24
Wed, Apr
25 Artikel Baru

BUDAYA Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) secara umumnya digagaskan oleh Presiden PAS pada tahun 2015. Tetapi kriteria-kriteria BPMS sebenarnya telah dicanangkan lebih awal daripada itu. Fasa pertama dalam mendefinisikan BPMS telahpun selesai. Kini sedang memasuki fasa kedua iaitu merakyatkan BPMS.

Tetapi masih ada yang belum memahami BPMS secara yang digariskan. Kebanyakan lebih terpengaruh dengan persepsi yang sengaja dicipta oleh media. Lebih melabelkan BPMS secara simplistik tanpa mengambil kira konsep sebagaimana yang diceduk dari al-Quran dan Sunnah.

Persepsi paling popular dilabelkan terhadap BPMS adalah PAS mahu berbaik dengan Umno. Kononnya PAS sudah tidak menganggap Umno sebagai musuh politik. PAS dan Umno sudah tiada beza. PAS dan Umno bakal bersatu!

Persepsi ini paling cepat membentuk di minda pemerhati politik yang berakal pendek. Ini kerana ia dimainkan oleh media pro PH dan Umno sendiri. PH mahu menggambarkan PAS mahu bergabung dengan Umno, supaya dapat menjustifikasikan kenapa mereka melawan PAS sekarang. Umno pula memang suka kalau PAS bergabung dengan mereka, kerana mahu menumpang sokongan PAS.

BPMS antara PAS-Umno

Kini timbul dua isu yang membelenggu sebahagian pihak. Pertamanya berkaitan aplikasi BPMS dalam hubungan PAS dan Umno. Sebenarnya bukan bermaksud mahu bergabung, tetapi lebih kepada merubah pendekatan PAS dalam menghadapi Umno.

Kalau dulu kita mengambil sikap menganggap Umno dan seluruh ahlinya umpama najis, tapi kini kita mendidik ahli PAS terutama supaya melihat ahli Umno sebagai mad'u.

Bukankah ini ajaran al-Quran yang menyebut tentang cara Nabi Musa menghadap Firaun yang Mahazalim?

Kalau dulu kita menolak semua dari Umno, sehingga popular khatimah 'segala yang baik dari Allah yang buruk dari Umno', kini kita melihat perkara ini secara lebih rasional. Kalau benar ada yang baik daripada Umno, kita sokong dan bantu dalam bab tersebut. Titik yang salah kita tetap lawan.

Bukankah ini yang diajar al-Quran untuk bertolong menolong dalam perkara baik dan taqwa?

Kalau dulu segala tuduhan pada Umno kita percaya terus walau tanpa bukti, dan kadang-kadang kita mencipta tuduhan palsu, tetapi kini kita mengutamakan fakta dan kebenarannya. Supaya tidak menjadi penyambung lidah syaitan.

Bukankah al-Quran mengajar supaya berlaku adil walaupun mereka sudah memiliki rekod jenayah?

Untung rugi BPMS

Perkara kedua yang menjadi pertelingkahan adalah tanggapan kononnya BPMS tidak sesuai untuk masa depan politik PAS. Kata mereka, walaupun BPMS secara prinsipnya baik, tetapi secara politik ia merugikan. Ini kerana mereka menganggap BPMS menyebabkan PAS ditohmah bergabung dengan Umno. Dan tohmahan ini telah menyebabkan PAS hilang sokongan.

Mereka lebih selesa dengan sikap dahulu. Lawan cacang dengan Umno. Kebanyakan pandangan ini datang dari mereka yang sudah terbiasa berperang dengan Umno. Sangat janggal kalau tak kutuk Umno sehari. Rasa berdosa kalau dekati orang Umno. Macam PAS dah lari dari landasan perjuangan Islam.

Dakwaan PAS hilang sokongan adalah bercanggah dari realiti. Mengikut fakta yang ada, sokongan terhadap PAS meningkat drastik sejak mendingin dengan PR, dan terus meningkat apabila mempopularkan BPMS.

Lihat jumlah pendaftaran keahlian PAS seluruh negara. Yang keluar masuk PAN tak sampai 100, tapi yang masuk ribu-ribu sebulan. Kalau yang sanggup menjadi ahli pun sudah bertambah ribu setiap bulan, yang minat dan menyokong apatah lagi.

Kajian trend sokongan kaum melayu sebagai kuasa politik teras negara juga semakin meningkat. Terbaru maklumat dari sebuah badan kajian menunjukkan pertambahan sokongan melayu kepada PAS meningkat lagi, walaupun beberapa bulan lalu badan tersebut baru sahaja melaporkan PAS sudah mendahului mana-mana parti yang lain.

Belum lagi diambil kira populariti PAS menerusi undian media sosial. Walaupun ia bukanlah mekanisme yang kuat, tetapi trend yang kita lihat adalah berpihak kepada PAS secara konsisten. Polling di Facebook tak kira yang dibuat oleh page pro BN, PAN, PKR, DAP, PPBM, atau non partisan, menunjukkan keputusan yang sama. PAS mendahului! Setidaknya ia boleh diambil sebagai salah satu petunjuk trend sokongan golongan muda.

Undi teras PAS tidak hilang kerana keahlian semakin bertambah. Undi atas pagar pula semangkin meningkat berasaskan kajian terkini luar dan dalam. Jangan dicampur aduk kajian sokongan keseluruhan kaum, kerana sasaran utama PAS adalah penyokong Islam-melayu.

Perkembangan ini amat menguntungkan PAS terutama di sempadan politik yang didominasi orang Melayu. 3 Negeri melayu teramai seperti Terengganu, Kelantan dan Perlis sudah boleh bersedia untuk meneraju pentadbiran pasca PRU14 nanti.

Hakikatnya, perkara-perkara ini tidak berlaku sebelum BPMS diperkenalkan. Maka secara konsensusnya, BPMS jauh lebih menguntungkan PAS dari persepsi yang dicipta sebahagian pihak.

Baju yang cuba ditanggal

Jika diamati, seolah-olah ada cubaan terancang untuk mengganggu trend sokongan terhadap PAS yang semakin baik ini. Ada pihak sedang merancang untuk memburukkan BPMS, supaya PAS mengkaji balik pendekatan ini. Saraf halus sedang dicipta melalui media, dan dipanjang menerusi ejen-ejen yang tidak bertanggungjawab.

Apa yang dapat dihidu, sebenarnya ia adalah mainan untuk membawa PAS kembali kepada strategi PRU13, iaitu bersama DAP dan sekutu bagi menghadapi PRU14 nanti. Digunakan sentimen PAS mahu bergabung dengan Umno, untuk mencapai matlamat PAS kembali bergabung dengan DAP dan sekutu.

Waspada dengan jarum halus ini. Bina anti-virus secukupnya. Jangan sampai termakan dengan hasutan. Kerana jika kembali bersama DAP, akan mematikan sokongan yang sedang meningkat pada PAS sekarang.

Motif hasutan ini hanya satu, bagi menumpang sokongan PAS untuk memenangkan DAP dan sekutu sahaja!

Jangan masuk lubang sama kali ketiga. - HARAKAHDAILY 6/8/2017

bpms

POLITIK Malaysia kini memasuki fasa ‘political taunting’. Adegan taunting yang paling menarik sekarang ialah permainan saling melondeh antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
 
tunM LDr Mahathir sedang menggunakan taktik memisahkan musuh, satu taktik lapuk yang sering diulang kerana keberkesanannya untuk memecahkan lawan dengan mewujudkan keraguan terhadap kesetiaan TPM terhadap bosnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
 
Taktik ini sangat mujarab sekiranya pihak yang melancarkan serangan itu sudah dapat mengesan sudah ada retakan di dalam pihak musuh.
 
Dr Mahathir sedang memasang pancing untuk kem yang anti-TPM di dalam Umno untuk bertindak.
 
Sekiranya ada pihak di sebelah kem PM yang tidak senang dengan TPM, golongan ini sudah pasti akan termakan pancing yang dipasang Dr Mahathir lalu mengambil kesempatan menggunakan serangan Dr Mahathir untuk menimbulkan keraguan yang lebih mendalam terhadap kesetiaan TPM kepada Najib.
 
Pada ketika ini, TPM perlu bertindak secara berhati-hati, sama ada dari segi lisan, tulisan mahupun tindakan supaya pancing yang dipancing oleh Dr Mahathir tidak mengena. Sebarang kesilapan daripada TPM yang mewujudkan persepsi bahawa serangan Dr Mahathir mempunyai merit akan menyusahkan beliau sendiri.
 
Salah satu cara untuk mengelak pancing Dr Mahathir ialah dengan menyerang Dr Mahathir kembali dari setiap pelosok. Dan itu yang sedang dilakukan TPM sekarang.
 
Serangan balas TPM terhadap Dr Mahathir bukanlah serangan sembrono. Setiap serangannya dialas dengan umpan untuk menimbulkan keraguan para pengundi tegar Umno-BN, terutamanya para pengundi orang Melayu terhadap Dr Mahathir dan Pakatan Harapan.
 
Sebaliknya, serangan TPM terhadap Dr Mahathir telah meletakkan bekas perdana menteri itu dalam keadaan defensif.
 
Pasukan Dr Mahathir terpaksa menjawab soalan mengenai asal-usul keluarganya. Serangan Dr Mahathir terhadap kekayaan TPM pula menimbulkan keraguan terhadap kekayaan anak-anaknya. Kini, TPM menimbulkan isu Memali dan mengumpan Dr Mahathir berlawan di gelanggangnya.
 
Kesilapan terbesar Dr Mahathir di dalam perang persepsi terhadap TPM ialah menimbulkan dakwaan RM230 juta.
 
Dakwaan ini menimbulkan keraguan kepada Dr Mahathir sendiri, mengapa ketika beliau selaku Perdana Menteri tidak mengarahkan siasatan terhadap kekayaan TPM yang ketika itu bersama Pemuda Umno? Bukan itu sejenis salah guna kuasa?
 
TPM pula melakukan kesilapan dengan mendedahkan bahawa beliau mempunyai bukti rakaman seorang bekas pemimpin Umno yang mencadangkan agar Najib dijatuhkan sebagai perdana menteri melalui undi tidak percaya di Parlimen.
 
Jika benar, apakah beliau telah mendedahkannya kepada Najib ketika ia berlaku? Jika tidak, ini akan menyebabkan pancing Dr Mahathir akan terkena kerana kesetiaan beliau terhadap Najib akan dipersoalkan meskipun tidak secara zahir.
 
Setakat ini, kelihatan pancing Dr Mahathir tidak mengena. Tiada ahli Umno yang mempersoalkan kesetiaan TPM terhadap Najib, malah serangan Dr Mahathir telah mengukuhkan kesetiaan TPM terhadap Najib.
 
Cuma taktik memisahkan musuh yang dipasang Dr Mahathir ini bagaikan duri lalang. Ia boleh berpanjangan yang amat sangat. Sama ada ia berjaya atau tidak, kita hanya akan tahu selepas PRU14 dan siapa perdana menterinya ketika itu. - HARAKAHDAILY 6/8/2017                     

"KITA terima kasih banyak-banyak. Orang PAS memang pemurah termasuk pemurah untuk derma darah. Hadir buat program kempen derma darah di mana-mana event anjuran PAS memang tak pernah mengecewakan. Kita tak kisah, ke mana dijemput kita pergi sebab kita buat kerja. Bukan kita nak berpolitik dengan darah," komen yang diberikan oleh seorang kakitangan Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu yang hadir menyertai kempen derma darah sempena Karnival Dun Jabi.

"Alhamdulillah... saya tengok semua darah yang didermakan warna merah. Tak ada yang colour hijau," jawab saya sambil bergurau.

Warna darah sama merah adalah bukti bahawa secara fitrahnya kita semua sama. Walau ada perbezaan, manusia tetap mempunyai titik pertemuan dan persamaan. Mungkin kita ada berbeza pendapat, sikap dan pendirian atas sesuatu perkara, tapi kita boleh bersama atas nama Islam. Islam boleh menyatukan kita. Kerana itu PAS mengajak mari bersama kita mencari kesejahteraan bersama Islam.

Karnival Dun Jabi yang berlangsung selama 3 hari 3 malam bermula 2-5 Ogos 2017 disasarkan untuk menjadi medan bertemu mata dan menghubungkan silaturrahim bagi masyarakat Jabi dari segenap lapisan masyarakat.

Kita terjemahkan budaya politik matang dan sejahtera dengan penganjuran satu program kemasyarakatan bersepadu di bawah satu bumbung karnival di mana di sini ada lontaran ilmu dengan Program Bicara Ilmu oleh Kiyai Dr Haji Ahmad Najib Afandi dari Pesantren al-Hikmah Jawa Tengah. Diteruskan lagi dengan program santai tapi sarat dengan ilmu oleh Ustaz Azhar Idrus dalam Program Santai Petang yang menyaksikan Dataran PGU Jabi dipenuhi oleh ribuan pengunjung.

Saya sangat menghargai kerjasama Jabatan Kerajaan seperti JPJ, Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah dan SPR yang sudi hadir memberikan khidmat. Juga kepada Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina (Papisma).

Pentas Karnival Dun Jabi juga dibuka sebagai medan  pengajian ilmu politik dengan penampilan pimpinan utama parti antaranya Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Haji Hussain Awang dan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menyampaikan ceramah. Kita sediakan pentas untuk masyarakat mendapat maklumat dan penjelasan langsung dari pimpinan parti dengan harapan ada kekeliruan yang dapat dirungkai.

Tak terkecuali acara kanak-kanak, muslimat, pemuda serta acara santai sukan rakyat. Islam tak melarang kita berhibur.

Lebih 50 gerai jualan dengan pelbagai produk dan barangan disediakan. Peminat seni hiburan Islam juga tak dihampakan.

Saya melihat kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan lapisan masyarakat ke program anjuran PAS adalah signal bahawa tembok yang memisahkan PAS dengan masyarakat sudah semakin menipis. Jurang pemisah sudah semakin mengecil. PAS sudah berjaya membawa budaya politik damai penuh kasih sayang dalam masyarakat walau cuba dibayangi dengan politik persepsi penuh prasangka dari lawan-lawan politik.

Dr Azman Ibrahim
Pengarah MTD Jabi merangkap AJK PAS Pusat  

jabi1                     jabi2

jabi3

DUA daripada 12 tawaran PAS Pahang kepada rakyat yang diumumkan oleh pimpinan PAS dalam satu majlis di Kuantan baru-baru ini, menunjukkan PAS serius untuk memerintah Pahang selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 14 jika diberi mandat.

Malah bukan sahaja serius, tetapi juga bersedia menjadi kerajaan berkebajikan dan mesra rakyat. Sekali gus tidak terjebak dengan politik adu domba dan sekadar laungan retorik semata-mata.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam majlis minum petang bersama wartawan mengakui “PAS bersedia memerintah Pahang”.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu pula dalam majlis berkenaan menyebut komitmen PAS ialah ‘mengagihkan tanah lot rumah berukuran 30 x 50 kaki persegi kepada rakyat yang layak’.

Tawaran kedua ialah ‘membangunkan semula tanah-tanah terbiar untuk kegunaan belia-belia Pahang dan Felda’.

Seperti disedari umum, masalah tanah dan penempatan merupakan isu kritikal yang sebahagiannya gagal ditangani oleh kerajaan yang ada.

Bayangkan sebuah keluarga yang pada asalnya berada di atas seekar tanah, apabila berkembang biak kepada generasi kedua dan ketiga tapak untuk membina kediaman sudah begitu sempit dan kesukaran ini ditambah lagi dengan nilai hartanah yang melambung di pasaran. Ini sudah tentu memeritkan bagi anggota keluarga yang agak kurang bernasib baik.

Jadi di situlah relevannya tawaran PAS di mana sekiranya PAS diberi mandat mentadbir kerajaan negeri Pahang maka perhatian difokuskan kepada menyelesaikan permasalahan utama ini iaitu keperluan tapak rumah kepada rakyat khususnya golongan muda yang tidak berumah dan bertanah.

Tawaran kedua pula ialah berkait dengan pemilikan tanah dan kerjaya.

Sebagai negeri yang paling luas di Semenanjung, Pahang memiliki banjaran tanah tinggi, hutan tropika, hingga ke jajaran sungai dan lembah yang subur.

Menurut perangkaan tahun 2014, Pahang memiliki 34,293.27 hektar atau hampir lapan puluh lima ribu ekar tanah terbiar di seluruh negeri ini. Walhal muka buminya begitu subur untuk aktiviti pertanian.

Selama ini kita melihat kerajaan yang ada gagal memartabatkan pertanian sebagai sumber utama. Malahan Malaysia sendiri membelanjakan RM92 juta sehari untuk mengimport makanan berasaskan pertanian, tahun lalu. Dan angka ini menjangkau RM27.93 bilion dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Ini sudah tentu amat memeranjatkan dan membuktikan kebergantungan negara kepada hasil makanan import. Secara langsung membuktikan betapa lemahnya pengurusan negara. Bayangkan jika berlaku krisis makanan dunia sudah tentu memberikan kesan yang besar kepada rakyat.

Bayangkan pula jika berlaku kenaikan harga sumber makanan ini di pasaran dunia. Tidak dapat tidak situasi ini akan lebih memeritkan rakyat.

Sementara itu Jabatan Tenaga Buruh pula menganggarkan terdapat kira-kira 400,000 belia yang menganggur ketika ini.

Justeru jika dapat dioptimumkan penggunaan tanah dan mencapai produktiviti hasil pertanian yang tinggi dan berdaya maju, pembangunan tanah-tanah terbiar tadi semestinya dapat menyelesaikan banyak masalah.

Jadi tawaran PAS yang komited untuk membangunkan tanah terbiar ini sudah tentu dapat menangani masalah belia-belia negeri ini khusus kepada yang tidak bertanah. Kedua, dapat mengurangkan masalah pengangguran. Dan ketiga, berupaya meningkatkan hasil pemakanan berasaskan pertanian komersil.

Hasil daripada itu juga berpotensi menjana ekonomi setempat sekali gus membuka peluang kepada belia-belia di negeri ini termasuk di tanah rancangan Felda mengkomersilkan hasil tanaman mereka ke peringkat dalam dan luar negara.

"ALHAMDULILLAH, Mak Aji saya sudah luluskan untuk cucuk vaksin haji. Paras darah memuaskan pada masa ni. Saya doakan Mak Aji dipermudahkan segala urusan perjalanan, sihat tubuh badan dan dikurniakan haji mabrur," kata-kata akhirku kepada seorang bakal Duyufurrahman di sesi pemeriksaan kesihatan haji. Saya selesa berbahasakan 'Mak Aji' walaupun beliau masih belum menunaikan haji. Rasa lebih mesra dan santun. Beliau adalah pengidap kencing manis kronik. Bacaan awal semasa bertemu saya amat tidak terkawal. Setelah ubat dioptimakan, akhirnya bacaan paras gula amat menakjubkan. Boleh pula beliau kawal pemakanan dan patuhi ubat-ubatan. Semangat membuak-buak untuk menunaikan haji.

"Terima kasih doktor. Syukur," sahut beliau ringkas dalam nada sebak. Matanya kelihatan berkaca.

dr suhazeli"Saya akan bekalkan ubat untuk Mak Aji selama 2 bulan." Nasihat ringkas saya. Jemaah haji akan berada di tanah suci paling minimum 40 hari, bermakna ubat-ubatan yang akan dibekalkan paling minima pun sebulan setengah. Mengambil beberapa situasi, kebiasaannya jemaah haji akan hadir semula ke klinik 2 minggu sekembalinya dari tanah suci, tempoh 2 bulan amat sesuai ubat dibekalkan.

Nasihat saya kepada semua jemaah haji yang mempunyai penyakit kronik, sediakan bekalan ubat secukupnya. Jangan kita mengharapkan ubatan anda disediakan oleh Tabung Haji semasa di sana. Memang benar, Tabung Haji bersama dengan KKM menyediakan perkhidmatan kesihatan, tetapi kemungkinan ubat-ubatan yang didapati di sana tidak bertepatan dengan jenama ubat yang biasa diambil oleh anda.

Sebagai duyufurrahman perkara-perkara berikut boleh diambil kecaknaan.

1) Pastikan betul-betul pihak farmasi membekalkan ubat anda secukupnya. Ini kerana sesetengah ahli farmasi hanya akan keluarkan ubat selama satu bulan sahaja. Ini adalah polisi biasa yang telah dikeluarkan bagi pendispensan ubat-ubat penyakit kronik. Bagi para pesakit biasa, tidak menjadi masalah untuk mengambil ubat mereka sebulan sekali. Namun kepada jemaah haji, mereka perlu memberitahu kepada ahli farmasi supaya bekalan diberikan secukupnya. Paling minimum dua bulan. Tunjukkan buku pemeriksaan haji atau apa-apa dokumen yang membuktikan anda sebagai jemaah haji. Atau, boleh sahaja kembali semula ke bilik doktor untuk mereka memaklumkan kepada ahli farmasi situasi anda.

2) Pastikan juga ubat-ubatan dilabel dengan sempurna bagi mengelakkan kekeliruan. Terdapat jemaah haji yang sudah berumur, sebelum ini hanya mengharapkan anak mereka menguruskan pengambilan ubat. Tanpa mereka sedari dan ketahui jenis ubat dan bila masa untuk dimakan. Kali ini, di tanah suci para jemaah berkenaan harus berdikari. Perlu mengenal ubat yang biasa dimakan. Proses pengenalan ubat ini lebih senang dengan membuat label sesuai. Pihak Tabung Haji menyediakan khidmat kesihatan dan perubatan sepanjang masa. Pegawai yang ditugaskan sepanjang musim haji bersedia untuk membantu memberikan kaunseling kepada anda. Jangan segan silu untuk bertemu mesra dengan mereka.

3) Senarai pertama yang patut diletakkan dalam bagasi anda adalah ubat-ubatan. Pesakit yang perihatin mengenai kesihatan mereka, sudah pasti ingat jenis ubat, bagaimana cara mengambil dan bila masanya. Bagi memudahkan, beli bekas kedap udara dan dilabelkan khas ubat supaya senang dicapai apabila masanya sampai. Bawa jumlah yang secukupnya mengikut jumlah hari yang anda rancang berada di kampung. Jadikan ubat-ubatan ini sama penting dengan kad pengenalan anda. Wajib dibawa ke mana-mana sahaja.

4) Pesakit yang menggunakan insulin, ingat betul-betul tatacara membawa ubat insulin dalam perjalanan ke tanah yang barokah itu. Jangan jadikan alasan susah membawa insulin ini kerana teknologi terkini insulin sudah tersedia-kekal dalam pen. Bukannya lagi dalam botol-botol insulin seperti dahulu kala.

i) Anda boleh membawa pen insulin tersebut tanpa menyimpannya di tempat sejuk. Ia boleh digunakan selama sebulan (30 hari) setelah dimasukkan dalam kelongsong pen insulin. Cuma elakkan ia terdedah secara terus dibawah terik matahari. Selagi berada dalam tas tangan anda, ia selamat digunakan.

ii) Jika anda merasakan insulin tidak mencukupi, anda perlu membawanya lebih. Satu kelongsong insulin biasanya mempunyai 300 unit. Kira secukupnya jumlah unit dos insulin yang akan digunakan sepanjang berada di Tanah Suci. Jika anda memerlukan cucuk sebanyak 15 unit, 2 kali sehari, bermakna jumlah sehari adalah 30 dos unit. Justeru satu kelongsong akan habis selama sepuluh hari. Andai sekiranya pihak Tabung Haji memaklumkan tempoh anda berada di sana selama 6 minggu, maka 4 atau 5 kelongsong penuh insulin wajib dibawa. Jangan lupa, jarum cucuk juga perlu dibeli lebih.

iii) Cara membawanya dalam perjalanan juga perlu dengan cermat. Masukkan kelongsong insulin tadi dalam kotak ais yang suhunya sekira-kira 4-8 ⁰C. Kemudian setelah sampai destinasi, alihkan kelongsong insulin tadi ke dalam peti sejuk. Ambil setelah anda memerlukan. Kita memahami sukar untuk mencari kotak ais yang kekal suhu sejuknya sepanjang permusafiran. Paling kurang masukkan juga ke dalam kotak ais tanpa mempedulikan suhu, balut sebaiknya agar tidak mudah terburai. Jangan terlalu rigid dalam isu ini.

Semoga dengan sedikit nasihat ini membolehkan ibadah anda di tanah suci nanti lebih sempurna.

AKHIRNYA setelah berusaha lebih 8 tahun, perjuangan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Negeri Chempaka (PKM Chempaka) bertemu kejayaan dengan penyerahan Notis 5A kepada 20 orang penduduk Kampung Perwira Jaya.

Penduduk Jalan 6 dan 7 hari ini akan menerima Notis 5A mereka daripada YAB Dato' Menteri Besar yang sekali gus akan mengesahkan kelulusan permohonan tanah mereka. (Foto SelangorKini)

Setelah lebih 30 tahun menduduki tanah mereka, impian mereka telah menjadi kenyataan hasil doa dan kesabaran mereka.

PKM Chempaka tidak pernah merasa penat atau berputus asa untuk memastikan penduduk mendapat hak mereka walaupun tugas tersebut adalah tidak mudah.

Tidak mudah kerana masalah Taman Angsana Hilir yang bersebelahan perlu diselesaikan terlebih dahulu. Sebelum para pembeli taman tersebut mendapat hakmilik mereka, pemaju taman itu telah digulung dan pelikuidasi dilantik.

Akibat dari kesilapan pentadbiran sebelum ini, tanah-tanah Jalan 6 dan 7 telah dimasukkan ke dalam taman tersebut maka berada di bawah bidang kuasa pelikuidasi. Angkara pentadbiran tersebut, di dalam satu kampung ada penduduk yang menerima hakmilik dan ada penduduk yang tanahnya diserahkan kepada pemaju.

Walau bagaimanapun PKM Chempaka terus mengadakan rundingan dengan pelikuidasi dan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan untuk menyelesaikan masalah mereka di Taman Angsana Hilir dan Kg Perwira Jaya.

Terdapat 5 komponen di dalam kawasan terlibat iaitu rumah teres 2 tingkat, rumah kedai, rumah kos rendah, pangsapuri kos sederhana dan rumah kampung. Masalahnya menjadi rumit kerana salah satu blok pangsapuri kos sederhana adalah projek terbengkalai dan para pembeli telah memasukkan beratus-ratus kaveat ke dalam hakmilik utama (master title). Ini menyulitkan usaha untuk memecahkan hakmilik itu kepada hakmilik-hakmilik individu.

Tetapi hasil usaha semua pihak yang terlibat melalui rundingan, dialog dan mahkamah, hakmilik telah dipecahkan kepada komponen-komponen lebih kecil. Maka projek terbengkalai telah dapat dipulihkan, hakmilik individu untuk pemilik rumah teres 2 tingkat telah diperolehi dan pelikuidasi telah menyerahkan tanah-tanah Jalan 6 dan 7 kepada kerajaan negeri untuk diserahkan kepada penduduk yang sah.

Maka akhirnya hari ini penduduk di Jalan 6 dan 7 boleh menarik nafas lega apabila mereka akan menerima Notis 5A mereka di mana ia merupakan peringkat terakhir sebelum mereka menerima hakmilik yang sah.

PKM Chempaka akan terus berusaha agar pemilik-pemilik lain seperti di rumah kos rendah dan rumah kedai 2 tingkat mendapat hakmilik mereka.

PKM Chempaka juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk Jalan 6 dan 7 yang telah memberi sokongan dan kepercayaan kepada kami untuk menyelesaikan masalah mereka. Walaupun pada asalnya mereka kurang yakin lantaran pengalaman mereka bersama Ahli Dewan Negeri sebelum ini namun akhirnya mereka telah banyak membantu PKM Chempaka.

Terima kasih juga kepada pelikuidasi, PTG Selangor, Pentadbir Tanah Hulu Langat, MPAJ dan YAB Dato' Menteri Besar yang sudi untuk turun padang hari ini.

YB Dato' Iskandar A Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Perumahan Negeri Selangor / Ahli Dewan Negeri Chempaka
5 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 5/8/2017

PADA Rabu 2 Ogos 2017, pasukan peguam dari firma Carter-Ruck dan barrister Jacob Dean, yang mewakili Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHA) dalam saman fitnah yang diambil terhadap Clare Rewcastle Brown (CRB), di London Courts, telah menghadiri prosiding mahkamah untuk pendengaran prosiding pengurusan kes.

Saman sivil oleh TGHA itu adalah berkaitan dengan artikel yang ditulis oleh CRB pada Ogos 2016, yang memberi gambaran tuduhan dan difahami dengan jelas adalah satu fitnah, melalui tuduhan bahawa TGHA menerima rasuah dari Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Najib dengan nilaiannya RM90 juta.

Pendengaran pengurusan kes pada hari berkenaan adalah untuk menentukan usaha CRB bagi memaksa TGHA untuk mendepositkan sejumlah wang di mahkamah sebagai jaminan keselamatan, sekiranya TGHA kalah dalam kes berkenaan dan terpaksa membayar  kos guaman CRB, di mana CRB menjangkanya dalam lingkungan jumlah keseluruhan £800,000 pound (hampir RM4.5 juta) sehingga kes tamat.

Panel peguam TGHA dari Carter-Ruck berjaya berhujah, dengan dibantu oleh pandangan pakar undang-undang dari Malaysia, bahawa sebenarnya wujud undang-undang yang jelas yang tidak menghalang CRB untuk menuntut kos beliau menerusi mahkamah Malaysia sekiranya beliau menang kes saman ini dan jumlahnya tidak melebihi RM80,000 sahaja. Di atas keyakinan dari awal terhadap kes ini, maka TGHA bersetuju dengan deposit keselamatan dengan jumlah ini yang nyata adalah memadai serta tidak kontroversi.

Hujah CRB bahawa beliau akan gagal membawa kes saman terhadap TGHA di Malaysia adalah kerana Badan Kehakiman, Kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri adalah mengamalkan rasuah dan bersekongkol dengan TGHA telah ditolak oleh mahkamah di London. Mahkamah juga mendapati bahawa tuduhan serius ini tidak disokong bukti oleh CRB walaupun beliau mempunyai masa berbulan-bulan untuk berbuat demikian.

Mahkamah juga tidak menerima hujahan CRB tanpa membawa bukti, bahawa sebuah negara luar berdaulat yang mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan United Kingdom telah mengamalkan rasuah.

Mahkamah juga telah menerima tawaran TGHA untuk meletakkan wang sebanyak RM80,000 sebagai deposit keselamatan.

Hasil dari hujah kosong dalam permohonan CRB, mahkamah juga telah mengarahkan beliau membayar 2/3 (dua pertiga) dari kos yang terlibat. CRB mesti membayar £15,000 (hampir RM84,000) terhadap kos prosiding oleh TGHA, di mana kuantum pembayarannya akan di pantau oleh mahkamah.

Mahkamah juga mengarahkan CRB untuk membuat pembelaan beliau dalam tempoh 21 hari supaya kes ini dapat diteruskan dan beliau tidak lagi berlarutan untuk berdolak dalih.

Permohonan rayuan CRB terhadap keputusan ini juga telah tidak dbenarkan oleh mahkamah.

Perkembangan ini adalah sangat positif, dalam proses TGHA untuk membersihkan nama beliau terhadap tuduhan fitnah melampau oleh CRB dan artikelnya dalam Sarawak Report.

TGHA mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Mr Adam Tudor dan pasukan peguamnya dari Carter-Ruck, London dan di Malaysia.

TGHA juga mengucapkan jutaan terima kasih pada semua ahli PAS dan orang awam  yang berterusan memberikan sokongan melalui berbagai cara dalam kes ini.

TGHA juga sebenarnya dimaklumkan oleh firma Carter-Ruck bahawa Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London juga menghantar wakil dalam prosiding ini, dan telah memaklumkan bahawa kehadiran mereka adalah sebagai pemerhati prosiding kerana banyak tuduhan politik yang dibuat terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia serta Badan Kehakiman di Malaysia  oleh CRB dalam dokumen  beliau yang dikemukakan ke mahkamah.

DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Setiausaha Politik Presiden PAS – HARAKAHDAILY 5/8/2017

More Articles ...