26
Sun, May
38 Artikel Baru

PENDEDAHAN sebuah portal, Portal Islam dan Melayu pada 6 September 2017 dengan isu sambutan pesta arak ‘Better Beer Festival 2017’ adalah sesuatu yang menggemparkan dan mengundang kemarahan umat Islam di negara ini. Ia berkaitan penganjuran pesta arak yang bakal diadakan pada pada 5 dan 6 Oktober 2017 di ibu kota Kuala Lumpur.

riduan1Pada tahun 2012, ketika ia julung kali diadakan, tujuannya sebagai merayakan pembuatan beer di Malaysia dan diadakan di Taps Beer Bar di Changkat Bukit Bintang dengan kehadiran 200 orang pengunjung. Ia diadakan sekali lagi pada tahun 2016 di Publika Shopping Gallery dengan menyediakan 150 jenama arak dan kehadiran mencecah 3,500 orang. Pada tahun ini pula, penganjur membawa 250 jenama arak berbeza dari 43 syarikat arak (breweries) untuk memenuhi citarasa pengunjung dari serata dunia. Sasaran kali ini jauh lebih ramai dengan kehadiran 6,000 orang.

Melihat kepada penganjuran festival ini, tentunya tidak ada masyarakat khususnya umat Islam mampu berdiam diri dengan membiarkan penganjur sewenang-wenangnya mengadakan pesta maksiat buat kesekian kalinya di Kuala Lumpur. Adalah sesuatu yang memalukan buat negara Islam seperti Malaysia, apabila program mungkar mudah mendapat tempat di hati masyarakat dan dibiarkan penganjurannya tanpa halangan. Kita tidak sanggup jika Kuala Lumpur dikenali oleh dunia sebagai pusat maksiat terbesar di Asia.

Dalam penganjuran pesta arak ini, walaupun penganjur beralasan ia adalah aktiviti untuk bukan Islam termasuk mempromosikan pelancongan terhadap masyarakat, namun, yang paling dikesali kerana mereka memilih Malaysia sebagai lokasi pesta arak. Malaysia telah menjadi destinasi strategik untuk aktiviti bebas kepada masyarakat luar seperti tidak ada sekatan undang-undang dan peraturan. Walaupun umat Islam bukan menjadi sasaran penyertaannya, tetapi tiada had atau halangan jika ada orang Islam yang menyertainya, sekali gus menggamit sesiapa sahaja untuk hadir termasuk orang Islam.

Jika penganjuran tahun 2017 ini berjaya, tidak mustahil aktiviti yang berskala lebih besar akan diadakan pada tahun-tahun hadapan. Apakah jaminan keselamatan dapat diberikan kepada orang awam yang tidak terlibat seperti berlaku jenayah, seks bebas, rogol dan lain-lain. Walaupun penganjur dikatakan akan bekerjasama dengan Uber melalui pelancaran kempen ‘Don’t Drink & Drive’ di mana para pengunjung akan menerima kod pengangkutan Uber mereka untuk pergi balik ke pesta tersebut. Tetapi sesiapa boleh beranggapan mungkin banyak aksi lain yang berlaku sehingga terpaksa menempatkan anggota keselamatan berkawal di lokasi terbabit.

Pendedahan demi pendedahan mengenai kemungkaran oleh pelbagai pihak membuktikan telah banyak kepincangan berlaku di negara ini. Sama ada ‘Better Beer Festival 2017’ adalah aktiviti terlepas pandang oleh pihak kerajaan (mustahil kerajaan tidak mengetahui sesuatu aktiviti rasmi yang berlaku di ibu kota), atau sengaja dibiarkan bagi mengabui mata serta memenuhi kehendak segelintir masyarakat yang dahagakan budaya liar dan hedonisme. Namun bagi umat Islam yang prihatin, tidak ada suara yang dapat mengungkapkan perkataan terhadap penganjurannya melainkan bantahan keras dengan memastikan ia tidak diadakan di ibu kota.

Kebencian masyarakat terbanyak terhadap aktiviti maksiat juga perlu dipandang berat dan diraikan, bukan hanya meraikan keinginan segelintir manusia yang memuja nafsu. Hati masyarakat yang tidak redha terhadap kemungkaran berlaku, merasa tertekan dengan keadaan dan boleh mengundang kegiatan ekstremis.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, disarankan agar lebih matang dan kehadapan sesuai dengan tanggungjawab beliau sebagai ketua pemimpin sebuah negeri.

bashahTindakan beliau membaca luahan rasa salah seorang netizen yang ditular di media sosial semasa ucapan penggulungan pada persidangan Dun Kedah lalu, bukan sahaja dilihat membuang masa malah tidak sesuai langsung dilakukan di majlis seumpama itu yang seharusnya memberi penekanan kepada hala tuju pentadbiran dan permasalahan negeri.

Luahan rasa netizen berkenaan yang hanya berkisar kepada tanggungjawab institusi masjid dalam merealisasikan kebajikan masyarakat sekeliling sepatutnya hanya diambil sebagai rujukan contoh dan bukannya membaca keseluruhannya, seolah-olah sidang dewan berada di dalam rancangan realiti yang banyak dianjurkan oleh televisyen dewasa ini.

Sebagai pemimpin sebuah negara, beliau seharusnya melaksanakan program-program yang memberi manfaat kepada rakyat dalam pelbagai sudut dan bukannya merujuk kepada program anjuran masjid mahu pun NGO kerana kerajaan lebih mampu merencana program yang jauh lebih baik dari institusi dan pertubuhan-pertubuhan berkenaan. Kemampuan kerajaan lebih tinggi dan penglibatan serta skop pelaksanaan lebih menyeluruh malah bukan itu sahaja, tanggungjawab sesebuah negara atau negeri itu adalah lebih besar dan luas.

Tidak perlu mengajak Sidang Dun bersimpati atau tersentuh dengan luahan berkenaan andainya kerajaan negeri masih gagal melaksanakan program-program kebajikan kepada rakyat terutama golongan kurang berkemampuan. Apa tindakan kerajaan di saat rakyat terbelenggu dengan kekangan kos sara hidup yang semakin melonjak naik, harga barang keperluan semakin mahal, harga getah dan padi semakin menurun dan cukai GST yang menjerat leher rakyat tanpa mengira status dan latar belakang.

Sidang Dun diminta peka kepada cadangan netizen berkenaan agar menggunakan tabung masjid untuk kebajikan masyarakat kariahnya namun beliau lupa kerajaan negeri sendiri gagal memanfaatkan perbendaraan negeri membantu rakyat sehingga ada di kalangan anak-anak penoreh getah yang ke sekolah tanpa membawa duit belanja sedangkan dalam masa yang sama, harta-harta negeri diraih semahu-mahunya.

Sekadar program Barakah yang kononnya untuk membantu rakyat miskin, itu hanya pelaksanaan yang boleh dibuat oleh NGO atau parti-parti politik lain. Kalau sekadar bantuan one-off, RM100 berbentuk barangan, itu bukan taraf negeri terutama diterajui oleh Barisan Nasional yang kononnya cekap mentadbir negara. Kerajaan seharusnya merancang program kebajikan yang lebih besar serta mampu membantu golongan berkenaan meningkatkan taraf hidup untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Atau adakah di dalam pemikiran pemimpin Umno/Barisan Nasional, tindakan berkenaan sudah memadai untuk golongan miskin dan kurang berkemampuan.

Cukuplah rakyat setiap hari rakyat mengalas perut dengan ikan kering, telor rebus, pucuk paku, tinggal di rumah yang atapnya bocor, dindingnya reput dan tiangnya senget asalkan projek-projek ikonik yang menjadi kebanggaan mereka dapat dilaksanakan. Membina stadium baharu dilihat lebih diutamakan, membina litar lumba menjadi perancangan,cukuplah rakyat bawahan dihulurkan wang bersama sekampit beras asalkan itu mampu menjadi nadi penyambung hayat Umno/Barisan Nasional terus berkuasa.

BR1M dicanang sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap rakyat, RM1,200 setahun dijulang umpama mampu mengubah kehidupan sedangkan duit rakyat diperah dengan cukai GST. Bukan semua rakyat berpendapatan rendah menikmati BR1M, sedangkan pengemis di jalanan, warga emas yang setiap hari menjual pucuk-pucuk ulam di pekan-pekan hari, ibu tunggal saban pagi bersengkang mata membuat kuih jualan, anak-anak yatim berputih mata dengan keperluan persekolahan, namun mereka juga tidak terkecuali dikenakan cukai GST. Apakah ini yang dinamakan 'rakyat didahulukan'.

Seharusnya rakyat jangan tertipu untuk kali ke-14, celikkan mata, luaskan minda, jangan memandang tingginya bangunan, luasnya kolam renang, besarnya rumah-rumah di taman perumahan, sedangkan nasib sendiri belum berubah. Lampu cempeni tua masih setia di sudut bilik, tirai lusuh masih digantung setiap musim perayaan, ikan kering dan cabai masih menjadi santapan utama, basikal buruk dan motosikal cabuk masih menjadi teman setia. - HARAKAHDAILY 10/9/2017

DISEBARKAN satu tulisan melarang mandi pada tiga waktu tertentu. Kononnya mandi selepas Asar, selepas Maghrib dan selepas Isyak akan menyebabkan penyakit tertentu. Mungkin ianya pengalaman yang berlaku kepada sesetengah orang, tetapi secara umumnya larangan tersebut tidak tepat dari sudut kesihatan.

drsuhazeli1Berikut adalah ulasan saya berkaitan dengan larangan mandi ini.

30 minit setelah solat Asar

Darah badan kita senantiasa panas dengan julat suhu 36.5 hingga 37.5 celcius, sesuai dengan spesies manusia sejenis mamalia yang berdarah panas. Jika kita mandi sekalipun, darah kita tidak akan berubah samaada sejuk atau terlalu panas. Keseimbangan akan tetap terjamin. Mandi tidak pada ketika ini dibolehkan dan tiada kesan kesihatan. Penat dan lelah secara lumrahnya boleh berlaku setelah kita bekerja sepanjang hari, tiada kaitan pun dengan mandi.

Setelah Maghrib

Jantung manusia bekerja sepanjang waktu, tidak mengenal penat dan lelah. Bagi orang yang normal degupannya berdetak antara 60-110 kali seminit. Tiada istilah jantung lemah kecuali orang yang diserang penyakit jantung lemah. Tiada kajian pun mengaitkan mandi selepas Maghrib atau mandi malam menyebabkan paru-paru berair. Mitos mandi malam penyebab paru-paru berair ini selalu disebarkan dalam masyarakat kita. Zaman dahulu, orang tua-tua melarang mandi malam kerana kesusahan untuk ke perigi yang berada di luar rumah. Elektrik pun tiada dan gelap malam yang menyusahkan untuk bergerak. Sekarang zaman sudah berubah.

Selepas Isyak

Jika jantung kita terhenti, pengsanlah kita atau tanda kematian. Tidak sesekali jantung kita akan istirehat atau berhenti melakukan tugasnya mengepam darah ke seluruh tubuh. Mandi selepas Isyak tidak mendatangkan mudarat kepada badan ataupun jantung berair. Malah mandi di awal pagi bukannya teknik untuk cas semula jantung. Allah jadikan jantung kita sesuatu yang unik, tidak perlu dicas atau diletakkan bateri kecuali penyakit tertentu seperti rithma jantung tidak menentu (cardiac arrytmia) yang memerlukan pacemaker.

Semoga dengan penjelasan ini boleh menghilangkan kerunsingan anda untuk terus membersihkan badan, seterusnya melakukan ibadah dengan sempurna.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
KLIA   
9.9.2017 - HARAKAHDAILY 9/9/2017

MENYAHUT kesediaan PAS Kedah ke arah kembali mentadbir kerajaan negeri, dengan ini diisytiharkan bahawa kami sayap Pemuda PAS telah bersiap di semua 36 Dun dan 15 Parlimen seluruh negeri ini bagi menghadapi PRU14. Selain sebagai jentera kerja, para Pemuda juga antara ramai yang tersenarai sebagai calon, sekali gus membayangkan kalangan Pemuda akan membarisi teraju pemerintahan.

salimkedahBerdasarkan kesedaran yang berlaku, kami yakin rakyat negeri Kedah sedang menanti untuk memberikan semula mandat kepada PAS, di mana keberanian untuk berubah itu telah pun ditunjukkan pada PRU12 tahun 2008 terdahulu. Pencapaian sepenggal pentadbiran PAS dalam memacu negeri Jelapang Padi ini dapat dinilai banding dengan pemerintahan Umno-BN selama 53 tahun sebelumnya.  

Paling penting, pastinya rakyat mendapat pengalaman berguna sepanjang lebih empat tahun BN mengambil alih tampuk Kerajaan Negeri Kedah sejak PRU13 tahun 2013 lalu. Ternyata sepanjang tempoh ini, undi rakyat telah dipersiakan dengan porak peranda politik yang dilakukan para pemimpin BN Kedah. Sesama mereka sibuk berebut jawatan hingga berlaku pertukaran Menteri Besar dan penyingkiran.

Natijahnya, Kedah kosong dari pencapaian memberangsangkan dalam banyak segi. Hanya gah dengan tindakan kosmetik dan jangka pendek yang dilihat lebih bermotif meraih sokongan. Malah, segala janji ditabur dalam Manifesto BN PRU13, tidak juga tertunai hingga kini. Begitu juga Enam Projek Ikonik yang pernah dikemukakan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, seakan kekal menjadi mimpi.

Kalangan pemimpin Umno-BN yang sedang mengisi kerusi pentadbiran kerajaan negeri ketika ini pula, ternyata tandus wawasan untuk memacu masa depan Kedah. Sudahlah begitu, ada antara mereka merupakan pemimpin yang korup dan terkait dengan skandal penyelewengan lampau. Sudah tentu, tanggungjawab pemerintahan tidak sewajarnya diserahkan kepada mereka yang curang dan tiada integriti.  

Rakyat selaku pengundi juga perlu waspada agar tidak terpedaya untuk bereksperimen memberi undi kepada parti-parti Pakatan Harapan (PH). Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menunjukkan taring sebenarnya, serta bukti dominasi DAP ke atas PH. Ia membenarkan sama sekali kenyataan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi bahawa undi PH bererti memberi undi kepada DAP.

Kit Siang telah menggesa supaya PH tidak mensia-siakan potensi di Kedah dengan meletakkan parti yang tidak berpeluang menang tanpa menyebut parti dimaksudkannya. Beliau juga menamakan empat Dun iaitu Ayer Hangat, Kuah, Bukit Kayu Hitam dan Jitra sebagai kubu kuat BN yang perlu dimenangi PH. Serta Kit Siang mahu kerusi Dun Gurun dan Kulim diberikan kepada DAP.

Malah, beliau menekankan PH harus menunjukkan perpaduan lebih kukuh dan mantap. Semua katanya itu jika dirangkumkan, dapat difahami betapa ia berupa terma ‘perintah atau arahan’. Kit Siang telah membayangkan antara PAN, PPBM dan PKR; terdapat parti yang tidak berpeluang bertanding di Kedah. Ketika sama, beliau menyimpangkan fokus palsu dengan ‘Misi Mustahil’ di empat Dun tersebut.

Pada semua strategi diatur itu, beliau meletakkan jaminan menambah sekurang-kurangnya dua kerusi bagi DAP, sekali gus menjadi langkah melebarkan pengaruh di negeri ini. Inilah liciknya DAP yang tentunya juga akan menggunakan seluruh kekayaan dimiliki parti itu untuk memastikan rakan PH dipengaruhi mereka. Rakyat negeri Kedah perlu hindari diri agar tidak terjebak ke kancah dicaturkan ini.

Mendirikan semula ‘Kedah Sejahtera’, kami akan mengangkat gagasan untuk memberdayakan Kedah menjadi Hub Pendidikan Islam dan Pembangunan Insan, serta Hub Halal di rantau ini. Ia akan ditampilkan sebagai satu bentuk sumbangan penting Kedah kepada negara. Signifikan kepada gagasan ini adalah atas kompetensi, wibawa serta pengalaman dimiliki oleh rata-rata Pemuda PAS Kedah.

Malah, ketiga-tiga perkara ini adalah asas kepada sektor lain yang sentiasa berkembang sama ada pengurusan, pembangunan, ekonomi, teknologi, sosial dan sebagainya. Kerana kami melihat, Kedah mempunyai akar sejarah, prasarana yang banyak serta tenaga ramai dan berkemampuan untuk menjana Pendidikan Islam dan Pembangunan Insan ke satu mercu terunggul bagi rantau ini.

Kami mahu kelak ianya akan mengenalkan Kedah dengan julukan ‘Serambi Al-Azhar’ di mana seluruh institusi berkaitan yang ada dalam negeri ini akan disatu dan disepadukan; dari pengasuhan bayi hingga pengajian tertinggi. Begitu juga Pembangunan Insan, mensasarkan Kedah khususnya dan negara amnya kepada pengurangan sebanyak mungkin penjara sedia ada.

Bermakna, menjadi tempat terpenting dalam pemulihan masalah-masalah sosial yang teruk melanda dewasa ini. Manakala sumber utama bagi Hub Halal, akan didukung oleh pelbagai aktiviti berkaitannya daripada daya berdikari para penduduk negeri ini dengan bantuan aktif agensi-agensi kerajaan. Ia bukan sahaja mewujudkan pasaran murah, tetapi juga pendapatan buat kebanyakan penduduk.

Dengan segala sumber dimiliki, di samping faktor lain; antaranya laluan kereta api, serta berjiran dengan Pulau Pinang yang ada pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa, hub halal sememangnya berpotensi di Kedah. Ditambah pula dekat dengan Thailand yang terkehadapan dalam sektor pertanian. Hanya perlu diperkasakan lagi dengan latihan kemahiran dan inovasi kepada mereka yang terlibat.

Hasrat dalam mengutarakan gagasan ini akan kami bawa sebagai satu suara dari kalangan wakil Pemuda yang berada dalam kepimpinan kerajaan, seterusnya didukung pelaksanaannya juga oleh Pemuda. Kami kini bersedia memikulnya dan menyeru rakyat negeri Kedah untuk bersama agar impian ini tercapai dan legasi Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak dihebatkan lagi.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ SALIM MAHMOOD
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
9 September 2017 | 18 Zulhijjah 1438 - HARAKAHDAILY 9/9/2017                      

KETIKA lemah mereka merapatkan diri kepada PAS untuk berpaut 'minta nyawa'.

Setelah merasa kuat, sikap mereka terhadap PAS sangat luar biasa seolah-olah PAS tiada sebarang jasa.

Mereka itu antaranya ialah Umno dan PKR. DAP juga pernah hampir nak bertanding PRU13 pakai lambang bulan.

Dr AzmanKita yakin walau bagaimanapun diperlakukan, PAS akan terus kuat. Kekuatan PAS kerana dua tonggak. Yang pertama kerana Islam teras perjuangan. Yang kedua kekuatan akar umbi kita. PAS mempunyai 7,000 cawangan seluruh negara dan 195 kawasan daripada keseluruhan 222 kawasan parlimen di seluruh negara.

Hanya Umno satu-satunya parti mempunyai kawasan (bahagian) melebihi jumlah yang dimiliki oleh PAS. Bezanya Umno kuat dengan senjata 3M iaitu money, machinery dan media.

PAS ada money walau tak sebanyak Umno dan Umno tak pernah hulur money kepada PAS. Machinery bagi Umno ialah segala kekuatan jentera kerajaan. Bagi PAS pula kita ada jentera petugas di segenap peringkat akar umbi yang sangat komited. Media bagi Umno ialah segala macam media arus perdana yang dioperasikan dengan dana yang melimpah termasuk wang rakyat demi menjayakan perang media Umno. Walau media PAS tak setanding dengan Umno, kita mampu fight di medan ini.

Tapi kita memiliki kekuatan yang tak dimiliki oleh mana-mana parti politik lain. Kekuatan Islam sebagai teras perjuangan! Dengan Islam, cahaya perjuangan PAS tak akan mampu dipadamkan. Kerana cahaya Islam dari Allah. Mana mungkin manusia mampu memadamkan cahaya Allah.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
9 September 2017 - HARAKAHDAILY 9/9/2017                   

PAS telah bersetuju menerima sistem demokrasi berparlimen menerusi pilihan raya sebagai salah satu uslubud-da’wah berdasarkan manhaj al-Qur‘an dan Sunnah yang menjadi dasar perjalanan parti sejak tahun 1951 hingga kini. Sehubungan itu, bagi mendepani PRU14, kami Pemuda PAS telah meletakkan objektif untuk menguasai sekurang-kurangnya 60 peratus undi orang muda di setiap Dun dan Parlimen yang ditandingi oleh PAS.

khalil2Kami akan memikul tugas untuk menggerakkan anak-anak muda di setiap Dun dan Parlimen bagi melakukan perubahan kepada negara mengikut tema ke arah mendaulatkan Islam dalam kerangka Perlembagaan sedia ada. Maka sebagai sayap kanan parti, insya-Allah kami sedang menggerakkan seluruh jentera Pemuda bagi menghadapi PRU14 yang akan tiba pada bila-bila masa; tidak tahun ini, pastinya tahun hadapan.

Demi sesungguhnya, kita kini sedang menanti untuk memuktamadkan percaturan politik murahan mereka yang menentang Islam. Medan PRU14 ini pastinya cukup hebat sehinggakan ada yang menjangkakan pertembungan dua kelompok besar iaitu satu kelompok mahu memartabatkan Islam, dan sekelompok lagi tidak mahu Islam dimartabatkan. Inilah lanskap politik sedang berada di hadapan rakyat dan penentuannya sangat dekat.

Ingin ditegaskan, bahawa kami berdiri teguh sepenuhnya di belakang saf pimpinan bagi melaksanakan agenda mempersadakan Islam sebagai Agama Negara dengan pendekatan ‘Matang dan Sejahtera’ yang diambil oleh PAS sekarang ini. Melaksanakan "ta‘awun ‘ala al-birr wa al-taqwa" dan tidak "ta‘awun ‘ala al-ismi wal-‘udwaan", adalah pendekatan terbaik yang mengikut manhaj al-Qur‘an dan al-Sunnah.

Kami mengambil ‘queue’ daripada barisan kepimpinan ulama untuk meniupkan semboyan ke medan tempur. Sehingga kini arah tuju PAS dalam PRU14 adalah berdiri sendiri bersama dengan parti-parti politik dan NGOs dalam wadah sebagai Blok Politik Ketiga bernama ‘Gagasan Sejahtera’. Blok ini akan berhadapan Blok Pertama; Umno dengan Barisan Nasional (BN) dan Blok Kedua; DAP serta sekutu Pakatan Harapan (PH).

Jangan menganggap ketidakupayaan PAS memerintah seluruh negara sejak 1955 hingga kini menerusi sistem pilihan raya sebagai tanda kami di landasan yang silap. Sebaliknya kami yakin dan akan terus istiqamah di jalan ini. Demi sesungguhnya, kami berjuang dengan ingatan bahawa Allah SWT tidak bertanya mengenai hasil dakwah diperolehi, tetapi kami akan dipersoalkan perkara yang diusahakan sepanjang usia diberikan.

Kami yakini, Kedah akan dapat kembali diperintah sebagaimana PAS pernah mendapatnya pada PRU12 dahulu. PAS di Kedah telah bertapak kukuh dengan pengalamannya, serta teruji dengan sejarah perjuangan yang menyemarakkan kebangkitan. Peristiwa Memali, Lubuk Merbau dan rampasan tanah Muassasah Darul Ulum serta tokoh-tokoh pernah dilahirkannya, mengenalkan semangat dan roh yang membara di negeri ini.

Kami dapati, sahabat Pemuda PAS Kedah sedang cukup bersedia menempuh mehnah PRU14 di semua 36 Dun dan 15 Parlimen seluruh negeri ini dalam keadaan jentera yang cukup baik. Malah, mereka bersedia untuk menurunkan BN yang sarat dengan bebanan dan masalah untuk tidak terus diteraju kuasa. Bahkan, kemampuan Pemuda PAS Kedah tentunya mengatasi PH yang masih tidak sepakat dan celaru, serta rela ditentu nasib oleh DAP.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia                        
9 September 2017 | 18 Zulhijjah 1438 - HARAKAHDAILY 9/9/2017

SEJAK beberapa minggu lepas, tidak kurang daripada 164,000 orang Islam Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh bagi menyelamatkan diri mereka daripada kekejaman tentera junta Myanmar yang membakar kediaman dan kampung mereka serta melakukan pembunuhan besar-besaran.

nasrudinOperasi penghapusan etnik Rohingya di Arakan yang semakin meruncing mutakhir ini tidak sedikit pun mendapat simpati dan empati daripada Kerajaan Myanmar.

Bahkan, kerajaan negara itu bersikap sengaja membutakan mata mereka terhadap krisis kemanusiaan ini dan memekakkan telinga mereka terhadap kutukan dan kecaman yang disuarakan oleh komuniti antarabangsa.

PAS percaya bahawa Malaysia, selaku negara anggota ASEAN yang dihormati oleh negara-negara anggota yang lain, boleh dan mesti memainkan peranan yang lebih besar bagi menyelesaikan isu kemanusiaan yang melibatkan umat Islam ini.

PAS menggesa Kerajaan Malaysia agar:

i. Mengadakan satu Sidang Khas Parlimen bagi membincangkan isu ini, justeru suatu pelan tindakan yang melibatkan pelbagai pihak dan sudut dapat dilulus dan dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

ii. Memberikan kata dua kepada Kerajaan Myanmar sama ada segera menamatkan penindasan ke atas Muslim Rohingya atau bersedia untuk menyambut kepulangan rakyat mereka yang kini berada negara ini.

iii. Menganjur Mesyuarat Tergempar negara-negara ummat Islam yang mengambil berat isu Rohingya seperti Turki, Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan lainnya supaya mewujudkan Pasukan Pengaman dan menghantarnya ke Mynmar.

PAS juga menyeru dan merayu seluruh umat Islam agar sentiasa memohon keselamatan dan kesejahteraan buat masyarakat Rohingya dengan memanjatkan doa Qunut Nazilah khususnya pada hari Jumaat yang mulia ini.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat / Ahli Parlimen Temerloh
18 Zulhijjah 1438 / 9 September 2017 - HARAKAHDAILY 9/9/2017

More Articles ...