60 seliter dan diesel juga naik 3 sen kepada RM2.20 seliter. - HARAKAHDAILY 9/11/2017

More Articles ...