KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno Kelantan lebih 20 tahun, Dato’ Seri Mustapa Mohamed telah mengucapkan selamat tinggal kepada Umno.

Dalam kenyataan selamat tinggal Umno itu, Mustapa yang senang dipanggil Tok Pa tidak disentuh tentang usaha Umno merapatkan diri dengan PAS.

Menurut veteran PAS, Haji Subky Latif, tetapi dengan tindakan Mustapa itu sehari selepas Umno bertandang ke Muktamar Tahunan PAS ke-64 di Terengganu, maka boleh ditafsirkan dia tidak selesa dengan pendirian Umno itu.

Apapun, bagi beliau tindakan seorang diri Tok Pa itu dipercayai tidak mempengaruhi langkah Umno, yang payah diagak apakah ia langkah kanan atau langkah kiri, tetapi kelihatannya Umno amat positif.

“Tidak banyak yang merugikan Umno dengan pemergian Tok Pa, kerana dia tidak dilihat sebagai Umno Kelantan itu Tok Pa dan Tok Pa itu Umno Kelantan,” ujarnya menerusi tulisan dalam akhbar Harakah.

Malah, katanya Ibrahim Ali yang ‘dilensing’ daripada Umno sepanjang hayat lebih berakar umbi kepada Umno daripada Tok Pa.

“Selepas Tengku Razaleigh mengenepikan diri dari Umno, Tan Sri Annuar Musa dalam waktu hampir 30 tahun ini dirasakan sebagai Umno Kelantan itu Annuar Musa dan Annuar Musa itu Umno Kelantan sekalipun pemimpin rasmi Umno Kelantan itu Tok Pa,” ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 26/9/2018

TULISAN SUBKY BOLEH DIBACA DALAM AKHBAR HARAKAH EDISI JUMAAT DI PASARAN.

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) yang dilihat sangat tidak adil malah dinilai berniat jahat terhadap pendakwah perbandingan agama terkenal, Dr Zakir Naik.

Tidak mustahil kenyataan Dr Mujahid yang menghina dan menganggap Dr Zakir Naik mencaci agama lain didorong oleh segelintir pihak yang tidak senang dengan tokoh tersebut sebelum ini.

Dr Mujahid harus malu dan melihat kembali kenyatan yang pernah beliau kemukakan pada tahun 2017 terhadap Dr Zakir Naik. Dr. Mujahid pernah menganggap program Dr Zakir Naik adalah program perbahasan ilmiah.

Dr Mujahid sendiri pernah mencabar penganut Hindu yang tidak setuju dengan tokoh itu perlu lawan berbahas dan tidak menggunakan pelbagai alasan untuk menghalang kemasukannya ke Malaysia.

Jika Dr Mujahid tidak bersetuju dengan kaedah pendebatan yang dianjurkan, maka beliau boleh berbincang dari aspek teknikal. Jangan sentuh sensitiviti melampau sehingga menimbulkan persepsi buruk terhadap Dr Zakir Naik.

Sikap apologetik Dr Mujahid sangat naif sehingga membuat tuduhan melulu. Sikap tidak profesional tersebut telah menggambarkan kuasa yang dimiliki olehnya boleh menekan orang lain.

Berbeza dengan cara Dr Mujahid menangani isu LGBT. Beliau boleh menjemput Nisha Ayub ke pejabat, berunding dan mengadakan sidang akhbar bersama sambil menawarkan pelbagai solusi alternatif kepada golongan ini. Namun, apabila timbul isu Dr Zakir Naik, beliau menyerang secara melulu tanpa berunding dengan tokoh tersebut.

Demikian juga qbeliau boleh buat pertemuan dengan Dr. P. Ramasamy dalam menangani tuduhan penglibatan Dr. P. Ramasamy dengan pertububan pengganas LTTE.

Adakah sebenarnya Dr. Mujahid didorong atau berada dibawah kawalan dan cengkaman pihak tertentu untuk memberi tekanan kepada Dr Zakir Naik?

Islam Memimpin

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
15 Muharram 1440 | 25 September 2018 – HARAKAHDAILY 25/9/2018

INSTITUSI sekolah tahfiz menjadi fenomena di negara ini dalam tempoh dua dekad terakhir ini dengan kemunculan ratusan sekolah aliran tahfiz swasta dan juga usaha kerajaan Kelantan di zaman almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempopularkan tahfiz sains sebagai sekolah berasrama penuh yang akhirnya memancing pesona ibu bapa memilih aliran tahfiz. Institusi ini sering memicu kontroversi dalam masyarakat negara ini dan pernah dicadangkan untuk ditutup dengan pelbagai alasan seperti tiada plan keselamatan bangunan, anti nasional, menjarakkan ruang intergrasi sosial dan lain-lain alasan.

Pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam menjawab polemik mengenai insititusi tahfiz wajar mendapat perhatian semua pihak. Beliau meminta semua pihak agar tidak menyuburkan bibit Islamofobia di negara berbilang kaum dan agama ini dengan desakan supaya institusi tahfiz dihapuskan susulan kes pelajar sekolah itu yang didakwa diliwat pengetua mereka.

Penjelasan beliau bahawa insitusi tahfiz perlu dihormati dan kesalahan individu tidak wajar dikaitkan dengan institusi berkenaan sebagaimana pepatah Melayu, ‘Marahkan nyamuk, kelambu dibakar’. Bahkan, menurut Dr Zulkifli lagi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) sejak daripada dahulu sentiasa konsisten menentang sebarang bentuk manipulasi, penderaan, ketidakadilan dan penindasan kepada kanak-kanak.

Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa untuk menutup pusat tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur kerana pengetua pusat tahfiz terbabit ditangkap atas dakwaan meliwat sembilan orang pelajarnya adalah isu terpencil yang melibatkan tahfiz tersebut, kerana didapati beroperasi tanpa kebenaran. Bagi saya, jika ia melibatkan jenayah, keadilan mesti ditegakkan dan kesalahan mesti dicegah walaupun pahit untuk ditelan. Menutup pusat tahfiz kerana kesalahan seorang individu bukanlah satu tindakan yang bernas.

Kes yang berlaku sememangnya mencalar imej institusi agama dalam negara, dan kita akui umat Islam menanggung malu atas tindakan pengetua terbabit. Sekali gus kes ini menjadi rujukan dan perhatian ibu bapa, menghakis sedikit kepercayaan mereka terhadap insititusi tahfiz. Amat malang jika kepercayaan yang diberi oleh ibu bapa dan masyarakat ini dikhianati oleh individu yang paling dihormati di sesebuah pusat tahfiz, iaitu pengetua terbabit.

Akan tetapi, menghukum kesemua pusat tahfiz dengan tanggapan negatif adalah label yang keterlaluan. Kes pusat tahfiz terbabit bukan boleh dijadikan kes umum untuk kesemua insititusi tahfiz dengan alasan langkah keselamatan atau pencegahan atas kes yang berlaku itu. Ia juga bukan lesen untuk mana-mana pihak menyerang pusat-pusat tahfiz dan mendesak agar kesemua pusat tahfiz ditutup. Bukan juga sebagai alasan ampuh untuk menjarakkan masyarakat dengan Islam, mewujudkan Islamofobia dengan ketakutan yang sengaja direka-reka. Jangan pula ada mana-mana pihak menangguk di air yang keruh dengan mendesak menutup pusat tahfiz yang lain dengan alasan dangkal.

Bahkan, kes yang berlaku bukan sebab untuk menjadikan kewujudan insititusi tahfiz yang bercambah disekat, kelulusan semakin sukar untuk diluluskan, dianaktirikan, melalui pelbagai prosedur yang ketat, peruntukan yang dipotong, serta pelbagai karenah yang menyukarkan perjalanan tahfiz.

Sepatutnya apa yang berlaku menjadi pengajaran khususnya buat kerajaan, kerana mungkin kebanyakan pusat tahfiz beroperasi sendiri tanpa bantuan dan sokongan banyak pihak. Dengan dana yang terhad, tiada sokongan padu, kekurangan kepakaran dan pengalaman banyak aspek yang tertinggal dalam menjayakan pusat tahfiz ini sedangkan kesedaran dan kepekaan masyarakat terhadap kepentingan tahfiz begitu tinggi. Ia menjadi permintaan yang besar sebagai alternatif buat ibu bapa yang cintakan agama sehingga sanggup membelanjakan sejumlah wang bagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz.

Antara perkara yang mesti dilihat kembali adalah mekanisme pemantauan antara kerajaan dan pusat tahfiz yang ditubuhkan. Pemantauan yang berkesan amat penting bagi menyelaras kualiti pusat-pusat tahfiz, membantu aspek infrastruktur yang kurang, membekalkan modul dan silibus yang baik, guru-guru terlatih dan kompeten, mempunyai disiplin dan rekod yang baik. Selain itu, pemantauan dari sudut keselamatan premis, kebersihan premis bagi menjaga kesihatan penghuninya. Aspek kebajikan guru, ibu bapa dan pelajar juga menjadi titik penting agar kerajaan tidak terlepas pandang terhadap insititusi tahfiz ini.

Umat Islam menyedari bahawa kewujudan pusat tahfiz menyumbang kepada generasi yang berakhlak mulia, celik al-Quran, menghayati agama dan berwawasan tinggi. Kelompok generasi yang menghafaz al-Quran inilah yang diharapkan menjadi pelapis kepimpinan negara di masa akan datang, berbekalkan ilmu dan taqwa kepada Allah SWT Justeru, pusat tahfiz adalah prospek paling utama untuk dibantu, diperkemas dan dikembangkan selaras dengan mana-mana institusi pendidikan yang lain. – HARAKAHDAILY 25/9/2018

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan kenyataan dan komitmen YAB Perdana Menteri berhubung penolakan beliau terhadap aktiviti LGBT di Malaysia. Keputusan tersebut adalah tepat kerana Malaysia tidak harus dikongkong dengan kehendak hak asasi manusia acuan barat.

Kami berharap penolakan YAB Perdana Menteri adalah satu keputusan kerajaan dan ia harus didukung oleh semangat tanggungjawab kolektif semua menteri dan pemimpin Pakatan Harapan.

Keputusan YAB PM juga mesti diambil sebagai satu point of reservation dalam konvensyen antarabangsa mengenai hak asasi manusia seperti International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimation (ICERD).

Keabsahan legitimasi perlembagaan termasuk perundangan Syariah dan sistem nilai yang diamalkan di Malaysia mesti diutamakan berbanding deklarasi hak asasi manusia acuan barat.

DPPM juga menolak usaha mana-mana pemimpin negara yang mahu menormalisasi aktivisi songsang LGBT sama ada menerusi promosi dan pertahan hak mereka.

Rakyat Malaysia perlu peka dan tegas menolak pemimpin-pemimpin tersebut kerana mereka akan merosakkan nilai Islam dan budaya masyarakat Malaysia. Kebebasan yang dijamin dalam perlembagaan bukan bermaksud kebebasan mutlak, sebaliknya ia mesti dipertanggungjawab di bawah had yang sewajarnya.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Adun Batu Burok, Terengganu – HARAKAHDAILY 24/9/2018

MAHKAMAH Persekutuan yang bersidang dengan tujuh hakim diketuai Ketua Hakim Negara hari ini menerima persetujuan pihak perayu (Jawatankuasa Fatwa Selangor, MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor) dan responden (SIS dan dua lagi) untuk mengembalikan kes ke Mahkamah Tinggi untuk dihujahkan semula atas isu bidangkuasa Mahkamah Sivil dan juga isu merit.

Mahkamah Persetujuan juga bersetuju untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memutuskan isu bidangkuasa Mahkamah Sivil tidak boleh ditimbulkan oleh perayu pada peringkat hujahan substantif.

Ini kerana Mahkamah Tinggi dalam peringkat kebenaran (leave stage) telah membuat keputusan bahawa Mahkamah Sivil ada bidangkuasa sekali gus memberi kebenaran untuk meneruskan dengan Semakan Kehakiman.

Mudahnya, pendengaran di Mahkamah Tinggi nanti akan diteruskan untuk menentukan sama ada Mahkamah Sivil ada bidangkuasa atau tidak, dan sama ada permohonan SIS untuk mencabar fatwa pluralisme dan liberalisme mempunyai merit.

Selaku peguam kaunsel kepada MAIS (Perayu Kedua), saya mengalu-alukan dan menerima keputusan secara persetujuan ini, kerana secara efektifnya mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan (yang menghalang terus pihak kami dari berhujah isu bidangkuasa) dan memberikan peluang untuk hujahan semula di Mahkamah Tinggi.

Saya kekal dengan hujahan saya bahawa fatwa berada dalam domain Mahkamah Syariah, dan bidangkuasa Mahkamah Syariah boleh diambil secara tersirat melalui peruntukan enakmen negeri mahupun Senarai Negeri selaras keputusan dalam kes Md Hakim Lee, Soon Singh Bikar Singh, Lina Joy dan Siti Hasnah Vengarama Abdullah.

Ia juga menggemakan hasrat Allahyarham Prof Dr Ahmad Ibrahim, orang yang bertanggungjawab menderaf Artikel 121(1A) dahulunya.

Adalah tidak munasabah untuk merujuk fatwa yang merupakan pendapat ulama atas isu yang belum selesai yang dibuat berlandaskan kaedah dan nas syarak, kepada Mahkamah Sivil yang bukan sahaja tiada kepakaran bahkan tiada bidangkuasa.

Keputusan Mahkamah Persekutuan terkini dalam kes Indira Ghandi yang dirujuk berkali-kali oleh SIS juga tidak menyelesaikan isu pertindihan bidangkuasa, bahkan secara tak langsung mengiyakan takrifan Perlembagaan secara tersirat dan “purposive”. Ini yang akan dihujahkan nanti.

Apapun, terima kasih kepada rakan-rakan peguam yang mewakili Jawatankuasa Fatwa (Tuan Haji Sulaiman Abdullah) dan Datuk Penasihat Undang-Undang Negeri yang mewakil Kerajaan Negeri Selangor atas usaha dan kerjasama berterusan. Juga kepada yang hadir memberi sokongan, dan yang turut menadah tangan meminta doa.

Perjuangan masih jauh. Pegangan perlu terus utuh.

YUSFARIZAL YUSSOFF
Kaunsel Majlis Agama Islam Selangor – HARAKAHDAILY 25/9/2018

PAS Kedah melahirkan rasa dukacita atas pemergian Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah, Tuan Guru Haji Mohd Rejab Md Akhir dan merasakan kehilangan sebutir mutiara yang amat berharga.

Allahyarham Tuan Guru Hj Mohd Rejab bukan sahaja ilmuan Islam malah beliau juga penggerak kepada institusi pondok dan dilantik menjadi Pengerusi Majlis Guru Pondok Kedah (HESA) di samping mengepalai Dewan Ulamak PAS Kedah hampir dua penggal.

Semasa hayatnya sumbangan beliau kepada perjuangan Islam dan komited bersama PAS sangat tinggi terutama menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

Oleh itu, PAS Kedah merakamkan ucapan takziah kepada isteri dan ahli keluarganya dan semoga mereka bersabar dengan ujian ini.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh-roh para salihin.

DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Kedah
25 September 2018 – HARAKAHDAILY 25/9/2018

Ketua Ulamak PAS Kedah dibawa ke hospital

PENDIRIAN YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menolak perlakuan LGBT daripada diterima di negara ini adalah langkah tepat sesuai dengan ajaran Islam, undang-undang negara, norma masyarakat setempat dan nilai kemanusiaan sejagat.

Seperti gesaan oleh Timbalan Presiden PAS, YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu supaya semua usaha mempertahankan dan mengiktiraf perlakuan LGBT ditolak, saya juga berharap agar tokoh dan pertubuhan yang memanipulasi prinsip hak asasi manusia untuk tujuan tersebut juga dikenakan tindakan sewajarnya tanpa mengira kedudukannya.

Sebagai menegaskan pendirian tersebut juga, Perdana Menteri digesa supaya membawanya kepada Kabinet dan mengeluarkan suatu kenyataan rasmi Kerajaan berhubung perkara ini agar usaha mempromosikan perlakuan songsang ini sama ada dalam bentuk pemikiran atau amalan dapat disekat secara menyeluruh.

Saya juga menyeru rakyat di negara ini agar menolak para pemimpin yang mesra, menyokong dan mendukung agenda LGBT.

Agenda LGBT ini perlu ditentang bagi memelihara jati diri budaya dan sistem kekeluargaan masyarakat di negara ini daripada dirosakkan seperti yang berlaku di negara-negara Barat pada hari ini.

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
24 September 2018 | 14 Muharram 1440 – HARAKAHDAILY 24/9/2018

More Articles ...