20
Thu, Jun
50 Artikel Baru

DALAM siri Cabaran hidup Sebagai OKU, kami akan ketengahkan perihal cabaran yang perlu komuniti OKU depani saban hari bagi memenuhi keperluan semasa. Ada yang menyebutkan cabaran-cabaran ini sebagai kesulitan dan permasalahan harian.

Pun begitu, kami lebih condong untuk menyebutkan ia sebagai cabaran bagi mendorong jiwa-jiwa individu OKU untuk tabah menghadapi ketentuan Ilahi. Kami tabah bukan bererti kami pasrah. Lebih dari itu, kami tabah agar tetap istiqamah mensyukuri rahmat Allah S.W.T.

Dalam siri 1 ini, kami ketengahkan bagaimana cabaran yang perlu didepani oleh seorang OKU penglihatan yang perlu mencari sesuap rezeki di ibu kota. Bukannya mereka sengaja meninggalkan desa, namun demi keperluan hidup, mereka terpaksa meninggalkan keluarga.

Bukan banyak mana pun pendapatan di kota raya. Namun, itulah sahaja pilihan yang tersedia.

Situasi ini kami paparkan bagi seorang OKU yang kami sifatkan telah cekap berdikari dan hanya bergantung kepada bantuan pada tahap yang sangat minimum.

Berkerja (bukan meminta-minta) dengan pendapatan RM1200.00,  setelah ditolak itu dan ini, adalah baki sekitar RM950.00 dan elaun pekerja cacat RM350.00, ini wang yang akan dibawa untuk hidup sebulan di kota raya.

Sewa rumah di Brickfields, RM450.00. berulang-alik ke tempat kerja dengan menaiki LRT dan grabcar, RM14.00 sehari, RM280.00 bagi sebulan. Perbelanjaan bagi menampung kos-kos utiliti termasuklah air, elektrik dan telefon, RM110.00.

Berbakilah RM460.00 untuk menampung keperluan asasi/harian termasuklah makan minum, pakaian dan perbelanjaan-perbelanjaan luar jangka seumpama grabcar tanpa LRT, balik kampong dan lain-lain. Dengan hidup di Kuala Lumpur, berapa yang anda mampu bertahan dengan baki yang ada ini pada setiap bulan?

Situasi di atas tidaklah semua diperolehi oleh OKU penglihatan memandangkan peluang kerja sebagaimana yang dipaparkan di atas sangat terhadad dan terlalu minimum. Begitu pula tidak semua OKU penglihatan mampu berdikari dengan pergantungan kepada bantuan lain pada kadar yang sangat minimum.

Paparan di atas adalah cabaran yang paling asas perlu dihadapi oleh komuniti OKU umumnya dan komuniti OKU penglihatan khususnya di Malaysia. Bahkan pada kelazimannya, majoriti OKU penglihatan khususnya dan OKU umumnya berhadapan dengan cabaran yang lebih dari itu.

Yang boleh anda sebagai orang awam, sebagai pimpinan masyarakat dan pimpinan politik lakukan? Apa pula langkah-langkah yang boleh diambil oleh komuniti OKU sendiri dalam mendepani cabaran getir ini?

Justeru, kami lontarkan Gagasan OKU Muqarabun untuk sama-sama dihayati oleh setiap individu OKU dan seluruh ahli masyarakat. OKU perlu dibagunkan atas asas keimanan dan ketaqwaan. Hanya keimanan dan ketaqwaan yang mampu memelihara setiap individu OKU demi kesejahteraan hidup yang suasananya sangat tidak berpihak kepada komuniti OKU sebagaimana hari ini.

Begitu pula, setiap masyarakat perlu memahami individu-individu OKU itu adalah suatu bukti kekuasaan Allah SWT. Allah SWT bebas menjadikan manusia itu OKU atau sempurna.

Dengan demikian, setiap masyarakat perlu bersedia menampung setiap kekurangan dan kecacatan yang dialami oleh OKU dengan menyediakan sistem sokongan untuk OKU itu berfungsi sebagai manusia biasa.

Begitu pula dengan setiap pimpinan masyarakat pelbagai peringkat bermula daripada ketua kampung, ahli parlimen dan kepimpinan negara, perlu lebih ke hadapan dan bersungguh-sungguh merencana dan melaksanakan pembangunan OKU yang lebih menyeluruh.

OKU Muqarabun adalah dicetuskan atas dua paksi utama:
Pertama memperkuat jati diri OKU berasaskan keimanan dan ketaqwaan.
Keduanya membentuk masyarakat yang prihatin kepada OKU atas asas keimanan dan ketaqwaan.

Insya-Allah, kami akan terus fokus untuk berusaha sedaya mampu menjayakan Gagasan OKU Muqarabun ini di tengah-tengah masyarakat dengan dokongan dari pelbagai pihak.

Bantulah kami melalui sumbangan kewangan pada pautan yang disediakan:

 http://bit.ly/2fDNRlJ

Setiap dokongan dan sokongan yang diberikan kami dahului ucapan dan doa jazakumullahu khair. – HARAKAHDAILY 17/8/2017

PENUTUPAN operasi Kenyir Water Park (KWP) sejak 27 Mei 2017 lalu dilihat seakan menyembunyikan sesuatu isu di sebalik pembinaannya. Pihak pengurusan pusat rekreasi tersebut hanya memaklumkan mengenai penutupan pada 16 Jun 2017 menerusi medium facebook dengan mengemukakan alasan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan.

Apatah lagi Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri I menyatakan bahawa KWP telah beroperasi sejak 31 Mei 2015 tanpa memperolehi Sijil Perakuan Siap & Pematuhan (CCC). Malah, ia dibina di Pulau Poh meliputi keluasan 4.3 ekar tanpa menjalankan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang hanya baharu dipersetujui untuk disediakan melalui mesyuarat pada 30 November 2016.

Hal ini menimbulkan syak betapa terdapat kemungkinan penyelewengan semasa pembinaannya dahulu, atau adanya pihak yang menjana keuntungan segera untuk memulakan operasi sempena Festival Kenyir 2015 dahulu. Bermakna juga, selama tempoh itu ia beroperasi dengan mempertaruhkan keselamatan pengguna kepada suatu risiko dan pelbagai kemungkinan.

Kesangsian ini munasabah berikutan operasi KWP berlangsung tanpa memiliki dokumen hitam putih di mana EPIC selaku pihak yang membangunkannya akan menerima bayaran sejumlah RM7.86 juta secara ansuran selama lima tahun daripada KETENGAH. Premis milik Kerajaan Negeri Terengganu itu telah diserahkan pengurusannya kepada KETENGAH pada 27 Mac 2015. Penyerahan kepada KETENGAH, diserahkan pula kepada KETENGAH Holding Sdn Bhd (KHSB) dan seterusnya diserahkan pula kepada KETENGAH Properties Sdn Bhd (KPROP).

Ternyata pula rekod hasilan 2015 menyaksikan KPROP mencatat keuntungan menerusi catatan pendapatan RM978,779 dan perbelanjaan pula sebanyak RM640,093. Namun kini, masa depan KWP terus menjadi tanda tanya yang dikhuatiri akan termasuk dalam senarai ‘gajah putih’ atau projek bermasalah setelah permohonan CCC sementara juga hanya dilakukan setelah ditegur Jabatan Audit Negara.

Sehubungan itu Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menggesa Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga selaku Pengerusi KETENGAH agar menjelaskan secara telus perkara ini supaya tidak menerbitkan kecurigaan yang lebih besar terhadap pentadbiran beliau. Kerajaan negeri juga diingatkan agar lebih serius dan tidak berkompromi terhadap setiap pembangunan yang dijalankan serta memastikan ia benar-benar memiliki nilai tinggi kepada kepentingan rakyat.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ KAMARUZAMAN ABDULLAH
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (Buletinonline)

HANYA kira-kira 13 hari lagi jemaah haji akan menyertai wukuf di Padang Arafah. Pada 8 Zulhijjah jemaah haji akan bertolak ke Padang Arafah bagi menyempurnakan rukun haji.

Boleh dikatakan sebahagian besar jemaah Malaysia sekarang sudah berada di Makkah. Bagi mereka disenarai penerbangan awal ke Madinah sudah lama berada di Makkah.

Ada yang lebih sekali menunaikan ibadat umrah. Nostagia setahun berlalu masih tersemat dalam ingatan penulis. Begitu juga rakan-rakan lain yang menunaikan haji ketika itu.

Antaranya Cikgu Khairul dari Jertih, Dr Zamri (Pulau Pinang) dan Wan Malek (Shah Alam). Masih segar ingatan ketika kami berada di Makkah dan Madinah.

“Terasa seperti semalam,” ujar Cikgu Khairul. Ketika perjalanan dari Madinah ke Makkah kami singgah di Bir Ali untuk berniat ihram umrah.

Pakaian ihram bermula di hotel di Madinah lagi.

Perjalanan ke Makkah mengambil masa hampir lapan jam. Pemandu bas kami orang Indonesia boleh cakap Melayu dan Arab.

Selepas lebih separuh perjalanan bas kami naiki berhenti untuk membolehkan jemaah menunaikan solat jamak qasar Zohor dan Asar.

Lokasi itu di tepi lebuh raya hanya ada bangunan masjid, tandas dan restoran. Ia terletak di tengah-tengah padang pasir yang luas mata memandang.

Ketika kami sampai di situ sudah ramai jemaah haji singgah. Deretan bas boleh dilihat di ruang parkir. Jemaah beratur untuk memasuki tandas dan mengambil wuduk. Agak kekok juga kerana kami berihram.

Selepas solat kami menaiki bas dan menjamah makanan yang dibekalkan Tabung Haji. Kira-kira sejam bas berhenti di situ.

Penduduk tempatan juga ada yang menjual tasbih dan buah-buahan. Pancaran matahari terik di atas kepala. Debu pasir berterbangan ketika dilalui kenderaan.

Tahun ini TH menggunakan 180 bas untuk membawa  jemaah haji dari Madinah ke Makkah. Selain itu 116 bas lagi diguna bagi mengangkut jemaah tiba di Jeddah ke Makkah.

Ketika menghampiri kawasan Makkah bas dilencongkan ke kawasan berpagar yang dikenali sebagai Jumum. Ia terletak kira-kira 20 km dari Kota Makkah.

Banyak bas berderetan di ruang tersebut. Di situ pelbagai makanan dan minuman diagih ke dalam bas. Makanan itu disedekah penjaga Kota Suci Madinah dan Makkah.

Ketika semakin menghampiran Masjidil Haram kelihatan menara jam dari jauh. Kami berterusan melafazkan talbiah sejak dari Madinah lagi.

Bas membawa kami ke Hotel Land Premium yang terletak di 8747 Al Hijrah, Al Misfalah, Mecca 24233. Hotel itu terletak kira-kira 900 meter dari Masjidil Haram.

Sebelum dibenarkan turun daripada bas, kami diberi taklimat oleh petugas TH. Wakil Muasassah pula membekalkan gelang plastik yang perlu dipakai di tangan.

Hotel bertingkat tersebut mempunyai banyak lif, namun sering sesak memandangkan hampir 5,000 ditempat di situ.

Kami menginap bersama 10 rakan jemaah dalam satu bilik. Deretan katil disusun. Kami berkongsi sebuah bilik air. Ia sudah menjadi perkara biasa sejak lapan hari berada di Madinah.

Selepas menjamah makanan yang dibekalkan dan solat Maghrib serta Isya kami turun ke lobi untuk menunaikan umrah pertama. Kumpulan kami berjalan beramai-ramai ke Masjidil Haram dengan dipandu seorang petugas warga tempatan.

Berjalan dengan kumpulan ramai di celah-celah lautan di sepanjang perjalanan membangkit semangat. Lafaz talbiah terus dilaungkan. Ketika itu jemaah lain sudah keluar dari Masjidil Haram selepas menunaikan solat Isya.

Ketika memasuki Masjidil Haram hati penulis terkedu, sekali lagi dapat melihat Kaabah yang berdiri tegak di hadapan.

Kali kedua dalam sejarah hidup penulis berdepan Kaabah. Kami tawaf tujuh pusingan sebelum melaksanakan saie dan bercukur.

Tawaf dan saie di celah-celah ribuan manusia memberi cabaran besar bagi mereka yang agak berusia dan uzur.

Ada rakan-rakan yang menyempurnakan umrah dan sampai kembali ke hotel jam 12 tengah malam. Tidak kurang juga yang tersesak mencari jalan untuk balik ke hotel.  

Biar pun balik ke hotel jam 1 pagi, namun jam 3.30 pagi perlu bergegas ke Masjid Haram sekali lagi untuk menunaikan solat Subuh.   

Boleh dikatakan sepanjang berada di Makkah kami berjalan kaki lebih 7 km sehari. Pergi ke Masjidil Haram untuk solat Subuh, Zohor, Asar dan Maghrib serta Isyak. – HARAKAHDAILY 16/8/2017

LKkeMakkah 3

LKkeMakkah 2

DACS Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah kepada Pasukan Chinlone negara kerana berjaya meraih pingat emas pertama negara pada temasya Sukan SEA 2017 selepas memungut 389 mata dengan menewaskan Filipina yang hanya meraih 270 mata di Stadium Titiwangsa pada tengah hari tadi.

Semoga ia dapat membakar semangat atlet negara yang lain untuk turut memberikan emas buat Malaysia pada temasya Sukan SEA 2017 kali ini.

MUHAMMAD FADZLI ABU BAKAR
Pengarah,
Department of Arts, Culture and Sports (DACS).
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 16/8/2017

MASA untuk warga Felda membuka mata dan minda. Betapa jerit perih warga peneroka memberikan sumbangan selama ini untuk memajukan Felda dan negara dibalas dengan sebaliknya oleh mereka yang berkuasa di atas sana. Bunga yang diberi peneroka, tahi yang mereka balas.

Ketika peneroka mengerah keringat di ladang, sipeneraju Felda bermewah-mewah dengan gaya tokoh konglomerat hebat. Ketika peneroka menanggung hutang tanam semula berjumlah ratusan ribu, orang besar Felda di atas sana melabur ratusan juta untuk projek yang entah apa-apa. Jika dengan peneroka sendiri, Felda sangat berkira walaupun hanya sebilah sabit dan sebuah kereta sorong semuanya masuk dalam penyata, tapi Felda tak berkira untuk 'buang duit' sehingga puluhan juta ke luar negara.

Misi dan visi Tun Abdul Razak ketika menubuhkan Felda telah semakin dilupakan. Felda atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan adalah idea Tun Razak bertujuan untuk meningkatkan penggunaan tanah dengan lebih cekap dan berkesan. Bermula dengan rancangan tanah yang pertama dibuka di Lembah Bilut pada tahun 1957, Felda kini telah berkembang menjadi sebuah organisasi raksasa yang gah dan hebat.

Zaman Tun Razak dulu, mungkin tak ramai orang yang berminat nak jadi Pengerusi Felda, sekadar sebuah organisasi kemajuan tanah yang berurusan dengan orang kampung untuk buka tanah baru. Sekarang dengan imej sebuah syarikat konglomerat bertaraf global, tak ramai yang mampu menolak bila ditawarkan untuk duduk di kerusi empuk Pengerusi Felda.

Isa Samad sepatutnya selepas bebas dari hukuman rasuah oleh parti sendiri, sudah boleh tidur lena dan hidup sebagai orang awam. Harta yang beliau miliki dah tak habis untuk dimakan sehingga beberapa keturunan. Bukan hanya orang Negeri Sembilan malah orang luar Negeri Sembilan pun tahu Isa Samad sudah kaya-raya.

Beliau sepatutnya sedar bahawa dirinya tak mempunyai kekuatan bila berhadapan dengan godaan wang apabila diberikan kuasa. Mata beliau cepat kelabu bila tengok wang. Apa yang telah dimiliki tak pernah cukup.

Lalu akhirnya ketika umur sepertinya, amat tragis untuk beliau disarungkan baju lokap warna oren tertulis SPRM. Tragis juga untuk saya bagitahu bahawa ketika minum pagi dengan anak-anak peneroka Felda Selasih Jabi, mereka tersenyum sinis apabila cerita Isa Samad kena tahan oleh SPRM dibuka di kedai kopi. Senyum sinis seribu makna. – HARAKAHDAILY 17/8/2017

Penulis ialah AJK PAS Pusat

DALAM Peristiwa Memali, orang Kampung Memali adalah mangsa manakala Mahathir dan Kerajaan Umno/BN adalah pemangsa.

Masih ramai lagi saksi nyata dan mereka yang menjadi mangsa dalam Peristiwa Memali November 1985 yang masih hidup dan boleh menjadi saksi. Pemangsa juga masih hidup dan masih bercakap mempertahankan tindakannya.

Baik... Kalau keterangan dari mangsa tak dapat dipercayai maka bolehkah kita percaya kepada keterangan daripada pemangsa? Walau naluri kemanusiaan kita lebih cenderung untuk percaya kepada keterangan mangsa, tapi untuk memuaskan hati semua pihak, kita tolak dulu keterangan dari kedua belah pihak.

Lantas, apakah kita mahu membiarkan Peristiwa Memali kekal tergantung menjadi beban sejarah yang amat berat? Mangsa tidak mendapat keadilan dan nama baik Kerajaan Umno/BN tak dibersihkan.

Mahathir, pemangsa yang sudah tiada 'gigi' mengeluarkan dakwaan terbaru bahawa orang kampung yang memulakan tindakan menikam mati 4 orang anggota polis sehingga mereka layak diserang dan dibunuh. Ini dakwaan yang sangat serius!

Mahathir hanya mampu bercakap dan bercakap. Beliau sudah tiada walau secebis kuasa pun yang masih tinggal. Sehingga ke hujung usia, saya yakin tiada kalimah maaf akan diucapkannya atas apa yang pernah beliau lakukan.

Perlu diingat bahawa tindakan yang diambil oleh Mahathir pada tahun 1985 itu adalah atas kapasitinya sebagai seorang PM merangkap Presiden Umno. Bukan atas sifat tubuh badan Mahathir secara individu. Liabiliti ini dipikul bersama.

Kerajaan Umno/BN yang masih berkuasa mesti menjadi penegak keadilan. Untuk mangsa dan juga untuk kerajaan. Lantaran itu PAS telah lama menuntut supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat peristiwa tragis yang mengorbankan 14 orang rakyat awam Memali dan 4 anggota keselamatan ini sehingga ke akar umbi.

Jangan ingat bila mangsa peristiwa Memali ramai yang sudah meninggal dunia dan Mahathir juga nanti sudah kembali kepada Yang Maha Pencipta, maka Buku Tragedi Memali boleh ditutup!

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
16 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 16/8/2017

AKHIRNYA perjuangan kami di Pandan menjadi kenyataan apabila projek Maahad Integrasi Tahfiz Sains & Teknologi (MITS), Pandan Indah ditender di akhbar-akhbar Isnin lepas.

Perjuangan selama lebih 5 tahun akhirnya membuahkan hasil.

Berpuluh mesyuarat dan perbincangan tidak sia-sia kerana insya-Allah pada bulan Januari 2020 MITS ini akan menerima kumpulan pertama pelajarnya.

Terima kasih kepada semua pihak di atas pertolongan, sokongan dan galakan.

MITS ini cukup bermakna kerana ianya satu-satunya MITS yang terletak di tengah-tengah pusat bandar.

YB Dato' Iskandar A Samad
Exco Kerajaan Negeri Selangor / Ahli Dewan Negeri Chempaka

pandan1

More Articles ...