18
Wed, Sep
31 Artikel Baru

KUALA NERUS: Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin mengajak anak muda memberi tumpuan kepada amanat khas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada kemuncak Fastaqim 2.0 malam ini.
 
Katanya, amanat itu harus digunakan sebagai motivasi perjuangan agar terus bekerja keras turun ke medan bagi memberi kefahaman khususnya para pemuda dengan pelbagai latar belakang untuk mendekatkan mereka kepada Islam.
 
"Bila mereka memahami Islam sebenar dan dasar perjuangan PAS, kita yakin sokongan anak muda pasti bertambah dan sama-sama menegakkan kalimah Allah S.W.T.
 
"Kita mesti sama-sama berdoa agar dikurniakan kepada gerakan Islam kemenangan kerana mampu menukar sistem pentadbiran yang merangkumi segala aspek, sosial, ekonomi, pengurusan negara dan lainnya," ujarnya di Pantai Tok Jembal, di sini hari ini.
 
Beliau menyifatkan penganjuran Fastaqim 2.0 amat baik bahkan majoriti yang hadir dalam Fastaqim 2.0 di kalangan pendokong dan penyokong PAS merupakan isyarat kepada persediaan PAS menghadapi PRU14 .
 
Katanya, semangat dari Fastaqim 2.0 akan dibawa pulang ke kawasan masing-masing seterusnya diterjemahkan dalam gerak kerja seluruh peringkat.
 
Asas penganjuran Fastaqim 2.0 adalah bertujuan mengumpulkan seluruh kekuatan jentera PAS dengan semangat yang baru dalam menghadapi pelbagai cabaran perjuangan akan datang. - HARAKAHDAILY 30/9/2017

HUJAN lebat dan petir berdentum malam tadi, tengok seorang mak cik tua tak berganjak dari lokasi ceramah pra Fastaqim. Hanya menutup kepalanya dengan sehelai kain. Bukan mak cik ini seorang. Malah sangat ramai lagi yang tak berganjak.

Saya tak pandai membuat anggaran. Cukuplah kalau digambarkan bahawa kehadiran ceramah pra Fastaqim malam tadi sangat luar biasa. Memang realitinya himpunan semalam berjaya membentuk satu gelombang hijau yang hebat. Gelombang yang bakal bergerak ke arah kemenangan.

Saya juga sangat menghargai tindakan pantas anggota Unit Kebajikan dan Kecemasan memberikan respons yang cepat dan berkesan ketika menangani situasi cemas ketika hujan dan petir malam tadi.

Bukan mudah nak menangani situasi cemas yang berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran di tengah-tengah lautan manusia. Ini pengalaman mahal yang ditimba secara terus dari lapangan tugas.

Sebahagian besar anggota Kor Medik Jabatan Amal dan petugas perubatan hanya dapat pulang ke tempat penginapan menjelang jam 3 pagi. Pagi ini jam 7 pagi, mereka kembali bersedia di medan untuk berkhidmat. Berbaris untuk mendengar arahan dan taklimat tugasan baru. Bersedia untuk menerima limpahan pengunjung yang berkali ganda dijangkakan lebih ramai hari ini terutama malam ceramah kemuncak nanti.

Kesesakan teruk jalan raya menambah lagi cabaran petugas kecemasan. Untuk menghantar seorang pesakit ke HSNZ Kuala Terengganu, paling cepat 40 minit masa diperlukan.

Saya bertuah menjadi salah seorang anggota Jabatan Amal untuk bertugas bersama-sama mereka. Mereka adalah hero yang tak didendang. Datang mereka mencurah bakti, pergi mereka diingati.

Dr Azman Ibrahim
Ketua Unit Kebajikan dan Kecemasan
Fastaqim 2.0
30 September 2017 - HARAKAHDAILY 30/9/2017

KUALA NERUS: Jam tepat 12.00 tengahari, tapak Fastaqim 2.0 semakin dikunjungi orang ramai dari dalam dan luar negeri Terengganu.
 
Walaupun cuaca agak panas, namun orang ramai masih berhimpun untuk mengikuti program yang disediakan, khususnya di pentas dan sekitarnya.
 
Pohon rhu yang rendang menjadi teduhan pengunjung untuk mengikuti program diatur penganjur sehingga akhir program malam ini.
 
Noriah Mokhtar, 45 dari Kedah baru tiba awal pagi tadi bersama keluarga.
 
Katanya, hadir untuk mengikuti amanat pimpinan yang akan disampaikan.
 
“Pada masa yang sama untuk bersantai bersama jemaah PAS seluruh negara,” ujarnya.
 
Orang ramai juga sedang mengikuti persembahan nasyid dari Kumpulan Hijjaz yang sedang berlangsung di pentas ketika ini. - HARAKAHDAILY 30/9/2017

KUALA NERUS: Walaupun sudah lebih 60 tahun merdeka, tetapi negara ini masih terumbang ambing disebabkan antara faktornya kerana kualiti pimpinan yang ada.
 
Timbalan Pengerusi Kongres Rakyat, Mustafa Kamil Ayub berkata, kepimpinan adalah perkara penting setiap manusia yang akan dipertanggungjawabkan.
 
"Oleh kerana itu, Malaysia memerlukan kepimpinan yang berhikmah dan berkualiti untuk memimpin negara dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempunyai sifat ini.
 
"Ini terbukti apabila Tuan Guru bukan sahaja menjadi Presiden PAS, malah beliau juga adalah pemimpin di peringkat nasional," ujar beliau pada Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, di sini semalam.
 
Katanya, hanya PAS sejak ditubuhkan mempunyai visi dan misi yang konsisten serta jelas, selain memiliki kemampuan untuk memimpin.
 
Menurut beliau lagi, pendekatan dilakukan PAS adalah bersifat sederhana, namun mampu dan berjaya menarik minat semua golongan untuk menyertai parti itu.
 
Beliau menyebut bahawa Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang menjadi pendekatan PAS kini telah mendapat sokongan penuh dari kebanyakan NGO.
 
Mustafa memetik kejayaan Rasulullah S.A.W menyatukan semua kaum sebagaimana dalam peristiwa Hijrah hingga mengembangkan Islam di dua pertiga dunia.
 
"Hal ini menunjukkan bahawa Islam mampu memerintah walaupun berada di dalam masyarakat yang berbilang agama dan bangsa dengan syarat pemimpin perlu tekad mengamalkan Islam secara keseluruhan," tegasnya. - HARAKAHDAILY 30/9/2017

KUALA NERUS: Sambutan Fastaqim 2.0 menjadi pilihan pelbagai kaum untuk hadir bersama bagi menyaksikan kekuatan pendokong PAS dari seluruh negara yang datang berkumpul sejak semalam.
 
Antara pengunjung kaum Tionghua yang tidak melepaskan peluang menjadi salah seorang peserta Fastaqim 2.0 ialah Penghulu Tanpa Mukim; Ko Kim Siong dari Dun Bukit Panau, Tanah Merah.
 
Beliau mengharapkan agar usaha mengeratkan hubungan antara kaum dalam PAS tanpa mengira sempadan bangsa bahkan semua perlu bersatu demi rakyat dan tanahair.
 
Katanya, jangan terlalu ikutkan maklumat yang disebarkan terutama berita tidak sahih, bahkan perlu sentiasa memperolehi sumber maklumat benar.
 
"Semestinya kita perlu bersama dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) saya sebagai mewakil kaum bukan Islam harapannya boleh bersatu dan berpakat dalam mendepani PRU akan datang.
 
"Perbalahan yang tidak memberikan keuntungan kepada rakyat wajar dijauhkan kerana ia hanya menghilangkan fokus sebenar dalam menghadapi PRU akan datang.
 
"Kesepakatan ini mampu menatijahkan satu kekuatan pentadbiran PAS di Malaysia," ujarnya. - HARAKAHDAILY 30/9/2017

KUALA NERUS: Islam menuntut umatnya mengamalkan kesihatan yang baik, disamping bersenam.
 
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, ini kerana akal cergas lahir dari badan yang sihat.
 
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Anak Muda Istiqamah di tapak Fastaqim 2.0 Pantai Tok Jembal, di sini pagi ini.
 
Hadir sama, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan hampir 1,000 hadir pada majlis itu.
 
Katanya, untuk beribadat perlukan stamina yang kuat, khususnya untuk mengerjakan ibadat haji.
 
“Ibadat harian pun sama, kalau kita tidak sehat, solat pun atas kerusi kerana tidak mampu berdiri. Kerana itu pentingnya menjaga kesihatan diri,” ujarnya.
 
Pada masa sama beliau mengingatkan peserta dalam pertandingan sukan, khususnya memancing menjaga keselamatan kerana malang tidak berbau dan bahaya mudah terkena.
 
Pagi ini acara ngail fastaqim, jetski edurance, kejohanan dam aji sedang dan si cilik berpakaian seragam sedang bermula di mana program pagi ini dimulakan dengan senam aerobik.
 
Beberapa program lagi akan berlangsung hari ini, antaranya pertandingan sukan air panjat tiang, acara berkuda, treasure hunt, bowling kelapa dan lain-lain lagi. - HARAKAHDAILY 30/9/2017
Fastapagi 2
 

KUALA NERUS: Para pejuang Islam tidak seharusnya merasa selesa melihat keupayaan kelompok sendiri semata-mata tanpa membuat penelitian terhadap strategi pihak musuh.
 
Peringatan itu disuarakan wakil Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pada Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, di sini semalam.
 
"Politik perlu dilihat sebagai salah satu kaedah untuk mengukuhkan Islam dan mengembalikan kuasa orang Melayu yang merupakan kuasa utama di Malaysia," ujarnya.
 
Oleh itu tegasnya, politik perlu difahami dalam ruang yang luas, bukan sekadar untuk pilihan raya semata-mata di mana proses tajdid Islam mesti mengikut manhaj tarbawi.
 
Beliau turut mengingatkan mengenai idealisme dari Barat seperti fahaman liberal yang wajib ditolak dan tidak diterima pakai sama sekali.
 
Kerana menurutnya, fahaman-fahaman berkenaan akan merosakkan lagi pemikiran rakyat terutama orang muda yang begitu mudah terpengaruh. - HARAKAHDAILY 30/9/2017

More Articles ...