19
Thu, Sep
46 Artikel Baru

ISLAM mengesyorkan kita membantu sesiapa saja antara sesama manusia. Tapi Islam mengajar kepada kita fiqh keutamaan. Dalam beberapa pilihan untuk membantu, kita ada yang lebih utama. Bukannya yang kurang utama tak boleh buat, tapi bila kita tinggalkan yang lebih utama kerana nak buat yang kurang utama, ia menggambarkan kita tak berapa faham asas dan kaedah.

Antara contoh keutamaan ialah, bantu keluarga terdekat yang memerlukan adalah lebih utama daripada bantu orang yang jauh. Bantu orang kampung sendiri lebih aula dari bantu orang kampung lain. Mencukupkan keperluan di negeri sendiri adalah lebih utama dari mencukupkan keperluan di negeri orang. Bantu rakyat sendiri yang terdesak untuk meneruskan kehidupan adalah lebih utama dari bantu rakyat negara orang.

Saya ulang sekali lagi, bukan tidak digalakkan bantu orang yang jauh, tapi agak malang kalau orang kampung kita sendiri makan nasi hanya berlauk minyak bekas goreng ikan dan ikannya tiada sedangkan dalam masa yang sama kita tersenyum lebar sambil tangkap gambar dalam misi bantuan antarabangsa.

Kita bangga dengan hasrat PM nak bantu kukuhkan ekonomi US. Ia menggambarkan jiwa besar seorang pemimpin sebuah negara yang relatifnya kecil kalau nak dibandingkan dengan Amerika. Walau kita negara kecil, pemimpin kita bermentaliti sebuah kuasa besar ekonomi dunia! Ini sudah cukup membanggakan kita.

Bukankah ada ungkapan, 'kita adalah sebagaimana kita melihat diri kita'. Bila kita melihat diri kita besar, maka besarlah kita. Persetankan apa pandangan orang lain kepada kita! Apatah lagi yang Malaysia nak bantu Amerika ialah membeli pesawat Boeing. Mana tahu sebagai balasannya Trumph menghadiahkan PM kita sebuah pesawat kerajaan yang canggih seumpama Air Force 1, pesawat rasmi Presiden Amerika dari model Boeing 747.

Tentunya PM mempunyai ramai penasihat agama yang telah menasihati beliau dalam bab fiqh keutamaan. Dengan makna keperluan ekonomi rakyat dalam negara semua dah OK. Maka layaklah kita bantu US pula. – HARAKAHDAILY 15/9/2017

DUA penggal Saudara Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerajui Parlimen Rembau sejak  tahun 2008 lagi.

Ketika itu mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri, dan berulang kali nama Khairy hangat ketika itu apatah lagi dikaitkan dengan Geng Tingkat Empat  oleh  Ezam Mohammed Nor yang ketika itu cukup kerap menyerang Menteri  Belia dan Sukan ini.

Sejak itu seluruh negara mengenali Khairy. Perubahan demi perubahan dibuat Khairy dalam pendekatan politiknya. Walau digambarkan sebagai negatif diawal keterlibatan dalam dunia politik, namun  beliau betah membuka langkah memberi persepsi baharu kepada anak muda khasnya hinggalah dia menerajui sebuah kementerian yang benar-benar fokus kepada keperluan anak muda masa kini.

Kemenangan beliau menewaskan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir semasa persaingan jawatan Ketua Pemuda Umno membuka langkah lebih luas untuknya bereksperimen dalam dunia politik.

Kejayaan pasukan negara dalam merangkul 145 emas di Sukan SEA Kuala Lumpur bulan lepas memberi kredit yang baik kepada Khairy dalam kariernya selaku menteri walaupun dicelah penganjuran sukan,  terdapat isu bendera terbalik yang mana juga dikatakan membabitkan projek penerbitan yang dikaitkan dengan orang dekat dengan Khairy.

Masakan kakitangan awam yang biasa telah terbabit dengan penganjuran program besar boleh membuat kesilapan hingga bendera boleh terbalik dalam buku program kerana ia membabitkan hubungan diplomatik dengan negara jiran.

Maka tentunya kerana ada unsur yang sangat tidak menselesakan penjawat awam dalam urusan penerbitan apatah lagi jika benar telahan menyebut kroni yang mendapat projek tersebut.

Khairy mungkin sekali popular pasca Sukan SEA Kuala Lumpur kerana juga terbabit sebagai atlet dan pencapaian negara yang sangat membanggakan, kerana kejayaan ini boleh menjadi "resume" kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menimbang-nimbang pengekalan di Rembau.

Namun usah dilupa, rekod Khairy berbaik dengan musuh-musuh Najib termasuk berselfie dengan Nurul Izzah semasa penganjuran Sukan SEA bisa menjolok mata Najib dan sudah tentu maklumat oleh pasukan risik Najib ke atas Khairy mengenai kegiatan menteri belia itu pasti menjadi kayu ukur untuk mencari pengganti Khairy di Rembau khasnya dan di kabinet selepas ini.

Ada sumber yang menyebut bahawa Khairy sendiri menyedari hakikat bahawa Najib tidak pun meletakkan harapan tinggi kepadanya dalam menjadi pengikut setia sama seperti dalam kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,  kerana ketidakserasian mereka.

Apatah lagi di Negeri Sembilan perang suku di parlimen tertentu tidak terkecuali di Rembau sudahpun bermula dalam merebut jawatan siapa bakal bertanding.

Namun tidak boleh kita nafikan, Najib juga pernah bertemu Anwar Ibrahim membincangkan satu bentuk kerjasama sebelum PRU13 dalam merangka kerajaan, apatah lagi ketika itu Najib kelihatan kelemasan dalam dunia politik.

Mengambil pendekatan yang sama kalaupun Najib mahu menjadikan Khairy anak emasnya sama seperti Tan Sri Isa Samad, maka mungkin sekali Najib merancang membawa satu sinergi baharu untuk memperkenal Khairy sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu menggantikan Datuk Seri Mohammad Hassan.

Apatah lagi Mohammad Hassan yang dikatakan bukan berada dalan radar kumpulan Najib, dan Mohammad Hassan bekas orang kuat Cycle And Carriage ini katanya orang kuat kepada Tun Mahathir.

Mungkinkah Najib akan mengambil Khairy sebagai galang ganti kepada Mohamad Hassan dalam menerajui Negeri Adat Perpatih ini? Atau Khairy akan ditolak ketepi?.

Isu ini sedang berlegar dalam kalangan orang politik di Negeri Sembilan apatah lagi kita dalam mood standby menanti pilihan raya umum. – HARAKAHDAILY 15/9/2017

SAYA menerima berita musibah kebakaran di Darul Quran Ittifaqiah, Kuala Lumpur yang melibatkan seramai 20 orang terkorban. Sesungguhnya kematian adalah peringatan Allah supaya setiap hamba-Nya sentiasa bersiap sedia. Demikian itu, Islam mengajar kita menyebut:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

“Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan sesungguhnya hanya kepada-Nya jua kita kembali"

Sudah tentu berita ini sangat mendukacitakan seluruh keluarga mangsa yang terkorban. Bersabarlah dalam menerima segala musibah termasuklah berita kematian yang tiada diduga kejadiannya.

عَظَّم الله أجرك ، وأحسن عزاءك ، وغفر لميتك ، وألهمك صبراً ، وأجزل لنا ولك بالصبر أجرا

"Semoga Allah memberikan pahala besar untukmu, menguatkan ketabahanmu, mengampuni orang yang meninggalkanmu, mengilhamkan kepadamu kesabaran dan mencurahkan pahala kepada kami dan engkau dengan sebab kesabaran."

Kita doakan anak-anak pelajar tahfiz yang terkorban ditempatkan disebaik-baik kedudukan dalam Syurga Allah serta digolongkan bersama para Syuhada' dan Solehin.

اللهم اغفرلهم وارحمهم وعافهم واعف عنهم وأدخلهم جنانك مع الشهداء والصالحين يا رب العالمين.

USTAZ DATO' BENTARA KANAN DATO' AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan. – HARAKAHDAILY 14/9/2017

EKSPEDISI DACS Selangor tawan Gunung Semeru (gunung berapi) di Indonesia telah tercapai melalui wakil kami, Pengerusi Alternative Trekking Club (ATC) DACS Selangor, Saudara Syukri hari ini.

Bendera Malaysia, PAS dan DACS berjaya dipacakkan di puncak gunung. Ia sebagai satu simbolik kepada kesungguhan dan kegigihan untuk mencapai sesuatu matlamat. Dengan ketinggian puncak Gunung Semeru atau lebih dikenali dengan Puncak Mahameru setinggi 3.676 meter dari permukaan laut, ia bukanlah suatu perkara yang mudah.

Ini membuktikan bahawa "Pemuda PAS Boleh". Pada masa yang sama, DACS ingin berkempen agar kita semua jalani hidup sihat, selalu bersenam dan makan makanan yang sihat.

Dimana ada kemahuan, di situ ada jalan. Para pemuda perlu sedar bahawa jika Saudara Syukri berjaya lakukannya, maka kita juga boleh berjaya melakukan apa sahaja yang kita hajati. Percayalah kepada keupayaan diri sendiri, jangan cepat putus asa dan pastikan kita mempunyai keazaman dan matlamat dalam menghadapi cabaran yang ada.

MUHAMMAD FADZLI ABU BAKAR
Pengarah,
Department of Arts, Culture and Sports (DACS).
Dewan Pemuda PAS Selangor. – HARAKAHDAILY 14/9/2017

SAYA ingin memberikan respons kepada satu laporan berita yang melaporkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika ucapan perasmiannya pada Mesyuarat Agung Umno Bahagian Kemaman baru-baru ini berkata, sebanyak RM80 juta telah diluluskan bagi pembinaan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman. Beliau juga dipetik sebagai berkata, pembinaan IPD ini adalah hasil usaha keras daripada mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, tanpa beliau memberikan justifikasi atas keperluan mendesak apakah IPD Kemaman perlu disegerakan pembinaannya.

PAS Terengganu dengan dasarnya yang sangat jelas, tidak pernah menolak sebarang pembangunan yang difikirkan perlu bagi memberikan keselesaan hidup kepada rakyat, bahkan kemungkinan dengan pembangunan itu, ekonomi rakyat akan bertambah baik lagi dengan munculnya peluang-peluang lain. Akan tetapi PAS dalam masa yang sama juga bertegas atas pentingnya membezakan pembangunan yang utama yang mesti disegerakan dengan pembangunan yang boleh dikemudiankan pelaksanaannya.

Contoh yang paling baik bagi daerah Kemaman ialah keperluan mendesak dan segera yang mesti kerajaan tumpukan sekarang ialah pembinaan sebuah hospital daerah. Sudah sekian lama hospital itu dijanjikan oleh kerajaan, namun sebatang tiangpun masih belum dilihat kelibatnya. Dengan rungutan bukan sahaja daripada rakyat, malah daripada kakitangan hospital sendiri dengan mengatakan kemudahan hospital daerah sekarang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan.

Antara aduan yang diterima ialah bilangan katil yang tidak memenuhi nisbah penduduk, kawasan parkir yang sempit, keperluan menambah bilangan doktor-doktor terutamanya doktor pakar, jelas hospital daerah adalah satu keperluan mendesak yang perlu disegerakan oleh pemerintah. Malangnya, harapan menggunung rakyat Kemaman ini, tidak menjadi kenyataan hasil daripada sikap pemimpin Umno yang lebih gemar mempolitikkan kesihatan rakyat bagi menjadikannya gula-gula pilihan raya sebagaimana yang telah dibuktikan oleh Umno kepada pembinaan hospital daerah Dungun yang dikira cukup lama rakyat Dungun menanti wang mereka digunakan bagi pembinaan hospital tersebut.

Rakyat Terengganu mesti berusaha untuk tidak selama-lamanya menjadikan diri mereka sebagai bahan mainan kepada Umno dan BN yang mana, rakyat akan dipermain-mainkan apabila menjelang pilihan raya. Seolah-olah wang rakyat yang Umno kutip itu adalah hak milik mereka dan hanya mereka yang menjadi penentu kepada siapa wang itu boleh diberikan faedahnya. Sedangkan rakyat mesti sedar bahawa, tidaklah dinamakan pintar jika wang kepunyaan rakyat digunakan kembali untuk mengugut rakyat. Begitulah malangnya nasib rakyat yang berketuakan golongan yang korup.

Oleh itu, PAS Terengganu mendesak kerajaan sama ada negeri mahupun pusat agar segera mengutamakan pembinaan hospital daerah bagi Kemaman demi memberikan perkhidmatan yang lebih baik bagi rakyat, terutama golongan yang tidak mampu untuk membayar caj perkhidmatan di hospital swasta. Tidaklah PAS menafikan kepentingan IPD yang baharu, tetapi kami yakin dan percaya hospital adalah lebih utama dan diperlukan diketika ini, apatah lagi ianya telahpun dijanjikan sejak dahulu lagi. Wallahua’lam.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
24 Zulhijjah 1438 / 14 September 2017 – HARAKAHDAILY 14/9/2017

ORANG bertanya jika PAS berjaya meraih 40 kerusi sasaran, dan tiada parti atau pakatan yang berjaya membentuk majoriti mudah 112 kerusi, PAS akan pilih untuk bersama siapa?

Masih terlalu awal untuk menjawab persoalan ini secara spesifik. Ia bergantung kepada rundingan nanti. Bergantung siapa yang boleh tawarkan kepada PAS peluang yang lebih baik untuk agenda yang PAS perjuangkan. Siapa yang lebih kecil ancamannya terhadap Islam dan kestabilan negara.

Bukan soalan PAS mahu bersama siapa yang patut ditanya, tetapi soalan sepatutnya adalah siapa yang sanggup bersama PAS? Kerana mengikut keadaan sekarang, BN dan PH yang terhegeh-hegeh mendekati PAS. Mereka keluar dan mengetuk pintu rumah PAS. Bukan PAS ke rumah mereka.

Kenapa perlu hadkan minda seolah PAS hanya punya dua pilihan jika berlaku situasi hung parliament; sama ada PAS menyertai BN atau PH. Sedangkan situasi yang sepatutnya berlaku adalah parti komponen BN atau PH yang menyertai Gagasan Sejahtera.

Mungkin dalam BN, ada parti yang boleh bersama agenda perjuangan PAS. Dalam PH juga mungkin ada. Tetapi oleh kerana dalam kedua gabungan tersebut ada juga yang tidak boleh bersama, maka merekalah sebenarnya yang harus buat pilihan sama ada nak kekal bersama pakatan mereka, ataupun keluar dan bersama Gagasan.

Waktu ini mungkin kita lihat Gagasan agak sepi. Kerana Gagasan bukan sebuah gabungan yang populis. Dalam diam, gagasan gigih bekerja merangka agenda pasca pilihan raya, untuk membina semula Malaysia mengikut dasar baharu yang sedang diteroka.

Tetapi percayalah, pasca pilihan raya, Gagasan akan jadi sangat meriah. Pakatan lain pula akan hidup segan mati tak mahu.

Apapun, ini semua cerita selepas pilihan raya. Adapun untuk menempuh pilihan raya ini, sudah ada keputusan muktamad. PAS tidak akan menyertai PH atau BN. Juga tidak ada sebarang kerjasama secara individual dengan DAP, dan semua parti yang bekerjasama dengan DAP.

Portal media tajaan parti lain usahlah bermain persepsi kononnya PAS masih terbuka untuk rundingan dengan parti lain. Jangan ada yang loyar buruk kononnya PAS cuma tak mahu bersama PH sahaja, tetapi bersama PKR secara individual masih boleh berlaku. Itu semua khalayan yang tidak akan berlaku. Presiden PAS sudah mengeluarkan kenyataan tegas:

"Tidak akan bekerjasama dengan DAP, dan mana-mana parti yang bekerjasama dengan DAP!" 

23 Zulhijjah 1438
14 September 2017 – HARAKAHDAILY 14/9/2017

BAGI pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya dengan penuh rasa sedih dan simpati mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan pihak pengurusan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Kuala Lumpur di atas musibah yang menimpa.

Sesungguhnya sifat sabar dan bersangka baik dengan ketentuan Allah di atas ujian ini merupakan salah satu ciri-ciri orang yang beriman.

Marilah kita meredhai pemergian anak-anak pelajar dan mendoakan mereka yang matinya dalam keadaan yang baik sebagai penghafaz Al-Quran ditempatkan bersama golongan syuhada’ dan orang-orang yang soleh.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 23 Zulhijjah 1438 / 14 September 2017 - HARAKAHDAILY 14/9/2017

More Articles ...