21
Tue, May
18 Artikel Baru

PAS merakamkan sepenuh penghargaan dan tahniah kepada Jemaah Pengampunan Pahang yang bercadang mengguna pakai kaedah diyat sebagai alternatif terhadap banduan yang berhadapan hukuman mati bagi sabitan membunuh sebagaimana yang telah diumumkan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Ibn Sultan Haji Ahmad Shah.

Kaedah ini bukan sahaja memberi hak kepada waris untuk menuntut ganti rugi atau memaafkan pesalah, sebaliknya ia memberi peluang kepada pesalah yang dihukum mati mendapatkan kemaafan atau gantirugi dari waris si mati.

Lebih penting daripada itu, kaedah ini membuka peluang kepada keluarga mangsa untuk menghapuskan dendam kepada penjenayah dan juga peluang kepada penjenayah untuk berubah.

PAS juga menyokong cadangan Tengku Abdullah agar kaedah diyat juga dipraktikkan kepada bangsa-bangsa lain, tidak tertakluk kepada orang Islam semata-mata.

PAS menggesa agar para mufti dapat bersatu untuk menyokong dan mengangkat cadangan Tengku Abdullah ini.

Sehubungan itu PAS berharap Majlis Pengampunan Negeri-Negeri lain turut melaksanakan kaedah yang sama, demi mengangkat sistem perundangan Islam di negara ini.

Kaedah diyat ini wajar disokong kerana ia dapat menunjukkan ketinggian dan kebaikan agama Islam.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
3 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 3/5/2017

ISLAM telah mengatasi pertembungan ganas di antara agama dan memberikan garis panduan yang jelas mengenai sikap terhadap pihak lain termasuk dengan musuh sekalipun.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kecelaruan dan permusuhan hingga berlaku serangan ke atas gereja, hotel, masjid dan kedutaan asing bukanlah daripada sikap Islam.

Terangnya, selain ayat 40 dan 41 surah al-Hajj, hadis-hadis Nabi juga menunjukkan sunnah terhadap diplomat asing termasuk negara musuh yang tidak boleh diganggu, sebaliknya diberikan keamanan.

Jelas beliau, pada ayat 7 hingga 9 surah al-Mumtahanah, Allah SWT menerangkan hubungan itu dan hikmah dari sikap yang ditunjukkan.

“Penganut Islam bertambah selepas Sulh Hudaibiyah dan berlipat ganda selepas Fathu Makkah. Konsep zakat muallaf dalam Islam, kalau kita baca fekah Mazhab Hanafi dan Maliki, mazhab yang paling banyak pengikutnya dalam negeri masyarakat majmuk yang berbeza dengan fekah Mazhab Syafi'e dan Hambali, yang tersebar di negeri yang majoriti orang Islam, seratus peratus orang Islam, Hijjaz Makkah dan lain-lain.

“Di mana konsep Abu Hanifah dan Imam Malik dalam zakat muallaf dibolehkan zakat diberi kepada mereka yang sudah masuk Islam untuk dibantu yang baru masuk Islam, dan mereka yang belum masuk Islam untuk berjinak dengan mereka. Ini konsep zakat, muallaf kulubuhum.
 
“Ulama kita perlu kaji, jangan kaji kitab fekah sahaja, kena kaji kitab tarikh, kaji sama kitab sirah, kena kaji dan kitab-kitab tafsir, membahaskan perkara ini,” seru beliau dalam ucapan penangguhan pada Muktamar PAS Kali Ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini semalam.

Terdahulu beliau menerangkan mengenai sensitiviti agama dan adab dalam berdakwah dengan menegaskan supaya tidak berlaku perbuatan mencaci cerca sembahan yang selain dari Allah walaupun tidak bersetuju kerana ia akan menimbulkan sikap melampaui batas.
 
Menurut Tuan Guru, Abul Hasan Ali Hasani Nadwi seorang pendakwah India tersohor dan  hidup di tengah masyarakat Hindu menasihatkan orang Islam supaya tidak menyembelih lembu secara terbuka di hadapan orang Hindu sebagai menghormati sensitiviti mereka. –HARAKAHDAILY 2/5/2017

PRINSIP dalam PAS akan menjadi lebih berkesan apabila dilaksanakan secara kolektif melibatkan aspek penyusunan tanzim jamaah berdasarkan konsep amal jamaie, demikian menurut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, pengalaman ulama haraki telah menghuraikan empat elemen utama dalam mencapai matlamat kepada kejayaan itu iaitu al-Imarah (kepimpinan), asy-Syura (mesyuarat), ath-Tha’ah (ketaatan) dan al-Bai‘ah (janji kesetiaan).
 
“Berjaya atau tidaknya pengurusan sesuatu jamaah itu mencapai matlamatnya amat bergantung kepada keupayaan barisan pimpinan yang mengendalikan teraju kepimpinan jamaah itu dan kesetiaan anggotanya menyokong kepimpinan.

“Terlalu banyak nas al-Quran dan Hadis tentang perlunya organisasi mempunyai pemimpin yang cekap serta kepimpinan yang baik. Dengan wujudnya pemimpin, maka mesti lahir pula ketaatan yang penuh tertib dan beradab oleh ahli yang bersetuju melantik pemimpin tersebut.

“Dengan demikian baru lah terbentuk saf Jamaah Harakah Islamiyah yang tersusun kukuh. Di sinilah terletak persoalan at-Tha'ah, al-Wala'. Yang kita maksudkan bukanlah setia membabi buta kepada jamaah atau pemimpin, ia adalah kesetiaan kepada Islam yang diterjemahkan melalui jamaah,” ujarnya dalam ucapan penangguhan pada Muktamar PAS Kali Ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini semalam.
 
Tuan Guru memetik kisah Panglima Khalid Bin Al-Walid yang diarah Khalifah Umar Ibnul Khattab R.A supaya mematuhi Abu Ubaidah Al-Jarrah sebagai ketua walaupun jelas Khalid lebih terserlah dalam aspek ketenteraan.

Tetapi terang beliau, sempadan negeri sudah besar dan masyarakatnya lebih majmuk, di mana Abu Ubaidah adalah orang paling layak, namun Khalid terus melaksanakan tugas dengan setia tanpa ‘menubuhkan parti baru’.
 
Begitu juga petiknya kisah Ka'ab bin Malik dan Sahabat-sahabat yang tersilap dalam peristiwa Tabuk di mana mereka dipulau oleh Nabi dan para Sahabat lain, tetapi tidak bertindak keluar jamaah.
 
“Dalam sejarah PAS banyak peristiwa mereka yang sudah mati, Dr Abbas Ilyas, Ustaz Hassan Syukri, Ustaz Abu Bakar Hamzah, Almarhum Tuan Guru Haji Harun Taib, contoh mereka yang sudah mati; dipilih (atau) tak dipilih, tetap bersama jamaah. Tak dipilih dalam muktamar, jadi ahli biasa.

“Dr Haji Abbas Ilyas, terus hadir sampai akhir hayat. (Beliau) Presiden PAS yang kedua, turun jadi AJK Pusat, turun jadi ahli biasa, tetap hadir ke Muktamar PAS, ini contoh. Ustaz Hassan Syukri, bertanding Timbalan Presiden, tak dipilih, terus dengan PAS, berkhidmat dengan PAS. Almarhum Ustaz Harun Taib begitu juga.

“Ustaz Abu Bakar Hamzah diambil tindakan disiplin, dipecat daripada parti. Saya masih ingat lagi, Almarhum suka buat kenyataan sendiri, cirit birit mulut. Walaupun dipecat, dia tetap bergantung dengan PAS. Tak pergi kepada parti lain, tak buat parti lain. Akhir dia diambil balik,” ujarnya turut memuji Veteran PAS yang lain iaitu Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok dan Subky Latif.

Tuan Guru turut mengingatkan betapa Allah telah  men_takzim_ dan men_tahzil_kan Quran sebagai panduan hidup sepanjang hayat, supaya dijadikan petunjuk dan bukannya asyik dengan media baru yang sangat menggoda. – HARAKAHDAILY 2/5/2017

MUKTAMAR PAS Pusat kali ke-63 telah melabuhkan tirainya dengan perwakilan daripada seluruh negara telah memilih kepimpinan PAS bagi sesi 2017-2019. Muktamar yang mendapat liputan luas media ini berlangsung dalam suasana penuh bersemangat dan paling ramai dihadiri oleh para pemerhati. Muktamar ini juga mendapat sorotan meluas kerana perwakilan memilih kepimpinan PAS untuk sesi 2017-2019. PAS dilabel sebagai parti lebai kampungan dan kami tidak pernah berkecil hati dengan gelaran tersebut malah merasa bangga menggalang gelaran "lebai " kerana kelompok inilah yang paling merakyat dalam hirarki sosial orang Melayu.

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia ialah satu-satunya anak almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang terlibat secara aktif dalam PAS diperingkat nasional. "Anak butir" tok guru ini mendapat pendidikan tinggi di Deoband India, seterusnya ke Universiti al Azhar Mesir. Beliau terlibat secara aktif sejak pulang ke tanah air dengan pemuda PAS di Pengkalan Chepa dan juga Dewan Pemuda PAS Kelantan. Penulis prolifik ini juga menggerakkan institusi pendidikan Islam seperti Maahad Tahfiz Nikmatillah Kelantan dan Maahad an Nur Terengganu.

Dr Fadzli Hassan bekas pensyarah UIAM lahir daripada rahim tarbiah PAS semenjak remaja dan mendapat doktorat daripada Universiti Birmingham United Kingdom dalam bidang undang-undang Perlembagaan. Dr Khairuddin at-Takiri pula bekas pensyarah UKM yang mendapat ijazah MA daripada Universiti Jordan serta mempunyai doktorat daripada UKM.

Dr Zuhdi Marzuki mantan Timbalan Presiden GAMIS, tokoh muda radikal di zaman kampus yang menjadi dalang bantahan konsert Sheila Majid. Beliau pelajar pintar yang diasuh semenjak remaja sebagai pimpinan PAS. Mendapat doktorat daripada Universiti of Wales, UK. Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah pula merupakan anak kepada tokoh ilmuwan Kedah. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Syariah Undang-Undang daripada UKM, dan MA dalam Undang-Undang Perbandingan di UIAM. Manakala, mantan Ketua Dewan Ulama PAS Kedah ini berdoktorat Pengajian Islam di UKM. Haji Razman Zakaria, bekas Penolong Kanan Pengarah Kastam Selangor yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) UKM dan Ijzaah Sarjana dalam bidang pentadbiran Awam daripada UM.

Ustaz Sallehen Mukhyi, mantan Exco kerajaan Selangor adalah tokoh gerakan mahasiswa di zaman mudanya. Bergraduan daripada UKM, seterusnya ke kampus Jordan dan UM. Ustaz Dato' Nasaruddin Daud mencicip ilmu di Universiti al Azhar merupakan Exco Kerajaan Kelantan. Tokoh agama ini juga adalah pemimpin pemuda di zamannya.

Dr Rosni Adam pengamal perubatan muslimah bergraduan daripada Universiti Malaya. Anak Johor ini mantan aktivitis pelajar di zaman kampus seterusnya terjun aktif bersama Dewan Muslimat. Beliau juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia. Dr Halimah Ali dilahirkan di Marudi Sarawak, mantan Ketua Urusan Muslimat Persatuan Mahasiswa Islam Tasmania, mendapat pendidikan di Elizabeth Matriculation College, Hobart Tasmania, seterusnya memperolehi Ijazah Perubatan daripada Universiti Tasmania. Mantan Exco Selangor yang juga kini Adun Selat Klang ini juga mempunyai Diploma Tasawwur Islam ILHAM.

Ustaz Mokhtar Senik mendapat pendidikan tinggi di Universiti Pakistan dan juga di Makkah. Beliau juga merupakan pengasas kepada Kompleks Pendidikan An-Nur di Kuantan, Pahang. Muhtar Suhaili As-Sarawaki merupakan anak Sarawak yang bertugas sebagai Jurutera Kanan di sebuah Syarikat Minyak dan Gas Antarabangsa dan berpengalaman bertugas di beberapa tempat dalam dan luar negara. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatroniks dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Sarjana Master Teknologi Petroleum dari Curtin University Australia.

Ustaz Misbah Munir Masduki, mantan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan juga aktivis Yayasan Amal Malaysia merupakan lulusan Universiti Malaya untuk Ijazah Pertama. Mendapat MA (Sains Politik) daripada UKM. Calon PhD ini juga ialah Mudir Pusat Dakwah Serantau yang aktif mencetak kader-kader dakwah. Dr Azman Ibrahim, anak muda kelahiran Besut Terengganu pula mendapat pendidikan di Matrikulasi Universiti Malaya. Mendapat Ijazah Pergigian di Universiti Baghdad Iraq, seterusnya berkhidmat dengan Hospital kerajaan sebelum mempunyai Kliniknya sendiri di Kubang Kerian Kelantan.

Dr Najihatussalehah Ahmad, merupakan AJK Dewan Muslimat PAS Pusat yang aktif. Beliau bergraduat daripada Universiti Malaya dalam bidang Perubatan dan aktif dengan gerakan Mahasiswa Islam semenjak di alam kampus. Kamaruzaman Mohamad,mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ialah penggerak utama bantahan awam di negara ini. Beliau memiliki ijazah Sains Pendidikan daripada kampus UPM serta Ijazah Sarjana daripada Universiti yang sama dalam bidang Pengurusan Teknologi Maklumat. Usahawan berjaya ini juga adalah calon PhD di sebuah universiti tempatan.

Ustaz Abdullah Hussin, ahli legislatif daripada Johor ini merupakan tokoh pendidikan Islam di negeri tembuni UMNO ditanam. Mendapat pendidikan di Universiti al Azhar Mesir, pulang ke tanahair menjadi pengasas pusat pendidikan Islam.

Naib-Naib Presiden pula mempunyai latarbelakang pendidikan yang piawai serta penglibatan sosiopolitik yang mapan semenjak remaja. Ustaz Idris Ahmad bekas pensyarah UITM, calon doktorat universiti tempatan dan johan Pidato kebangsaan semasa belajar di KIK. Beliau memimpin pelajar di UKM di zaman kampus.

Dato Nik Amar Nik Abdullah, bekas Ketua Pelajar Maahad Muhammadi Kelantan. Anak tokoh PAS, Ustaz Nik Abdullah Arshad, beliau mempunyai M (Phil) daripada Universiti Birmingham UK. Nik Amar adalah mantan pensyarah UIAM. Dato' Iskandar A Samad adalah alumni MCKK serta belajar dalam bidang senibina daripada Universiti Humberside UK. Exco kerajaan Selangor ini terasuh cermat dengan sistem tajnid PAS.

Timbalan Presiden pula adalah mantan pensyarah kanan UITM. Beliau mendapat memperoleh Sarjana dalambidang Dakwah dan Kepimpinan daripada UKM, sebelum menyambung ijazah PhD beliau dipanggil bertanding di DUN Jengka. Dato Tuan Ibrahim menjadi Adun Jengka pada tahun 1999 sehingga 2004.

Ayah Chik Tuan Guru Presiden ialah ilmuwan yang diiktiraf dunia Islam yang telah mengarang hampir 100 buah buku. Naib Ketua Kesatuan ulama Dunia ini memperolehi kesarjanaan daripada Asia Barat, Madinah dan Mesir. Dr Shamsuri Mokhtar setiausaha politik Presiden ialah pakar aero angkasa Malaysia mendapat doktorat daripada Universiti Leeds UK.

Kabinet kepimpinan baru PAS Pusat yang dipilih oleh perwakilan di Kompleks PAS Kedah ini adalah gambaran masa depan PAS, mereka akan merencanakan rentak dan orientasi perjuangan Islam dengan dipandu oleh Majlis Syura Ulama. PAS adalah pemain utama politik negara ini dengan menelusi sejarah panjang 66 tahun meredah belantara perjuangan. Berdepan dengan kelompok sekular pragmatis, kelompok sosialis, liberal demokrat dan juga pembenci-pembenci yang tidak akan berhenti menghadang perjalanan panjang ini. Ayuh mara mencapai cita, sejahtera bersama Islam! – HARAKAHDAILY 2/5/2017

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, pendakwah dan Perunding Motivasi)

PERTANDINGAN jawatan dalam PAS Pusat hanyalah penawaran diri di kalangan adik-beradik untuk sama-sama nak bantu kerja ayahanda melaksanakan suatu urusan yang sangat besar.

Kami calon-calon yang bertanding dalam pemilihan PAS adalah adik-beradik yang saling mengasihi antara satu sama lain. Masing-masing ada kelebihan untuk buat kerja. Kekurangan yang ada itu memang perkara lumrah kerana kita adalah manusia.

Kesetian kami bulat kepada ayahanda Tuan Guru Presiden selaku ketua keluarga. Sejarah perilaku anak-anak yang pergi berpakat dengan orang lain untuk nak khianat kepada ayah sendiri dah berlalu pada tahun 2015. Semoga ianya menjadi sejarah yang tak berulang lagi.

Menang adalah amanah untuk kita pikul tanggungjawab. Tak menang terlalu banyak lagi tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan. Jawatan dalam sebuah gerakan Islam adalah taklif (tanggungjawab) dan bukannya tasyrif (kemulian). Bila Allah nilai kita tak mampu pikul satu tugas, Allah akan bagi kita satu tugas yang lain.

Dalam PAS, beban amanah kita pikul secara bersama. Ia bukan kerja individu dengan skill keupayaan luar biasa seperti Ultraman, Batman dan Superman. Makhluk bertaraf ultra sebegini tiada tempat dalam PAS.

Semua yang berada dalam PAS dari atas ke bawah di semua peringkat adalah batu bata yang saling mengukuhkan binaan saf perjuangan ini. Semua kita adalah penting. Walau hilang hanya seketul bata maka akan nampak kecacatannya. Sama ada tangga atau atap, kedua-duanya sama-sama penting dalam binaan ini. Tangga jangan rasa hina kerana berada di bawah dan selalu dipijak kerana atap yang berada di atas terlebih dahulu bertanggungjawab meneduhkan tangga dari hujan dan panas. Kalau dipanah petir, atap yang di atas akan kena dulu.

Saf kepimpinan PAS Pusat yang baru ditaklifkan semalam bakal berdepan dengan ujian besar PRU14. Tuan Guru Presiden telah membentangkan hala tuju parti dalam ucapan dasar dengan jiwa seorang negarawan. Tanggungjawab kami saf Jawatankuasa PAS Pusat untuk menyambut segala lontaran idea dan saranan Tuan Guru Presiden lalu diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja pemasaran bagi memasarkan PAS ke tengah khalayak. Produk yang baik perlu dipasarkan dengan cara yang terbaik. Selamanya kita tetap yakin bahawa yang terbaik adalah produk Islam.

Mesej PAS adalah bertujuan untuk menyelamatkan manusia dengan Islam. Beramal apa yang mampu dan bersabar dalam berjuang bagi melaksanakan tuntutan Islam yang dihalang.

Kerja PAS adalah untuk membina sebuah negara yang sejahtera bersama Islam. Malaysia adalah negara kita dengan kepelbagaian kaum yang mengamalkan kehidupan beragama dengan pelbagai kepercayaan. Apa yang penting ialah bagaimana untuk kita meyakinkan masyarakat bahawa Islam adalah penyelesaiannya.

Saya cukup yakin tak ada lagi anak-anak yang lari dari rumah lepas Muktamar Alor Setar. Cukuplah iktibar yang diambil dari akibat yang telah menimpa mereka yang pilih untuk meninggalkan keluarga besar perjuangan Islam ini.

Kepada Allah kita berserah segalanya.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
5 Syaaban 1438 / 2 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 2/5/2017

PERJANJIAN ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ yang pernah dimeterai pihak tertentu bersama PAS dahulu hanyalah untuk memperalat parti Islam ini bagi memenuhi agenda mereka, demikian bidas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Kerana itu tegasnya, tidak mungkin PAS boleh bersetuju untuk mereka menentang Islam yang dibawa sedangkan penubuhan parti itu sejak tahun 1951 adalah semata-mata untuk Islam.

“Penurunan PAS dalam kancah politik tanah air tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mempertahankan hasrat Islam yang ia mendaulatkan Islam menerusi perbahasan matang dan sejahtera di Dewan Rakyat. Kita juga melihat bertapa kesannya ‘bi iznillah’.

“Bagaimana tahun 2016 yang lalu, dengan tema Budaya Politik Matang Sejahtera, kita berjaya mengemukakan suatu wacana politik sihat yang memikat parti politik yang bersaing di pentas pilihan raya yang sama setiap penggal,” ujarnya dalam ucapan penangguhan pada Muktamar PAS Kali Ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini semalam.

Menurutnya, Majlis Syura Ulamak PAS selepas Muktamar PAS tahun lalu telah bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketakwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangannya.

Maksud itu jelas beliau, telah dinyatakan juga pada muktamar tersebut bahawa PAS ingin keluar dari politik cara lama dan keterlaluan yang menyusahkan rakyat.

Malah PAS katanya, sejak Pilihan Raya Umum Pertama tahun 1955 telah bersendirian menentang parti-parti politik termasuk Umno yang juga dianggotai umat Melayu-Islam kerana berbeza pendekatan.

Namun terangnya, walaupun saling berbeza, berlawan, berbalah dan bertengkar, tetapi PAS menjaga batas dan sedia menarik ‘brake’ jika terlanjur supaya tidak merosakkan keharmonian masyarakat dan persaudaraan.

Beliau bersandarkan kalimah “akh-kha hum” (saudara mereka) pada ayat 73 surah al-A’raaf yang diajar Allah melalui kisah kaum ‘Ad dan Tsamud yang diutuskan kepada Nabi Hud dan Nabi Soleh.
 
“Majlis Syura Ulamak PAS telah pun mendepani prinsip dan dasar yang jelas dalam hubungan antara PAS dengan pihak-pihak lain dengan membawa agenda tarbiyah, dakwah, siyasah oleh kepimpinan PAS.

“Kita juga dapati dengan izin Allah, apa yang selama berdekad-dekad dianggap musuh politik nombor wahid PAS selama kini, mereka sudah bersedia memahami kita seperti sebuah parti politik Islam, memahami maksud surah al-Anfal yang kita baca awal-awal tadi,” terangnya menyatakan PAS menyambut kerjasama berkenaan berpandukan ayat 2 surah al-Ma’idah.
 
Menurut Tuan Guru, dengan hidayah Allah, Usul RUU355 dapat dibentangkan dan Yang di-Pertua Dewan yang mengakui faham isi kandungan, tujuan serta huraian itu telah menangguhkan sidang tanpa perbahasan menggunakan kuasa ada padanya supaya lebih difahami dan memberikan masa.

Bahkan jelas beliau, sikap PAS itu bersesuaian dengan manhaj Muwajahah Silmiyah yang diamalkan PAS sejak sekian lama sebagai pendekatan siyasah syar’iyyah.

“PAS telah mengingatkan semua wakil rakyat yang saya tegaskan, jangan permain-mainkan agama Islam yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengangkat sumpah jawatan akan memelihara agama Islam sebagai agama negara.

“Mendaulatkan Islam sebagai agama negara menjadi cita-cita setiap warga Islam Malaysia, dan PAS akan terus membawa obor mendaulatkan Islam di negara ini dalam kerangka perlembagaan Persekutuan sedia ada,” ujarnya sambil mengimbas kembali detik-detik sejarah 6 April itu kepada para perwakilan.

Namun katanya, mesti diingat bahawa ia bukan satu anugerah, malah bersifat mehnah ujian Allah SWT dan amanah dipertanggungjawab ke atas pundak PAS setelah sanggup merentasi gelombang politik tanah air untuk menyampaikan dakwah pada masyarakat Malaysia yang disayangi. – HARAKAHDAILY 2/5/2017

AHLI PAS perlu melahirkan kelayakan syakhsiyah menerusi persediaan jati diri dengan ilmu dan akhlak sama ada dari tarbiyah parti atau bersendiri serta mempunyai kemahiran dan alat-alat yang cukup, di samping kewangan mengikut kemampuan.

Perkara itu diutarakan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan penangguhan pada Muktamar PAS Kali Ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini semalam.

“Allah tidak memaksa kita, jangan sembunyikan kemampuan. Orang yang mampu RM10, ikhlas RM10 (pasti) diterima Allah. Orang yang mampu RM1 juta, (tapi) beri RM100,000, itu menipu. Ini (kena) faham, Allah mengetahui kemampuan kamu,” ujarnya menterjemah mesej pada ayat 60 surah al-Anfal.

Ayat itu menurutnya, adalah hidayah dan wahyu yang menjadi petunjuk kepada Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) khususnya dalam perkara berkait persediaan dan pendekatan politik damai.

Terma persediaan itu diperincikan lagi oleh beliau dengan memetik ayat 249 surah al-Baqarah berhubung kisah pasukan tentera Thalut yang diuji Allah dalam menunjukkan soal kesanggupan dan keyakinan.

Di mana menurut Tuan Guru, para ahli tafsir menyatakan Thalut membuat persediaan 80,000 tentera, tetapi hanya 4,000 mengikut arahan dan ‘golongan sedikit’ ini telah mengalahkan ‘golongan yang banyak’ dengan izin Allah dan Allah bersama golongan sabar.

Turut dipetik beliau adalah ayat 159 surah Ali-‘Imran kisah Perang Uhud yang membawa pengajaran berkait mesyuarat, kelemahan iman dan mengikut dorongan kawan serta kewajipan istiqamah sama ada menang atau kalah.

“Yang kedua politik perdamaian. Senario kejayaan dakwah dan politik daripada sirah nabawiyyah dan zaman Khulafa’, masa damai menyebabkan orang menerima Islam berkali ganda selepas Sulh Hudaibiyah dan selepas pengampunan beramai-ramai Fathu Makkah, berlipat kali ganda. Berbeza dengan masa tegang.

“Senario perjuangan PAS sejak tahun 50-an, saya menyaksikan betapa Islam dihina, mencerca Islam, menghina Islam. (Kalau) Memerintah Islam (akan jadi) huru-hara, (jika) hudud dilaksanakan banyak orang cacat, kudung, busuk sungai, banyak orang mati.

“Setelah kita mengambil politik perdamaian, bersabar sehingga menyertai Kerajaan 1973, Campuran 1974, BN, dia tendang balik. Tapi kesan perkembangan PAS berjaya meranapkan budaya menghina Islam, tak ada (lagi) kecuali suara terpencil sahaja. Sehingga kita berjaya menembusi orang bukan Islam dan berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS, ini kejayaan BPMS,” ujarnya.
 
Seru beliau, dalam senario perjuangan hari ini, PAS perlu dimantapkan dengan BPMS menerusi pengisytiharan untuk merealisasikan ‘Tahaluf’ (ikatan), ‘Ta'awun’ (kerjasama), ‘Musolahah’ (perdamaian dan hikmah) dan juga ‘Maw'izah hasanah’ (nasihat baik) serta ‘Muwajadalah billati hia ahsan’ (berdebat secara sopan).
 
Tegasnya, politik melawan secara bodoh mestilah ditinggalkan kerana ia bukanlah politik Islam, termasuk juga politik ‘jual ubat di tepi jalan’ yang tidak diiktiraf di Kementerian Kesihatan.

“Ada pengamal media yang melariskan politik ini. Maka pengamal media PAS mesti awas berwaspada, jangan terikut dengan politik yang tidak matang. Betapa Islam menunjukkan hidayah, menangani masyarakat majmuk secara matang dan sejahtera,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 2/5/2017

More Articles ...