26
Mon, Aug
27 Artikel Baru

YB Tan Sri Noh Omar adalah manusia paling kecewa dan gagal apabila PAS dan tiga exco kekal dalam kerajaan selangor.
 
Kenyataan YB Tan Sri Noh Omar Pengerusi BN Selangor tentang PAS Selangor Dayus adalah ibarat "meludah ke langit" dan menggambarkan kekecewaan beliau kerana gagal  memecahkan kerajaan Selangor seterusnya menarik PAS untuk bersama Umno. YB Tan Sri Noh Omar sepatutnya melihat Umno dan BN Selangor sendiri yang terus menikus dan mendayus terhadap  kelemahan Kerajaan Persekutuaan.

PAS terus kekal dalam kerajaan Selangor pada hari ini kerana menunaikan hak yang diberikan oleh rakyat dan kematangan pentadbiran kerajaan yang ada pada hari ini. Perbezaan yang ada antara parti adalah kelebihan kerajaan negeri yang ada pada hari ini terutama dalam mengambil kira maslahah rakyat dan memberikan perkhidmatan.

YB Tan Sri Noh Omar juga perlu belajar tentang makna Tahaluf dan Taawun, kejahilan untuk memahami inilah menyebabkan beliau minta Exco PAS supaya meletakkan jawatan. Keterlibatan PAS dalam kerajaan adalah untuk bertolongan dalam kebaikan dan takwa. Sejarah telah membuktikan,  pada saat DAP memutuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat, DAP melalui exconya tidak meletak jawatan, apabila masyarakat mempersoalkan Lim Guan Eng menjawab yang DAP perlu terus berada dalam kerajaan supaya PAS tidak buat kerja jahat. Oleh sebab itu,  PAS perlu terus berada dalam kerajaan dan exco mesti terus berkhidmat supaya PAS dapat buat kerja baik dan DAP tidak buat kerja jahat.

YB Tan Sri Noh Omar juga perlu belajar sejarah,  PAS satu-satunya parti kerajaan negeri yang tidak pernah buat pakatan dan kekecohan untuk menjatuhkan Menteri Besar, pada saat parti lain berpakat menjatuhkan Tan Sri Khalid, PAS tidak turut berpakat. Bukan kerana peribadi tetapi keharmonian dan kesejahteraan rakyat itu jauh lebih penting.  Apabila Menteri Besar baru YAB Dato Seri Azmin Ali dilantik, PAS terus teguh untuk meneruskan agenda menjaga kesejahteraan dan keharmonian rakyat. Inilah PAS yang YB Tan Sri Noh Omar perlu belajar daripadanya.

USTAZ SALLEHIN MUKHYI
Pesuruhjaya PAS Selangor. – HARAKAHDAILY 14/5/2017

PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) menyambut baik keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang telah memutuskan bahawa Tahaluf Siyasi antara PAS dan PKR telah terbatal disebabkan berlaku begitu banyak perlanggaran terhadap syarat-syarat Tahaluf Siyasi menurut pertimbangan syarak dan akhlak Islam.

Oleh hal yang demikian PAS WP  telah membuat keputusan untuk bertanding sembilan kerusi Parlimen dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14) yang akan datang. Keputusan ini dibuat berdasarkan kemampuan jentera dan kehendak pengundi yang mahukan dan mengharapkan PAS sebagai Parti yang mampu memperjuangkan agenda rakyat dan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Kerusi Parlimen yang akan ditandingi PAS adalah Titiwangsa, Putrajaya, Labuan, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai, Batu dan Segambut.

PAS WP memandang positif suasana politik mutakhir ini dan akan terus komited untuk melaksanakan gerak kerja pilihan raya dalam segala sudut. Peluang dan ruang yang ada akan digunakan sebaiknya untuk memenangkan PAS di kerusi parlimen yang telah disasarkan.

Selain itu, PAS WP juga komited terhadap Gagasan Sejahtera yang merupakan alternatif buat para pengundi untuk memilih kerajaan yang lebih berwibawa, telus dan berintegriti tinggi bagi mewakili rakyat selepas PRU 14 akan datang.

MOHAMAD NOOR MOHAMAD
Persuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 14/5/2017

DS Najib menggariskan empat faktor Umno sentiasa bertambah kukuh, Pertama Umno tidak pernah meninggalkan asas perjuangan parti iaitu berpaksikan Islam, Melayu Bumiputera dan negara Malaysia.

Kedua, Umno meletakkan perjuangan parti untuk kepentingan seluruh rakyat dari dahulu hingga sekarang. Umno  berjuang bukan untuk ahli bahkan semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

Ketiga, Umno sentiasa relevan mengikut peredaran zaman dan keempat, Umno mempunyai wawasan serta tindakan yang kolektif bersama komponen Barisan Nasional.

Apakah masih ada faktor ini di dalam Umno. Apakah benar umno memperjuangkan Islam yang syumul seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW sama ada dari segi percakapan atau amalan. Di manakah tokoh-tokoh agama Umno yang boleh memberi teguran kepada pemimpin Umno dan menjadi kata putus dalam soal agama.

Apakah teguran mereka diambil kira. Tokoh-tokoh agama seperti Tan Sri Yusuf Noor, Datuk Abdullah Mohd Zin, Dr Masitah Ibrahim, Ust Mohd Nor Idris, Ustaz Mustafa Taib dan ramai lagi. Apakah peranan mereka hanya untuk membaca doa semata-mata. Ia berbeza dengan PAS, yang telah meletakkan Majlis Syura Ulamak sebagai rujukan hukum berpolitik dan bernegara.

Mengenai asas kedua yang mengatakan umno mementingkan kepentingan rakyat. Sudah menjadi rahsia umum, umno gagal memberi keselesaan kepada rayat. Kehidupan rakyat semakin tertekan. Kualiti hidup rakyat semakin menurun. Rakyat tertekan dengan  kos sara hidup yang meningkat.

Penguatkuasa GST dan penarikan subsidi telah memberi tekanan hidup kepada rakyat pendapatan rendah. Harga rumah melabung, kos pengangkutan meningkat apakah pemimpin umno boleh mendakwa perjuanganya telah mementingkan rakyat? Apakah dengan pemberian BRIM, pemimpin umno boleh anggap ini sebagai air mutlak suci lagi menyucikan terhadap penderitaan rakyat?

Apakah Umno masih relevan mengikut peredaran zaman. Umno sudah tidak relevan untuk generasi muda. Mereka hanya ikut-ikut sahaja bersama Umno. Ideologi perjuangan sudah tidak tidak ada seperti generasi awal. Perjuangan dengan Umno hanya sebagai batu loncatan untuk hendak mendapat projek sahaja, bukan untuk menegakkan idealisma perjuangan. Oleh itu generasi muda yang terdedah dengan maklumat tidak bersama Umno, walaupun ibu bapa mereka penyokong tegar Umno.

Terakhir, DS Najib mengatakan Umno hebat kerana ia mempunyai wawasan dan tindakan secara kolektif bersama dengan rakan komponen BN. Tetapi rakyat umum melihat, perjuangan Umno hari ini sudah kehilangan jati diri yang banyak mengalah kepada rakan komponen, akhirnya  untung jangka pendek tetapi merugikan jangka panjang.

Sebenarnya Umno relevan kerana ada 3 M, (wang, media dan jentera kerajaan), bukan kerana ideologi dan kekuatan jati diri.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
15 Syaban 1438/ 12 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 12/5/2017

SEBAGAI lanjutan dari penubuhan Jawantankuasa Khas Sekretariat Benteras Rokok (Sebar), Mapim, Salimah dan gabungan beberapa NGO yang lain melancarkan pendaftaran kariah untuk terlibat dalam kempen basmi rokok.

Setakat ini NGO yang bergabung untuk menjayakan kempen ini ialah Mapim, Salimah, Pertubuhan Kebajikan Insan Penyayang Malysia (KPIPM), Bless, Unggas, LKPI Flat Harmoni Sg. Petani, Teras dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Masjid Andalusia Sg. Petani, Sekolah Agama Daris Sg. Petani.

Sebagai suatu usaha yang akan menumpu kepada komuniti kariah, sekretariat ini akan menggerakkan anak kariah untuk bersama dalam usaha membasmi rokok di kawasan kariah masing-masing.

Pendekatan ini akan membina pengelaman setiap kariah untuk menjadi model kariah tanpa rokok untuk dikongsikan dengan kariah yang lain.

Kami berpendapat fatwa merokok haram yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1995 dan Majlis Fatwa Kedah pada 1996 sepatutnya dihayati oleh setiap kariah sebagai suatu panduan syariah yang boleh menyelamatkan anak kariah dari kemudharatan akibat gejala merokok. Kami percaya bahawa berpegang teguh kepada panduan agama adalah satu-satunya cara untuk membenteras budaya negatif yang merosakkan masyarakat.

Jika tabiat merokok dapat dibasmi dari masyarakat kami percaya setiap kariah di negara ini akan menjadi aset besar kepada umat untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera. Sudah sampai masanya umat Islam di negara ini berperanan untuk membangun masyarakat bebas dari budaya yang negatif bukan sahaja untuk generasi masakini malah generasi mendatang.

Setiap kariah yang mendaftar akan dijemput untuk turut terlibat dalam pelbagai aktiviti pendidikan kesedaran membasmi rokok dikalangan masyarakat. Ahli Jawatankuasa Masjid di kariah akan turut dilibatkan kerana masjid adalah sebuah institusi penting untuk membangun masyarakat yang baik.

Pihak sekretariat akan mendekati setiap masjid agar mendaftarkan diri dan terlibat aktif  dalam kempen basmi rokok dan usha melengkapkan aktivis di kariah untuk menjadikan kariah mereka bebas dari merokok melalui siri latihan dan bengkel akan dilaksanakan.

Kami percaya dengan memanfaat masjid sebagai tapak mengerakkan kempen ini , ia boleh menyampaikan mesej secara lebih meluas dan berkesan. Anak kariah yang menjadikan masjid sebagai paksi untuk membentuk budaya hidup yang sihat dalam masyarakat pasti dapat menanam kesedaran yang lebih mendalam dan berkekalan.

Antara aktiviti yang akan digerakkan diperingkat kariah ialah:
1. Khutbah Jumaat mengenai rokok dan kemudharatannya.
2. Sembang “Anak Muda Hidup Sihat Tanpa Rokok”.
3. Perhimpunan kaum ibu "Rokok Membinasakan Keluarga"
4. Kumpul tandatangan qaryah bebas dari rokok.
5. Program menyemai rokok itu bahaya peringkat kanak-kanak pra sekolah.
6. Perasmian qaryah tanpa rokok.
7. Mengedar risalah " Rokok Membazir, Pembaziran adalah Ikhwan Syaitan"
8. Siri Penerangan fakta mengenai rokok di surau-surau qaryah.
9. Edaran pelekat setiap rumah "Selamat Datang Ke Rumah Kami Tanpa Rokok" – HARAKAHDAILY 12/5/2017

ALHAMDULILLAH, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana masih lagi menghelakan nafas-nafas kita untuk sama-sama berdiri teguh bersama perjuangan Islam. Menghampiri separuh penggal pertama tahun ini, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu sekali lagi akan menganjurkan Himpunan Harapan Semua, PAS Ganti Umno siri ke-3.6 (HARAP PGU 3.6). Himpunan siri ini akan membuka tirainya pada 18 hingga 20 Mei 2017 di bumi bertuah Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Bertemakan ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’, himpunan kali ini dijangka lebih istimewa berbanding siri-siri sebelumnya. Tawaran khas untuk rakyat Terengganu sempena PRU14 bakal diumumkan. Bersama kita nantikan visi dan misi PAS untuk rakyat sebagai ‘ government in waiting’ khusus untuk rakyat Terengganu Darul Iman.

Memilih Kuala Berang sebagai tuan rumah merupakan satu ‘catalyst’ kepada masyarakat tempatan khususnya penyokong-penyokong dan ahli-ahli PAS untuk bersama-sama berganding bahu dalam memenangkan PAS di Dun Kuala Berang dalam pilihan raya yang akan datang. Terlalu banyak isu yang timbul khususnya di daerah ini sejak kebelakangan ini. Bermula di Tasik Kenyir sehinggalah ke bandar Kuala Berang. Kesemuanya penuh keraguan dan helah dari pemimpin-pemimpin parti politik BN hari ini. Isu-isu ini memerlukan kepada penilaian yang serius daripada masyarakat setempat terutama pemuda-pemuda generasi baru. Kini, HARAP 3.6 merupakan satu paluan semboyan, memanggil seluruh anak-anak muda agar berani membuat perubahan pada PRU yang akan datang.

Mewakili saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu, saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan tuan puan, para tetamu, dan seluruh rakyat Terengganu, terutamanya anak-anak muda seluruhnya untuk sama-sama ke perhimpunan ini. Banyak program-program menarik yang akan dianjurkan untuk semua peringkat umur. Ayuh bersama kita hangatkan himpunan ini dengan ruh cintakan perjuangan Islam sehingga Islam benar-benar dapat didaulatkan kembali di Terengganu atau secara umumnya di Malaysia.

Semoga keutuhan perjuangan Islam ini abadi terpateri dalam diri kita sebagaimana abadinya tamra Islam di permukaan batu bersurat Kuala Berang. Moga sinarnya kembali semula pada abad ini. Apalagi di bumi bertuah ini. Insya Allah.

SEJAHTERA BERSAMA ISLAM

Akhukum fil Islam,
Mohd Harun Esa
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu

TELAH diwar-warkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu untuk membina sebuah litar lumba yang diiktiraf antarabangsa bagi memenuhi kehendak orang muda di Terengganu. Dan seperti mana yang kita tahu, baru-baru ini, litar tersebut sudah siap dan telahpun berlangsung pertandingan yang dinamakan Terengganu Drag Battle 2017 (TDB2017) di sana yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Mengikut laporan pro-Umno Teganukita.net, MB berkata, berdasarkan pemantauan, kini hampir 95 peratus masalah rempit telah diselesaikan terutama di Jalan Durian Burung dan Jalan Sultan Mahmud. Hairan juga kita dengan beberapa hari sahaja litar siap, 95 peratus rempit telah dihapuskan? Sedangkan kita tahu bahawa, masalah rempit seperti di Jalan Durian Burung telah berjaya diatasi sejak lebih setahun lalu, hasil kerjasama orang kampung dan pihak berkuasa. Jasa orang kampung diketepikan Umno demi mendapat nama.

Saya kira, setelah dirasmikan litar yang dilaporkan bernilai RM12.7 juta itu, maka akan bergembiralah golongan pelumba dan peminatnya. Namun, ia jauh daripada keceriaan. Telah ditularkan secara meluas di media-media sosial akan kekecewaan peserta sehingga ada yang telah menarik diri. Isu utama ialah litar yang dibina, tidak menepati spesifikasi antarabangsa dari banyak segi, dan paling utama ialah dari aspek keselamatan.

Dikatakan keadaan trek yang gelap, mengundang bahaya kepada pelumba dan juga penonton. Lampu di garisan penamat yang tidak sempurna, ditambah jarak trek yang pendek, menyebabkan ada kereta yang melepasi had pecutan sehingga terkeluar daripada trek. Permukaan litar yang tidak mencengkam, sempit serta beralun di tempat permulaan, turut menjadikan peserta kecewa. Penangguhan perlumbaan juga salah satu faktor yang merosakkan lagi imej penganjur kerana sistem timing yang tidak berfungsi baik.

Hasil daripada trek yang didakwa pelumba tidak mencapai piawaian antrabangsa itu, mereka telah mengalami kerosakan pada kenderaan mereka. Dan kos yang mereka terpaksa korbankan kerana trek yang teruk itu, ialah ratusan ribu. Ada yang rosak gear-box, ada yang terlanggar pembahagi jalan dan sebagainya. Kekecewaan pelumba sangat jelas dengan menganggap mereka telah ‘ditipu’ oleh penganjur kerana mendakwa litar itu sebagai antarabangsa, sebaliknya tidak seindah yang dikhabarkan. Pada pandangan mereka, jika sukan permotoran ini diambil tanggungjawab oleh orang politik, beginilah hasilnya. Bagi PAS, tidaklah menghairankan jika ini hasil dari tangan Umno, kerana sudah puluhan kes binaan bangunan runtuh mereka kerjakan. Yang penting, duit.

Saya menyeru kepada kerajaan, agar janganlah memandang murah nyawa manusia. Perlu kepada satu tindakan bagi menyiasat aduan ini secara menyeluruh kerana ia tidak hanya mencalarkan imej negeri Terengganu, malah juga Malaysia. Perlu disertai pakar-pakar bagi menyumbangkan pandangan dan kemahiran bagi keselesaan dan keselamatan untuk memenuhi spesifikasi litar antarabangsa. Kita faham, Umno kini sangat terdesak untuk meraih undi bagi menyekat kemaraan PAS, tetapi janganlah nyawa rakyat pula yang dijadikan taruhan. Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Adun Bukit Payong / Timbalan YDP PAS Marang
15 Syaaban 1438/ 12 Mei 2017

LAJNAH Kebajikan dan Kemasyrakatan PAS Pusat merakamkan rasa simpati dan kesedihan yang amat mendalam atas pemergian Dr Nurul Huda Ahmad. Meninggal dunia dalam kemalangan yang tragis ketika dalam perjalanan pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia ke Marang, Terengganu setelah menghabiskan tugas ‘oncall’ di hospital. Masyarakat dan negara kehilangan seorang bakal pakar kanak-kanak yang telah berada ditahun ketiga pengajian Sarjana Perubatan. Lebih memilukan bila memandang kepada tiga anak kecil berusia antara 2-8 tahun yang ditinggalkan ibu buat selama-lamanya.

Cara terbaik untuk ‘membela’ pemergian Dr Nurul Huda ialah dengan mewujudkan satu Garis Panduan Amalan berkaitan ‘Hours of work’ (jumlah jam kerja), shift work and rostering hospital doctor (jadual dan giliran tugasan doktor di hospital) yang memberikan penyelesaian yang praktikal untuk menguruskan sindrom keletihan melampau akibat jam kerja yang lama serta meminimakan risiko yang mungkin berlaku akibat keletihan, antaranya kecelakaan jalan raya ketika memandu pulang selepas bertugas. Garis panduan ini perlu diguna pakai untuk semua samada Doktor Pakar, Pegawai Perubatan termasuk juga Pegawai Perubatan Siswazah.

Ini penting bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja kesihatan terjamin.

Saya setuju jika semua Pegawai Perubatan dan Doktor Pakar yang selesai oncall (postcall) 24 jam, mendapat sehari cuti secara automatik atau paling kurang setengah hari off.

Ada sesetengah hospital yang sedia memberikan postcall bekerja hingga jam 12 tengah hari tetapi peraturan ini tidak diseragamkan dan ianya bergantung kepada budi bicara Pengarah Hospital.

Masalah sindrom keletihan selepas ‘postcall’ memang disedari semua personal bidang perubatan dan melibatkan semua sama ada Pakar, Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan Siswazah.

Kena ada perubahan dasar dan bukannya penyelesaian sementara. Untuk buat perubahan dasar, mereka yang berautoriti mesti mengemukakan satu garis penyelesaian dan polisi yang meyakinkan.

Kita akui bahawa keperluan tugasan oncall bergantung kepada justifikasi, tenaga pekerja dan aktiviti harian serta mingguan sesebuah jabatan di hospital terbabit. Cabaran Pegawai Perubatan bukan hanya terhadap risiko sebegini tetapi memikul harapan tinggi rakyat kepada institusi perubatan dan kesihatan.

Bagi seorang ibu dan isteri yang berkerjaya doktor seperti Almarhumah Dr Nurul Huda, adakalanya mereka korbankan kesihatan dan keselamatan diri semata-mata kerana keluarga. Hati ibu yang dah beberapa hari terpisah dengan anak-anak semestinya rasa kerinduan kepada anak-anak itu mengatasi segalanya sehingga mengambil risiko untuk memandu pulang juga walaupun badan keletihan. Saat yang paling berharga dan bahagia bagi seorang ibu dan isteri adalah berada bersama anak-anak dan keluarga tersayang.

Semoga Allah merahmati dan mengampuni Almarhumah Dr Nurul Huda serta rakan sejawat yang telah pergi ketika menggalas tugas yang sangat mulia ini.

Dr Azman Ibrahim
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Timbalan Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat
12 Mei 2017

More Articles ...