26
Sun, May
38 Artikel Baru

UMNO kata: Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ustaz Fadhli Shaari telah mengeluarkan kenyataan memperbetulkan kenyataan Datuk Sri Mustapa Mohamed berhubung pembangunan ekonomi Kelantan.

NazmanCIKita Jawab:

Anak anak muda negeri ini menyokong kenyataan Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang menjawab isu TokPa katakan PAS Kelantan tidak bersyahwat kelmarin.

Umno kata: Pertama, Ustaz Fadhli menimbulkan soal KDNK Kelantan berkembang pada kadar yang lebih pesat 4.8% berbanding peringkat nasional yang purata sekitar 4.2%. KDNK ini perlu dilihat dengan mengambilkira asas yang rendah (low base), peningkatan nominal yang sedikit pun akan menghasilkan kadar pertumbuhan dari segi peratus yang besar. Ini ekonomi, bukannya politik.

Kita jawab:

Soal KDNK dan pertumbuhannya memang menjadi satu tanda aras bahawa negeri ini sedang diurus dengan baik oleh Kerajaan PAS Kelantan. 4.8% menjadi satu angka yang telah mengecewakan Umno di saat mereka sedang berkira kira untuk menawan Kelantan. Hujah mereka cukup mudah sekiranya Kelantan berada pada kedudukan tercorot seperti Pahang, maka akan disyarah dikhutbah seantero negeri bahawa PAS gagal membangunkan ekonomi negeri. Tetapi sebaliknya berlaku. Usahlah Umno mendabik dada dengan mengatakan KDNK ini tumbuh pesat disebabkan oleh kakitangan kerajaan pusat yang bertugas di negeri ini dan telah menjayakan angka berkenaan dengan segala pelaburan dan pinjaman untuk pembinaan dan pembelian aset hartanah. Adakah Umno lupa bahawa anak negeri Kelantan yang bertugas di negeri lain sebagai kakitangan agensi dan jabatan kerajaan persekutuan juga menyumbang kepada perkara yang sama? Bersikap adillah dalam berhujah duhai Umno.

Umno kata: Kedua, sekiranya diamati dengan teliti, sumbangan KDNK Kelantan kepada KDNK nasional hanyalah sekitar 1.9% sahaja. Apa yang lebih membimbangkan adalah KDNK per kapita (purata pendapatan) rakyat Kelantan sekadar RM12,812 sebenarnya tidak sampai 1/3 KDNK per kapita rakyat Malaysia yang berjumlah RM38,887. Ini malangnya membuktikan ekonomi Kelantan masih lagi terkebelakang.

Kita jawab:

Ini berkaitan sumbangan rakyat negeri ini kepada perkembangan ekonomi nasional. Walaupun sekadar 1.9% sahaja ia membantu di peringkat nasional, namun ia tetap merupakan satu nilai. Dan sekiranya Umno bimbangkan purata pendapatan rakyat Kelantan yang senilai RM12,812 sahaja berbanding KDNK per kapita rakyat Malaysia iaitu RM38,887, maka ia perlu dilihat secara seimbang dan berkadar langsung dengan kos sara hidup dan perbelanjaan rakyat negeri ini. Negeri kami mungkin tidak sekaya negeri lain, walaupun miliki petroleum dan gas asli, tetapi royalti telahpun kalian nafikan. Meskipun demikian, poket rakyat negeri ini tebal dan ekonominya kukuh. Jika tidak, pelabur besar tidaklah menggila berlari ke Kelantan membuka mall dan gedung gedung besar. Atau apa lagi Umno mahu katakan?

Umno kata: Adakah fakta ini sengaja disembunyikan Ustaz Fadhli atau beliau sememangnya tidak mengetahuinya?

Kita jawab:

Tiada fakta yang disembunyi. Malahan Umno sendiri buta akan fakta yang dikeluarkan oleh agensi dan jabatan mereka. Contohnya apabila TokPa mengatakan PAS telah gagal memerintah Kelantan sehingga rakyatnya terpaksa keluar dan berhijrah ke negeri lain untuk mencari rezeki. Sedangkan dalam Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia tahun 2016, Wilayah Persekutuan mencatatkan migrasi bersih dengan angka keluar tertinggi dengan angka 37,700 orang diikuti Perak seramai 9,800 orang dan Pahang seramai 3,200 orang. Nah! Di mana Kelantan pula wahai Umno? Kelantan menjadi negeri penerima migrasi bersih dengan jumlah kemasukan rakyat negeri lain ke Tanah Serendah Sekebun Bunga seramai 1,600 orang pada tahun lepas. Macam mana Umno?

Umno kata: Ketiga, meskipun sumbangan Kelantan terhadap KDNK Nasional agak kecil, namun Kelantan terus menjadi antara penerima peruntukan terbesar dalam Rancangan Malaysia ke-11 berjumlah RM12.9 bilion. Tatkala Kerajaan Negeri PAS sekadar mampu meletakkan batu asas dan terus menuduh Kelantan dianaktirikan, Kerajaan Pusat komited membantu melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Kelantan.

Kita jawab:

Umno selalu mengungkit peruntukan yang diberikan kepada rakyat negeri ini. Mengapa? Adakah rakyat Kelantan tidak pernah membayar apa-apa cukai kepada kerajaan persekutuan? Adakah rakyat negeri ini terlepas daripada GST? Kenapa perlu diungkit segalanya sedangkan Kelantan dan rakyatnya menjadi antara denyut nadi yang menghidupkan ekonomi negara ini? Menjadi pembayar cukai yang tegar sejak merdekanya tanahair. Bahkan, PAS Kelantan yang ditinggalkan oleh Umno di negeri ini dengan hutang sejumlah RM718 juta sewaktu menang PRU 1990, sedikitpun tidak bising dan geger. Malahan berdikit-dikit, berjimat cermat dan berjaya membayar hutang yang Umno tinggalkan itu. Lupakah Umno? Malahan Umno di Terengganu juga meninggalkan kredit sebanyak RM726 juta sewaktu PAS mula memerintah pada tahun 1999 dan di Kedah pula Umno meninggalkan bebanan hutang kepada Almarhum Ustaz Azizan selaku Menteri Besar sebanyak RM2.09 billion pada tahun 2008! Lupakah Umno?

Umno kata: Keempat, beliau mempersoalkan sama ada Kerajaan Pusat tidak malu apabila Kerajaan Negeri turut sama menjayakan projek pembinaan lebuhraya. Lebih elok kalau beliau bertanya kepada Kerajaan Negeri PAS apakah mereka tidak malu apabila masalah bekalan air bersih membelenggu 1.6 juta penduduk Kelantan berlarutan berpuluh tahun gagal ditangani sehingga Kerajaan Pusat terpaksa campur tangan dan memperuntukkan RM2 bilion untuk menyelesaikan kemelut ini?

Kita jawab:

Masalah bekalan air di Kelantan adalah antara dosa besar Umno apabila membatalkan Projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) pada tahun 1992. Mengapa projek ini dibatalkan? Adakah kerana rakyat Kelantan telah memilih PAS sebagai kerajaan pada tahun 1990, maka pembatalan projek ini menjadi seakan akan satu hukuman buat kami? Dan mengapa sejak 1990 hingga 2003 Kelantan langsung tidak dibantu oleh Persekutuan dalam soal pembangunan bekalan air? Kenapa 13 tahun Kelantan dianaktirikan, disisihkan? Dan dana yang turun selepas itu juga, berbentuk pinjaman sahaja sedangkan negeri negeri lain yang diperintah Umno ia berbentuk geran? Ini diskriminasi busuk Umno terhadap Kelantan sejak sekian lama. Apa yang kita harapkan, perjanjian Migrasi yang ditandatangani pada 14 September tahun lalu akan mampu mengubat semula calar dan kudis yang Umno tinggalkan dalam aspek pengurusan bekalan air di negeri ini.

Umno kata lagi: Seterusnya, apakah Ustaz Fadhli tidak tahu Kerajaan Pusat berterusan menjalankan amanahnya dengan menyalurkan hampir RM60 juta tahun pada lalu untuk menampung kekurangan akaun mengurus kerana Kerajaan Negeri PAS tidak mampu menyelesaikan komitmen kewangan mereka termasuklah dalam aspek pembayaran gaji Menteri Besar, Ahli Exco, pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam negeri.

Kita jawab lagi:
 
Usahlah Team Tokpa mengungkit soal pemberian dana bagi kekurangan akaun mengurus itu, kerana ia memang tugas Persekutuan. Sebagai contoh pada tahun 2015, jumlah pemberian kepada seluruh negeri adalah sebanyak RM6.74 bilion yang mana dana tersebut diberi mengikut bilangan penduduk, penyelenggaraan jalan raya negeri, pemberian tahunan pihak berkuasa tempatan (PBT), pemberian kerana kekurangan akaun mengurus serta keperluan lain. Lalu, apalah yang Umno mahu banggakan dengan RM60 juta yang diberikan kepada "rakyat Kelantan" sedangkan pemberian RM6000 juta lagi mengalir ke negeri lain yang diperintah Umno? Umno mahu bercakap pasal obligasi? Mahu sembang pasal keadilan? Mahu angkat ekor bab konsep federalisme?

Umno lagi berkata: Ustaz juga mungkin lupa, Kerajaan Negeri PAS dengan bangga mengumumkan akan melaksanakan projek perdagangan karbon, tetapi sepi membisu apabila sedar syarikat yang terlibat itu langsung tidak pernah mengendalikan projek sedemikian rupa?

Kita jawab lagi:

Projek karbon kredit, pemuliharaan hutan, mengekalkan biodiversiti, mengekalkan habitat hidupan liar dan seumpamanya masih menjadi tekad utama kerajaan negeri Kelantan. Malahan Kelantan dalam proses menjadi ahli kepada Governors Climate and Forest (GCF) Task Force bagi menyertai puluhan negeri negeri lain dari seluruh dunia dalam usaha membangunkan pertumbuhan ekonomi hijau serta perencanaan dan tata urus hutan. Kelantan sedang menerajui perubahan ini mengatasi negeri lain yang diperintah Umno!

Umno akhirnya berkata: Menabur janji dan mengotakan janji itu dua perkara yang Ustaz Fadhli perlu bezakan. Sepanjang 27 memerintah Kelantan, PAS seringkali menggunapakai slogan 'Membangun bersama Islam'. Tetapi hasilnya, rakyat Kelantan sendiri dapat menilai. Agama dijadikan sandaran, janji gagal ditunaikan. Itulah PAS.

Kita jawab untuk akhirnya:

Kalau bab menabur janji, PAS jauh terkebelakang berbanding Umno. Itu menjadi satu kepandaian yang Umno sahaja miliki. PAS memerintah dengan bajet serendah sekitar RM500 juta sahaja setahun. Namun hasilnya rakyat dapat kongsikan bersama secara adil dan menyeluruh. Bahkan tiada negeri lain yang memperuntukkan lebih daripada 20% bajet tahunan untuk pendidikan anak-anak seperti Kelantan lakukan. Ini adalah antara kelebihan Kelantan yang memang mahu membangun bersama Islam. Malahan kini merakyatkan pula Membangun Bersama Islam itu. Ia adalah kejayaan manis sebuah pemerintahan PAS selama 27 tahun di Kelantan. Kita bina negeri ini, kita bangunkan gedung dan bangunan tinggi, dan dalam masa yang sama, kita bina akhlak dan kita jagakan moral anak anak muda negeri kita!

Ringkasnya kami jawab sudah respon daripada Team Komunikasi TokPa. – HARAKAHDAILY 17/10/2017

MENJELANG pembentangan Bajet 2018 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 27 Oktober 2017 nanti, Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat telah membuat analisa bagi mengunjurkan keadaaan pasaran dan jangkaan pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2017.

Berdasarkan penelitian yang dilakukan terhadap laporan-laporan para firma kajian  dan agensi-agensi tempatan dan antarabangsa serta pencerapan terhadap angka-angka ekonomi dan kecenderungan semasa, kami mengunjurkan ekonomi Malaysia boleh tumbuh melebihi tahap 5% bagi tahun 2017. Walaupun unjuran ini agak sedikit optimistik, namun ianya masih konservatif berbanding unjuran-unjuran yang dilakukan oleh pihak-pihak lain.

Antaranya adalah oleh Standard Chartered Global Research yang mengunjurkan pertumbuhan 5.4%, sepertimana yang dilaporkan oleh harian The Edge pada 27 September 2017. Manakala UOB Global Economics & Market Research mengunjurkan pertumbuhan 5.2% (The Edge, 3 Oktober 2017). Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula menjangkakan ekonomi Malaysia tumbuh dalam kecenderungan menaik pada 4.8% manakala Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pula mengunjurkan pertumbuhan pada 4.8%, sebagaimana laporan mereka pada 26 Julai 2017.

Unjuran pada tahap lebih 5% ini adalah berdasarkan beberapa faktor yang telah dianalisa. Antaranya adalah faktor nilai Ringgit yang dilihat semakin stabil berbanding dolar Amerika (USD). Mengikut laporan MIER Ringgit telah mengukuh sepanjang tahun 2017 sehingga bulan Mei sebanyak 4.9%. Ini disokong oleh tindakan oleh Bank Negara Malaysia bagi menyokong nilai Ringgit antaranya keperluan baharu kepada semua pengekspot bahawa 75% daripada hasil pendapatan mereka harus disimpan dalam matawang Ringgit. Pada tahap nilai Ringgit sekarang dan suasana ekonomi semasa, kami berpandangan ianya adalah dalam julat optimum bagi mengimbangi dagangan Malaysia. Pada kadar semasa sepanjang Oktober 2017, Ringgit didagangkan dalam julat RM4.22-4.24 berbanding USD.

Faktor kedua adalah sektor pembinaan yang dijangka akan kekal tumbuh sehingga akhir tahun 2017. Dalam laporan suku ke 2 yang lalu, sektor pembinaan tumbuh pada 8.3%, yang mana merupakan penyumbang utama prestasi ekonomi Malaysia untuk tempoh sama. Oleh kerana ini merupakan tempoh untuk menghadapi pilihanraya umum ke 14 (PRU14) maka kami menjangkakan sektor pembinaan terus berkembang pada julat kadar sekarang sehingga sekurang-kurangnya suku pertama 2018. Kerajaan akan menggunakan tempoh ini bagi memenuhi janji-janji pilihanraya, yang penting untuk mengekalkan kemenangan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU14 nanti.

Faktor ketiga yang juga mampu menyokong pertumbuhan lebih 5% Malaysia adalah penggunaan domestik. Penggunaan kekal antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi Malaysia. Bagi tahun 2016 ianya tumbuh pada kadar 6%. Untuk tahun ini MIER menjangkakan penggunaan domestik akan tumbuh pada 4.6%. Ini disokong oleh kajian Indeks Sentimen Pengguna (CSI) yang dilakukan oleh MIER menunjukkan keyakinan pengguna yang meningkat walaupun masih dalam sentiment berhati-hati.

Sentimen berhati-hati ini dicetus atas asas Indeks Harga Pengguna (CPI) terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik, yang mana menunjukkan kecenderungan menaik. Ini berdasarkan angka bulan Ogos 2017 yang mana CPI tahunan naik 3.7%, yang mana pengangkutan adalah penyumbang utama yang terus meningkat pada 11.7%. Ini menyebabkan kadar inflasi juga terus naik sebanyak 2.4% dalam tempoh yang sama. Semua ini akan memberi tekanan inflasi kepada potensi pertumbuhan ekonomi jika tidak diurus dengan berhemah oleh kerajaan.

Walaupun kami mengunjurkan pertumbuhan positif bagi 2017, namun secara keseluruhan ekonomi Malaysia masih berhadapaan dengan faktor risiko yang tinggi yang memerlukan perubahan struktur yang drastik. Sebab utama yang menyumbang kepada risiko ini adalah kepergantungan tinggi ekonomi Malaysia terhadap sektor pembinaan. Sebagaimana ulasan kami terhadap laporan prestasi ekonomi untuk suku ke 2 yang lalu, sektor pembinaan adalah tidak mapan dan tidak seharusnya menjadi tunggak utama ekonomi Malaysia. Jesteru, bagi mengawal dan mengurangkan risiko keruntuhan, struktur ekonomi perlu diubah.

Faktor risiko tinggi juga disebabkan oleh aliran keluar modal asing. Berdasarkan laporan terbaru oleh MIDF Amanah Investment Bank Berhad, pelabur asing telah menjual sebanyak RM967.3 juta dana dalam minggu pertama Oktober 2017. Ini merupakan penjualan dana oleh pelabur asing yang berlaku secara berterusan selama lapan hari dalam minggu tersebut, tempoh yang paling panjang semenjak bulan Disember 2016. Dengan itu jumlah terkumpul penjualan bagi tahun ini adalah RM9.61 billion. Risiko aliran keluar modal ini disokong oleh laporan oleh Moody’s Investor Services bahawa Malaysia adalah antara negara yang amat terdedah kepada risiko aliran keluar modal. Ini disebabkan hutang negara yang amat tinggi untuk menampung akaun semasa negara dan pembayaran balik hutang luar. Berdasarkan risiko ini penarafan Malaysia adalah A3 Stable.

Dengan risiko aliran keluar modal yang meningkat ini, ianya juga boleh mengherot aliran tunai kerajaan disebabkan peningkatan mendadak pengeluaran bon yang dijamin kerajaan. Hasil kajian kami jumlah nilai bon yang dijamin kerajaan akan meningkat kepada RM40 billion pada akhir tahun 2017, naik mendadak daripada RM27.2 billion dalam tahun 2016. Oleh itu, walaupun kami menjangkakan ekonomi boleh tumbuh pada kadar yang sihat namun pada keseluruhannya suasana ekonomi adalah masih amat berisiko.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi,
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 17/10/2017

DAP menyerlahkan sikap kurang ajar, angkuh, biadab dan celupar apabila terus menyindir serta memperlekehkan Islam dengan ungkapan yang mengejek dan menghina. Malah sangat keterlaluan apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengungkapkan bantahan ke atas pesta arak dengan label ‘pelampau’ Taliban.

Bahkan, Ketua Menteri Pulau Pinang itu sewajarnya memilih untuk berdiam diri sahaja berhubung penganjuran Oktoberfest di negeri itu. Tetapi Guan Eng melontarkan ulasan sinikal yang bukan sahaja menzahirkan kesombongannya, tetapi bagaikan mencabar Islam dengan bidasan dan perkataan digunakan.

Besar kepala yang ditunjukkan DAP itu semakin ketara apabila seorang lagi pemimpinnya, Hew Kuan Yau memaki Islam dengan carutan “Sohai”. Keberanian DAP berperangai jelek demikian membuktikan parti itu langsung tidak mengenal hormat dan sensitiviti serta sempadan yang tidak sewajarnya disentuh.

Sikap anti Islam tersebut bukan baharu walaupun sering dinafi atau dilakonkan watak mesra Islam, kerana sebaliknya pemimpin DAP spontan telah campur tangan dalam banyak hal berkaitan. Kami percaya, dari semua yang pernah dizahirkan parti itu, mereka akan terus mempermain dan merendah-rendahkan Islam.

Kedekatan yang cuba ditunjuk DAP kononnya bersama Islam, hanyalah bermotif dan beragenda serta memperkakas dan memperalas untuk tujuan politik semata-mata. Walhal, DAP berterusan menginjak maruah Islam, ajaran dan umatnya bukan lagi secara tertutup atau berselindung disebalik pihak tertentu, malah juga terang-terangan.

Provokatif dan penghinaan seperti ini sangat merbahaya kepada keharmonian negara yang berpotensi menggugat ketenteraman awam dan menimbulkan pelbagai rasa kurang senang. Sehubungan itu kami menggesa siasatan dijalankan ke atas kedua-dua individu ini, seterusnya DAP perlu mengemukakan permohonan maaf rasmi.

Kami juga berharap pihak Pendaftar Pertubuhan (RoS) dapat meneliti semula kedudukan DAP memandangkan parti itu mengesampingkan beberapa teras utama dari Perlembagaan Negara. Malah, terbukti DAP telah banyak kali menyuarakan hasrat dan cita-citanya atas Malaysia yang bersifat menyangkal asas Perlembagaan.

USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
17 Oktober 2017 | 26 Muharam 1439 - HARAKAHDAILY 17/10/2017

ALAM siber berdecak hebat dengan kegagalan Pakatan Harapan (PH) menganjurkan himpunan mega mereka yang digerakkan kempen ini sejak daripada Julai tahun ini. Tempoh kempen dan mobilisasi untuk menggerak seluruh penyokong PH untuk berhimpun dan mempamerkan genderang perang PRU14 selama lebih tiga bulan adalah tempoh yang memadai. Jika tempoh yang sama digerakkan oleh pasukan mobilisasi PAS, sebagaimana terbukti sebelum ini maka 270,000 hingga 300,000 ahli akan berhimpun seperti himpunan H355 dan FASTAQIM 2.0.

riduan1Menarik membaca ribuan komen netizen, juga lapik alasan yang diberikan oleh pemuka-pemuka PH mengapa himpunan mega ini gagal mencapai sasaran 100,000 peserta. Dianggarkan sekitar tujuh ribu peserta yang mengambil bahagian dan sehingga menjelang Maghrib sekitar lima ribu peserta yang terpencar-pencar di padang Petaling Jaya Timur. Saya pada petang program himpunan mega ini, berkuliah Maghrib di Masjid ar Rahman Universiti Malaya, alma mater yang sinonim dengan bantahan awam dan kebangkitan gerakan pelajar. Kenderaan saya berdesut laju di aspal melalui Kerinchi Link, membelah kawasan Lembah Pantai yang berjiran dengan Petaling Jaya tanpa sebarang kesulitan. Fenomena ini berbeda jika himpunan besar diadakan oleh PAS ataupun dahulunya Pakatan Rakyat.

Di penghujung kuliah fiqh Sirah malam itu saya mengumumkan untuk ke Petaling Jaya dan sebahagian jemaah seakan mencebik dan berwajah sinis. Saya membetulkan keadaan dengan menyatakan saya akan menghadiri satu majlis liqa fikri di Petaling jaya, bukan hadir untuk berhimpun di padang. Signal sangat jelas, bagi jemaah kuliah masjid, tiada manfaat akhirat daripada perhimpunan awam yang meletakkan di atas pentas utama, tokoh-tokoh yang juga terpaling sarat dengan kroni kapitalisme dan penyakit KKN semasa berada di tampuk kekuasaan.

Saya dan pembantu saya, Faizal sekali lagi terkejut apabila jalan utama ke Petaling Jaya untuk menghadiri program liqa' yang dianjurkan oleh PAS kawasan Petaling Jaya Selatan juga lancar tanpa apa-apa kesesakan trafik. Sangat aneh!, bagi sebuah himpunan mega empat parti komponen sebegitu meleset kehadiran. Entah mengapa malam tadi sebelum bermula program, sambil menyuap nasi berlauk ikan singgang di medan selera Kampung Medan, Petaling Jaya, cermin ingatan saya terbayang guratan sedih Haji Mohamad Sabu. Abang Mad, beberapa hari sebelum ini dalam sebuah portal berita dengan bangga menyebut PAS merindukan beliau. Saya hampir tersedak dan menambah lagi separuh pinggan nasi, saya keliru sama ada hendak ketawa atau menangis dengan kenyataan Presiden PAN itu.

Kegagalan himpunan anti kleptokrasi ini menatijahkan beberapa perkara dan menjadi bahan lelucon peminat-peminat politik tanah air. Pertama, sebelum terbarainya PR, himpunan mega sentiasa berjaya dan menarik minat masyarakat awam untuk menyertainya. PAS yang menjadi rakan komponen PR telah berjaya memobilisasi ahli-ahlinya turun berhimpun. 80 peratus peserta himpunan adalah ahli PAS, manakala yang lain termasuk daripada gerakan swadaya dan masyarakat sivil yang lain. PAS mempunyai modus operandi yang tersusun dalam mengerah ahlinya, daripada peringkat cawangan, MTD, kawasan, negeri dan Wilayah Persekutuan seterusnya di peringkat Pusat.

PAS bukan hanya hadir meramaikan himpunan tetapi membekalkan petugas keselamatan dan disiplin iaitu anggota Jabatan Amal yang sangat berdisiplin dan mempunyai dedikasi yang tinggi. PAS dengan pasukan khas medik yang bersiaga dengan elemen kecemasan, bahkan dengan ambulansnya sendiri. Ahli-ahli PAS hadir dalam himpunan, disertakan dengan niat untuk menderma pada penganjur bagi menampung kos himpunan.

Kedua, kegagalan ini juga satu cerminan bahawa PH dilihat tidak mempunyai pimpinan yang berintegriti untuk menjulang tema himpunan tolak klepetokrasi. Mahathir dan alumni Umnonya mempunyai bagasi sejarah silam yang tak mampu dipadamkan dengan apa jua serbuk penyental. Mereka daripada pasukan perampok negara dengan pelbagai skandal kewangan semasa di koridor kuasa. Mereka "acah-acah suci" untuk menolak kebobrokan pemerintahan Najib dan rakyat yang pernah menderita di zaman demokrasi terpimpin Dr Mahathir tak mudah melupakan senarai panjang kezaliman dan salah guna kuasa.

Begitu juga dengan pimpinan DAP yang berkuasa di Pulau Pinang, rakyat umumnya tidak mempunyai keyakinan parti bercorak etnosentrism ini bersih daripada kroni kapitalisme dan gejala rasuah. Lihat sahaja ucapan pimpinan utama DAP di pentas utama himpunan yang hanya meratib "gila" berulang kali tanpa kerangka berfikir yang mapan untuk memulihkan negara ini daripada penyalahgunaan kuasa. Kayak ucapan mereka, kokok berdegar-degar tetapi ekor bergelumang tahi!

Ketiga, himpunan bernuansa menunjukkan kekuatan pengaruh ini bertukar menjadi himpunan menampar ego dan maruah mereka apabila tidak berjaya menarik anak-anak muda untuk bersama. Sangat kontradik dengan himpunan FASTAQIM 2.0 dua minggu yang lepas di Tok Jembal, lebih 70 peratus adalah anak-anak muda pelbagai latar belakang. Bukan sahaja anak-anak muda aliran tarbawi dan tajnid tetapi anak-anak muda ranggi yang meminati genre muzik keras turut memeriahkan himpunan. PAS sebagai gerakan massa berjaya memicu kesedaran politik anak-anak muda termasuk perempuan muda yang agak liat mencampuri urusan politik. Maaf!, saya melihat Dapsy, Armada, Pemuda PAN dan anak muda PKR gagal menjadi titik pesona untuk merengkuh sokongan orang muda bawah 40 tahun. Mutu kepimpinan anak muda PAN dengan jurang yang luas untuk dibandingkan dengan pimpinan Dewan Pemuda PAS. Mereka pecundang Muktamar 2015, jika bertanding di peringkat Pemuda PAS kawasan pun tidak akan berjaya menang. Kompetensi, bakat, kegeniusan politik dan aura kepimpinan pemuda PAN tidak menonjol. Tiada program skala mega yang pernah mereka laksanakan di peringkat nasional atau negeri.

Keempat, pemilihan lokasi himpunan di kubu kuat PH, maka sebab itulah penganjur sangat yakin akan berjaya menghimpunkan 100,000 peserta. Petaling Jaya, berdekatan dengan Puchong, Kelana Jaya, Subang, Seputeh, Shah Alam. Jika di kawasan dikatakan kubu sekali pun tak mampu untuk mengerah ahli dan penyokong, bayangkanlah jika di kawasan tegar BN. FASTAQIM 2.0 dilaksanakan di Terengganu, negeri yang diperintah oleh Umno BN. Tidak sedikit halangan yang ditempuh oleh penganjur himpunan. Bendera PAS dicabut, dikenakan saman oleh pihak berkuasa tempatan, ada masjid yang menutup bekalan air untuk pengunjung dan pelbagai karenah BN. Namun, keazaman dan iltizam penyokong PAS berupaya mengatasi segala halangan. Paling dungu, ada seorang pemimpin PH mengatakan jika PAS mengadakan himpunan mega di Lembah Klang, maka keadaan adalah sebaliknya (tak mampu menghimpun khalayak). Mereka lupa tanggal 18 Februari lalu, 300,000 ahli dan penyokong PAS telah membanjiri Kuala Lumpur. Mereka datang sejauh Sabah dan Sarawak, juga daripada pedalaman Semenanjung seperti Sik, Baling, Hulu Besut untuk menyatakan sokongan terhadap matlamat himpunan. Mereka menyewa bas, berkonvoi dengan motosikal, bahkan ada yang mengayuh basikal bersimbah keringat sejauh 400 kilometer!

Kelima, hambarnya himpunan mega PH juga adalah terjemahan bahawa koalisi ini tidak mempunyai jentera akar umbi. Saya sangsi adakah pemuafakatan politik ini mengadakan culaan undi, kursus PACA, stimulasi pilihan raya dan pelbagai kerja untuk memenangi pilihan raya. Selama ini jentera pilihan raya PR disandarkan pada PAS, petugas PAS diatas nama arahan jamaah dan sikap setiakawan telah membantu rakan komponen PR. Kali ini jentera PAS tidak perlu memikul biawak hidup lagi, mereka boleh menghela nafas lega sambil berzikir mengingati Allah.

Keenam, himpunan mega PH ini juga menunjukkan mereka tidak berjaya menyusun dan merengkuh sokongan jaringan sivil (NGO). Kumpulan anak muda seperti SAMM dan lain-lain aktivis gerakan kiri agak menyepikan diri kali ini. Saya difahamkan, kelompok radikal tidak selesa dengan keberadaan Dr Mahathir dalam hirarki kepimpinan PH. Mana mungkin seorang yang menggunakan pelbagai akta drakonian di zaman berkuasa kini diwirakan untuk memimpin kebangkitan rakyat menentang rejim yang korup. Berbeda dengan keupayaan PAS yang berjaya mengkoordinasi ratusan NGO untuk menjayakan cita-cita perjuangan merubah kefasadan negara dengan kesejahteraan Islam.

Jika himpunan 14 Oktober yang lalu adalah nafiri peperangan, maka semua Jeneral PH bolehlah bersara dan melepaskan baton kepada pelapis baru kepimpinan, tetapi siapa lagi yang mereka ada. Perjuangan menentang rasuah, ketirisan, kroni kapitalisme mestilah digalang oleh insan yang bersih daripada semua kebejatan itu. Air kencing tak mampu menyucikan najis!, meruntuhkan jahiliah maka jangan sampai menegakkan jahiliah yang baru. Itulah hakikat tragedi Oktober, himpunan yang bakal membuka pelbagai lagi kisah kocakan dalaman rumahtangga PH. Semoga ada yang segera membuka mata melihat wayang separuh siap ini. – HARAKAHDAILY 16/10/2017

Penulis adalah Pengerusi LESTARI, mantan perusuh budiman dan demonstran tegar.

ALHAMDULILLAH 'ala kulli hal. Laporan MalaysiaKini dan beberapa agensi berita adalah dirujuk.

Kenyataan di Facebook saya yang berkaitan ditulis bagi menentang rasisme dan kenyataan perkauman yang dikeluarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Himpunan Anti-Kleptokrasi. Fokusnya di situ.

Tun M menyebut secara jelas dalam ucapannya di Himpunan Anti-Kleptokrasi:

"Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis."

Saya menulis sebagai seorang rakyat Malaysia yang berbangsa Bugis. Cuba bayangkan jika perkataan 'Bugis' dalam ucapan Tun M tersebut ditukar menjadi 'Cina', pasti gegak gempita DAP dan sekutunya.

Saya tidak membenci Tun M, saya juga tidak mempertahankan DS Najib, saya cuma tidak bersetuju dengan kenyataan perkauman yang dikeluarkan oleh Tun M sebagaimana saya juga tidak setuju dengan DS Zahid yang pernah menyentuh asal usul kaum Tun M.

Saya ada menyebut Akta Hasutan dalam tulisan FB tersebut. Sebagaimana kita sedia maklum, Akta Hasutan digunakan banyak kali semasa zaman Tun M secara salah untuk menghukum musuh politik yang tidak sealiran dengan pemerintah, maka kita membantahnya.

Saya mengambil maklum tentang Usul Memansuhkan Akta Hasutan yang diluluskan Muktamar PAS pada tahun 2014. Ya, kita setuju ia dihapuskan dan diganti dengan akta yang lebih harmoni dan sesuai pada masa kini. Sekurang-kurangnya ia perlu dipinda dan ditambah baik supaya tidak disalahgunakan oleh pihak pemerintah dan pihak berkuasa.

Semua pihak yang mengeluarkan kenyataan yang mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keharmonian bernegara wajar diadili dan dihukum secara benar dengan undang-undang sedia ada dengan syarat ia tidak disalahgunakan.

Kenyataan "sila balik Kerala", "sila balik Negara Besar China", "sila balik India", "sila balik Bugis" dan lain-lain semua kita tidak persetujui tanpa double standard. Say No To kleptocracy! Say No To Racism!

Wallahu a'lam bissawab.

FB: Muhtar Suhaili As-Sarawaki.

MUTAKHIR ini terdapat agenda anti-Islam yang sangat merbahaya untuk perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia.

"PAS Sabah melihat gerakan ini akan membawa kebobrokan dalam masyarakat dan boleh menimbulkan konflik di antara agama.

"PAS Sabah melihat agenda anti-Islam ini sangat merbahaya. Perkara 3 dalam Perlembagaan Malaysia jelas memperuntukkan Islam sebagai Agama Persekutuan," ujar Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling dalam satu kenyataan.

Katanya, lebih menyedihkan lagi apabila mereka asyik bersandarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963 sedangkan Negeri Sabah telah meluluskan bahawa Islam sebagai Agama Rasmi negeri berdasarkan Perkara 5(A) Perlembagaan Negeri Sabah.

Justeru, tambahnya PAS Sabah sekali lagi menyeru supaya ahli politik sepatutnya menjadi ejen perpaduan dan keharmonian.

Menruutnya lagi, perkara yang sudah diselesaikan oleh pimpinan lepas khususnya berkaitan undang-undang dan perlembagaan jangan dijadikan polemik dan agenda politik murahan.

PAS juga, katanya menyeru supaya masyarakat terus mengutamakan kesatuan dan keharmonian.

"PAS juga mengharapkan agar kerajaan terus mengutamakan pembangunan rakyat dan berlaku adil kepada semua kaum dan agama," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 16/10/2017

TUN Mahathir Mohamad sudah melampau dan rasis! Beliau boleh sahaja menghentam Datuk Seri Najib Razak, tapi bila beliau menghina bangsa Bugis ini melampau dan kurang ajar!

Mahathir menyebut secara jelas dalam ucapannya di Himpunan Anti-Kleptokrasi malam tadi:

"Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macamana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis."

Video di sini: http://www.sinarharian.com.my/mobile/video/najib-baliklah-ke-bugis-rakyat-tak-perlu-kamu-1.743372.

Lebih menjengkelkan hadirin di himpunan tersebut turut bersorak dan seolah-olah bersetuju dengan sikap rasis yang ditunjukkan Tun M!

Ini bukan ajaran Islam! Melayu, Cina, India, Mamak, Bugis, Jawa, Banjar, Iban, Kadazan dan semua bangsa sama di sisi Allah melainkan taqwa!

Lebih daripada itu, ini juga bukan ucapan seorang negarawan yang ingin mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam negara. Bahkan beberapa Sultan di Malaysia juga beketurunan Bugis.

Saya menyeru pihak berkuasa untuk menahan Tun M di bawah Akta Hasutan! Say No To Kleptocracy! Say No To Racism!

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman di dalam Al-Qur'an, Surah Al-Hujurat ayat 13:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."HARAKAHDAILY 15/10/2017

More Articles ...