21
Sun, Jul
19 Artikel Baru

PELUANG pulang ke tanah rancangan Felda di Terengganu adalah ruang yang paling sesuai untuk warga anak Felda di perantauan menyampaikan maklumat perkembangan terkini yang melanda Felda kepada ibu bapa mereka dan juga rakan-rakan sebaya yang menetap di tanah rancangan.

Walaupun zaman gajet dan smat phone memudahkan mereka yang tinggal di Felda mengakses maklumat terkini, cara perkongsian terus adalah cara yang sangat meninggalkan kesan mendalam apabila warga perantau bawa hujah atau maklumat dengan bersahaja dalam setiap sembang bersama teman atau ibu bapa.

Kedudukan mereka berjawatan dan berada di bidang profesional menambahkan lagi keyakinan warga Felda bila golongan ini bercerita dan menyampaikan maklumat sebenar.

Krisis FGV dan Tan Sri Isa Abd Samad yang telah sampai kemuncaknya beberapa minggu lalu meninggalkan satu sejarah hitam bagi warga Felda apabila FGV dan Felda sebelum ini diuruskan di bawah Isa Samad telah mengubah langkap Felda secara menyeluruh.

Aset-aset Felda yang sebelum ini mendatangkan pendapatan atau pulangan kepada Felda dan secara langsung kepada warga Felda kini sudah berpindah tangan kepada FGV. Sejak FGV disenaraikan di BSKL kebajikan pembangunan sosial peneroka Felda terjejas teruk.

Transaksi atau perpindahkan ringgit berjumlah RM17.6 bilion hasil penyenaraian FGV gagal memberi hasil besar kepada warga Felda terutama golongan generasi kedua Felda. Peluang pekerjaan dan sosial ekonomi golongan ini juga gagal dipertingkatkan tidak seindah janji tranformasi yang dijanjikan Perdana Menteri sebelum penyenaraian FGV dibuat.

Kehilangan 360,000 hektar tanah perladangan Felda Plantation yang mendatangkan pendapatan besar kepada kumpulan sebelum ini adalah satu kehilangan aset kepunyaan warga Felda yang tidak dipandang serius oleh peneroka. Hasil tahunan dari tanah ini sebelum ini mencecah RM1.8 bilion setiap tahun.

Sepanjang tempoh tanah ini diserahkan kepada FGV, Felda sudah kehilangan pendapatan melebihi RM6 bilion sehingga kini. Ada sumber mendakwa FGV sepatutnya membayar  saguhati  hasil dari penyerahan ini sebanyak RM500 juta setahun kepada Felda. Namun maklumat dari sumber dalaman menyatakan FGV gagal melunaskan saguhati ini sejak beberapa tahun lalu.

Isu Perumahan Generasi Baharu Felda PGBF di Terengganu juga sangat kritikal. Daripada 21 tanah rancangan Felda di Terengganu, PGBF sehingga kini gagal dilunaskan janji kepada generasi kedua Terengganu.

Satu-satunya PGBF yang sudah siap di Felda Neram, sehingga Jun 2017 masih gagal diagihkan walaupun pembinaanya sejak zaman Pengerusi Felda sebelum ini iaitu Tan Sri  Mohd Yusof Noor. Projek ini sebelum ini dikenali Perumahan Warga Felda PWF sebelum ditukar kepada PGBF.

PGBF di Felda kertih 5 juga terbengkalai sehingga sekarang. Sepatutnya projek ini siap dan boleh diduduki beberapa tahun lalu. Begitu juga di tempat lain seperti Felda Bukit Bading, Chalok Rahmat dan Chalok Barat, hanya papan tanda tanpa sebarang aktiviti pembinaan di atas tapak yang dirasmikan sebelum PRU13 yang lalu.

Projek sentuhan kasih di Felda Tenang juga antara koleksi kegagalan projek ini di Terengganu dan diakui sendiri oleh Exco kerajaan Terengganu tahun lalu dalam satu kenyataan selepas pihak Kongres Rakyat membangkitan isu ini dalam satu persidangan mereka.

Ini antara isu yang perlu diketengahkan oleh Perantau Felda yang masih ada seminggu lagi untuk bersama warga Felda di tempat masing-masing. Ambil lah peluang ini sebaik mungkin dan sudah tentu ianya akan memberi kesan besar dan mendalam jika ianya mampu disampaikan kepada golongan sasaran.

Justeru itu kami Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan Terengganu merayu semua Perantau Felda tidak melepaskan peluang ini, gunakanlah apa jua pendekatan agar kesedaran maklumat ini terus digerakan demi pembelaan kepada kita semua warga Felda Terengganu.

'SELAMAT HARI RAYA'

NARAZA MUDA
Pengerusi GENERASI Terengganu

PERHATIKAN siapa yang jadi agen Sarawak Report untuk tadah beg James Bond kutip crowdfunding di Malaysia bagi mencari dana untuk lawan Presiden PAS di Mahkamah London.

Dr AzmanYang bantu itulah mereka yang manusia sehati dan sejiwa dengan Sarawak Report untuk berkonfrantasi dengan perjuangan Islam yang didukung PAS di Malaysia.

Angka £30,000 tak sukar untuk dikumpulkan oleh Sarawak Report kerana kufar dan yang sewaktu dengannya akan bersatu hati bagi menentang Islam dan perjuangan Islam. Kalau tak cukup, boleh minta dengan deretan nama-nama besar tauke barat dan Yahudi yang kaya raya. Angka sebanyak itu sekadar celah gigi saja.

Mereka yang sayangkan Islam perlu melihat bahawa fitnah 90 juta ini bukan ditujukan kepada batang tubuh Presiden PAS seorang diri dan bukan juga kepada parti PAS kerana namanya PAS tetapi kerana peranan yang dimainkan oleh PAS sebagai benteng Islam di bumi Malaysia. Maka kerana itu imej PAS perlu dirosakkan. Fitnah ini ditujukan kepada PAS kerana perjuangan Islam. Berjaya merosakkan imej PAS bermakna berjaya merobohkan sebahagian dari benteng Islam yang berdiri teguh di Malaysia. Kalau PAS sebuah parti sekular, pastinya PAS tak akan berhadapan dengan fitnah yang jijik ini.

Tapi begitulah sunnah Allah. Dalam perjuangan getir ini, kalau kita merasa sakit maka musuh kita juga merasa sakit. Lebihnya di pihak PAS kerana kita ada Allah sebagai tempat berharap, apa yang mereka tak harapkan.

Kalau kita disindir tadah tin Milo, mereka pula tadah beg James Bond! Pokoknya kutip derma dari publik juga. Maknanya mereka pun sakit juga. Kalau kita tak tidur malam, apa kurangnya mereka.

Jangan ingat PAS ini parti Tok Lebai yang ahlinya 'orang darat' kilas kain pelikat berselipar Jepun. Bunyi Mahkamah London pun dah kecut perut. Nak jijak kaki di London pun sesat kebarat, apatah lagi nak failkan saman!

Untuk Rekod Presiden PAS pernah menang kes saman lawan Daily Mirror, sebuah akhbar berpangkalan di London pada tahun 2007 apabila akhbar yang berpangkalan di London tersebut menyiarkan gambar Presiden PAS dan mengaitkan Tuan Guru Presiden dengan beberapa siri keganasan dan pengeboman di United Kingdom. Akhirnya Daily Mirror terpaksa bayar ganti rugi dan mengemukakan permohonan maaf. Mungkin Sarawak Report miss dengan rekod ini. - HARAKAHDAILY 27/6/2017

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan ucapan Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri buat semua anak muda dan ummat Islam seluruh Malaysia.

muda1PERUTUSAN KHAS SEMPENA HARI RAYA ‘IDIL FITRI DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan ucapan Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri buat semua anak muda dan ummat Islam seluruh Malaysia. Tarbiyah Ramadhan yang dilalui pada kali ini, diharap akan memberi satu kesan yang besar dalam kehidupan.

Kehidupan yang dilalui dengan penghayatan Islam sebagai agama yang syumul pasti memberikan kekuatan kepada kita semua.

Kemelut politik yang berlaku di dunia Islam umumnya dan di Malaysia khususnya memberikan banyak pelajaran berguna buat semua anak muda. Keyakinan kita sebagai anak muda Islam, tetap kukuh meyakini Islam adalah penyelesaian dalam setiap kemelut yang berlaku. 

Ramadhan akan melahirkan rakyat dan pemimpin yang berintegriti tinggi. Kunci TAQWA yang dijanjikan oleh Allah SWT buat hambanya yang beriman merupakan petanda jelas puasa berjaya membentuk kekuatan ini.

Mewakili seluruh saf kepimpinan DPPM, saya sekali lagi merakamkan ucapan Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri. Maaf zahir dan batin. Semoga semua amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan akan diterima Allah SWT dengan sebaiknya.

Mudah-mudahan sambutan hari raya kali ini menjadi pemangkin kepada umat Islam untuk menegakkan ugama Allah di dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.  

Sambutlah ‘Idil Fitri dengan penuh keceriaan dan kemuliaan bersama Islam.

Sekian, terima kasih.

“Mara Menuju Cita”
“Sejahtera Bersama Islam”

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

ALHAMDULILLAH, kita telah menyempurnakan Ramadhan. Pejuang-pejuang Islam sangat beruntung kerana di bulan Ramadhan, al Quran yang kita tadarus merupakan dasar kita sendiri. Ini bermakna kita sedang membaca dasar-dasar perjuangan kita yang termaktub dalam Al Quran. Pejuang-pejuang sekular teramat rugi kerana mereka tidak mempunyai kitab untuk mereka tadarus. Jika mereka tadarus Al Quran sekalipun, kitab itu tidak mereka jadikan sebagai dasar. Sebab itu menjadi seorang pejuang Islam benar-benar suatu tuah yang diberikan oleh Allah Taala.

Ramadhan mengajar kita untuk cakna kepada orang yang tidak berkemampuan. Allah Taala menciptakan di dunia ini orang-orang kurang berkemampuan untuk menjadi ujian kepada orang-orang yang mampu. Di akhirat nanti akan ditanya, setakat mana orang-orang yang mampu ini menghulurkan bantuan kepada orang-orang yang kurang mampu. Sebab itu saudara-saudara kita yang kurang mampu sedikit untung sebab terlepas soalan ini di akhirat nanti. Manakala yang berkemampuan perlu pastikan duit kita pada hari ini kita peruntukan untuk beli pahala selain beli pakaian, laut pauk, beras dan keperluan hidup. Bila kita membeli belah di kedai, kita tukar duit dengan barang, sebab itu kita tidak sayang belanjakan duit kerana nampak barang di depan mata. Namun sedarkah kita bila kita laburkan duit untuk kebaikan, seperti kita beli pahala dengan duit kita. Walaupun pahala ini benda tak nampak, tapi itulah saham kita di akhirat.

Sahabat-sahabat Nabi Radiallahuanhum, juga hadir dari pelbagai latar belakang. Antara mereka golonggan Ahlus Suffah yang tak memiliki apa-apa. Menjadikan bilik-bilik berhampiran Masjid Nabi di Madinah sebagai tempat tinggal. Antaranya Abu Hurairah r.a. sahabat Nabi yang banyak meriwayatkan hadis, Tetapi kekurangan dan kemiskinan tidak sama sekali dijadikan alasan untuk meminggirkan diri dari perjuangan. Mereka adalah pejuang-pejuang saf hadapan di medan jihad, hafal Al Quran serta tinggi ilmu pengetahuan.

Ada sahabat yang dianugerahkan kekayaan seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf radiallahuanhuma. Kekayaan mereka berdua adalah rahmat bagi golongan fakir dan miskin.

Sungguh murni ajaran agama Allah. Islam telah mengajar kita, rezeki yang mengalir ke kantung kita, bukan milik kita seorang. Ianya juga adalah milik orang lain yang diamanahkan melalui poket kita. Dari sinilah lahirlah sebuah masyarakat yang hebat, penuh rahmat dan kasih sayang antara sesama hamba Allah.

Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya):

Bila tiba malam idul fitri yang dipanggil malam pembahagian hadiah maka pada pagi harinya diutuskan para malaikat yang berdiri di persimpangan jalan sambil berseru dengan suara lantang yang didengar oleh semua kecuali jin dan manusia. Hai manusia! Keluarlah kamu kepada Tuhan kamu yang pemurah, memberi yang besar dan mengampunkan dosa-dosa besar. Maka apabila mereka telah keluar untuk menunaikan solat Idul fitri, Allah berfirman kepada para Malaikat.

Hai Malaikatku, bagaimana upah untuk seorang buruh bila dia telah selesai melakukan pekerjaannya?

Jawab para Malaikat; Upahnya mesti dilunaskan segera.

Maka Allah berfirman; Saksikanlah wahai Malaikat bahawa pahala puasa dan bangun malam Ramadhan itu keredhaanku dan keampunanku.

Kemudian Allah berfirman; Mintalah wahai hambaku. Demi kemulianku dan kebesaranku tiadalah kamu minta urusan dunia dan agama melainkan aku berikan kepadamu.

Allah tidak pernah menghalang fitrah manusia yang mahukan kegembiraan. Fitrah ini perlu disalurkan mengikut kehendak Allah. Semasa berada selama 13 tahun di Mekah, umat Islam susah nak bergembira dan mengamalkan agama kerana penindasan  kerajaan Mushrikin Mekah.

Nikmat kebebasan beragama dan berhari raya hanya mulai dirasai setelah berhijrah ke Madinah. Kesimpulannya hari raya yang disambut umat Islam bukan hanya sambutan anjuran kerajaan tetapi ia adalah anjuran Allah Penguasa Alam, sehingga puasa pada hari ni pun diharamkan sama sekali. Bahkan sesiapa yang cuba berpuasa pada hari itu akan berdosa. 

Sambutan hari raya yang disertai takbir adalah manifestasi syukur kepada Allah yang telah mengurniakan hidayahNya kepada kita. Ini difahami dari firman Allah: 

 يُريدُ اللَّهُ بِكُمُ اليُسرَ وَلا يُريدُ بِكُمُ العُسرَ وَلِتُكمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلىٰ ما هَدىٰكُم وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Ertinya: Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. 

Hidayah itu pula bukan menjadi milik kita yang boleh diambil atau dibuang dengan mudah seperti kita menekan atau menutup suis lampu di rumah kita. Ia adalah milik mutlak Allah, namun tingkah laku kita juga memainkan peranan untuk memudahkan hidayah Allah menjengah masuk ke hati kita. Ini berdasarkan firman Allah: 

وَالَّذينَ اهتَدَوا زادَهُم هُدًى وَءاتىٰهُم تَقوىٰهُم 

Ertinya: Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayat petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertakwa (Muhammad[47:17]). 

Bulan Ramadhan yang baru berlalu adalah bulan puja al-Quran. Selain hari raya yang menjadi sambutan tahunan, umat Islam juga perlu mendengar khutbah mingguan pada hari Jumaat.

Antara rukun yang perlu dilaksanakan dalam khutbah mingguan atau tahunan ini adalah untuk mendengar bacaan ayat al-Quran tanpa mengira jenis ayatnya. Rukun ini bertujuan mengajar umat Islam untuk menghayati al-Quran secara konsisten.

Dengan ini, umat Islam akan sedar fungsi al-Quran kepada kehidupan mereka.

Islam wajib diamalkan secara penuh sebagaimana firman Allah: 

Ertinya: Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu (al-Baqarah 2:208). 

Para pemimpin yang hanya mengambil ajaran Islam secara terpilih samalah seperti seorang pemimpin yang melonggarkan skru pada tayar kereta. Akibatnya rakyat bawahan yang lebih jahil akan terus membuang skru yang sudah sedia dilonggarkan oleh para pemimpin yang jahil. Atau tayar tersebut yang digunakan oleh rakyat jelata akan senang tercabut apabila bergerak. Ini analogi bagaimana rakyat secara jelas meninggalkan agama yang berpunca daripada kejahilan dan kelonggaran pemimpin. 

SARAWAK Report berjaya mengumpul GB£30,000 (RM160,000) bagi dana guamannya untuk menangkis saman fitnah yang dikemukakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.  Hanya dalam masa 3 hari sahaja berjaya dikutip daripada 615 penderma.

Mungkin akan dapat banyak lagi. Pakatan moden  peringkat antarabangsa akan melawan PAS. Mereka akan bersatu untuk memadam cahaya perjuangan PAS. Mereka cukup dendam dan benci pada PAS kerana PAS parti tegar dengan prinsip Islam. Tidak pernah tunduk kepada sesiapa. PAS tidak tunduk kepada sesiapa. PAS tidak ada tuan yang memberi dedak sama ada tuan luar negara atau dalam negara. PAS adalah PAS.

Mereka yang berada di belakang Sarawak Report akan berlumba-lumba untuk  berderma kerana anggap ini adalah sedekah jariah kot. Insya-Allah PAS akan hadap semua cabaran ini dengan kekuatan ahli PAS dan memohon pertolongan Allah.

AHLI PAS TERUTAMANYA BOLEH INFAQ MELALUI AKAUN:

NAMA BANK: MAYBANK
NAMA AKAUN: PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
NO AKAUN: 5640 7070 5537.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
2 Syawal 1438/26 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 26/6/2017

Sesungguhnya kedatangan hari raya Aidil Fitri adalah suatu anugerah Allah kepada umatnya untuk meraikan kemenangan melaksanakan ibadah puasa selama sebulan.

ulamaAssalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saidina Anas R.A ada berkata:

Maksudnya: “Ketika Nabi SAW datang ke Madinah, didapati penduduk Madinah mempunyai dua hari yang mereka sambutnya dengan riang dan berseronok. Maka baginda bersabda “Setelah aku datang ke tempat kamu dan mendapati kamu mempunyai dua hari raya (pada masa Jahiliyah) yang kamu sambutnya dengan riang dan bermain (sesama kamu). Sesungguhnya Allah telah mengganti keduanya dengan yang lebih baik bagi kamu, iaitu hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha”. (Riwayat Al-Nasaie dan Ahmad)

Sesungguhnya kedatangan hari raya Aidil Fitri adalah suatu anugerah Allah kepada umatnya untuk meraikan kemenangan melaksanakan ibadah puasa selama sebulan. Hari yang masih berbaki pada hari ini hendaklah disertakan dengan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah. Menjelangnya hari raya nanti, kita akan menyambutnya dengan laungan takbir dan ini membuktikan hakikat kesyukuran yang diraikan oleh umat Islam seluruhnya. Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: "Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) diatas kurniaan hidayah kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur." (Al-Baqarah: 185)

Hari raya turut menggambarkan kepada kita episod perjuangan umat Islam menentang kerakusan hawa nafsu dan serangan musuh Islam terhadap agama. Allah akan menguji umat Islam untuk mengetahui sejauh mana kesediaan mereka melaksanakan janji terhadap Allah dan kesanggupan mereka dalam berkorban untuk Islam. Dengan hasil usaha ini, Allah pasti akan memberi kemenangan pada suatu masa yang ditentukan.

Begitulah keadaannya ketika kita berpuasa. Pelbagai cubaan dan rintangan dihadapi untuk Allah mengurniakan pada 1 Syawal kemenangan-Nya yang hakiki. Dewan Ulamak PAS Pusat akan sentiasa berdiri teguh dalam mempertahankan tuntutan Islam dan memperjuangkan pelaksanaan syariat di Malaysia tercinta walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Saya dan seluruh kepimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat mengajak seluruh umat Islam untuk berganding-bahu dalam membangunkan masyarakat dan negara yang sejahtera demi memperjuangkan syariat. Sempena sambutan hari raya bagi tahun 1438 Hijriyah ini, seluruh saff kepimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada seluruh umat Islam dimana sahaja mereka berada, Maaf Zahir Batin.

SEJAHTERA BERSAMA ISLAM

MEMBINA NEGARA SEJAHTERA

USTAZ DATO' DR. HJ. MAHFODZ MOHAMED
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

SAYA mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Eidul Fitr kepada seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada.

Saya juga ingin memohon ampun dan maaf di atas segala kesalahan dan kesilapan.

Semoga peningkatan amal ibadah pada bulan Ramadhan yang lepas akan terus dikekalkan.

Ketika kita meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa, janganlah kita melupakan nasib  umat Islam yang tidak dapat bergembira seperti kita. Sambutlah Hari Raya secara sederhana dan doakan penderitaan umat Islam di Palestin, Syria, Rohingya dan negara-negara lain akan berakhir.

Marilah kita menggunakan peluang di hari yang mulia ini untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di antara kita tanpa mengira bangsa dan agama.

Satu fenomena yang baru telah melanda pada bulan Ramadhan yang lepas. Ramai Ahli-Ahli Dewan Negeri beragama Islam di Selangor telah menganjurkan majlis-majlis berbuka puasa antara budaya yang menjemput masyarakat bukan Islam untuk bersama-sama berbuka puasa.

Majlis-majlis seperti ini telah dianjurkan di negara-negara di mana umat Islam adalah minoriti seperti di Eropah. Ia telah dapat merapatkan jurang di antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Ini penting ketika terdapat prejudis terhadap masyarakat Islam akibat perkembangan terkini dunia.

Di Selangor, majlis-majlis itu telah memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk mengenali Islam dengan lebih dekat. Ia dapat meningkatkan kefahaman terhadap Islam dan mengurangkan sebarang tanggapan
yang tidak tepat.

Ini amat penting bagi negeri yang berbilang kaum seperti Selangor di mana perlu wujud persefahaman dan kerjasama di antara pelbagai kaum. Ia adalah satu realiti yang tidak dapat dinafikan.

Majlis-majlis itu juga dapat menyatukan rakyat sesuai dengan Islam sebagai rahmat sekelian alam.

Alhamdulillah rakyat Selangor dapat hidup dalam keadaan harmoni dan sejahtera. Kerjasama di peringkat kerajaan negeri juga telah berjalan dengan baik dan rakyat telah menerima pelbagai manfaat dari satu gandingan yang mantap.

Oleh yang demikian marilah kita sama-sama berdoa dan berharap agar negeri Selangor kekal ditadbir dengan cemerlang. Kita bersyukur kerana kejayaan kita di Selangor telah diiktiraf oleh kawan dan lawan.

Semoga tradisi bakti untuk semua akan diteruskan.

Bakti Untuk Semua

DATUK ISKANDAR A. SAMAD
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
1 Syawal 1417 / 25 JUN 2017 – HARAKAHDAILY 25/6/2017

More Articles ...