23
Tue, Apr
24 Artikel Baru

TAHUN 2015, PAS membatalkan tahaluf dengan DAP melalui usul dari cawangan ke kawasan ke Dewan dan akhirnya ke muktamar sebelum disahkan oleh Majlis Syura Ulamak.

Tahun 2017, PAS membatalkan tahaluf dengan PKR melalui usul dari cawangan ke kawasan ke Dewan dan akhirnya ke muktamar sebelum disahkan sekali lagi oleh Majlis Syura Ulamak.

Selepas pembatalan tahaluf pada 2015 dan 2017, tiada sebarang usul dan perbincangan dibuat untuk menyambung semula tahaluf dengan bekas rakan-rakan dalam PR ini.

Bersama Parti Bersatu, PAS tak pernah mengikat sebarang ikatan rasmi. Adalah sekejap kita pernah berkawan di jalanan. Sekadar kawan saja. Tak pernah ada komitmen janji setia. Jadi tak timbul isu kita putus dengan Bersatu kerana kita memang tak pernah ada ikatan.

PAS tak pernah hadir sebarang majlis dan mesyuarat yang ada kaitan dengan PH. Kita tak pernah terhegeh-hegeh. Pinggan tak retak nasi tak dingin! PH tak ada dalam kamus perjuangan PAS.

Yang hadir dalam program PH ialah individu dalam PAS yang suka makan nasi dingin guna pinggan retak. Elok-elok di rumah sendiri ada nasi hangat dalam pinggan Corelle, nasi dingin dalam pinggan retak juga yang dicari!

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
29 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 29/8/2017

KEPUTUSAN Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam Pilihan Raya umum ke-14 (PRU14) dan bersedia untuk bertanding tiga penjuru bukanlah sesuatu yang mengejutkan bahkan ia sudah diramalkan.

Tidak ada sesuatu yang pelik dengan keputusan terbaharu PH kerana PAS tidak mempunyai apa-apa hubungan politik dengan PH. Maka terpulang kepada PH untuk membuat apa juga keputusan terhadap PAS. Ahli-ahli PAS juga telah diberi taklimat untuk bersedia menghadapi ‘peperangan’ tiga penjuru, dengan BN dan dengan PH di mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Saya menganggap keputusan itu hanya sekadar menambah penegasan daripada keputusan yang telah dibuat sebelum ini. Parti-parti dalam Pakatan Harapan selain PKR telah bersedia dengan keputusan itu, bahkan gembira dengan pengumuman itu. Mungkin hanya sebahagian pemimpin PKR gelisah dengan keputusan itu, kerana impaknya pasti terasa khususnya di negeri Selangor.

Ia memberi petunjuk kepada sebahagian dari mereka yang boleh dibaca adalah; tanpa PAS sukar buat PH memenangi Putrajaya. Mungkin mereka memahami bahawa tanpa PAS, Selangor pasti tumbang di tangan BN jika berlaku pertandingan tiga penjuru. Bagi golongan yang memandang rendah kepada PAS, mereka kini sudah mula rasai kekalutan bahawa peranan PAS sebagai ‘king maker’ begitu dirasai. Sudah ada yang mula merayu, dan bersimpuh menagih simpati dengan PAS sebelum PRU ke-14 lagi.

Kajian yang dilakukan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati BN akan tewas di peringkat persekutuan dan hilang lapan negeri jika Pakatan harapan (PH) dan PAS bekerjasama mewujudkan pertembungan satu lawan satu menentang BN di semua kerusi Parlimen dan DUN. Kajian itu menunjukkan bahawa PH bakal mendapat sejumlah 59 peratus undi termasuk lapan negeri jatuh ke tangan PH jika semua parti bergabung menentang BN.

Kenyataan ini boleh disangkal dengan kajian lain terutama oleh YB Rafizi Ramli melalui NGO beliau INVOKE yang boleh menggembirakan PH. Tetapi rata-rata kepimpinan tertinggi PKR mengakui kajian IDE itu dan mengiktiraf dapatan dari IDE. Jika tidak, mengapa sampai begitu bersungguh-sungguh pihak tertentu mahu berunding dengan PAS agar jangan sampai bertembung tiga penjuru.

Apa yang menghairankan, ketika PAS disisihkan dan diburukkan dari politik negara, ada pula  pihak yang terhegeh-hegeh mahu berbincang dengan PAS. Lebih menghairankan apabila ada pula parti yang berbalah dan bergaduh hanya kerana sikap mereka terhadap PAS. Suatu ketika memburukkan PAS dengan pelbagai tuduhan, satu masa yang lain terlalu mengharapkan PAS. Ketika tangan kiri melempar batu kepada PAS, tangan kanan pula sibuk mahu berjabat tangan dengan PAS.

Hakikat sebenarnya tidak sukar untuk bersahabat dan bekerjasama dengan PAS. Politik PAS adalah politik lurus, jujur, benar dan amanah, dan sikap PAS adalah politik matang dan sejahtera. PAS tidak sesekali mengamalkan politik berbelit dan menipu. Islam adalah slogan dan matlamat perjuangan PAS, dan PAS boleh bersahabat dengan sesiapa sahaja yang sanggup mengangkat dasar perjuangan ini. Namun jika Islam itu boleh dijual beli, boleh dicagar dan direndahkan, diketepikan, minta maaflah, merayu bagaimana sekalipun, PAS tidak akan sudi.   

Membuka pintu rundingan dan kerjasama dengan PAS mesti diiringi dengan diplomasi yang mudah – iaitu hormati dasar perjuangan PAS, hormati pemimpin-pemimpin PAS, bersikap jujur dalam berpolitik dan amalkan politik secara Islam. Selain itu, segala perkara boleh dibawa berbincang kerana PAS tidak pernah tamakkan kerusi, apatah lagi gila merebut kuasa ke Putrajaya!

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat                                                
29 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 29/8/2017

SAYA panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana kejayaan Azizulhasni Awang mengukir sejarah mengesahkan pingat emas acara 200 meter pecut individu lelaki di Velodrom Nasional Malaysia di Nilai semalam.

Pingat emas yang dimenanginya memahat sejarah menarik apabila menjadi pungutan pingat ke-111 menepati sasaran pingat emas negara untuk pasukan Sukan Sea Malaysia kali ini.

Sudah tentu kejayaan ini menjadi kebanggaan warga Dungun semua. Tidak lupa juga kepada penyumbang pingat ke-110, juga anak Terengganu, Fatehah Mustapa menerusi acara pecut individu wanita dan seluruh atlet Terengganu yang lain.

Kami warga Dungun sekali lagi mendoakan Azizulhasni terus mencipta kejayaan demi kejayaan untuk  Terengganu dan Malaysia pada masa akan datang.

USTAZ WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun / Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun. - HARAKAHDAILY 29/8/2017

LAJNAH Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat (LEPU) ingin memberikan respon tehadap cadangan daripada Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) bahawa penilaian Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) harus dilakukan dalam matawang Amerika USD.

MazliZSebagaimana yang dilaporkan oleh harian The Edge pada 24 Ogos 2017, Presiden FMM Tans Sri Dr. Lim Wee Chai menyatakan bahawa sebagai negara yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa, nilai GDP Malaysia dalam situasi sebenar akan menguncup sekiranya dikira dalam USD.

Perlu ditekankan bahawa penilaian GDP adalah dalam faktor penggunaan, pelaburan, berbelanjaan kerajaan dan ekspot import. Jesteru itu, penilaian yang diamalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekarang adalah mewakili keadaan sebenar ekonomi negara. Ini adalah kerana pertimbangan-pertimbangan berikut:

1. Formula penilaian GDP sudahpun mengambil kira nilai imbangan pembayaran ekspot dan impot. Oleh itu sekiranya berlaku pergerakan yang marginal atau substantif dalam nilai Ringgit, ianya telah pun diambil kira sebagaimana sepatutnya. Bagi menghasilkan nilai hakiki pertumbuhan 5.8 peratus untuk suku kedua (2Q) 2017, sudah pasti nilai imbangan ekspot impot adalah dalam julat positif.

2. Antara elemen utama dalam penilaian GDP adalah penggunaan dan pelaburan, samada yang dilakukan oleh sektor swasta ataupun awam. Justeru itu bagi menghasilkan pertumbuhan positif, nilai penggunaan dan pelaburan adalah juga positif dan substantif.

Nilai penggunaan dan pelaburan yang kukuh juga mampu untuk menampung imbangan ekspot impot, walaupun jika ianya bernilai negatif bagi membolehkan pertumbuhan positif dihasilkan. Dalam kes GDP untuk 2Q, nilai penggunaan sektor swasta adalah tumbuh pada 7.1 peratus manakala pelaburan pada 7.4 peratus.

3. Ekonomi Malaysia termasuk seluruh struktur dan infrastrukturnya adalah berada dan beredar dalam dinamika eko-sistem Ringgit. Jesteru penilaian yang lebih tepat hanya boleh diwakili dalam Ringgit. Sebarang sensitiviti yang berlaku dalam perdagangan antarabangsa telahpun diambil kira dalam proses penilaian GDP bagi menghasilkan nilai hakiki sebenar.

Oleh itu LEPU perpandangan penilaian GDP haruslah dilakukan dalam nilai Ringgit.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat (LEPU)
06 Zulhijah 1438/28 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 28/8/2017

PUSAT Penyelidikan PAS (PPP), mengikuti pembentangan hasil tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE) petang semalam. PPP menghormati dapatan kajian IDE tersebut, walaupun kami mempunyai pandangan yang agak berbeza. Pada pandangan PPP, 89 kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lalu, adalah jumlah yang paling maksimum yang mampu dicapai oleh Pakatan Harapan (PH) sekiranya bergabung dengan PAS, apatah lagi jika PAS tidak bersama-sama pakatan tersebut.

Kami berpandangan, tiada kerusi lagi yang mampu ditambah oleh PH+PAS setelah sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu-Muslim telah sampai ke tahap yang paling maksimum. Hanya satu cara sahaja lagi untuk PH+PAS boleh memecah angka maksimum itu, iaitu dengan memperolehi majoriti sokongan pengundi-pengundi Melayu-Muslim. Bagaimanapun sokongan mereka tidak mungkin boleh dicapai jika DAP dan PAN bersama gabungan itu. Kedua-dua parti itu dilihat oleh masyarakat Melayu-Muslim sebagai anti Melayu dan menentang agenda Islam.

Kemasukan PPBM ke dalam PH sememangnya boleh menambahkan peratus sokongan pengundi-pengundi Melayu-Muslim, tetapi peratusnya sangat kecil. PPP menganggarkan peratus pengundi Melayu-Muslim yang mampu ditarik oleh PPBM sekitar 7%. Sebaliknya kemasukan parti tersebut, yang dibarisi oleh golongan ultra-nasionalis Melayu termasuk ahli-ahli PERKASA, akan menyebabkan pengundi bukan Melayu-Muslim lari dari PH untuk mengundi BN semula. Hasilnya kemasukan PPBM tidak akan memberi nilai tambah untuk kemenangan PH.

Fenomena pengundi-pengundi bukan Melayu-Muslim khususnya pengundi Cina, lari dari PH setelah kemasukan golongan ultra-nasionalis Melayu PPBM, adalah suatu realiti yang sedang berlaku sekarang. Peralihan ini mulai dapat dilihat dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Berdasarkan tinjauan PPP, peratusan pengundi Cina yang lari dari PH sekarang adalah sekitar 25%. Oleh sebab itu, BN telah meraih sekitar 35% pengundi Cina, dan ini merupakan satu lagi berita buruk kepada PH, setelah mereka kehilangan pengundi-pengundi PAS.

Selain daripada itu, gabungan ini PH+PAS adalah hampir mustahil boleh berlaku pada masa kini, kerana PAS sendiri sekarang mensasarkan untuk menafikan peluang DAP memerintah semula Pulau Pinang dan mengalahkan DAP di beberapa kerusi parlimen dan DUN yang mereka tandingi di Pahang, Perak dan Selangor. Oleh yang demikian, sekiranya DAP dan PAN terus berada dalam PH, tidak mungkin akan berlaku 'electoral pack' dengan PAS. Malah PAS pula telah lama bersedia untuk bertanding tiga penjuru, dengan perancangan strategi dan kemantapan jentera.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS
29 Ogos 2017 / 7 Zulhijjah 1438 - HARAKAHDAILY 29/8/2017                      

PASRelief menyeru umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia turun berhimpun di kedutaan Myanmar pada 30 Ogos 2017, jam 11 pagi, mengiringi pimpinan PAS dan NGO menyerahkan memorandum mengecam kekejaman Myanmar ke atas etnik Muslim Rohingya yang sedang terjadi pada waktu ini.

Himpunan dan penyerahan memorandum ini adalah anjuran bersama MAPIM, PASRelief, Permas dan beberapa NGO lain, termasuk peserta Food Flotilla For Myanmar (FFFM).

Dalam tragedi keganasan terbaru tentera regim Myanmar bersama pelampau buddha Rakhine (Arakan Army) bermula 25 Ogos lalu, kira-kira 500 muslim Rohingya dibunuh kejam, rumah, madrasah dan perkampungan dibakar dan penduduk diusir. Sebahagian besar penduduk di wilayah Buthidaung dan Rathidaung dipaksa lari ke hutan dan bukit bukau untuk menyelamatkan nyawa. Situasi mereka tidak dapat diketahui.  Ramai wanita dan kanak turut dibunuh dan dibakar.

Sebahagian mereka terpaksa membawa keluarga menyeberangi Sungai Naf bagi mencari perlindungan di kem pelarian di wilayah Ramu, Cox's Bazaar, Bangladesh. Kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak.

Kekejaman penghapusan etnik Rohingya (Genocide) sejak 1948 ini berlanjutan hingga kini walaupun PBB telah membuat ketetapan agar ia dihentikan. Operasi tentera dengan sokongan Arakan Army ini menyaksikan lebih ramai menjadi mangsa berbanding operasi sama pada Oktober 2016.

Berikutan tragedi kemanusiaan terbaru ini,  PASRelief mengajak seluruh masyarakat dunia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera campurtangan bagi menghentikan genocide yang berlanjutan ini.

Kami juga menggesa Asean dan OIC mengambil tindakan drastik bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda Muslim Rohingya di Wilayah Arakan (Rakhine).

Kerajaan Malaysia perlu segera mengaktifkan plan kecemasan peringkat Asean dan negara Muslim serantau bagi menekan regim Myanmar. Bencana kemanusiaan yang sedang terjadi di Arakan pada masa ini akan memakan lebih ramai korban jika kita terus berpeluk tubuh dan berdiam diri.

Ayuh rakyat Malaysia, sertai himpunan aman dan menyerahan memorandum mengecam kekejaman Myanmar yang sedang melakukan jenayah kemanusiaan terburuk dalam sejarah dunia.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengarah PASRelief
AJK PAS Pusat – HARAKAHDAILY 29/8/2017

Rohing30

PAS sedang bergerak bersama Gagasan Sejahtera membina imej negarawan dalam menghadapi PRU14 sedang PH berantakan bergaduh sesama sendiri.

takiri3"Umno BN juga sedang bergelut berusaha memulihkan imej dan pertembungan dalaman mereka," ujar Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menerusi laman facebook.

Justeru, katanya PAS perlu kekal berpolitik berasaskan prinsip Islam dan mengemukakan penyelesaian Islam bagi masalah negara, enyokong dasar yang baik dan menentang dasar yang silap.

Menurutnya, GST adalah dasar yang salah yang menyebabkan berlakunya inflasi dan kerosakan ekonomi negara.

Tambahnya, penglibatan dengan riba dalam pengurusan kewangan kerajaan menghilangkan barakah ekonomi.

"Rasuah adalah buah dari jiwa pemimpin yang kemaruk kemewahan dunia.

"Skandal kewangan 1MDB, Forex, Perwaja,  BMF dan seumpama dengannya adalah manifestasi kegagalan dasar pengurusan perniagaan dan ekonomi yang tidak berprinsipkan Islam," ujarnya.

Justeru itu, tambah beliau PAS perlu terus maju membawa moto 'Sejahtera Bersama Islam'. - HARAKAHDAILY 28/8/2017

More Articles ...